Friday, 8 April 2016

BUNGA-BUNGA BAHAGIA - BAB 10

HONDA Citynya dipandu dengan kelajuan
sederhana menuju ke Hotel Hilton Kuala Lumpur. Dia tidak
perlu tergesa-gesa untuk ke sana. Nasib baik pertemuan diatur
di situ. Jadi, tidak jauh dari rumahnya yang terletak di Bangsar.
Orang kaya, makan malam pun dekat hotel lima bintang. Kalau
dia hanya mampu kat restoran saja. Itu pun dah kira mewah
gila. Membazir betul dua orang mamat ni, getus Nuha Qalisya.
Selepas berpusing-pusing mencari tempat parkir
kosong, akhirnya bertemu juga dengan petak kosong. Banyak
majlis agaknya hari ini, sebab itu dia terpaksa naik sampai ke
tingkat tiga untuk mencari tempat parkir.
Pintu kereta ditutup dan selepas alarm ditekan, dia
mula melangkah menuju ke lif lobi. Namun langkahnya terhenti
apabila melihat Maryam tidak bergerak dari kereta. Meragam
pula minah ni. Semalam kata tak sabar nak jumpa buah hati,
apabila dah nak jumpa, dia buat hal pula. Nuha Qalisya berpatah
semula.
“Errr… Aku… Aku rasa gabra…” Maryam bersuara.
Dibelek-belek gaun labuh yang dipakainya untuk mencari
ketenangan. Maryam tidak menipu kerana dia nampak
kekalutan terpancar di wajah temannya itu. Nuha Qalisya
faham, usia percintaan mereka terlalu baru. Tidak sampai dua
minggu selepas mereka kembali daripada percutian di Tanjung
Leman dan dalam tempoh itu mereka tidak pernah bersua.
Mereka hanya berbicara menerusi talian. Pastinya temannya itu
tidak keruan.
Tiba-tiba lagu Awan Nano kedengaran. Cepat saja Note
II di dalam beg tangannya dicapai. Tangannya pantas menekan
butang On. Belum apa-apa lagi, dia mendengar suara Afifa
dalam talian. Gagang telefon dijarakkan dari telinganya. Bingit
dengan suara nyaring rakannya itu.
“Kau ni sejak balik dari Tanjung Leman, terus menyepi
diri. Kau dah okey belum ni?” Dia bimbang memikirkan keadaan
temannya sejak diberitahu oleh Maryam tentang hubungan
Nuha Qalisya dan Zariff Adam sudah terlerai.
Dia kenal Zariff Adam. Walaupun tidak serapat
Maryam, namun dia tahu ada yang tak kena dengan mamat
itu. Dia dapat merasakan Zariff Adam hanya sekadar mahu
mempergunakan temannya itu dan seperti biasa, Maryam kerap
menjadi penyelamat lelaki itu setiap kali dia meluahkan rasa
tidak senang hati melihat sikap Zariff Adam.
“Don’t worry... I’m okay. Aku sudah boleh terima
hakikat dia bukan untuk aku.” Nuha Qalisya cuba meredakan
kebimbangan temannya. Dia bertuah kerana dikelilingi
keluarga dan rakan yang banyak membantunya selama ini dan
kerana itulah dia merasakan mampu berdiri sehingga kini.
“Kau busy sangat ke?” soal Afifa. Risau dia melihat
keadaan temannya. Dia takut temannya itu sengaja buat-buat
sibuk semata-mata mahu menghilangkan rasa sedih dalam
hatinya.
Nuha Qalisya diam. Dia bukan tidak teringat dua
teman karibnya, tetapi masa tidak begitu mengizinkan. Sejak
balik daripada bercuti, kerja sudah siap sedia menunggunya.
Hubungan mereka akrab. Dia, Maryam, Afifa dan Edora
membesar bersama dari sekolah tadika, sekolah rendah dan
sekolah menengah. Mereka tidak pernah terpisah. Tetapi selepas
SPM, masing-masing membawa haluan. Dia dan Maryam
diterima masuk ke UIAM, Edora ke UKM, Bangi manakala Afifa
terbang jauh ke bumi Sarawak ke UNIMAS.
Namun persahabatan mereka tidak pernah terputus.
Setiap kali cuti semester, seboleh-bolehnya mereka akan pulang
ke kampung. Bukan saja untuk berjumpa keluarga masingmasing
tetapi sama-sama mencari kerja sambilan di daerah
kelahiran mereka.
Tiba-tiba lamunannya melayang. Dia masih memegang
telefon bimbitnya dan sayup-sayup kedengaran suara Afifa.
“Weh, aku nak cepat ni… Aku teman member kita ni…
Siti Nur Maryam Haji Shariff berdating. Malam ni kau ajak Dora
datang rumah. Kalau boleh tidur kat rumah aku lagi cantik.
Nanti boleh kita sembang lama-lama. Aku pun dah lama tak
sembang dengan kau dan Dora.” Nama penuh Maryam disebut.
Terdengar jeritan daripada Afifa. Budak ni kalau ketawa
memang melampau. Mengalahkan cik pontianak pun ada.
“Dating? Siti Nur Maryam binti Haji Shariff kita tu
nak berdating? Biar betul? Macam tak percaya aje. Dia sudah
jumpa lelaki seiras Zakry Adlan ke?” soal Afifa. Dia tahu sejarah
percintaan Maryam yang tidak kesampaian itu.
Frust menonggeng berbulan-bulan bukan kerana Zakry
Adlan menolak cinta dia, tetapi takut kepada bayang-bayang
sendiri. Mengalah tanpa sempat memulakan perjuangan.
Nuha Qalisya tergelak. Kalau diberitahu, pasti minah ni
menjerit gembira. “Bukan setakat jumpa seiras, tetapi orangnya
pun sama, nama dia pun Zakry Adlan juga.” Dia berterus terang.
Sekali lagi Afifa menjerit. Perempuan ni kalau menjerit memang
tak ingat dunia. Marah pun menjerit, gembira pun menjerit.
Dia menjauhkan Note II jauh dari cuping telinganya.
Tak sanggup nak rosakkan gegendang telinganya dengan jeritan
demi jeritan daripada Afifa.
“Betul… Dia dah declare dengan mamat tu pasangan
kekasih… Ni ha, ada kat depan aku ni. Duk cubit-cubit aku.
Marah aku beritahu kau.” Nuha Qalisya ketawa. Gembira dapat
mengenakan teman karibnya itu.
Bulat mata Maryam. Hesy… Tak cover aku langsung,
desis Maryam sedikit geram. Malas dia nak melayan temannya
itu lantas pantas dia bergerak ke lif lobi.
“Aku tunggu kau kat rumah nanti. Lambat pun dalam
pukul sebelas malam aku dah ada kat rumah. Jangan tak jadi
pula. Assalamualaikum,” katanya sebelum mematikan talian.
“Okey… Okey... Aku datang malam ni.” Sayup suara
Afifa. Note II dimasukkan kembali ke dalam beg tangannya.
Nuha Qalisya cuba menyaingi langkah Maryam yang sudah ke
depan.
Temannya bersandar di dinding sementara menunggu
lif terbuka. Nampak sangat kekalutan di wajahnya. Sekejapsekejap
pandang telefon. Sah dia ni, tahap meroyan tiga ratus
enam puluh darjah.
Nuha Qalisya hanya memerhati. Agaknya begitulah
orang dilamun cinta, resah gelisah dan bimbang sentiasa
wujud. Tidak seperti dia dulu. Dia langsung tidak berperasaan
begitu ketika bercinta dengan Zariff Adam. Apa yang pasti, dia
tiada rasa itu. Lif terbuka, pantas mereka menyusup masuk.
Tidak ramai yang ada di dalam lif ketika itu. Sebuah
keluarga bersama tiga anak kecil selain pasangan kekasih yang
asyik bercium dan berpelukan. Terbeliak biji matanya melihat
aksi panas itu. Lelaki itu cuba melepaskan rangkulan teman
wanitanya kerana mungkin malu melihat aksi mereka sekejap
tadi menjadi tontonan. Tiga anak kecil itu sudah ditutup mata
oleh ibunya.
Seksaan mereka berdua berakhir sebaik saja melangkah
keluar. Dia pasti pasangan suami isteri itu juga sudah mampu
menarik nafas lega. Walaupun begitu, si anak masih lagi
tertoleh-toleh ke belakang mencari kelibat pasangan berkenaan.
Pantas kaki mereka dihala ke Restoran Paya Serai.
Tiba-tiba Blackberry Maryam berbunyi nyaring, minta diangkat.
Kemudian telefon Blackberry dilekap ke telinga kirinya.
“Mereka dah sampai. Tunggu kita saja.” Maryam
bersuara selepas telefon bimbitnya dimasukkan ke dalam beg.
Sah panggilan tadi daripada si jantung hati.
“Zakry?” Saja dia mahu mencari kepastian. Maryam
angguk. Matanya belingas mencari kelibat Zakry Adlan dan Akif
Irham.
“Tu buah hati pengarang jantung kau. Sekali pandang
handsome juga tapi dua kali pandang errr... Macam... Macam...”
Nuha Qalisya tidak menghabiskan ayatnya. Dia memang gemar
betul menyakat Maryam. Seperti biasa, tangan ketam temannya
itu sempat juga singgah di bahunya.
Sejak masuk tadi, dia tercari-cari kelibat kedua-duanya.
Lelaki itu begitu santai pakaiannya. Wajah di sebelah Zakry
Adlan direnung. Entah mengapa, tiba-tiba dia berasa gugup
untuk berhadapan dengan Akif Irham. Lelaki itu sentiasa kacak
pada pandangan matanya. Sentiasa mendamaikan jiwanya.
Akif Irham bangun menyambut mereka berdua. Di atas
meja hidangan sudah tersedia. Penuh satu meja. Semuanya
begitu menyelerakan. Nampaknya, mereka sudah membuat
pesanan terlebih dulu.
“Assalamualaikum. Dah lama tunggu ke?” Nuha Qalisya
bertanya. Mewakili Maryam yang tiba-tiba saja bertukar menjadi
gadis pingitan yang pemalu. Kerusi ditarik bersebelahan Akif
Irham. Sempat dia menghadiahkan senyuman kepada lelaki itu.
“Waalaikumussalam… Baru saja. Setakat sejam dua
tak jadi masalah pun buat kami. Lama lagipun kami sanggup
tunggu. Janji orang tu sudi datang...” Akif Irham berjenaka.
Dia pandang ke arah Zakry Adlan yang hanya tersenyum sejak
tadi. Maryam pula mengambil tempat di sebelah Zakry Adlan.
Suasana di meja makan menjadi hening. Masing-masing tidak
bersuara.
“Sunyinya… Mana semua orang pergi ni?” Zakry Adlan
berseloroh melihat kedua-dua gadis di depannya agak canggung
dan serba tidak kena.
“Takkan kita tengok aje makanan ni? Nuha… Mar,
jemputlah, ni saja yang termampu kami oder.” Tiba-tiba Akif
Irham bersuara.
“Errr, sayang… Saya oder spesial untuk sayang...
Jemput makan ya.” Zakry Adlan pula bersuara. Maryam di
sebelahnya sudah tersipu-sipu. Mukanya sudah merah. Dia
tahu, sekejap lagi pasti dia akan menjadi mangsa usikan Nuha
Qalisya. Dia lihat temannya sudah tersenyum-senyum.
Akif Irham hanya memerhati telatah gadis yang berada
di depannya itu. Kalau dulu ketika mereka di Tanjung Leman,
Nuha Qalisya yang kerap menjadi bahan usikan Maryam. Kali
ini tiba giliran Maryam pula. Barulah adil.
“Mmm… Ajak Maryam saja ke? Kami berdua ni tak
dijemput sama ke?” giat Nuha Qalisya. Dia mahu mendera
perasaan Maryam. Matanya dikelip-kelip mengundang ketawa
Zakry Adlan dan Akif Irham.
Maryam yang duduk bersebelahannya sudah tidak
senang duduk. Dia rasa mahu menghantuk kepalanya saat ini ke
dinding. Malu usah dikata. Zakry Adlan pula terlebih romantik
malam ini. Jemarinya juga tidak lepas dari genggaman pemuda
itu sepanjang makan malam itu berlangsung.
“Untuk bakal kakak ipar I juga.. Sila makan. Semua ni
dioder khas untuk tuan puteri berdua,” kata Zakry Adlan turut
bergurau. Lebih tepat lagi membalas gurauan Nuha Qalisya
sebentar tadi. Kali ini Nuha Qalisya pula yang tersipu-sipu.
Mahu mengenakan orang, akhirnya diri sendiri juga
yang terkena. Padan muka kau, Nuha Qalisya, desisnya. Kali
ini Maryam sudah mampu tersengih lebar. Ibu jarinya diangkat
menunjukkan tanda bagus. Dia pandang wajah Akif Irham yang
hanya tersenyum sejak tadi.
“Jom awak... Jangan diganggu pasangan bercinta ini.
Kita duduk kat lobi sana.” Akif Irham menolak pinggan setelah
kenyang. Nuha Qalisya turut berbuat demikian. Sudah tidak
larat untuk menghabiskan makanan itu.
“Tentu banyak bahan kau orang nak bercerita, kan?
Maklumlah, selama ni bersembang hanya dalam telefon. Jadi,
aku bagi peluang untuk kau berdua-duaan. Tapi jangan pula
lebih-lebih, Allah nampak.” Nuha Qalisya bergurau. Diselit juga
nasihat kepada temannya itu.
“Nanti kalau nak balik, pandai-pandailah kau orang
call handphone aku. Kami ada kat area-area sini saja. Jangan
bimbang. Selamat berdating,” celah Akif Irham pula. Dia dan
Nuha Qalisya beriringan keluar dari Restoran Paya Serai.
“Terima kasih atas dinner malam ni. Tentu mahal, kan?
Awak ni membazir betul.” Punggungnya dilabuhkan ke atas
sofa di ruang lobi hotel. Begitu juga lelaki itu turut berlabuh di
atas sofa bersebelahan.
“It’s okay. Benda kecil saja tu. Saya cuba jadikan malam
ini malam yang istimewa untuk kita. Mungkin selepas ini kita
dinner berdua saja. Tanpa Zakry... Tanpa Maryam. Boleh, kan?”
tanya Akif Irham. Nuha Qalisya serba salah. Apa yang perlu
dijawabnya?
“Errr… Awak rasa?” tanya Nuha Qalisya pula.
“Mana boleh rasa-rasa. Saya tak reti nak rasa.” Akif
Irham mula ketawa.
Nuha Qalisya pula sudah menjeling. Orang tanya
betul-betul, dia pula yang main-main. Sakit hatinya melihat
lelaki itu masih mentertawakan dirinya. Nuha Qalisya menarik
muka masam. Lagi sekali ketawa lelaki itu tercetus. Comel gila
apabila Nuha Qalisya berwajah begitu.
“Kalau tanya saya, jawapannya mudah saja. Akan ada
pertemuan kedua, ketiga hingga seterusnya tapi terpulang
kepada awak. Sebab kalau hanya saya seorang yang mahukan
pertemuan ini, ia tidak mungkin berhasil.” Akif Irham
melemparkan senyuman manis. Terserlah lesung pipit di pipi.
Nuha Qalisya terpaku tiba-tiba. Senyuman itu membuatkan
tubuhnya terasa di awang-awangan. Kenapalah senyuman kau
manis sangat? Kan Nuha Qalisya sudah tergoda.
Kau sudah gila, Nuha Qalisya! Jangan malukan diri
sendiri. Kawal diri, Nuha... Kau kena kawal diri kau. Dia cuba
bertenang. Dia tidak mahu menunjukkan kekalutan di depan
lelaki yang mula mendapat tempat dalam hatinya.
Akif Irham hanya memerhati kelakuan Nuha Qalisya
yang dia rasakan agak pelik malam ini.
“Kenapa awak? Ada yang tak kena ke?” Teguran Akif
Irham membuatkan Nuha Qalisya rasa serba tidak kena.
Mukanya terasa panas. Padan muka kau, Nuha Qalisya! Kalut
tidak bertempat. Sekarang lelaki itu sudah perasan! Dia tergelak
sorang-sorang. Makin keliru wajah Akif Irham.
“Semalam saya ada call minah sorang ni tapi orang
tu sombong. Belum sempat saya perkenalkan diri, talian
diputuskan. Nasib baik ada Maryam. Bolehlah saya mengadu
nasib,” usik lelaki itu. Dia cuba menghidupkan suasana.
“Hahaha…” Nuha Qalisya sudah tergelak sakan. Dia
teringat panggilan daripada mamat misteri itu semalam yang
dijawab acuh tidak acuh gara-gara kerja bertimbun. Mana dia
tahu lelaki itu ialah Akif Irham.
“Awak juga yang salah. Manalah saya kenal siapa awak
kalau awak tak beritahu. Ni tak… Awak, saya ni. Lainlah kalau
saya kenal suara awak. Tak perkenalkan diri pun tak apa,”
sambung Nuha Qalisya lagi. Ketawa mereka berderai. Cepat
saja Nuha Qalisya menutup mulutnya, bimbang ketawanya
mengganggu tetamu lain di ruang lobi Hotel Hilton.
Masing-masing berdiam diri sehinggalah deringan
telefon memecah kesunyian antara mereka. Kelihatan Maryam
dan Zakry Adlan berpegangan tangan menuju ke arah mereka.
Masing-masing berwajah ceria.
“Boleh saya call awak lagi?” Dia meminta izin. Penuh
harapan. Nuha Qalisya mengangguk. Tidak salah memanjangkan
persahabatan. Akif Irham menarik nafas lega.
“Thanks...” Akif Irham berbisik sebelum dia berlalu
pergi bersama-sama Zakry Adlan. Maryam terpinga-pinga.
Adakah dia sudah ketinggalan sesuatu? Matanya dilirik kepada
Nuha Qalisya, minta satu penjelasan dibuat tetapi gadis itu
buat-buat tidak nampak. Menonong saja dia melangkah menuju
ke lif untuk ke basement. Tidak lama kemudian, Honda City
meluncur membelah jalan raya.
“SEMALAM KAU pulang jam berapa?” tanya Afifa macam polis
pencen sebaik saja dia melihat kelibat temannya di ruang dapur.
Ketika dia sampai di rumah Nuha Qalisya semalam, rumah itu
masih bergelap. Nasib baik dia dan Edora mempunyai kunci
sendiri. Jadi, tidak perlulah dia menunggu di luar sehingga dua
temannya itu pulang.
“Mmm… Rasa-rasa aku, jam dua belas tengah
malam kut. Malaslah aku nak kejut kau orang. Aku tengok
kau punya landing baik punya. Kaki kau atas kepala Dora,
kasihan minah tu.” Hampir tergelak dia dan Maryam semalam
sebaik saja masuk ke ruang tamu melihat aksi ganas Afifa.
Afifa tidak membalasnya. Dia hanya tersengih kerana dia tahu
kelemahannya yang satu itu.
Nuha Qalisya terus menyuap nasi goreng ke mulutnya.
Hasil buatannya sendiri. Hanya pagi-pagi minggu saja dia
berkesempatan memahirkan bakat masakannya dan setiap kali
rakan-rakannya bermalam di rumah sewanya, dia kerap kali
dikerah turun ke dapur memasak.
“Nasib baik aku bawa kunci. Kalau tak, sah-sah aku
dengan Dora jadi jaga tak bergajilah semalam. Aku punyalah
marah kat Dora sebab terhegeh-hegeh bawa kereta. Bila sampai
saja kau orang pula tak balik lagi. Apa lagi Mak Cik Dora tu
keluarlah semua skill berleter dia tu.” Nuha Qalisya sudah
tergelak. Matanya dihalakan ke arah Edora yang baru saja
masuk ke ruang dapur.
“Aku dengar nama aku disebut-sebut. Kau orang pun
kalau nak mengumpat, biarlah depan-depan. Tapi aku tak
kesah. Berapa banyak kau umpat aku tadi? Ya Allah, sukanya
aku. Bangun pagi saja terus dapat pahala.”
Bukkk! Tuala yang sebelum ini terletak elok di kepala
Afifa melayang ke arah Edora.
Temannya itu sempat mengelak. Nuha Qalisya sudah
tergelak-gelak. Sejak dulu lagi Afifa dan Edora diibaratkan
kucing dengan anjing. Langsung tidak boleh berdekatan
tetapi jika lama tak berjumpa, pandai pula masing-masing
menghubungi antara satu sama lain.
“Siti Nur Maryam bin Haji Shariff mana?” Tibatiba
Edora bertanya. Nama penuh Maryam dipanggil. Gemar
betul dia mengusik Maryam. Biasanya Maryam ringan tulang
menyediakan sarapan untuk mereka setiap kali bermalam di
rumah itu.
“Weh… Weh... Aku pelik ni. Takkan penangan semalam
belum habis lagi? Sudah-sudahlah Cik Siti Nur Maryam, jomlah
ke dapur, aku tunggu kau ni. Jangan buat-buat sibuk kat bilik
tu. Aku tahu kau sudah lama bangun. Mandi pun dah.” Afifa
melaung nama Maryam. Dia tahu, Maryam cuba mengelak dari
mereka berdua pagi ini kerana gara-gara takut ditanya pasal
dating semalam.
Nuha Qalisya menggeleng kepala melihat kelakuan dua
rakannya. Memang patut pun Maryam tak keluar bilik kerana
nak menghadap mak cik berdua ni memerlukan ketahanan
fizikal dan mental yang bukan sedikit.
“Kau pun... Buat-buatlah bersabar. Kejap lagi keluarlah
dia tu. Takkan dia nak duduk kat bilik sepanjang hari. Dia tak
akan sembunyikan apa-apa dari kita. Kita ni kan ibarat guru
kaunselor dia selama ini. Kau tak ingat, bila dia frust dengan
Zakry dulu? Siapa yang dia cari? Kita juga, kan?” Nuha Qalisya
mengingatkan kedua-dua temannya.
Edora turut mengakui, walaupun kekerapan mereka
berjumpa agak terhad selepas masing-masing memulakan
kerjaya, namun setiap hujung minggu mereka akan berkumpul
di rumah Nuha. Itu janji mereka sejak zaman kanak-kanak
dulu. Mereka akan tetap bersama, tetap mengambil berat antara
satu sama lain walaupun masing-masing sudah mempunyai
kehidupan sendiri nanti.
“Sudah lama aku tak dengar Mar bercerita tentang
Zakry. Kalau tidak, Zakry itu, Zakry ini, sampai naik bernanah
telinga kita mendengarnya. Kau orang jumpa Zakry kat mana?”
soal Afifa.
“Mmm... Si Mar la. Entah macam mana dia call Zakry
tanya resort keluarga dia kat Mersing. Kalau ikut dah bertahun
jugalah dia orang ni tak berhubung satu sama lain. Mungkin
ada jodoh antara mereka kut,” beritahu Nuha Qalisya.
Dia akui Maryam sering mengambil mudah soal jodoh
pertemuan. Baginya, setiap jodoh diatur oleh Allah dengan cara
yang terbaik. Gadis itu tidak pernah mengambil berat andainya
wujud halangan dalam hubungan cinta mereka. Dia mengeluh.
“Kau tahu apa yang aku bimbangkan tentang Mar?”
aju Nuha Qalisya kepada dua rakannya itu. Edora yang baru
mengambil gelas di rak berpaling ke arahnya. Dia melabuhkan
duduk di atas kerusi berhadapan dengan Afifa.
“Aku bimbang tentang umur mereka. Kau kan tahu,
Zakry lebih muda daripada Mar. Kau rasa keluarga Zakry boleh
terima dia ke nanti?”
Nuha Qalisya bimbang Maryam akan kecewa kelak.
Tetapi melihat keceriaan Maryam semalam, dia tidak sanggup
menuturkan kebimbangan itu dan apabila melihat kesungguhan
Zakry Adlan, dia tahu Maryam boleh bergantung harap kepada
lelaki itu.
“Mungkin keluarga Zakry boleh terima. Kalau
tak, mana mungkin dia berani melamar Maryam menjadi
kekasihnya. Kata orang, umur hanya pada angka, yang penting
kau sayang aku… aku sayang kau.” Edora memberi pendapat.
Cepat saja dia memberi laluan kepada Maryam yang
baru tiba ke ruang dapur. Nampak begitu segar dan ceria wajah
itu. Nuha Qalisya mengisyaratkan agar kedua-dua temannya
tidak bertanyakan apa-apa. Biar tuan punya badan yang
memulakan bicara.
Edora menghulurkan nasi goreng kepada Maryam.
Dengan kalimah bismillah, dia menyuap nasi goreng ke
mulutnya. Masing-masing memandang ke arahnya. Maryam
jadi pelik. Satu persatu wajah rakan-rakannya dipandang.
“Kau orang ni dah kenapa? Sudah buang tabiat ke?
Pagi-pagi buat muka macam tu. Depan rezeki, oiii...” sergah
Maryam. Air kopi baru dibancuh Edora tadi diteguk tanpa
sempat Edora menegahnya. Matanya dipejam celik. Panas weh,
jeritnya dalam hati.
“Padan muka gelojoh sangat… Siapa suruh tak tanya
kopi ni panas ke tak? Pakai sebat saja. Hahahah…” Edora sudah
gelak jahat. Maryam sudah buat muka dua puluh sen.
“Siot kau… Tak apa... Tak apa... Hari ni giliran kau, Cik
Dora untuk kenakan aku… Nanti tiba giliran aku, siap kau!”
ugut Maryam. Lidahnya terjelir-jelir. Gamaknya sudah melecur
dek kopi panas yang diminum. Seleranya untuk menghabiskan
nasi goreng di atas pinggan sudah mati. Nasi yang tinggal
separuh itu dibawa ke singki. Dia kembali ke atas kerusinya.
Menyerah nampak?! Nuha Qalisya nampak kepala Afifa sudah
ada tanduk jahat.
“Ehem... Ehemmm…” Tiba-tiba Edora berdehem.
Sakit tekak gamaknya, omel Maryam. Wajah temannya itu
sudah dipandang.
“Ada apa-apa kau orang nak tanya aku? Sebab dari
tadi aku dengar kau orang tak sudah-sudah sebut nama aku,”
soal Maryam. Dia tahu sejak pagi tadi, namanya begitu popular.
Menjadi sebutan dalam kalangan rakan-rakannya. Kini, masingmasing
berlagak serius.
“Aku dan Zakry dah declare sebagai pasangan kekasih.
Aku tahu kau orang takut aku dikecewakan. Kami dah bincang
mengenai perbezaan umur kami dan nampaknya bukan saja
Zakry dapat menerimanya, malah ibu bapanya juga tiada
masalah menerima aku.” Tak sempat mereka bertanya, Maryam
sudah memulakan bicara. Ketiga-tiganya menarik nafas lega.
“Tahniah. Kita dah boleh fikirkan tema untuk majlis
kau nanti.” Edora sudah terlebih teruja mendengarnya.
“Hesy, lambat lagi. Aku nak tunggu kau dulu kahwin
barulah aku boleh fikirkan majlis aku pula,” balas Maryam.
“Aku nak kau orang tahu, aku bangga kerana
mempunyai rakan seperti kau orang yang sentiasa ada untuk
aku sekiranya aku dilanda masalah. Kita berkawan sejak kecil,
jadi aku harap ikatan persaudaraan ini tidak akan terputus
sampai bila-bila. Aku sayang sangat kau orang.” Matanya sudah
berkaca-kaca. Kini, cepat sungguh hatinya tersentuh.
“Aku pun sayang kau… Sayang Ifa, sayang Nuha. Aku
harap suami kita nanti turut berkawan antara satu sama lain.
Anak-anak kita pula boleh menjadi seperti kita. Friends forever
and ever!”
Edora turut sebak. Selama ini dia antara manusia
yang keras hati tetapi kali ini hatinya benar-benar tersentuh.
Mata Edora dihalakan ke arah Nuha Qalisya. Temannya itu
buat-buat tidak mengerti. Antara mereka bertiga, Nuha Qalisya
paling perahsia. Hatinya sukar untuk diduga. Suka memendam
perasaan.
“Sesekali kau kena tunjukkan kelemahan kau. Kita
menangis bukan bermakna kita kalah. Tetapi apabila kita
menangis, kita sebenarnya membina kekuatan diri untuk terus
tabah.”
“Aku tahu. Mungkin kau orang nampak aku banyak
berahsia tetapi dalam hati aku, kau oranglah insan yang paling
aku sayang selain keluarga aku.” Tiba-tiba Nuha Qalisya turut
terasa sebak. Mungkin kerana kejadian yang menimpa dirinya
membuatkan hatinya cepat tersentuh.
“Kami sentiasa ada untuk kau. Kau cuma perlu buka
mulut untuk bercerita kepada kami. Kami sanggup mendengar
apa saja keluhan atau kelukaan kau. Ingat tu, kau adalah
saudara yang paling kami sayangi.” Maryam pula menyampuk.
Dia sudah lama siap.
Nuha Qalisya angguk. Dia bersyukur kerana Allah
mengurniakan kepadanya insan-insan yang berhati luhur
seperti rakan-rakannya itu. Mereka bukan saja rakannya tetapi
saudaranya di dunia dan akhirat.
“Terima kasih… Aku hargainya.”

No comments:

Post a Comment