Thursday, 7 April 2016

ENCIK KUTUB UTARA - BAB 12


Riak wajah Iman Amani yang kelihatan sangat terkejut itu kupandang sekilas sebelum meneruskan kerjaku menyelak halaman demi halaman katalog pakej perkahwinan yang ditawarkan di butik Sweet Bridal milik mama Iman.
            “Macam mana kau boleh kenal dengan Benyamin ni? Sikit pun tak ada cerita dengan aku kan.” Tutur Iman sambil mencebikkan bibir. Buat-buat merajuklah tu.
            “Dia tu anak guam aku.” Jawabku pendek.
            Then?” Soal Iman lagi.
            Then? Then apa?” Soalku semula. Tidak faham dengan soalan yang diutarakan oleh Iman.
            “Haih, kau ni! Yalah, how the love sparks after that? Mestilah ada love story dekat situ.” Jawab Iman sambil tersenyum.
            “Aku tak tahulah nak cerita macam mana.” Balasku jujur. Yalah, takkanlah nak ceritakan pada Iman cerita versi original pula? Mahu pengsan kawan aku yang seorang ini.
            Iman hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Entah apa yang Iman sedang fikirkan.
            “Aku dah cukup terkejut kau nak kahwin dengan Benyamin, designer yang famous lagi terhangat di pasaran tu. Tiba-tiba hari ni kau datang sini bagitahu aku yang kau nak aku handle wedding kau? Hang ni biaq betui!” Riuh mulut comel Iman berceloteh.
            Betui la. Awat, hang ingat cheq main-main ka?” Soalku, mengikut rentak Iman yang seronok menggunakan loghat utara. Iman sempat ketawa kecil sebelum riak wajahnya bertukar serius semula.
            “Tak adalah. Aku ingat mesti Benyamin nak buat wedding dia grand, guna wedding planner yang proper, bukannya bidan terjun macam aku.” Jawab Iman.
            “Bidan terjun uruskan orang kahwin tak apa. Bukannya kau bidan nak sambut orang beranak.” Gurauku.
            “Tak habis-habis nak loyar buruk kan. Tapi, kau betul ke ni? Mesti Benyamin tu ada kenalan ramai yang boleh uruskan wedding korang ni. Baju kahwin kau, mestilah at least Rizalman yang design. Tak pun, dia kenal Tom Abang Saufi ke.” Tambah Iman.
            “Aku dah pakat dengan dia, wedding ni biar aku yang uruskan. Lagipun, Benyamin tu bukannya banyak songeh sangat. Dia pun sibuk nak uruskan hal dekat company yang tergendala sebab dia accident hari tu.” Balasku dan tangan kanan mencapai katalog yang ketiga pula. Ya ke mamat tu tak banyak songeh? Heh!
            I feel honored!” Balas Iman teruja.
            “Kau ni, aku ni bukannya artis.” Balasku dan Iman terus ketawa.
            “Eh, kau tak tahu ke status kau sekarang ni meletop? Retiss kau sekarang ni tahu tak.” Usik Iman sambil tergelak-gelak.
            “Kau pun retiss jugak.” Balasku pula. Iman kelihatan mengerutkan dahinya.
            “Kenapa pulak?” Soal Iman.
            “Yalah, tunang kau, Naim tu kan model yang famous jugak.” Jawabku.
            “Dia yang famous, bukannya aku. Kau lainlah cerita. Keluar paper you.” Balas Iman.
            “Nama kau pun keluar paper jugak. Kan ada this one interview by reporter, Naim mention nama kau. Eh, dia apa khabar sekarang?” Soalku.
            “Aku pun dah lama jugak tak jumpa dia. Dah nak masuk tiga minggu. Dia kata dia sibuk. Yalah, nak manage time untuk both modeling dengan nak handle construction business lagi.” Jawab Iman.
            Keadaan sunyi seketika. Hanya kedengaran suara riuh di dalam butik. Aku menelek jam di pergelangan tangan. Sudah pukul 11 pagi.
            “Kau nak terus pilih pakej ke?” Soal Iman.
            Ha’ah. Wedding pun dah tak lama, tinggal sebulan je. Aku janji dengan Benyamin nak jumpa kat sini waktu ni.” Jawabku sambil anak mata mengintai ke luar butik. Masih tiada bayang Benyamin.
            “Benyamin nak datang sekarang? Awat hang tak habaq awai-awai?” Soal Iman yang sudah kelihatan kelam-kabut.
            “Yang kau kalut semacam ni kenapa pulak? Mestilah dia kena datang sekali. Kan nak tengok pakej ni.” Jawabku.
            “Yalah, tak sempat aku nak bentang red carpet.” Seloroh Iman.
            “Kau ni kan! Ada jugak yang nak kena luku kepala. Aku ingatkan apa benda tadi.” Guraku dan Iman tersengih.
            “Kau cakap kat aku kau nak tema warna pink dengan putih kan?” Soal Iman, kembali serius sambil mencatat sesuatu pada tablet miliknya.
            Ha’ah. Warna tu memang dah confirm.” Jawabku.
            “Benyamin tu suka warna pink ke?” Soal Iman lagi.
            “Suka, suka sangat.” Jawabku sambil tersenyum di dalam hati. Terus aku teringat sms kiriman Muiz, setiausaha Benyamin apabila aku bertanyakan warna apa yang Benyamin tidak suka. Benyamin sangat tidak menyukai warna merah jambu.
            Disebabkan itu juga aku mengambil keputusan untuk menggunakan warna tersebut sebagai warna tema. Yalah, mamat tu nak sangat tengok macam mana aku nak huru-harakan hidup dia. Aku akan buat benda yang dia tak suka.
            “Tu hah, cik adik sayang kau dah sampai.” Beritahu Iman sambil melirikkan matanya ke arah pintu masuk butik. Aku menjegilkan biji mata ke arah Iman. Cik adik? Mentang-mentanglah Benyamin tu muda setahun daripada aku.
             Riuh sedikit keadaan di dalam butik. Masing-masing memandang ke arah Benyamin yang baru melangkah masuk bersama-sama Muiz.
            “Kenapa lambat?” Soalku sambil menjeling ke arah jam dinding.
            Actually Mak Engku nak datang sekali tapi Pak Engku masuk hospital tengah malam tadi. So, saya bawak Muiz untuk hari ni.” Ujar Benyamin. Soalanku tadi dibiar sepi. Isy, dia ni kan!
            “Eh, kenapa berdiri ni? Jemput duduk. Korang sembang berdiri ni macamlah lantai butik ni dah nak runtuh. Sila, sila duduk. Jangan risau, struktur binaan butik ni kukuh.” Tegur Iman yang muncul dengan membawa dulang yang berisi tiga cawan dan jag kecil berisi jus.
            So, inilah Encik Benyamin Ziqri ya? Tak sangka saya dapat jumpa up-close macam ni. Dah macam fan meeting artis dah.” Balas Iman ramah.
            “Eh, janganlah berencik dengan saya. Formal sangat pulak. Panggil Ben je.” Balas Benyamin sambil tersenyum.
            Jap! Mamat ni pandai senyum? Boleh bercakap dengan penuh bersopan santun dengan Iman? Telinga dengan mata aku ni, betul ke dapat berfungsi dengan baik?
            “Eh, lupa pulak nak kenalkan diri. Saya pemilik tak rasmi butik ni. Tak amik fashion design langsung, melukis pun tak reti. Saya cuma take over business mama saya. Nama Iman Amani, boleh panggil Kak Iman.” Balas Iman.
            “Tak apa ke panggil Kak Iman? Atau nak panggil Iman je?” Soal Benyamin sambil memandang ke arahku. Eee…dia ni kan! Ada jugak yang nak kena luku kepala dengan kasut lepas ni.
            “Panggil kak Iman lah. Ben muda setahun kan? Tapi, jangan panggil Nuha ni Kak Nuha pulak.” Usik Iman. Terus aku mencubit kuat lengan Iman. Iman pun dah jadi ahli fan club Ben jugak ke?
            Benyamin hanya ketawa senang. Aku sudah mengerutkan dahi. Dia ni ada dual personality disorder ke? Kenapa dengan Iman dia elok je, bersopan santun. Dengan aku, sopan santun dia dah masuk dalam laut.
            “Nuha bagitahu akak yang you guys nak guna tema warna pink dengan putih.” Ujar Iman, kembali serius menghadap tabletnya.
            Raut wajah Benyamin kelihatan berubah sedikit. Dia memandangku dengan tajam. Muiz yang sedari tadi hanya mendiamkan diri, turut memandang ke arahku dengan dahi yang berkerut seribu. Seolah-olah menghantar isyarat yang bermaksud ; ‘kan saya dah cakap bos saya sangat benci warna pink’.
            Ha’ah. Ben, awak suka warna pink kan? Awak cakap dekat saya hari tu yang warna pink tu lembut je, menyejukkan mata bila tengok.” Ujarku pada Benyamin yang sudah kelat wajahnya. Aku sudah terasa ingin ketawa tetapi sedaya upaya kutahan.
            Hmm…” Balas Benyamin pendek memandangkan Iman sedang memerhatikan kami.
            “Okey. So, kita boleh proceed dengan benda-benda lain. Boleh start dengan baju dulu. Ni ada katalog. Korang pilih je. Cuma, since warna tema putih dengan pink, baju pengantin nak warna pink atau putih?” Soal Iman sambil memandang ke arah aku dan Benyamin.
            Pink!” Pantas aku menjawab.
            “Putih!” Jawab Benyamin pula.
            Iman sudah mengerutkan dahi. Dia menggaru-garu dahinya sendiri.
            “Korang nak warna putih atau pink ni?” Soal Iman lagi.
            Aku saling berpandangan dengan Benyamin. Masing-masing sedang mengetap bibir.
            “Putih. Takut kalau saya pakai warna pink, orang cakap saya lagi lawa dari Nuha pulak.” Jawab Benyamin dengan tawa yang dibuat-buat.
            “Eh, saya tak kisah kalau orang cakap awak lagi lawa. Mesti bangga saya dengar nanti.” Balasku, tidak mahu kalah dengan mamat yang tidak berperasaan ini.
            Aku sempat memandang ke arah Muiz yang sedari tadi tidak senang duduk. Seolah-olah sedang duduk di atas bara api.
            “Macam ni lah. Akak nak bagi suggestion dekat korang. Rasanya kalau untuk korang yang berkulit putih bersih ni, lagi cantik kalau pakai warna putih. Pink pun okey jugak, Cuma warna putih akan bagi impak yang lagi awesome bila dalam gambar nanti. Nampak suci je. Nampak bersih.” Sampuk Iman.
            Aku terdiam lama. Kalau dah Iman yang lebih pakar berkata sedemikian, takkanlah aku nak degil pulak kan? Yalah, aku pun tak naklah merosakkan majlis perkahwinan aku sendiri.
            “Okeylah, putih will do.” Balasku, mengalah. Anak mataku sempat menangkap reaksi Benyamin yang tersenyum menang. Dengan senang hati, dia menyelak katalog busana pengantin di atas meja.
            “Iman.”Panggilku, berbisik. Iman terus mendekatkan kepalanya ke arahku.
            “Nanti baju Ben, kau buat lengan baju dia tu sebelah panjang, sebelah lagi pendek tau.” Bisikku perlahan, risau jika Benyamin yang duduk berhadapan dengan kami dapat mendengar.
            “Hah? Kenapa pulak? Tu macam baju orang sewel.” Balas Iman, berbisik juga.
            “Sebab dia sewellah aku request kau buat macam tu.” Balasku. Iman mengerutkan dahinya, tidak faham.
            “Nuha.” Panggil Benyamin. Aku terus memandang ke arahnya yang kelihatan ingin menunjukkan sesuatu.
            Design yang ini cantik kan, sayang.” Balas Benyamin selamba. Iman terus memandang ke arahku dengan senyuman mengusik.
Sayang? Huh! Pandainya berlakon. Aku ni, dah rasa macam nak suruh Iman pastikan baju kahwin mamat sengal ni berlubang-lubang macam jala ikan tu. Namun, melihatkan reaksi Iman, aku tak yakin yang Iman nak bekerjasama denganku. Macam mana ni?


No comments:

Post a Comment