Tuesday, 5 April 2016

RAFIQUE'S GIRL - BAB 6





“Cantiknya tempat ni, Fika...” puji Dhamira sambil mata meliar ke sekeliling. “Aku boleh nampak potential tempat ni...”

Puas hati Shafika. “Kan? Ibu dengan abi aku pun suka. Kedai ni strategik. Dahlah aku dapat tempat kat tingkat bawah dalam mall ni... Untung aku, kan? Penyewa kedai ni dulu dah pindah. Bila ejen hartanah tu beritahu aku, terus aku grab!”

Mereka berdua saling berpegangan tangan di tengah-tengah kedai yang telah dikosongkan ini.

“Bila pindah?”

“Tunggu lepas renovate...”

“Assalamualaikum...”

Spontan kepala Shafika dan Dhamira berpaling. Mati senyuman di wajah Dhamira. Namun salam yang diberi, dibalas jua.

Lama mata Rafique tertancap ke wajah Dhamira. Sudah lebih seminggu sesi makan malam di kedai mamak berlalu. Ini kali pertama mereka bertemu kembali sejak malam itu. Seperti malam itu, gadis itu santai mengenakan jean berwarna biru tua dan baju-T yang berganda besarnya daripada saiz tubuhnya. ‘Minah ni memang sempoi... Tak perlu nak berhias bagai’. Dan sekali lagi, rambutnya disanggul tinggi.

Shafika berdeham kecil. Menarik tangan Dhamira agar mengikut langkahnya.

“Ha baguslah along dah sampai. Along dah baca kontrak tu? Okey tak?”

Rafique menyerahkan sampul surat bersaiz A4 berwarna coklat kepada Shafika. “Along dah baca. Perjanjian tenancy tu okey. Takde apa-apa terma yang melampau. Quite standard. Along rasa Fika boleh sign je...”

Lega hati Shafika. Rasa amat berterima kasih kepada abangnya ini kerana sudi membantu. Sesungguhnya Rafique amat arif dalam hal-hal komersial seperti ini. Pengalamannya sangat luas.

Thanks, long... I owe you one... Nanti kalau along nak kahwin, Fika jahitkan baju kahwin untuk along, okey? FOC!”

Koyak senyuman kecil di bibir Rafique sebelum pantas dia menyembunyikannya.

Beb, jom celebrate! Aku belanja...” ajak Shafika.

“Jom!” balas Dhamira dengan nada girang. Bersinar matanya.

“Hai, nak belanja kawan dia sorang je ke? Along ni?” sindir Rafique.

Dhamira memandang wajah abang temannya ini. Semedangnya serius. Tak reti senyum ke mamat ni?

Alaaa... mestilah Fika nak ajak along sekali...” Shafika mengerling ke wajah Dhamira. Laaa.... kenapa tiba-tiba kelat semacam je tu?

‘Sibuk je!’ gerutu Dhamira di dalam hati. ‘Orang nak makan pun tak senang! Kalau dia tenung-tenung aku macam sebelum ni, aku akan cucuk biji mata dia!’

“Okey, jom! Nanti biar wakil mall tadi kunci pintu kedai ni!” Shafika menarik lengan Dhamira. Mengatur langkah keluar dari ruang kedai yang akan menjadi tempat bermulanya segala mimpi dan harapan. Insya-Allah...

Tengah berjalan, nada lagu Rude nyanyian Magic kedengaran. Dhamira menyeluk saku seluar jeannya.

“Helo, Boy...”

Rafique berjalan sedikit laju mendekati Dhamira dan Shafika di depannya. Ingin mencuri perbualan gadis itu dengan si pemain gitar.

“Baru nak makan dengan Fika kat mall...” tutur Dhamira. “Brad dah okey ke?” soalnya pula. Ingin mengetahui perkembangan tentang Bradley Coopernya yang dihantar ke pusat servis.

“Mestilah tanya pasal Brad. He is my life!”

Belakang tubuh Dhamira direnung tajam. Agaknya kalau matanya sebutir peluru, tubuh Dhamira pasti sudah tertebuk dari belakang.

Rafique mendengar si gadis ketawa. “Kalau kena pilih antara Brad dengan Boy, mestilah pilih Brad...”

Hai, sabarnya si Danial! Kalaulah dia di tempat Danial, jangan harap dia akan menahan sabar mendengar teman wanita sendiri berbicara tentang lelaki lain di hadapannya. Jangan harap dia akan benarkan. Secara berjenaka pun tidak boleh! Tidak boleh!

“Okey, Boy. Hmmm, ya. Tahu. See you soon. Babai...” Dhamira mematikan talian. Telefon bimbit dikembalikan ke dalam kocek.

Langkah Shafika menghala ke arah restoran Manhattan Fish Market. Dia berdiri di tepi bahagian luar pintu masuk untuk menunggu pelayan membawa mereka ke tempat duduk di dalam restoran. Namun melihat kelibat lelaki dan wanita yang berjalan seiring ingin keluar dari restoran yang sama, Shafika menjadi panik. Dia berpaling. Ingin menarik tangan Dhamira dan lari.

Dhamira yang masih tidak menyedari apa yang telah membuat Shafika jadi kejang seperti itu memandang temannya dengan wajah yang berkerut. “Kau kenapa?”

“Aku... aku...” tergagap-gagap Shafika jadinya. Rafique turut hairan melihat wajah Shafika yang sudah kehilangan darah.

Well, well, well... look who’s here...”

Sudah terlambat...

Mendengar suara meleret itu sahaja cukup bagi Dhamira. Tahulah dia mengapa Shafika bereaksi sebegitu kerana dia kini turut mengalami sindrom yang sama. Perlahan-lahan dia berpaling. Wajah cuba dimaniskan. ‘You can do this, Mira!’

“Apa khabar, kak?” Tidak banyak yang berubah dengan Damia walaupun sudah lama mereka tidak berjumpa. Masih seksi, masih cantik, masih langsing dan masih memandangnya dengan mata yang tidak pernah ada rasa kasih, tidak pernah ada rasa sayang... Matanya kini berkalih ke wajah lelaki yang berdiri di sebelah kakaknya. Dia sekadar mengangguk tanda hormat.

“Ni Fika, kan?” soal Damia tanpa menjawab soalan Dhamira. Jari dilayangkan ke arah Shafika.

“Haah...”

Shafika menghulurkan tangan. Nampak sangat terpaksa. Tiada senyuman mengiringi huluran tangannya.

‘Okey... this is so weird,’ fikir Rafique. Mula-mula adiknya pucat dan beku. Kemudian Dhamira pula berubah kaku sebelum mengukirkan senyuman yang cukup plastik. Dan pasangan ini? ‘Hmmm... kenapa aku dapat rasa yang perempuan ni macam tak suka dengan Dhamira?’

“Yang ni pulak, siapa?” Damia menjeling ke arah Rafique. Rafique kenal akan maksud jelingan itu. Dia bukan bodoh. ‘Hai, dah ada lelaki kat sebelah pun nak goda aku lagi ke?’

“Tu abang saya, Rafique... dia bakal suami Mira...” jawab Shafika dengan nada yakin.

Kepala Dhamira berpusing sembilan puluh darjah. What??

Shafika tidak menghiraukan pandangan tidak percaya yang dilontarkan temannya kerana dia sedang cuba menangkap mata abangnya. Abangnya yang bereaksi sama seperti Dhamira. Tajam mata Rafique menikam ke mata Shafika. What the heck?

‘Tolong, long... Sekali ni je... tolonglah...’ rayu Shafika dalam diam. Mata Rafique berlabuh pula ke wajah Dhamira yang lesu mengalahkan mayat. Rafique mengangguk apabila menyedari permintaan daripada si adik. Cukup sekali namun cukup memberikan kelegaan kepada Shafika.

“Along, ni Damia, kakak Mira dan sebelah dia Kuzim, suami Damia...”

“Apa khabar?” Rafique menghulurkan tangan ke arah lelaki di hadapannya. Langsung tidak menidakkan kata-kata Shafika ketika memperkenalkannya tadi.

Berubah wajah Damia. Kelat dan terkejut sebelum senyuman manis dilayangkan. “Bakal suami ya? Hmmm... not bad... pandai kau cari, Mira...” puji Damia tidak ikhlas. Not bad? Okey, memang bohong. Melihat lelaki yang berkemeja putih Giorgio Armani dengan lengan baju terlipat hingga ke siku cukup menampakkan bahawa bakal suami Dhamira ini bukan calang-calang orangnya. Damia, dengan kasut bertumit empat inci pun berdiri pada ketinggian 5 kaki 11 inci namun lelaki ini, jelas lebih tinggi daripadanya. Pasti melebihi enam kaki. Dan wajahnya? Wajahnya bisa membuat air liurnya meleleh...

“Mira apa khabar?” soal Kuzim lembut. Pantas kepala Damia berpaling ke arah suaminya. Matanya dijegilkan. Kuzim buat-buat tidak nampak.

Dhamira cuba mengorak senyum. “Baik, Alhamdulillah... Abang sihat?”

Kuzim mengangguk. “Mira tak berubah nampaknya. You haven’t aged... Nampak muda sama macam masa kat kolej dulu...”

Dhamira tersenyum tawar. Damia mencebik.

“Bila nak langsungnya?” soal Kuzim lagi.

Dhamira menoleh ke sisi. Mencari wajah Rafique. Takut sebenarnya hendak melihat wajah itu. Rasa terkejutnya kerana lelaki itu langsung tidak menidakkan statusnya sebagai bakal suaminya masih bersisa. Kenapa dia tidak membantah kata-kata Shafika tadi?

“Secepat yang mungkin...” balas Rafique. Menghantar renungan yang cukup lunak ke arah Dhamira. Terkedu Dhamira jadinya. Namun suatu perasaan yang tidak dapat dicernakan mengetuk hatinya tatkala matanya bertaut dengan sepasang mata Rafique.

How wonderful!” jerit Damia. Konon teruja. “But a word of advice to you...” Damia mengerling ke arah Rafique. “Ambik masa untuk betul-betul kenal dengan Mira ni, sebab dia ni kurang matang sikit... Still childish at her age...” Damia ketawa. “Jangan kecik hati, Mira. You know I’m right...”

Rafique memandang ke wajah Dhamira. ‘God! She looks so hurt...’ Dan kenyataan itu membuat hatinya sakit. Sangat-sangat sakit.

“Sayang... stop it...” Kuzim bersuara. Wajahnya diulit rasa kesal. Kesal dengan perangai si isteri yang tidak pernah mahu berbaik-baik dengan adik-beradik sendiri. Sehingga kini dia masih tidak tahu mengapa Damia begitu membenci adik-adiknya sendiri, terutamanya Dhamira.

Dhamira tunduk. Hatinya sakit. Walaupun dia seharusnya sudah biasa dengan perangai kakaknya yang tidak akan melepaskan peluang untuk menjatuhkannya atau menyindirnya secara halus, terutamanya di khalayak ramai, hatinya masih bisa tergores. Namun dia sebenarnya lebih rasa sakit kerana panggilan ‘sayang’ itu pernah digunakan untuknya oleh lelaki yang sama. Suatu waktu dahulu...

Thanks for the warning... tapi saya tak perlukannya...” Dalam suara Rafique. Dalam dan lembut, selembut pandangan yang singgah di wajah Dhamira. Dhamira mengangkat wajah. Berdetup jantungnya menerima renungan daripada Rafique. Rafique tersenyum. Sumpah! Ini mungkin kali pertama lelaki itu tersenyum padanya. Allah... manisnya... Dhamira terpanar.

“Mira bukan tidak matang, tapi dia manja... Mira bukan childish, tapi dia lembut... dan orang yang hati keras macam saya ni amat perlukan sifat manja dan kelembutan itu dalam hidupnya. Biarlah saya seorang saja yang matang, sebab nanti saya akan lebih pandai memanjakannya... dan biarlah kalau orang anggap Mira ni childish, sebab nanti saya juga yang akan melayan kerenahnya...”

Terbuntang mata Shafika tidak percaya! Walawei... Shafique!!! Is this our mamat sejuk beku?

Speechless... Dhamira kelu tidak mampu berkata-kata. Hanya matanya memancarkan ucap kata penuh terima kasih kepada Rafique kerana telah membelanya. Pada saat Danial tiada untuk melindunginya daripada lidah berbisa Damia, Rafique telah menuturkan kata-kata yang boleh buat dia jatuh pengsan. Padahal, bukan dia tidak kenal dengan sikap dan perangai Rafique. Arif dia dengan lelaki yang digelar mamat sejuk beku oleh Shafika itu. Cuma selama Shafika bercerita tentang abangnya, dia tidak pernah sekalipun berjumpa dengan lelaki itu. Dan setelah mengetahui bahawa Rafique inilah mamat sejuk beku yang dimaksudkan Shafika, dia tidak pernah menyangka yang lelaki itu sanggup mempertahankannya seperti tadi...

Rasa menyampah dan iri hati mula menular ke seluruh tubuh Damia. Selama ini, dia hidup dengan cukup bahagia tatkala menyedari dirinya berjaya mengalahkan Dhamira dengan berkahwin dengan Kuzim. Dia tahu kerana dirinya, adiknya jatuh tersungkur. Hakikat yang membuat kehidupannya dirasakan cukup sempurna. Tapi hari ini? Kenapa dia rasakan yang bakal suami adiknya ini serba-serbi lebih hebat daripada Kuzim?

Damia buat-buat ketawa. Terlerai pautan mata antara Dhamira dengan Rafique.

“Baiknya you... sekarang mestilah semua pun suka... tapi bila dah kahwin nanti, don’t say I didn’t warn you...” sindir Damia masih tidak puas hati.

“Insya-Allah, saya takkan menyesal... saya pun tak perfect mana... tapi saya percaya, apa yang orang lain anggap sebagai kelemahan Mira ni, akan saya jadikan kekuatan saya...”

“Baguslah kalau macam tu... bila dah dapat tarikh nanti, jangan lupa ajak kita orang ni, ya?” Kuzim menyampuk. Isterinya dikerling. Tidak mahu isterinya menuturkan kata-kata lain yang akan lebih menyakiti Dhamira. Sesungguhnya Dhamira terlalu baik untuk disakiti. Dhamira tidak bersalah dan tidak layak disakiti. Yang salah hanyalah dia dan Damia. Dia mengeluh kesal di dalam hati. Terserempak dengan Dhamira begini membuatkan suara-suara yang telah lama berbisik di hatinya menjadi kian jelas dan nyata. Suara yang berkata bahawa dia telah tersalah memilih kaca, kerana sinaran kaca yang begitu memukau ketika itu, telah mengaburi pandangan matanya pada sinaran permata yang nampak seperti malap, tetapi mampu bersinar dengan begitu terang jika seseorang itu tahu bagaimana hendak menggilapnya. Dan rupa-rupanya si penggilap itu bernama Rafique...

Of course...” balas Rafique.

Damia memaut lengan suaminya. Tubuhnya dilentok manja. Sengaja. Tahu yang Dhamira tidak akan mampu melakukan perkara yang sama dengan bekas kekasihnya yang kini sudah berubah status kepada abang ipar.

“Okey, kita orang jalan dulu... you all baru nak makan kan? Well, enjoy your lunch, ya! Mira, jangan makan banyak sangat, nanti tak muat nak pakai baju pengantin... Kang tak pasal-pasal kena tinggal!” Pecah tawa Damia. Kedengaran agak bingit di telinga Dhamira.

Shafika mengambil satu langkah ke hadapan. Rasa nak bagi pelempang je kat minah mulut longkang ni... Yang menahannya ialah wajah menyinga Rafique di sebelah Dhamira. Tahu dia bahawa paras kesabaran abangnya sudah sampai ke penghujung. ‘Matilah kau, minah! Tunggu jelah ayat sejuk beku yang mampu membunuh sel-sel otak bimbo kau tu!’

“Damia!” kuat suara Kuzim.

Alaaa... I gurau jelah...” rengek Damia.

Rafique tersenyum senget. Matanya tajam membelah ke wajah Damia. “Selama ni, jenuh mulut saya pujuk Mira untuk makan banyak sikit sebab sekarang ni pun saya rasa Mira ni terlampau kecik...” Bayangan tubuh Dhamira yang ramping seperti kerengga memakai kebaya berwarna merah hati terlayar di ruang mata. “Personally, saya memang suka pompuan yang berisi. Nampak lagi sihat dan lagi berseri. Nak peluk lepas kahwin nanti pun mesti lagi best, kan? Taklah rasa macam peluk rangka mayat je...” Jeda. Matanya sengaja dilirik dari kepala ke kasut Salvatore Ferragamo di kaki Damia sebelum berlabuh kembali ke wajah perempuan itu. “Maybe you should try eating a bit more... Kesian kat suami you dapat peluk rangka je...”

Okey, tengok muka Damia sekarang memang priceless! Macam tercekik biji nangka. Mukanya masam, tak usah nak sebutlah. Kalah cuka! Cuka yang direndam semalaman dengan asam boi pun pasti akan kalah. Shafika seakan tidak dapat menahan tawanya. Boleh tak kalau dia nak peluk dan cium abang dia sekarang jugak? I sooooo love my mamat sejuk beku!

Kuzim hanya diam. Tidak mahu membela isterinya kerana sudah tiba masanya Damia diajar. Kalau secara lembut tidak berjaya, mungkin dengan cara sinis dan sindiran begini. Manalah tahu?

“Huh!” dengus Damia. “Jom, sayang... kita dah lambat ni...” Lengan Kuzim ditarik kuat. Tidak sempat untuk Kuzim bersalam dengan Rafique pun.

Namun seketika kemudian langkah kaki Damia terhenti. Dia menelan liur. Wajah tegang Danial yang berdiri beberapa meter di sebelah kanan mereka membuat dia sedikit menggigil. Nama saja kakak sulung tapi sebenarnya dia takut sangat dengan Danial. Dia mungkin boleh membuli Dhamira, tetapi dia tidak pernah dapat mematahkan Danial.

“Hidup lagi korang berdua ni rupanya...” sinis Danial berkata-kata. “Ingatkan dah mampus!”

“Boy!” tegur Dhamira keras. Dia tidak suka Danial bersikap kurang ajar begitu. Damia tetap darah daging mereka.

Rafique memandang ke arah Shafika. Jelas meminta penjelasan. Shafika hanya mampu menghantar isyarat. ‘Not now, long...’

Danial tidak mengendahkan teguran Dhamira. Hatinya sakit. Melihat Damia berkepit begini dengan Kuzim tanpa sedikit pun rasa bersalah membuat kesakitan yang dirasakan dulu, hadir mencucuk-cucuk semula.

“Apa khabar, Boy?” soal Kuzim penuh sopan. Riak benci yang terpamer di wajah Danial ditelan penuh sabar.

‘Eh, dia pun panggil si Danial ni ‘Boy’?’ bisik Rafique di dalam hati. ‘Bukan panggilan tu eksklusif untuk Mira je ke?’ Dia semakin keliru. Pada malam mereka menjamu selera di kedai mamak tempoh hari, dia tidak perasan sama ada Shafika atau Shafique memanggil Danial dengan panggilan ‘Boy’ kerana mereka sering beraku-engkau sahaja.

Danial langsung tidak menghiraukan tangan yang dihulurkan abang iparnya itu. Darah sedang menggelegak. Tunggu nak meletup sahaja. Terngiang-ngiang di telinga perbualan mereka berempat di luar restoran Manhattan Fish Market ini, terutamanya kata-kata tajam kakak sulungnya yang ditujukan kepada Dhamira. Dia yang berdiri di tepi langsung tidak dipandang. Maka mudah untuknya mendengar semuanya.

“Tak penting untuk kau tahu!” balas Danial kurang ajar.

Sekali lagi Damia menarik tangan Kuzim. “Jomlah, sayang... Tak payah kisah dengan budak kurang ajar ni...”

“Ya, betul. Jangan kisahkan budak kurang ajar macam aku ni. Baik korang blah sebelum satu mall ni aku bakar...”

Kuzim mengeluh. Dalam penuh keterpaksaan, dia membiarkan dirinya ditarik Damia. ‘Maafkan aku, Boy. Maafkan aku...’

Danial menoleh. Mencerlung matanya memanah ke arah Dhamira. Laju langkahnya mendekati Dhamira sebelum lengan kakaknya dicengkam kuat. Dia menarik Dhamira agar mengikutnya. Ingin meletakkan sedikit jarak antara mereka berdua dengan Shafika dan Rafique.

Muka Dhamira yang berkerut menahan sakit membuat Rafique hilang sabar. Pantang dirinya melihat seorang gadis dikasari. Terbit rasa ingin melindungi. Rasa yang tidak pernah wujud sebelum ini. Dia ingin melangkah mendekati Danial, namun pantas dihalang Shafika. “Jangan, long... biarkan diaorang berdua...”

Rafique mendengus. Marah. Hati bertambah sakit melihat Danial yang jelas sedang memarahi gadis itu. Namun butir percakapan Danial tidak mampu ditangkap telinganya daripada jarak ini. Dhamira hanya tunduk menekur lantai. Sekalipun dia tidak mencelah.

Sudahnya, Danial menarik Dhamira kembali mendekati Shafika serta Rafique. “Aku bawak Mira balik dulu...”

Shafika mengangguk walaupun sedar mereka masih belum sempat makan tengah hari lagi.

“Jumpa aku malam nanti. Bawak Shaf. Tempat biasa. Lepas maghrib,” laju Danial melemparkan arahan. Wajah Rafique yang tegang dikerling sekilas. Ada perkara yang ingin disampaikan kepada lelaki itu, tapi nanti-nantilah dulu.

Dhamira hanya tunduk. Tidak bersuara. Telinga masih pedih mendengar bebelan dan syarahan adiknya tadi. Sesungguhnya, jika Danial tengah marah, lebih baik diam. Lebih cepat suhu adiknya turun nanti. Dia sudah lali dengan perangai Danial.

Hilang sahaja Dhamira dan Danial daripada pandangan, Rafique mencari anak mata adiknya.

Shafika mengeluh. “Sorry, long... terpaksa libatkan along dalam hal ni... Tapi apa yang keluar dari mulut Fika tadi tak dirancang pun. Meluncur macam tu je... But thank you for playing along... si Damia tu memang patut kena ajar...”

“Apa hal sebenarnya ni?” soal Rafique dengan wajah yang tegang. Wajah Dhamira yang sedih sebelum dibawa pergi oleh Danial tadi masih segar di ingatannya. “Kenapa guna nama along dan bukan si Danial tu tadi? Danial kan boyfriend Mira tu? Takkan kakak Mira tak tahu yang Danial tu kekasih Mira?”

Sorry, long. Fika tak boleh nak cakap apa-apa. Mungkin someday soon along akan tahu jugak...”

Rafique tidak berpuas hati namun dia tidak mendesak. Walaupun seribu macam soalan berlegar di mindanya, dia sedar bahawa Shafika tentunya memegang amanah seseorang. Dan seseorang itu tentunya Dhamira. Maka, biarlah dulu... walaupun hati meronta-ronta ingin tahu...


No comments:

Post a Comment