Thursday, 12 May 2016

Demi Bahagia Ini - Bab1

“KALAU Ina tak mahu dengar cakap papa, papa
nak Ina keluar dari rumah ni! Tapi ingat, sekali Ina keluar dari
rumah ni, Ina bukan anak papa lagi!”
Ugutan dan dengusan keras Tan Sri Ali Saifuddin
bin Ali Sarafuddin membuat Qistina tersentak. Air mata yang
sedari tadi mengalir, kini tersembur semakin deras, tidak dapat
dibendung lagi. Sampai hati papanya membuat ugutan sebegitu
terhadapnya. Sampai hati papa...
Puan Sri Ani Suraya binti Muda turut menangis.
Tidak sangka suaminya tergamak mengeluarkan kata-kata
menidakkan hak Qistina untuk mengaku Tan Sri Ali Saifuddin
sebagai bapa kandungnya. Walaupun hatinya marah terhadap
kedegilan anak bongsunya itu, tidaklah sampai hendak
dihalaunya anak itu. Qistina masih darah dagingnya. Masih
anaknya. Dia pasti dengan pujukan demi pujukan, hati Qistina
akan lembut jua.
“Apa papanya cakap ni?” Puan Sri Ani Suraya mahukan
kepastian.
Tangisan Qistina semakin kuat. Bahunya terhenjuthenjut
dek tangisannya itu. Sayu hati si ibu melihat anaknya
menangis begitu.
“Saya dah hilang sabar dah dengan anak awak ni. Biar
dia keluar dari rumah ni, degil sangat tak nak dengar cakap
orang. Kalau ingat dah bijak sangat, pergi hidup sendiri. Papa
tak nak tengok muka Ina lagi!” Bersama kata-kata itu, Tan Sri
Ali Saifuddin berlalu meninggalkan ruang tamu rumah banglo
mewah tiga tingkat itu.
Qistina berhenti menangis ketika melihat papanya
berlalu. Hatinya sakit mendengar kata-kata papanya tadi.
Namun Qistina pasti dengan keputusannya. Dalam hati, dia
berdoa agar keputusannya tidak akan membuatkan dirinya
tergolong dalam kalangan anak yang derhaka. Mana mungkin
dia bisa digelar sebegitu sedangkan apa yang dipilih papa untuk
dirinya tidak menepati suruhan agama.
Qistina memalingkan mukanya dan menatap wajah
bondanya. Dia menghampiri ibunya yang masih kelihatan
terkejut dengan kata dua papanya tadi. Dipeluk ibunya itu
semahu hatinya.
“Mama, relakan Ina pergi. Maafkan Ina sebab tak
sanggup tunaikan permintaan mama dan papa.” Serak suara
Qistina memohon keampunan daripada ibunya. Puan Sri Ani
Suraya membalas pelukan anaknya itu. Sesuatu yang jarangjarang
dilakukannya. Apatah lagi anaknya kini sudah menginjak
dewasa.
“Ina, jangan pergi, sayang. Ikut jelah apa yang papa
suruh tu. Mama tak sanggup kehilangan Ina.” Rayuan Puan Sri
Ani Suraya sungguh merenggut hati halus Qistina. Direnungnya
wajah ibunya dalam-dalam seolah-olah itulah kali terakhir dia
akan menatap wajah ibunya itu.
“Ina tak boleh mama. Please understand. Ina doa
suatu hari nanti mama dan papa akan dapat terima Ina kembali.
Ina terpaksa pergi, mama. Ampunkan semua dosa Ina, mama.
Halalkan makan minum Ina selama ni. Ina akan selalu doakan
mama dan papa.”
Qistina melepaskan pelukan ibunya dan menyeka
air mata ibunya itu. Dikucupnya kedua-dua pipi Puan Sri Ani
Suraya. Tangan kanan si ibu digenggam dan dikucup. Dengan
perlahan, Qistina melepaskan genggaman. Dicapainya beg
galas Nike di atas sofa dan tanpa berpaling lagi Qistina keluar
meninggalkan rumah. Dia langsung tidak berniat mengemaskan
barangnya atau mengambil apa-apa dari kamar tidurnya. Apa
yang dia perlukan semuanya ada di dalam beg galas itu. Sudah
memadai baginya.
Panggilan dan tangisan si ibu tidak dipedulikan
lagi. Kakinya terus melangkah. Syukur malam masih muda.
Hati tidak terlalu risau mengenangkan dirinya yang berjalan
keseorangan. Kenderaan masih banyak yang lalu-lalang di jalan
raya. Hilang sedikit kegusaran di hatinya ditemani hiruk-pikuk
deruan enjin di jalan raya.
Qistina tahu ke mana harus dituju. Dia hanya perlu
meredah jalan sejauh satu kilometer sebelum bertembung
dengan jalan utama. Di jalan utama nanti, lagi mudah untuk
mendapatkan teksi bagi menyambung perjalanannya.
Tercungap-cungap Qistina berjalan. Dia mahu lekas
sampai ke jalan utama. Takut terlalu lewat sampai ke rumah
sahabat sejatinya.
‘Ya Allah. Biarlah Timah ada di rumah. Aku tak tau
lagi ke mana hendak aku tuju kalau Timah takde nanti.’ Qistina
tidak mahu menelefon Timah mengkhabarkan kedatangannya.
Dia tidak mahu Timah menghubungi sesiapa sehinggalah dia
selamat sampai ke rumah Timah. Biarlah kedatangannya ini
dirahsiakan. Qistina pasti Timah akan menyimpan rahsianya
apabila dia mendengar segala cerita daripada A-Z sebentar nanti.

PANGGILAN SALAM Qistina bersambut. Qistina melepaskan
nafas panjang. Lega dia mendengar Timah menjawab salamnya.
Pintu flat dibuka. Timah terkejut melihat Qistina berdiri di
muka pintu dengan mata yang sembap dan bengkak.
“Ina, kenapa ni? Kau okey ke?” Timah pantas
mendapatkan Qistina. Dipeluknya Qistina sekejap sebelum
menarik Qistina masuk ke dalam rumah. Pintu flat dikunci.
Qistina melabuhkan punggungnya di atas kusyen
kerusi rotan di ruang tamu kecil, flat tumpangan Timah. Beg
galas Nike yang sedari tadi tersangkut di bahu, diletakkan
perlahan di atas lantai. Timah duduk bersebelahan kawannya
itu dengan wajah penuh kehairanan.
“Kau lari dari rumah ke, Ina?” Timah cuba meneka.
Tapi takkan lari dari rumah dengan beg galas je. Fikir Timah
sendirian.
“Aku tak lari, Tim. Aku kena halau…” Perlahan
suara Qistina menjawab pertanyaan Timah. Timah menarik
nafas. Terkejut betul dia mendengar balasan Qistina. Matanya
membulat dan mulutnya ternganga.
“Tim, tutup mulut tu. Nanti masuk lalat.” Sempat
Qistina berjenaka. Mungkin dengan berjenaka, dia dapat
menutup kesedihan yang dirasakan ketika ini. Timah geram
lalu dicubitnya lengan Qistina. Boleh pula dia bergurau pada
waktu-waktu begini.
“Kau nak cerita pada aku ke atau kau nak tunggu aku
tanya?” Sinis Timah bertanya.
Qistina memandang sayu kawannya. Inilah kawannya
sejak Qistina berumur empat tahun dan Timah berumur
lima tahun. Bermain pasir bersama, bermain masak-masak
bersama dan menangis bersama. Inilah juga teman gaduhnya.
Terkadang bergaduh sehingga menangis. Ibu Timahlah yang
akan memujuk mereka agar berbaik kembali.
“Hei, Timah. Kenapa nama kau Timah dan bukan
Fatimah macam orang lain?” Soalan itu mungkin yang ke
seribu kali ditanya oleh Qistina untuk menaikkan amarah
temannya itu. Bukan Qistina tidak tahu mengapa nama Timah
diberikan sedemikian. Sudah seribu kali juga Timah memberi
jawapan. Sengaja dia mahu mengambil sedikit masa sebelum
memulakan langkah penceritaannya.
Timah mendengus. Dia sudah tidak sabar-sabar
mendengar penjelasan daripada Qistina tetapi Qistina sengaja
melengah-lengahkan menjawab soalannya tadi.
“Kau ni memang nak kena dengan aku, kan?” Timah
sudah mula menyinsing lengan bajunya. Qistina mengeluh
kecil.
“Kalau ya pun, ambiklah segelas air untuk aku minum
dulu. Kau tak nampak ke aku penat gila ni? Kering tekak aku
ni tau tak? Apa punya tuan rumah pun tak tahulah…” Qistina
menggumam sambil menggelengkan kepalanya.
“Yelah, yelah! Mengada-ngada!” Timah bangun lalu
menapak menuju ke dapur. Qistina tersenyum memikirkan
hubungan antara dirinya dengan Timah. Dia lebih rapat dengan
Timah berbanding dengan abang dan kakak kandungnya sendiri.
Qistina bersandar di kerusi rotan menantikan hidangan
air daripada Timah. Dia memejamkan matanya sebentar. Tibatiba
terasa teramat rindu kepada Mak Esah dan Pak Atan, ibu
dan bapa Timah, yang kini menetap di Tapah, Perak. Mak Esah
merupakan orang gaji kepada kedua orang tua Qistina selama
lebih dua puluh tahun manakala Pak Atan pula merupakan
bekas pemandu papanya. Semasa Qistina dilahirkan, Mak
Esahlah yang telah menjaga dan mengasuhnya, sehinggalah
Mak Esah berhenti kerja ketika Qistina berumur sembilan belas
tahun.
Mak Esahlah menjadi peneman dan pendengar setia
kepada keluh kesah Qistina, yang sentiasa sunyi bertapa seorang
diri di dalam banglo mewah yang baru ditinggalkan sebentar
tadi. Rindu dengan air tangan Mak Esah, rindu kepada pujukan
dan belaian Mak Esah. Rindu serindu-rindunya kepada seorang
yang dianggap sebagai ibu angkatnya itu.
Qistina membuka mata setelah derapan tapak kaki
Timah kedengaran. Dia membawa dulang berisi dua gelas air
oren. Timah kembali duduk di sebelah Qistina.
“Hah, minum! Air kosong je…” Pelawa Timah kasar.
“Air kosong je? Kesian kat aku. Dahlah kena halau dari
rumah. Kena halau pulak sebelum sempat makan malam…”
Qistina mengeluh lalu dicapainya segelas air oren di atas
dulang. Dengan lafaz Bismillah, diteguknya air itu perlahanlahan.
Setelah habis air diminum, gelas kosong diletakkan
kembali ke atas dulang.
Timah terkedu. Dia tidak tahu sama ada Qistina serius
atau sekadar bergurau. Dengan Qistina, susah untuk meneka.
Walaupun mereka telah berkawan berkurun lamanya, kadangkadang
masih sukar untuk Timah meneka hati dan perasaan
kawannya itu.
“Kau nak apa? Aku tak masak nasilah hari ni. Aku diet.
Aku makan roti je.”
Qistina mengerling ke arah Timah. Diet? Memanglah
tubuh Timah sedikit berisi. Namun bagi Qistina, Timah tidak
perlu berdiet. Baginya, Timah masih belum mencapai tahap
perlu berdiet.
“Taklah… Aku gurau je. Aku mana lalu nak makan…
takde selera…”
“Kau kenapa ni? Ceritalah kat aku cepat!” Timah sudah
tidak sabar-sabar lagi. Rasa macam nak korek sahaja mulut
Qistina agar cepat menceritakan apa yang telah berlaku tadi.
“Pasal Remy lagi ke?” Timah cuba meneka. Qistina
mengangguk perlahan.
“Pasal aku berkeras tak mahu kahwin dengan si Remy
tu, papa sanggup halau aku keluar dari rumah…”
“Astaghfirullahal’azim…” Itu saja yang mampu
disebutkan Timah. Kepalanya digeleng-gelengkan.
“Selama ni abang dengan kakak aku tak pernah
berani lawan cakap papa. Dengan siapa papa suruh kahwin,
diaorang menurut je. Kau bukan tak tahu dah berapa banyak
joint ventures yang berjaya diusahakan papa. Semua atas nama
business dan mengumpul harta kekayaan.”
Qistina diam sejenak. Abang sulung Qistina, Ali
Sufian dikahwinkan dengan anak Tan Sri Basir, Maya Liza.
Tan Sri Basir merupakan rakan perniagaan papa Qistina sejak
bertahun-tahun yang lalu. Begitu juga dengan kakak Qistina,
yang dikahwinkan dengan anak sulung Dato’ Malek, Farid.
Qistina terkenangkan bagaimana kakaknya, Sarah Qireena
pada mulanya tidak mahu mengahwini Farid. Namun terpaksa
akur dengan arahan papa mereka. Dengan perkahwinan
abang dan kakaknya itu, rangkaian perniagaan papanya dapat
dikembangkan dan diperhebat. Kini tiba gilirannya pula.
Qistina tidak sanggup berkahwin dengan Remy, anak tunggal
Dato’ Idris Mansor.
“Takkan papa kau tak tahu perangai Remy macam
mana? Macam manalah papa kau boleh paksa kau kahwin
dengan jantan tak guna tu?” Timah mendengus. Meluap-luap
api kemarahannya terhadap papa Qistina.
“Aku tak tahulah papa tu tahu ke tak dengan perangai
Remy. Yang aku tahu, papa memang ada business dealings
dengan bapak si Remy tu. Kalau aku kahwin dengan Remy, then
it would be another joint venture in the making!” Mendatar
sahaja suara Qistina. Kesal dia dengan perangai papanya yang
tidak pernah mahu berubah. Lebih mementingkan rangkaian
perniagaannya daripada hati dan perasaan darah dagingnya
sendiri.
Timah menggelengkan kepalanya.
“Entahlah Tim. Aku dah bosan tinggal kat rumah tu.
Dahlah nak solat pun kena sorok-sorok. Entah-entah solat aku
pun tak diterima Tuhan. Macam mana Tuhan nak terima solat
aku kalau botol arak penuh kat dalam rumah tu? Yang pasti,
malaikat memang langsung tak masuk rumah tu, Tim. Aku dah
tak sanggup dah…” Ujar Qistina dengan suara yang melirih.
Memang sejak lahir, ibu dan bapa Qistina langsung
tidak pernah mendidik anak-anak mereka untuk membesar
dengan mengikut jalan yang diredai Allah. Pelajaran agama
tidak dititik beratkan. Mereka bertiga dihantar ke sekolah
antarabangsa beraliran British. Tiada pendidikan agama Islam
diajar di sekolah itu.
Namun Allah terlalu menyayangi Qistina. Dibiarkan
kehidupan ibu dan ayah Qistina sibuk dengan hal-hal business
dan persatuan agar tidak lekat di rumah. Qistina bebas belajar
mengaji dan bersolat bersama Mak Esah dan Pak Atan, walaupun
secara sembunyi. Tak tahulah apa yang bakal dilakukan kedua
orang tua Qistina sekiranya mendapat tahu Qistina mendapat
bimbingan agama daripada orang gajian papa dan mamanya
sendiri.
Anak bongsu Mak Esah pula, Timah, dibiarkan tinggal
bersama-sama Mak Esah dan Pak Atan di banglo itu. Cuma anak
sulung Mak Esah sahaja yang tinggal bersama ibu dan ayah Mak
Esah di kampung.
Qistina tumpang belajar agama dengan meminjam
buku-buku pelajaran agama yang digunakan di sekolah
kebangsaan Timah. Barulah dia tahu tentang hukum-hakam
agama yang telah ditinggalkan ahli keluarganya yang lain.
Puasa, zakat, haji dan sebagainya, dipelajari dengan pertolongan
Timah. Satu pun tidak pernah ditunaikan papa dan mamanya.
Naik bulu roma Qistina mengenangkan dosa yang ditanggung
ahli keluarganya kerana ingkar dengan suruhan Allah. Takut
jikalau dirinya turut dianggap bersubahat dengan kelalaian dan
kealpaan mereka.
“Habis tu kau nak buat apa sekarang?” Timah bersuara
lagi.
“Aku ingat aku nak balik kampung kau kejap, boleh
tak? Aku rindu sangat dengan mak bapak kau. Sejak aku balik
UK, aku tak jumpa diaorang lagi. Berkurun rasanya aku tak
jumpa diaorang. Belum sampai dua minggu balik dah kena
paksa kahwin!”
Qistina baru sahaja menamatkan pelajarannya dalam
bidang Perakaunan di London School of Economics. Pulang
dengan segulung ijazah dan segunung harapan untuk berbakti
kepada ibu dan bapanya, walaupun kehidupan mereka begitu
mewah sekali. Namun di hati kecilnya, dia mahu mencurahkan
khidmat dan tenaganya dalam syarikat milik papanya. Dia mahu
bekerja keras untuk meluaskan empayar papanya, tanpa perlu
menggadaikan maruah serta prinsip. Tidak perlulah mengikut
jejak langkah abang dan kakaknya untuk mencapai kemahuan
papanya itu.
“Aku memang nak balik kampung pagi esok, Ina. Mak
dan ayah ada nak buat kenduri kesyukuran untuk aku lepas
maghrib. Sempena aku grad baru-baru ni.”
“Aku ikut kau boleh tak?” Soal Qistina sedikit teruja.
Timah mengangguk. Bukan dia tak tahu bagaimana
Mak Esah dan Pak Atan juga terlalu merindui Qistina. Walaupun
Qistina belajar di luar negara dan Timah di universiti tempatan,
persahabatan mereka tidak pernah terputus. Lima tahun
Qistina berada di perantauan sejak tamat peperiksaan SPM,
Qistina pasti akan pulang ke Malaysia setiap tahun sempena
cuti musim panas. Setiap kali berpisah dan bertemu kembali,
mereka masih boleh sahaja menyambung cerita yang terputus,
seolah-olah baru semalam mereka berpisah.
“Eh Ina, kau ada satu beg ni je ke?” Timah menunjukkan
ke arah beg galas kepunyaan Qistina. Qistina turut memandang
beg galasnya lalu mengangguk.
“Dari semalam aku dah rasa tak sedap hati. Jadi aku
pack apa yang penting je. Passport, sijil aku, telekung, dan
beberapa helai baju je. Kau tahulah baju-baju yang mama paksa
aku pakai selama ni, kan? Tu semua aku tak perlu. Buat apa aku
nak ambik?” Qistina memandang ke wajah Timah seolah baru
memikirkan sesuatu.
“Tim, baju-baju kurung aku kau masih simpan, kan?”
“Mestilah ada,” balas Timah. “Masih ada dalam almari
bilik aku tu. Blaus dengan seluar panjang pun ada.” Tiba-tiba
Timah terbayang Qistina yang sering dipaksa memakai gaun
singkat atau skirt paras lutut oleh mamanya setiap kali ingin
keluar rumah. Langsung tidak berpeluang memakai pakaian
yang sopan serta menutup aurat. Sehinggakan Qistina lebih
gemar memerap di rumah, daripada keluar dengan mama atau
ahli keluarganya yang lain, terutama ke pesta-pesta keramaian
yang tidak digemarinya.
Lega Qistina mendengar balasan Timah. Sekurangkurangnya,
dia masih mempunyai baju kurung yang dibeli
dan dikumpul sejak sekian lama, bersama-sama dengan blaus
berlengan panjang yang menutup aurat. Jangan harap dia
boleh berpakaian begitu sekiranya masih tinggal di rumah
orang tuanya, melainkan suasana majlis memerlukan dirinya
memakai pakaian yang sopan seperti baju kurung, seperti
kenduri kahwin dan sebagainya.
“Since papa dah tak anggap aku anak dia, jadi apa
yang aku buat sekarang bukan lagi menjadi hal dia, betul
tak?” Qistina memandang Timah inginkan kepastian. Timah
sedikit teragak-agak namun masih mengangguk menunjukkan
sokongan kepada temannya itu.
“Tapi... selagi kau belum kahwin, kau masih bawah
tanggungan papa kau, Ina.”
“Aku tahu. Tapi apa yang aku nak buat ni bukannya
menambahkan dosa dia, menambahkan pahala ada la...”
Timah terpinga-pinga tidak mengerti. “Kau nak buat
apa?”
Qistina tersenyum kecil. Bahagianya rasa di hati dapat
melakukan suatu perkara yang telah lama diidamkannya.
“Apa yang dah lama aku nak buat. Mulai esok, aku akan
pakai tudung, macam kau.”
Timah membalas senyuman Qistina. Ya, memang
Qistina telah lama berhajat untuk memakai tudung, namun dia
tidak tahu bagaimana untuk menyuarakan hasratnya itu kepada
papa dan mamanya. Segala ibadah yang dilakukan Qistina
terpaksa dilakukan dalam diam. Penuh rahsia.
“Sementara aku nak beli tudung, aku cilok tudung kau
dulu ya, Tim?”
“Ambiklah, Ina. Aku tak kisah. Dari dulu lagi kita saling
kongsi barang. Sekarang pun masih sama.”
Qistina terharu mendapat sokongan Timah. Air mata
yang telah kering tadi, terbit semula. Sudah lama jiwanya
meronta… sudah lama hatinya terluka dengan kehidupan
keluarganya yang terlampau kebaratan. Selama ini Qistina tidak
putus-putus mendoakan agar Allah membuka hati keluarganya
untuk insaf dan kembali ke jalan Allah. Namun, doanya itu
masih belum dimakbulkan.
Timah menggenggam tangan Qistina. Kini matanya
pula berair. Bukan dia tidak tahu segala rahsia kehidupan
Qistina dan betapa terseksanya hidup Qistina selama ini.
Qistina hanya benar-benar rasa bahagia sekiranya berjauhan
daripada keluarganya. Di London, Qistina bebas mengerjakan
ibadahnya dan bebas menghadiri kuliah-kuliah agama yang
dianjurkan persatuan pelajar-pelajar Islam di London. Bukan
seperti kehidupannya di banglo mewah itu. Sungguh terseksa.
“Sabarlah, Ina. Allah terlampau sayangkan kau. Ada
hikmah di sebalik semua ni. Kau pun sendiri cakap pada aku
yang kau nak hidup sendiri lepas balik UK, kan? Kau yang tak
nak duduk dengan parents kau, kan?”
Qistina mengangguk. “Aku kena cari kerjalah, Tim.
Walaupun savings aku banyak, tapi aku tak boleh duduk diam
je. Aku rasa aku kena cari kerja jauh dari KL ni. Kenalan papa
dan mama aku ramai sangat kat KL ni. Pergi mana-mana mesti
terserempak dengan diaorang. Aku kena lari tempat lain…”
Timah tidak sanggup lagi berpisah dengan kawan
rapatnya ini. Baru saja Qistina pulang dari London. Belum puas
rasanya meluangkan masa bersama Qistina.
“Pasal tu, kita fikir lain kali jelah, Ina. Esok kita balik
kampung. Kau rehat dulu kat rumah parents aku tu seminggu
dua. Nanti kita bincang semula. Aku dah dapat kerja kat KL ni.
Lagi dua minggu aku mula. So, aku pun nak rehat sepenuhnya
kat kampung sebelum aku mula kerja nanti.”
Qistina mengangguk tanda setuju. Tak sabar rasanya
nak berjumpa dengan Mak Esah dan Pak Atan.
“Hei kau jangan beritahu Mak Esah aku balik dengan
kau esok tau. Aku nak surprisekan dia.”
“Yalah. Aku tahu. Dah... pergilah tidur, Ina. Esok kita
kena bangun pagi.”
Qistina menurut. Dibawanya beg galas ke dalam bilik
tetamu flat Timah. Mujurlah Timah hidup bersendirian di dalam
flat ini. Katanya senang sekiranya Mak Esah atau Pak Atan
ingin melawatnya di Kuala Lumpur. Lagipun Timah dah malas
nak berkongsi flat dengan orang lain. Bukannya tidak pernah.
Tetapi ada sahaja masalah dengan teman serumah. Lebih baik
hidup sendirian, katanya.
Qistina pantas membersihkan diri dan menunaikan
solat isyak. Dia baring di atas katil sambil merenung kipas yang
sedang berputar ligat di siling. Kata-kata papanya tadi masih
terngiang-ngiang di telinganya.
‘Ina bukan lagi anak papa!’
Pedih!
‘Mengapa Remy, papa? Mengapa Remy?’ Rintih
hatinya. Qistina memejamkan matanya. Lekas-lekas bayangan
wajah Remy mahu dihapuskan dalam ingatan. Tidak mahu
mengenangkan siapa sebenarnya Remy dan apa yang Remy
pernah lakukan kepadanya.
Dalam cuba menyahkan kenangan-kenangan lalu itu,
Qistina terlena.

No comments:

Post a Comment