Thursday, 26 May 2016

Isteri Dalam Sangkar - Bab 15

TENGKU Haziq melangkah masuk ke ruang
pejabat. Wajahnya sentiasa ceria dengan senyuman. Sapaan
selamat pagi kakitangan bahagian akaun disambut dengan
ramah. Disebabkan itu dia cukup disenangi oleh semua
kakitangan. Dia memang ketua yang baik hati dan sentiasa
mengambil berat kebajikan kakitangan bahagiannya.
“Morning bos,” tegur Rafina mesra. Rafina
merupakan setiausaha kepada Tengku Haziq. Sudah tiga
tahun gadis manis itu bekerja di situ. Sudah cukup masak
dengan sikap ketuanya yang satu itu.
“Morning Rafina. Cantik awak hari ni.” Seperti
selalu, Tengku Haziq pasti akan memuji Rafina. Membuatkan
gadis berasal dari Marang, Terengganu itu tersenyum manis.
“Terima kasih bos. Bos pun apa kurangnya. Hari-hari
nampak kacak bergaya.” Rafina membalas dengan memberi
pujian kepada Tengku Haziq.
Pada mata kasarnya, lelaki itu bukan saja kacak pada
paras wajah malah ‘kacak’ pada budi bahasa. Mujurlah dia ini
sudah menjadi tunangan orang, jika tidak... pasti sudah lama
dia jatuh cinta kepada Tengku Haziq. Mana tidaknya, lelaki
itu cukup sempurna sebagai lelaki idaman Malaya.
Tengku Haziq sekadar tersenyum. Pujian Rafina
sudah lali pada telinganya. Ketika itu jugalah matanya
menangkap sebuah buku di atas meja Rafina.
“Buku awak ke?” dia bertanya. Buku itu menarik
perhatiannya.
Rafina memandang novel yang baru sampai
semalam. Kepalanya dianggukkan, bibirnya mekar bersama
senyuman. Sudah lama dia nantikan novel itu. Baru semalam
ia sampai ke pangkuannya.
“Boleh saya tengok?” pinta Tengku Haziq.
Rafina menghulurkan novel itu kepada Tengku
Haziq. Perkara pertama yang dilihat Tengku Haziq ialah
nama si penulis novel.
‘Acik Lana!’ Hatinya berbisik. Nama Acik Lana
mengingatkan dia kepada Aisyah. Aisyah amat menggemari
karya-karya daripada novelis itu.
“Novel ni awak beli kat mana?” Nampaknya
Tengku Haziq berminat mengetahui tentang novel bertajuk
‘Perempuan Yang Paling Aku Cinta’ itu. Jika dia tak silap,
novel itulah yang dikatakan Aisyah kepadanya ketika mereka
keluar dua hari lepas.
“Owh… novel ni tak jual kat kedai buku bos. Ini
limited edition. Hanya dijual online je.” Terang Rafina.
Sebagai penggemar novel-novel cinta, dia memang kerap
membeli novel secara online.
“Awak beli online? Dengan Acik Lana ke?” berkobar
semangat Tengku Haziq ingin mengetahuinya.
Rafina tersengih. “Bukan dengan Acik Lana bos.
Saya order dengan Kak Alida. Dia kawan Acik Lana. Dia la
yang selalu ambil order.” Beritahu Rafina.
“Dari mana awak kenal dia?” banyak pula soalan
Tengku Haziq.
“Dari facebook la bos. Alaaa… kenal sebagai rakan
alam maya. Jumpa depan tu belum pernah lagi la. Saya ni kan
salah seorang GGN.”
“GGN?”
“Geng Giler Novel…” ujar Rafina penuh bangga.
“Owh… apa ajelah nama geng awak tu Rafina. Pelik.”
Rafina sekadar tersengih mendengar komen Tengku
Haziq. Memang kedengaran pelik nama group itu.
“Kalau macam tu, novel awak ni bagi kat saya, nanti
awak order balik dengan kawan Acik Lana tu, boleh?” Tengku
Haziq mengambil jalan mudah.
Novel yang diidamkan Aisyah sudah ada depan mata.
Tidak salah rasanya jika dia mendapatkan novel itu untuk
Aisyah. Nanti Rafina boleh beli semula novel itu. Lagipun
gadis itu kan berkawan dengan Alida. Senanglah sikit untuk
dia membuat tempahan semula. Namun Aisyah, gadis
kampung itu tidak tahu memesan cara online. Apa salahnya
jika dia tolong dapatkan novel ini khas untuk Aisyah. Tentu
gadis itu menyukainya.
Bulat mata Rafina mendengar kata-kata bosnya.
Bagaikan tidak percaya lelaki itu juga berminat hendak
membaca novel Acik Lana. Jarang ada lelaki yang menggemari
novel-novel cinta. Kebiasaannya orang lelaki lebih cenderung
kepada buku-buku mengenai dunia permotoran.
“Kenapa awak pandang saya macam tu? Ada yang
tak kena ke pada wajah saya?” Pelik sungguh Tengku Haziq
melihat cara Rafina memandangnya. Macam ada yang tak
kena saja.
Rafina menggeleng-geleng.
“Eh… takde apa-apa la bos. Cuma… saya pelik sikit
ni. Sejak bila bos minat baca novel?”
“Kenapa? Saya tak boleh baca novel ke?” soalan
Rafina tadi dibalas dengan soalan oleh Tengku Haziq.
Sekali lagi Rafina menggeleng.
“Bukan tak boleh bos. Cuma… pelik je.” Kemudian
dia tayang sengih.
“Dah… tak usah awak nak pelik-pelik Rafina. Saya
pun sesekali teringin juga nak baca novel cinta. Nak tahu
hebat sangat ke novel Acik Lana tu.”
“Eh, eh bos. Bos jangan pandang Acik Lana sebelah
mata. Novel-novel Acik Lana semua terbaik tau. Cuma rezeki
aje yang belum ada untuk dia dapat tempat pertama dalam
Anugerah Pilihan Popular. Tengoklah sikit masa nanti…
pasti dia akan menang tempat pertama.” Rafina merupakan
peminat tegar penulis berwajah manis itu. Pantang sungguh
dia jika ada yang mengutuk karya-karya penulis kegemarannya
itu. Memang dia akan bersuara lantang.
“Saya tak nak bertekak dengan awak pasal Acik Lana.
Yang penting sekarang, saya ambil novel ni. Nanti awak order
yang baru ya.”
Kalau hendak bertekak dengan Rafina, sampai pagi
esok pun belum tentu selesai. Gadis itu nampak saja lemah
lembut tetapi jika diajak bertekak memang boleh tahan juga
orangnya. Tengok sajalah apabila Rafina bertekak dengan
Salim si pemandu syarikat. Memang tak boleh nak berhenti.
Salim pun satu hal jugak. Suka sangat menyakat Rafina.
Nasib baiklah Rafina itu tunangan orang. Kalau tidak, dah
lama rasanya dia nak kahwinkan Salim dengan Rafina.
“Eh… tak bolehlah bos. Novel ni saya punya.” Tegah
Rafina. Dia tak akan sekali-kali berikan novel itu kepada
Tengku Haziq meskipun lelaki itu bosnya.
“Awak kan kenal dengan kawan Acik Lana tu. Nanti
awak order la dengan dia balik.”
“Mana boleh bos. Novel ni memang dikhaskan untuk
saya. Kalau bos tak percaya, cuba bos tengok kat dalam tu.
Dah terang-terang Acik Lana tulis nama saya kat situ. Mana
boleh pass kat orang lain.”
Tengku Haziq membuka helaian pertama. Memang
benar seperti yang dikatakan Rafina. Memang ada nama
gadis itu di dalamnya. Dia mengeluh hampa. Baru bercadang
hendak memberikan novel itu kepada Aisyah. Nampak gaya
niatnya itu tidak kesampaian.
Melihat wajah hampa bosnya, Rafina bersuara.
“Bos betul ke nak novel ni?” tanya Rafina mahukan
kepastian.
Tengku Haziq mengangguk.
“Kalau macam tu, nanti saya orderkan bos novel ni
dengan Kak Alida. Rasanya masih ada stok lagi novel ni.”
Wajah mendung Tengku Haziq kembali ceria.
Bersinar-sinar matanya mendengar kata-kata Rafina.
“Good! Awak tolong orderkan untuk saya. Nah! Ini
duit untuk beli buku.” Tengku Haziq menghulurkan sekeping
wang kertas bernilai seratus ringgit.
“Banyak ni bos. Novel ni takdelah sampai seratus
ringgit.”
“Takpe. Baki tu awak simpan. Kira saya belanja sebab
awak tolong saya dapatkan novel ni.” Dengan ceria Tengku
Haziq bersuara. Dia melangkah masuk ke dalam biliknya.
Ceria sungguh sampaikan dia bersiul kecil.
Pelik sungguh Rafina melihat tingkah bosnya
itu hari ini. Tengku Haziq memang jenis yang ceria tetapi
tidaklah sampai berkelakuan pelik seperti itu. Itu yang buat
dia kebingungan.
‘Apa kena dengan bosnya hari ni? Macam kena
sampuk Geng Giler Novel aje!’ hati kecil Rafina berbisik pelik.
Pintu bilik Tengku Haziq kembali terbuka. Terjengul
kepala lelaki itu.
“Oh ya Rafina. Nanti kat novel tu awak suruh Acik
Lana khaskan buku tu untuk Aisyah ya.”
“Aisyah?” tanya Rafina pelik. Bukankah novel
‘Perempuan Yang Paling Aku Cinta’ itu Tengku Haziq yang
nak baca? Kenapa harus diletakkan nama Aisyah pula?
Tengku Haziq mengangguk bersama senyuman
manis. Kemudian dia menghilang semula ke dalam bilik.
Bukan main ceria lagi wajahnya. Punggung dilabuhkan ke
atas kerusi kulit berwarna hitam. Bibirnya masih tidak lekang
dengan senyuman. Cuba membayangkan betapa gembiranya
Aisyah apabila mendapat novel limited edition Acik Lana yang
diimpikan Aisyah itu.
“Ziq! Jom teman aku pergi breakfast.” Suara yang
keluar dari interkom mematikan senyuman Tengku Haziq.
Baru dia nak bersenang-lenang membayangkan wajah
ceria Aisyah, suara Tengku Iskandar sudah mengganggu
kedamaiannya.
“Bagi salam tak… ucap selamat pagi tak… main
terjah macam tu aje. Bertuah punya abang!” omel Tengku
Haziq. Butang merah ditekan bagi membalas kembali ‘sapaan’
Tengku Iskandar.
“Assalamualaikum Tengku Iskandar. Patik dah
bersarapan dekat rumah tadi. Masih kenyang lagi.” Sengaja
dia berkata begitu.
“Waalaikumussalam. Alaaa… jom la Ziq temankan
aku. Lagipun aku ada perkara nak bincang dengan kau.”
Tengku Iskandar mendesak.
Tengku Haziq mendecit. Inilah antara perangai
Tengku Iskandar yang tidak digemarinya. Kuat sangat
mendesak agar kehendaknya diikuti. Jika dia yang disuruh
mengikut kehendak orang lain, bukan main banyak lagi
alasan yang diberikan. Macam-macam!
“Yalah tu. Macamlah aku tak tahu perangai kau.
Ada perkara nak bincang konon! Kalau nak bincang pasal
girlfriends kau yang keliling pinggang tu, aku dah serik
dengar.”
“Ini bukan pasal girlfriend la Ziq. Aku nak bincang
soal kerja.”
Mencebik Tengku Haziq. Macamlah dia ni bodoh tak
tahu perangkap lelaki itu agar dia setuju menemani Tengku
Iskandar keluar sarapan.
Pantas butang merah tadi ditekan semula.
“Isteri kau tak buat sarapan pagi ke sampai kau nak
sarapan kat luar?” sengaja dia menyakat. Mahu mendengar
respons Tengku Iskandar.
“Kau ni mulut takde insurans ye? Boleh tak jangan
sebut nama perempuan kampung tu kat ofis. Dengar dek staf
nanti macam mana? Sampai pulak ke telinga mummy.”
Mengekek ketawa Tengku Haziq mendengar balasan
Tengku Iskandar. Lelaki itu nampak saja gagah perkasa seperti
harimau jantan dalam hutan. Tetapi apabila sudah berdepan
dengan Tengku Mummy, Tengku Iskandar tak ubah seperti
seekor anak kucing yang manja dan mengikut telunjuk saja.
Cukup menggelikan hati.
“Yalah. Aku temankan kau. Kau ni mengada-ada
betul la. Ada isteri kat rumah, nak juga bersarapan kat
luar.” Putus Tengku Haziq. Kasihan pula dia jika kehendak
abang sepupunya itu tidak dituruti. Manalah tahu kut abang
sepupunya itu memang belum sarapan pagi lagi. Pengsan
pula lelaki itu nanti.
“Okey! Aku tunggu kat basement. Kau drive ye. Aku
malas la.”
Inilah yang Tengku Haziq malas. Jika keluar berdua,
pasti dia yang akan jadi pemandu Tengku Iskandar. Lelaki itu
memang suka ambil kesempatan ke atasnya. Mujurlah dia
sayangkan abang sepupunya itu. Jika tidak, jangan harap dia
nak ikut kehendak Tengku Iskandar.
TENGKU ISKANDAR menghirup jus oren. Bukan main
berselera lagi dia nampaknya. Macam dah setahun tak jumpa
makanan. Pelik betul!
“Kau ni macam dah kebulur sangat, kenapa? Tak
bersarapan kat kondo tadi?” tanya Tengku Haziq yang hanya
memesan Nescafe panas sahaja. Perutnya masih kenyang
memandangkan hari ini dia bersarapan dengan nasi goreng
air tangannya sendiri. Jangan ingat orang lelaki sepertinya
tidak pandai memasak. Tengku Haziq lebih gemar makan di
rumah berbanding di luar. Kebersihan pun lebih terjamin.
“Ada. Cuma aku dah lama tak bersarapan kat sini.”
Balas Tengku Iskandar. Sejak dua hari ini, dia lihat gadis
kampung itu sudah pandai memasak masakan barat. Entah
dari mana gadis kampung itu belajar. Boleh tahan sedap juga
dia memasak.
“Kau tahu tak Ziq. Perempuan kampung tu dah tahu
masak western food. Mula-mula dia masak tu, terkejut juga
aku. Ingatkan perempuan kampung tu tak reti nak masak
makanan barat.” Tengku Iskandar membuka cerita.
Chicken Chop Black Pepper yang dimasak Aisyah
dua hari lepas memang boleh tahan rasanya. Begitu juga
dengan Chicken Mayonnaise semalam. Cukup menarik selera
makannya. Cuma depan Aisyah dia kena jual mahal sedikit.
Jatuhlah maruahnya jika makan gelojoh di hadapan gadis itu.
“Hah… tu la kau! Suka pandang orang sebelah mata.
Sekarang baru kau tahu tinggi rendahnya langit tu. Aisyah tu
takdelah teruk sangat macam yang kau fikir.”
“But she's not my type. Aku tak berkenanlah tengok
perempuan kampung. Rimas mata aku tengok dia berbaju
kurung setiap hari. Dah macam nenek kebayan pulak.”
Tengku Haziq mencebik. Tengku Iskandar memang
begitu. Perempuan yang manis berbaju kurung boleh pula
dia pandang rimas. Tetapi kalau perempuan pakai seksi-seksi,
dedah sana dedah sini, suka pula dia pandang. Macam nak
tersembul saja biji matanya itu.
“So… macam mana hubungan kau dengan Fira? Aku
tengok kau bukan main berkepit lagi dengan minah mulut
muncung tu.” Tengku Haziq mengubah topik perbualan.
Malas hendak mendengar cacian Tengku Iskandar terhadap
Aisyah. Baginya Aisyah seorang gadis yang baik. Cuma
Tengku Iskandar saja yang tidak pandai menilai.
Mendengar nama Fira disebut, lebar senyuman di
bibir Tengku Iskandar. Sudah beberapa kali dia ‘bersama’
Fira. Gadis itu memang cukup pandai melayannya.
“Senyum? Mesti ada yang menarik fasal Fira, kan?”
Senyuman di bibir Tengku Iskandar bagai sudah memberitahu
Tengku Haziq jawapan kepada pertanyaannya tadi. Dia kenal
Tengku Iskandar.
“I can’t believe she’s very hot! Dah ramai yang aku
try tapi dalam ramai-ramai tu, Fira paling hangat.” Tanpa
berselindung Tengku Iskandar memberitahu. Lebar dia
tersenyum.
Tengku Haziq mencemik. Dia sudah dapat mengagak
jawapan abang sepupunya itu.
“Yalah tu. Nanti kat ‘sana’ api neraka tu lagi hangat
daripada Fira.” Sinis Tengku Haziq menyindir. Geram dengan
perangai Tengku Iskandar yang suka ‘bersama’ dengan
perempuan bukan halal baginya.
Sindiran pedas Tengku Haziq merubah air muka
Tengku Iskandar menjadi tegang. Baru saja dia hendak
gembira berkongsi cerita hubungan ‘panas’ antara dia dengan
Fira, Tengku Haziq sudah menempelak. Hampeh punya
sepupu! Terkena dia sebiji!
“Sampai bila kau nak terus hidup macam ni Is?
Cubalah bawa berubah sikit. Mati tu tak mengira usia
tau. Bila-bila masa aje Allah boleh ambil kita kembali ke
pangkuan-Nya. Kau nak ke mati sebelum sempat bertaubat?
Nak mati dalam maksiat?” Tengku Haziq memberi soalan
panas. Biar Tengku Iskandar terasa. Manalah tahu soalannya
bisa mengembalikan Tengku Iskandar ke pangkal jalan. Dia
mahu lihat Tengku Iskandar yang dulu. Tengku Iskandar
yang dikenali ketika zaman kanak-kanak.
Tengku Iskandar bukan jahil tentang agama. Lelaki
itu juga sama sepertinya. Pernah khatam Al-Quran sebanyak
tiga kali. Tengku Iskandar juga tahu mengerjakan solat.
Namun, abang sepupunya itu berubah setelah berada lama di
luar negara. Hukum haram dan halal sudah tidak diendahkan
lagi. Entah apa yang menyebabkan Tengku Iskandar berubah
sejauh itu dia sendiri tidak pasti.
“Aku bukan nak jaga tepi kain kau. Tapi sebagai
sepupu kau, aku rasa aku ada hak menegur.” Sambung Tengku
Haziq apabila tiada jawapan daripada Tengku Iskandar. Dia
tahu abang sepupunya itu pasti menahan rasa geram dengan
sindirannya. Cuma Tengku Iskandar tiada point hendak
membalas kembali apa yang dia perkatakan ketika ini.

No comments:

Post a Comment