Thursday, 26 May 2016

Isteri Dalam Sangkar - Bab 3

BUNYI panggilan masuk ke telefon pintarnya
mengejutkan Tengku Iskandar yang sedang lena. Malas-malas
dia memanjangkan tangan mencapai telefon bimbit di atas
meja sisi. Mata masih lagi terpejam rapat. Mengantuk tahap
gaban!
“Hesy… siapa pulak yang kacau daun ni? Orang
nak tidur pun susah!” rungutnya. “Helooo….” dengan suara
serak, dia bersuara.
“Assalamualaikum! Tak bangun lagi ke?” sergah
suara di hujung sana. Garang bukan main!
“Waalaikumussalam. Siapa ni?” Tengku Iskandar
yang mamai bersuara lagi.
“Tengku Iskandar! Ini mummy la! Takkan suara
mummy sendiri dah tak kenal?” Bukan main berapi lagi
Tengku Maria apabila anak lelakinya itu tidak kenal suaranya.
Jika anak itu berada di depan mata, sudah dipiat telinganya.
Boleh pula suara dia, anaknya itu tak kenal. Panas hatinya.
Mata Tengku Iskandar bulat bagai biji guli. Menjadi
terang, seterang-terangnya. Kalau Tengku Maria sudah
memanggil nama penuhnya, sudah tentu ibunya sedang
serius sekarang ini.
“Eh… mummy. Sorry… line tak berapa clear. Tu
yang tak berapa dengar suara mummy.” Tengku Iskandar
memberi alasan. Sedangkan dia tidak cam suara mummynya
tadi.
Tengku Maria mendengus.
“Where are you now?” soal Tengku Maria tegas.
“De… dekat ofis la mummy. Dekat mana lagi?”
Bohongnya.
Tangan Sellina yang melingkar kemas pada
pinggangnya dialihkan. Tidak mahu gadis itu tersedar daripada
lenanya. Perlahan-lahan dia bangun dari atas katil. Bergerak
keluar dari ruang bilik yang sejuk disebabkan penghawa
dingin. Jika bukan kerana mummynya menelefon, tentu dia
tak tahu hari sudah siang. Berada dalam bilik berhawa dingin
dan agak suram itu bersama Sellina, membuatkan dia tidak
sedar hari sudah siang.
“Jangan nak bohong mummy, Tengku Iskandar!
I am in the office right now.” Tegas Tengku Maria dengan
suara yang meninggi, membuatkan Tengku Iskandar terpaksa
menjauhkan telefon bimbit dari telinga. Jika tidak, mahu
bernanah telinganya mendengar jeritan nyaring Tengku
Maria yang sudah mula naik angin.
“Ngeee….”
“Mummy mahu Tengku Iskandar datang ke ofis
sebelum pukul sepuluh! Ingat… kita ada meeting dengan
Istana Kristal Holding pukul 10.30. Sebelum tu, mummy ada
perkara nak bincang dengan Tengku Iskandar.” Tengku Maria
memberi arahan.
Belum sempat Tengku Iskandar membalas, talian
sudah diputuskan.
Dia pandang jam dinding. Sudah pukul 9.15 pagi.
Ini bermakna dia hanya ada masa empat puluh lima minit
saja lagi. Dia perlu cepat. Jika tidak, tentu mummynya akan
mengamuk. Kuasa mummy lebih besar daripada daddy.
Kalau mummy sudah mengamuk, memang susahlah jalan
hidupnya. Takut nanti, semua keistimewaannya akan ditarik
balik atas arahan mummy. Daddy memang tak pernah bantah
kalau mummy yang bagi arahan.
Sedang otaknya memikirkan mesyuarat hari ini
dan hal mummynya, tiba-tiba ada satu tangan menjalar ke
pinggangnya. Memeluk tubuhnya dengan kejap dari belakang
sambil mencium belakang tubuhnya yang tidak berbaju.
“Darling… kenapa you keluar tak kejutkan I?
Terkejut I tengok you takde sebelah I bila bangun tadi,”
rengek Sellina manja. Matanya masih terpejam-pejam tanda
dia masih mengantuk dan mahu tidur dalam pelukan Tengku
Iskandar.
“I have to go.” Beritahu Tengku Iskandar tanpa
menjawab pertanyaan Sellina yang dirasakan tidak penting
itu. Apa yang dia fikirkan sekarang dia perlu berada di pejabat
sebelum pukul sepuluh. Jika tidak tentu mummy akan marah.
“But… it’s still early, dear. You stay la dulu. I
belum puas lagi nak bermanja dengan you ni. Kalau you
nak… I boleh bagi layanan yang lebih baik dari semalam.”
Sellina menggoda sambil menggigit-gigit bibir bawahnya.
Jemari runcingnya sudah bermain-main pada dada bidang
Tengku Iskandar. Mahu menggoda iman lelaki itu sekali lagi.
Kehangatan pelukan Tengku Iskandar semalam masih terasa
hangatnya di tubuh seksinya itu.
Hampir saja Tengku Iskandar tersungkur dengan
godaan Sellina. Namun cepat dia tersedar apabila bayangan
wajah mummy menerjah kotak fikiran. Siap bercekak
pinggang dengan mata yang membuntang lagi. Seramnya
wajah mummy mengalahkan wajah Mak Lampir.
“I can’t. I have to go now. I have to attend an
important meeting.” Jemari Sellina yang cuba menggoncang
iman Tengku Iskandar itu dilepaskan. Dia melangkah masuk
ke dalam bilik lantas mengambil pakaiannya yang bertaburan
di atas lantai.
Sellina mendengus geram. Kecewa apabila
godaannya tidak berjaya melembutkan hati Tengku Iskandar
untuk duduk lebih lama dalam dakapannya.
“You batalkan ajelah meeting tu darling. Atau… you
minta cousin you si Haziq tu yang handle. Takkan tak boleh?”
pujuk Sellina tidak mahu mengalah.
“Tak boleh. Mummy tengah tunggu I.”
Kali ini dengusan Sellina semakin kuat kedengaran.
Tengku Iskandar ini kalau dengan mummynya memang tidak
pernah nak berkata tidak. Ikut saja apa kata mummynya itu.
“Sikit-sikit mummy you! Entah apalah yang you
takut sangat dengan mummy you tu!”
“Ini bukan soal takut. Ini soal kerja. You tahu I kan
bakal CEO syarikat. Kalau I tak tunjukkan prestasi yang baik
depan mummy and daddy I, macam mana diaorang percaya I
boleh handle syarikat dan serahkan TG Holdings pada I. I tak
nak kehilangan TG Holdings.”
Mendengarkan itu, bibir Sellina merekah dengan
senyuman. Pantas dia mendekati Tengku Iskandar. Dia tahu
lelaki itu bakal menjadi pemilik TG Holdings apabila Tengku
Yusuf menyerahkan syarikat itu kepada Tengku Iskandar
kelak. Syarikat yang mempunyai beberapa rangkaian
perniagaan terbesar di Malaysia.
Bukan itu sahaja, malah TG Holdings juga
mempunyai beberapa projek kerjasama dengan beberapa
syarikat gergasi dari luar negara. Pendek kata, TG Holdings
merupakan syarikat pembinaan yang cukup kukuh
ekonominya ketika ini.
“Okeylah kalau macam tu. I tak akan halang you.
But… you have to promise. Kita jumpa lagi malam ni
darling, spend time together like last night. I tak puas la nak
bermanja-manja dengan you.” Suara Sellina beralun manja.
Tengku Iskandar hanya tersenyum. Tidak berkata
ya, tidak juga berkata tidak. Dia tidak mahu berjanji kerana
kelak Sellina akan menuntut janjinya itu. Dia tidak mahu ada
ikatan dengan Sellina. Gadis itu hanya teman bersosial.
Sebelum dia pergi meninggalkan Sellina, gadis
seksi itu sempat menghadiahkan ciuman hangat ke bibirnya.
Ciuman pagi yang cukup berahi. Ah… Sellina, dia memang
pandai menggoda!
BERGEGAS TENGKU Iskandar masuk ke ruang pejabat. Jam
di tangan berulang kali dipandang. Takut andai dia terlebih
dari masa yang telah mummy tetapkan.
“Morning boss,” sapa Syeeda penuh hormat.
“Morning… where is Tengku Mummy?” tanyanya
kepada Syeeda yang berdiri tegak di tempatnya itu. Semua
orang di dalam ofis itu memanggil Tengku Maria dengan
panggilan Tengku Mummy.
“Ada dekat dalam bos,” beritahu Syeeda.
“Dah lama dia tunggu?”
Syeeda mengangguk. “Dah hampir sejam Tengku
Mummy tunggu bos.”
Tengku Iskandar mengetap bibir. Mampuslah dia
kena ceramah percuma daripada mummynya pagi ini. Ini
yang buat jiwanya jadi lemah. Dia paling tak suka awal pagi
lagi sudah ‘dicuci’ telinga oleh mummy. Mummy kalau
sudah membebel, mahu sampai esok pagi pun belum tentu
akan tamat. Itu yang dia tak suka.
Sebelum melangkah masuk, dia sempat berdoa
semoga mood mummy tidaklah ke laut sangat agar ceramah
paginya tidak panjang berjela.
Tersenyum Syeeda melihat tingkah ketuanya itu.
Tengku Iskandar ni memang kaki perempuan. Sampaikan
dia pening kepala nak melayan kerenah setiap teman-teman
wanita Tengku Iskandar itu. Tapi apabila berdepan dengan
Tengku Mummy, kecut anak jantan seorang itu dibuatnya.
Dengan Tengku Mummy jangan main-main. Semua staf di
TG Holdings ini takut kepadanya. Serius dua puluh empat
jam. Syeeda sendiri pun takut kepada Tengku Mummy.
“Hai, mummy!” sapa Tengku Iskandar bersama
senyuman manis di bibir.
Mencerlung tajam wajah Tengku Maria memandang
anak tunggalnya itu.
“Dah tak pandai bagi salam? Dah terikut sangat
budaya orang barat?”
Bertalu Tengku Maria melontarkan soalan sinis
kepada anak tunggal yang semakin hari semakin liar pula
perangainya itu. Menyesal dia hantar Tengku Iskandar belajar
ke luar negara dalam usia yang begitu muda dulu. Kalau tahu
budaya ini yang anaknya bawa balik ke Malaysia, baik dia
sekolahkan saja Tengku Iskandar di Malaysia.
Sekurang-kurangnya takdelah matanya sakit tengok
budaya barat yang dibawa balik bersama. Mujur jugalah
Tengku Iskandar tidak berpakaian pelik dengan bertindik
dan berfesyen rambut yang jelik. Jika tidak, mahu pengsan
agaknya dia.
Tengku Iskandar tersengih. “Errr… sorry.
Assalamualaikum mummy.”
“Waalaikumussalam.”
“Sorry la… Is lambat sikit sebab jalan sesak sangat.”
Tengku Iskandar memberi alasan. Dia meletakkan briefcase
atas meja. Tangan mummynya dicapai lalu disalami.
Kemudian pipi wanita itu pula dikucup kiri dan kanan.
Punggung dilabuhkan di atas sofa berdepan dengan Tengku
Maria yang mencuka sejak dia masuk tadi. Langsung tidak
mahu tersenyum kepadanya.
“Jalan jammed or… Is tak balik kondo semalam?”
sindir Tengku Maria dengan mata menjeling anak bujangnya.
Bukan dia tak tahu aktiviti sosial Tengku Iskandar yang
gemar berpelesiran dengan perempuan-perempuan yang
memang awal-awal lagi sudah ditendang dalam senarai calon
menantunya.
Tersengih Tengku Iskandar mendengar sindiran
mummynya. Macam tahu-tahu saja yang dia tak bermalam
di kondonya itu semalam. Mummynya ni macam Nujum Pak
Belalang. Entah-entah mummynya ada pasang spy tak untuk
mengintip setiap aktivitinya? Siapa tahu, kan?
“Hesy… mana ada mummy. Is tidur dekat kondo
la. Mummy ni pepandai aje nak tuduh Is yang bukan-bukan.
Berdosa tau mummy main tuduh-tuduh. Fitnah namanya
tu.” Masih nak bohong demi menutup perbuatannya daripada
dihidu mummy. Segala aktivitinya tak boleh diketahui oleh
mummy dan daddy. Pandai pula dia berkata dosa sedangkan
dosa yang dipikulnya tidak dihiraukan.
Entah sampai bilalah dia hendak berubah. Entah
sampai bilalah dia terus hanyut dalam dunia yang penuh
godaan ini. Sedangkan dia bukan lagi muda remaja. Dia
sudah dua puluh lapan tahun. Sudah sepatutnya dia
mula memikirkan urusan agama dan bukan asyik dengan
keseronokan duniawi.
Tengku Maria mengerling.
“Remember Is! Mummy dah bagi warning pada
Is. Jangan malukan mummy dan daddy. Kalau ada perkara
buruk yang mencemarkan nama baik family kita, jangan
harap Is akan pegang jawatan CEO. Segala keistimewaan Is
pun mummy akan tarik balik. Ingat tu!” ugut Tengku Maria.
Hanya dengan cara itu saja dia dapat mengawal sedikit aktiviti
sosial anaknya yang kaki perempuan itu. Tengku Iskandar
memang takut sangat jawatan CEO itu tidak diberikan
kepadanya.
“Don’t worry mummy. I still remember what I have
promised. Is takkan sekali-kali mencemarkan nama baik
keluarga kita. Mummy kena percaya pada Is.”
Tengku Maria mencebik. Cakap Tengku Iskandar
ini bukannya boleh pakai sangat. Lagi banyak auta daripada
fakta.
“Dah la! Mummy malas nak dengar kelentong Is tu.
Bukannya boleh pakai sangat pun. Cakap depan mummy lain,
belakang mummy lain yang Is buat.”
Melihat anaknya berdiam, Tengku Maria
menyambung lagi. “Macam mana dengan cadangan yang
mummy usulkan pada Is tu? Is dah fikirkan ke?”
Dia ingin tahu jawapan Tengku Iskandar. Kalau
anaknya itu bersetuju, penghujung bulan ini juga dia
dan suaminya akan datang merisik. Tengku Iskandar ini
hanya sesuai diikat dengan ikatan saja. Baru perangai kaki
perempuannya itu akan hilang.
Berkerut dahi Tengku Iskandar.
“Cadangan yang mana satu mummy? Is tak ingat la.”
Tengku Maria mengetap bibir. Nampak sangatlah
anaknya itu tidak pernah ambil serius apa yang dia perkatakan
selama ini. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Bertuah
punya anak!
“Tentang nak jodohkan Is dengan Puteri Waiduri tu
la. Dah fikir?”
Tengku Iskandar menggaru-garu tepi telinganya.
Dia sudah lupa tentang itu. Ingatkan mummynya sekadar
memberi cadangan suka-suka saja. Tak sangka mummy agak
mendesaknya dalam hal ini. Dia tak fikir pun lagi. Malas!
Lagipun dia tak berkenan dengan Puteri Waiduri anak Megat
Sufian dan Tengku Liza itu. Berlagak sangat!
“Tengku Iskandar! Dengar tak apa yang mummy
cakap ni?” keras suara Tengku Maria apabila anaknya itu
tidak menjawab pertanyaannya.
Tok! Tok! Tok!
Ketukan pada muka pintu mematikan perbualan dua
beranak.
“Come in.” Panggil Tengku Iskandar laju.
Tersembul wajah Syeeda dari muka pintu bersama
senyuman manis terukir di bibirnya. Mujurlah Syeeda ini
isteri orang. Jika masih single-mingle memang sudah kena
‘ayat’ dengan Tengku Iskandar.
“Maaf mengganggu bos, Tengku Mummy.” Penuh
sopan Syeeda mengungkap kata. Gerun dia melihat wajah
serius Tengku Maria yang tak pernah nak tersenyum itu.
Tak sama dengan Tengku Yusuf yang sentiasa melemparkan
senyuman buat semua staf di TG Holdings.
“It’s okay Syeeda. What’s up?” Tengku Iskandar
membalas. Kedatangan Syeeda menyelamatkannya daripada
terpaksa menjawab soalan mummy.
“Tengku Danish dari Istana Kristal Holding dah
sampai. Nak suruh dia masuk ke dalam atau suruh dia tunggu
di bilik mesyuarat?” beritahu Syeeda mengenai kedatangan
Tengku Danish Tengku Norman.
“Suruh Tengku Danish masuk.” Belum sempat
Tengku Iskandar memberi jawapan, Tengku Maria terlebih
dahulu bersuara.
“Baiklah Tengku Mummy.”
Syeeda keluar dan menjemput Tengku Danish
masuk ke dalam bilik Tengku Iskandar yang serba mewah itu.
“Assalamualaikum,” ucap Tengku Danish bersama
senyuman di bibir ketika melangkah masuk ke bilik Tengku
Iskandar Tengku Yusuf, bakal pewaris TG Holdings.
Tengku Maria yang jarang tersenyum itu sudah
melebarkan senyumannya kala terpandangkan wajah Tengku
Danish. Lelaki yang sudah beristeri dan mempunyai tiga
orang cahaya mata itu merupakan anak pasangan Tengku
Norman dan Ku Ana. Keluarga mereka memang berkenalan
rapat. Inilah peluang pertama mereka dapat bekerjasama
dalam menjayakan satu projek perumahan mewah.
“Waalaikumusalam.” Jawab Tengku Maria senang.
Tengku Danish bersalaman dengan Tengku Iskandar
dan Tengku Maria. Dia sudah biasa dengan dua beranak ini.
Tiada apa yang hendak disegankan. Cuma dalam hal urusan
kerja, inilah kali pertama mereka bekerjasama. Dia berharap
agar kerjasama itu membuahkan hasil yang lumayan.
“Tengku Mummy apa khabar?” Sekadar berbahasa,
Tengku Danish bertanyakan khabar wanita yang usianya
hampir sebaya dengan bondanya itu.
“Alhamdulillah. Tengku Mummy sihat. Bonda
Danish macam mana? Dah lama Tengku Mummy tak jumpa
dia.”
“Bonda sihat, Tengku Mummy. Alhamdulillah.”
“Okeylah. Danish dan Is bincanglah. Tengku
Mummy nak balik. Ada kerja yang perlu buat dekat butik.
Nanti sampaikan salam Tengku Mummy pada bonda Danish
ya. Ada masa tu jemputlah datang ke rumah. Dapat juga
sembang panjang.”
Tengku Danish mengangguk.
“Insya-Allah Tengku Mummy.”
Tengku Iskandar sudah bangun dari duduknya. Dia
mendekati Tengku Maria lalu menyalami tangan mummynya.
Setelah Tengku Maria menghilang, Tengku Iskandar
menjemput Tengku Danish duduk. Mereka memulakan
perbincangan mengenai projek Royal Kondominium yang
bakal dijayakan bersama. Projek perumahan mewah yang
menelan belanja berjuta-juta ringgit antara TG Holdings
dan Istana Kristal Holding. Dua syarikat gergasi yang cukup
terkenal di ibu kota.

No comments:

Post a Comment