Thursday, 26 May 2016

Isteri Dalam Sangkar - Bab 6

TENGKU Iskandar menghirup udara segar pagi
itu. Udara yang tidak dapat dihirup di kota metropolitan
seperti di Kuala Lumpur. Di sini, udaranya cukup segar
tanpa sebarang pencemaran. Pemandangan juga indah
dengan kehijauan pokok dan bukit bukau. Malah di sini tiada
kesesakan seperti yang selalu dilaluinya.
Dingin pagi yang menggigit tubuhnya langsung
tidak dihiraukan. Biarpun dia memakai sweater membalut
tubuh sasanya, namun dingin suhu masih lagi terasa. Suhu
di Cameron Highlands memang sejuk. Tetapi itu tidak
menjadi masalah untuk dia leka memerhati keindahan yang
terbentang luas di depan mata.
Bukan sekali dua dia ke sini. Sudah banyak kali dia
datang ke Cameron Highlands. Percutiannya itu pasti akan
ditemani wanita-wanita berdahi licin. Tempat-tempat sejuk
begini, memang sesuai mengajak salah seorang ‘gundik’nya
demi menghangatkan tubuh yang dingin.
Cameron Highlands bukan sekadar pusat peranginan
tetapi ia juga terkenal dengan pengeluaran hasil tanaman
seperti teh, buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan
yang bermutu tinggi. Kebanyakan tanaman yang terdapat di
sini jarang didapati di tempat lain terutama di Kuala Lumpur.
“Kau tak nak gerak lagi ke?” suara Tengku Haziq
mematikan lamunan Tengku Iskandar yang ralat menikmati
pemandangan nan indah di tanah tinggi Cameron Highlands.
“Kau dah siap?” pertanyaan dibalas dengan
pertanyaan. Sedari tadi dia sudah bersiap. Hanya menunggu
Tengku Haziq saja. Adik sepupunya itu bersiap mengalahkan
orang perempuan. Pandai saja mengutuknya sedangkan
Tengku Haziq juga dua kali lima sama saja.
“Aku dari tadi lagi dah siap. Tinggal nak tunggu kau
aje keluar dari bilik. Ingatkan kau masih tidur. Maklumlah…
kau kan biasanya mana reti nak bangun awal.” Balas Tengku
Haziq sempat menyindir.
“Aku bangun lagi awal dari kau. Kau tu yang lambat
bersiap. Mengalahkan orang perempuan.” Kali ini giliran
Tengku Iskandar pula membalas sindiran.
“Alaaa… kau mengata aku, kau tu pun dua kali
lima aje dengan aku.” Tidak mahu mengalah, Tengku Haziq
menjawab lagi.
Sebenarnya Tengku Iskandar dengan Tengku
Haziq ini perangai lebih kurang sama saja. Dua-dua jenis
tak mahu mengalah. Dulu waktu mereka kecil-kecil, selalu
jugalah mereka bergaduh. Sampai naik pening Tengku Maria
meleraikan pergaduhan mereka. Namun pergaduhan mereka
berdua tak adalah mengambil masa berhari-hari. Cukup
sejam, mereka baiklah kembali. Siap boleh bergelak ketawa
lagi. Hinggalah mereka sudah dewasa ini, perangai itu masih
lagi sama.
“Sudahlah! Aku malas nak bertekak dengan kau. Aku
dah lapar gila ni. Jom kita gerak cari makan.” Ujar Tengku
Iskandar sambil melangkah masuk ke dalam. Perutnya sudah
mula berkeroncong minta diisi. Tempat sejuk seperti ini
membuatkan perutnya cepat saja lapar.
Mereka masuk ke dalam perut kenderaan.
“Kita nak ke mana?” tanya Tengku Haziq sambil
memasang tali pinggang keledar.
“Kita cari makan dulu. Then baru fikir nak ke mana.”
Balas Tengku Iskandar yang sudah menghidupkan enjin
kenderaannya.
“Kau nak makan kat mana?”
Tengku Iskandar menjongket bahu. Belum tahu nak
makan dekat mana. Tekaknya yang lebih kepada selera ‘orang
putih’ ini biasanya tak masuk dengan masakan Melayu. Tak
ada kelas kononnya.
“Kita makan nasi lemak dekat gerai tepi jalan tu
la. Teringin pula aku nak makan nasi lemak pagi ni.” Pinta
Tengku Haziq. Dia tahu selera Tengku Iskandar bagaimana,
cuma dia memang teringin sangat nak makan nasi lemak.
“Nasi lemak? Dekat gerai tepi jalan tu? Huh… tak
naklah! Apa kelas makan kat gerai tepi jalan tu. Banyak habuk
dan kotor!” penuh sombong Tengku Iskandar menolak.
“Kau ni tak elok cakap macam tu. Tak semestinya
makanan kat gerai tu berhabuk dan kotor. Kau tak pernah
rasa, mana kau tahu penangannya. Cuba kau rasa sekali.
Perghhh… pasti kau nak berkali-kali. Sedap!”
Mencebik bibir Tengku Iskandar mendengar pujian
Tengku Haziq.
“Dah! Kalau kau teringin sangat nak makan nasi
lemak, cari aje dekat Cool Resort. Dekat sana, nasi lemak
lagi sedap dari kat gerai tepi jalan.” Putus Tengku Iskandar
akhirnya.
Tengku Haziq sudah tiada daya mahu berkeras. Dia
dah arif sangat dengan tempat pilihan abang sepupunya itu.
Pastinya tempat-tempat yang mempunyai standardnya yang
tersendiri.
“TANGAN KAK Aisyah yang cedera tu dah okey ke?” tanya
Meon.
Aisyah yang sedang memasukkan buah-buah
strawberi ke dalam polistirena berpaling. Tersenyum dia
kepada Meon. Kecik-kecik dah pandai cari rezeki. Simpatinya
dia kepada nasib Meon, cuma apalah dayanya untuk menolong.
Dia sendiri tak punya apa-apa simpanan untuk membantu.
Semua simpanannya sudah diambil mak su untuk diserahkan
kepada Fasha.
Berkecai hatinya apabila duit yang selama ini
disimpan dalam ASB itu mak su desak dia ambil untuk
kegunaan pembelajaran Fasha. Hendak melawan, namun
apalah daya. Dia sudah faham benar dengan perangai mak su.
“Dah okey sikit Meon. Dah tak sakit sangat macam
semalam, cuma balutan ni belum boleh buka lagi.”
“Kesian Kak Aisyah. Tak pasal-pasal nyaris kena
langgar.” Meon memandang Aisyah. Dia tahu penderitaan
gadis yang dipanggil kakak itu. Aisyah sering menjadi
mangsa seksa Puan Ainin dan Fasha yang bongkak. Dia ingin
membela namun siapalah dia. Hanya orang suruhan di mata
Puan Ainin yang berlagak seperti bos besar itu.
“Dah nasib akak Meon. Takpelah. Lagipun bukannya
akak cedera teruk pun. Takat luka kat telapak tangan ni aje.”
“Kak Aisyah ni baik sangatlah. Pasal tu semua orang
suka ambil kesempatan ke atas Kak Aisyah. Terutama mak cik
yang garang dan anaknya yang berlagak tu.”
Aisyah sekadar tersenyum. Ros juga kata begitu. Dia
ini terlalu baik sangat sehingga ramai yang ambil kesempatan
atas kebaikannya. Dia juga tahu siapa yang dimaksudkan
Meon mak cik garang dan anak yang berlagak itu. Siapa lagi
kalau bukan mak sunya dan Fasha. Meon sudah kerap dengar
mak su dan Fasha marah-marah kepadanya.
Mula-mula dulu dia segan juga kena marah depan
Meon. Tapi lama-kelamaan dia sudah biasa dengan situasi itu.
Malah Meon juga sudah biasa dengar dia kena maki hamun.
Pernah sekali Meon membelanya. Tak pasal-pasal Meon pula
yang kena sembur dengan mak sunya. Kasihan pula dia
dengar Meon kena hina dengan mak su.
“Kak Aisyah kenal ke siapa orang yang nyaris langgar
Kak Aisyah tu?”
Aisyah menggeleng.
“Akak tak kenal la Meon. Mereka bukan orang
kampung. Nampak gaya macam orang luar aje. Mungkin
datang bercuti kut kat sini.”
“Huh! Dahlah orang luar, bawak kereta pula
laju-laju. Tak patut betul!”
Tersenyum saja Aisyah mendengar komen Meon.
Tangannya masih ligat menyusun buah-buah strawberi yang
merah ranum ke dalam polistirena untuk dibungkus. Jika
sudah siap dibungkus, senanglah pelanggan nak beli. Buah
strawberi itu dipetik dari kebun peninggalan arwah abah dan
emaknya.
“Dik… buah strawberi ni berapa sekilo?”
Suara seorang lelaki membuatkan Aisyah dan Meon
berpaling. Aisyah mengecilkan sedikit anak matanya. Baru
semalam dia dihidangkan dengan wajah yang tak lokek
dengan senyuman itu, hari ini ketemu lagi. Memang sesuatu
yang tak disangka. Dan... jika lelaki ini ada, tentulah ‘Tengku
Harimau’ itu pun ada sekali.
Tekaan Aisyah tepat. Ketika dia melarikan pandangan
ke sebelah kanan Tengku Haziq, matanya disajikan dengan
wajah kelat Tengku Iskandar.
‘Hesy… dia ni! Tak tahu nak senyum agaknya. Asyik
nak mencuka aje.’ Hati Aisyah mengomen.
“Aisyah!!!”
“Tengku Haziq! Buat apa dekat sini?” Aisyah bangun
dari duduk dan melangkah ke depan gerai itu.
“Soalan bodoh! Datang sini mestilah nak beli buah.
Takkan nak beli buku pulak.” Belum sempat soalan Aisyah
dijawab, Tengku Iskandar terlebih dahulu menjawab. Sinis
dan pedas jawapannya.
Mencerlung tajam mata Tengku Haziq memandang
Tengku Iskandar. Tak bolehkah nak cakap elok-elok? Sesuka
hati saja cakap begitu. Entah sampai bilalah sikap sombong
abang sepupunya itu akan hilang. Dia sendiri dah semakin
rimas. Dua kali lima saja dengan perangai Puteri Waiduri.
Tapi apabila Tengku Mummy nak jodohkan dia dengan gadis
kota itu, tak nak pulak. Tahu pula dia gelabah.
Jawapan Tengku Iskandar itu mengecilkan hati
Aisyah. Sedarlah dia ini tak punya pelajaran tinggi. Setakat
SPM saja, tapi janganlah beri jawapan begitu. Beginikah
perangai orang bijaksana yang belajar sampai ke universiti?
Suka memandang rendah kepada orang-orang sepertinya.
“Teringin nak makan buah strawberi, tu yang datang
singgah. Tak sangka pula awak kerja kat sini. Eh, pandai-pandai
saja saya ni kata awak kerja kat sini. Entah-entah ini gerai
awak tak?”
“Eh… tak. Memang saya kerja aje kat sini.” Jawab
Aisyah menidakkan tekaan Tengku Haziq. Biarlah orang lain
tak tahu gerai buah ini gerai peninggalan arwah abah dan
emaknya. Biarlah dia hanya dianggap kuli saja di gerai buah
sederhana besar ini.
Meon yang masih menyusun buah-buah strawberi
ke dalam polistirena hanya menggeleng-gelengkan kepalanya
mendengar kata-kata Aisyah. Aisyah memang begitu. Tak
pernah nak mengaku gerai ini miliknya. Dia lebih senang
mengakui dirinya pekerja di sini. Pasal itulah Puan Ainin
berkuasa penuh di gerai ini. Bukan gerai ini saja, malah
kebun buah strawberi itu pun Aisyah juga yang punya, tetapi
yang memungut hasilnya setiap bulan pastinya Puan Ainin
yang tak tahu malu itu.
“Ziq, cepatlah! Kau ni nak beli buah ke nak jual
ayat?” sindir Tengku Iskandar yang sudah mula kurang
senang apabila Tengku Haziq beramah mesra dengan gadis
kampung itu. Dia tak betah nak berlama di situ.
Merah padam wajah Tengku Haziq jadinya. Segan
apabila Tengku Iskandar berkata begitu di depan Aisyah.
“Bagi saya strawberi ni sekilo.” Minta Tengku Haziq.
Aisyah mengangguk. Dia memasukkan buah-buah
strawberi yang merah ranum ke dalam bakul dan
menimbangnya. Diberi lebih daripada yang diminta.
Inilah yang dia lakukan setiap hari. Bersedekah kepada
pelanggan-pelanggan yang datang membeli di gerainya.
“Ini buahnya.”
Plastik warna putih bertukar tangan.
“Berapa?” tanya Tengku Haziq sambil mengeluarkan
dompet dari poket belakang seluar yang dipakai.
Aisyah menggeleng.
“Tak payah. Saya belanja.”
“Eh, mana boleh macam tu. Awak pun kerja jugak
kat sini. Nanti majikan awak potong gaji awak pulak. Cakaplah
berapa harganya.”
“Takpe. Saya ikhlas belanja Tengku Haziq. Lagipun
semalam Tengku dah tolong bayar kos rawatan dan
ubat-ubatan saya.”
“Semalam tu memang salah kami pun. Memang
patut saya tanggung semuanya. Tak perlulah awak balas
pulak.”
Sekali lagi Aisyah menggeleng-geleng.
“Saya bukan beri sebagai balasan untuk semalam.
Saya beri ikhlas ni.”
“Ziq!” Tengku Iskandar yang sudah menunggu di
dalam perut kenderaan memanggil nama Tengku Haziq
dengan keras. Sakit pula matanya melihat Tengku Haziq
bersembang lama-lama dengan gadis kampung itu.
Tengku Haziq mengeluh. Segan nak ambil buah
strawberi itu tanpa dibayar.
“Ambillah Tengku. Saya ikhlas.” Ujar Aisyah penuh
mengharap.
“Kalau awak dah kata macam tu, saya tak boleh nak
menolak. Pepatah ada kata, rezeki jangan ditolak, musuh
pula jangan dicari. Terima kasih Aisyah.”
Aisyah mengangguk sambil tersenyum.
“Sama-sama.”
“Saya pergi dulu. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Setelah kenderaan yang dipandu Tengku Iskandar
meluncur laju meninggalkan kawasan gerai tersebut, Meon
datang meletakkan beberapa bungkusan buah strawberi yang
sudah dibungkus ke depan gerai. Sedari tadi dia hanya jadi
pendengar saja. Teringin juga nak tahu siapa lelaki berdua
itu. Nampaknya seperti Aisyah mengenali mereka.
“Kak Aisyah kenal mereka ke?”
Aisyah mengangguk.
“Haah. Baru kenal semalam.”
“Owh… patutlah Kak Aisyah boleh sembang panjang
dengan lelaki kulit putih tu.” Panjang bunyi ‘O’ yang keluar
dari mulut Meon. “Tapi kan Kak Aisyah… lelaki yang sorang
lagi tu sombong, kan? Kasar aje dia bercakap. Main lepas je.”
Meon sambung mengomen. Kali ini komennya hanya untuk
Tengku Iskandar sahaja.
“Biarlah Meon. Dia sekolah tinggi. Akak ni setakat
tingkatan lima aje. Pasal tu kut dia kata akak buat soalan
bodoh.”
“Kak… Meon ni lagi la. Setakat tingkatan dua aje,
lepas tu berhenti sekolah. Orang kata Meon malas, tapi
sebenarnya diaorang tak tahu apa yang Meon lalui. Meon
nak bantu mak. Nak harapkan ayah, kami semua tahu ayah
tak akan balik lagi pada kami. Ayah dah senang kut sekarang
ni duduk kat Sarawak tu dengan isteri baru dia.” Keluh
Meon hiba. Kemudian dia kembali semula ke belakang.
Menyambung kerjanya yang terbantut.
Sayu rasa hati Aisyah mendengar keluhan Meon.
Dia tahu ayah Meon sudah dua tahun berpisah dengan Mak
Kiah. Ayah Meon ke Sarawak mengikut seorang janda kaya.
Ditinggalkan isteri dan anak-anaknya di Cameron Highlands
ini tanpa rasa simpati.
Begitulah... jika sudah kemaruk dan mabuk dengan
cinta, anak-anak dan isteri memang dah tak ingat. Dalam
kepala asyik memikirkan cinta baru. Sedangkan dia tak
tahu yang hidup susah bersamanya selama ini ialah si isteri
pertama yang dinikahi.
Aisyah memandang ke jalan raya. Toyota Harrier
putih itu sudah lama menghilang. Namun kata-kata yang
dilemparkan Tengku Iskandar kepadanya sebentar tadi masih
lagi terngiang-ngiang di cuping telinga.

No comments:

Post a Comment