Tuesday, 24 May 2016

Kerana Aku Untukmu - Bab 11

Sudah tiga hari Zenia terlantar lesu di atas
katil kerana diserang demam. Mungkin tubuhnya tidak kuat
menghadapi kesakitan akibat kemalangan dan juga kekasaran
Fakhry tempoh hari. Sepanjang tempoh tersebut, tidak pernah
walau sekali Fakhry menjenguk dia di bilik.
Bukan lelaki itu tidak tahu dia terlantar di atas katil
dan tidak kuat untuk bergerak. Jangankan mahu menjaga atau
memberi perhatian, sebaliknya Fakhry masih meneruskan rutin
hidup seperti biasa seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
Setiap malam lesap dari rumah dan merambu entah ke mana.
Dan kerana tidak berdaya untuk bergerak, kadangkala
sampai ke petang Zenia tidak menjamah sebarang makanan.
Jika sudah terlalu lapar, barulah dia menggagahkan diri untuk
menanak semangkuk bubur di dapur. Dan dia juga bergantung
sepenuhnya kepada panadol supaya demam yang agak tinggi
itu kebah. Mahu mengajak Fakhry ke klinik, Zenia yakin dia
terpaksa menghadap hamburan lelaki itu terlebih dahulu. Baik
tak usah.
Dalam keadaan begini, mudah benar air mata Zenia
mengalir. Jelas sekali takdir hidupnya tidak sebaik gadis-gadis
lain. Terikat dengan perkahwinan tanpa cinta meletakkan
dirinya dalam keadaan yang amat sukar. Terlalu sukar. Entah
sampai bila dia perlu bersabar dan mengharap Fakhry akan
berubah menjadi seorang suami yang baik. Setakat dua tahun
ini, secebis tanda positif pun tidak ada. Makin teruk ada la!
Dalam pada termenung dan mengelamun, bunyi
deringan telefon bimbit mengejutkan Zenia. Dia yang sedang
berbaring di atas katil segera mencapai telefon bimbit di meja
sisi. Terpandangkan nombor yang tertera, dia yakin panggilan
itu datang dari pejabatnya. Mungkin daripada Puan Amira
kerana dia sepatutnya kembali ke pejabat hari ini, tapi badannya
masih lemah dan tidak kuat. Dia tidak mahu menyusahkan
rakan-rakan di pejabat jika dia jatuh pengsan di sana.
“Helo…” Sapanya perlahan.
“Hai Zenia.”
Zenia tergamam. Suara lunak yang didengari di
corong telefon benar-benar mendebarkan hati. Seketika dia
mengalihkan telefon bimbit tersebut dari telinga, memandang
dada skrin dengan riak tidak percaya. Biar betul Darriz Imdad
yang telefon dia? Beroleh sedikit ketenangan, telefon bimbit
kembali dibawa ke telinga.
“Err… hai.” Jawab Zenia dengan suara dikawal
sebaiknya.
“Zenia, are you okay?”
“Eh, I okey Encik Darriz. Ada apa-apa saya boleh tolong
Encik Darriz?” Soal Zenia menutup keadaan sebenar.
Hakikatnya dia sendiri masih terasa seperti mimpi
apabila menerima panggilan daripada Darriz Imdad. Tak ke
pelik CFO telefon sendiri staf dia? Ini mesti minta nombor
telefon dia dari HR Department ni!
“Kenapa you tak masuk office hari ni, you sambung
MC lagi ke?”
Walaupun suara itu kedengaran tenang, namun Zenia
mula disapa cuak. Memang silapnya kerana dia terlupa untuk
memaklumkan kepada Puan Amira tentang cuti kecemasan
yang diambilnya hari ini.
“Err… sorry Encik Darriz, I terlupa nak informed
Puan Amira. I tak berapa sihat, I terpaksa ambil EL.” Luahnya
serba salah.
“Oh, EL?”
“Ya, Encik Darriz.”
“You still belum sihat, Zenia?”
Kelat senyuman terukir di bibir Zenia. Tubuh yang
sejak tadi berbaring, kini ditegakkan di atas katil. Masih ketara
kesakitan yang bergayut di segenap sendi. Entah sakit kerana
kemalangan, atau akibat dipukul Fakhry, dia sendiri tidak pasti.
“Actually I cuma demam dan kena flu sikit Encik
Darriz. Sorry sebab lambat inform office pasal ni…”
“No, don’t worry about that. Tadi I ada meeting dengan
Finance Department, dan I perasan you tak ada kat situ. Sebab
tu I tanya keadaan you.”
“Thanks Encik Darriz, tapi I tak sakit teruk pun.”
“Good to hear that. So siapa jaga you kat sana?”
Rapat Zenia mengetap bibir. Kalau diceritakan yang
benar, dia yakin Darriz Imdad akan jatuh simpati kepadanya.
Dan dia tidak suka begitu. Biarlah rahsia rumah tangga kekal
menjadi rahsia, tidak perlu dihebahkan kepada orang luar
terutama sekali kepada orang yang baru dikenalinya.
“Fakhry pun ambil cuti jaga I, Encik Darriz.”
Bohongnya lancar. Seketika suasana hening dan sepi. Tidak ada
walau sepatah kata daripada sesiapa.
“Okay Zenia, take a good rest. Bila you dah rasa
betul-betul sihat, baru you masuk office okey...”
“Thanks Encik Darriz. Tapi Encik Darriz call I ni ada
hal penting ke nak beritahu?”
“No, nothing.”
Terpinga-pinga Zenia dengan balasan Darriz Imdad.
Jika tidak ada urusan penting berkaitan dengan kerja di pejabat,
kenapa rajin benar lelaki ini menghubunginya?
“I just wanted to check on you, just so you know I
care…”
“Err… excuse me Encik Darriz?”
“Nothing, Zenia. Take care, I’ll see you soon. Bye.”
Klik! Talian dimatikan tanpa sempat dia membalas
apa-apa. Dengan sedikit debaran di dada, Zenia menatap dada
skrin telefon bimbit yang kini gelap. Sungguh! Dia tidak
mengerti apa tujuan Darriz Imdad menghubunginya. Pelik!
“Oh god, what have I done?”
Kelam-kabut Darriz Imdad meletakkan gagang telefon.
Nafas yang menderu laju membuatkan dada berombak kuat.
Berasa rimas, butang baju kemeja di bahagian leher pula
dilucutkan. Masih kuat jantung berlari, masih terasa kebas
muka dan pipi. Apa yang sudah dia buat?
Tangan melurut rambut dengan perasaan serba
salah. Semua ini memang silapnya, dia yang terlalu mengikut
perasaan di hati! Sukar dinafikan hidupnya mula terasa kosong
setelah tiga hari tidak menatap wajah Zenia. Resah, gelisah, dan
dia terlalu bimbang tentang kesihatan gadis itu. Bila ditanya
kepada Amira, ketua di jabatan Zenia itu sendiri tidak tahu ke
mana Zenia pergi. Mahunya dia tak risau!
Dan atas desakan hati, dia menebalkan muka meminta
Asmida mendapatkan nombor telefon Zenia dari Human
Resource Department. Dan harap-harap tidak ada yang tersalah
sangka dengan niatnya. Kalau timbul gosip dia sibuk terkejarkan
isteri orang susah juga. Dan paling penting dia tidak mahu
Zenia yang menanggung malu kerana gosip seperti itu.
Nafas dihela panjang sebelum menyandarkan tubuh ke
kerusi. Terkebil-kebil mata memandang ke siling bercat putih
yang dihiasi lampu downlight kekuningan.
Demi Tuhan, dia tidak mahu berkeadaan begini. Jatuh
cinta dan memendam perasaan kepada gadis yang salah. Bukan
tidak ada perempuan lain di hadapan mata, malahan ramai yang
sudi menghulur tangan untuk dipimpin olehnya. Cuma itulah,
hati tidak pula rasa berkenan. Parah sungguh!
Ketukan di pintu melenyapkan bayangan indah milik
Zenia. Darriz Imdad pantas menegakkan tubuh dan pura-pura
sibuk membelek fail laporan di atas meja.
“Masuk.” Arahnya dengan nada serius.
“Encik Darriz, Cik Erika dah sampai. Boleh dia masuk
sekarang?”
Pertanyaan Asmida membawa fikiran kepada banker
yang sering berbalas e-mel dengannya kebelakangan ini.
Memang dia ada menyuruh Amira mengaturkan pertemuan
dengan Erika kerana dia mahu membincangkan hal-hal
berkaitan Trade Banking bersama wanita itu. Lebih mudah jika
dia mendengarnya dari pihak bank sendiri.
“Yes, Asmida. Suruh dia masuk.” Putusnya tanpa
mengangkat muka kepada Asmida.
Beberapa saat menunggu, hidung Darriz Imdad disapa
dengan bauan yang cukup lembut dan harum. Bunyi detak
tumit stiletto pula menyapa telinga. Perlahan dia mengangkat
muka, memandang lurus ke arah pintu. Dan kini anak mata
tepat memanah ke sesusuk tubuh tinggi lampai yang anggun
dalam sepersalinan korporat. Wajah berkulit cerah yang dihiasi
dengan mekap tipis pula menjadi habuan mata. Cantik. Not bad
at all. Desis hatinya memuji.
Menyedari keterlanjuran mata yang galak memerhati,
Darriz Imdad segera bangkit berdiri. Senyuman diukir seadanya
tanda menyambut kedatangan gadis muda bernama Erika itu.
“Encik Darriz Imdad?” Soal Erika yang seraya
tersenyum mesra. Tangan dihulur, seketika mereka saling
berbalas genggaman.
“Yes, nice to meet you Miss Erika.”
Erika tertawa, mempamerkan lesung pipit mahal yang
terbias di pipi. Kembang kuncup juga hatinya kerana CFO baru
di Palaco Group Berhad ini masih muda dan amat bergaya. Jauh
berbeza dengan Mr. Joseph yang tua dan sudah separuh botak
dahulu.
“Just call me Erika, and nice to meet you too.”
“Have a sit, please.”
“Thanks.” Balas Erika dengan senyuman tidak lekang
dari bibir. Walaupun hati berasa cukup teruja, namun sedaya
upaya dia cuba mengawalnya. Bukan mudah mahu kelihatan
tenang di hadapan lelaki tampan yang tampak begitu berkarisma
ini.
“Thanks for coming. Anyway ada you bawa
dokumen-dokumen dan brochure yang I minta?” Tanya Darriz
Imdad terus kepada tujuan gadis itu dipanggil ke sini.
“Ada, semuanya ada dalam computer I ni. Kita nak
discuss sekarang?”
Sekilas Darriz Imdad mengerling kepada jam di
pergelangan tangan yang sudah menginjak ke pukul dua belas
tengah hari. Seperti tidak sesuai pula dia mengatur pertemuan
pada waktu-waktu begini. Sekarang ini waktu makan dan
perbincangan mereka mungkin akan berlanjut panjang.
“Hmm… you dah lunch?”
“Err… I?” Terpinga-pinga Erika memandang wajah
tenang Darriz Imdad. Baru pertama kali mereka bertemu dan
kini lelaki berjawatan tinggi ini sudah mahu mengajak dia
keluar makan? Oh indahnya!
“Yes, I’m talking to you Erika.” Darriz Imdad tertawa
kecil. “Sekarang dah lunch hour, kalau you belum makan
kita turun ke kafé bawah dulu. Lepas makan lebih selesa nak
berbincang, kan?”
“Actually I belum lunch lagi, but sure ke you okey
kalau kita makan dulu?”
“Sure, no problem. Come, kita turun makan dulu.”
Melihat Darriz Imdad sudah bangkit dan mencapai kot
yang tersangkut di penjuru bilik, Erika segera bingkas berdiri.
Sempat juga tangan membetulkan skirt pendek separas lutut
agar kelihatan kemas sempurna. Mahu berjalan di sisi lelaki
sehebat Darriz Imdad, sudah tentu dia perlu kelihatan elok
segenap sudut.
“Are you ready?” Soal lelaki itu dengan senyuman
lembut.
Terpana Erika buat ke sekian kalinya. Lelaki ini bukan
setakat segak, kacak, kaya, malahan cukup gentleman dan
berkarisma. Pantas kepala dianggukkan dengan riak ceria.
“THANKS FOR the treat, Encik Darriz.” Luah Erika seraya
mengelap bibir dengan napkin. Menyedari sepasang mata redup
itu terhala kepadanya, tangan segera mencapai gelas tinggi
berisi air kosong. Diteguk penuh sopan dan santun.
Mendengar ucapan penghargaan daripada Erika, Darriz
Imdad tersenyum kecil. Sepanjang waktu makan tengah hari
ini, memang dia berasa amat selesa berbual-bual dengan Erika.
Erika kelihatan cukup tenang ketika menerangkan
tentang fasilitet trade banking yang disediakan oleh bank yang
diwakili olehnya. Sukar dinafikan yang dia mudah tertarik
kepada wanita berkerjaya yang sentiasa tampil yakin. Tampak
seksi dan mempesona di pandangan matanya.
“No problem Erika. But I hope you boleh tolong
staf-staf I dapatkan Letter of Credit dan bank guarantee on time
lepas ni.”
“Sure, I boleh usahakan pasal tu. Dan I minta maaf
bagi pihak SMD Bank sebab banyak application dari Palaco
Group yang delayed sebelum ni Encik Darriz. I akan pastikan
perkara macam tu tak berlaku lagi.”
“Appreciate that, thanks Erika.”
Tersenyum simpul Erika dengan kemesraan lelaki
segak ini. Bukan dia tidak nampak berapa banyak mata yang
menjeling kepada mereka sepanjang sejam dia berada di
hadapan Darriz Imdad di kafé ini. Sedikit sebanyak memang
terselit perasaan bangga di celah hati.
“Kalau Encik Darriz nak tahu lebih lanjut, nanti I akan
e-melkan semua detailsnya. Encik Darriz boleh ambil masa
untuk baca dan faham dengan apa yang SMD Bank tawarkan.”
“Darriz.”
Tiba-tiba saja lelaki itu membalas dengan sesuatu yang
tidak jelas. Mata Erika yang menunjuk riak kehairanan berlaga
tepat dengan pandangan redup Darriz Imdad. Jantung berlari
kencang. Bergetar perasaan di jiwa apabila melihat senyuman
manis yang terukir di bibir yang sedikit kemerahan itu. Oh
Tuhan, memang boleh tergoda dibuatnya!
“Err… I tak faham.”
“Just call me Darriz.”
Terdengar kata-kata itu, perasaan di hati Erika kembali
berbunga-bunga. Apabila pangkat encik sudah dibuang di
pangkal nama, ia membawa maksud kepada hubungan yang
lebih santai dan kasual. Tapi dengan lelaki sehebat ini? Memang
jackpot!
“Darriz?” Ulang Erika dengan wajah dimimikkan
tenang bersahaja. Keterujaan disimpan kemas di dalam hati.
Tanpa membalas pertanyaan Erika, Darriz Imdad
sekadar tersenyum. Kemudian dia menggamit pula pelayan
restoran supaya membawa bil makanan mereka. Setelah
selesai membuat bayaran, Darriz Imdad segera berdiri seraya
membetulkan sut di tubuhnya.
“Boleh kita naik dan diskus sekarang? Pukul tiga nanti
I ada meeting.”
“Sure, I pun tak boleh lama dekat sini.” Balas Erika
sengaja menunjuk betapa mahal setiap detik waktu yang berlalu
dalam harinya. Kemudian dia dan Darriz Imdad sama-sama
melangkah keluar dari kafé menuju ke arah lif di ruang tengah
bangunan tersebut.
“It’s okay. Kalau tak sempat habis today, kita boleh
jumpa hari lain, kan?”
“Insya-Allah, kalau I ada masa. Sometimes I kena
outstation dekat luar KL, memang tak sempat nak ke sini.”
Darriz Imdad tersenyum dengan balasan Erika.
Walaupun dia tidak mahu menjadi seorang lelaki yang over
confident, namun dia tahu Erika sekadar berlakon. Berlakon
menjadi perempuan yang dilabel sebagai ‘hard to get’. Bagus,
memang gadis ini tahu cita rasa lelaki sepertinya.
“Then I’ll call you.”
“You nak call I?”
“I tak boleh call you ke?” Duga Darriz Imdad masih
dengan senyuman di bibir.
“Eh, of course boleh. Nanti I bagi you business card I,
you boleh call I anytime.”
“Anytime?”
“Yes, anytime. Luar waktu kerja pun okey, I’m fine
with it.” Beria-ia Erika menganggukkan kepalanya. Bimbang
sekiranya lelaki berpengaruh ini berubah fikiran pula.
Dan bibir Darriz Imdad masih meleret dengan
senyuman kecil.
‘Hard to get? No, not really...’

No comments:

Post a Comment