Selesai bermesyuarat bersama ketua-ketua
jabatan, Darriz Imdad terus masuk ke dalam bilik pejabatnya.
Hari ini memang mood baik dia melayang entah ke mana. Ada
saja benda yang tidak kena di mata, tidak sedap di telinga.
Dan sungguh! Dia gagal mengawal perasaan sehingga
angin panas di hati terbawa-bawa sampai ke bilik mesyuarat.
Bukan seorang dua yang terpaksa menghadap muka kelat dan
suara tegasnya. Malahan silap yang begitu kecil sengaja pula
dia besar-besarkan demi melampiaskan kemarahan di dada. Ah,
teruk!
Sukar untuk Darriz Imdad menafikan yang hati sedang
remuk redam kebelakangan ini. Pertama kali melalui keindahan
jatuh cinta, dan pertama kali juga jiwa disakiti sebegini. Namun
hakikat tetap hakikat.
Semua yang berlaku bukan salah sesiapa, bukan juga
salah Zenia. Kesilapan itu datang daripada pihaknya, dia yang
terlebih berangan-angan. Belum pun cuba mengenali apa jenis
si bunga, tangan sudah gatal mahu memetik. Yang terluka di
jari, yang sakit di hati sudah tentu dirinya sendiri.
Keluhan berat terhela di bibir. Tubuh disandar rapat ke
kerusi dengan pandangan kosong terlempar ke hadapan. Sejak
mendapat tahu yang gadis pujaannya itu bergelar isteri orang,
dia mula berasa kesal.
Kesal kerana membiarkan perasaan indah itu
semakin mekar di jiwa. Kesal kerana dia terlalu mudah
membina angan-angan dan impian tanpa memandang
kenyataan-kenyataan yang mungkin menjadi penghalang. Dan
kini kenyataan paling hebat, Zenia ialah isteri orang. Isteri
orang adalah kategori perempuan yang tidak patut dia idamkan
walau sekadar dalam mimpi. Pangkat suami isteri terlalu mulia
pada matanya. Terlalu berharga untuk diusik atau diganggu.
Tangan naik mengelus muka beberapa kali. Kalaulah
perasaan resah dan gelisah ini dapat diusir melalui tapak tangan,
pasti dia akan terus mengelus dengan bersungguh-sungguh.
Biar hilang bayangan Zenia, biar harapan di hati terpadam
sampai bila-bila!
Jatuh cinta, memendam rasa, membina harapan dalam
diam, semua itu benar-benar menyesakkan dada. Apatah lagi
dia menyimpan perasaan kepada orang yang salah, perasaan
yang tidak seharusnya berputik walau sekelumit! Dalam
banyak-banyak bunga yang melata di bumi, entah mengapa dia
berkenan pada bunga yang tumbuh di laman orang. Macam dah
tak ada perempuan lain!
Keluhan resah terhela lagi. Sekarang dia dan Zenia
bagaikan sudah bertukar tempat. Jika dahulu Zenia yang sering
mengelak dan melarikan diri, kali ini dia pula melakukan perkara
yang serupa. Saban hari dia berasa bimbang jika bertembung
dengan kelibat Zenia, takut jika hatinya tetap berdegil mahu
terus mencuba nasib. Tapi tidak baculkah sikap dia yang mahu
merebut isteri orang?
“Encik Darriz…”
Lamunan Darriz Imdad hilang tatkala pintu biliknya
terkuak dari luar. Wajah Asmida yang manis bertudung
dipandang sekilas. Dan langkah gadis itu yang kian mendekat
membuatkan dia pura-pura sibuk membelek fail di atas meja.
“Encik Darriz tak nak join meeting dengan Finance
Department? Semua dah ready, and they all hanya tunggu
Encik Darriz saja lagi.” Ujar Asmida sopan.
Fail di tangan diletakkan di atas meja majikannya untuk
ditandatangani. Lelaki segak itu tidak langsung mengangkat
muka, malah masih mempamerkan wajah kelat dan serius.
Entah apa angin bosnya kebelakangan ini, kedekut benar mahu
tersenyum.
“Hmm.. laterlah I naik.”
“Okay, noted. I dah prepare semua fail untuk Encik
Darriz. I pass dalam meeting room nanti boleh?”
“Sure, thanks.” Darriz Imdad mengangguk sedikit.
“Kalau macam tu I keluar dulu Encik Darriz, thanks.”
Cepat-cepat Asmida beredar apabila melihat mood
ketuanya itu masih belum elok. Bimbang juga dia disembur
dan dihamun kalau terlalu lama dia menceceh di situ. Lagipun
Darriz Imdad masih baru bekerja di pejabat mereka, dan dia
masih tidak mampu meneka personaliti lelaki itu sepenuhnya.
Setakat ini memang baik, cuma kebelakangan ini saja mood
lelaki itu huru-hara entah kenapa.
Setelah daun pintu biliknya tertutup rapat, Darriz
Imdad kembali menyandarkan tubuh ke kerusi. Hati mula
kalut. Bagaimana dia mahu membuang perasaan di dada?
Bagaimana dia mahu memujuk hati supaya bertenang setiap
kali wajah Zenia singgah di mata? Mesyuarat kali ini pasti
saja menemukan mereka berdua, jadi reaksi tenang bukanlah
sesuatu yang mudah untuk dia lakukan. Sukar!
Lambat-lambat Darriz Imdad bangun dari kerusi
yang diduduki sejak tadi. Mahu tidak mahu dia harus juga
menunaikan tanggungjawab dan naik ke bilik mesyuarat. Masih
banyak agenda yang perlu dia jelaskan kepada jabatan tersebut
terutama sekali berkenaan bajet dan juga quarterly report.
Kalau dilayan rasa patah hati, memang satu apa pun tak jadi.
‘Sabarlah hati, harap-harap rasa ini tidak akan lama.’
Pujuk Darriz Imdad sendiri.
Sepanjang mesyuarat berlangsung, Zenia tidak habis-habis
menjeling jam yang tersarung kemas di pergelangan tangan.
Mesyuarat yang dijangka hanya mengambil masa dua jam,
berlarutan hampir ke tiga jam.
Perasaan di dada semakin resah dan gelisah. Sesekali
anak mata jatuh ke skrin telefon, terlalu bimbang jika telefon
bimbitnya bergetar kerana panggilan atau SMS berpuaka.
Perbincangan yang masih hangat dalam kalangan ahli
mesyuarat bagaikan sudah tidak melekat di kepala. Suara yang
pelbagai bunyi hanya singgah sepintas lalu di telinga, tidak
sempat sampai ke otak.
Kini dia lebih memberi perhatian kepada telefon
bimbit yang mungkin akan menerima SMS daripada Fakhry
bila-bila masa saja lagi. Faham sajalah suami ‘kesayangan’ dia
itu, mana reti nak bersabar!
“Puan Zenia, do you have anything to say?”
Zenia tersentak. Anak mata pantas melorot kepada
empunya suara yang bertanya dengan riak serius. Liur yang
ditelan terasa kesat. Segan dan malu apabila semua mata
menyorot pandang ke arahnya.
Bibir mengukir senyuman kelat untuk menutup
kecelaruan di dada. Pasti Darriz Imdad berjaya mengesan
dirinya yang tidak memberi tumpuan dalam mesyuarat mereka.
Ah, masak!
“Err… nothing Encik Darriz.”
Lelaki itu mengangguk dengan wajah masih serius,
kemudian kembali menyambung mesyuarat yang terhenti
seketika. Mahu tidak mahu, Zenia terpaksa menumpukan
sepenuh perhatian terhadap perbincangan yang berlangsung.
Dia tidak mahu mood Darriz Imdad yang mendung itu
menyebabkan dia ditempelak atau dimarahi.
Maklum sajalah, kebelakangan ini macam-macam
cerita singgah ke telinga. Bos besar mereka itu mula berubah
menjadi bengis dan garang. Tidak lagi semesra awal-awal
dahulu.
Mahu dikatakan stres tentang perbelanjaan syarikat,
sudah jelas nyata syarikat mereka mengaut keuntungan berlipat
kali ganda bagi suku pertama tahun ini. Angka-angka besar
memang jelas tercatat dalam laporan kewangan yang dipegang
mereka.
Namun memang jelas lelaki itu sering kali mengelak
setiap kali pandangan mereka berlaga. Kalau terlihat secara
tidak sengaja pun, renungan Darriz Imdad yang tajam bagaikan
bertambah berbisa.
Tapi kenapa? Kenapa lelaki itu memandang dia seperti
memandang seorang musuh? Atau memang dengan kakitangan
lain pun Darriz Imdad memandang dengan cara yang sama? Ah,
entahlah!
Getaran telefon bimbit di atas meja membuatkan
dada Zenia berdegup kencang. Dia menggigit bibir menahan
resah dan gelisah. Telefon bimbit tersebut dicapai dan secara
sembunyi dia segera memeriksa kiriman SMS daripada Fakhry.
Mana? Berapa lama you nak I terpacak
dekat bawah ni? You ingat I ni tiang?
Semakin tertekan perasaan Zenia. Dia sudah terlambat
dua puluh lima minit, dan dia tidak fikir Fakhry punya kesabaran
yang banyak untuk melayannya. Tapi nak buat macam mana?
Takkanlah dia mahu keluar meninggalkan bilik mesyuarat pula!
Please sabar sikit. I dalam meeting lagi ni.
Sekejap lagi habis.
Seminit kemudian SMS yang dikirim berbalas.
Bos you tu gila ke buat meeting time-time
macam ni? Jangan sampai I naik atas serbu
office you. I tunggu lagi 5 minit, if you tak
turun memang I naik. Bos you tu memang
nak kena!
Zenia menelan liur. Sungguh! Dia percaya dengan
setiap ugutan Fakhry. Fakhry bukan jenis lelaki yang bercakap
kosong semata-mata. Lelaki itu memang hati kering. Kalau
Fakhry kata dia mahu naik dan mengamuk, dia yakin memang
Fakhry akan melakukannya. Matilah! Apa dia nak buat sekarang?
Mata Darriz Imdad singgah sekali lagi kepada Zenia.
Dia lihat gadis itu masih membelek telefon bimbit dengan wajah
sedikit tertekan. Memang dari tadi begitu, Zenia lebih banyak
mengelamun dan kelihatan resah. Mungkin suami tersayang
sudah menanti di bawah, dia yakin begitu.
Tidak mahu Zenia terus terdera dengan mesyuarat
yang berlarutan, perhatian dialihkan kepada Simon Chin yang
duduk bertentangan dengannya.
“Before we finish, I’ll briefly go over what we have
decided. Simon is going to take care of reviewing the project’s
budget to see where we can make cuts, the aim is to reduce
its overall budget by 15%. Simon will also liaise with both
the Finance and the R & D Departments to make sure that
everything are covered. He will present his recommendations
at the next meeting.” Terangnya sekali lagi.
Darriz Imdad lihat staf-staf yang lain mengangguk
tanda faham, cuma Zenia masih hanyut entah ke mana. Bibir
diketap rapat, sakit hati.
“Does anybody have anything more to add?” Soalnya
dengan anak mata singgah pada satu per satu wajah yang berada
di meja mesyuarat. Masing-masing menggelengkan kepala
kecuali Zenia.
“No? Perfect. So we’ll provisionally have the next
meeting on Wednesday at 2.30 pm. I’ll confirm it in a couple
of days.”
Zenia menarik nafas lega apabila mesyuarat yang
panjang kini berakhir. Biarpun masih ada beberapa orang
kakitangan sibuk bercakap-cakap dengan Darriz Imdad, dia
memilih untuk mengemaskan failnya dengan segera. Dia tidak
mahu membuang masa, bimbang jika Fakhry menyerbu ke bilik
ini terlebih dahulu.
“Meeting hari ni bosan, Zenia?”
Tersentak sungguh Zenia dengan pertanyaan tidak
diduga itu. Pandangan singgah pada wajah Darriz Imdad yang
kini sudah berdiri berdekatan dengan pintu.
Lambat-lambat langkahnya diatur menghampiri lelaki
itu. Apa boleh buat, hanya itu saja satu-satunya pintu untuk
keluar dari bilik mesyuarat ini.
“No, it was fine Encik Darriz.” Balasnya dengan riak
tenang.
Sempat mata mengerling kepada Asmida yang masih
berada di dalam bilik mesyuarat. Gadis itu kelihatan sibuk
mengemas meja seolah-olah tidak mendengar perbualan
mereka.
“You tak pay attention pada meeting tadi Zenia. What’s
wrong?”
Kening Zenia berkerut. Dan tatkala pandangan mereka
bertentang, lelaki itu berpaling ke sisi. Jelas seperti mahu
mengelak sebarang hubungan mata antara mereka berdua.
“I’m sorry Encik Darriz. I mengaku I memang terleka
beberapa minit sebelum habis meeting tadi. Mungkin sebab I
nak balik awal, sorry for that.” Balas Zenia berterus terang.
Darriz Imdad mengangguk tanda mengerti. Tugas
sebagai seorang isteri perlu digalas oleh Zenia usai saja habis
waktu pejabat. Dia faham namun hati tetap juga tergores kecil.
“I minta diri dulu Encik Darriz.”
“Hmm… sure. Get home safely Zenia.”
Zenia tersenyum kelat, sedikit kekok. Kemudian
cepat-cepat dia beredar ke meja kerjanya untuk mematikan
komputer dan mengambil tas tangan. Masa tidak boleh
dibuang begitu saja kerana dia tidak tahu pada minit ke berapa
kemarahan Fakhry akan meletup.
Setelah selesai segala urusan di tingkat atas, Zenia
segera turun ke lobi. Kalau tidak peduli kepada orang yang
ramai di situ, memang dia sudah berlari pecut kepada Fakhry.
Dia terlalu bimbang jika lelaki itu menunjukkan kemarahan
yang keterlaluan sebentar lagi.
Kaki berlari-lari menuruni beberapa anak tangga di
ruang drop off lobi. Melihat Fakhry masih duduk menunggu di
atas motor, jantung mula melantun cemas. Tajam sekali mata
lelaki itu merenungnya. Kalaulah badan dia ini kecil, sudah
lama dia kena telan dengan Fakhry!
“You ni apahal? You tengok, berapa lama I tunggu you.
You ingat I ni tunggul kayu ke apa?”
Zenia masih mempamerkan riak tenang biarpun suara
itu begitu tajam menikam ke hati. Tangan mula ligat bergerak,
menyarung jaket kulit dan mengenakan helmet di kepala.
“I’m talking to you Zenia!” Kerana geram, Fakhry
merentap tangan Zenia.
Hati berbahang panas dengan sikap bersahaja yang
jelas mahu memprotes. Perempuan itu fikir dia banyak masa
sangat nak jadi pak pacak?
“Sakitlah!” Zenia cuba meleraikan pegangan Fakhry
yang kuat namun gagal.
Sempat juga mata melirik ke ruang depan lobi yang
agak sibuk. Jika Fakhry tidak malu untuk berdrama begini,
dia pula sebaliknya. Dia tidak suka orang luar tahu tentang
masalah rumah tangga mereka yang tidak pernah bahagia.
“Melawan! Melawan! Sekarang ni, you memang dah
pandai tunjuk keras kepala ya?”
“Stop it, Fakhry. I tak sukalah you buat macam ni!”
“Tahu pulak tak suka! Eh, you sedar tak yang you ni
asyik menyusahkan I?”
Rentapan kasar Fakhry membuatkan Zenia
terhuyung-hayang. Mujurlah dia sempat mengimbangkan
tubuhnya, jika tidak... pasti dia sudah terjelepok jatuh ke simen.
“Excuse me, is everything alright?”
Serentak Zenia dan Fakhry menoleh ke arah datangnya
suara garau yang menegur. Menyedari Darriz Imdad berdiri
tegak di hadapan mata, dada Zenia berdebar kencang. Dia yakin
lelaki itu sempat melihat drama tarik-menarik antara dia dan
Fakhry. Ah, memalukan sungguh!
“Encik Darriz…” Zenia menundukkan sedikit kepala
tanda hormat.
Melihat wajah keruh Zenia dan riak masam mencuka
Fakhry, Darriz Imdad dapat merasakan suasana tegang yang
ada di situ. Bukan dia tidak nampak betapa kasarnya Fakhry
melayan Zenia sebentar tadi.
“Semua okey ke Fakhry?” Tegurnya dengan anggapan
lelaki itu pasti masih mengingati dirinya. Lagipun dia bukan
orang lain, dia bakal abang ipar kepada Farel juga tidak lama
lagi.
“Hei Zenia, yang you termenung lagi ni kenapa?
You nak balik ke nak tidur kat sini?” Tengking Fakhry tanpa
mempedulikan Darriz Imdad yang masih berdiri di hadapan
mereka.
Tersentak dengan jerkahan Fakhry, cepat-cepat Zenia
memanjat motosikal berkuasa tinggi itu. Tatkala melabuhkan
duduk di belakang Fakhry, wajah Darriz Imdad langsung tidak
mampu dipandang. Dia malu, terlalu malu!
Tergamak sungguh Fakhry melayannya begini. Dan
ketika motosikal Fakhry membawa pergi tubuh Zenia, Darriz
Imdad masih kaku berdiri. Mata masih memandang dua tubuh
yang kian mengecil dan kemudian terus lesap dari pandangan.
Perlahan tangan naik melurut rambut dengan
perasaan keliru. Dia tidak buta untuk menilai kesedihan yang
terpamer pada wajah Zenia sebentar tadi. Dikasari dan diherdik
di khalayak ramai, perempuan mana yang mampu menahan
rasa? Hati mana yang tidak mungkin terluka?
Ya Allah, dia tidak mahu membuat andaian begini. Tapi
adakah Zenia benar-benar bahagia di sisi Fakhry? Layanan yang
dingin, suara yang kasar, renungan yang tajam, jenis cinta apa
yang ada di hati lelaki itu terhadap Zenia?
Dengan bermacam telahan di kepala, Darriz Imdad
mengatur langkah ke keretanya yang diparkir di hadapan
bangunan. Segenap rasa di hati ditolak ke tepi. Bukan dia yang
layak menilai dan mengukur sejauh mana kebahagiaan Zenia
bersama Fakhry.
Lagipun rumah tangga mana yang tidak diuji, tidak
dilambung ombak. Dia yakin Zenia bahagia, dan dia pasti Fakhry
telah melimpahkan begitu banyak kasih sayang buat gadis itu.
Zenia cukup istimewa, dan Fakhry pula cukup bertuah. Mereka
berdua memang pasangan yang sempurna, saling melengkapi
antara satu sama lain.
Nafas dihela berat. Cuma takdir untuknya yang masih
belum pasti…
No comments:
Post a Comment