Tuesday, 24 May 2016

Kerana Aku Untukmu - Bab 9

Kepala yang berdenyut terasa semakin senak
tatkala cahaya matahari menyuluh pandangan. Berbahang
bahagian atas kepala kerana panas yang melampau. Zenia
mengecilkan mata dengan tangan kanan memayungi muka.
Silau teramat, peritnya bagaikan tembus sehingga ke
tengkorak. Bukan tidak biasa dengan cuaca begini, malahan
sudah berpuluh-puluh tahun dia hidup di bumi Malaysia. Cuma
hari ini berbeza, dia memang berasa tidak sedap badan sejak
pagi lagi.
Semua ini berpunca kerana dia tidak sempat menjamah
sarapan sehingga perut sudah dipenuhi angin. Apabila keadaan
itu berlaku, kepalanya akan mudah diserang migrain. Memang
dia kalah bila serangan migrain dikombinasikan dengan silau
matahari yang menyakitkan. Serba tidak kena jadinya. Sakit
teramat!
Walaupun tidak berniat mahu menyalahkan sesiapa,
namun hati tetap juga menggerutu geram kepada Fakhry.
Kerana lelaki itulah paginya tunggang-langgang tidak terurus
sehingga dia tidak sempat bersarapan.
Mana tidaknya, hanya selepas solat subuh baru dia
perasan yang motosikal Fakhry tidak ada di hadapan rumah
mereka. Fakhry langsung tidak pulang ke rumah. Lelaki itu ke
mana? Bermalam di mana? Entah, dan Zenia tidak kuasa mahu
membayangkan perempuan mana yang menjadi peneman tidur
Fakhry malam semalam.
Kalau malam minggu dia tidak hairan sangat kerana
memang selalu saja Fakhry tersesat jalan balik ke rumah. Tapi
ini hari bekerja, dan dia memang bergantung kepada Fakhry
sepenuhnya untuk menghantar dia ke pejabat.
Kalau dia tahu awal-awal lain cerita, sempat jugalah
dia mahu merancang perjalanannya. Tapi malang sekali kerana
bukan mudah mahu mendapatkan khidmat teksi pada waktu
puncak begitu.
Zenia mengeluh dengan kesakitan fizikal dan mental
yang sedang dialaminya. Walaupun tidak berdaya, langkah
diatur penuh berhati-hati menuruni anak tangga di ruang
hadapan bangunan. Dia mahu membungkus makanan tengah
hari di restoran mamak yang terletak di seberang jalan sana.
Kalau ada Nadzirah boleh juga dia berpaut tangan, tapi
temannya itu masih sibuk bermesyuarat di atas. Entah pukul
berapa baru selesai.
Sambil melangkah, tangan memicit dahi yang kian
berdenyut kuat. Kaki digagahkan juga melintasi jalan besar yang
agak sibuk itu. Zenia berdiri di atas pembahagi jalan setelah
satu lorong jalan sudah berjaya dilintasi. Dan kini tinggal satu
lorong saja lagi sebelum dia tiba ke restoran tersebut.
Kepala menoleh ke kiri dan ke kanan bagi memeriksa
laluan yang menderu laju dengan pelbagai jenis pengangkutan.
Kenderaan agak sibuk pada waktu begini dan dia perlu lebih
berhati-hati.
Semakin lama berdiri di situ, sengatan di kepala
semakin kuat. Silau dan terik matahari membuatkan
pandangannya kian kabur. Zenia menjadi semakin tertekan
apabila berterusan berdiri di situ. Ruang restoran mamak yang
teduh dan dingin mula terbayang di ruang mata.
Berasa kurang sabar, Zenia menoleh sekilas ke kiri.
Yakin tidak ada kenderaan yang meluncur di situ, langkah
diatur menuruni pembahagi jalan dengan tangan masih
memicit dahi. Bibir diketap rapat apabila denyutan itu bagaikan
sudah merebak ke pangkal gusi. Sakit teramat sangat!
Ponnnnnnnn!!!
Bunyi hon yang kuat membuatkan Zenia kaget dalam
kekeliruan. Kepala terpaling ke kiri dan kini dia dapat melihat
dengan jelas sebuah lori bergerak laju ke arahnya.
Panik dan tenggelam dalam kesakitan, tubuh dan otak
bagaikan gagal berhubung. Kaki kaku tidak mahu berganjak
walau seinci. Dia bagaikan menyerah diri, bagaikan menanti
detik-detik ngeri yang bakal terjadi. Ya Allah!
Rempuhan yang kuat membuatkan tubuhnya terbang
melayang sebelum terhempas ke tanah. Seluruh badan terasa
kebas, terlalu sakit terutamanya di bahagian belakang.
Oh Tuhan, dia sudah dilanggar lori? Walaupun dapat
mendengar hiruk-pikuk suara-suara cemas yang menghampiri,
namun mata masih terpejam rapat. Tubuh pula menggigil
ketakutan dengan apa yang baru saja berlaku. Dan aneh sekali
kerana sakit kepala bagaikan lenyap entah ke mana tatkala
kesakitan di tubuh berjaya mengambil alih.
“Zenia, are you okay? Hey, are you okay? For god
sake, answer me!”
Dalam kekalutan yang berlaku, Zenia tergamam. Suara
yang menyoal dengan nada cemas itu bagaikan pernah didengar
sebelum ini. Suara garau, suara yang kedengaran agak dalam,
suara husky bak kata Nadzirah. Tapi suara seperti itu milik…
Serta-merta mata terbuka luas. Mulut sedikit ternganga
apabila wajah Darriz Imdad begitu dekat dengan wajahnya.
Hanya tinggal beberapa inci saja untuk bersatu.
Liur ditelan kesat tatkala terpandangkan renungan
penuh resah dari sepasang mata redup itu. Oh Tuhan, kenapa
Darriz Imdad berani memeluknya di bahu jalan begini? Mahu
menolak tubuh sasa lelaki itu dia bagaikan tidak berdaya kerana
menanggung kesakitan di segenap sendi.
“Hey, are you okay?”
Dari jarak sedekat ini, Zenia tidak buta untuk melihat
keresahan pada wajah Darriz Imdad. Lelaki itu kelihatan
bersungguh-sungguh cuba untuk menyatukan pandangan
mereka berdua.
Ya, dia memang okey. Dia masih bernyawa, tapi terlalu
sukar untuk dia membalas pertanyaan lelaki itu. Menyedari
banyak mata masih memandang, Zenia menolak tangan
Darriz Imdad yang berlingkar kemas di bahunya. Terkial-kial
dia cuba untuk duduk, namun rasa perit di bahagian belakang
membuatkan dia menyeringai kesakitan.
“Zenia, please don’t move. I rasa you injured ni.”
Darriz Imdad menyentuh bahu Zenia supaya gadis itu tidak
banyak bergerak.
Jantung masih berlari kencang apabila mengenangkan
kejadian beberapa minit yang lalu. Kalaulah dia tidak ada di
situ, entah apa yang akan berlaku kepada Zenia. Kebetulan
ini memang sebaik-baik perancangan daripada Allah. Dan
syukurlah dia sempat menolak Zenia ke bahu jalan sebentar
tadi.
“I… I nak bangun.” Pinta Zenia tersekat-sekat.
Dia berasa tidak selesa menjadi tontonan orang ramai yang
berpusu-pusu mahu melihat keadaannya.
“Come, let me help you.”
Menyedari tangan Darriz Imdad kembali berlingkar ke
bahu, Zenia menolak lembut. Dia tidak mahu lelaki itu terlalu
bebas menyentuh biarpun hanya berniat untuk membantu.
“It’s okay, I boleh bangun sendiri.”
“Are you sure?”
“Err… ya.” Balas Zenia menunjuk lagak kuat.
Kalaulah Darriz Imdad tahu yang setiap tulang di
tubuhnya bagaikan sudah hancur berkecai, tidak mungkin
lelaki itu mahu mengalah begini.
Akur dengan permintaan itu, Darriz Imdad membiarkan
Zenia cuba untuk bangkit sendiri. Cuma tangannya masih
mengawasi tubuh Zenia yang terhuyung-hayang. Bimbang
juga jika gadis itu rebah semula ke tanah. Melihat Zenia berdiri
dengan tangan berpaut pada tiang di tepi jalan, dada kembali
resah. Dia tidak fikir Zenia benar-benar kuat setelah terhenyak
kasar ke tanah sebentar tadi.
“Are you hurts?”
Dengan wajah diriakkan tenang, Zenia menggeleng
dengan senyuman kelat. Dia tidak mahu menyusahkan Darriz
Imdad setelah apa yang dilakukan lelaki itu sebentar tadi. Darriz
Imdad telah menyelamatkan nyawanya dengan membahayakan
diri sendiri. Lihatlah kemeja putih lelaki itu yang kini sudah
comot dengan kesan tanah.
“I’m okay Encik Darriz, don’t worry…”
“I bawa you ke klinik.”
“No, thanks. Sikit aje ni Encik Darriz.” Dalih Zenia
seraya menepuk-nepuk lengan baju yang turut terpalit dengan
warna tanah.
“Can you walk?”
Zenia menganggukkan kepalanya. Melihat lelaki itu
masih menunggu bukti daripadanya, sedaya upaya dia cuba
melangkah. Namun setapak berpijak ke bumi, kaki bagaikan
tidak lagi mampu menahan beban badan. Hampir saja dia
tersungkur ke tanah. Namun sekali lagi Darriz Imdad bertindak
sebagai hero dengan tangkas menyambar tubuhnya. Dada Zenia
kembali berkocak tidak enak.
“Let me go, please!”
“And please jangan berdegil Zenia. You’re not okay!”
Rungut Darriz Imdad.
Dia tahu Zenia tidak suka tapi keadaan sekarang
boleh dikatakan darurat. Tidak ada orang lain lagi yang boleh
membantu kerana di sekeliling mereka pun lelaki juga. Lagipun
dia bukan menyentuh terus ke kulit, masih ada baju menjadi
lapik dan alas.
“I boleh jalan sendiri Encik Darriz, please don’t touch
me!”
Darriz Imdad tergamam dengan ketegasan Zenia.
Kedua belah tangan diangkat ke sisi tanda akur. Seketika
pandangan mereka berlaga.
“Okey, I just nak bertanggungjawab dengan apa yang I
buat Zenia. I’m sorry sebab I tolak you dengan kuat sampai you
sakit macam ni.”
Kelat senyuman di bibir Zenia. Kepala digelengkan
beberapa kali. Dia terhutang nyawa dengan Darriz Imdad, tidak
ada sebab untuk lelaki itu meminta maaf.
“Don’t be sorry Encik Darriz. Kalau bukan sebab Encik
Darriz, belum tentu I bernafas sekarang ni.”
“Then let me help you again. I bawa you ke klinik?”
“No, thanks. I okey, I boleh jalan sendiri.”
Darriz Imdad masih tercegat memandang langkah
Zenia yang pincang meninggalkannya. Dia mengerti yang
Zenia mahu menjaga tatatertib sebagai isteri orang, tapi dalam
keadaan sekarang semua itu boleh diletak ke tepi buat seketika.
Niatnya hanya ingin membantu, dan dia belum hilang
akal untuk membuat perkara tidak senonoh kepada Zenia.
Sebanyak mana pun dia pernah sukakan Zenia, dia masih waras
meletakkan sempadan antara mereka berdua.
Bibir diketap rapat dengan pandangan kekal terhala
pada langkah Zenia yang perlahan dan terhincut-hincut. Nafas
dihela panjang sebelum kaki laju bergerak ke hadapan.
“For god sake, ikut I ke klinik!”
Zenia terlopong ketika lengannya dicengkam erat
Darriz Imdad. Tergamam tanpa mampu bersuara.
“Again, I’m sorry…”
Suara lembut yang meminta maaf membawa
pandangan Zenia ke sebelah kanan. Seketika mata menatap raut
wajah yang masih tenang memandu. Rasanya kali ini sudah
masuk kali ke seratus Darriz Imdad memohon maaf kepadanya.
Macamlah besar sangat salah lelaki itu, padahal dia yang cuai
melintas jalan macam ayam!
“It’s not your fault Encik Darriz. Tak ada apa yang nak
I maafkan…”
“I know, tapi I patut fikir cara lebih baik untuk
kurangkan kesakitan you tadi.”
“Maksud Encik Darriz apa? Siapkan tilam dekat tepi
jalan tadi?” Soal Zenia melawak.
Melihat lelaki itu tertawa kecil, pandangan segera
dilarikan ke hadapan. Berdebar-debar. Memang agak jarang
Darriz Imdad mempamerkan riak ceria sebegini ketika di
pejabat.
“Yeah, I should do that.”
Kali ini Zenia pula tertawa.
“Kalau kita boleh predict masa depan, lain cerita Encik
Darriz.”
Kepala Darriz Imdad terangguk-angguk dengan
senyuman masih meleret di bibir.
“Apa-apa pun syukurlah you tak cedera teruk. Doktor
kata cuma terseliuh sikit aje, kan?”
“Alhamdulillah, cuma terseliuh dan calar-calar sikit.”
“Next time you kena lebih berhati-hati Zenia.”
Zenia tersenyum tanpa membalas. Kalau bukan kerana
diserang migrain, tidak mungkin dia akan cuai seperti tadi.
“Encik Darriz, dekat simpang depan tu masuk kiri ya.”
Darriz Imdad akur dan menurut arahan Zenia. Kereta
yang dipandu kini memasuki deretan rumah teres dua tingkat
jenis Semi-D. Kawasan yang agak cantik, tenang dan damai.
Melihat saiz dan reka bentuk rumah, dia yakin harganya
pasti melebihi setengah juta ringgit. Bukan sembarangan orang
mampu memiliki kediaman seperti ini. Mungkin suami Zenia
punya kerjaya yang baik dan stabil.
“Zenia, may I ask you something.”
“Err… yes...”
“How long have you been married?”
Terpana Zenia dengan soalan yang tidak diduga itu.
Dada berkocak sedikit resah. Lambat-lambat dia mengalihkan
pandangan ke luar tingkap kereta mewah Darriz Imdad. Agak
kekok mahu bercerita soal peribadi dengan majikan sendiri.
Lagipun hubungan mereka tidaklah serapat mana.
“Dua tahun Encik Darriz.” Jawabnya jujur.
“So you tinggal dengan siapa dekat rumah ni?”
“Berdua dengan suami I…”
“Oh, dah ada baby?” Soal Darriz Imdad dengan nada
ceria. Sengaja membangkitkan kemesraan yang jelas agak
sukar dicapai kerana Zenia seolah-olah mengelak.
“Belum ada rezeki Encik Darriz.” Balas Zenia dengan
senyuman tawar.
“Encik Darriz ni asyik tanya pasal I aje, Encik Darriz
pulak bila nak kahwin?”
“I? Kahwin?” Darriz Imdad tergelak kecil.
“I don’t know Zenia, belum jumpa calon yang sesuai.”
Tersenyum Zenia dengan balasan Darriz Imdad. Kalau
dilihat pada paras rupa bosnya, sekali petik jari pasti bersusun
gadis mahu hidup di sisi lelaki ini. Itu belum ditayang pangkat
dan harta, memang langsung tidak ada kekurangannya. Pendek
kata Darriz Imdad mampu memiliki mana-mana gadis yang dia
ingini tanpa sebarang masalah.
“Encik Darriz memilih sangat agaknya…” Bibir
meluah komen secara telus.
“Of course I kena pilih baik-baik Zenia. Perkahwinan
tu bukan perkara mudah, bukan setakat sepasang suami isteri
yang hidup sebumbung. Banyak persediaan perlu I buat untuk
diri sendiri dan juga bakal isteri I. I rasa dengan cara tu sebuah
perkahwinan boleh kekal sampai ke akhir usia. I only want to
get married once.”
Dalam diam Zenia bersetuju dengan pendapat Darriz
Imdad. Jelas sekali kematangan lelaki ini jauh daripada apa
yang pernah dia bayangkan. Seperti Darriz Imdad, dia juga
berharap mampu memilih pasangannya sendiri. Dan jika hak
memilih itu diberi, pasti dia tidak akan menjadikan Fakhry
sebagai seorang suaminya.
“I doakan Encik Darriz berjodoh dengan perempuan
yang sesuai untuk Encik Darriz.”
“Thanks Zenia.” Balas Darriz Imdad seraya tersenyum
sendiri. Dan apabila Zenia mengarahkan dia berhenti di hadapan
sebuah rumah, dia segera menurut. Mata kini melirik pula ke
sebelah kanan.
“So, this is your house?”
“Ya Encik Darriz, inilah rumah I yang tak seberapa.”
“Hey, it’s beautiful.” Puji Darriz Imdad jujur.
“Cuma kalau I jadi you, I akan buat landskap dekat
laman tu. Kawasan tu besar, nak letak fountain dan taman kecil
pun boleh.”
“Memang I nak buat macam tu Encik Darriz, tapi
Fakhry tak suka.” Menyedari keterujaan hati telah meluncurkan
perkataan yang tidak sepatutnya, pantas Zenia mengetap bibir.
Dan apabila pandangan Darriz Imdad terhala kepadanya,
semakin kalut perasaan di dada. Bimbang jika lelaki itu berjaya
mengesan keretakan dalam rumah tangganya bersama Fakhry.
“Err… I keluar dulu Encik Darriz. Thanks sebab
hantarkan I balik.”
“No problem, Zenia”
“Sekejap lagi I SMS Puan Amira untuk maklumkan
yang I akan MC dua hari.” Zenia menanggalkan seat belt seraya
mencapai dompet dan telefon bimbit yang diletakkan di atas
riba. Beg tangan pula masih di pejabat kerana dia terlupa mahu
singgah ke sana selepas selesai urusan di klinik sebentar tadi.
“Just take a good rest, jangan risau pasal kerja okey.”
Pesanan itu membuahkan senyuman di bibir Zenia.
“Thanks Encik Darriz, saya masuk dulu.”
Darriz Imdad mengangukkan kepala dan membiarkan
Zenia keluar dari kereta tanpa banyak soal. Hanya pandangan
masih melekat kepada Zenia yang kini sudah pun masuk ke
perkarangan rumah. Setelah memastikan gadis itu selamat
mengunci pintu, barulah dia bergerak meninggalkan kawasan
tersebut.
Terkenangkan satu per satu kejadian hari ini, nafas
dihela berat. Masih tidak mengerti aturan takdir yang terus
menemukan mereka berdua. Mungkinkah petanda daripada
Tuhan? Atau juga sekadar kebetulan tanpa sebarang makna
istimewa? Oh, entahlah.

No comments:

Post a Comment