Thursday, 26 May 2016

Mr Secret Admirer - Bab 7

Haziq Daniel mundar-mandir di biliknya.
Hatinya benar-benar resah memikirkan sikap Zureen. Belum
pun sehari Zureen bekerja di banglo mewah itu, sikapnya
sudah berubah. Jika lebih lama lagi, entah bagaimana pula
sikapnya.
Sudah letih tangannya mendail nombor telefon
bimbit Zureen, namun masih tidak dapat dihubungi. Sejak
pagi tadi, telefon bimbit Zureen berbunyi tetapi tidak
diangkat dan kini ditutup pula. Haziq jadi bingung. Sibuk
sangatkah dia? Takkanlah lima minit pun tidak boleh
diluangkan?
Tanpa disedari Haziq, tingkah lakunya telah
diperhatikan oleh rakan setugasnya yang asyik
memerhatikan sedari tadi.
“Hello brother.... kau ni apa hal? Aku tengok dah
macam mak kucing hilang anak aje! Ke hulu ke hilir. Hishh!!
Peninglah kepala aku tengok kau ni,” sindir Dr. Anaz.
Haziq tersentak. Hampir gugur jantungnya akibat
terkejut dengan kehadiran rakannya yang secara tiba-tiba itu.
“Hei, kau ni dah tak tahu nak bagi salam dulu ke?
Main terjah aje! Dah macam pencuri pula masuk senyapsenyap!”
Haziq meradang. Dahlah fikirannya sedang
berkecamuk, kehadiran rakannya tanpa diundang itu pula
dirasakan semakin menambah serabut kepalanya.
“Tak beri salam? Dah nak terkeluar anak tekak aku
ni beri salam. Siap dengan ketuk pintu lagi. Kau tak dengar
ke? Biar betul kau ni!” balas Anaz.
Haziq terdiam mendengar kata-kata rakannya itu.
Betul ke dia beri salam? Kenapa aku langsung tak dengar?
“Dah kenapa dengan kau ni? Kau ada masalah ke?
Tak pernah pula aku tengok kau kalut macam ni sekali? Fasal
perempuan ke?” duga Anaz.
Sememangnya Anaz agak pelik dengan sikap
rakannya itu kerana belum pernah lagi dia melihat Haziq
berperangai begitu. Di rumah sewa mereka pun belum
pernah lagi dia melihat Haziq seresah itu, apatah lagi di
pejabat.
Apabila melihat Haziq tidak menjawab, Anaz sudah
dapat mengagak dugaannya benar.
“Memang betullah kan apa aku cakap tu? Hishh!!
Curious betul aku. Perempuan manalah yang dah buat kawan
aku sampai angau macam ni sekali??” Anaz semakin galak
mengusik apabila dilihatnya Haziq tidak memberi sebarang
respons seolah-olah mengiakan kata-katanya itu.
“Banyaklah kau punya perempuan! Kau jangan nak
pandai-pandai buat cerita eh! Jangan main serkap jarang aje.
Kalau tak tahu baik kau diam!” tingkah Haziq.
“Come onlah bro..... Kita berkawan bukan baru
sehari dua tau! Aku bukannya baru kenal kau. Dah bertahuntahun
kita berkawan. Kalau kau dah tak tentu arah macam
ni, for sure, ni mesti pasal adik angkat kau tu kan??”
Anaz ketawa seketika sebelum menyambung
kembali kata-katanya. Entah kenapa dia merasa lucu benar
dengan tingkah laku rakan baiknya itu.
“Adik angkat konon!! Jangan sampai terangkat
sudahlah!” sambung Anaz masih dalam ketawanya.
Haziq terdiam seribu bahasa. Sememangnya dia
tidak dapat menafikan tentang kata-kata rakannya itu. Haziq
mengakui, dia memang tidak boleh berbohong dengan Anaz
kerana rakan baiknya itu seolah-olah dapat membaca setiap
yang ada dalam hatinya.
“Tak nak mengaku lagi? Aku tengok muka kau aje,
aku dah boleh baca apa yang ada dalam hati kau tu...”
sambung Anaz masih untuk mengumpan Haziq untuk
bercerita.
“Pandailah kau....” Hanya itu yang mampu
diucapkan Haziq untuk menafikan akan kebenaran kata-kata
Anaz.
“Well.... it’s up to you... Kalau kau nak cerita, aku
sanggup dengar tapi kalau kau nak simpan jadi jeruk
pekasam, apa aku boleh buat?” balas Anaz selamba sambil
bangun dari tempat duduknya dan berjalan meninggalkan
Haziq yang masih keresahan.
“Anaz!”
Anaz tersenyum. Nampaknya jeratnya sudah
mengena. Pasti kini Haziq akan memberitahunya apa yang
disorokkan daripadanya selama ini.
Anaz masih menunggu apa yang bakal diperkatakan
oleh Haziq. Namun, Haziq masih membisu seolah-olah
sedang berkira-kira apa yang patut diberitahu kepadanya.
“Hah! Kau nak beritahu ke tak? Kalau tak nak tak
apa... aku pun banyak kerja lain ni!” Anaz cuba mengumpan
sambil mengacah ingin keluar dari bilik Haziq.
“Aduh! Aku tak tahulah nak cakap macam mana...”
Akhirnya Haziq bersuara juga.
“Apa yang susah sangat? Kau cakap ajelah! Fasal
Zureen ke?” balas Anaz.
Haziq mengangguk. Anaz pula hanya tersenyum.
“Apalah yang susah sangat? Kalau kau memang dah
suka sangat kat adik angkat kau tu, kau beritahu ajelah dia.
Habis cerita!”
“Kau cakap memang senang tapi bendatu la yang
paling seksa aku nak buat kau tahu tak?”
“Susah sangat ke kau nak beritahu kau suka kat
dia? Aku rasa lebih baik kau beritahu dia. Kalau tak kau yang
jadi tak betul nanti sebab asyik memendam perasaan.
Kenapa? Kau takut kena reject ke?”
Haziq mengangguk lagi.
“Ziq... kau dengar sini baik-baik. Dalam apa saja
tindakan yang kita buat, pasti ada risikonya. Dalam kes kau
ni pun sama.... pasti ada kos melepas. Kau tahu tak kos
melepas tu apa?” soal Anaz apabila melihat Haziq seolah-olah
blur.
Haziq menggeleng.
“Apalah doktor ni? Kos melepas pun tak tahu? Kos
melepas tu maknanya bila kau nakkan sesuatu, kau akan
terpaksa melepaskan sesuatu yang lain. Dalam kes kau ni,
kalau kau nakkan cinta si Zureen tu, maknanya kau terpaksa
menerima kemungkinan akan kehilangan dia....”
“Hishh!! Kenapa nakkan cinta dia tapi terpaksa
kehilangan dia pula?” soal Haziq masih blur.
“Yalah.... sekarang ni kau tak tahu lagi yang si
Zureen tu suka kat kau ke tidak.... bila kau luahkan kat dia
nanti, kalau dia terima kira okeylah... tapi kalau dia tak
terima, sekurang-kurangnya perasaan kau lega sebab dah tak
perlu nak pendam-pendam perasaan lagi tapi kau terpaksalah
hadapi kemungkinan kehilangan dia sebab dah tentu dia dah
tak boleh nak terima kau macam dulu lagi....” Panjang lebar
Anaz menerangkan.
“Macam tu sekali? Hishh!! Menakutkan... tak
naklah aku cakap kalau macam tu pula jadinya...”
“Kalau takut, kau pendamlah perasaan kau tu
sampai bila-bila... Ziq, kau jangan suka nak pendam-pendam
perasaan nanti meletus macam gunung berapi kau baru
tahu.”
“Kau tak tahu Zureen tu macam mana...” Suara
Haziq mendatar.
“Aku tengok dulu, kau nak handle perempuan lain
senang aje... hari tu aku tengok kau steady aje settlekan kes
Dr. Syarina yang syok kat kau setengah mati... takkanlah
dengan si Zureen, jadi masalah besar pula?”
“Sebab perempuan tu Zureenlah yang jadi masalah
sekarang ni.... kalau perempuan lain, aku rasa taklah jadi
masalah macam ni sekali....”
“Kenapa pula dengan Zureen? Hebat sangat ke dia
tu?”
“Ini bukan soal hebat atau tak... soalnya sekarang
Shila Alish
99
memang hati aku dah lama jatuh cinta kat dia tapi
masalahnya si Zureen ni memang langsung tak tahu sebab
dia ni jenis yang lurus bendul...”
“Lurus bendul? Kalau lurus bendul lagi senanglah
kerja kau...” balas Anaz ketawa. Geli pula hatinya bila
mendengar kata-kata Haziq tentang adik angkatnya itu.
“Aduh! Maksud aku... si Zureen ni jenis jujur. Kalau
dia dah kata anggap aku sebagai abang dia, maknanya
memang dia tak akan fikir aku selain daripada seorang
abang... aku pula dah tercakap dekat dia dulu yang aku pun
anggap dia macam adik aku, so dia memang rasa dia tu adik
aku...”
“Kau tak pernah ke bagi hint kat dia?”
“Bukan setakat hint, dah puas aku berkias... tapi dia
tetap tak faham. Tinggal belum berterus terang aje lagi...”
“Takkanlah dia tak faham. Dia saja-saja buat tak
faham kut?”
“Tu la... kau tak kenal lagi siapa Zureen tu. Sikap
lurus dan jujur dia tu la yang memikat hati aku. Kalau tak
kerana sikap dia tu, kau ingat aku nak ke layan fasal abangabang
angkat atau adik-adik angkat ni sebab pada aku semua
tu mengarut. Mana ada lelaki dan perempuan yang seratus
peratus boleh anggap sebagai abang atau adik aje.... tapi
Zureen ni lain. Masa aku mula-mula kenal dia dulu, kau
ingat dia nak sangat ke layan aku ni?? Dialah satu-satunya
perempuan yang boleh buat tak tahu aje dengan aku...
kawan-kawan dia yang lain punyalah beria-ia nak berkenalan
dengan aku, tapi dia... pandang aku pun tak! Aku ingatkan
dia tak layan aku sebab dia dah ada boy-friend, tapi lepas aku
risik-risik dengan kawan-kawan dia, kau tahu kenapa?”
“Hah, kenapa?”
“Dia jadi macam tu sebab abang dia dah duduk jauh
dari dia... selama ni abang dia tu la satu-satunya lelaki yang
ada dalam hidup dia selain baba dia tu.... yalah, diorang rapat
dari kecil... bila masuk sekolah menengah, dia tinggal pula di
asrama sampai SPM. Dahlah dia sekolah kat sekolah
perempuan semua... lepas tu masuk pula kolej kejururawatan
yang dah tentu-tentu semuanya perempuan.... bila dia habis
belajar, abang dia pulak dapat kerja kat Terengganu..”
“Sebab abang dia? Ah, mengarutlah... takkanlah
sebab abang dia dapat kerja jauh dia jadi macam tu? Kalau
adik aku tu siap bersorak lagi bila aku jauh dari dia sebab dia
lagi suka... dah tak ada orang nak kongkong dia....”
“Itu adik kau... tapi ni Zureen... memang dia lain.
Sebelum abang dia dapat kerja kat Terengganu dulu, mereka
memang rapat gila. Aku dengar sampai si Zureen boleh
jealous habis kat awek abang dia...”
“Biar betul? Habis tu macam mana kau boleh
‘ter’jadi abang angkat si Zureen tu?”
“Dia cuma layan aku kalau aku sanggup anggap dia
macam adik aku sendiri.... kiranya aku ni pengganti tempat
Abang Zahin dia tu la... bila kami dah berjanji sebagai adik
abang, barulah dia layan aku...”
“Yang kau tu sanggup nak jadi abang angkat dia
siapa suruh?”
“Dah itu aje cara yang boleh buat aku rapat dengan
dia...”
Kedua-dua rakan baik itu, baik Haziq mahupun
Anaz diam seketika. Masing-masing sedang memikirkan cara
untuk menyelesaikan masalah yang sedia terbentang di
hadapan mereka.
“Hmmm.... payah juga problem kau ni..” Akhirnya
Anaz bersuara sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak
gatal setelah buntu mencari jalan penyelesaiannya.
“Baru kau tahu...”
Suasana sunyi lagi.
“Aku nak tanya kau ni.... selama kau jadi abang
angkat Zureen, pernah tak dia beritahu kau fasal ciri-ciri
lelaki idaman dia?”
Haziq pelik. Berkerut dahinya mendengar soalan
Anaz.
“Susah sangat ke soalan aku tu? Sampai berkerutkerut
dahi kau tu apa hal pula?”
“Boy-friend pun dia tak ada, macam mana pula nak
beritahu aku ciri-ciri lelaki idaman dia?”
“Kau pasti ke dia tak ada boy-friend? Entah-entah
memang dia sengaja tak cerita kat kau ke?”
“Aku tahulah.... aku kan abang angkat dia. Kalau
ada mesti dia dah beritahu aku. Aku pernah juga risik-risik
daripada dia. Kau tahu apa jadi bila aku tanya pasal boyfriend?
Baik-baik dia ceria, terus tarik muka masam. Bila aku
desak dia, senang aje dia jawab.... belum jumpa ‘Mr. Right’
lagi....”
“Hah... itulah maksud aku ciri-ciri lelaki idaman
tadi.... bila dia cakap belum jumpa Mr. Right lagi maknanya
adalah ciri-ciri yang dia idamkan.... kalau tak, takkan dia
sebut Mr. Right? Apalah punya blur kau ni?”
Haziq menggaru kepala yang tidak gatal seolaholah
sedang mengingati sesuatu.
“Dulu pernahlah dia cerita kat aku yang dia suka
watak hero satu drama Korea ni... aku tak ingat apa tajuk
drama tu... tapi dia kata dia suka hero tu sebab dia cool,
nampak matured dan sikap lelaki tu yang tenang melayan
girlfriend dia yang manja dan keanak-anakan dan yang paling
dia suka ialah sikap lelaki tu yang tak mengongkong....”
“Checkmate!! Itulah ciri-ciri lelaki idaman dia....
macam mana?? Kau ada?”
Haziq menggaru lagi kepalanya.
“Aku rasa, semua ciri yang Zureen suka tu tak ada
pada kau... so, no wonderlah dia memang anggap kau sebagai
abang dia aje....” Akhirnya Anaz membuat kesimpulan.
“Teruk sangat ke aku ni? Aku ni memang langsung
tak menepati ciri-ciri yang dia idamkan tu ke?”
“Yang tu... kau kenalah jawab sendiri. Kau yang
tahu diri kau macam mana... apa yang boleh aku cakap, kau
ni over protective.... dengan sebab sikap kau tu la kau
nampak sangat mengongkong, tak cool dan tak matured
langsung... sorry to saylah.... so macam manalah si Zureen
tu nak in love dengan kau??”
Haziq terdiam mendengar kata-kata Anaz. Betul ke
aku macam tu?
“Aku buat macam tu sebab aku sayang sangat kat
dia. Aku tak nak kehilangan dia....” Kedengaran nada sedih
daripada tutur kata Haziq.
“Itulah silapnya kau.... kau kena ingat, tak semua
orang perempuan suka dilayan begitu. Aku rasa, kenapa
Zureen memang tak dapat anggap diri kau selain daripada
seorang abang disebabkan cara kau sama macam Zahin layan
dia...”
“Dah tu, apa patut aku buat?”
“Kau kenalah cuba bentukkan diri kau sama
dengan ciri-ciri yang Zureen idamkan. Kau kena cuba jadi
matang, jangan terlalu mengongkong... dan yang paling
penting kau kena cuba jadi cool...”
“Aku kena buat tak tahu dengan dia ke?”
“Aduh!! Kau ni kalau aku cakap sengal, kau marah
pula... cool tu bukan maknanya kau buat tak tahu tapi kau
jangan tunjuk sangat kau caring kat dia. Jangan tunjuk
sangat yang kau tu terkejar-kejar kat dia... kalau boleh biar
dia yang kerap hubungi kau... jangan beri sebarang pendapat
kecuali dia minta... alah.. susah-susah sangat kau tengoklah
drama Korea yang dia minat tu.... kau study macam mana
perangai hero tu...”
Haziq termenung seketika. Ada juga benarnya katakata
rakannya itu. Walaupun idea Anaz kedengaran agak
melucukan, namun apa salahnya jika dia mencuba. Siapa
tahu, mungkin dengan cara itu dia akan dapat menakluki
hati adik angkatnya itu.
“Okeylah.. aku keluar dulu... Asyik melayan angau
kau aje sampai kerja aku pula yang tak siap... Anyway, good
luck.... adios!” ujar Anaz selamba sambil mengangkat tangan
kanannya seolah-olah memberi tabik hormat dan berlalu
keluar meninggalkan Haziq yang masih termenung.
Sedang dia terus berfikir, tiba-tiba telefon
bimbitnya berbunyi. Hatinya melompat keriangan apabila
nama Zureen tertera di skrin telefon bimbitnya.
“Macam tahu-tahu aku tengah asyik duk fikirkan
dia!” getus Haziq sambil terus merenung telefon bimbitnya.
Hatinya serba salah sama ada untuk menjawab
panggilan itu atau tidak. Ikutkan hatinya yang sedang resah
gelisah itu mahu saja dia terus menjawab panggilan daripada
insan yang ditunggu-tunggunya itu, namun bila
mengingatkan kata-kata daripada Anaz tadi, dia membatalkan
hasratnya itu.
“Aku kena belajar jadi cool....” bisiknya.
Akhirnya bunyi telefon bimbitnya berhenti. Jauh di
sudut hatinya agak kesal kerana membiarkan sahaja
panggilan daripada Zureen. Namun, demi untuk menakluki
hati gadis idamannya itu, dia harus berkorban.
Baru sahaja dia ingin menyambung semula
tugasannya, telefon bimbitnya berbunyi lagi. Sekali lagi nama
adik angkatnya tertera di skrin telefon bimbitnya.
“Aduh! Nak angkat ke tak ni?” Haziq masih berada
di dalam keadaan dilema. Tidak tahu sama ada harus
mengikut sahaja kata hatinya atau mengikut kata-kata Anaz
tadi.
“Aku mesti kuat.... kalau tak sampai bila-bila aku
akan jadi abang dia aje...” Akhirnya Haziq memutuskan.
Akhirnya Haziq mematikan telefon bimbitnya
kerana bimbang dia akan tewas dengan perasaannya sendiri.
Sekurang-kurangnya tindakan mematikan talian telefonnya
itu, dia tidak perlu rasa serba salah lagi apabila menerima
panggilan daripada Zureen.
Haziq berfikir seketika. Bagaimana untuk
memulakan langkahnya. Dia bimbang jika dia tersilap
langkah, dia akan terus berputih mata. Wanita sebaik dan
secantik Zureen tidak harus jatuh ke tangan lelaki lain
kerana dia yakin dengan pilihan hatinya. Selama dia bergelar
abang angkat kepada gadis itu, Haziq amat mengenali hati
budi Zureen. Semakin lama dia menjadi abang angkat kepada
Zureen, semakin menebal rasa kasih dan cintanya kepada
gadis itu. Segala apa yang ada pada diri Zureen, amat
disenanginya.
Untuk itu, Haziq membuat keputusan untuk
menjarakkan dirinya dari Zureen untuk seketika. Dalam
tempoh itu, dia akan cuba untuk menjadi seorang lelaki
dengan ciri-ciri yang diidamkan oleh Zureen.
Zureen resah. Dia mundar-mandir di ruang dapur banglo
mewah itu. Sebaik sahaja meletakkan hidangan makan tengah
hari Syed Redza di dapur, Zureen mengambil kesempatan
untuk menghubungi semula abang angkatnya kerana tibatiba
dia rasa bersalah kerana tidak mempedulikan panggilan
yang diterima daripada Haziq sejak pagi tadi.
“Kenapa ni? Tadi call tak angkat... sekarang ni dia
offkan pula. Dia marah kat aku ke? Entah-entah dia merajuk
tak?” bisik Zureen keresahan sambil tangannya terus ligat
mendail nombor telefon milik Haziq.
Jika benar abang angkatnya itu marah, macam
mana pula untuk memujuknya kerana Zureen sedar, bukan
mudah untuk memujuk hati lelaki itu.
“Hishh!! Payahlah mamat sorang ni... dah
mengalahkan orang perempuan pula. Sikit-sikit merajuk...
sikit-sikit merajuk... tak matang langsung.... nama aje
doktor.” Zureen terus membebel. Dia masih lagi berjalan ke
hulu ke hilir melayan resah hatinya.
“Kenapa Embak Zureen? Apa Embak Zureen mahu
makan?” Tiba-tiba saja Siti, pembantu rumah Indonesia
Datin Raja Fatimah melemparkan soalan. Mungkin dia pelik
melihat keadaan Zureen.
Zureen tersentak. Terperanjat dengan kemunculan
wanita itu secara tiba-tiba yang entah dari mana.
“Err... tak apa Kak Siti.. kalau saya nak makan saya
boleh ambil sendiri ya... terima kasih,” balas Zureen.
“Jangan begitu dong Embak Zureen. Sekarang
udah hampir jam 3 petang. Masakan Embak Zureen enggak
makan tengah hari lagi. Kalau Datin tahu, harus saya
dimarahin....” Siti masih tidak puas hati.
“Yalah... yalah... saya makan sekarang ya Kak
Siti....” balas Zureen sambil menuju ke arah singki untuk
mengambil pinggan.
Malas untuk mendengar desakan Siti. Lagipun,
kasihan pula jika disebabkan dirinya tidak makan, pembantu
rumah itu pula yang dipersalahkan.
“Tak apa... tak apa Kak Siti jangan susah-susah...
saya boleh ambil sendiri.” Dengan pantas Zureen
memberitahu kepada pembantu rumah Indonesia itu setelah
dilihatnya wanita itu bersusah payah untuk menghidangkan
makanan untuknya.
Zureen makan dengan terkocoh-kocoh. Dia baru
teringat pesanan Syed Redza tadi supaya dia segera ke bilik
lelaki itu setelah menghantar hidangan ke dapur.
Entah kenapa dia langsung tidak merasa lapar
walaupun jam sudah menghampiri jam 3 petang. Jika tidak
disebabkan pembantu rumah banglo mewah itu yang asyik
mendesaknya makan, sudah pasti tidak disentuhnya lagi
makanan tengah hari itu.
Zureen terus sahaja mencuci pinggan makannya
sebaik sahaja selesai makan. Dia perlu segera ke bilik Syed
Redza sebelum lelaki itu naik angin. Tidak sanggup rasanya
untuk terus diherdik dan dimaki lelaki itu kerana perangai
Syed Redza tidak boleh dijangkakan. Ada masa okey, ada
masa macam tak okey pula!
Sebelum masuk ke bilik Syed Redza, Zureen masuk
dahulu ke biliknya. Dia ingin memastikan dirinya sentiasa
bersih dan tiada sebarang bau kesan dari makanan yang
dimakannya tadi sebelum bertemu lelaki yang tidak stabil
emosinya itu. Sebolehnya dia tidak mahu menunjukkan
sebarang kesilapan di hadapan lelaki itu kerana dia sedar
Syed Redza akan sentiasa cuba untuk mencari kelemahan
dirinya.
Setelah berpuas hati dengan keadaan dirinya,
Zureen terus ke bilik Syed Redza. Seperti biasa, dia akan
mengetuk dahulu pintu bilik lelaki itu sebelum masuk.
Zureen terus sahaja masuk setelah beberapa kali
mengetuk pintu tanpa menunggu kebenaran daripada lelaki
itu. Zureen sedikit sebanyak sudah faham dengan perangai
Syed Redza yang tidak akan bersuara sehinggalah dia
memerlukan sesuatu.
Kelihatan Syed Redza masih duduk di atas kerusi
rodanya di balkoni sewaktu Zureen masuk. Dia masih
kelihatan termenung seperti tadi.
Zureen kaku di situ. Tidak tahu apa yang harus
dilakukan. Seperti keadaan sebelum ini juga, dia akan terus
dihujani dengan perasaan serba salah. Dia menjadi serba
salah kerana bimbang jika tindakannya akan mengundang
kemarahan Syed Redza.
“Aduhai, kalau asyik rasa macam ni, lama-lama
boleh gila aku dibuatnya,” gumamnya.
Sedang Zureen berkira-kira apa yang patut
dilakukan, tiba-tiba Syed Redza bersuara terlebih dahulu.
“Kau pergi hantar dulang atau buat dulang?”
Selamba dia menegur Zureen walaupun dalam keadaan
membelakangkan Zureen.
Ini satu pertanyaan atau sindiran?
“Maaf Encik Redza.... Saya makan tengah hari
sekejap,” balas Zureen takut-takut.
“Aku tunggu kau kat sini macam nak apa, kau pula
sedap-sedap makan kat bawah??!!”
Zureen mula gerun kerana nada suara lelaki itu
sudah mula meninggi. Aduh! Perang dunia ketiga nak jadi
lagi ke?
“Maaf Encik Redza... saya memang belum makan
sejak tengah hari tadi...” Zureen masih cuba berlembut.
“Lain kali kalau kau nak buat apa-apa pun urusan
untuk diri kau, pastikan kau buat masa aku tidur sebab bila
aku jaga, aku tahu kau mesti ada depan mata aku... faham??”
Wah, ni dah melampau ni! Apa dia ingat aku ni
bodyguard dia ke? Tadi bukan main lagi halau-halau aku. Tak
bagi aku masuk bilik dia... sekarang nak aku duduk
menghadap dia 24 jam pula! Apa kes?
Nak jawab ke tak ni? Kalau jawab, nanti bergaduh
lagi. Aku ni bukannya sabar sangat! Ah, diam ajelah....
“Apa pasal kau diam? Dah jadi bisu ke?” Syed Redza
terus cuba untuk membuat Zureen bersuara, namun ternyata
gadis itu terus membisu.
Zureen terus membisu. Tanda protes!
“Sini!!” katanya sepatah.
Zureen akur. Dia berjalan menghampiri Syed Redza
walaupun jantungnya sudah hampir melompat ke luar akibat
seram dengan keadaan Syed Redza ketika itu.
Zureen berhenti di belakang Syed Redza. Tak berani
untuk terlalu dekat.
“Come closer!!”
Aduh! apa hal ni? Kalau kau cuba macam-macam,
aku sepak kau nanti! Bisik Zureen.
“Kenapa? Kau takut dengan aku ke?”
Mahu tak takut? Perangai kau ni susah nak jangka!
Bisik Zureen dalam hati. Setakat berani dalam hati ajelah...
“Takkan kau nak berdiri aje... ambil kerusi tu dan
duduk sebelah aku.”
Zureen akur lagi. Dia mengambil kerusi dan
diletakkan di sebelah Syed Redza tapi tak boleh dekat sangat.
Bahaya!
“Duduk depan aku! Sakit kepala aku asyik nak toleh
kat kau.”
Tadi suruh duduk kat sebelah. Lepas tu suruh
duduk kat depan pula! Duduk sebelah atau depan ni?
“Duduk depanlah...”
Aikk? Dia boleh baca hati aku ke?
Zureen akur lagi. Diambilnya semula kerusi tadi
dan diletakkan di hadapan Syed Redza pula.
Kini mereka saling menghadap antara satu sama
lain. Walaupun Zureen sangatlah tidak selesa, namun dia
cuba berlagak selamba seolah-olah tiada apa-apa yang
berlaku.
Syed Redza merenung Zureen. Zureen mula tidak
keruan.
Apa ni? Dia nak buat apa ni? Main tenung-tenung
pula! Dah macam nak mengurat aku aje... tapi kalau nak
mengurat takkanlah muka tu serius sangat!
Sabar... Zureen sabar. Jangan takut. Kau mesti
relaks. Jangan tunjukkan ketakutan kau.
“Encik Redza... saya dah ikut arahan Encik Redza.
Saya dah duduk depan Encik Redza. So, apa yang boleh saya
bantu? Encik Redza sakit ke? Ada mana-mana bahagian yang
sakit dan tak selesa? Beritahu saya...” ujar Zureen dengan
berhati-hati untuk melindungi getar suaranya akibat
gemuruh dengan tindakan Syed Redza merenungnya.
Dia diam seketika mendengar soalan Zureen
seolah-olah sedang berfikir.
“Ya... aku memang sakit. Aku sakit kat sini. Boleh
kau tolong rawat?” jawabnya selamba sambil matanya terus
melekat di wajah Zureen.
Alamak! Sakit kat situ? Macam mana ni? Boleh ke
aku tolong rawat? Yang aku gatal mulut tanya sakit kat mana
dan beritahu dia aku boleh tolong rawat, siapa suruh?
Ya Allah... macam mana ni?? Apa aku nak buat?

No comments:

Post a Comment