Wednesday, 25 May 2016

Samurai - Bab 11

“ABANG Aizat...” suara itu lagi, suara itu lagi.
Siapa lagi kalau bukan Leha.
Ya Allah, betapa aku bersyukurnya sebab baru-baru
ini dia lenyap dua tiga hari dari rumah aku. Namun, kenapa
sekarang dia muncul semula? Tak suka tau bila Leha ada?
Terus Aizat layan aku dengan buruk. Aizat mengangkat tapak
tangannya membalas sapaan Leha kesayangan dia itu.
Baju kebaya baru nampak... mesti dia menghilang dua
tiga hari ni sebab buat baju kebaya baru. Gedik!
“Leha dari mana?” soal Aizat. Cheh. Kalau dia soal
aku dengan nada begitu, mahu juga aku tempek Cool Fever ke
dahinya.
“Dari rumah. Bosan duduk rumah. Tak ada kawan.
Sebab itulah dinda ke mari.” Ujar Leha. Nak muntah aku. Ingat
dia itu orang lama-lama ke?
Aku lihat Leha semakin pandai bersolek sekarang. Bulu
mata pun dah kalah bulu mata unta. Malah, tak dapat beza aku
sama ada itu bulu mata Leha atau ulat bulu yang berwarna hitam
melekat di matanya. Bibir pula merah menyala mengalahkan
buntut babun yang dalam rancangan Animal Planet. Pakaiannya
pula memang aku sedia maklumlah. Berkebaya sentiasa.
Punggung pula ditonggekkan dan digoyangkan ke kiri dan ke
kanan walaupun dia hanya berdiri setempat.
Ampunkan mata aku, Ya Tuhan. Pencemaran ada di
mana-mana. Aku tak pasti sama ada dia sengaja tonggekkan
punggungnya ataupun dia sebenarnya baru kena sengat dengan
tebuan tanah dalam perjalanan ke sini. Siap dengan action
pintal rambut lagi. Bernanah biji mata aku ni.
“Dari rumah pun bersolek bagai? Lipstik tahun
bila Leha guna tu? Bukan main menyala lagi abang tengok.
Kalau lembu tengok, hmmm...” Aizat tidak menghabiskan
ayatnya. Leha tergedik-gedik ketawa. Bahu Aizat ditepuknya
membuatkan Aizat terloncat ke belakang. Terkejut barangkali
ditepuk manja begitu.
“Apalah Abang Aizat ni. Bergurau aje tahu. Leha saja
cuba bersolek. Leha baru beli alat solek tu.” Kata Leha sambil
menepuk sekali lagi bahu Aizat.
Kali ini, Aizat undur dua langkah ke belakang.
Mungkin dia tidak selesa ditepuk begitu. Leha semakin berani
nampaknya. Aku yang menjadi saksi ni, Tuhan saja yang tahu
betapa aku mengharapkan petir memanah si Leha ini sehingga
nampak tengkorak. Macam cerita-cerita kartun yang biasa aku
tengok...
“Melur, ambilkan aku air. Haus pulak tekak ni.” Pesan
Aizat. Tak semena-mena aku pula yang kena ambilkan air untuk
dia. Banyak cantik muka dia.
“Eh, apa pasal pulak saya? Awak yang haus, awaklah
yang ambil.” Protesku.
“Aku ada tetamu ni.” Katanya sambil mengerling ke
arah Leha.
Leha memintal-mintal rambutnya dengan lebih lemah
gemalai lagi. Melentik mengalahkan patung wayang kulit.
Senyuman sinis Leha sedekahkan buatku. Aku menjelirkan
lidah dengan muka meluat. Memang niatku nak bagi dia tengok
muka meluat aku ini.
“Tolonglah.” Memang sangat payah untuk aku dengar
dia sebut perkataan ‘tolong’. Lambat-lambat aku bangkit dari
pangkin, berjalan menuju ke dalam. Kali ni aje, okey. Itu pun
sebab dia minta tolong.
“Ambilkan untuk Leha sekali.” Pesannya. Mati terus
niatku untuk membantunya sebaik sahaja aku terdengar nama
Leha.
“Siapa cakap saya nak ambilkan air awak? Saya nak
masuk dalam. Tengok Malaysian Idol. Lagi bagus daripada
tengok persembahan cina opera dekat depan rumah.” Sindirku
sambil berlalu pergi. Sempat aku menjeling Leha. Wajahnya
mencemik.
“Nak kelentong biar berpada-pada. Malaysian Idol tu
dah berapa tahun tak ada?” Aizat menyindirku.
Alamak! Terhenti langkahku dibuatnya. Nak menipu
pun tak jadi. Suara Leha ketawa mengilai mula kedengaran.
Menyampahnya... perempuan mengilai begitu sebab nak cari
perhatian lelaki, tau. Buruknya. Kalau Maya Karin dengar ni,
aku rasa dia tarik diri daripada berlakon cerita pontianak tu.
“Eh Aizat, awak azankan orang kat tepi awak tu.
Nampak macam terkena histeria je. Takut bila dia balik karang
ada yang menumpang.” Semburku sedas.
Leha terdiam terus. Haa, tau pun takut.
Dari dalam rumah, dapat aku dengar suara mereka
berbual-bual. Okey, bukanlah sebab suara mereka kuat tetapi
disebabkan aku tempelkan telinga aku di dinding papan ni.
Mencuri dengar perbualan mereka di luar. Aku tahu perbuatan
aku sekarang tidak manis kerana aku busybody. Tetapi, aku
perlu tahu apa yang mereka bualkan.
“Melurrr!!! Mana air aku?” jerit Aizat dari luar.
Nyaris aku tak terjerit akibat terperanjat. Mungkin
Aizat fikir aku berada jauh di dalam rumah sedangkan aku duduk
betul-betul bersebelahan dengan dia. Kami cuma dipisahkan
dengan dinding papan sahaja. Bergegar gegendang telinga aku.
Boleh pekak aku dibuatnya. Malas aku nak menyahut.
“Abang Aizat... abang kerja apa waktu dekat KL dulu?”
soal Leha. Haahlah. Tak terfikir pula nak tanya Aizat mengenai
pekerjaannya di Kuala Lumpur sana.
“Abang tak kerja...” jawab Aizat acuh tak acuh.
“Eleh. Kalau tak kerja, takkanlah abang boleh beli
gitar... boleh ada duit nak balik ke sini. Itu hari Leha nampak
abang berbelanja dekat kedai pak teh.” Kata Leha. Oh! Dia intip
Aizat rupa-rupanya.
“Abang mengemis.” Jawab Aizat pula dengan suara
mendatarnya.
“Alah abang ni main-main tau. Cakaplah betul-betul.
Abang kerja apa?” soal Leha dengan suara gedik-gedik sengaunya
itu. Macam orang telan lintah.
“Adalah. Mana boleh beritahu.” Jawab Aizat pula.
Serius pula perbualan mereka. Sewaktu aku di luar tadi, bukan
main ramah lagi Aizat.
Aduh, Aizat ni berahsialah pula. Dia kerja apa di KL
sana?
“AWAK KERJA apa kat KL sana?” Akhirnya aku usulkan juga
soalan itu setelah hampir sepuluh minit Leha pulang ke rumah.
Gila! Budak Leha tu tak mahu pulang ke rumahnya
selagi Aizat tak cakap, 'Leha baliklah dulu. Abang nak rehat.
Nak solat lagi. Leha tak nak solat ke?'
Fuhh! Sampai tahap macam itu barulah dia sedar diri
nak balik ke rumah. Kalau tak, asyik mengendeng kat rumah
aku selama yang dia suka.
“Tak baik curi dengar perbualan orang.” Aizat
menyindirku.
“Masa bila pulak saya curi dengar ni?” soalku pura-pura
tak tahu. Silap aku juga. Aku patut tunggu lagi sepuluh minit
untuk menyoal soalan itu. Sekarang nampak sangat yang aku
curi dengar perbualan dia dengan Leha tadi.
“Kura-kura dalam perahu. Kau ingat aku tak tahu kau
duduk tepi tu?” soal Aizat sambil memuncungkan mulutnya ke
sudut di mana aku duduk tadi. Hesy kura-kura ni, tak ada ke
tempat lain dia nak duduk selain dalam perahu?
“Eleh, mana awak tahu saya duduk dekat tepi tu?”
soalku pula.
“Aku sentiasa dapat rasa kehadiran kau.” Jawabnya
pula. Eh, dah macam ayat dalam drama pula. Bezanya, ayat itu
dituturkan dengan lembut oleh sang hero kepada heroinnya.
Berbeza dengan nada sinis Aizat ini tadi.
“Alah, saya duduk kat situ bukan sebab nak curi dengar.
Saya nak cari subang. Tercabut.” Nafiku lagi.
Aizat mencemik.
“Jumpa tak subang tu?” soalnya.
“Dah...” jawabku.
“Tak baik menipu. Aku tak pernah tengok kau pakai
subang sepanjang aku duduk dengan kau ni.” Ujarnya.
Alamak! Nak cakap apa bagi dia percaya ni?
“Yalah. Saya baru nak pakai subanglah tadi.” Jawabku
pula. Kelentong lagi.
“Menipu tu berdosa.”
“Tak baik menuduh. Menuduh pun berdosa.” Balasku
semula. Dia menayang senyum sinis. Nampak seperti tidak
mempercayai penipuanku.
“Macamlah aku tak perasan kau lintang-pukang berlari
dari situ lepas aku suruh Leha balik tadi. Sekali kau berlari,
macam Big Foot kau tau? Bergegar satu rumah. Baik kau
mengaku. Kau cemburu pada Leha, kan?” soalnya.
Eh, ini dah dikira mendesak!
“Argh! Teruknya perasan! Saya terdengar perbualan
awak dengan dia, okey. Awak cakap kuat sangat. Bukan
saya sengaja nak curi dengar pun. Kalau cakap macam guna
mikrofon macam tu, pak teh kat kedai pun boleh dengar.” Aku
menjelingnya.
“Kaki kelentong betul kau ni.” Kepalaku diluku
perlahan.
“Cakaplah awak kerja apa?” soalku kembali kepada
pokok pangkal perbualan kami tadi.
“Kau tekalah.”
Eleh, berahsia pula.
“Kalau nak kata cikgu, takkanlah. Awak ni pandai ke?
Lagi satu, mana ada cikgu lelaki berambut panjang macam ni.
Kalau nak kata jurutera, kenapa kulit awak cerah? Tak macam
orang berjemur saja. Satu lagi, ada ke jurutera rambut panjang?
Kalau nak kata doktor, ada ke doktor... muka awak langsung
tak ada nur. Ada ke doktor berambut panjang macam awak ni?
Kalau nak kata...” kata-kataku dipotong olehnya.
“Berapa banyak lagi ‘kalau nak kata’ kau tu? Aku
dah bosan dengar. Semua pekerjaan kau nak kaitkan dengan
rambut aku, kan? Apa dosa rambut aku pada kau hah?” soalnya
yang mula menjegilkan mata. Isy!
“Alah... beritahu sajalah.” Aku mengalah akhirnya.
“Aku kerja kat salon. Dah, puas?” soalnya sambil
berlalu pergi...

No comments:

Post a Comment