Wednesday, 25 May 2016

Samurai - Bab 16

DISEBABKAN aku tengah jakun dengan
handphone baru, cepat-cepat aku sudahkan makan malam dan
berkurung dalam bilik. Aizat ni cermat betul. Handphone dia
dijaga elok. Sayang pula rasa nak pakai. Siap dia bagi earphone
lagi. Aku tanpa menunggu lama terus menyumbat earphone ke
dalam telinga.
Aku membuka media player. Dalam keadaan tak
bersedia, tiba-tiba lagu entah apa-apa berkumandang kuat.
Bunyi pukulan dram sana sini. Nyaris aku tak menjerit terkejut.
Lagu apa ni? Dah separuh pun. A Little Piece Of Heaven. Cis!
Tak boleh pakai lagu dia.
Aku scroll ke bawah untuk mencari lagu melayu yang
jiwang-jiwang. Jangan harap! Semuanya lagu heavy metal.
Aku tahu pun dari gambar tengkorak album setiap lagu tu.
Iron Maiden, Avenged Sevenfold, System Of A Down, Metallica,
Slayer, Megadeth la marjerinlah. Sesuai sangat dengan
perwatakan dia tu. Heavy metal guy.
Hesy! Macam mana aku nak dengar lagu-lagu yang
menyakitkan kepala otak ni? Apalah Aizat ni! Bukan ke dia
suka mainkan lagu untuk Leha? Takkan tak ada lagu Melayu
langsung? Apa yang sedap sangat dengan lagu-lagu ni semua?
Mati selera aku nak membelek telefon ni. Penyudahnya, aku
cabut earphone dan campak ke tepi saja.
Tiba-tiba WhatsApp masuk. Dialah, siapa lagi?
Melur, kau buat apa? Apa pasal
masuk tidur cepat sangat? Tak nak
tengok ke Aaron Aziz kau ni?
Dia pun dah sedia maklum yang aku gemarkan Aaron
Aziz. Entah, hari ni macam tak ada mood pulak nak tengok
sebab kepala dah cecah bantal. Malas nak bangun lagi. Biarlah
Aaron Aziz ada sekalipun. Aku tak tahu kenapa sekarang aku
dah kurang rasa gedik nak tengok Aaron Aziz kat tv. Sejak Aizat
ada, macam-macam perkara dah berubah.
Malaslah. Aizat... ooooo Aizat...
Apa…
Apa pasal lagu-lagu awak semuanya
lagu pelik?
Pelik apa? Tu namanya rock!
Aizat, saya nak lagu sedap sikit…
yang boleh dengar sebelum tidur…
Dalam fon aku ada. Nak?
Nak.
Tiba-tiba aku menerima audio. Aku cuba memuat
turun lagu tersebut.
Dengarlah.
Ringkas saja pesanannya. Aku pun sentuhlah butang
play. Lagu apa yang dia hantar agaknya. Rentak romantik
semacam saja. Jangan lagu pening kepala dia tu sudahlah. Tak
sanggup aku nak hadap.
What would I do without your smart mouth?
Drawing me in, and you kicking me out…
Aku menghentikan lagu itu. Serabut betullah kalau
dengan budak Aizat ni. Semuanya nak lagu orang putih. Dia
ingat aku faham agaknya? Aku bukannya suka sangat lagu
orang putih ni. Lagu orang putih yang paling aku gemar pun
bertajuk Can’t Fight The Moonlight. Lagu zaman kecik aku.
Aizat, tak nak lagu orang putih!
Bagilah lagu orang Melayu…
Aku merungut. Kalau dia terus bagi lagu orang putih,
memang aku hempas handphone ni ke lantai. Pedulilah kalau
Maria tak dapat tengok pun. Sakit hati aku, tahu tak?
Hesy kau ni. Bukannya nak dengar
betul-betul pun lagu tu. Kejap... aku
download lagu Melayu untuk kau.
Kejap dia hampir jugalah sepuluh minit aku tunggu.
Lama betul. Download lagu ke buat lagu? Tiba-tiba audio
masuk. Yes!
Sungguhku tak mampu…
Menahan rindu…Ah! Ah!
Boleh dia bagi lagu dangdut? Dia ingat aku ni kaki
layan dangdut ke apa? Sengal punya Aizat! Teruk sungguhlah
dia ni. Nak kenakan aku aje kerjanya. Entah-entah dia yang nak
layan sangat.
Aizat!!!
Hahaha! Kau nak sangat kan?
Dahlah! Tidur lagi baik.
Sakit gila hati ni. Malas nak layan Aizat lagi. Mata
aku pun dah mengantuk, jadi mood nak melayan dia memang
ke laut dalam. Tiba-tiba telefonku berbunyi. Lagu rockers dia
itulah. Tercelik mata aku dibuatnya. Hey man! Look at me
rockin’ out, I’m on the radiooooo! Hey man! Look at me rockin’
out, I’m on the videooooo! With Danny and Lisa…
“Oh mak!!!” termelatah aku. Hesy, tak pernah-pernah
aku melatah, tiba-tiba pecah rekod malam ni.
“Hesy, lagu apa ni? Nasib tak sakit jantung, tau.” Aku
membebel terus sebaik saja mengangkat panggilannya. Aku
dengar dia di hujung talian terkekeh-kekeh gelak.
“Sorry, tu lagu kegemaran aku. Cuba kau perlahankan
volume ringtone kau, sampai ke luar dengar.” Katanya dengan
tawa yang masih bersisa.
Memang hampeh dia ni. Ada ke patut dia letak lagu
heavy metal yang mengejutkan macam tu jadi ringtone? Ini
kalau Pak Muiz ABC dengar, boleh mati dia. Orang tua tu dah
la ada sakit jantung.
“Kenapa call?” Aku mengurut dada. Masih terkejut.
Mujur aku dalam bilik. Kalau ada kat luar, memang aku luku
terus dia.
“Saja. Kau dah nak tidur betul ke?” soalnya. La...
tak percaya ke aku nak tidur awal? Aku tahulah muka aku ni
memang jenis tidur lewat. Aku nak belajar tidur awallah ni.
“Habis, takkan nak tidur tipu pulak?” aku menyindir.
“Tak nak lepak kat ruang tamu dulu?”
“Tak naklah. Mengantuk. Aizat, nanti awak carikan
saya lagu baik-baik sikit. Tak naklah lagu pelik-pelik awak ni.
Boleh mati sakit jantung saya nanti.” Aku berkata dengan nada
elok supaya dia akan bertolak ansur dengan permintaanku.
Bukan susah pun permintaan aku.
“Kau cuba layan dulu lagu-lagu aku tu. Tak layan lagi,
terus kau tutup, sebab tu kau tak suka.” Kata Aizat selamba.
“Hesy. Tengoklah macam mana.” Aku berkata sambil
menguap. Malas sangat aku nak dengar dan layan lagu heavy
metal macam tu.
“Dahlah... kalau kau nak tidur, pergilah tidur. Dah
basuh kaki?” soalnya. Eh dia ni dah kenapa? Tak pernah-pernah
soal soalan macam ni.
“Dah.” Bohong sunat.
“Pergi basuh.” Arahnya.
Aik! Bukan ke aku cakap yang aku dah basuh tadi?
“Dah basuh.” Sekali lagi aku menguap. Tak tahan betul
mata ni. Biasanya tak macam ni. Ni gerenti sebab air milo yang
mak buat tadi. Aku kalau minum milo memang parahlah biji
mata.
“Aku tak nampak kau pergi bilik air. Jangan nak
kelentong.”
Hesy! Kena jugak ke ikut arahan dia ni?
Lambat-lambat aku bangkit dan berjalan ke pintu.
Buka saja pintu, dia sudah tercegat di depanku dengan telefon
yang masih melekap di telinga. Hesy dia ni! Terperanjat aku.
Banyak kali dia buat aku terkejut hari ni. Segera aku meletakkan
panggilannya. Bazir kredit saja. Dia pun menjatuhkan telefon
bimbit dari telinganya dan terus disimpan ke dalam kocek.
“Nak aku temankan?” soalnya.
Aku jengah keluar, di ruang tamu. Dah gelap. Aik
peliknya. Apa pasal semua dah gelap? Bukankah baru pukul
sepuluh? Tapi apa nak hairan. Mereka memang tidur awal. Mata
aku pun dah mula mengantuk.
“Semua dah tidur. Besok kerja.” Katanya bagai tahu
apa yang ada dalam fikiranku. Aku angguk faham. Cepat sangat
mereka tidur hari ni. Aizat ni buat apa tak tidur lagi?
“Kau berani ke turun dapur sorang-sorang?” soalnya.
Aku angguk. Berani. Apa pasal dia macam prihatin sangat ek?
“Takpe, awak masuklah bilik. Good night.” Ucapku
dengan mata yang sudah berair menahan kantuk. Besok
pagi-pagi lagi dah kena tercegat kat Pusat Dakwah tu.
“Melur.” Langkahku mati.
“Ya?”
“Lagu tadi tu System Of A Down. Tajuk dia Radio Video.
Kalau kau jumpa dalam playlist, kau dengar dulu. Awal-awal aje
dia mengamuk macam tu. Dulu aku selalu jamming lagu tu.”
Ujarnya sambil tersenyum.
“Tengoklah kalau rajin.” Balasku malas-malas.
Memang taklah aku nak dengar lagu mengarut macam tu.
Terjerit-jerit macam orang tak betul.
“Good night sayang. Jangan tersadung.” Ucapnya
antara dengar dengan tidak.
“Hah?” terbuntang mataku mendengarnya.
“Good night dayang senandung.” Dia berkata sekali
lagi.
Alamak! Kenyataannya buruk sekali. Macam manalah
aku boleh tersalah dengar? Teruknya pendengaran aku. Ada ke
patut aku yang berkulit cerah ni dipanggil Dayang Senandung?
Mujurlah aku tidak ada mood nak bergaduh mulut dengan dia.
“Oh! Saya terdengar lain tadi. Good night, samurai.”
Dia tersenyum sebelum pergi ke biliknya.
“WAH! TELEFON baru. Lagi canggih dari telefon Ya. Akak beli
berapa ni?” soal Maria dengan muka terujanya. Jakun sekali dia
melihat S4 di tanganku.
Perasaan aku ketika ini? Bangga sekali kerana mampu
buat dia ternganga sampai nampak gigi gerahamnya yang
berlubang itu.
Sesekali dia cuba untuk menyentuh permukaan S4
Aizat lantas aku menepuk tangannya. Takut calar. Bukannya
telefon aku. S4 ini aku tukar dengan Aizat sebelum sampai ke
sini tadi. Kata Aizat, tak susah untuk membuka aplikasi telefon
ini kerana semuanya menggunakan kata kunci yang sama
dengan kata kunci dalam telefonku.
“Bukan akak yang beli. Bakal suami akak yang belikan
untuk akak. Baik kan dia? Lepas akak cakap aje tentang telefon
Ya, terus dia berikan akak telefon dia.” Aku berkata dengan
jujur, tapi sekerat jalan sajalah. Aizat tidak memberikan aku S4
tetapi hanyalah S3.
“Eh? Ye ke? Ya ingatkan dia tak mampu, kak. Kayanya.
Dia kerja apa?” soal Maria dengan penuh minat.
Alamak! Aku nak jawab apa ni? Manalah aku tahu dia
tu kerja apa? Dia tak nak beritahu aku pun. Mak pun tak pernah
beritahu aku mengenai pekerjaan Aizat di sana.
“Dia kerja dekat KL. Errr, arkitek.” Aku terpaksa
memetik sahaja satu jenis pekerjaan untuk dijadikan ‘pekerjaan’
Aizat.
Arkitek kira sesuailah tu dengan perwatakannya. Kalau
aku kata doktor nanti, mahu berair mata si Maria ini gelakkan
aku. Nampak sangat tak sesuai dengan Aizat. Wajah Maria
bersinar-sinar selepas sahaja mengetahui ‘pekerjaan’ Aizat.
“Wah! Kayanya. Ada juga arkitek yang berambut
panjang macam tu.” Maria berkata teruja. See? Maria pun
fikirkan benda yang sama denganku. Memang Aizat nampak
sesuai bekerja di salon kerana rambut ikalnya itu.
“Habis tu, kau ingat arkitek tu berambut pendek
sahaja ke?” soalku sengaja ingin meyakinkan Maria yang Aizat
aku memang seorang arkitek. Janganlah perkara ini sampai ke
pengetahuan Aizat.
“Eh! Bukanlah. Kalau arkitek berambut panjang
sekalipun, tentu sekali rambutnya berkerinting macam Albert
Einstein. Kan kerja sebagai arkitek ni banyak perah otak?
Rambut pun tentu sekali tak sempat nak sikat, kak. Ni rambut
bakal suami akak, terurus aje.” Kata Maria mengikut logik
akalnya. Eh, ada betulnya juga.
“Tu maknanya dia sempat sikat rambut dia.” Jawabku
selamba.
“Ye tak ye jugak, kan? Sukanya... untung dapat suami
macam dia. Dahlah kaya. Kerja pun best. Ya pun nak nikah
dengan dialah.” Maria sudah bertepuk-tepuk tangan.
Aku memandangnya dengan kening terangkat sebelah.
Amboi, bukan main gedik lagi dia. Dia tak sedar ke yang itu
bakal suami aku?
“Huh?” soalku sambil menjegilkan mata. Mati
senyuman nakal di bibir Maria. Dia mengetap bibirnya.
“Eh, Ya... Ya pun nak nikah dengan... dengan orang
yang macam dialah.” Jawabnya kelam-kabut. Menyampah. Dah
terang-terangan kau nak menggatal dengan Aizat aku! Eh?
Bukan Aizat aku. Bakal...
“Oh! Kalau Ya tak tarik balik kata-kata Ya tadi, memang
melayang kaki ni. Mujur Ya sempat betulkan. ” Jawabku sambil
menyapu kakiku ala-ala gaya watak Red dalam cerita The Lone
Ranger. Huh! Pengaruh cerita itu kuat betul memandangkan
baru semalam aku dan Aizat menontonnya di Astro.
“Alah akak ni. Ya salah cakap aje. Eh, bakal suami akak
tu apa namanya?” soal Maria lagi sambil mengerling ke arah
Aizat yang tekun mendengar ceramah. Aku memandang Maria
atas bawah. Perempuan ni kenapa? Menggedik sungguh dia.
“Kenapa Ya nak tahu?” soalku yang mula rasa angin
kencang berhembus di dasar hati. Rasa nak marah orang sahaja.
Aku tahu, siapa mangsa pertamaku. Memang si budak gedik ni
nanti.
“Saja. Takkan sampai bila-bila nak panggil ‘bakal
suami akak’, kan?” jawab Maria sambil menggulung-gulung
hujung tudungnya. Mujurlah kursus ni kena pakai tudung.
Tak perlulah aku tengok sorang lagi makhluk yang gemar
menggulung rambut.
Aku mula rasa nak kakikan anak orang. Tak apa,
sabar... sabar, Melur.
“Aizat.” Jawabku pendek sambil mata memandang ke
depan. Berpura-pura tekun mendengar ceramah sedangkan
satu pun tak masuk dalam kepala.
“Oh! Abang Aizat... umurnya berapa?” soal Maria lagi.
Abang Aizat? Aku dah mula rasa ada bunga-bunga
bahagia nak menampar anak orang dalam hati aku ni. Suka
menguji kesabaran aku nampaknya. Kalau dia uji sekali lagi,
memang kena. Percayalah cakap aku.
“Tak sempat nak kaji.” Jawabku acuh tak acuh.
“Takkanlah?” Maria menyoal lagi.
“Kau tanyalah sendiri. Aku nak dengar ceramah
ni. Bising betul kau ni. Aku sepak karang.” Aku sudah mula
menayangkan wajah menyinga. Cakap elok-elok tak nak dengar.
Maria agak terkejut dengan amarahku. Dia mengetap
bibir dan tidak bertanya lagi. Aman hidup aku.
“Abang Aizat... pssttt...” kedengaran suara Maria yang
berbisik bagaikan menggunakan mikrofon di sisiku. Dia sedang
memanggil Aizat yang berada tidak jauh daripada kami.
Dia ni, buat aku rasa rimas sungguh. Kenapalah
aku boleh tertinggal lastik alang kat rumah. Tadi, aku dah
pandang-pandang lastik tu. Biasanya alang guna untuk lastik
kera yang curi tanaman kat belakang rumah. Ingatkan tiada
kegunaan kalau aku bawa, jadi aku tinggalkan saja. Sekarang,
aku tahu kegunaannya untuk apa. Untuk melastik si Maria ni.
Huh!
“Abang Aizat... pstttt... pssstttttttttt!!!” semakin kuat
pula dia berbisik. Aizat mengerling ke arah kami apabila
namanya dipanggil.
Mataku dan Aizat berlaga. Terus aku halakan
pandangan aku ke depan. Sebenarnya, rasa terkejut pun tak
mahu hilang lagi. Terkejut ternampak wallpaper kat handphone
dia di tanganku ini. Gambar aku dengan dia baru-baru ni. Lagi
aku tak percaya apabila buka gallery dalam telefonnya. Banyak
gambar aku. Sedang makan di pangkinlah, sedang bergolek
tengok tvlah. Sungguh aku tak sangka. Dia suka aku ke? Tapi,
kalau betul... kenapa tak ada gaya langsung?
“Abang Aizat, umur berapa?” soalan Maria mengejutkan
aku. Dia dan Aizat, aku pandang silih berganti. Dia nak tahu
umur Aizat tu untuk apa? Gatal sungguhlah dia ni.
“Dua tujuh.” Jawab Aizat dengan pandangan yang
kembali dihalakan ke depan.
“Oh! Awalnya nak nikah. Tak nak fikir masak-masak
dulu ke? Nanti menyesal.” Kata-kata Maria itu membuatkan aku
dengan Aizat berpandangan. Aku menarik nafas panjang lantas
kuhembus perlahan-lahan.
“Nak menyesal kenapa pulak?” soal Aizat mendatar.
“Sebab... mana tahu nanti Abang Aizat jumpa yang lagi
cantik daripada Kak Melur ke.” Kata Maria sambil mengerdipkan
matanya.
Oh, nak kata dia lagi cantik daripada akulah ni?
Macamlah aku tak tahu muka dia yang nak merampas bakal
suami orang tu. Heee, benci!
“Takkan ada.” Jawab Aizat pendek. Aku lega.
“Ada...” Maria masih tidak berputus asa nampaknya.
“Contoh?”
“Maria...”
“Perasannya kau.” Aizat mengutuk terang-terangan.
Dua kali ganda aku rasa lega dengan respons Aizat. Dia tak
melayan Maria. Lega.
“Kau cakap depan aku je, Ya. Kau nak kena tetak
sebelum atau selepas aku kahwin?” soalku dengan mata yang
membulat memandang Maria.
“Ya cuma cakap aje. Itu pun nak marah.” Rengus Maria
sambil berpeluk tubuh dan memandang ke depan.
“YANG KAU cakap kat dia yang aku ni arkitek tu pasal apa?”
soal Aizat dengan nada tinggi naik satu oktaf. Mana aku nak
tahu yang Maria akan menyoalkan tentang pekerjaannya. Sibuk
betul budak Maria itu.
“Saya manalah tahu awak kerja apa di Kolumpo sana.
Bila saya tanya, awak kata kerja salon. Takkanlah saya ni tak
malu muka nak mengaku awak kerja salon? Jadi, nak selamat...”
belum sempat aku menghabiskan kata-kataku, dia menyampuk
dengan nada sinis,
“Kau cakap aku kerja arkitek?”
“Ya, sebab hanya pekerjaan itu aje yang dapat saya
fikirkan saat tu.” Aku menjawab dengan jujur. Memang itulah
yang boleh aku fikirkan selain daripada doktor. Melihat saja dia,
aku tak rasa dia ni doktor. Orang gila pun semakin gila kalau
aku kata yang si Aizat ini seorang doktor di KL sana.
“Aduh kau ni. Dengan aku-aku sekali terjebak
dengan penipuan kau. Semuanya kau nak menang daripada
dia sampaikan kerja aku pun kau nak cakap yang lagi hebat
daripada dia.” Rengus Aizat dengan wajah bengangnya.
Nak buat macam mana? Terpaksalah aku hantar
isyarat mata supaya dia mengiakan sahaja tentang pekerjaannya
sebagai arkitek sewaktu Maria mempersoalkannya tadi.
“Alah, biarlah. Bukannya dia tahu pun pekerjaan
sebenar awak kat sana. Mengaku sajalah awak arkitek bila dia
tanya. Tipu sunat sikit.” Ajarku tanpa rasa bersalah.
“Nak mengaku aku arkitek? Nanti dia suruh aku reka
bangunan ke, rumah ke, macam mana aku nak jawab? Aku
ni, nak reka reban ayam pun sampai gila kepala otak ni tahu
tak?” marah Aizat. Manalah aku tahu dia tak pandai mereka?
Baru-baru ni relaks saja dia bertukang. Dia buatkan emak
bangkulah, betulkan pangkin emaklah... jadi aku rasa sesuailah
tu.
“Alah, kalau setakat reban ayam tu, saya boleh tolong.”
Aku sengaja tidak mahu memanjangkan amarahnya.
“Senangnya kau cakap. Eee, kalau ada lada sekarang,
dah lama aku kunyah lepas tu ludah-ludah kat muka kau yang
tak tunjuk rasa bersalah ni. Baru puas hati aku.”
Eh, semakin marah pula dia. Aku ingatkan kalau dia
ada lada sekarang, dia nak bagi aku makan. Rupa-rupanya dia
nak kunyah sendiri. Advance betul.
“Alah. Sorrylah! Saya bengang gila dengan dia tu.
Dahlah menggatal dengan awak. Lepas aje dia tahu awak belikan
telefon kat saya, terus dia mengada-ada dengan awak. Sikit-sikit
Abang Aizat. Abang Aizat. Siap boleh tanya, tak menyesal ke?
Menyesal kepala hanguk dia. Nak makan penampar betul.” Aku
siap mengejek-ejek lagi suara gedik Maria itu tadi sambil buat
gaya gediknya yang menggulung tudung.
Aizat tersenyum senget.
“Kau cemburu ek?” soalnya.
“Mana ada?” aku menafikannya. Kenapa pula jantung
berdebar ni?
“Jangan tipu aku. Berdosa.” Aizat bertegas.
Hek eleh. Biarlah! Yang berdosanya aku, bukannya dia.
Geram pula aku.
“Mana ada saya cemburu. Saya sakit hati tengok dia tu
gedik sangat.” Jawabku selamba. Memang Maria tu gedik sangat.
Siapa tak sakit hati apabila berhadapan dengan perempuan
gedik macam tu?
“Eleh, kau tipu.” Aizat masih tidak mahu mengalah.
Kenapa dia yakin sangat yang aku cemburu ni? Mesti dia ingat
aku suka kepadanya. Pigirah!
“Saya tipu atau awak yang tak dapat terima kenyataan
ni?” semburku.
“Eh kau ni. Aku lagi yang jadi mangsa.” Dia
menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Betul apa?” aku tidak mahu mengalah.
“Tak ada masa aku nak bergaduh dengan kau ni, Melur!
Sakit otak aku.” Dengusnya.
Eleh. Dah kalah, macam itulah ceritanya. Akhirnya,
senyap pun mulut dia.
Oh ya, lagu heavy metal yang dia syorkan aku malam
tadi tu syok juga. Aku dengar banyak kali sampai tertidur. Tak
sangka aku akan layan lagu macam tu. Tapi memang taklah
aku nak mengaku kat dia yang aku layan lagu yang dia syorkan
semalam. Cari penyakit! Menyampah nak kena hadap muka
bangga berlagak dia tu.

No comments:

Post a Comment