“AIZAT... saya bosanlah. Jomlah pergi memancing.
Jomlah, jomlah...”
Hari ini memang pecah rekod. Aku mempelawanya
pergi memancing. Aku dah tak ada idea sangat nak buat apa
dekat rumah. Terlalu bosan sampaikan rasa nak menangis.
Aizat pun kelihatan terkejut dengan ajakanku.
“Kau demam ke apa ni?” Dia meletakkan belakang
tangannya ke dahiku membuatkan aku terundur ke belakang.
“Tak.” Jawabku sepatah. Hesy, suka hati dia aje nak
sentuh dahi aku. Ada gaya orang demam ke aku ni?
“Pergi ajak alang.” Dia menjeling.
Aku mengeluh. Bukannya payah sangat pun. Aku suruh
dia temankan aku pergi memancing aje. Bukannya tempat
terperuk. Ramai orang kut kat sungai tu. Dulu la... hehehe.
Sekarang tak tahulah masih ramai orang ataupun tak. Aku dah
lama tak pergi memancing.
“Apa yang membuatkan Melur nak pergi memancing
ni?” soal alang yang bersandar di jendela rumah sambil
merokok. Belum pun aku ajak dia lagi.
“Bosan sangat ni. Lagipun Melur ada nampak joran
lama Melur yang along hadiahkan dulu.” Aku bersuara bagai
orang kalah judi. Dua-dua macam tak nak teman aje.
“Alang malaslah. Penat. Lagipun petang nanti ada
date.” Alang memberi alasan sambil menghembus rokok yang
disedutnya.
“Tak nak tak apalah. Melur ajak Ijai boleh?” soalku
meminta izin. Tiba-tiba teringat yang aku masih ada seorang
penyelamat bernama Ijai.
“Pergi tanya mak.” Alang tak mahu sesuka hati
memberi keizinan kepada aku. Dia memang begitu.
Aku pun apa lagi? Terus ke bilik mak. Mak yang sedang
melipat kain itu memandang aku sebaik sahaja melihat aku
masuk.
“Mak. Melur nak pergi memancing dengan Ijai boleh?”
soalku. Mak angguk.
“Apa mimpi kau ni Melur?” soal mak yang agak terkejut
itu.
“Bosan sangat dah duduk rumah. Sampai rasa nak
meraung.” Aku bagi alasan. Tengok! Mak pun terkejut dengan
idea pelik aku. Tak pernah-pernah aku ajak orang memancing.
“Boleh. Ajak Abang Aizat sekali.”
Alamak. Kena bawak juga ke Aizat tu? Memang dia tu
sejenis keychain ke apa? Ke mana aku pergi, mesti aku kena
bawak dia.
“Aizat tak nak. Melur dah ajak tadi. Alang pun tak nak.
Melur ajak Nora sekali boleh?” aku membodek dengan memetik
nama Nora.
“Kesianlah budak dua orang tu.”
“Mak. Nak kesian apanya? Diaorang dapat berdating,
lepas tu Melur dapat memancing. Kesian kat Melur ni dulu, dah
bosan sungguh duduk kat rumah ni.” Aku mula karang ayat
sedih.
Dahlah tak lama lagi aku akan menikah. Lagilah bosan.
Nanti mesti tak ada aktiviti langsung selain bergaduh dengan
Aizat dua puluh empat jam. Aku bosan sungguh bergaduh
dengan makhluk bertocang tu sebenarnya.
“Pergilah. Jangan buat benda tak senonoh pulak.” Mak
akhirnya membenarkan aku. Yeeha!
“Isy mak ni... bukan orang nak ke disko.” Aku
membebel.
SETELAH BERKURUN memujuk Ijai dan berkurun
menunggu Ijai memujuk Nora, akhirnya kami bersama-sama
melangkah ke sungai. Adalah dalam dua tiga orang saja yang
memancing selain kami di situ. Jarak pula lebih sepuluh meter
setiap seorang. Mungkin mencari ketenangan. Baguslah ada
orang. Tak adalah sunyi sangat. Kami mengeluarkan alatan
memancing masing-masing.
Ijai mencampakkan cangkul kecilnya ke tanah yang
agak lembap di kawasan tebing sungai ini. Sudah bersiap sedia
hendak mencangkul tanah untuk mencari umpan.
“Proses mencari cacing...” katanya sambil laju
mencangkul tanah. Nora pula tak segan silu membentang tikar
picnic ke atas tanah yang rata dan kering. Bekalan makanan
yang dibawa dikeluarkan dari raga. Inilah untungnya aku ada
sahabat baik.
Aku pula sedang tunggu cacing. Untuk memancing
dalam keadaan senyap sunyi, aku membuat keputusan untuk
menukar mode telefonku kepada silent mode. Sebab, takutlah
kalau-kalau ada notifications masuk, bising pula nanti.
Lagi aku takut kalau orang telefon. Nak-nak rentak
ringtone black metal budak Aizat tu aku tak tukar-tukar lagi.
Ikan pun lari. Kalau boleh, aku nak berlagak dekat Aizat yang
aku dapat ikan besar. Biar dia menyesal sebab tak ikut aku
memancing.
Sebenarnya aku sakit hati apabila dia tolak pelawaan
aku tadi. Rasa macam nak renjat dia dengan belut elektrik. Apa
dia ingat aku nak sangat ke ajak dia? Pigirah!
“Melur, bak sini tempurung tu. Sihat ni... sihat...”
Ijai bersemangat sekali memberi arahan apabila berjaya
mendapatkan cacing yang sihat untuk ikan kami nanti.
Ya, sebenarnya aku penggeli. Dan ya, sebab itulah
aku ajak Aizat tadi. Mudah-mudahan dia boleh bantu aku
mencangkukkan cacing ke mata kail. Tapi tak apa, sekarang Ijai
ada.
Aku menghulurkan tempurung yang aku bawa
kepada Ijai. Dia menabur tanah ke dalam tempurung itu dan
meletakkan cacing sihat itu ke dalamnya.
“Besarnya. Werk.” Aku menjelirkan lidah. Geli.
“Santapan enak buat kekasih.” Ijai buat perangai
gila dia. Dia menarik cacing itu keluar dari tempurung lantas
ditunjukkan ke arah Nora.
“Abang kan tahu Nora tak geli pada cacing.” Nora buat
muka selamba.
“Abang lupa.” Ijai tersengih.
Aku yang melihat ni? Nak terjun sungai rasanya. Nora
tak geli dengan cacing? Diakan anak Dato’? Aku anak orang
kampung ni pun takutkan cacing. Tercabarnya rasa. Aku kena
menuntut ilmu dengan Nora ni. Macam mana dia boleh tak
takut cacing hah?
KEADAAN BEGITU sunyi sekali. Sekali-sekala aku menyuap
sandwich buatan Nora. Sedap. Patutlah ayah dia benarkan dia
menikah. Dah layak...
“Bosannya.” Aku mengeluh. Letih menunggu ikan yang
tak kunjung tiba. Ijai di sebelahku pula sudah macam-macam
gaya baringnya. Seenak dia aje berbaring. Sampai sempit tempat
duduk aku dengan Nora. Dia berbaring di tengah antara aku
dengan Nora. Nora menghabiskan masanya dengan membaca
novel.
“Sebab aku tak ada, kan?” terkejut aku mendengar
suara itu. Aku berpaling.
Gila... dah macam superhero aku tengok Aizat yang
tegak berdiri sambil memegang joran bagaikan memegang
sebilah pedang samurai. Adakah dia ingin menyelamatkan
keadaan yang begitu membosankan ini? Segak sekali gayanya.
Dengan topinya... dengan baju lengan panjangnya... ah... tak
pernah aku tengok dia pakai t-shirt lengan panjang. Yalah, tak
pernah sebab t-shirt tu t-shirt aku!
“Awak pakai baju saya?” soalku. Dia meletakkan
peralatan memancingnya di tepi aku. Bersiap sedia nak duduk
di sisi aku.
“Muat, aku pakailah.” Selamba saja jawapannya.
Memanglah muat, dah dia keding. Baju itu pula saiz M. Memang
baju tu besar. Baju pemberian Abang Din yang dah semakin
menggebu badannya itu.
“Hei tenuk, kau baring jauh sikit. Kena awek aku,
siap.” Amaran dikeluarkan. Jahatnya panggil Ijai macam tu.
Aku menjeling Aizat. Ijai hanya tersenyum nak
menyakat. Hek eleh. Apa pelik sangat dia dengan kata-kata Aizat
tu. Aku dan Ijai mengesot ke tepi. Adalah ruang seciput untuk
Aizat duduk.
“Makan bang?” soal Nora sambil menghulurkan
sandwich buatannya. Aizat menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Tadi dah makan.” Jawabnya sepatah.
Nora menyuap roti itu ke mulut Ijai, dengan alasan
tangan Ijai kotor pegang cacing. Sebab itulah aku tak pegang
cacing. Nanti kotor tangan tak dapat makan.
Aizat memandangku.
“Kau nak macam tu?” soalnya tiba-tiba.
“Macam apa?” aku menyoalnya kembali.
“Macam Nora. Mesti kau teringin nak suapkan aku
makan, kan?” Kata-katanya tak berasas langsung. Geli aku.
“Eeee, helooooo?” Aku buat mata juling. Dah meluat
sangat sampai muka pun terkena jangkitan meluat. Perasannya
dia. Aku suapkan cacing nanti baru padan muka.
“Mengaku ajelah. Nora, bagi kat Melur ni roti tu... biar
dia suap abang.”
Eeee, geli aku bertambah-tambah. Dia ingat dia tu
terkena parkinson ke sampai aku yang nak kena suap? Geli...
geli... geli!!!
“Eeee, gelinya. Padahal awak yang nak macam tu, kan?
Suaplah sendiri. Macamlah tak ada tangan.” Aku menceber.
Aizat mengambil tempurung berisi cacing lantas
dicangkuk cacing itu ke mata kailnya. Kemudian dia
menunjukkan tangannya.
“Tangan aku dah kotor. Suapkan aku, baby...”
Manja, mengada, menggedik, melampau! Semua dia!
Geramnya aku! Kalau aku tahu perangai dia gedik macam ni,
memang aku tak beritahu langsung plan aku nak memancing
hari ni. Aizat gila!
“Eeeeeeeeee!” Aku lebih gelikan dia berbanding dengan
cacing sekarang ni.
“Betul ke Aizat ni?” Ijai sudah buat suara suspens. Aku?
Mulalah ketap bibir. Alamak. Kalau bukan...
“Mulut jangan celopar sangat!” Telinga Ijai dipiat Nora
yang mula ketakutan.
Aku rasa, aku tak boleh bergerak. Mula mengandaikan
macam-macam. Bulu roma tegak berdiri apabila Aizat
merenungku tajam dan wajahnya semakin menghampiri.
“Suapkan aku...” Dia memuncungkan mulutnya,
acah-acah mahu menciumku. Mata dikenyitkan. Nora dan Ijai
terkekeh-kekeh gelak.
“Heeee, kenapa dengan awak ni? Awak datang sini
sebab nak makan ke?” Aku mula nak mengamuk, mujurlah aku
masih sedar yang aku ni dekat sungai. Jadi, suara pun keluar
halus mulus aje walaupun muka macam tapai basi.
“Mesti kau takut, kan?” Aizat melempar tali tangsi
jorannya ke tengah sungai. Dahan kayu berbentuk Y dicapai
dan dipacak ke tanah, dan dia menyandarkan jorannya di situ.
Kemudian dia mengepit loceng pada joran lantas berbaring. Dia
menutup mukanya dengan topi. Macam itu aje?
“Aizat... tadi kan awak tak nak ikut, kenapa awak
datang sini?” Aku bosan pula apabila tak bercakap dengan dia.
Ego ke apa aku ni? Bila tengok dia dalam keadaan begitu, mula
rasa nak kacau ketenteraman dia.
“Aku tak cakap pun yang aku tak nak ikut.” Dia
menjawab selamba tanpa mengalihkan topi dari mukanya.
“Aizat... tadi kan awak tak nak ikut, kenapa awak
datang sini?” Sengaja aku ulang ayat itu. Memang aku nak
jawapan yang sebenar. Aku tak rasa jawapannya tadi sesuai
dengan piawai jawapan yang aku kehendaki.
“Kaset rosak ke?” sindirnya.
“Aizat... tadi kan awak tak nak ikut...” sekali lagi aku
mengulang ayat yang sama tapi kali ini dia menarik topinya
dari muka dan bangun. Dia mengerutkan keningnya dan tajam
memandang aku.
Aku terdiam.
“Hesy! Aku tak percayakan kau. Takut kau buat hal
sebelum kita nikah. Puas?” soalnya sambil menjegilkan mata.
Aku kaku. Mata pandang Ijai dan Nora, mereka
terkekeh-kekeh gelakkan aku.
“Mesti awak terpengaruh dengan cerita semalam ni,
kan?” aku menyakat. Buat-buat tak takut dengan renungan
tajam dia itu.
Semalam kami ada tonton cerita dekat Astro Diva yang
bertajuk How To Make An American Quilt. Waktu heroin tu
curang, ‘berhibernasi’ dengan lelaki lain, waktu itulah Aizat
merenungku tajam berbekalkan kata-kata, ‘kalau kau buat
macam tu, siap!’
“Hmm... perempuan. Nampak lelaki badan sasa, muka
handsome... dilupakan kekasihnya yang biasa-biasa tu.” Terus
dia buat ayat sedar diri.
“Helo, cerita semalam pun ada tunjuk lelaki mak cik
tu curang. Sampai ke tua pun masih curang. Tapi pembetulan,
awak bukan kekasih saya pun.” Aku mencemik. Ingat aku nak
betulkan ayat sedar diri dia tu? Sorry sikit. Aku banyak kerja
lain.
“Tapi kau kekasih aku.” Dia merenungku.
Aku berdebar-debar menahan panahan matanya. Hesy,
suka tenung aku sampai nak tembus. Buat jantung aku penat
aje.
“Malaslah saya nak... Aizat! Ikan! Joran! Ikan!” Tiba-tiba
joranku tersentak. Aku pun tersentak sama. Kelam-kabut sekali
aku menggoyang-goyangkan badan Aizat yang sememangnya
dah sedar tentang joran aku. Ijai yang berbaring itu tegak
duduk ingin tahu ikan apa yang makan joran aku.
“Joran ke ikan?” dia menyoalku dengan muka poyo dia
tu. Nak ejek akulah tu.
“Ikan.” Aku membetulkan kata-kataku.
“Tariklah. Yang kau pandang aje tu kenapa?” soalnya.
Aku pandang Aizat dengan pandangan meminta
simpati.
“Saya takut...”
“Isy kau ni. Cacing takut, ikan takut. Nak memancing
sangat. Kau belajar tarik sendiri joran tu, aku tak nak tolong.”
Terkejut aku mendengar kata-katanya. Tapi sekarang,
bukan masa nak menyoal.
“Tariklah, Melur.” Arah Ijai.
Aku memberanikan diri menarik pancingku. Tiba-tiba
joran Aizat pula bergegar bersama bunyi locengnya. Dia
memulas motor joran itu dengan laju sekali. Aku pun apa lagi...
berlumbalah dengan dia. Siapa dapat tarik ikan ke darat dulu,
dia menang! Tiba-tiba, kami berpandangan. Tali tangsi kami
berselirat. Bukan ikan...
“Kita memang dijodohkan bersama... sehati serta
sejiwa...” Ada pulak suara latar yang menyanyi mengejek kami.
Nora dan Ijai. Memang nak kena jadi umpan budak dua orang
ni. Lagu tu, dahlah lama aku tak dengar.
“Diamlah!” aku mendengus.
Aizat hanya tersenyum senget. Dia meleraikan tali yang
tersimpul itu dengan senyuman bahagia. Nak senyum kenapa
aku pun tak tahu. Masalahnya, keadaan jadi kekok lepas kami
mendengar nyanyian Ijai dan Nora itu. Untuk menghilangkan
rasa kekok, aku menyoal soalan yang aku tak sempat nak soal
tadi.
“Mana awak tahu saya takut cacing?”
Dia hanya diam.
“Awak spy saya eh?” aku menyakat. Cuba mengabaikan
lagu Nora dan Ijai yang bagaikan berhantu itu, bermain dalam
fikiran.
“Habis? Takkan aku nak spy baba pulak?”
Terdiam terus aku. Hesy. Jahatnya permainan dia ni!
Mana boleh spy aku sesuka hati.
“Suka saya ek?” aku menyakat.
“Haah Melur. Aku suka gila kat kau. Kau aje yang
tak tahu.” Dia berkata dengan suara mendatarnya lantas
menjelingku.
No comments:
Post a Comment