HARI ini aku dan Aizat bakal mengambil ujian
HIV. Berdebar-debar jugalah rasa hati apabila mengenangkan
aku bakal dicucuk. Ada yang kata, cucuk HIV itu menyakitkan.
Alamak, macam mana ni? Aku takut jarum. Sejujurnya...
“Aku ada rahsia yang nak kongsi dengan kau sebelum
aku mati. Aku nak kau simpan rahsia ni elok-elok. Jangan
sampai ada yang tahu.”
Aku memandang samurai di sisiku. Wajahnya pucat
lesi. Dia hanya menunduk. Eh, kenapa pulak sampai tahap
macam tu?
“Eh, kita ni nak kena cucuk aje. Bukan kena tikam
pun. Mati apanya?” Aku membebel.
Aizat menggaru-garu kepalanya. Dahinya berlapis-lapis.
Mulutnya terketar-ketar seperti sedang teragak-agak untuk
bersuara. Tidak lama kemudian aku dengar dia mengeluh.
“Lantaklah apa kau nak fikir.” Perlahan sahaja suaranya.
Jarinya disulam-sulamkan. Keluhan demi keluhan aku dengar
dari nafasnya. Kenapa dia tidak meneruskan kata-katanya?
Bukankah tadi dia ada sesuatu yang ingin dikongsikan bersama
aku?
“Apa rahsianya?” soalku apabila dia masih tidak mahu
bersuara. Aku benci menunggu.
“Sebenarnya aku... aku...” dia tergagap-gagap. Bibirnya
dijilat dan digigit-gigit. Takut sangat gayanya. Kenapa? Dia tak
pernah nampak setakut ini. Setahu aku, dia tak pernah takut.
Atau... dia takutkan jarum, sama seperti aku. Tapi aku tak
hairan kalau lelaki takut jarum. Alang juga takutkan jarum.
“Awak apa?” soalku yang lama menanti ini. Sakit hati
pula. Dia buat otak aku penat untuk meneka.
“Sebenarnya aku merupakan pesakit HIV positif.”
Kata-katanya membuatkan aku terkejut.
“Hah? Macam mana awak boleh dapat sakit tu?” soalku.
Habis, macam mana dengan perkahwinan kami?
“Aku tertidur dengan perempuan yang ada sakit tu.
Maksud aku... aku pernah ada hubungan fizikal dengan dia. Kau
faham, kan? Aku tak tahu dia ada Aids. HIV positif.” Ceritanya.
Kali ini bukan setakat terkejut, hatiku mula rasa
ditikam berkali-kali dengan pengakuannya itu. Tak mungkin
dia seorang yang begitu. Tak mungkin Aizat... oh, tidak!!!
“Apa dia?” jerkahku. Kecewa, marah... sedih...
semuanya bercampur menjadi satu.
Tiba-tiba dahiku dan pipiku ditepuknya berkali-kali.
“Melur, kau ni kenapa?” soalnya dengan wajah pelik.
Mukanya terbalik. Sejak bila dia jadi Spiderman ni? Boleh
duduk terbalik sampai kepala ke bawah macam tu?
Aku memejam celik mataku. Aku lihat wajahnya
dekat sekali dengan wajahku. Teringat adegan Mary Jane
menanggalkan separuh topeng Spiderman sebab nak cium
lelaki tu. Takkanlah Aizat... nak cium aku? Mukanya masih lagi
berkerut-kerut.
“Huh?” aku menyoalnya kembali. Tapi... pelik. Dari
mana pula datangnya kentang goreng yang digigitnya tu?
Setahu aku, tadi tiada kentang goreng pun kat tangannya.
“Apa dia, apa?” soal Aizat. Dia sudah mula bersandar ke
kerusi. Dia di atas kepalaku.
“Awak cakap apa tadi?” soalku semula.
“Mana ada aku cakap apa-apa?” dia berkata dengan
mulut yang terlopong. Kentang goreng yang digigitnya itu
terjatuh ke bawah. Muka dia nampak pelik. Argh! Macam mana
dia boleh buat tak tahu saja?
“Awak cakap awak pesakit HIV positif, kan?” soalku
yang mula bangun dari perbaringan. Sakit leherku mendongak
memandangnya.
“Eh, kau ni! Masa bila aku cakap?” soalnya kembali
dengan wajah yang semakin terkejut beruk.
“Habis tu? Awak yang cakap awak dapat bila awak tidur
dengan perempuan yang ada sakit tu.” Kataku semula dengan
nada yang semakin perlahan. Tak sanggup nak cakap lebih.
Cukuplah sekadar mengingatkan dia dengan kata-katanya tadi.
“Astaghfirullahal’azim, Melur. Kau merepek apa ni?
Aku tak pernah tidur dengan perempuanlah! Aku tidur dengan
kucing aje kat sana. Macam mana kucing kawan aku boleh ada
HIV ni? Apa kucing tu dah buat dekat aku sampai aku berjangkit
sama?” soal Aizat pelik.
Aku ternganga. Alamak. Persekitaran aku pandang.
Eh? Aku di rumah akulah. Aku baring di atas lantai. Bukan di
atas katil hospital seperti mana kedudukan aku tadi. Tv aku
pandang sekejap. Eh? Bukan cerita Melayu ke tadi?
“Hah? Kucing? Eh? Kita bukan dah nak pergi cucuk
HIV ke tadi?” soalku semakin pelik.
“Besoklah kita pergi?” soal Aizat kembali. Aku
menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Peliknya.
“Itulah. Tidur lagi waktu maghrib. Mengigau yang
tidak-tidak. Nak tercabut jantung ni mendengarnya. Heee, kau
ni Melur. Selisih 44 malaikat aku ada sakit tu.” Bebel Aizat.
Laaa, dah maghrib ke?
“Masa bila aku ada HIV entah? Heee, jauh-jauhkanlah.
Tak pernah keturunan aku buat kerja gila sampai dapat sakit
tu.” Bebel Aizat lagi.
Aku pandang persekitaran.
“Abang-abang saya mana?” soalku sengaja tidak
menghiraukan bebelannya. Mak abah tentu sudah ke surau.
“Ada kat dalam bilik. Solat agaknya.” Kata Aizat.
“Aku tahu kau tak sabar nak nikah dengan aku. Tapi
kita cucuk besok. Sampai termimpi-mimpi kau ye. Kesian.”
Kutuk Aizat lantas bangkit dari duduknya. Dia menuju ke bilik
meninggalkan aku sendirian di ruang tamu.
Hai memalukan betul. Macam manalah aku boleh
mimpi yang tidak-tidak ni? Dah perasan budak Aizat tu.
Menyampah!
“BETUL KE awak tak pernah tidur dengan perempuan dekat
sana?” soalku mengenang mimpiku semalam. Menakutkan
sungguh. Tak dapat aku terima betapa sakitnya hati mendengar
pengakuannya dalam mimpi aku semalam.
“Kau ingat aku jahat sangat ke?” soal Aizat yang sedang
memandu.
“Saya tanya, jawab ajelah!” Aku mendesaknya.
Dia mengeluh. Dapat aku lihat dia mengacipkan
giginya. Lihat saja pipinya. Bergerak-gerak. Lama dia diam.
Tapi macam nak cakap sesuatu. Sesuatu yang sukar untuk
diluahkan.
“Aku takut kau...”
“Beritahu jujur!” Aku memotong. Aku tahu dah
jawapannya. Pasti ada sebab dia cakap macam tu. Kenapa aku
mesti nak dengar pengakuan daripadanya sedangkan aku dah
tahu dan lebih parah lagi, hati aku dah remuk.
“Aku pernah tidur dengan Maya.”
Jawapannya membuatkan aku terpejam mata. Lebih
sakit mendengarnya dari mulut dia sendiri. Bukan mimpi
seperti ini yang aku harapkan untuk menjadi kenyataan. Bukan!
“Saya tak nak kahwin dengan awak.” Jawabku. Pedih.
Air mata sudah menitis.
“Maya tu kucing kawan aku. Tapi aku tak buat
hubungan fizikal langsung dengan kucing tu. Tak sangkalah
pulak aku hanya disebabkan aku pernah tidur sekatil dengan
kucing pun sampai kau sanggup nak ubah fikiran kau.” Kata
Aizat sambil tergelak-gelak.
Lega...
“Aizat! Bengong dia ni.” Aku mencubit lengannya
sebelum mengelap air mata dengan lengan baju. Dia tersengih.
“Dah aku cakap tak ada pun kau bukannya nak percaya.
Aku ni teruna lagi tau. Sesuci embun pagi. Hanya untuk kau
seorang.” Katanya lagi bersama tawa kecilnya.
“Eee, gelinya.” Aku menggeliat kegelian mendengar
ayatnya. Terkekeh-kekeh dia ketawa. Walaupun dia payah
ketawa, tapi hari ini aku tak mahu lihat dia ketawa. Sebab dia
sedang ketawakan aku.
“Jangan gelak, tak baik.” Aku memarahinya. Dia
tersenyum. Tangannya di gear kereta dialihkan seketika untuk
merunyai-runyaikan rambutku.
“Kau ni risau sangatlah, Melur. Jangan banyak berfikir.
Aku takkan buat benda pelik macam tu. Aku simpan untuk kau,
jangan risau...” katanya lantas fokus kepada pemanduannya. Ya,
kami dalam perjalanan untuk membuat ujian HIV.
“SAYA INGATKAN kita kena baring atas katil hospital untuk
buat ujian HIV tu.”
Aizat yang sedang berjalan menuju ke kereta itu
terhenti melangkah. Dia berpaling memandangku di belakang
yang sejak dari tadi mengekori. Dapat aku lihat sengihannya.
“Boleh mati dalam gelak aku kalau macam ni, Melur.”
Katanya sambil menggeleng-gelengkan kepala. Senyum
memanjang. Sakit pulak hati ni apabila tengok senyumannya.
Dulu aku rasa senyumannya mampu menyejukkan hati. Hari ni
aku ubah fikiran.
“Kenapa pula?” soalku.
“Ujian tu sekadar cucuk aje. Ambil darah. Bukannya
masuk air kat dalam badan pun sampai nak kena baring. Tapi
aku tak sangka kau ni automatik masuk air.” Kutuk Aizat
bersama senyumnya.
“Aizat janganlah ejek saya. Saya tak ada pengalaman.
Awak patut faham.” Kataku sedih.
Semenjak dua menjak ini, perbualan aku dengan dia,
okeylah sikit. Sikit saja. Mungkin disebabkan dia sudah banyak
tersenyum. Tapi aku dah lali dengan pertuturannya yang kasar
tu. Memang cara dia begitu. Bukannya dia mencari gaduh.
Agaknya orang yang duduk di sekolah jahat memang cakap
kasar macam tu.
“Faham tak bererti aku tak boleh gelak. Masuk dalam
kereta cepat. Kita pergi makan dulu. Aku lapar. Buat masa ni,
tolong berhenti melawak. Kau buat aku rasa nak makan kau.”
Kata Aizat. Aku menurut.
“Aizat... jangan cerita kat keluarga saya. Nanti diaorang
ejek.” Pesanku.
Dia tersenyum lagi. Mudah betul dia senyum hari ini.
Aku tak perlu berusaha pun. Dan dia sangat manis.
“Tak.” Katanya.
“Janji?” soalku. Jari kelengkeng aku suakan kepadanya.
Dia mengeluh. Dari pandangannya dapat aku faham
maksud yang cuba disampaikannya. ‘Macam budak-budak’.
Tapi aku nak buat macam mana? Inilah caraku meminta orang
untuk menepati janji.
“Janji.” Jawabnya tidak lama kemudian. Jari
kelengkengku disambut dengan cepat dan dia mula
menjatuhkan tangan ke gear kereta.
“Betul ke ni?” soalku.
“Kau nak aku ubah fikiran ke?” soalnya dengan
renungan tajam. Laju aku menggeleng-gelengkan kepala.
“Bagus.” Pujinya.
No comments:
Post a Comment