Wednesday, 25 May 2016

Samurai - Bab 4

Ku teringat hati
Yang bertabur mimpi
Ke mana kau pergi cinta...
Perjalanan sunyi
Engkau tempuh sendiri
Kuatkanlah hati cinta
Ingatkan engkau kepada
Embun pagi bersahaja
Yang menemanimu sebelum cahaya
Ingatkan engkau kepada
Angin yang berhembus mesra
Yang kan membelaimu cinta...

TERBUKA kembali mataku mendengar suara dia.
Pandai dia menyanyi. Lagu Sebelum Cahaya. Aku suka lagu
tu. Betul ke dia yang menyanyi? Atau ada sesiapa pasang lagu
tu? Tapi dengarnya macam live saja. Petikan gitar akustik
membuatkan aku yakin. Itu suara si samurai. Tak sangka...
pandai menyanyi rupa-rupanya orang macam dia. Aku ingat dia
pandai menyembur aje.
“Sedap suara Aizat.” Mak pun memuji. Aku angguk
sedikit. Mengiakan. Tak sangka dalam mulut jahat dia tu,
suaranya boleh tahan sedap.
“Hmm. Bolehlah.” Aku jawab dengan ego.
“Dari kecil lagi dia suka menyanyi. Mak ingat lagi...
masa tu dia darjah enam, Melur baru masuk tadika. Dia
bergendang-gendang dengan tin-tin susu kosong yang dia kutip.
Lepas tu dia menyanyi lagu nasyid. Tapi suara dia dulu nyaring
bukan main. Sampai arwah mak dia pun mengamuk setiap kali
dengar dia menyanyi.” Mak aku bercerita dan tergelak sendiri.
Aku ikut tergelak. Tak sangka waktu kecil dia
menghiburkan hati. Lagi tak sangka, apabila dah besar
menyakitkan hati pula.
Beza usia dia denganku enam tahun. Jauh juga tu.
Aku dah dua puluh satu. Dia dua puluh tujuhlah. Lepas belajar
dekat sekolah jahat, dia buat apa? Kenapa baru sekarang dia
balik kampung? Itu aku nak tahu sangat. Selama dia duduk KL,
macam mana kehidupan dia kat sana? Tentu liar. Banyak ulit
perempuan agaknya. Euw...
Aku mendengar kembali nyanyiannya, syahdu
sungguh. Nyaris saja air mataku nak tumpah. Tiba-tiba rasa hiba.
Tak tahu kenapa aku mesti berasa begini apabila mendengar
nyanyiannya. Kedengaran ikhlas sekali. Teringinnya nak duduk
depan dia dan dengar dia menyanyi sambil petik gitar.
“Sedap suara kau, Jat.” Suara Abang Din memuji.
Abang Din dah balik? Awalnya. Tentu dia balik berehat sebab
jam pun belum pukul dua lagi. Mak cepat-cepat menutup
tubuhku dengan kain batik kerana bimbang Abang Din masuk
ke dalam rumah.
“Jangan masuk!” Jerit Aizat. Aku sudah tak senang
dalam perbaringan. Takut.
“Kenapa pulak?” Abangku menyoal. Tombol pintu
tak jadi dibuka. Aku dan mak melepaskan nafas lega serentak.
Terima kasih, Aizat. Dalam tak rela, aku berterima kasih
kepadanya.
“Adik kau berurut kat dalam.” Aizat berkata.
“Kenapa pulak?” soal Abang Din. Eh! Banyak tanya
orang tua ni.
“Dia jatuh pokok tadi. Terseliuh pinggang. Mak de
tengah urut. Kau tak payah masuklah! Tunggu siap dulu.” Dia
melarang keras.
“Macam mana boleh jatuh pokok? Dia kan handal
memanjat? Macam kera dah skill dia memanjat.” Abang Din
menyoal sambil tergelak.
Aku dengar suara Aizat tergelak. Macho habis.
Macam mana rupa dia gelak ek? Aku tak pernah tengok lagi.
Ah pedulilah. Dia ketawakan aku. Geram betul aku. Selalu aku
menjadi bahan ketawa mereka. Ingat aku tak ada perasaan ke?
“Melur dengar tau!” Aku menegur dari dalam. Semakin
kuat gelak tawa mereka. Entah macam manalah muka Aizat
tengah gelak, kan? Teringin benar aku nak tengok. Mesti
kacak... aduh, kenapa aku mesti fikirkan dia?
“Memang nak bagi Melur dengar pun.” Abang Din
menjawab selamba. Aizat gelak lagi.
Aku tersenyum. Rasa macam sweetlah pulak. Eh?
Kenapa hati aku macam nak belot saja ni? Takkan sebab dia
menyanyi lagu Sebelum Cahaya kut? Mengarut! Ini baru hari
kedua dia kat sini. Ke aku terharu sebab dia angkat aku tadi?
Lagi mengarut sebab dia angkat, lepas tu terus dia lepaskan aku
ke tanah sampai pinggang aku tak boleh nak bergerak langsung.
Mujurlah mak aku ni bekas bidan. Tahulah juga nak mengurut
aku.

“SIAP DAH. Mari masuk.” Mak memanggil mereka di luar.
Aku dah boleh bangun. Tapi pinggang terasa lain
macam sikit. Jalan pun kena sopan sangat. Aku duduk bersandar
di kerusi depan tv. Tidak lama kemudian, mereka masuk.
Sedang aku rasa seronok ingin menonton cerita Endless Love,
si Aizat mengalih channel MTV.
“Janganlah alih!” Aku mendengus. Cuba merampas
semula remote tetapi dia mengelak. Nak aje aku sepak dia ni.
Mujur aku sedang tak berdaya. Aku tak pernah missed tengok
cerita Endless Love tu, tahu tak? Marian Rivera dan Ding Dong
Dantes tu pelakon kegemaran aku sepanjang hayat. Selepas
Aaron Aziz okey...
Dia buat pekak sambil melarikan remote ke kiri dan
ke kanan aku. Oh! Dia tahu aku tak boleh aktif bergerak,
tangkas saja dia melarikan remote daripadaku. Sekarang aku
kena hadap rancangan yang pelik ni. Entah artis mana-mana
yang tersengguk-sengguk memegang gitar sambil menyanyi.
Ingat style agaknya? Macam ada spring kat leher. Pelik aje.
Entah sejak bila Astro aku ada channel ni pun aku tak tahu.
Serius, ketinggalan zaman sungguh aku. Yalah, keluarga aku ni
memang kurang suka pada muzik.
“Mak, tengok dia ni!” Aku mengadu.
“Mak kau dah puas tengok muka aku semalam. Jangan
risau.” Jawabnya selamba. Kacang tanah di dalam tupperware
diambil dan dikunyah tanpa riak bersalah. Mak pula tergelak
kecil mendengar jawapannya.
“Heee!” Aku mendengus geram.
Apa saja dia buat mesti mak akan tersenyum walaupun
perbuatannya itu menyakitkan hati aku. Tapi kalau aku buat dia
sakit hati... teruk aku kena bebel.
“Aizat, Melur. Abah dengan mak nak cakap sikit ni.”
Mak pandang abah. Abah pandang mak. Aku dan Aizat pandang
mak dan abah dengan muka pelik. Aizat aje yang tetap dengan
muka kereknya tu. Menyampah!
“Cakaplah pak de.” Aizat berkata selamba sedangkan
aku sudah kecut perut. Macam ada benda yang tak beres aje
apabila abah mula bersuara serius.
“Malam-malam, kalau Melur kat luar, Aizat jangan
tumpang sekaki. Lepas tu kalau Aizat pula kat luar, Melur pun
jangan tumpang sekaki. Takut jadi buah mulut lagi. Sedar-sedar
aje, dah kecoh sekampung kisah kau orang berdua yang
kononnya berkuch-kuch hota hai tengah malam. Aizat, nanti
kalau si Melur ni jatuh ke apa lagi, tinggal dulu dia kat bawah
pokok tu. Panggil pak de ke, mak de ke. Kamu berdua bukannya
tak tahu si Hasyim dan Leha tu macam mana orangnya? Nanti
dia buat mulut lagi. Niat kamu memanglah baik, nak menolong.
Orang pandang pula berbeza. Kalau nak lepak sama-sama, lepak
dekat depan pangkin tu. Biar semua mata nampak. Siang-siang
harilah tapinya.” Abah bersyarah. Aku pandang Aizat. Dia
pandang aku. Jeling. Cis! Menjeling sahaja dia tahu.
Dia ingat aku teringin nak melepak dengan dia? Sorry
sikit. Memang tak inginlah. Lebih baik aku melepak dengan
abang-abangku. Lagi seronok.
“Baik pak de.” Jawab Aizat patuh.
“Bukan ke tadi mak dengan abah yang suruh dia
pujuk...” belum habis berkata-kata, si Aizat menyampuk.
“Saya masuk bilik dulu pak de, nak mandi. Tadi dukung
budak busuk sampai badan pun sama busuk.” Dia berlalu
begitu sahaja. Sempat dia campakkan remote tv ke ribaku.
Bersungguh-sungguh aku menyambut remote itu. Hesy! Tak
boleh ke nak bagi elok-elok? Aku kan tengah sakit pinggang ni.
“Tengoklah dia tu, abah. Suka sangat buat Melur
macam ni.” Aku mencemik.
“Melur pun. Jagalah nada suara bercakap dengan dia.
Tak elok berkasar tau. Dia lagi tua daripada Melur. Kenalah
hormat.” Abah menegur. Kan? Salah aku lagi yang abah nampak.
Buat apa aku nak hormat orang yang tak reti nak hormat aku?
Buang karan saja.
“Abah, dia yang mula cakap tak elok dengan Melur.
Bukan Melur yang mulakan dulu. Bahasa dia kasar sangat.” Aku
sudah terasa nak menangis.
“Melur kan tahu, dia tu duduk dalam persekitaran
macam mana? Belajar kat mana dulu? Membesar macam mana?
Memang cara percakapan dia berubah. Dah tak sama macam
kecil-kecil dulu. Adik, abang. Dah tak ada semua tu.” Abah aku
berkata lembut. Aku mencemik.
Bukan aku mengharapkan dia membahasakan diri dia
tu ‘abang’ denganku tapi, sekurang-kurangnya respectlah aku
ni sikit. Cara bercakap tu, kurangkanlah menyindir aku.
Sekali lagi, abah nampak salahku seorang...
“NAH!” DIA menyerahkan sehelai plaster luka kepadaku. Aku
mengangkat muka. Dia duduk di sisiku di atas pangkin. Dia
mengangkat sebelah kaki ke atas pangkin lantas dipeluk kakinya
itu. Tangannya lincah membuka balutan plaster luka itu.
“Untuk apa?” soalku pelik. Dia nak bagi benda alah
ni untuk apa? Tak faham betul aku. Dia ke kedai pak teh
semata-mata untuk membeli benda ini ke? Tak berasasnya
alasan dia ke sana. Buat penat dia berjalan kaki sahaja. Aku tak
nampak langsung barang apa yang dibelinya.
“Untuk tutup mulut kau yang bising tu.” Jawabnya
selamba. Kasar! Mesti aku lagi yang terkena.
“Tak payah. Tahulah saya nak tutup mulut sendiri.
Risaukan mulut awak tu dulu.” Aku menjelingnya lantas
bangun. Belum sempat melangkah, tanganku dipautnya. Aku
berpaling. Tiba-tiba rasa nak marah. Dia menjatuhkan kakinya
dari pangkin. Mukanya begitu serius.
“Jangan pergi.” Katanya dengan muka seriusnya itu.
Terkejut aku. Terasa diri ini sedang shooting drama
Korea pula. Dia menghalang aku pergi? Adakah dia nak ucapkan
kata-kata maaf ataupun lebih tragik lagi, ‘I love you’ kepada
aku? Huh, memang mimpi!
“Lepaslah! Nanti Hasyim nampak.” Aku merentap
tanganku tapi tak berjaya. Dia menggenggam kuat. Sekali
rentap, aku terduduk semula. Kali ini ke atas ribanya. Sakit
pinggangku. Sudahlah baru lepas berurut. Cepat-cepat
aku bangun. Aduhhh! Tersenget tulang pinggangku kalau
berterusan bangkit dan duduk secara mengejut begini.
Kalau mak tahu ni, memang teruk aku kena tiau.
Semuanya gara-gara Aizat. Aku memandang Aizat dan dia
tersenyum senget. Tangannya masih tidak mahu melepaskan
lenganku. Dia ingat aku suka ke tangan kekar dia tu sentuh
tangan aku? Berdebar, tau!
“Biarlah dia nak nampak pun.” Jawabnya selamba.
Mukanya juga tenang. Bagaikan tiada apa yang berlaku. Tak
sakit ke dia? Aku duduk atas riba dia tu? Alah. Aku bukannya
gemuk pun. Tapi, dia tu keding.
“Aizat, janganlah macam ni.” Aku cuba melonggarkan
pegangannya. Dia tetap mengeraskan diri. Dia pandang aku.
Maksud aku, tajam pandangannya itu, tak berkelip.
“Barulah aku dapat dengar kau panggil nama aku
dengan elok.” Ujarnya masih ralit merenung aku.
Aku sudah terasa lain macam ditenung begitu. Rasa
macam ada sesuatu yang pelik melekat kat muka aku yang
menyebabkan dia tak berkelip begitu.
“Lepaslah.” Aku mula rasa nak menangis. Nak
menangis sebab rasa takut dengan perubahan sikap dia.
“Kau duduk dulu baru aku lepas.” Dia berkata perlahan.
Aku akur. Duduk di sebelahnya. Dia melepaskan tanganku.
“Tunjuk siku yang luka malam tadi.” Arahnya. Oh! Dia
nak tampal kat siku rupa-rupanya. Bukan nak tampal kat mulut
aku. Cakap ajelah terus terang, kan senang. Tak adalah aku nak
memberontak. Heee.
“Kecil je.” Aku mendengus. Luka di sikuku tak besar
mana pun. Menggelupas kulit aje pun. Perit, memanglah
perit. Setiap kali kena air tu, terkancing jugalah gigi aku. Tapi,
biasalah tu.
“Bagi aku tengok!” katanya tegas. Aku menunjuk
dengan muka tak rela.
“Meh, aku tampal benda alah ni.” Dia mengilas
tanganku.
Adey! Sakit sungguh! Dia ni memang tak pandai
berlembut langsung. Dari nak tampal luka aku, dia nak
seliuhkan pula lengan aku. Dia ni boleh diumpamakan seperti
tikus membaiki labu!
Aizat menampal plaster itu ke sikuku yang terluka
malam tadi. Usai menampal. Dia mengusap-usap dahulu plaster
itu supaya melekap di sikuku. Perbuatannya itu membuatkan
aku merentap cepat tanganku. Apa dia ingat aku suka agaknya
dia buat begitu?
“Jangan cederakan diri sendiri lagi.” Ujarnya dengan
muka tak bersalah. Aku macam tak percaya mendengar
kata-katanya yang tak berasas itu.
“Saya cederakan diri sendiri? Memang taklah! Awak
yang buat saya kena ni.” Aku menunjukkan sikuku dengan tak
puas hati. Luka disebabkan kekasaran dia. Geramnya! Macamlah
aku sengaja nak buat-buat jatuh. Dah dia yang rajin sangat nak
goncang buaian aku tu, siapa suruh?
“Well, aku tak sengajalah tu.” Ujarnya begitu selamba
sambil bangun dari pangkin.
Dia berjalan ke arah rumah. Naik tangga dan
menghilang ke dalam rumah. Begitu sahaja? Tak sengaja
menggoncang buaian aku berkali-kali sehingga aku gedebuk
jatuh ke bawah? Huh! Alasan orang tak normal. Orang tak
normal pun malu nak bagi alasan begitu.
Heee! Dalam baik dia, dia memang tetap dengan
perangai samurai dia. Kenapa makin lama dia duduk dengan
aku, makin tak tenang jiwa aku? Ini baru hari kedua... tapi jiwa
aku...

No comments:

Post a Comment