Thursday, 12 May 2016

Yang Bermukim Di hati - Bab 5

SIBUKNYA keadaan di dapur rumah Pak Lang
Yusof dan Mak Lang Rafidah pagi itu. Macam tongkang pecah
sahaja rupanya. Kecoh dengan suara mak cik-mak cik yang
mengarah itu dan ini. Hajah Amirah pun tumpang sekaki.
Seronok dia sekali-sekala berkumpul ramai-ramai begini.
Lauk-pauk semua dimasak di luar rumah secara
bergotong-royong oleh kaum lelaki yang sememangnya
mempunyai tenaga yang lebih kuat untuk mengacau dan
menggaul lauk di dalam kuali kawah. Kaum Hawa kini sibuk
menyusun pinggan mangkuk serta menyenduk lauk yang
sudah siap dimasak ke dalam mangkuk dan piring hidangan.
Aina Yasmin cuba membantu apa yang perlu tetapi
dia betul-betul rimas dengan usikan serta pertanyaan demi
pertanyaan tentang dirinya daripada sanak saudara.
“Lepas ni kaulah pulak berkenduri, Mirah. Nanti
kita orang pulak sibuk masak kat rumah kau,” usik Mak Lang
Rafidah. Kakak kepada arwah bapanya menjeling ke arah Aina
Yasmin yang sibuk memotong buah tembikai. Aina Yasmin
memekakkan telinga. Riak wajahnya kekal bersahaja.
Maimunah yang turut membantu Aina Yasmin
diam membisu. Kesian Maimunah. Adik dah kahwin, tapi
dia masih begitu. Tidak berteman, walaupun umurnya sudah
menjangkau lewat dua puluhan. Kata orang-orang kampung,
siapa nak kahwin dengan perempuan macam Maimunah?
Lelaki mana yang sanggup mengambil bekas orang lain?
Malahan anak yang dilahirkan Maimunah dulu pun sudah
diberikan kepada orang lain untuk dijadikan anak angkat.
Cukuplah Mak Lang Rafidah dan Pak Lang Yusof menanggung
malu akibat perbuatan Maimunah dahulu. Syukur mereka
masih menerima Maimunah dan tidak membuangnya jauh
daripada keluarga.
“Kak Munah, bak sini tembikai yang kat belakang
Kak Munah tu… Min dah habis potong yang ni.”
Maimunah meletakkan pisau ke atas dulang dan
menghulurkan sebiji tembikai kepada Aina Yasmin. Aina
Yasmin menghulurkan senyuman tanda terima kasih. Sempat
ditatap wajah Maimunah yang suram. Dulu Maimunah
menjadi kegilaan para pemuda di kampung mereka ini.
Begitu cantik dan menawan. Tetapi sikapnya yang senang
mempercayai pujuk rayu kaum lelaki telah menjeratnya.
Pengajiannya belum sempat habis, dia sudah mengandung.
Biasiswanya telah ditarik balik dengan serta-merta dan dia
dihantar pulang ke Malaysia tanpa segulung ijazah. Sayang
sekali!
Pak Lang Yusof dan Mak Lang Rafidah begitu
malu dicerca orang kampung. Akhirnya, berkat kesabaran
Pak Lang Yusof dan Mak Lang Rafidah berhadapan dengan
orang kampung serta sikap mereka yang mendiamkan
diri membuatkan orang kampung berhenti menghina dan
mengutuk. Sedikit demi sedikit, mereka mula diterima
kembali oleh masyarakat kampung. Mungkin mereka sedar
yang tiada siapa yang tidak pernah melakukan kesilapan
dalam dunia ini.
Entah apa yang dilakukan Maimunah sekarang ini,
Aina Yasmin tidak tahu. Bekerjakah dia atau duduk memerap
di rumah sahaja? Yang pasti, rasa simpati begitu menebal
terhadap Maimunah, walaupun Maimunahlah puncanya
mengapa Aina Yasmin terpaksa bertunang dengan Ameer
Aazad.
“Insya-Allah, alang… tengoklah bila nanti. Min tu
baru je balik. Kerja pun belum lagi. Biarlah dulu…” jawapan
selamat oleh Hajah Amirah kepada kakak iparnya.
“Tak elok tunang lama-lama Mirah. Nak tunggu
apa lagi? Kahwin jelah sementara ada orang nak.” Mak Lang
Rafidah berkata lagi.
Aina Yasmin mengetap bibir menahan geram. ‘Sibuk
je! Suka hati akulah nak kahwin bila pun. Ni yang menyampah
bila berkumpul masa kenduri-kendara ni! Kahwin, kahwin,
kahwin! Macam takde topik lain!’
Hajah Amirah memilih untuk tidak memberi
sebarang komen. Mujur Pak Lang Yusof masuk ke dalam
dapur memberitahu khemah sudah siap ditegakkan. Kerusi
dan meja di luar juga sudah siap disusun.
“Assalamualaikum…” ucap salam dari muka pintu
dapur kedengaran. Semua yang berada di dalam dapur
menjawab salam yang diberikan. “Maaflah terlambat sikit.
Nasib baik jalan okey. Setengah jam dah sampai.”
“Eh, Shima! Meh masuk meh!” Mak Lang Rafidah
menjemput mesra. Puan Shima mengambil tempat di sebelah
Hajah Amirah. Mereka duduk bersimpuh di atas tikar yang
dibentang di atas lantai dapur.
Sebagai tanda hormat, Aina Yasmin bangun dari
tempatnya, membasuh tangannya yang melekit di singki
dan menghampiri Puan Shima. Dia duduk menghadap Puan
Shima. Tangan dihulurkan.
“Apa khabar, auntie?”
Puan Shima diam seribu bahasa. Dahinya dikerutkan.
Walaupun tangan secara automatik dihulurkan bagi
menyambut huluran tangan gadis bertudung di hadapannya,
namun dia tidak kenal akan gadis itu. Suara itu seolah-olah
pernah didengarinya.
‘Anak siapa pulak ni?’
Hajah Amirah memandang lucu wajah sepupunya
itu. Disondolnya lengan Puan Shima dengan sikunya.
“Kau tak kenal ke siapa depan kau ni, Shima?”
Wajah Aina Yasmin mula merona merah. Puan
Shima masih terlopong memandangnya, seolah-olah tidak
percaya.
“Min? Min ke ni???” Akhirnya dia bersuara. Sungguh
dia terpaku melihat kejelitaan anak kepada sepupunya ini.
Sangat lain di matanya. ‘Mana pergi Min yang aku ingat dulu?’
Aina Yasmin mengangguk.
“Ya Allah! Auntie ingat bidadari manalah tadi…” pipi
Aina Yasmin diusap lembut. Kemudian ditariknya tangan Aina
Yasmin agar gadis itu merapatinya. Sebuah kucupan mesra
hinggap di dahi. Aina Yasmin terkedu. “Cantiknya anak kau,
Mirah. Aku macam tak percaya ni Min.” Puan Shima masih
menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Hesy, kau dah lupa ke macam mana rupa aku masa
muda-muda dulu? Kau tak ingat ke masalah keturunan aku
dulu?”
“Hah? Apa? Ya tak ya la... Sekarang baru aku ingat
balik, kau pun macam ni jugak dulu. Ya Allah, Mirah… tak
sangka betul.” Sungguh ajaib kuasa Allah. Daripada seorang
gadis yang biasa-biasa dan sering digelar perempuan tomboi,
kini telah berubah menjadi seorang gadis yang begitu jelita.
Memang iras Aina Yasmin yang dulu masih ada.
Cuma rambut pendeknya dulu, kini sudah dibaluti tudung,
kulit wajahnya yang dulu kusam dan kasar, kini sudah
berubah cerah dan halus. Dulu wajahnya gelap akibat kesan
panahan panas matahari. Kini begitu cerah tanpa sebarang
kesan terbakar. Kulit Aina Yasmin kini kelihatan cerah
kekuningan, kembali kepada warna asli. Sama seperti Hajah
Amirah.
Di dalam hati kecil Puan Shima, dia berdoa agar Aina
Yasmin tidak meneruskan keinginannya untuk memutuskan
pertunangan dengan Ameer Aazad. Sejak dulu lagi, dia amat
menyayangi Aina Yasmin. Walaupun rupanya tidak seberapa,
dia tahu hati dan budi gadis itu.
Sangat menghormati dan menyayangi dirinya.
Seorang yang pandai, rajin dan tidak pernah membantah
kata bapa dan ibunya. Terkadang manja ketika dilayan
abang-abangnya. Sebab itu ketika arwah Haji Zainal Abidin
mengusulkan cadangan untuk menyatukan Aina Yasmin
dengan Ameer Aazad, dia terus sahaja bersetuju. Lebih baik
Aina Yasmin yang sudah dikenalinya luar dan dalam menjadi
menantunya, daripada gadis yang entah siapa-siapa.
Namun dia tidak juga membantah apabila Hajah
Amirah memaklumkan kepada dirinya tentang keputusan
yang telah dibuat Aina Yasmin baru-baru ini. Dia reda. Kalau
tiada jodoh antara mereka, siapalah dia untuk memaksa.
Cuma harapannya tetap sama. Jadi dia tidak akan putus-putus
berdoa agar Aina Yasmin akan disatukan dengan anaknya,
Ameer Aazad suatu hari nanti.
“Min sihat, sayang?” Tangannya menggenggam erat
tangan Aina Yasmin.
“Sihat, auntie.” Aina Yasmin terharu dengan
tindakan Puan Shima. Masih sama seperti dahulu. Masih
menyayangi dirinya dan menerima dirinya seadanya. Teringat
lagi bagaimana Puan Shima telah memeluk dan mencium
dahinya sebaik sahaja cincin pertunangan disarungkan ke
jarinya bertahun-tahun dahulu, lalu membisik ke telinganya,
‘Auntie happy sangat Min akan jadi menantu auntie. Auntie
sayang sangat dengan Min!’
‘Ameer Aazad ada di sini ke?’ soal Aina Yasmin di
dalam hati. Dia segan untuk bertanya Puan Shima, namun
dia berdoa agar lelaki itu tidak menghadiri majlis hari ini.
Biarlah dia kekal berada di Kuala Lumpur.
“Mak Min kata, Min akan kerja kat KL, ya? Sebelum
pergi KL, singgahlah rumah auntie dulu. Bermalamlah
semalam dua… auntie tak puas lagi nak berbual dengan Min.
Ajak mak sekali.”
Aina Yasmin tersenyum sambil mengangguk
tanda setuju. Dia tahu tentang Puan Shima yang tinggal
berseorangan. Ameer Aazad tinggal di Kuala Lumpur. Jadi
tidak mungkin lelaki itu akan berada di rumah Puan Shima.
“Insya-Allah, auntie. Nanti Min pakat dengan mak,
ya?”
Riang hati Puan Shima dengan persetujuan Aina
Yasmin. Dia ingin lebih mengenali anak kepada sepupunya
itu.
“Auntie... Min sambung kerja, ya? Ada banyak lagi
buah tembikai nak dipotong tu. Kesian Kak Munah buat
sorang-sorang.” Aina Yasmin meminta diri. Melihat anggukan
kepala Puan Shima, Aina Yasmin terus berlalu dan kembali ke
tempatnya tadi.
“Munah, Min... lepas dah habis potong buah tembikai
tu, kau susun dalam piring ya? Lepas tu hidang kat depan.”
Mak Lang Rafidah mengarah.
Riak wajah Maimunah terus berubah dan ditangkap
oleh Aina Yasmin. Mereka berbalas pandang. Aina Yasmin
menjongket kening tanda menanyakan ‘kenapa?’. Maimunah
hanya menggelengkan kepalanya.
“Kak Munah tak nak keluar.” Maimunah berbisik
perlahan kepada Aina Yasmin.
Aina Yasmin memahami tanpa perlu bertanya lagi.
Tentu Maimunah masih malu untuk menonjolkan dirinya
kepada masyarakat kampung walaupun dosa yang dilakukan
sudah bertahun-tahun lamanya, ketika Aina Yasmin masih
bersekolah menengah lagi.
“Takpe Kak Munah. Min boleh buat seorang. Kak
Munah potong dan susun je. Nanti Min hidang okey?”
Maimunah mengangguk laju.
“Terima kasih, Min.” Maimunah tunduk dan kembali
memotong buah tembikai. Segan dia dengan Aina Yasmin
yang masih sudi berbicara dengannya. Sepupu-sepupu yang
lain lebih gemar menjauhkan diri daripadanya. Sama ada
mereka segan dan tidak tahu bagaimana untuk berbual
dengannya, atau mereka berasa jijik dengannya.
“Kak Munah kerja ke sekarang?” Aina Yasmin
mengajak Maimunah berbual. Takkan nak senyap je.
“Tak. Kak Munah duduk rumah je.” Dia masih lagi
tunduk.
“Kak Munah tak nak kerja ke? Min nak cari kerja kat
KL tak lama lagi.”
“Entahlah… rasa macam nak… tapi Kak Munah tak
berani.” Memang dia tidak berani.
Sejak apa yang berlaku ke atas dirinya, dia merasa
amat takut untuk bergaul dengan dunia luar. Dia malu
mahu mencari pekerjaan di sekitar kampung ini kerana tahu
masyarakat memandang serong terhadapnya. Kalau mencari
di kawasan yang jauh sikit seperti Ipoh ataupun Kuala
Lumpur, dia takut dia tidak boleh hidup bersendirian tanpa
orang tuanya kerana dia tahu dia perempuan yang lemah. Dia
perlukan sokongan bapa dan ibunya. Sesungguhnya dia tidak
mahu mudah terpedaya pada janji-janji manis seorang lelaki
lagi.
“Kalau Kak Munah dah sedia, Kak Munah cakaplah
dengan Min, ya? Manalah tahu Min boleh tolong.” Ikhlas
Aina Yasmin menawarkan pertolongan. Baginya, Maimunah
jelas telah dihukum dan menanggung beban dosa daripada
kesalahan yang telah dilakukan. Sekiranya Maimunah telah
menyedari kesilapannya dan memohon keampunan daripada
Allah, siapalah dia untuk terus menghukum sepupunya itu.
Dia masih Aina Yasmin yang sama dan tidak mungkin akan
menyisihkan Maimunah seperti sanak saudara yang lain,
hanya kerana dosa yang pernah dilakukannya dulu.
Maimunah sekadar mengangguk. Bukan dia tidak
pernah berfikir untuk berdikari. Dia ingin bekerja dan
mencari duit sendiri, tetapi perasaan takut dan rasa kerdil
dalam dirinya terlalu menguasai dirinya. Dia mengasihani
orang tuanya yang masih menanggung perbelanjaan dirinya
di usia dewasa begini. Entahlah… dia benar-benar buntu.
Tangan Aina Yasmin dan Maimunah masih ligat
memotong buah tembikai. Setelah semuanya selesai
dipotong, hirisan-hirisan buah disusun elok di atas piring.
Piring yang telah siap diisi, disusun di atas dulang besar.
Aina Yasmin berkira-kira untuk meminta pertolongan along
atau angahnya. ‘Mana larat angkat dulang besar-besar ni
sorang-sorang? Banyak pulak tu.’
Aina Yasmin menjenguk ke luar dari pintu dapur
rumah ke bahagian belakang laman. Matanya melilau
mencari seorang daripada abang-abangnya. Aksi Aina Yasmin
menangkap perhatian jejaka-jejaka yang berkumpul di bawah
khemah yang dikhaskan untuk memasak lauk-pauk kenduri
tidak jauh dari tempat dia berdiri.
Lega melihat kelibat Pak Lang Yusof yang tiba-tiba
berjalan menghampiri tempat dia berdiri. Malu diperhatikan
berpasang-pasang mata nakal sebegitu.
“Pak lang nampak along atau angah tak?” soal Aina
Yasmin perlahan dengan sekuntum senyuman.
“Ada kat depan tadi rasanya. Tengah susun gelas
atas meja,” balas Pak Lang Yusof lalu terus masuk ke dalam
rumah melalui pintu dapur, meninggalkan Aina Yasmin
terpinga-pinga keseorangan.
Aina Yasmin mengayun langkah menuju ke hadapan
laman rumah mencari abang-abangnya. Langsung tidak
perasankan sepasang mata hazel yang asyik mengekor setiap
gerak-gerinya sejak dia melangkah keluar dari pintu dapur
tadi.
AMEER AAZAD terpegun memandang seraut wajah ayu
gadis bertudung pink tadi. Baju kurung sutera berwarna pink
dan berbunga kuning cair menyerlahkan lagi seri pada gadis
itu. Jantungnya berdegup laju melihat gadis itu tersenyum
tadi. Dia hairan. Setelah lama perasaannya terhadap seorang
perempuan mati, kini seakan terjaga kembali. Dia sendiri
tidak mengerti apa yang telah terjadi kepada dirinya. Siapakah
gadis itu?
Dari tempat duduknya, dia melihat gadis itu
menuturkan kata kepada dua pupunya Syafiq. Kemudian dia
lihat gadis itu mencebik tatkala melihat Syafiq menggelengkan
kepalanya. Comelnya! Gadis itu ingin berlalu dari situ namun
langkah kakinya terhenti apabila mendengar namanya
dipanggil seorang lelaki lain. Ah, dia tidak mendengar pula
nama yang dipanggil lelaki tadi. Jauh sangat. Lelaki itu
rasanya adik kepada pengantin perempuan, Munirah. Kalau
tak silap, nama lelaki itu Muaz.
Dilihat pula senyuman kembali terukir di wajah
gadis itu. Mereka berjalan beriringan menuju ke bahagian
belakang rumah. Ameer Aazad sekali lagi berpeluang melihat
wajah gadis itu dari hadapan. Untuk seketika, gadis itu masuk
ke dalam rumah seperti ingin mengambil sesuatu. Tidak lama
kemudian, dia keluar dengan membawa sebuah dulang besar
berisi hirisan buah tembikai lalu dihulurkan kepada Muaz.
Muaz menyambutnya dari tangan gadis itu dan berlalu. Gadis
itu masuk ke dalam kembali. Mungkin untuk mengangkat
dulang lain. Gadis itu muncul semula.
‘Hesy! Nampak berat je dulang tu. Larat ke dia?’
fikir Ameer Aazad. Niat hendak membantu terbantut apabila
melihat dua orang pemuda yang duduk tidak jauh dari tempat
duduknya terlebih dahulu bangun untuk menghulurkan
bantuan. Nampak sangat mereka berdua turut memerhatikan
setiap gerak-geri gadis itu. Sama sepertinya.
Laju sahaja seorang daripada mereka menyambut
dulang dari tangan gadis itu, sebelum sempat gadis itu
mengatur langkah ke hadapan rumah. Gadis itu pada mulanya
terkejut dengan kehadiran pemuda itu di hadapannya,
namun pantas tersenyum tatkala pemuda itu menuturkan
sesuatu. Yang seorang lagi menunggu di luar pintu untuk
menunggu gadis itu menghulurkan dulang yang lain pula.
Muaz kembali ke muka pintu lalu menghulurkan dulang yang
telah dikosongkan dan gadis itu hilang sekali lagi. Senyuman
tidak pernah lekang dari bibir gadis itu kepada Muaz dan
pemuda-pemuda yang telah sudi membantunya.
Ameer Aazad tidak senang duduk. Kenapa dia rasa
resah gelisah begini? Melihatkan gadis itu membuatkan
fikirannya jadi tidak menentu. Baru sahaja malam tadi dia
sudah membulatkan tekad terhadap tunangnya. Dia meraup
wajah. Cuba memfokuskan fikirannya kembali kepada Aina
Yasmin, dan bukan gadis tadi.
Ameer Aazad yang gemar menukar teman wanita
pada suatu ketika dahulu sudah tidak wujud lagi. Dia telah
menjadi seorang lelaki yang baharu. Tapi bukanlah baharu
sangat pun. Sejak dua tahun lalu saja. Eh, yang mana satu
Aina Yasmin? Kelibat gadis tomboi berambut pendek dicari.
Sudah lebih satu jam dia berada di sini. Namun tiada seorang
pun gadis-gadis yang lalu-lalang di hadapannya, menyerupai
tunangnya itu.
Para jemputan sudah mula hadir. Sanak saudara
semakin sibuk melayan tetamu, manakala pekerja-pekerja
yang tidak bertauliah dan tidak bergaji pula sibuk ke hulu
dan ke hilir menghidangkan makanan dan mengemas meja.
Ameer Aazad juga begitu. Dia ringan tulang membantu
mengangkat pinggan mangkuk yang telah digunakan ke
belakang rumah untuk dibersihkan.
“Zad, tolong kemas meja kat depan tu. Aku nak ganti
dengan hidangan lauk baru,” Iqbal menegur. Bahu Ameer
Aazad ditepuk lembut.
Ameer Aazad memandang ke arah meja yang
ditunjukkan Iqbal. Kelihatan gadis bertudung pink tadi
sedang mengangkat pinggan yang telah digunakan dan
menyusunnya ke dalam besen besar yang dipegang dengan
sebelah tangan dan ditekan ke pinggang agar besen tadi dapat
diimbangi. Gadis itu dihampiri. Besen semakin sarat dengan
pinggan dan gelas-gelas kotor.
“Meh abang tolong. Berat tu!”
Aina Yasmin terkaku. Tanpa menoleh pun dia sudah
kenal akan tuan punya suara itu. Masakan dia boleh lupa
akan suara itu. Dengan perlahan dia berpaling dan kemudian
mendongak. Wajah lelaki berjambang di sebelahnya diamati.
‘Ya Allah! Abang Aazad ke ni???’ Suaranya mati.
Yang ada cuma persoalan di dalam hati yang tidak mampu
diluahkan.
Pandangan mereka bertaut. Debaran kembali terasa
di dada Ameer Aazad.
‘Cantiknya dia! Lebih cantik bila dah dekat macam
ni. Kulit yang licin lagi halus, hidung yang sedikit mancung
elok terletak di wajahnya dan bibir itu… oh bibir itu!!! Bibir
itu bisa mengundang angan-angan yang nakal.’ Ameer Aazad
berdeham kecil. Cuba melayangkan fikirannya yang entah
apa-apa tadi.
Besen di tangan Aina Yasmin ditarik lembut. Aina
Yasmin tersentak lalu terus tersedar. Dilarikan pandangannya
dari mata Ameer Aazad. Dibiarkan sahaja Ameer Aazad
mengambil besen dari tangannya dan terus berlalu. Sepatah
perkataan pun tidak mampu lahir dari bibirnya. Dia masih
tidak percaya dengan apa yang menyapa pandangannya kini.
Perubahan yang tidak disangka-sangka. Wajah yang dulu
segak dan tampan kini terlindung di balik jambang yang
tumbuh di wajah lelaki itu. Walaupun jambang nampak
kemas dan dijaga rapi, Aina Yasmin teringin sangat untuk
melihat wajah tunangnya yang dulu.
Sambil berjalan menuju ke belakang rumah,
Ameer Aazad hairan dengan kelancangan mulutnya yang
membahasakan dirinya ‘abang’ sebentar tadi.
‘Macam gatal sangat bunyinya. Ah! Lantaklah…
memang dia nampak muda sangat lagi, panggil abang pun
tak salah. Entah-entah saudara jugak.’
Berjam-jam lamanya Aina Yasmin melakukan
kerja-kerja di kenduri sepupunya itu. Akhirnya, majlis
tamat juga. Kini tinggal kerja-kerja pembersihan dan sesi
kemas-mengemas. Sakit di kaki dan di pinggang terasa
mencucuk-cucuk.
‘Tulah, manja sangat. Buat kerja berat sikit dah sakit
sini dan sana.’ Aina Yasmin mengomel sendirian. Entah ke
mana perginya semua kaum kerabatnya. Dia seorang sahaja
berada di dapur ketika ini. Dia mencapai pinggan kosong
dan mengisi nasi serta saki-baki lauk kenduri tadi. Perut
bukan setakat berkeroncong sahaja sekarang ini, tapi dah
bergendang rentak lagu bhangra. Dia duduk bersandar di
sebalik dinding yang bertingkap dan mula menyuap nasi.
Pada mulanya, dia tidak menghiraukan suara-suara
dari laman luar yang menangkap pendengarannya. Dia asyik
menikmati nasi minyak dan lauk ayam masak merah serta
rendang daging tok. Mungkin kaum lelaki sedang sibuk
membasuh pinggan mangkuk di luar sana memandangkan
bunyi kaca berlaga sering kedengaran. Kemudian suasana
bertukar menjadi sepi walaupun bunyi pancuran air yang
keluar daripada hos getah masih mampu didengarinya. Tiada
lagi suara-suara dari luar sana.
Tidak lama kemudian, dia terdengar suara abang
sulungnya dari luar.
“Zad, ni ada sikit lagi ni nak kena basuh. Meh, aku
tolong kau.”
Aina Yasmin kaku seketika.
‘Abang Aazad ada kat luar ke? Tapi tak dengar pun
suara dia tadi? Yang dengar suara entah siapa-siapa. Agaknya
Abang Aazad basuh pinggan tapi tak campur berbual dengan
orang lain kut.’ Aina Yasmin membuat andaian sendiri. Nasi
di pinggan dikuis-kuis. Dia ingin mendengar perbualan Iqbal
bersama tunangnya.
Ameer Aazad diam tidak membalas. Cuma anggukan
diberikan kepada Iqbal yang sudah duduk di hadapannya.
Tangan sudah direndam ke dalam besen berisi sabun.
“Kau apa khabar, Zad? Susah betul nak jumpa kau
sekarang ni.”
“Aku okey. Sibuk kerja tempat baru,” ringkas dan
perlahan Ameer Aazad membalas. Entah mengapa suara
dalam lelaki itu yang menyapa halwa telinga menggetarkan
jiwa Aina Yasmin.
Iqbal mengilas pandang dua pupunya itu. Susah
benar hendak mendengar suara dan gelak ketawa dari bibir
Ameer Aazad seperti dulu. Padahal, suatu ketika dahulu,
mereka seperti adik-beradik. Makan sepinggan, tidur sebantal.
“Min sihat, Bal?” tiba-tiba Ameer Aazad bertanya.
Aina Yasmin diam tidak berkutik. Debaran di dada
semakin laju. ‘Eh, dia tengah tanya pasal aku ke?’
“Sihat je, Zad. Kau belum jumpa dia ke?” soal Iqbal
kehairanan. Rasa macam nampak Ameer Aazad menegur
adiknya tadi.
“Belum…” jawab Ameer Aazad perlahan. “Aku nak
jumpa dia kalau kau izinkan,” pinta Ameer Aazad lagi.
‘Biar betul dia tak jumpa Min lagi! Maknanya... dia
tak kenal la perempuan yang cakap dengan dia tadi tu... Min?’
fikir Iqbal sendirian.
“Kenapa kau nak jumpa dia?” uji Iqbal. Tangan
masih ligat mencuci pinggan sebelum dihulurkan kepada
Ameer Aazad untuk dibilas.
Ameer Aazad mengeluh.
“Aku ni dah banyak buat salah. Aku betul-betul
tunang yang tak guna. Padahal macam-macam aku pernah
janji dengan arwah abah dulu. Aku nak tebus balik kesalahan
aku pada adik kau tu.”
Iqbal dan Aina Yasmin sama-sama tergamam. Iqbal
memandang Ameer Aazad dengan riak tidak percaya manakala
Aina Yasmin pula mula menggigit bibir.
“Apa kau cakap ni? Dengar macam kau nak teruskan
pertunangan kau dengan adik aku tu je? Tapi Min kata,
kau dah setuju nak putuskan, walaupun kau ada syarat kau
sendiri.”
“Hmmm… aku memang letak syarat tapi biarlah
aku bincang dengan Min dulu. Pasal pertunangan tu, aku
serahkan saja pada Tuhan. Kalau Min tu memang betul jodoh
aku, aku terima.”
Agaknya dah berdarah bibir Aina Yasmin
dikerjakannya. Dia langsung tidak menghiraukan kesakitan
yang dirasakan pada ulas bibir yang digigitnya. Sungguh dia
tidak percaya dengan apa yang didengarinya ketika ini. Betul
ke Ameer Aazad sanggup terima dia sebagai isteri? Kenapa
Ameer Aazad berubah?
“Kau tak kisah ke kahwin dengan adik aku tu? Aku
tahu apa pandangan kau dulu pada dia. Aku tak hairan.
Budak-budak kat kampung pun punya pandangan yang sama
pasal Min dulu. Tomboi, lasak, tak rupa perempuan, suka
memancing, suka panjat pokok dan berkawan dengan lelaki,
dan entah macam-macam lagilah.”
Iqbal tidak sampai hati hendak mengulangi kata-kata
rakan-rakan mereka dulu tentang Aina Yasmin, terutama
tentang penampilan dari segi fizikal adiknya itu. Badan
sekepinglah, nasi lemak tiga puluh senlah, tak cantiklah…
semua menyakitkan telinga dan hatinya. Dia tidak pasti sama
ada Ameer Aazad juga tergolong daripada mereka yang sering
mengutuk adiknya dahulu.
Ameer Aazad benar-benar rasa terpukul dengan
kata-kata Iqbal. Memang tepat kena dengan hidung
mancungnya. Terasa dirinya disindir, walaupun sebenarnya
butir bicara Iqbal tidak bertumpu kepadanya seorang.
Memang wajar dia terasa begitu. Dia pernah menuturkan
kata-kata yang lebih teruk lagi mengenai tunangnya itu.
“Aku terima dia seadanya, Bal. Siapalah aku nak
menilai adik kau tu? Aku tak layak pun. Cuma aku tahu yang
dia mungkin susah nak terima aku sebagai tunang dia. Aku
langsung tak salahkan dia. Dia memang berhak kalau nak
putus dengan aku pun. Cuma aku harap dia dapat beri aku
peluang, tu je.” Lirih sahaja nada suara Ameer Aazad. Suara
yang penuh dengan kekesalan.
“Itu aku serahkan pada Min. Aku tak nak paksa
dia macam mana arwah abah paksa dia dulu. Biar dia buat
keputusan yang terbaik untuk diri dia sendiri. Dia seorang
je adik perempuan aku, Zad. Aku hanya boleh nasihat dan
jaga dia dengan sebaiknya selama dia belum menjadi isteri
kepada mana-mana lelaki. Itu amanah arwah abah pada aku.
Aku harap kau faham.” Tajam pandangan yang dilemparkan
Iqbal kepada Ameer Aazad. Dia serius. Dia mahu Ameer Aazad
memahami dan menerima apa pun keputusan Aina Yasmin.
Baginya, kebahagiaan Aina Yasmin melebihi segala-galanya.
Ameer Aazad membalas pandangan Iqbal. Dia
mengerti apa yang cuba disampaikan oleh dua pupunya itu.
Amaran yang diberi secara halus. Dia mengangguk.
“Tapi… betul ke kau tak jumpa dia lagi sejak pagi
tadi?” soal Iqbal lagi. Dia mahu meyakinkan dirinya yang
Ameer Aazad masih menyangkakan yang rupa Aina Yasmin
tidak berubah dari dulu dan lelaki itu menerima adiknya
walaupun rupa dan perwatakan adiknya masih kekal seperti
dulu.
“Betul… aku tak jumpa lagi. Dia pun tak tegur aku.”
Betullah sangkaan Iqbal tadi. Ameer Aazad tidak
mengenali adiknya yang sudah berubah itu. Ameer Aazad
mahu meneruskan pertunangan dengan Aina Yasmin,
gadis yang dikenalinya dahulu dan gadis yang dia belum
pernah berjumpa sejak lebih lima tahun yang lalu. Iqbal
menyembunyikan senyuman.
‘Gasak kau adik! Macam mana nak putus tunang
kalau si Aazad ni nampak macam tak nak lepaskan je?’
Di balik dinding dapur, Aina Yasmin tersandar
lesu. Perbualan antara Ameer Aazad dengan abangnya tadi
membuatkan dia keliru.
‘Dia kata, dia belum jumpa aku lagi sejak pagi? Yang
aku tangkap dia asyik curi-curi pandang aku satu hari suntuk
ni, apa? Yang dia tolong aku angkat besen tadi tu, apa? Dia tak
tahu ke aku ni Aina Yasmin, tunang dia? Lain sangat ke muka
aku ni sampai dia tak kenal langsung? Maksudnya, dia ingat
aku masih macam dulu? Jadi dia nak aku yang dulu, jadi isteri
dia??? Betul ke macam tu? Ah… mustahil…’
Aina Yasmin kebingungan. Masih berbicara dengan
diri sendiri untuk meringankan kekusutan yang melanda.
‘Dia kata tadi, dia terima aku seadanya dan tak layak
untuk menilai diri aku… maknanya dia terima pompuan
yang entah apa-apa, badan kurus macam jantan dan takde
selera nak dipandang tu? Akulah pompuan tu! Ya Allah! Apa
maksud semua ni?’
Lekas-lekas Aina Yasmin bangun dan beredar dari
dapur. Cukuplah setakat itu. Dia tidak mahu mendengar
apa-apa lagi yang bisa menambah kekusutan di hati dan
fikirannya.

No comments:

Post a Comment