AINA Yasmin melipat lalu menyangkut telekung
serta sejadah sebelum merebahkan tubuhnya ke atas katil di
dalam kamar tidurnya. Hatinya sedikit lega dapat mengadu
dan berdoa kepada Penciptanya. Hanya Allah yang tahu
perasaannya ketika ini. Dan hanya kepada Allah dia berserah.
Malam sudah agak lewat. Pasti ibunya sudah tidur
kerana rumah mereka dirasakan begitu sunyi dan sepi.
Setelah pulang dari rumah Puan Shima selepas maghrib tadi,
ibunya terus masuk ke dalam kamar tidurnya dengan alasan
penat. Dua malam mereka bermalam di rumah Puan Shima,
seperti yang dijanjikan. Lusa, Aina Yasmin akan bertolak ke
Kuala Lumpur dan meninggalkan ibunya bersendirian di
rumah. Syukur Syafiq akan pulang dan bekerja di Ipoh tidak
lama lagi.
Aina Yasmin melepaskan keluhan. Dia memandang
ke arah siling kamar tidurnya sambil tangan kanannya
disilangkan ke atas dahi. Semakin berat keputusan yang perlu
diambil. Dia semakin kehilangan arah.
‘Ingatkan senang nak putus tunang. Semua orang
kata takde bantahan, tapi sebenarnya bukan senang seperti
yang disangkakan.’
Layanan Puan Shima terhadap dirinya masih seperti
dulu. Begitu penyayang dan masih mengambil berat akan
dirinya. Sekali pun Puan Shima tidak menyentuh tentang
hubungannya dengan Ameer Aazad walaupun dia banyak
menceritakan tentang hal lelaki itu kepadanya.
Rupa-rupanya Ameer Aazad pernah terlibat dalam
suatu kemalangan dua tahun lalu, tidak lama setelah arwah
bapanya meninggal dunia. Dia berasa hairan mengapa berita
itu langsung dipendamkan daripada pengetahuannya. Alasan
ibunya, kerana tidak mahu dia berasa tertekan atau terlampau
bersedih, memandangkan arwah Haji Zainal Abidin baru
sahaja meninggal dunia. Jadi berita kemalangan Ameer Aazad
tidak diceritakan kepadanya.
‘Aazad berubah tak lama lepas kemalangan tu…’
Kata-kata Puan Shima semalam kembali dalam ingatan.
‘Dia jadi pendiam dan tak mahu bergaul dengan orang lain.
Kawan-kawan dia pun banyak yang dia sisihkan, termasuk
abang-abang Min. Mama pun tak tahu kenapa dia jadi
macam tu.’
Sejak pertemuan dengan Puan Shima di majlis
kenduri kahwin Munirah tempoh hari, Puan Shima sering
membahasakan dirinya sebagai ‘mama’ ketika berbicara,
seolah-olah Aina Yasmin sudah pun menjadi menantunya.
Panggilan itu semakin membebankan hati dan perasaan Aina
Yasmin.
Kiranya, jika Aina Yasmin bertekad dengan
keputusannya, bukan sahaja dia akan menghampakan
harapan arwah bapanya, malah dia turut akan menghampakan
harapan Puan Shima yang teramat disayangi dan dihormati.
Walaupun di mulut, Puan Shima telah meyakinkan Hajah
Amirah yang apa pun keputusan Aina Yasmin akan diterima
dengan hati yang terbuka, namun di dalam hati siapa yang
tahu, bukan?
Aina Yasmin menggigit bibir tatkala terkenangkan
apa yang berlaku petang tadi ketika berseorangan di rumah
Puan Shima. Ibunya telah menemani Puan Shima ke Ipoh
untuk menempah baju di butik kegemaran mereka dan Aina
Yasmin yang tidak mahu ikut serta, memilih untuk tinggal
bersendirian di rumah Puan Shima. Ketika asyik menonton
televisyen di ruang tamu, telefon Puan Shima berbunyi.
“Assalamualaikum…” Aina Yasmin memberi salam
sebaik sahaja gagang telefon ditekap ke telinga. Senyap. Tiada
jawapan di talian sebelah sana. Aina Yasmin mencuba sekali
lagi. “Errr… assalamualaikum. Ni rumah Puan Maizatul
Shima.”
“Oh... waalaikumussalam. Saya ingatkan saya
tersalah nombor tadi.”
Hampir sahaja gagang telefon terlepas daripada
pegangan Aina Yasmin apabila mendengar suara garau yang
amat dikenalinya itu. ‘Ya Allah! Apa aku nak buat ni?’
“Boleh saya tahu ni siapa? Mama saya ada?” Ameer
Aazad menyoal.
“Errr… errr…” Aina Yasmin tergagap-gagap. “Auntie
Shima keluar kejap. Ni Min… Aina Yasmin.” Perlahan sahaja
Aina Yasmin memperkenalkan dirinya.
Senyap. Tiada balasan. Aina Yasmin membayangkan
Ameer Aazad teringin hendak menghempaskan gagang
telefon setelah mengetahui gerangan yang telah menjawab
panggilan itu. Aina Yasmin masih tertunggu-tunggu Ameer
Aazad melakukannya. Tidak lama kemudian, kedengaran
Ameer Aazad berdeham kecil.
“Apa khabar, Min?”
‘Eh? Dia nak berbual dengan aku ke ni?’
“Ba... baik, alhamdulillah…” balas Aina Yasmin
ringkas. Jantung sudah mula dup dap menandakan diri yang
sudah mula gugup.
Senyap lagi. Aina Yasmin kegelisahan.
“Errr… Abang Aazad, nanti Min beritahu Auntie
Shima yang abang call, ya? Min letak dulu. Assalamualaikum,”
ujar Aina Yasmin tatkala dia merasa kurang selesa dengan
sifat masing-masing yang kelu tidak berbahasa.
“Tunggu!” Sedikit tinggi suara Ameer Aazad
menahan Aina Yasmin daripada meletakkan gagang telefon.
Aina Yasmin tersentak. Nasib baik gagang telefon
tidak terlepas dari tangannya. “Ya?”
Terdengar keluhan kecil di hujung telefon. “Boleh
kita bincang?”
Aina Yasmin terkedu. Dia mengangguk kecil tetapi
setelah menyedari yang tidak mungkin Ameer Aazad dapat
melihat tindakannya, dia terus bersuara. “Boleh…”
“Susah abang nak mulakan…” perlahan nada suara
Ameer Aazad.
“Abang, Min tahu abang serba salah dengan
semuanya. Min pun sama. Tapi eloklah kalau kita…” Sebelum
sempat Aina Yasmin menghabiskan kata-katanya, Ameer
Aazad mencelah.
“Min, dengar dulu apa abang nak cakap… jangan
buat andaian sendiri.”
Tersentap Aina Yasmin dengan teguran yang dibuat
dengan nada yang jelas serius.
“Sorry…” bisik Aina Yasmin. Dia termalu sendiri.
“Abang tahu Min dah buat keputusan untuk
putuskan pertunangan kita. Seperti yang abang balas dalam
e-mel abang pada Min, abang setuju tapi dengan satu syarat.”
Jeda.
Aina Yasmin sabar menunggu Ameer Aazad
meneruskan kata-kata. Dia tidak mahu mencelah lagi. Takut
ditegur seperti tadi.
“Syarat abang simple je. Give me six months! Lepas
tu, kalau Min masih nak teruskan dengan keputusan Min,
abang terima.”
“Six months? Six months untuk apa?” Aina Yasmin
jelas dilanda kekeliruan dengan syarat yang dikenakan
tunangnya itu.
“Enam bulan untuk abang jadi tunang Min dan Min
jadi tunang abang.”
Aina Yasmin ketawa sinis.
“Min tak faham… kita kan dah bertunang lebih lima
tahun dah?” Takkan lelaki itu sudah lupa? Entah apa-apa!
Kedengaran keluhan kecil terlepas di hujung talian.
“Sebelum ni, walaupun kita dah lama bertunang, kita
bukan macam pasangan lain. Kita tak pernah berhubung, apa
lagi berjumpa. Untuk enam bulan yang akan datang ni, abang
nak Min jadi tunang abang dalam erti kata yang sebenar dan
abang pun begitu.”
“Bertunang masih belum menghalalkan hubungan,
abang. Apa yang abang maksudkan sebenarnya ni?” soal Aina
Yasmin tidak puas hati. Suaranya sedikit tegang.
“Abang tahu! Yang abang maksudkan, kita berhubung,
call, keluar makan ke, bertanya hal masing-masing… macam
couple lain yang bertunang. I want to get to know my own
fiancĂ©e!”
“Kenapa abang nak buat macam ni? Abang tak
perlu buat ni semua. Min tahu perasaan sebenar abang pada
Min. Min sedar diri Min ni siapa di sisi abang. Abang tak
perlu lakukan semua ni hanya sebab abang rasa terhutang
budi dengan arwah abah! Kalau kita tak ikhlas dengan
hubungan kita ni, baik tak payah teruskan!” Panjang lebar
Aina Yasmin bersuara. Dia tidak berapa setuju dengan syarat
yang dikenakan Ameer Aazad yang dirasakan tidak begitu
munasabah.
“Six months Min! Tu syarat abang. Your choice!
Yes or no?” Ameer Aazad tidak menghiraukan kata-kata Aina
Yasmin. Dia tahu apa yang dilakukannya.
“Kalau Min tak setuju?”
“Then I will sue you for breach of promise!”
“Apa? Abang serius???” Tercengang Aina Yasmin
dengan ugutan yang dibuat.
“Dead serious! Abang boleh saman Min sebab
mungkir janji dengan memutuskan pertunangan kita. Abang
akan minta ganti rugi.”
Aina Yasmin ternganga. Mujur Ameer Aazad tiada
di hadapannya ketika itu. Entah apalah yang akan dilakukan
kepada lelaki itu sekiranya Ameer Aazad berada di hadapannya.
Marah betul dia mendengar ugutan lelaki itu.
“Ganti rugi? Ganti rugi apa pulak? Macamlah kita ni
dah buat persiapan kahwin bagai. Mengarut je!”
‘Tak logik betul mamat ni. Takkan sampai nak
saman-menyaman pulak? Eh! Tapi macam pernah baca kat
surat khabar kisah orang yang disaman sebab memutuskan
pertunangan. Saman malu lagi!’
Walaupun di hati dia tidak merasakan yang Ameer
Aazad akan menyaman keluarganya, namun hakikatnya dia
tidak mengenali Ameer Aazad. Dia tidak tahu hati budi lelaki
itu. Dia hanya mengenali Puan Shima yang terlalu baik di
matanya. Lelaki itu mungkin lain daripada ibunya walaupun
darah mereka sama. Lagipun Puan Shima sendiri mengakui
yang tunangnya sudah berubah. Ameer Aazad dulu amat rapat
dengan abang-abangnya. Kini tidak lagi. Jadi, tiada siapa yang
benar-benar mengenali Ameer Aazad lagi.
“Terpulang pada Min nak fikir apa.”
“Min tak percaya Abang Aazad sanggup buat macam
tu pada keluarga Min,” nada suara Aina Yasmin melirih.
Tekaan yang tepat daripada Aina Yasmin, namun
Ameer Aazad tidak mahu beralah. Takkanlah dia sanggup
menyaman sebuah keluarga yang sudah dianggap sebagai
keluarganya sendiri? Dia hanya mahu menggertak Aina
Yasmin sahaja.
“Try me!” cabar Ameer Aazad secara serius bagi
melindungi penipuannya.
“Kenapa Abang Aazad kenakan syarat macam ni?”
soal Aina Yasmin. Suaranya berubah dingin dan tegang.
Rasa benci mula bertandang di hati. Dulu dia benci kerana
kata-kata hinaan yang dihamburkan lelaki itu. Kini dia benci
dengan syarat tidak munasabah yang dikenakan Ameer Aazad.
Tapi betul ke benci?
“Kan abang dah beritahu sebabnya tadi. Take it or
leave it!” Ameer Aazad memberi kata dua.
“Habis, Abang Aazad tak malu ke nanti orang tahu
Min ni tunang abang? Tak malu dapat tunang kurus kering
macam jantan dan kulit terbakar macam Min?” sindir Aina
Yasmin pedas. Dia masih mahu cuba untuk melepaskan diri
daripada ‘syarat-enam-bulan’ yang dikenakan Ameer Aazad.
Ameer Aazad mengeluh lagi. Terkena sebiji tepat ke
muka! Dia mengerti perasaan Aina Yasmin yang tentunya
sedang marah itu.
“Abang minta maaf pasal apa yang abang pernah
cakap dulu. Abang tak sangka yang Min dengar segalanya…”
ujar Ameer Aazad dengan nada kesal. “Abang betul-betul
minta maaf. Insya-Allah... abang takkan malu bertunangkan
Min. Abang terima Min seadanya… dan abang harap Min
pun terima abang seadanya. Dan abang ikhlas nak teruskan
pertunangan kita kalau Min sudi terima abang.” Itulah
sebenarnya harapannya, agar Aina Yasmin mengambil masa
untuk mengenali dan menerimanya dalam tempoh enam
bulan ini. Dia tidak mahu mengambil remeh ikatan yang
telah diikat antara mereka, walaupun tanpa cinta. Cinta boleh
dipupuk. Namun janji yang telah dilafazkan kepada Haji
Zainal Abidin kerap menghantuinya.
Aina Yasmin terkedu mendengar ucapan maaf yang
lahir dari bibir Ameer Aazad. Tidak pernah terfikir yang
lelaki itu akan meminta maaf atas kata-kata hinaan yang
begitu menghiris hatinya. Tidak akan sekali-kali dia bisa
melupakan kata-kata itu. Kata-kata yang sehingga kini bisa
membuatkannya menangis.
“Apa keputusan Min? Setuju dengan syarat abang?”
“Tolong bagi masa untuk Min fikirkan dulu. Min tak
boleh nak bagi keputusannya sekarang,” pinta Aina Yasmin.
“Okey. I will call you in a week’s time. Hari Ahad ni
abang akan call Min.”
‘Hah? Seminggu je? Cukup ke?’
“Bagi abang nombor telefon Min?” Ameer Aazad
meminta sebelum sempat Aina Yasmin meminta tambahan
masa untuk dirinya membuat keputusan.
Bagai lembu yang dicucuk hidung, Aina Yasmin
memaklumkan nombor telefon bimbitnya kepada Ameer
Aazad. Sejurus kemudian, Ameer Aazad mengucapkan salam
dan mematikan talian telefon, membiarkan Aina Yasmin
terpinga-pinga sendirian.
Hajah Amirah serta Puan Shima langsung tidak
menyedari perubahan yang melanda Aina Yasmin petang
itu, yang melarat sehingga ke saat ini. Aina Yasmin buntu.
Lusa sudah hendak ke Kuala Lumpur. Sekiranya sesi temu
duganya berjaya, dia akan melangkah ke alam pekerjaan
tidak lama lagi. Bagaimana pula dengan Ameer Aazad dan
syaratnya? Enam bulan… enam bulan…
Kalau hendak difikirkan enam bulan tidaklah lama.
Namun, memikirkan dia perlu membawa watak seorang
tunang yang sebenar-benarnya kepada Ameer Aazad,
membuat dia tidak senang duduk. Setakat bermesej atau
melalui panggilan telefon tidak mengapa lagi. Tapi kalau
diajak dating, bagaimana?
‘Aduh… susahnya macam ni…’
Aina Yasmin hairan dengan perubahan sikap
dan pendirian tunangnya itu. Kalau dulu lelaki itu begitu
membencinya dan tidak pernah setia dengan ikatan
pertunangan mereka, mengapa sekarang lelaki itu berubah?
Bukan dia tidak tahu tentang hobi Ameer Aazad yang
gemar bertukar-tukar teman wanita dulu. Mastura sering
melaporkan berita-berita panas tentang tunangnya itu.
Rupa-rupanya, teman sebilik Mastura di kampus
merupakan anak kepada orang gaji Tan Sri Khir Razak,
yakni bapa angkat Ameer Aazad. Segala laporan mengenai
Ameer Aazad yang diterima daripada teman sebilik Mastura,
disalurkan terus kepada Aina Yasmin. Lama Ameer Aazad
tinggal bersama Tan Sri Khir Razak, sebelum dia berpindah
untuk hidup sendiri. Maka, senang untuk Mastura
memaklumkan kegiatan Ameer Aazad kepada teman karibnya
itu.
Aina Yasmin pula langsung tidak terkesan dengan
berita-berita yang diterima. Setelah hatinya dihunus dengan
pisau yang amat tajam oleh lelaki itu, dia sudah tidak
menyimpan apa-apa perasaan pun terhadap Ameer Aazad.
Apa-apa sisa rasa minat atau ‘crush’ terhadap lelaki itu ketika
zaman remajanya sudah lenyap dalam sekelip mata. Lenyap
kurang dua puluh empat jam setelah menjadi tunangan
Ameer Aazad.
Aina Yasmin bangun dari perbaringan lalu menekan
suis lampu. Terus gelap kamar tidurnya. Dia ingin tidur,
kerana hanya ketika tidur dia dapat melupakan sebentar
segala masalah duniawi. Dan semoga ketika dia dijemput
lena, dia akan menerima petunjuk daripada Yang Maha
Esa. Itulah yang diharapkan daripada solat istikharah yang
dilakukannya tadi. Dia telah berserah bulat-bulat kepada
Ilahi, kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui…
MATA AMEER Aazad terkebil-kebil di hadapan notebooknya.
Dia langsung tidak dapat menumpukan perhatian terhadap
kerjanya. Semuanya gara-gara teringatkan suara Aina Yasmin
yang begitu merdu di telinga. Mengapa suara itu masih
terngiang-ngiang? Mengapa debaran di dada lambat untuk
kembali ke denyutan normal walaupun sudah lebih sepuluh
minit talian telefon diputuskan petang tadi? Apa maksudnya
semua itu? Apa sudah jadi dengan dirinya?
‘Ah… takkan dengar suara je boleh angau? Tak logik
betul!’
Namun itulah hakikatnya. Tangannya terasa gatal
untuk menelefon tunangnya. Sesaat pun jadilah, asalkan dia
bisa mendengar suara itu sekali lagi sebelum dia tidur.
‘Gila kau ni, Zad!’ dengus Ameer Aazad.
Ameer Aazad cuba membayangkan wajah tunangnya
dulu. Marah dia terhadap ego yang dijulang begitu tinggi
dahulu terhadap paras rupanya, sehingga tidak sedikit mahu
melayan adik kepada Iqbal dan Syafiq yang langsung tidak
menarik perhatiannya. Padahal, rumah arwah Haji Zainal
Abidin sudah menjadi rumah keduanya. Dia sedar Aina
Yasmin meminatinya dahulu. Renungan gadis itu selalu
bisa ditangkapnya. Namun dia tidak pernah ambil peduli,
walaupun dia sering menyedari kewujudan gadis itu yang
begitu manja dengan abang-abangnya. ‘Tak mainlah dengan
budak sekolah!’ lagaknya suatu ketika dahulu.
Tatkala berada di universiti dan takdir menemukan
dia dengan Tan Sri Khir Razak, sifat angkuhnya semakin
menjadi-jadi. Tan Sri Khir Razaklah yang memberi peluang
kepada dirinya untuk menjalani praktikal di syarikatnya
dan dari situ timbul rasa percaya dan kasih terhadap Ameer
Aazad. Maka Ameer Aazad ditatang bagai minyak yang penuh
oleh lelaki itu yang tidak mempunyai zuriat sendiri walaupun
pernah berkahwin.
Ameer Aazad semakin lupa diri. Cuma rasa hormat
dan kasih terhadap arwah Haji Zainal Abidin yang masih
tersemat di dada, membuatkan dia tidak membantah dengan
cadangan arwah untuk bertunang dengan Aina Yasmin.
Itu pun dia bertunang tanpa memaklumkan perkara yang
sebenar kepada Tan Sri Khir Razak… sehinggalah dua tahun
yang lalu.
Seingat dia, Aina Yasmin kurus orangnya. Lagaknya
macam tomboi, suka melepak dengan rakan-rakan lelaki yang
sebaya dengannya serta memancing dengan abang-abangnya.
Kulitnya gelap kerana dia tahu Aina Yasmin suka sangat
melakukan aktiviti-aktiviti lasak di luar rumah.
Bagi ibunya, Aina Yasmin cantik di mata kerana gadis
itu seorang yang amat menghormati orang tua, seorang yang
rajin serta bijak dalam pelajaran. Seorang yang tidak pernah
alpa dalam mengerjakan solat dan sering berbakti kepada ibu
dan bapa. Ibunya menaruh harapan yang besar, suatu hari
nanti, Aina Yasmin akan menjadi menantunya. Ibunya dapat
melihat sesuatu yang istimewa dalam diri Aina Yasmin sejak
dulu lagi. Ameer Aazad yakin dia akan dapat menemuinya jua,
sekiranya diberi peluang oleh gadis itu.
‘Ya Allah, bukalah hatiku untuk menerima dan
menyayangi Aina Yasmin sebagaimana dia layak disayangi, ya
Allah. Ampunkan aku atas segala kelalaian dan kealpaanku
selama ini, ya Allah. Sesungguhnya aku adalah hamba-Mu
yang lemah. Ya Allah, bukalah hati Aina Yasmin untuk
memberikanku satu peluang lagi… Itu saja yang kuharapkan
daripada-Mu, ya Allah…’
Enam bulan bukanlah suatu masa yang lama.
Namun dia telah bertekad akan menjadi seorang tunangan
yang sempurna buat Aina Yasmin. Cukuplah selama ini
dia mengabaikan tunangnya itu, dan langsung tidak
mengendahkan hati dan perasaan Aina Yasmin. Kini dia
meminta satu peluang lagi.
Hati Aina Yasmin perlu ditakluki dan yang paling
utama, dia perlu belajar menyerahkan hatinya kepada
gadis itu. Sekiranya Aina Yasmin tidak dapat menerimanya
setelah segala usaha untuk memenangi hati gadis itu telah
dilakukan, maka dia pasrah dan reda. Mungkin tiada jodoh
antara mereka.
Ameer Aazad mencapai telefon bimbitnya. Walaupun
dia telah bersetuju untuk memberikan satu minggu untuk
gadis itu membuat keputusan, dia tidak pula berjanji tidak
akan menghubungi tunangnya itu selama waktu itu, bukan?
Satu idea nakal bermain dalam minda. Tekadnya untuk
memenangi hati gadis itu akan dimulakan segera! Sekarang,
kalau boleh! Malam ini!
Cadangnya untuk menghantar mesej kepada
Aina Yasmin. Namun dia tidak tahu mesej apa yang perlu
dikarangnya. Sudah dua tahun dia berhenti menjadi seorang
Romeo dan bertukar menjadi seorang lelaki yang pendiam
dan sentiasa serius di mata umum. Dia sudah berkarat!
Ayat-ayat jiwang yang dulu sebati dengan jiwanya sudah
hilang entah ke mana.
Selamat mlm, tunang abg! Sweet
dreams. Semoga bertemu dgn
jawapan yg dicari dlm mimpi…
Pesanan dihantar.
Aina Yasmin yang masih belum dapat melelapkan
mata terkejut mendapat isyarat masuknya pesanan WhatsApp
di telefon bimbitnya pada lewat malam begini. Terbeliak
matanya membaca mesej yang diterima. Seolah-olah lelaki itu
tahu tentang dirinya yang memang mencari suatu jawapan.
‘Nak jawab ke tak ni? Apa aku nak cakap?’
Setelah sekian lama berdolak-dalik, Aina Yasmin
membalas juga.
Selamat mlm…
Ringkas. Hantar.
Tidak lama kemudian, telefon Aina Yasmin berbunyi
lagi.
Abg berdoa, Min akan mimpikan
abg dan abg pun akan mimpikan
Min. Amin…
Bergetar jantung Aina Yasmin menerima mesej
daripada Ameer Aazad. ‘Dia pun buat solat istikharah ke? Dia
pun sedang tunggu petunjuk macam aku?’ Telefon lekas-lekas
diletakkan ke bawah bantal. Dia tidak ingin membalas
pesanan terakhir daripada Ameeer Aazad itu. Entah mengapa,
hatinya diselubungi rasa malu.
Telefon berbunyi sekali lagi. Dia menyeluk bantal.
Semoga keputusan Min akan
menjadi permulaan yang cukup
bermakna buat kita berdua…
Aina Yasmin menggigit bibir.
‘Min, kau kena kuat… kau tak boleh jatuh hati
dengan lelaki yang pernah hina dan kutuk kau dulu! Lelaki
curang, sombong dan angkuh! Kau kan benci dengan lelaki
macam tu? Entah-entah dia hanya nak mainkan kau! Kau
dengan dia bagai langit dan bumi! Kau tak layak untuk dia!
Kau kena kuat, Min! Kau kena kuat!!!’
Entah berapa lama Aina Yasmin berperang dengan
perasaannya. Akhirnya, dia tertidur.
No comments:
Post a Comment