Monday, 27 June 2016

1st Class Mistress - Bab 9

YUSUF membawa bola ke tengah gelanggang bola
keranjang dengan penuh bersemangat sebelum membuat
aksi ‘3 points jump shot'.
Zup! Bola dengan cantik masuk tepat ke jaring.
“Hebat! Hebat!” jerit Luth sambil bertepuk tangan.
Kepalanya digeleng-geleng. Muka dengan serius nampak
teruja. Saja menambah efek. Tepuk tangan saja dia beria-ia,
padahal sejak dari awal lagi, Luth hanya duduk di tepi
gelanggang. Setitik peluh pun tidak keluar dari badannya.
Cuma sesekali tangannya bergerak, menaip komen di
Facebook dan Twitter!
Yusuf terus terlentang di atas gelanggang. Nafas
turun naik tanpa tersekat-sekat. Rasa puas dapat bermain
sukan kegemarannya. Sebetulnya, dia saja mengajak Luth
bermain malam ini. Lebih kepada paksa sebenarnya. Padahal,
dia lebih daripada tahu, Luth bukanlah jenis yang suka
bersukan. Sedari tadi, Luth cuma jadi tukang sorak di tepi
gelanggang. Kalah ‘minah-minah cheerleaders’.
Yusuf hendak menenangkan jiwa yang
gundah-gulana sejak akhir-akhir ini. Gundah, kenapa? Tanya
lagi? Gundah sebab Jasmine Hannahlah, siapa lagi?
Yusuf meraup muka yang dibasahi peluh. Geram
sungguh dia dengan perangai Jasmine. Sikit punya macho
dia buat drama. Jadi Mat Romeo pula tu. Semua itu untuk
ajak Jasmine kahwin.
Bagi orang lain, memanglah semua itu biasa sahaja.
Tapi, ini Yusuf Dzulkarnain, tahu tak? Semua itu kes ‘hairan
bin ajaib’! Berbekalkan keyakinan, dan harapan yang tinggi,
dia cuba menyunting bunga nan sekuntum itu. Tapi... si
bunga melur itu? Alahai... saja nak jual mahal, tau!
Yusuf mengeluh lagi.
“Perempuan macam kau juga punya harapan kalau kau
betul-betul mahu berubah. Kalau kau tekad mahu keluar
daripada cengkaman Dato’ Adam, izinkan aku jadi penyelamat
kau, Jas. Dail 911. Aku sedia membantu. Aku kan dah janji?
Kita sama-sama berusaha untuk menjadi yang lebih baik.”
Jasmine bangkit dari perbaringan.
“Apa maksud kau?” soal Jasmine tanpa menghiraukan
wajahnya yang sudah sememeh dek air mata. Pasti maskara
dan eyeliner sudah bergaul sebati dengan blusher. Lantaklah!
“Kita kahwin.”
“Hah???” Bagai hendak terjeluak biji mata Jasmine.
Kepalanya naik pening mendengar kata-kata Yusuf itu. Lebih
hebat penangan ayat Yusuf daripada hempukan Datin Mirrah
tadi.
Yusuf pula masih tayang riak muka selamba.
Sehinggalah dia melihat kerutan dan wajah yang penuh
tanda tanya Jasmine. Kemudian, telinganya dijamu dengan
ledakan ketawa Jasmine. Wah! Bagaikan digeletek Jasmine
ketawa terbahak-bahak sambil terguling-guling di atas katil.
Perutnya siap ditekan-tekan. Apa yang lucu?
“Kenapa kau ketawa? Unsur komedi apa yang ada
dalam ayat aku tadi?” Yusuf angkat kening hairan. Jasmine
ingat dia main-main ke? Wah! Nampaknya, si Jasmine
ini masih belum kenal siapa bakal suaminya. Ini Yusuf
Dzulkarnain, okey?
Jasmine duduk bersila di atas katil dan terus
mengibas-ngibas mukanya. Sakit akibat luka di kepala
sudah dilupakan begitu saja. Bibir bawah digigit lembut,
menghalang ketawa pecah semula. Maklumlah, Yusuf sudah
mula memandang seperti hendak menelannya hidup-hidup.
“Tolonglah Yusuf. Kahwin? For goodness sake!
Jangan buat lawak, boleh tak? Nak kahwin apanya sedangkan
kita berdua, kenal pun tak lama. Kita tak kenal diri
masing-masing, Yusuf. Sebab itu perkataan ‘kahwin’ masih
jadi taboo dalam kamus hubungan kita.”
“Pasal itulah, aku rasa aku boleh ubah anggapan kau
tentang taboo tu.”
“Tolonglah...” Jasmine juling mata ke atas.
“Aku nak tolonglah ni.”
“Yusuf...”
“Define frasa 'kenal diri masing-masing' tu.”
Yusuf menyandarkan badannya ke dinding sambil
memeluk tubuh. Pandangan matanya seolah-olah mencabar
Jasmine untuk terus berbincang tentang usulnya itu.
Jasmine tersenyum nipis. Dia faham maksud
pandangan itu. Hmm...
“Maksud aku... err... tahu dengan lebih dekat tentang
diri masing-masinglah. Kenal. Bukan sekadar bertegur sapa
setiap pagi. Ataupun, bertembung secara tidak sengaja di
mana-mana.”
“Contoh?”
“Contoh yang paling asas tentulah tahu biodata diri
seseorang. Kemudian perkara yang lebih peribadi tentangnya.
Sejarah lalu, kisah-kisah penting yang pernah berlaku dalam
kehidupan yang lepas. Cita-cita hidup...”
“Bukan semua orang akan bersikap jujur dan akan
ceritakan semua kisah hidupnya kepada orang lain dengan
mudah, Jas. Lumrah manusia, akan menjadikan rahsia hidup
sebagai perisai diri, sebagai perlindungan. Kalau kita kahwin,
kita ada seumur hidup untuk kenal diri masing-masing.
Tidak ada rahsia, tidak ada yang perlu diselindungi. Kita
boleh hidup bebas untuk berkongsi apa saja, termasuk suka
dan duka. Tidakkah itu lebih bermakna?”
Jasmine terdiam.
“Aku dapat rasakan, yang kau bukan hanya akan
gunakan alasan tidak kenal diri masing-masing untuk
menolak lamaran aku, kan?” sambung Yusuf lagi melihat
Jasmine yang masih membatu.
“Come onlah Yusuf. You don't even like me. And...
and I don't like you too! So, kenapa nak kahwin? Sebab kau
kasihankan aku? Itu saja, kan? Apa jenis perkahwinan yang
akan kita hadapi nanti? Kahwin paksa? Kahwin kontrak?”
“Eh? Siapa kata aku tak suka kau? Buat apa nak
kahwin dengan perempuan yang kita tak suka?” Kata-kata
Yusuf kali ini cukup membuatkan jantung Jasmine berdebar
kencang.
'Apa dia cakap tadi?' Spontan Jasmine menggaru
telinganya. 'Aku tak salah dengar, kan? Dia cakap dia suka
aku?'
“Tak payah nak korek telinga. Memang aku cakap
aku sukakan kau tadi.”
Jasmine ketap bibir rapat-rapat.
“Dan... aku tahu, kau pun sukakan aku, kan? Betul
tak?” soal Yusuf pula.
“Perasan!” tukas Jasmine. Sebiji bantal hiasan kecil
berwarna biru dilontarkan ke arah Yusuf. Jasmine menekup
kedua pipinya. Aduh! Kenapa pipi terasa pijar tiba-tiba ni?
Malunya! 'Yusuf ni tak agak-agak tuduh aku suka dia.'
“Hek eleh! Tolonglah Jasmine. Kalau kau tak suka
aku, perbualan kita sekarang takkan sampai ke tahap ini, tahu
tak? Kalau kau tak suka aku, saat aku ajak aje kau kahwin,
confirm kau dah halau aku. Kau pun sebenarnya teruja jugak
bila aku ajak kahwin. Cuma kau malu aje nak mengaku, kan?”
“Eww! Boleh tak jangan over confident sangat?”
bentak Jasmine. Muka dikalihkan dari pandangan Yusuf yang
semacam itu.
Yusuf pula tergelak kecil melihat mimik muka
Jasmine yang jelas malu dan menggelabah. Tapi yang
mahalnya, apabila dia perasan muka comel itu sudah merona
merah.
“Okey, tak nak mengaku sekarang tak apa. Nanti aku
akan cuba buktikan. I'm up for the challenge. Tapi, sekarang
aku kena balik rumah dulu. Aku nak pergi kerja ni. Kita
sambung nanti. Aku WhatsApp kau once aku sampai pejabat.
Karang lama-lama kat sini, tak pasal-pasal kahwin free pulak!
Though, sebenarnya aku tak kisah pun.” Yusuf tayang barisan
giginya yang putih.
Sebiji bantal hiasan kecil melayang lagi. Tapi kali ini,
sempat pula ditangkap oleh Yusuf.
“Suka sangat nak bagi benda alah ni kat aku, kan?
Okey, aku terima pemberian ikhlas kau. Letak handphone
kau dekat-dekat, tau? Karang tak dengar notification. Rehat
puas-puas, Jasmine Hannah. Assalamualaikum.” Yusuf
berlalu membawa bantal kecil merah jambu berbentuk hati
itu, meninggalkan Jasmine bergelut dengan seribu satu rasa
yang tidak pernah dialaminya selama ini.
“Waalaikumussalam, mamat berlagak.” Perlahan
Jasmine menjawab, tanpa sedar tangan sudah mencapai
telefon bimbit di tepi meja katil, kemudian meletakkannya
di tepi bantal.
Eh???
Maaf. Kau tengah tunggu mesej aku,
kan?
YUSUF TERGELAK kecil sambil menghempaskan punggung
di atas sofa pejabatnya. Tengkuk diurut perlahan.
Perasan!
Cepatnya jawab. Mesti tengah
tunggu aku sambil pegang
handphone. Tak sabar eh?
Tolonglah. Tahap perasan kau ni
kronik, tahu tak? Takde ubat dah!
Ada. Ubat tu memang ada. Lepas ni,
tak boleh panggil kau-aku lagi...
Kenapa pulak?
Kasar sangat, sayang...
Jasmine bulatkan mata. Kecil besar, kecil besar
mata Jasmine memandang skrin telefonnya. Tidak puas hati,
digosoknya pula kelopak mata.
'Isy! Mata aku dah kabur ke apa ni? Sayang? As in,
err...' Jasmine ketap bibir. Malu pula hendak sebut. Jasmine
garu kepala.
So, bila nak aku masuk meminang?
Hah??? Kau nak masuk meminang
macam mana? Aku keluarga pun
takde! Sebatang kara, tahu tak?
Jari telunjuk digigit-gigit.
'Tak nak konon! Yang aku pulak melayan dia cakap
pasal meminang ni, kenapa?' Jasmine ketuk kepala.
Oh! Takpelah. Tak payah
pinang-meminang pun takpe. Kita
kira jadi ajelah, ya? Kita nikah terus
hujung bulan depan. Okey?
Kau kenapa? Senangnya kau nak
kahwin dengan aku? Main redah
semacam aje, eh? Kau ingat aku ni
anak kucing, ke?
Kenapa nak susahkan diri? Yang
wajib itu akad nikah aje, tau.
Ataupun, kau nak romance and
flowers? Kau nak bercinta-cinta
dulu? Boleh aje. Although,
personally aku rasa bercinta lepas
kahwin mesti lagi best. Nak buat apa
pun takde halangan. Tapi, aku boleh
aje layan kemahuan kau kalau kau
nak apa yang biasanya perempuan
expect macam dalam novel cinta tu.
Itu pun, tak boleh lebih-lebih tau.
Kau baca novel cinta, Yusuf?
Taklah. Tapi, bila kita ada seorang
adik sepupu perempuan yang
hopeless romantic, memang tak
hairanlah kalau aku boleh tahu
semua tu. Tiap kali aku pergi
overseas, asyik nak kirim novel aje.
Jasmine tersenyum nipis. Melati Azzahrah... salah
seorang daripada ahli keluarga Yusuf yang dia kenal. Memang
baik budaknya. Bagaimana pula yang lain?
Famili kau takkan suka aku. Kau
lupa siapa aku?
Aku kenal famili aku. Mereka pasti
akan sokong kehendak aku. Dan
aku, takkan lupa siapa Jasmine
Hannah James Abdullah. Bekerja
sebagai seorang pramugari.
Seorang jiran yang baik hati, sangat
prihatin. Seorang yang pemurah
dan dermawan. Cantik dan bersifat
lemah lembut. Dia pandai melayan
umi aku. Manja. Aku lihat potensi
diri untuk jadi lebih baik sebagai
wanita solehah, isteri dan dengan
izin Allah, sebagai seorang ibu.
Itu semua sudah cukup bagi aku.
Selebihnya, nantilah lepas nikah aku
interviu dia lagi. Boleh?
Jasmine rasa terharu membaca bait-bait kata
Yusuf. Bola mata terasa panas. Air mata mulai berladung di
kelopaknya.
Macam mana dengan hubungan
aku dan Adam? Bagaimana kalau
keluarga kau tahu siapa aku di
sebalik topeng ini?
Satu-satunya topeng yang kau pakai
ialah topeng yang kau guna sewaktu
kau berlakon menjadi mistress orang
tua tu. Sedangkan selalunya, kau
selalu jadi diri sendiri, Jasmine.
Betul, kan?
Adam dan aku, it's complicated. Dia
takkan semudah itu lepaskan aku,
Yusuf. Aku berhutang dengan dia
bukan saja wang ringgit, tapi juga
budi!
Hutang duit aku boleh bantu.
Hutang budi, biar aku juga yang
uruskan. Aku percaya mesti ada cara
untuk melunaskan hutang budi kau.
Aku kenal Adam. Aku tahu macam
mana nak handle dia. Kau jangan
risau sedikit pun hal ni. Tugas kau
sekarang ialah menyiapkan diri
untuk jadi isteri aku hujung bulan
hadapan.
Jangan buat aku macam ni, Yusuf.
Kenapa? Serba salah? Kau dah mula
jatuh cinta, kan?
Perbualan Yusuf dan Jasmine melalui WhatsApp
berakhir di situ. Jasmine termenung melihat langit bilik.
'Boleh tak untuk seketika, aku berangan yang semua
ini boleh menjadi kenyataan? Yang semua masalah aku tidak
pun wujud? Supaya mimpi yang mula terukir dalam ingatan
ini tidak dapat dirampas waktu?' Jasmine mengeluh kecil.
Kalaulah semuanya semudah itu...
“KALAULAH SEMUANYA semudah itu...” keluh Jasmine.
“Abang Yusuf! Abang Luth!” Jeritan nyaring Melati
mengucar-ngacirkan ingatan Yusuf dan juga khayalan
Jasmine.
Dewan gelanggang bola keranjang tersebut bergema
dengan suara anak gadis itu. Apabila mata Yusuf terpandang
teman yang berdiri di sisi Melati, spontan tubuh yang lencun
dengan peluh tegak dari perbaringan. Jasmine Hannah!
Insan yang baru saja menghiasi kotak ingatannya. Jasmine
kelihatan agak berbeza mengenakan baju sukan berwarna
kuning berhoodie. Tampak selamba, dan sederhana.
Jasmine buat acuh tak acuh dengan pandangan
tajam Yusuf, meskipun dalam hatinya sudah berlangsung
konsert rock-and-roll. Botol air dibawa ke bibir, Jasmine
meneguk air kosong untuk menghilangkan dahaga dan juga
rasa gementar.
“Baru balik joging ke sayang? Tak ajak abang pun!”
Burr! Tersembur semua air dari dalam mulut
Jasmine ke lantai.
Melati usap dada, mujur dia jauh. Kalau tidak,
lencun. Eh? Wait, seminit! Melati memandang Jasmine dan
Yusuf silih berganti. Sayang???
Luth cuma mampu menjadi penonton. 'Entah apa
pula yang merasuk si Yusuf ni. Baru saja mengamuk bercerita
pasal Dato’ Adam yang cari gaduh sampai ke hotel mencari
dia, sekarang apa hal pulak dia nak cari pasal dengan mistress
orang tua tu?'
Jasmine terkocoh-kocoh mendapatkan Yusuf yang
masih seperti kerang buat iklan ubat gigi. Yusuf ni saja aje
nak buat dia malu!
“Kau ni kenapa?”
Yusuf tersengih.
“Kenapa apa pulak ni, sayang?” Yusuf kenyit mata.
Jasmine jegilkan mata. Bertambah galak Yusuf
jadinya. Mulut pula buat muncung.
“Err... sorry ganggu korang. Tapi, rasanya kita
belum diperkenalkan lagi. Cik Hannah, kan? Saya Luth.
Kawan baik Yusuf. Kita orang dah kenal sejak zaman sekolah
lagi. Baik atau buruk, pandai atau bodoh Yusuf, sayalah yang
paling arif.” Luth pantas menghulurkan tangannya untuk
bersalaman.
Jasmine yang asalnya teragak-agak, dengan perlahan
mengunjuk tangan kanannya sebelum tangan Luth ditepis
kasar.
“Perkara pertama yang sayang kena belajar bila dah
nak jadi isteri abang, tak boleh bersentuhan dengan lelaki
yang bukan muhrim, tau?”
“Kahwin???” Melati dan Luth serentak terjerit.
Jasmine sudah berkira-kira hendak memecut balik
ke apartmennya. Sungguhlah dia tidak tahu mahu letak ke
mana mukanya yang pasti bertukar menjadi seperti udang
galah ini. Tapi, kakinya pula terasa bagaikan terpasak di lantai
gelanggang itu. Seolah-olah ingin menunggu Yusuf untuk
mengatakan lagi sesuatu.
“Ya, kahwin. Untuk pengetahuan korang berdua,
Jasmine Hannah ni bakal tunang aku. Kami nak nikah bulan
depan. Hujung minggu ni, umi dan walid akan datang untuk
atur majlis pertunangan kami.”
“Hah???” Kali ini suara Jasmine berpadu sekali
dengan suara Melati dan Luth.
Yusuf cuma pamer senyum meleret dengan pakej
kenyit mata khas untuk Jasmine yang semakin terkulat-kulat.

No comments:

Post a Comment