Tuesday, 28 June 2016

Akad Kedua - Bab 11

“APA??? Dua minggu dari sekarang? Abi
jangan buat bergurau benda-benda macam ni. Tak
lawaklah abi. Serius ke ni?” soal Khuz. Terkejut besar dia
setelah dimaklumkan oleh abi di telefon bahawa majlis
pertunangannya bersama perempuan yang langsung tidak
dikenalinya itu bakal dilangsungkan.
Belakang kepalanya digosok-gosok. Cuba
menenteramkan fikiran yang tiba-tiba terasa kusut. Masih
tidak dapat diterima oleh akal tentang berita yang baharu
sahaja dia terima. Harap semua ini hanyalah satu mimpi
ngeri. Laluinya dengan tenang dan pasti esok akan hilang. Ya,
pasti mimpi ngeri ni!
“La, seriuslah. Takde masa abi nak main-main.
Kenapa? Kamu terkejut?” tanya Tan Sri Junaidi.
Mendengar soalan itu membuatkan Khuz menarik
nafas sedalam-dalamnya. Ternyata ini bukan mimpi ngeri.
Tapi, realiti yang mengerikan. Ah, sungguh dia tidak dapat
terima. Tapi, bagaimana cara untuk dia berkata 'tidak' kepada
abi?
“Okey, abi. Macam inilah. Cuba fikir ek... tak
mungkin senang macam tu aje perempuan tu nak terima
untuk ditunangkan dengan Khuz. Mustahil! Ini mesti ada
sebab lain,” balas Khuz.
Tidak pernah pula dia menyangka akan secepat ini
perempuan itu membuat keputusan. Tapi, kenapa jawapannya
'ya'?
'Apa dia tak tahu status aku yang sebenarnya ke?
Atau dia ni jenis perempuan materialistik? Pantang dapat
tahu lelaki kaya, terus nak. Entah-entah, suami orang pun
dia kata setuju nak kahwin.
“Tak ada yang mustahil kalau dia tu memang jodoh
Khuz. Buktinya, Dhia dah setuju. Kamu jangan pandai-pandai
nak buat andaian yang tak baik. Hah, pasal majlis pertunangan
tu, biar abi aje yang uruskan,” ujar Tan Sri Junaidi.
Khuz berjalan ke sana ke mari di balkoni luar
biliknya. Dia memikirkan ayat untuk memujuk abi supaya
tidak meneruskan pertunangan itu.
“Abi bagilah masa untuk Khuz siasat dulu siapa
perempuan tu, boleh? Khuz tak naklah pisang berbuah dua
kali. Please, abi?” Khuz merayu. Meminta simpati kepada abi
yang kedengaran sangat serius dengan kata-katanya.
“Tak boleh. Abi kenal dengan siapa yang abi nak
jodohkan dengan Khuz. Daliya tu dulu, kamu dah tahu dia
teruk, tapi kamu kahwin jugak dengan dia, kan? Yang ini dah
sah-sah baik, nak disiasat lagi buat apa? Dah, jangan nak cari
pasal.” Tan Sri Junaidi mengungkit.
Khuz kematian kata. Tidak mampu untuk melawan,
kerana apa yang diujarkan seratus peratus kisah benar.
“Abi... please...” rayu Khuz, dengan harapan abi akan
mengerti.
“Khuz... ini keputusan muktamad abi. Dua
minggu daripada sekarang majlis pertunangan tu akan
dilangsungkan. Abi dah berjanji pun dengan keluarga sebelah
pihak perempuan. Tolonglah jangan malukan abi,” pesan Tan
Sri Junaidi lalu mematikan panggilan.
“Helo? Abi? Helo!” Telefon bimbit digenggam kuat.
Tidak guna dia memanggil lagi.
Khuz melemparkan pandangan ke arah suasana
malam yang bercahaya dari lampu bangunan-bangunan
tinggi dan jalan raya. Kelihatan kecil sahaja semua itu jika
dilihat dari balkoninya yang terletak tinggi berpuluh-puluh
tingkat itu.
“Aduh! Apa aku nak buat ni? Argh!!! Matilah aku,
mati…” Khuz mengusutkan rambutnya. Ke hulur ke hilir
seperti kucing kematian anak saja di situ.
“WHAT??? BERTUNANG?” Seberapa segera Fiqa berjalan ke
ruang tamu dan meletakkan sepinggan buah epal yang siap
dipotong ke atas meja yang terdapat di hadapannya.
“Kau jangan nak bergurau dengan aku? Tiba-tiba aje
ni. Serius beb aku cakap, tak lawak langsung.” Ujar Fiqa yang
kini sudah duduk di sofa sambil memandang Dhia.
Dhia menoleh. Wajahnya begitu serius. Langsung
tiada senyuman.
“Okey, fine. Memang kau tak bergurau,” kata Fiqa
sebaik sahaja melihat wajah Dhia yang seolah-olah mahu
menelan orang.
“Tapi, dengan siapa?” soal Fiqa pula.
“Hasbi Khuzairy. Bukan kau kenal pun,” jawab
Dhia sambil menekan butang remote untuk menukar siaran
televisyen.
Fiqa menyandar ke sofa. Sehiris buah epal
dimasukkan ke dalam mulut.
“Memanglah aku tak kenal. Kau kenal ke? Tak jugak,
kan?” tanyanya sambil memandang Dhia seimbas.
“Hasbi Khuzairy... apasal macam familiar aje nama
dia, hah? Macam pernah aku dengar. Tapi, dekat mana ek?”
Fiqa tertanya-tanya sendiri. Jarinya diketuk-ketuk ke bibir.
“Hesy, manalah aku tahu. Entah-entah kawan
lama kau kut. Kau kan banyak kawan. Tak pun... dia pernah
mengurat kau atas flight ke?” balas Dhia. Beberapa hiris
buah diambil dan diletakkan ke atas telapak tangannya. Mata
kembali difokuskan menonton televisyen.
“Hahaha... yang ini baru lawak.” Fiqa buat-buat
ketawa besar. “Isy! Memang taklah,” nafi Fiqa. Manalah dia
ada kawan nama macam itu.
“Urm... sedar pun,” ujar Dhia perlahan.
“Ada gambar? Bak sini aku nak tengok. Mana tahu
betul cakap kau dia tu antara lelaki yang pernah tackle aku
atas kapal terbang, kan?” Fiqa sudah menghulurkan sebelah
tangannya kepada Dhia yang sedang berbaring di atas sofa.
“Takde. Mak dan ayah aku tak bagi apa-apa. Nama tu
aje yang aku tahu pun,” beritahu Dhia.
Fiqa terus terbangun dari sandarnya.
“Tak ada??? Betul ni? Tak sembunyi daripada aku,
kan?”
Dhia pantas menganggukkan kepalanya. Fiqa pula
menjuihkan mulut. Kecewa dia kerana tidak dapat melihat
wajah bakal tunang sahabat baiknya itu.
“Kalau ada, dah lama tau aku bagi kau tengok. Bukan
setakat tengok aje, nak belek, kira taik lalat atau tatap untuk
buat tidur pun aku kasilah,” kata Dhia.
“Jadi, kau memang reda la ni soal rupa dia?” tanya
Fiqa.
“Yang penting sihat sejahtera, sempurna fizikal
dan akal serta sedap hati aku merasa,” jawab Dhia yang
sememangnya sudah pasrah.
“Hati merasa?” Fiqa tidak faham.
“Buat apa kalau muka handsome, tapi nanti
menyakitkan hati,” jelas Dhia.
“Kau perli aku ek?” soal Fiqa. Buah ditokak kasar.
“Terasa ke, Cik Fiqa? Kalau ya, silakanlah ambil.”
Dhia menahan ketawa. Suka dia dapat mengenakan Fiqa.
Fiqa tu, kalau boleh nak cari teman lelaki, semua nak yang
handsome dan poket tebal saja. Lastnya tak kekal lama. Asyik
bertekak.
“Latar belakang keluarga dia, status, pekerjaan, dan
apa-apa ajelah. Kau ada ambil tahu?” tanya Fiqa lagi. Sudah
seperti penyiasat dia malam ini.
“Tak perlulah. Lagipun, aku yakin keluarga dia
baik-baik belaka, memandangkan ayah aku kenal dengan ayah
dia. Pasal kerja... setahu aku, dia uruskan bisnes keluarga and
for your information, dia jugak pernah berkahwin sebelum
ni,” cerita Dhia.
“Bermakna dia tu...” Fiqa tidak berani meneruskan
kata-katanya.
Dhia menoleh. Dia tahu apa yang mahu dikatakan
oleh Fiqa.
“Yup!”
Fiqa menekup mulut. Matanya dibulatkan.
“O-M-G! Dan kau langsung tak kisah?” tanya Fiqa
seolah-olah status lelaki itu merupakan satu dosa besar.
Dhia menggelengkan kepala.
“Tak. Janji dia bukan suami orang,” balas Dhia lalu
mengukir sebaris senyuman.
Beberapa saat mereka diam. Fiqa bersuara lagi.
“Spesies apa kau ni? Ya Allah... ini yang buat aku
semakin curiga. Sebenarnya, kau ni dipaksa kahwin ke apa?
Cuba kau berterus terang dengan aku sekarang?”
“Takde siapa yang berani paksa akulah. Kau kan
kenal yang aku ni tak suka dipaksa. Apa aku buat, semuanya
atas kerelaan hati aku sendiri. Kalau aku tak suka, memang
aku akan terus cakap yang aku tak suka,” terang Dhia.
Fiqa mengangguk. Betul juga apa yang dikatakan
oleh Dhia.
“Okey, boleh diterima. Tapi, mesti ada sebab kukuh
buat kau setuju. Ini melibatkan masa depan kau kut. Sekali
kau masuk, kau dah tak boleh keluar. Jujur ek? Kau terdesak
nak kahwin ke?” Fiqa menuduh.
Dhia menggosok dagunya.
“Erm, terdesak ek? Cakap pasal tu, aku pun pernah
terfikir sama macam kau. Tapi, rasanya tak mungkin kut.”
“Aku pun rasa tak mungkin. Yalah, kau dengan aku
sebaya. Kita pun tak pernah kalut nak cari pasangan untuk
kahwin walaupun ramai kawan-kawan kita yang dah kahwin.”
Fiqa turut menyokong.
“Kan? Betul-betul!” Dhia laju mengangguk. Selepas
itu mereka saling berpandangan. Betul ke mereka masih
berada dalam golongan wanita yang tidak terdesak?
“Tak mungkin...” nafi kedua-duanya serentak. Kepala
mereka digeleng-gelengkan. Tidak! Mereka tidak terdesak.
Jodoh itu kan di tangan Allah.
“Tak mungkin,” kata Dhia kepada Fiqa. Kedua-dua
mereka ketawa. Kedengaran seolah-olah hanya mahu
menyedapkan hati.
“Ya, tak mungkin. Confirm!” Fiqa tersenyum dalam
keterpaksaan. Betul ke ek? Argh!!! Sudah-sudah... jangan
fikir.

No comments:

Post a Comment