Tuesday, 28 June 2016

Akad Kedua - Bab 13

KHUZ meninggalkan kerjanya dan melangkah
menuju ke pintu. Sebaik pintu dibuka, Khuz melihat Irsyad
sedang bersandar pada dinding luar sambil bermain dengan
kunci kereta di jari telunjuknya.
“Telefon. Mesej. Takkan itu pun masih tak cukup?
Dari UK aku dengar kau seru-seru memanggil nama aku.
Syad, Syad... baliklah.” Gaya Irsyad seolah-olah sedang
merayu kepada seseorang.
Khuz tersenyum sendiri.
“Apa yang kau merepek malam-malam buta ni hah?
Masuklah,” ajak Khuz lalu berjalan menuju ke ruang tamu.
Irsyad segera menoleh. Dilihat Khuz sudah tiada.
Cepat-cepat dia menanggalkan kasut dan masuk ke dalam.
“Kau ni… teruk betullah. Bukannya nak sambut
aku. Boleh blah macam tu aje,” ngomel Irsyad, sedih.
“Aku tolong bukakan pintu dan jemput kau masuk
ni pun dah besar rahmat, tau? Takkan nak aku hampar
karpet merah untuk kau kut?” bidas Khuz yang sedang
fokus menghadap laptopnya. Dia seperti tidak kisah dengan
kedatangan Irsyad.
“Takdelah sampai tahap tu. At least, kau peluklah
aku. Hah! Lagi bagus kalau kau cium pipi aku ni,” balas
Irsyad yang duduk di sofa. Dipandang saja Khuz yang tidak
mengendahkannya.
“Daripada aku peluk dan cium kau, lebih baik aku
peluk dan cium laptop aku ni,” ujar Khuz masih tidak mahu
mengalah.
Irsyad tidak membalas. Suasana tiba-tiba menyepi.
Hanya kedengaran suara dari televisyen. Khuz bangun dari
duduknya.
“Aduh, lenguhnya belakang aku ni.” Badannya
dibengkokkan sedikit ke belakang.
Irsyad buat tidak tahu. Matanya ditumpukan ke
kaca televisyen. Dilihat Irsyad yang sedang ralit itu, terus
Khuz menjatuhkan badannya yang berketul-ketul itu ke atas
Irsyad. Irsyad yang terkejut mengaduh, sakit dihempap oleh
badan Khuz.
“Ambil kau! Apasal kau balik tak beritahu aku?”
tanya Khuz yang masih menimpa Irsyad.
“Kalau semua benda aku beritahu kau, alamatnya
dah takde surpriselah sekarang,” jawab Irsyad. Tersekat-sekat
suaranya kerana menahan nafas.
“Huh! Surprise konon…” Khuz bangun. Begitu juga
dengan Irsyad. Mereka berdua bersalaman dan melagakan
bahu sesama mereka.
Kini kedua-duanya sudah tersenyum lebar. Sebentar
tadi tu hanyalah lakonan yang sering mereka lakukan.
“Kau duduk dulu, aku pergi buat air sekejap.
Nescafe?” tanya Khuz.
“Rumah kau... itu aje yang ada, kan? Aku ada pilihan
ke? Macam biasa. Kurang manis dalam minuman, lebihkan
manis dalam senyuman.” Irsyad mengukir senyum.
“Apa kau ingat ni kedai mamak?” Khuz mengangkat
sebelah keningnya lalu melangkah ke ruang dapur yang tidak
jauh dari ruang tamu.
“Kali ni, berapa lama kau kat sini?” soal Khuz sambil
mencapai dua biji mug dan diletakkan di atas meja.
“Seminggu… mungkin,” balas Irsyad yang sedang
menonton televisyen.
“Mungkin? Macam cepat-cepat nak lari balik aje.
Kalau dikira la kan, dalam tahun ni, boleh kata baru sekali
kau balik sini. Apa seronok sangat ke hidup kau kat sana tu?”
tanya Khuz lagi. Dua mug Nescafe dibawa dan satu diberikan
kepada Irsyad.
“Mmm... seronoklah jugak. Tapi, tak seseronok
hidup kat sini. Ada keluarga, ada kau teman sepermainan
aku. Nak buat macam mana, dah terpaksa.” 'Demi mengubati
hati yang lara...' Ayat terakhirnya itu hanya dia sahaja mampu
mendengarnya. 'Mengubat hati yang lara. Yes, that’s it!'
Irsyad merasa sedikit air Nescafe panas yang
dibancuh oleh Khuz itu.
“Dah tahu kat sana tak seronok, jadi tak reti-reti
lagi ke nak balik sini terus? Ambil alih Citra Holdings. Aku
ni bukan apa, aku kesian tengok mama kau tu. Sebaiknya,
dia dah berhenti daripada memikirkan hal syarikat. Duduk
rumah, rehat-rehat. Tanam pokok bunga ke?” ujar Khuz.
“Aku tak ready lagilah. Aku rasa, lebih baik adik aku
yang dua orang tu aje yang take over,” balas Irsyad. Dia tidak
berminat menguruskan syarikat keluarganya itu.
“Not ready or not interested?” Khuz mencari
kepastian.
“Both,” Irsyad membalas.
“Kau kan tahu yang aku sayangkan karier aku
sebagai peguam? Tak mudahlah untuk tinggalkan kerja aku
dan jadi seorang corporate man macam kau. Aku tak minat.
Serius!” jelas Irsyad pula.
“Yalah. Kau takpelah... masih ada adik-beradik lain
yang boleh mama kau harapkan. Tapi, aku? Langsung tak ada
sesiapa yang abi aku boleh harapkan,” ujar Khuz.
Irsyad meletakkan mug di atas meja dan memandang
Khuz.
“So, apa perkembangan kau sekarang?” Giliran
Irsyad pula menanyakan soalan.
Khuz mengangkat bahu.
“Macam biasa. Takde apa yang berkembang. Eh,
sekejap… ada-ada... syarikat aku adalah berkembang sikit.
Bulan lepas, aku dapat tender besar dan Citra Holdings pun
terlibat sama tau dalam tender tu.”
Irsyad tersenyum sinis mendengar jawapan Khuz.
Sabar sajalah!
“Aduh, bro... bukan perkembangan tu maksud aku.
Ee, bosanlah aku tengok hidup kau ni. Macam takde life.
Siang kerja, malam kerja dan aku rasa waktu kau tak bekerja
mesti masa kau tidur aje, kan?”
“Dah tu, apa lagi yang aku nak buat?” tanya Khuz
kembali. Sememangnya itu saja yang boleh dia lakukan.
“Enjoy the life la. Pergi bercuti ke, parti ke atau apa
saja yang boleh menggembirakan. Streslah aku tengok kau
ni.”
“Buang masa ajelah semua tu,” balas Khuz.
Sungguh dia tidak berminat dan menganggap semua itu
tidak mendatangkan apa-apa kepada dirinya.
“Bukannya hari-hari aku nak suruh kau enjoy. At
least sekali-sekala bagi otak kau tu rehat sikit. Patutlah Daliya
tu bosan hidup dengan kau,” kata Irsyad membuatkan Khuz
sedikit tersentap mendengarnya.
“Wait! Nama tu kau jangan nak sebut kat sini.” Khuz
memberi amaran. Sakit pula hatinya apabila mengingati
kisah hidupnya dengan wanita itu. Automatik moodnya jadi
spoil.
“Ops! Sorry. Aku terlupa pulak yang kau sekarang ni
dah alergi dengar nama tu,” kata Irsyad. Dalam hati, memang
dia sengaja mahu mengingatkan semula Khuz tentang
Daliya. Sejak awal dia sudah tahu, Khuz memang tidak layak
untuk wanita seperti Daliya. Wanita yang hanya tahu definisi
kebebasan dan keseronokan.
“DIA TU macam mana?” tanya Saiful yang juga duduk di atas
bonet depan kereta sambil makan burger.
“Macam mana apa?” soal Dhia yang tidak faham
maksud sebenar soalan yang diberikan oleh Saiful.
“Maksud aku, perangai dia baik atau tidak?” jelas
Saiful dengan makanan penuh dalam mulutnya.
Dhia mengangkat bahu.
“Entah… baiklah kut. Itu aje aku boleh cakap. Apa
kau ingat mak dengan ayah aku suka menantu yang jahat
ke?” soalnya, lalu membuka mulut luas untuk memakan
burger ayam double special yang sedang dipegang oleh kedua
belah tangannya.
“Kau jangan main kut-kut aje Dhia. Menyesal
seumur hidup kau nanti, baru kau tahu.” Balas Saiful yang
tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.
Dhia memandang Saiful yang duduk di sebelahnya.
“Aku tak tahulah. Aku sendiri tak kenal siapa dia.
Kau janganlah nak menyoal aku macam Fiqa. Penatlah jawab
benda yang sama berulang kali. Ingatkan bila cerita kat kau,
bolehlah dapat sokongan sikit. Ini tidak. Doa yang tak baik
pulak,” gerutu Dhia.
“Aku cuma nak ingatkan aje,” kata Saiful. Burgernya
sudah habis dimakan. Plastik burger yang sudah direnyukkan
itu disimpan dalam genggaman. Dirinya seolah-olah resahkan
sesuatu. Dia memandang wajah Dhia.
“Betul ni kau nak bertunang?” soal Saiful, entah
untuk ke berapa kali.
Tajam Dhia membalas pandangan Saiful.
“Ee, betullah! Kau ni… berapa kali nak tanya?
Penatlah aku jawab.” Marah Dhia. Menyampah pula mahu
memberikan jawapan yang sama. Dari tadi, itu ajelah yang
ditanya oleh Saiful. Naik lelah dia dibuatnya.
Saiful bangun dan berdiri di hadapan Dhia.
“Tak lah... aku masih tak percaya ni. Jangan-jangan
aku tengah mimpi negeri.” Sebetulnya dia tidak mahu
percaya bahawa Dhia akan bertunang dengan lelaki lain. Dia
seolah-olah seperti kehilangan Dhia daripada hidupnya.
“Mimpi ngeri ya? Hah, kau tunggu sekejap.” Dompet
diambil dan dipukulnya bahu Saiful.
“Aduh!” Saiful menggosok laju bahunya yang terasa
pedih. Agak kuat pukulan itu.
“Sekarang mimpi ngeri lagi tak?” tanya Dhia.
“Kau tu yang ngeri. Susah aku nak percaya kau
terima untuk bertunang dengan mamat yang entah siapa
tu. Dulu aku pinang kau, kau tolak. Padahal kita rapat kut.
Unbelievable betullah!” Saiful masih tidak dapat menerima
kenyataan.
“Itu cerita dulu. Sekarang cerita lain. Please jangan
nak mengungkit. Tak baik. Lagipun, inilah yang dikatakan
jodoh,” nasihat Dhia. Namun, dalam hatinya timbul sedikit
rasa bersalah.
“Tapi, kau tak kenal dia Dhia. Apa kata biar aku
jumpa dengan mamat tu dulu? Nak? Nanti boleh aku siasat
pasal dia.”
“Epol... tolonglah jangan nak cari pasal. Apa pun,
aku memang dah tak boleh tarik balik keputusan aku. Aku
minta, kau tolong doakan yang baik-baik aje untuk aku.
Boleh, kan?” pinta Dhia.
Tidak mungkin dia membatalkan majlis pertunangan
yang akan berlangsung pada minggu hadapan. Pasti kedua
ibu bapanya sudah membuat persediaan. Ternyata, merekalah
insan yang paling bahagia menerima kata setuju daripadanya.
“Always, Dhia. Doa aku sentiasa mengikut langkah
kau,” balas Saiful. Kini dia berdiri bercekak pinggang di
hadapan Dhia.
“Kau serius nak kahwin dengan lelaki yang kau tak
kenal tu?”
“J-O-D-O-H.” Dhia mengeja. “Jodoh dan aku percaya
ini adalah jodoh yang telah ditakdirkan untuk aku. Kau
dengan Nadia dan aku dengan Hasbi Khuzairy. So, please
jangan nak persoalkan lagi.”
Saiful terdiam. Dia berfikir sejenak. Mungkin benar
apa yang dikatakan oleh Dhia. Jodoh. Tapi, kenapa jodoh ini
sangat menyakitkan?
“Jomlah, aku hantar kau balik?” ajak Saiful yang
sudah berjalan dan membuka pintu kereta.
“Dah nak balik ke?” soal Dhia yang masih tidak
puas melepak sambil menikmati burger panas di seberang
jalan gerai burger. Sungguh meriah keadaan di situ dengan
anak muda yang menonton perlawanan bola sepak melalui
skrin putih yang dipaparkan. Pandai betul mereka menarik
pelanggan.
“Kau nak duduk sini sampai esok pagi ke? Okey,
aku balik dulu.” Saiful sudah masuk ke dalam kereta. Enjin
dihidupkan membuatkan bonet hadapan kereta Vios itu
sedikit bergegar.
Dhia terus meloncat turun.
'Dia ni memang betul-betul nekad nak tinggalkan
aku ke? Mana boleh! Malam-malam macam ni, takutlah aku
nak naik teksi.'
“Eh, tunggu!” jerit Dhia. Cepat-cepat dia membuka
pintu kereta.

No comments:

Post a Comment