Tuesday, 28 June 2016

Aku Dan 1B3K - Bab 7

KETIKA aku balik dari surau, Bos 1B3K masih
berbual dengan Cik Azira, tapi di luar bilik bos, betul-betul di
hadapan meja kerja aku. Ya Rabbi, belum habis lagi berborak?
Ini hendak berurus niaga atau berurus cinta?
“Saya balik dululah Encik Rifqi. Terima kasih kerana
beli peluang kepada syarikat saya. Nanti saya akan hantarkan
proposal dan quotation baru as per your requirement.” Azira
bercakap dengan lemah gemalai. Wajahnya dimaniskan.
Tengok gaya dia, macam hendak menggoda saja.
Bos senyum. Wah, banyak pahala dia dapat hari ni
sebab banyak sedekahkan senyuman.
Azira ucapkan selamat tinggal kepada aku dengan
senyuman yang masih meleret di wajahnya. Kemudian dia
berjalan melenggang-lenggok meninggalkan kami. Aku
nampak mata bos melekat pada tubuh Azira sampailah
kelibat dia menghilang di sebalik pintu kaca. Eloklah tu, yang
perempuan menggoda dan yang lelaki nampak macam sudah
tergoda.
“Kau pergi mana hah, lama kau hilang?” Bos soal
aku dengan suara yang agak keras nadanya. Wajah bos sudah
tidak manis lagi.
“Solat.” Aku jawab sepatah. Aku tinggalkan dia dan
masuk ke dalam biliknya untuk mengutip fail-fail.
“Aku nak keluar sekejap. Kau jangan balik dulu. Aku
ada kerja sikit nak buat.” Dia bercakap dan terus keluar dari
bilik. Hah! Kerja apa lagi? Sudah hampir pukul dua petang
dan dia masih hendak bekerja? Kalau dia tak buang tabiat,
aku rasa dia sudah biul. Mungkin aku kena tukar daripada
1B3K kepada 2B3K. Kena ada dua B sebab bos bengkeng ini
sudah biul.
“Bos!” Aku laung sambil cepat-cepat keluar dari bilik
dia. Dia berhenti dan berpaling.
“Saya tak boleh tunggu. Saya ada hal. Saya nak balik
sekarang.”
“Hal apa?” Bos bertanya sambil memandang aku
dengan renungan tajam dan mencekak pinggang. Suka
sangat cekak pinggang. Ingat aku takut ke?
“Saya ada date. Pukul tiga. Jadi saya kena balik
sekarang.”
“Cancel your date. Bagi tahu boyfriend kau yang kau
kena kerja hari ni.”
“Tak boleh. Boyfriend saya tahu saya tak kerja hari
Sabtu.”
“Then tell him from today onwards, kau kena kerja
setiap hari Sabtu.”
“Tak nak. Bos tak boleh arahkan saya macam tu.
Polisi syarikat kita waktu pejabat ialah Isnin hingga Jumaat,
lapan setengah pagi sampai lima setengah petang. Kita
dah panjangkan waktu bekerja, sebab tu kita tak kerja hari
Sabtu.” Aku bertegas. Tidak sekali-kali akan aku benarkan dia
membuli aku.
Bos 1B3K mara ke arah aku. Sekali lagi dia
mencekak pinggangnya betul-betul depan aku. Aku tahu dia
tidak suka dengan apa yang aku cakapkan tapi aku peduli apa?
Mentang-mentang dia bos, suka-suka dia suruh aku kerja
hari ni.
“Hei, tolong sedar diri sikit. Kau cakap apa tadi,
syarikat kita? Aku nak ingatkan kau, ini syarikat aku. Aku bos
dan kau pekerja. Sebagai bos, aku boleh suruh mana-mana
pekerja yang aku nak untuk datang bekerja pada hari Sabtu,
malahan Ahad sekalipun.”
Muka dia kelam. Aku tahu dia marah, tapi aku sikit
pun tak takut. Bukan kerana Datin sudah beri aku green light
untuk bantah dia kalau dia tak betul, tapi kerana aku rasa dia
sengaja hendak membuli aku. Masa di surau tadi, aku teringat
semalam dia mendengar perbualan aku dan Naani. Maknanya
dia sudah tahu program aku hari ini dan sengaja suruh aku
datang kerja untuk rosakkan program aku. Kalau ini strategi
dia supaya aku tak tahan bekerja dengan dia, dia silap besar.
Bila aku diam, dia berpaling semula dan berjalan ke
arah pintu. Aku cepat-cepat kejar dia. Apa-apa pun, aku tetap
hendak balik.
“Bos! Pernah tak bos sayangkan seseorang selain
daripada ibu bapa dan adik-beradik bos?” Aku jerit sikit
walaupun jarak aku dan dia tidak jauh supaya dia boleh
dengar dengan jelas soalan aku. Dia berhenti berjalan dan
pusingkan tubuhnya.
“Apa yang kau merepek ni?” Dahi dia berkerut.
Tangan dia naik ke pinggang.
“Kalau bos pernah menyayangi seseorang, tentu
bos faham perasaan saya. Saya tak boleh batalkan date saya.
Saya tak sampai hati nak hampakan perasaan orang yang saya
sayangi. Tolonglah bos, bagi saya balik sekarang.” Aku cakap
dengan nada suara yang paling lembut. Aku buat juga muka
minta belas ihsan. Harap-harap dapat lembutkan hati dia.
Bos diam. Lama. Dia garu dahi kanan, dekat dengan
kening. Nampak macam berfikir. Aku berdoa dalam hati dia
akan benarkan aku balik. Walaupun aku boleh bantah, tidak
wajar kalau aku tinggalkan saja pejabat. Manalah tahu dia
betul-betul ada kerja yang perlu dibuat.
“Okey,” akhirnya bos bersuara. “Kau boleh balik.”
Yes! Yes! Yes! Aku cuba sorokkan senyuman walaupun
hati sudah gumbira.
“Tapi aku nak ikut kau pergi dating.”
Errk, dia nak ikut aku? Sah dia ni biul. Mana ada
dalam dunia ini seorang bos yang ikut pekerjanya pergi
dating?
“Errm bos, emak dan abah saya pun… tak pernah
ikut saya pergi dating.” Aku cakap dengan lemah lembut juga
supaya dia tak perasan apa yang ada dalam hati aku. Kalau
along dengar aku bercakap macam ni, mesti along muntah.
Adik dia yang becok dan kecoh tiba-tiba sudah jadi ala-ala
suci.
“Aku bukan emak dan abah kau.” Bos jawab dengan
selamba sambil tayang muka kerek.
“Sekejap ya bos, saya tanya date saya.” Aku buat muka
selamba, macam tak kisah dengan syarat mengarut dia. Aku
dail nombor Nafiz. Sekejap saja dia sudah jawab panggilan
aku. Seperti sebelum-sebelum ini, terasa sesak nafas apabila
dengar suara Nafiz dalam telefon. Mana tidaknya, suara garau
dia bunyi jantan sangat.
“Nafiz, malam ni… kalau… ermm kalau… saya
bawak bos saya… boleh tak?” Tentu Nafiz di hujung talian
kehairanan kenapa aku bercakap dengan manja. Tapi dia tak
tanya apa-apa. Itulah Nafiz, tidak banyak mulut.
“Boleh. Kalau dapat, awak datang awal sikit ya?”
Nafiz menjawab.
“Insya-Allah. Betul ni awak tak kisah saya bawak
bos?” Disebabkan bos sedang pandang aku dengan riak
kehairanan, aku ulang soalan itu.
“Takpe, bawaklah.”
Aku ucapkan terima kasih dan matikan talian.
Bos masih bercekak pinggang memerhatikan aku bercakap
dengan Nafiz. Mesti dia hairan boyfriend jenis apa Nafiz ni,
tidak kisah bos kekasihnya ikut berdating. Lantaklah bos
hairan ke tidak, yang penting aku dapat balik.
Setengah jam kemudian, kami sampai ke tempat
dating pertama aku dengan menaiki kereta bos. Muka bos
berkerut. Mesti dia rasa pelik kerana di hadapan kami ada
sebuah rumah banglo setingkat yang sudah usang. Aku yakin
sangat dalam hati dia tertanya-tanya kenapa aku berdating di
tempat macam ini.
Umi Sarah menyambut kedatanganku. Kami
bersalaman dan berpelukan seperti selalu. Wajah tabah Umi
Sarah yang penuh dengan sifat keibuan sangat mendamaikan
hatiku. Sudah dua tahun aku mengenali Umi Sarah dan
semakin aku mengenalinya, semakin aku kagum dengan
ketabahan ibu berusia lima puluh lima tahun yang sentiasa
murah dengan kasih sayang.
“Umi, ini bos Fina.” Aku kenalkan bos yang
memandang aku dan Umi Sarah dengan penuh kehairanan.
Sambil tersenyum, Umi Sarah mempelawa Bos 1B3K masuk.
Aku terus melangkah masuk ke dalam rumah dan duduk di
sofa yang sudah usang. Bos duduk di sebelah aku. Seronok
pulak aku tengok wajah dia yang macam blur.
“Minggu lepas Fina tak datang, mereka bertanya.”
Kata Umi Sarah.
“Minggu lepas Fina balik kampung. Hari ni pun
nyaris tak dapat datang, bos suruh kerja.” Sengaja aku
bercakap begitu sambil mengerling ke arah bos. Mata dia
sedang merayap ke segenap ruang tamu kecil banglo. Aku
pasti dalam benaknya penuh dengan tanda tanya.
“Duduk sekejap ya. Umi ambil air. Lepas minum
nanti, kita pergi ke belakang.” Umi Sarah terus berlalu ke
belakang.
“Fina.” Bos panggil.
Aku toleh ke arahnya.
“Ini rumah boyfriend kau?”
Aku jawab dengan anggukan saja. Terasa hendak
ketawa tengok wajah bos.
Umi Sarah keluar bersama sebiji dulang berisi dua
biji cawan tidak berpiring, sepiring biskut Marie dan sebiji
teko. Bila Umi Sarah letakkan dulang di atas meja, aku terus
capai teko dan tuangkan air teh O ke dalam cawan. Aku
hulurkan kepada bos. Dia teragak-agak hendak mengambil
cawan itu.
“Jemput minum encik. Air bujang dengan biskut
kering saja.” Umi Sarah mempelawa.
Bos mengangguk dan cuba senyum. Nampak macam
tidak ikhlas saja senyuman bos.
“Air bujanglah elok umi. Tak ada susu macam ni
lagi elok. Kan susu tu manis. Biskut kering ni pun bagus.
Tak manis sangat, tak masin. Kalau yang ada krim bagai
tu, dahlah manis, ada pewarna. Fina rasa ini terbaik.” Aku
angkat ibu jari dan tunjuk kepada Umi Sarah. Sambil baca
bismillah, aku patah dua biskut Marie, celup dalam teh O dan
sumbat dalam mulut. Aku pandang Umi Sarah yang sedang
tersenyum memandang aku. Toleh pula ke arah bos. Cawan
masih dipegang, belum cecah pun ke bibir dia.
“Bos duduk sekejap ya, saya nak tukar baju.” Kataku
kepada Bos 1B3K selepas habis secawan teh.
Lima minit kemudian, apabila aku kembali ke ruang
tamu, bos tengok aku atas bawah, atas bawah. Berkerut lagi
dahi dia.
“Kenapa pakai macam ni? Kita nak pergi mana?” Bos
bertanya sambil bangun dari kerusi. Aku rasa hendak gelak
apabila tengok dia terpinga-pinga.
Aku sarung selipar dan berjalan ke belakang rumah.
Di belakang rumah, Umi Sarah ada sebuah gelanggang
badminton. Sekumpulan kanak-kanak dalam lingkungan
usia dua ke dua belas tahun sedang bermain di situ. Mak
Cik Piah dan Mak Cik Leha sedang memerhatikan mereka.
Mak Cik Piah dan Mak Cik Leha tu adik-beradik dan mereka
sepupu Umi Sarah.
Amri, budak berusia sepuluh tahun nampak aku
datang dan terus berteriak nama aku. Bila yang lain dengar
mereka semua berlari ke arah aku. Aku pun berlari-lari anak
ke arah mereka. Perasaan kami serupa, saling merindui dan
gembira dapat bertemu. Seorang demi seorang menyalami
dan mencium tangan aku. Tiba-tiba terasa seluarku ditarik.
Aku pandang ke bawah. Anak yatim yang paling kecil,
Sakinah sedang memandang aku dengan penuh harapan. Aku
bongkokkan badan dan dukung Sakinah. Aku cium pipinya
yang gebu. Dia membuat aku teringat Nur Zety Aishah,
satu-satunya anak saudara perempuan yang aku ada.
“Kak Fina, kenapa minggu lepas tak mai?” soal Huda.
Dia berusia sebelas tahun dan anak yatim yang paling tua di
sini. Ibu bapanya berasal dari Baling, Kedah. Bapanya sudah
meninggal dan ibunya bekerja di kilang. Huda menetap di
sini bersama adiknya Hamdan dan Husna.
“Sorry sayang, Kak Fina balik kampung.”
“Kak Fina, bawak coklat tak?” Lokman pula bertanya.
Kalau tidak salah, umur Lokman sembilan tahun.
“Sorry Man, Kak Fina kerja hari ni. Ni Kak Fina
datang terus dari pejabat. Tak sempat beli coklat. Lain kali
Kak Fina bawa ya?”
“Kami dah lama tak makan coklat,” kata Shuib.
Rasa bersalah menyelinap dalam hati aku. Ini semua
Bos 1B3K punya pasal. Kalau dapat keluar awal tadi, tentu
aku sempat belikan mereka coklat.
Aku paling ke belakang. Bos sedang pandang Shuib
dan kemudian pandang aku. Aku gamit dia. Bila dia sudah
berdiri di samping aku, aku serahkan Sakinah kepadanya.
Elok saja bos dukung Sakinah, tidak kekok.
“Ini bos Kak Fina. Nama dia Uncle Rifqi. Bagi salam
kat Uncle Rifqi.”
Dengan suara yang nyaring, mereka serentak
mengucapkan salam.
“Assalamualaikum Uncle Rifqi.”
Bos tidak jawab. Matanya masih tertancap pada
anak-anak yang berdiri depan kami. Dari riak wajahnya, aku
mengagak dia terpempan dengan apa yang dilihatnya.

No comments:

Post a Comment