BUNYI deringan lagu Jepun yang berkumandang
daripada iPhone menarik perhatian. Nama sepupunya Wan
Aiden terpampang di atas skrin. Tentunya panggilan daripada
sepupunya itu sering ditunggu-tunggu sejak sehari dua ini.
“Aku dah uruskan semuanya di sini. Kau di sana
macam mana pulak? Dah bersedia untuk kahwin lari bergantiganti?”
Seloroh Wan Aiden di hujung talian. Gelak kecilnya
jelas kedengaran di cuping telinga Wadi Ridhuan.
“Aku dah sedia. Cuma ambil masa sehari saja lagi untuk
ke sana sebab aku nak uruskan permohonan passport untuk
bakal isteri aku tu. Dia masih belum ada passport,” jawabnya.
“Baguslah kalau macam tu. Takkan dia nak masuk
ke sini sebagai pendatang haram pulak, kan?” Wan Aiden
berseloroh lagi di hujung talian.
Wadi Ridhuan mencemik. Dalam keadaan dia yang
sedang terdesak begini pun, sempat lagi sepupunya itu mahu
bergurau.
“Berapa bayarannya? Nanti bila aku dah sampai sana,
aku bayar balik pada kau.”
“Kau tak perlu tanya soal bayaranlah. Murah aje. Cuma
RM1000 saja. Tak perlulah kau nak bayar balik. Anggap sajalah
itu hadiah perkahwinan daripada aku untuk kau.”
“RM1000 saja? Murahnya!” Sepasang matanya
terbuntang luas. Tidak menyangka, bayaran untuk bernikah di
Thailand begitu murah kedengaran.
“Ya, RM1000 saja. Itu harga pakej perkahwinan yang
disediakan untuk pasangan yang nak kahwin lari macam kau
tu.”
“Pakej perkahwinan apa pulak ni? Aku tak suruh
pun kau beli pakej perkahwinan. Aku cuma suruh kau tolong
uruskan apa yang patut aje.”
“Laaa... kau ni memang tak tahu apa-apa, kan? Macam
katak bawah tempurung,” gelak Wan Aiden.
“Manalah aku tahu. Aku bukannya pernah kahwin lari
sebelum ni,” balas Wadi Ridhuan pula.
“Relaxlah... soal pakej perkahwinan tu bukannya ada
apa sangat pun. Bila aku sebut saja tentang pakej perkahwinan,
kau ingat majlis kahwin besar-besaran ke?”
“Yelah... dah kau sebut pakej perkahwinan. Aku dengar
pun macam majlis kahwin besar-besaran. Mahunya ibu dan
ayah aku tahu ni, mati aku,” rumus Wadi Ridhuan dengan
telahannya.
“Bayaran RM1000 yang aku bayarkan untuk kau tu
termasuk semua benda yang mereka akan sediakan nanti.
Bayar untuk jurunikah, bayar kepada saksi-saksi, bayar untuk
keluarkan surat nikah dan ada lagilah benda-benda yang aku
tak ingat. Haaa... lepas tu mereka akan bawa kau dengan bakal
isteri kau tu pergi bersiar-siar di sekitar bandar Songkla, bawa
pergi makan-makan. Bayaran RM1000 tu jugak termasuk sekali
dengan bayaran hotel untuk kau dan isteri kau tu nanti nak
bermalam. Kira macam honeymoon la. Tapi hotel 3 bintang
sajalah. Kalau kau nak bermalam di hotel 5 bintang yang
selalu kau menginap bila kau pergi bercuti, itu kau usahakan
sendirilah,” Wan Aiden memberi keterangan panjang lebar.
“Apa kelas aku nak honeymoon di sana? Kalau aku nak
honeymoon sekalipun, aku nak bawa isteri aku pergi ke tempat
lain la.”
“Eleh, berlagak betul kau ni. Honeymoon di sini tak
ada kelas, ye? Kau terdesak nak kahwin lari, di sini jugak tempat
yang kau cari,” bebel Wan Aiden.
“Aku bergurau sajalah,” Wadi Ridhuan memecahkan
hilai tawanya dan disahut pula oleh Wan Aiden di hujung talian.
“Hah, nanti jangan lupa bawa videocam,” Wan Aiden
mengingatkan. Nada suara Wan Aiden di hujung talian itu
kembali serius.
“Aku pergi nak menikah. Bukannya nak pergi rakam
video,” sanggah Wadi Ridhuan pula.
“Apalah kau ni. Kau ingat bila bawa videocam tu untuk
rakam video kenang-kenangan je? Benda tu penting tau untuk
upacara akad nikah kau tu nanti.”
“Apa maksud kau ni, Wan? Bunyi macam serius saja?”
“Macam ni, kalaulah nanti bila kau balik ke Malaysia
semula dan berlaku apa-apa hal yang kau sendiri tak boleh nak
jangka. Contohnya macam kau kena tangkap khalwat dengan
isteri kau sendiri. Yelah, dah nama pun kahwin lari dan tak ada
seorang pun saudara-mara kita di Malaysia tu yang tahu kau
dah pun berkahwin. Jadi, bila selalu sangat kau berdua-duaan
dengan isteri kau tu nanti, akan timbul syak wasangka orang la
pulak, kan? Last-last kena tangkap. Manalah tahu. Jadi, dengan
adanya rakaman video upacara akad nikah tu nanti sekurangkurangnya
boleh dijadikan bukti kukuh menunjukkan yang
kau sudah berkahwin selain daripada bukti surat nikah,” terang
Wan Aiden.
“Kepala otak kau tu memang bergeligalah, Wan. Dah
lama kau buat kerja macam ni?” Wadi Ridhuan berseloroh.
“Kerja apa?” Soal Wan Aiden pula dengan nada suara
yang lurus bendul. Dia yang berada di hujung talian itu tidak
tahu bahawa Wadi Ridhuan hanya bergurau.
“Kerja jadi tukang urus kalau ada pasangan yang nak
kahwin lari. Sejak bila kau tukar kerjaya ni? Setahu aku, kerjaya
kau sebagai pentadbir cawangan kilang pakaian keluarga kita
di sana tu aje,” Wadi Ridhuan tergelak besar sambil tangannya
menepuk meja kecil yang berada di hadapannya berulang kali.
“Aku tengah serius ni, kau boleh pulak main-main, ye?”
Nada serius Wan Aiden di hujung talian itu menghentikan gelak
tawa yang sedang pecah sekaligus Wadi Ridhuan membetulkan
kedudukannya.
“Okey, okey... macam ni. Aku pinjam videocam kau
dululah sebab aku memang tak bawa videocam sekarang ni.
Aku tak tahu pulak videocam tu penting dalam keadaan begini.
Kalau aku tahu, dari awal-awal lagi aku akan bawa. Sekarang
ni aku ada di hotel. Takkanlah aku nak balik ke rumah pulak
semata-mata nak ambil videocam tu. Nanti tak pasal-pasal ibu
dan ayah aku syak apa-apa pulak.”
“Kau kat hotel ke sekarang? Bakal isteri kau tu ada
sekali ke?”
“Eh, kau dah gila ke? Takkan aku nak bawa dia tidur
di sini pulak. Dia ada di rumah nenek dialah. Tak jauh pun dari
hotel ni. Cuma aku aje yang tak dibenarkan bermalam di rumah
nenek dia tu. Kau faham-faham dahlah,” jelasnya sebelum
menamatkan perbualan di talian.
Kemudian, dia berbaring untuk melelapkan mata.
Esok pagi dia mesti bangun awal untuk membawa Farha ke
pejabat imigresen, membuat passport untuk gadis itu.
SELESAI urusan di pejabat imigresen, mereka menuju ke
tempat parkir kereta. Pintu kereta dibukakannya untuk Farha
sambil melemparkan senyuman mesra buat gadis itu tetapi
senyumannya itu tidak pula bersambut.
Entah kenapa reaksi wajah Farha mencuka sahaja.
Apakah gadis itu menyesal dengan keputusan yang sudah
dibuat? Wadi Ridhuan mengusap kening.
“Passport Farha dah siap. Cuba tengok ni,” dia
menunjukkan helaian pertama passport itu kepada Farha tetapi
gadis itu tidak memberi perhatian seolah-olah fikirannya tidak
berada di situ. Seperti melayang entah ke mana.
“Farha nak simpan sendiri ke atau nak suruh abang
yang tolong simpankan untuk Farha? Sebab abang tengok
Farha ni handbag pun tak ada,” dia cuba membawa Farha
ke alam nyata supaya gadis itu memberi perhatian terhadap
perkara yang sedang dibualkannya.
Farha menoleh, memandang ke arah Wadi Ridhuan
seraya berkata, “Encik Wadi tolong simpan. Memang betul
saya tak ada beg tangan. Yang ada pun cuma beg duit kecil ni
aje,” Farha mengangkat dompet kecil usang miliknya. Memang
benar dompet itu terlalu kecil. Hanya muat untuk diisi duit
syiling dan beberapa helai duit kertas sahaja.
Apabila melihat dompet kecil yang sudah usang itu,
Wadi Ridhuan menggeleng lalu membalas, “Lepas ni kita
pergi ke Billion, ye? Kita beli handbag dan pakaian baru untuk
Farha.”
“Manalah saya ada duit, Encik Wadi. Gaji daripada
Datin pun tak sempat saya dapat sebab belum cukup hujung
bulan lagi,” balasnya perlahan seraya menunduk. Kedua-dua
tangan pula diramas perlahan mengenangkan dirinya yang
tidak mampu untuk membeli beg tangan dan pakaian baru buat
masa terdekat ini.
“Dah nak jadi isteri abang ni, biarlah abang yang
belikan semuanya untuk Farha,” balas Wadi Ridhuan pula
sambil tangannya memulas kunci kereta untuk menghidupkan
enjin.
“Tak apalah, Encik Wadi. Saya tak nak susahkan Encik
Wadi lagi. Dahlah Encik Wadi sanggup nak kahwin dengan
saya, nak berhabis duit untuk saya pulak. Tak perlulah semua
tu. Encik Wadi nak bertanggungjawab pada bayi yang saya
kandungkan sekarang ni pun, saya rasa dah bersyukur sangat.
Terima kasih.”
“Dah anak abang, kan? Mestilah abang yang kena
bertanggungjawab.” Balasnya perlahan seakan berbisik sambil
melirik jelingan mesra untuk Farha. Perkataan ‘anak abang’
sengaja pula ditekankan supaya Farha tidak lupa.
Farha terdiam terus. Tiada lagi modal untuk dia
membalas kata. Apa yang terluah oleh Wadi Ridhuan itu adalah
kenyataan. Apa lagi alasan untuk dia menyangkal dakwaan itu?
Akhirnya dia membuang pandang ke luar.
WADI RIDHUAN membawa Farha menjelajah hampir
keseluruhan pusat membeli belah Billion itu. Berhelai-helai
pakaian, berpasang-pasang kasut bertumit rendah dan beberapa
pasang selipar cantik dibelikannya untuk Farha.
Pada awalnya Farha menolak tetapi akhirnya dia
terpaksa akur kerana tidak tahan melayan kerenah Wadi
Ridhuan yang berkeras mahu berbelanja untuknya. Sudahlah
dia kurang sihat akibat morning sickness yang dihadapinya,
ditambah lagi dengan rasa sengal-sengal pada bahagian tapak
kaki dan betis akibat terlalu banyak berjalan.
“Lepas ni kita beli handbag pulak, ye? Nanti senang
Farha nak simpan passport dan barang penting yang lain.”
Belum pun sempat Farha membantah cadangan
itu, langkah Wadi Ridhuan terlebih dahulu dipanjangkan.
Mahu tidak mahu Farha terpaksa mengekorinya juga sambil
mengeluh berat melepaskan lelah barang sesaat dua.
Air liur diteguk laju. Bebola matanya membesar dan
mengecil silih berganti. Tanda-tanda harga yang terdapat
pada beg-beg tangan yang berjenama itu hampir-hampir
membuatkan dia mahu terputus nyawa!
“Err... tak ada yang lebih murah ke Encik Wadi?”
Soalnya tanpa berselindung. Sungguh! Belum pernah lagi dia
melihat harga-harga beg tangan semahal itu. Dompet kecil yang
berada di tangannya pun cuma berharga RM5 yang dibelinya
di pasar malam sejak dua tahun yang lalu. Itupun, dibelinya
apabila dia mendapat gaji pertama.
Wadi Ridhuan tersengih lucu. Soalan daripada gadis
itu membuatkan hatinya seperti digeletek.
“Abang rasa beg tangan yang ini paling murah. Cuba
tengok harganya, RM899. Farha nak yang ini?” Soalnya.
RM899 itu paling murah? Sudah tidak betul agaknya
kepala otak Encik Wadi ini. Kutuk Farha dalam hati. Kemudian,
lekas-lekas dia menggeleng.
“Tak nak yang ini?” Wadi Ridhuan menyoal sambil
memegang beg tangan yang berharga RM899 itu. Soalannya
hanya dibalas dengan gelengan sahaja daripada Farha.
“Kalau yang ini, nak?” Dia memegang pula pada
beg tangan berjenama lain. Kali ini harganya lebih mahal
daripada beg tangan yang berharga RM899 tadi. Lagi sekali
pertanyaannya disambut dengan hanya gelengan daripada gadis
itu. Wadi Ridhuan mati akal. Kepala yang tidak gatal digarunya
sebentar.
“Kalau yang itu tak nak, yang ini pun tak nak. Habis
tu, yang ini nak?” Dia memuncungkan bibir seolah-olah mahu
mengucup sesuatu. Sengaja pula dia mendekatkan bibirnya itu
ke arah Farha tetapi lekas-lekas pula Farha menolak muka Wadi
Ridhuan ke tepi.
Farha mengecilkan mata. Tidak suka apabila Wadi
Ridhuan berbuat begitu. Dia menarik wajah mencuka tetapi
Wadi Ridhuan pula tertawa senang hati. Tercuit hati lelakinya
saat itu apabila ternampak kedua-dua pipi Farha sudah bertukar
warna.
No comments:
Post a Comment