Wednesday, 29 June 2016

Bahagia Dalam Rahsia - Bab 12

PULANG dari Songkhla, Wadi Ridhuan terpaksa
memberhentikan keretanya di sebuah perhentian bas yang
terletak tidak jauh dari rumah.
“Abang terpaksa tinggalkan Far di sini. Nanti Far balik
rumah dengan bas atau teksi, ya?” Farha mengangguk tanpa
banyak bertanya. Dia faham kenapa.
Wadi Ridhuan segera keluar dari perut kereta.
Lambat-lambat dia mahu membukakan pintu kereta untuk
Farha. Hatinya tidak senang mahu meninggalkan Farha di
situ seorang diri tetapi dia tidak ada pilihan. Dia terpaksa akur
dengan keadaan.
“Ni abang bagi duit sikit untuk Far.”
“Duit yang abang bagi semalam tu ada lagi. Far tak
guna pun,” tangan Wadi Ridhuan disentuh lembut seraya
menolak tangan yang sedang menghulurkan beberapa helai
wang kertas itu.
“Itu duit semalam. Ini pulak duit untuk hari ni.
Far simpan ajelah,” ujarnya sambil menghulurkan wang itu
kembali.
“Terima kasih abang,” ucap Farha lembut. Tiada
gunanya dia menolak segala pemberian daripada suami sendiri.
“Abang akan tunggu di sini selagi Far belum dapat bas
atau teksi,” Wadi Ridhuan melabuhkan duduk. Tangan Farha
ditarik supaya si isteri turut sama duduk di sebelah.
“Keadaan kita begitu rumit, kan abang?” Soalnya
perlahan. Dia mendongak memandang pada seraut wajah
suaminya dari sebelah sisi.
“Ya, rumit. Tapi di sebalik kerumitan ni, ada manisnya,”
balas Wadi Ridhuan pula seraya menoleh. Segaris senyuman
mesra dihadiahkan buat isteri tercinta.
“Ada manisnya?” Farha berkerut dahi. Tidak faham apa
maksud yang cuba disampaikan oleh Wadi Ridhuan kepadanya.
“Sebenarnya, kita ni bercinta selepas kahwin. Far tentu
faham macam mana rasanya, kan? Cuba Far beritahu abang,
apa yang Far rasa sekarang?”
Sebuah senyuman mula dihadiahkan. Farha tahu apa
jawapan yang mahu diberikan. Lalu dia pun berkata, “Far nak
abang ada dengan Far selalu. Far tak mahu berada jauh daripada
abang walaupun sekejap. Entahlah, rasa macam... Far tak boleh
kalau tak ada dengan abang.”
“Sebab itulah abang tak nak kita tinggal berasingan.
Sekarang Far betul-betul dah faham kan kenapa kita perlu
selalu ada bersama. Sentiasa memerhati dan diperhati. Far
tengok abang, abang tengok Far. Walau cuma dari jauh pun tak
apa,” ujarnya dengan sepasang mata yang bersinar-sinar.
Ucapan ikhlas yang diluahkan suaminya itu
membuatkan Farha hampir-hampir mahu menitiskan air mata.
Naluri wanitanya benar-benar tersentuh dengan bicara semanis
itu.
“Terima kasih, abang. Terima kasih sebab sanggup
kahwin dengan Far dan sanggup pula membelakangi keluarga
abang,” Farha menunduk. Hujung jari menyeka air mata yang
sudah jatuh setitis.
“Hei, kenapa nangis ni? Kan, dah jadi tanggungjawab
abang untuk kahwin dengan Far,” pujuknya perlahan. Mahu
menarik Farha dalam pelukan, segan pula rasanya dia. Maklum
sahajalah, di tempat awam begitu. Bukankah tidak manis
dipandang orang walaupun kini Farha adalah isterinya.
“Hah, tu dia teksi dah ada,” Wadi Ridhuan segera
bingkas menuju ke kaki lima jalan raya. Teksi ditahan.
Farha lekas-lekas berdiri. Sepasang kakinya menapak
menuju ke arah teksi yang sedang berhenti. Beg pakaian yang
berada di tangan, diambil si suami. Kemudian, pintu teksi
dibukakan untuknya. Tangan si suami dikucup perlahan.
Kepalanya digosok sekali dua oleh suami tercinta. Beg pakaian
diletakkan di atas ribanya.
“Jumpa di rumah. Pastikan pintu bilik Far tak
berkunci dari dalam. Nanti senang abang nak ceroboh masuk,”
Wadi Ridhuan berbisik nakal. Satu cubitan mula singgah di
pinggangnya saat itu. Dia tersengih.
Sebaik sahaja teksi yang dinaiki Farha bergerak
lalu meluncur ke atas jalan raya, Wadi Ridhuan lekas-lekas
mengekori teksi berkenaan. Hatinya tidak senang sekiranya
Farha tidak sampai ke rumah di hadapan matanya sendiri.
Sedang dia meneruskan pemanduan untuk sampai
ke rumah, dia sempat memikirkan jalan yang terbaik untuk
berterus-terang dengan kedua ibu bapanya. Tetapi apabila
difikirkan semula, dia tidak sanggup pula menyakiti hati
kedua orang tuanya itu. Kemudian, satu keluhan berat mula
dilepaskan. Nafas ditarik semula seraya kepalanya digeleng
perlahan.
FARHA MENANGGALKAN telekung. Sejurus sahaja dia sampai
ke rumah, lekas-lekas dia menunaikan solat maghrib. Telekung
dilipat bersama sejadah lalu diletakkan di hujung katil.
Kemudian, matanya beralih ke arah jam dinding.
Jarum jam sudah menunjukkan ke angka 8 malam. Mulutnya
ternganga sedikit. Dia sudah terlambat mahu membantu Mak
Hendon untuk menghidangkan makan malam buat Dato’ Wan
Chik sekeluarga.
Terkocoh-kocoh Farha menuju ke dapur. Kelihatannya
di situ Mak Hendon sedang ligat menyusun lauk-pauk ke dalam
dulang besar untuk dibawa ke meja makan.
“Maaf, mak cik. Saya terlambat sikit.”
“Tak apalah. Lagipun Farha tentu penat. Kenapa tak
berehat di bilik aje?”
“Saya dah puas berehat, mak cik. Sekarang biarlah saya
yang tolong mak cik,” ujarnya lembut seraya menarik dulang
besar itu untuk diangkat.
Mak Hendon hanya menggeleng. Rasa kasihan melihat
keadaan diri Farha. Baru sahaja pulang dari kampung, terpaksa
pula membuat kerja. Mungkin Farha takut dimarahi Datin
Wasilah agaknya. Mak Hendon membuat telahan.
“Kenapa kamu tak beritahu ayah yang kamu nak pergi
bercuti? Suka-suka hati kamu saja buat keputusan. Kalau kamu
selalu amalkan sikap macam ni, boleh lingkup perusahaan
kita,” Dato’ Wan Chik mula hendak membebel. Dipandangnya
Wadi Ridhuan dengan tajam. Marah benar dia dengan sikap
yang ditunjukkan anak lelaki tunggalnya itu.
“Saya minta maaf, ayah. Entah kenapa hari tu saya rasa
macam malas sangat nak pergi kerja. Saya janji dengan ayah,
saya akan selesaikan kerja-kerja saya yang tergendala tu secepat
mungkin,” Wadi Ridhuan membuat janji. Saat itu juga Farha
muncul di ruang makan itu sambil membawa dulang besar di
tangan.
Wadi Ridhuan tersenyum. Terdetik dalam hati pujipujian
untuk isterinya itu. Manis dan ayu sekali wajah si isteri
dengan hanya berkain batik yang dipadankan dengan t-shirt
mengikut bentuk tubuh.
“Alah, abang ni. Biarlah sekali-sekala dia nak pergi
bercuti. Asyik terperap dalam pejabat kilang tu aje, tentu dia
pun bosan jugak,” celah Datin Wasilah dengan membela si anak.
“Hah, awak sokonglah anak bujang awak ni. Umur
dah 28 tahun tapi masih tak ada prinsip hidup. Nak pergi kerja
sesuka hati dia, nak pergi bercuti pun sesuka hati dia,” bebel
Dato’ Wan Chik lagi.
“Saya dah berubah, ayah. Percayalah, lepas ni anak
ayah akan jadi seorang manusia yang lebih bertanggungjawab.
Lagipun tak lama lagi saya bakal jadi seorang ayah,” ops! Lekaslekas
dia menutup mulut. Kata-katanya sudah jauh terlajak!
Tatkala mendengarkan bicara itu daripada suaminya,
Farha membuntangkan mata. Liur diteguk berulang kali.
Sungguh tidak ada insuran mulut suaminya itu!
“Amboi, anak ibu ni. Dah tak sabar nampaknya nak
kahwin dengan Bella ye? Siap sebut bakal nak jadi ayah lagi,”
tembak Datin Wasilah secara membuta tuli.
Wadi Ridhuan mencebik. Lain yang dia maksudkan,
lain pula yang diterima ibunya. Namun, dengan tembakan
secara rambang Datin Wasilah itu, Wadi Ridhuan boleh menarik
nafas lega apabila bicaranya yang sudah terlajak tadi, tidak
disyaki apa-apa oleh ibu dan ayahnya.
Tetapi, kata-kata yang dilontarkan Datin Wasilah itu
membuatkan Farha pula yang tidak senang hati. Nampaknya,
Datin Wasilah bersungguh-sungguh mahu menjodohkan Wadi
Ridhuan dengan Bella.
“Ni kenapa tercegat di sini lagi? Pergi masuk ke dapur.
Sibuk aje!” Bentak Datin Wasilah menghalau Farha dari situ.
Wadi Ridhuan terperanjat. Begitu kasar sekali cara
layanan ibunya terhadap Farha sejak akhir-akhir ini. Selama
dua tahun Farha bekerja di situ, belum pernah sekalipun si ibu
menengking Farha begitu.
Cuma apabila dia menyampaikan hajat mahu
memperisteri Farha tempohari, sejak dari hari itulah ibunya
sering bercakap kasar dengan Farha. Mengarah itu dan ini
tanpa ada rasa belas kasihan.
“Ibu, kenapa marah Farha macam tu? Kesian dia,”
bela Wadi Ridhuan pada si isteri yang sudah pun berlalu
meninggalkan ruang makan itu selepas dihalau.
“Kamu ni Wadi, tak habis-habis nak membela si budak
Farha tu. Dia kan cuma orang gaji aje. Mana dia ada hak berdiri
di sini semata-mata nak dengar kita berbual?”
Wadi Ridhuan menggeleng tanda tidak bersetuju.
“Walaupun dia cuma orang gaji, tapi dia tetap seorang manusia,
ibu. Seorang manusia yang punya hati, punya perasaan sama
macam kita ni. Tak boleh ke kalau ibu cakap elok-elok dengan
dia?”
“Kenapa dengan Wadi ni, hah? Asyik nak membela dia
aje? Apa, Wadi masih ada hati lagi ke dengan budak Farha tu?”
Datin Wasilah merengus kasar. Tinggi nada suaranya seolaholah
sengaja mahu didengari Farha yang mungkin sekarang ini
sedang berada di dapur.
Wadi Ridhuan tidak mahu menjawab pertanyaan itu.
Perlahan-lahan dia menolak kerusi seraya berdiri. Selera untuk
makan pada malam itu tiba-tiba sahaja terbantut.
Dia juga tidak mahu berlama-lama berada di meja
makan itu sekiranya si ibu tiba-tiba pula memarahinya. Kalau
dia berada lebih lama di situ, risau pula andai kata pertikaman
lidah akan berlaku.
“Wadi, kamu nak ke mana pulak tu?”
“Sudahlah, biarkan dia. Anak lelaki awak tu makin
lama makin berubah perangainya. Pelik saya tengok,” Dato’
Wan Chik menyampuk tiba-tiba selepas agak lama berdiam diri.
“Isy, geram betul saya ni, bang. Disebabkan budak
Farha tu, Wadi sanggup melawan cakap saya. Kalau bukan
kerana susah nak dapatkan orang gaji tempatan sekarang, dah
lama saya halau budak Farha tu!” Datin Wasilah mendengus
kuat. Pinggan nasi yang berada di hadapan, ditolaknya ke
tengah.
Sementara itu di dalam bilik sempitnya, Farha
merenung jauh ke luar tingkap. Angin malam yang menerobos
masuk melalui tingkap itu mula membuatkan kulitnya berasa
dingin lalu dia memeluk tubuhnya.
Sedang asyik dia termenung begitu, sepasang tangan
kasar mula melingkari pinggangnya. Sepantas kilat kepalanya
menoleh.
“Apa abang buat kat dalam bilik Far ni?” Kedua-dua
tangannya menolak dada Wadi Ridhuan sementara kedua-dua
tangan Wadi Ridhuan pula masih melekat di pinggangnya.
Apabila badannya ditolak Farha, kakinya turut sama bergerak
sehingga ke muka pintu.
“Eh, kenapa main tolak-tolak abang pulak ni? Kalau
ye pun nantilah dulu, sayang...” Wadi Ridhuan bersuara seraya
mematungkan diri.
“Apa abang ni? Kenapa tiba-tiba pulak abang boleh ada
di sini? Sepatutnya abang ada di meja makan. Kalau orang lain
nampak abang masuk dalam bilik Far ni, tak ke bocor rahsia
kita?” Bertalu-talu soalan yang keluar daripada mulut Farha
sementara Wadi Ridhuan pula seperti tidak mengendahkan
pertanyaan itu. Diperhatikan suaminya itu hanya berlagak
selamba dan berjalan pula ke arah katilnya.
Sejurus sahaja Wadi Ridhuan berada di atas katil
bujang itu, dia melunjurkan kedua-dua kakinya. Kepalanya
disandar dengan selesa pada bantal yang diletakkan di belakang
badan. Matanya menyinggah pada seraut wajah si isteri yang
sedang mencuka.
Lalu dia pun berkata dalam nada bergurau, “Banyaknya
soalan. Kesian abang nak kena jawab semua soalan tu.”
“Tak kisahlah banyak mana sekalipun soalan yang Far
tanya. Abang tu, tak sepatutnya ada kat dalam bilik ni,” Farha
mengecilkan mata. Kakinya melangkah ke arah katil lalu dia
melabuhkan duduknya di situ.
“Kenapa pulak abang tak boleh masuk dalam bilik ni?
Bilik Far, bilik abang jugak. Abang ni, kan suami Far.”
“Isy, abang ni. Masih tak faham-faham lagi ke? Atau
buat-buat tak faham ni?” Bentak Farha tiba-tiba.
“Sayang ni... Abang masuk sini sebab tak nak dengar
ibu membebel. Tapi bila dah masuk sini, sayang pulak yang
membebel,” balas Wadi Ridhuan dalam nada merajuk. Keduadua
tangannya diletakkan di belakang kepala.
“Jadi abang masuk ke sini sebab tak nak dengar Datin
membebellah, ye? Bukannya datang nak jumpa Far?” Soal
Farha pula diiringi nada merajuk juga.
Sebaik sahaja melihat tingkah Farha yang seakanakan
mahu merajuk dengannya, Wadi Ridhuan tersenyum lalu
berkata, “Bukanlah macam tu. Bukannya abang masuk sini
semata-mata tak nak dengar ibu membebel. Tapi abang datang
sebab nak tidur dengan Far.”
“Hah? Abang nak tidur sini? Eh, janganlah abang!”
Tiba-tiba Farha kelihatan gusar. Sepasang matanya terbuntang
luas seraya duduk menghadap secara bertentangan dengan
suaminya yang sudah pun membetulkan kedudukan dan tidak
lagi bersandar seperti tadi.
“Kenapa pulak jangan? Takkan abang nak tidur dengan
isteri abang sendiri pun tak boleh kut?”
“Bukannya tak boleh. Tapi bilik Far ni sempit. Abang
tengok katil ni ha. Mana selesa kita nak tidur berdua?” Farha
menepuk tilam supaya Wadi Ridhuan sedar yang katil itu hanya
cukup untuk tidur seorang.
“Kalau macam tu, kita tidur di bawah. Nak tak?”
“Nak tidur bawah? Mana ada alas?”
Kalau dah susah-susah sangat, Far tidur dalam bilik
abang ajelah ye..,” Wadi Ridhuan tersengih nakal. Niatnya
memang benar-benar ikhlas mahukan Farha tidur di biliknya
memandangkan Farha kini adalah isterinya.
“Tidur dalam bilik abang? Lagilah Far tak nak! Mudah
sangat rahsia kita akan terbongkar nanti,” Farha lekas-lekas
menolak. Dia menggeleng berulang kali tanda tidak bersetuju
dengan rancangan gila suaminya itu.
Wadi Ridhuan mengeluh perlahan. Begitu sukar sekali
keadaan mereka berdua. Hendak tidur bersama pun susah
walaupun sudah sah bergelar suami isteri.
“Kalau macam tu, malam ni abang kena tidur sorangsorang
ke?” Wadi Ridhuan bingkas dari katil lalu duduk di
sebelah Farha.
“Ya, abang kena tidur sorang-sorang tapi bukan setakat
malam ni aje. Tiap-tiap malam abang kena tidur sorang-sorang
selagi rahsia kita ni tak diketahui oleh sesiapa,” jawabnya sambil
menunduk. Keinginannya memang mahu tidur bersama suami
tetapi apabila mengenangkan keadaan sulit mereka berdua, rasa
kemahuan itu terus mati.
Wadi Ridhuan tersenyum kelat. Kedua-dua pipi
Farha dipegang lalu didongakkan wajah isterinya itu supaya
bertentang mata dengannya.
“Kesian isteri abang ni. Dalam keadaan mengandung,
terpaksa pula berdepan dengan masalah macam ni. Abang
harap, Far banyak-banyaklah bersabar.”
“Far memang selalu bersabar tapi abang tu nampaknya
yang tak tahan sabar,” jawab Farha dengan maksud tertentu.
Wadi Ridhuan tersengih lalu dia merapatkan jarak.
Dahi si isteri dikucup perlahan seraya menarik Farha dalam
pelukan. Kemudian dia bersuara, “Bukan tak sabar tapi sebagai
suami, mestilah abang sentiasa nak ada dengan Far. Nak
berkongsi bilik, nak berkongsi almari pakaian, nak tidur berdua,
nak mandi bersama, nak makan bersama. Boleh dikatakan, 24
jam abang nak berdua dengan Far,” ulasnya panjang lebar.
Farha lagi sekali menunduk. Kemudian, dia membalas,
“Tak semudah itu, abang. Dengan perkahwinan kita yang secara
rahsia macam ni, impian kita untuk sentiasa berdua tu susah.
Bunyinya macam senang tapi nak buat tu yang payah.”
“Farha! Ooo... Farha! bukak pintu ni sekejap!” Bunyi
laungan suara Mak Hendon beserta bunyi ketukan pintu
bertalu-talu, mengejutkan kedua-duanya.
Wadi Ridhuan segera melompat turun dari katil
sementara Farha pula lekas-lekas berdiri lalu menapak laju ke
arah pintu bilik sambil memberi isyarat kepada Wadi Ridhuan
supaya suaminya itu bersembunyi.
“Ya, mak cik! Saya datang ni!” Laungnya pula sambil
memulas tombol pintu perlahan-lahan.
Wadi Ridhuan pula tidak sempat hendak menyorok
di tempat yang lebih selamat. Hanya sempat bersembunyi di
sebalik pintu bilik itu sahaja. Apabila pintu bilik Farha dikuak
sedikit, Mak Hendon menghulurkan dulang berisi sepinggan
nasi berserta lauk-pauk.
“Apa ni mak cik?” Soalnya tidak mengerti. Dahinya
berkerut.
“Ni mak cik ada bawakan nasi untuk Farha. Mak cik
tahu Farha tak makan lagi, kan?”
“Kenapa mak cik bawa sampai ke sini? Saya boleh
makan kat dapur aje nanti.”
“Mak cik tahu Farha penat sebab baru balik dari
kampung. Sampai-sampai aje, terus kena buat kerja. Jadi mak
cik rasa, Farha makan kat dalam bilik ajelah. Tak perlulah pergi
ke dapur. Nanti kalau Datin nampak Farha masih ada kat dapur
tu, tentu disuruhnya buat macam-macam kerja lagi,” ulas Mak
Hendon panjang berjela sambil mengembang-ngempiskan
hidungnya yang menangkap satu bau. Bau yang cukup sinonim
dengan Wadi Ridhuan.
“Kenapa ni mak cik?” Soal Farha sambil memandang
pelik ke arah Mak Hendon.
“Entahlah. Err... mak cik ada bau macam minyak
wangi yang Wadi selalu pakai,” jawabnya jujur.
“Oh... err... mungkin bau minyak wangi tu datangnya
daripada pakaian Encik Wadi yang berlonggok dalam bakul ni
agaknya,” Farha memuncungkan bibir ke arah sebuah bakul
pakaian yang perlu dicucinya esok pagi.
Untung sahaja bakul pakaian yang berisi pakaian
kotor milik Wadi Ridhuan ada di biliknya. Kebetulan sungguh!
Boleh juga bakul pakaian itu menjadi ‘penyelamat’ kepada Wadi
Ridhuan yang sedang bersembunyi di sebalik pintu bilik itu.
“Oh... patutlah kuat sangat baunya,” balas Mak Hendon
pula dengan riak wajahnya yang kelihatan ragu-ragu dengan
jawapan yang diberikan Farha.
Hati tuanya digamit rasa bimbang apabila terbau
minyak wangi itu. Manalah tahu andai kata Wadi Ridhuan buat
perangai lagi dengan menceroboh masuk ke bilik Farha untuk
mengulangi kesilapan yang serupa.
“Erm, mak cik tidur dululah. Nanti Farha makan tau,”
Mak Hendon mengingatkan Farha seraya melangkah untuk
menuju ke biliknya yang terletak hanya bersebelahan dengan
bilik Farha.
Sebaik sahaja bayang Mak Hendon hilang daripada
pandangan, Farha lekas-lekas menutup pintu. Dulang di tangan
segera dibawanya bersama lalu diletakkan di atas meja kecil
bersebelahan katil.
Wadi Ridhuan mengurut dada sebaik sahaja pintu bilik
ditutup. Nyaris-nyaris rahsianya terbongkar. Kemudian, dia
berjalan menghampiri Farha.
“Nasib baik mak cik tak masuk. Kalau tak, memang
habislah kita,” tutur Farha berkeadaan sedikit cemas.
“Alah, kalau mak tahu pun, apa salahnya. Abang yakin,
mak pandai simpan rahsia,” balas Wadi Ridhuan pula.
Farha mengeluh panjang. Entah berapa lama keadaan
ini akan berterusan. Baru sahaja satu malam dia bergelar isteri
kepada Wadi Ridhuan di dalam rumah itu, sudah kelam kabut
dibuatnya dengan kehadiran Mak Hendon sebentar tadi.
“Yang abang ni pun satu. Malam-malam pun pakai
minyak wangi. Sembur minyak wangi tu pulak, macam nak
habis satu botol,” bebelnya sambil menjeling sebaik sahaja Wadi
Ridhuan duduk di sebelah. Bahunya pula serta-merta dirangkul
kemas.
“Mestilah nak kena pakai minyak wangi awal-awal
sebelum abang masuk ke sini. Nanti Far cakap abang busuk
pulak,” balas Wadi Ridhuan pula dengan lagak membela diri.
Dia tersenyum sambil melirikkan mata nakalnya ke arah Farha.
Tiada lagi balasan kata yang mahu Farha bahaskan.
Kalau dia masih lagi berdialog, ada-ada sahaja yang dijawab
suaminya itu. Akhirnya, dia membatukan diri di saat ikatan
rambutnya dileraikan Wadi Ridhuan.

No comments:

Post a Comment