Wednesday, 29 June 2016

Bahagia Dalam Rahsia - Bab 6

USAI sahaja kerja-kerja di dalam siap, dia menuju
ke halaman villa untuk menghirup udara segar. Villa mewah
diperbuat daripada kayu-kayu bermutu tinggi yang terletak di
atas bukit itu benar-benar memberikan pemandangan yang
menarik di bawah sana.
Sebetulnya, cita rasa majikannya sangat berbeza.
Kalau diperhatikan banglo-banglo dan villa-villa mewah yang
dimiliki oleh orang lain, kebanyakannya diperbuat daripada
bahan simen tetapi villa kepunyaan majikannya itu pula
diperbuat daripada kayu-kayu cengal dan meranti.
Reka bentuknya juga bercirikan istana pada zaman
dahulu. Kalau dilihat sekali imbas, sudah tentu boleh
diibaratkan seperti sebuah istana.
Deretan pasu-pasu bunga mahal yang kebanyakannya
diimport dari luar negara menggamitnya untuk melangkah
lebih dekat. Pelbagai jenis bunga ditanam di dalam pasu-pasu
mahal itu.
Di antara bunga-bunga yang menjadi kegemaran
majikannya adalah terdiri daripada orkid yang pelbagai jenis.
Kesemuanya itu adalah di bawah tanggungjawab Farha untuk
menjaganya. Daripada menggemburkan tanah, menanam,
membaja dan menyiram, semuanya terletak di bahu Farha.
Akan tetapi, tumpuan dan perhatiannya kini bukanlah
kepada orkid-orkid itu tetapi tumpuannya lebih kepada Wadi
Ridhuan. Jauh di sudut hati dia berasa gembira kerana dapat
meluangkan masa bersama jejaka itu.
Dapat keluar bersama, makan bersama dan tidak
ketinggalan juga dia berasa terharu kerana Wadi Ridhuan
mengambil berat akan kecederaan kecil yang terdapat pada
dahinya semalam.
Walaupun pada awalnya dia dinodai lelaki itu, tetapi
perubahan sikap dalam sekelip mata yang ditunjukkan Wadi
Ridhuan menggamit rasa senang di hatinya. Entah kenapa,
setiap waktu yang berdetik dan berjalan, dia semakin menyukai
Wadi Ridhuan. Sikap Wadi Ridhuan yang berubah mendadak itu
memberi sepenuh kepercayaan pula buat dirinya.
“Apa yang dimenungkan tu?” Wadi Ridhuan muncul
secara tiba-tiba. Sebaik sahaja dia menangkap kelibat Farha di
situ, terus dia mengambil keputusan untuk berada lebih dekat.
“Eh? Encik Wadi tak pergi kerja hari ni?” Farha
menoleh sambil bibirnya tersenyum sedikit. Baru sahaja tadi
dia mengimbau kembali tentang sikap lelaki itu, tiba-tiba pula
tuan empunya diri muncul di hadapan. Sungguh panjang umur!
“Tak,” jawabnya ringkas sambil melemparkan
senyuman nipis. Kedua-dua tangan disilangkan ke belakang.
Sepasang mata dipejam beberapa saat bagi menikmati udara
nyaman yang menghembus ke wajahnya pagi itu. Kemudian,
matanya dibuka semula.
“Kenapa?” Soal Farha lagi sementara pandangan
matanya tidak lepas daripada melihat pada seraut wajah yang
dimiliki Wadi Ridhuan. Memang dia akui, lelaki yang berdiri di
hadapannya itu benar-benar tampan.
“Hari ni abang nak berehat sebab malam tadi terlalu
lewat kita sampai ke rumah. Macam mana nak kerja kalau
mengantuk.”
“Oh, saya lupa.”
“Farha dah sarapan?”
“Dah.”
“Abang nampak Farha ni semakin hari semakin manis
saja...” usiknya sambil melebarkan senyum.
Farha tunduk. Usikan daripada Wadi Ridhuan itu
membuatkan dia berasa malu. Kedua-dua pipinya sudah
bertukar warna.
“Tak adalah. Pandai Encik Wadi bergurau,” dia
menyangkal. Bibirnya turut sama mengukir senyuman nipis
dan senyuman yang terukir itu disembunyikan pula dengan
tangan.
“Betul. Abang tak tipu. Setiap hari abang nampak
keceriaan pada wajah Farha. Kenapa agaknya, ya? Adakah itu
satu petanda yang Farha dah mula jatuh cinta pada seseorang?”
Dia cuba menduga apa yang tersimpan di hati Farha. Kemudian,
dia mencuri pandang pada seraut wajah si gadis yang sedang
tertunduk itu.
“Kalaulah betul Farha dah mula jatuh hati pada
seseorang, abang harap supaya lelaki tu adalah abang,” kali ini
nada suaranya benar-benar kedengaran seperti mahu mengusik.
Manalah tahu kalau tiba-tiba sahaja Farha mahu
mengakui bahawa dialah lelaki yang bertuah itu. Ibarat kata
pepatah, ‘untung sabut timbul, untung batu tenggelam’. Kalau
tekaannya tidak betul sekalipun, tidak mengapalah. Sekurangkurangnya
dia berusaha untuk mengorek segala isi hati gadis
itu.
“Encik Wadi tahu kan, saya tak pernah berkawan
dengan mana-mana lelaki sebelum ni kecuali... kecuali dengan
Encik Wadi seorang,” jawabnya lambat-lambat. Dia masih lagi
tertunduk seperti tadi. Wajahnya cuba disembunyikan supaya
Wadi Ridhuan tidak merenungnya lama-lama.
“Ya, abang tahu. Adakah sekarang ni Farha dah mula
jatuh cinta pada abang?” soalnya dengan senyuman yang sudah
meleret. Tidak segan silu pula dia menanyakan soalan itu.
Kalau lelaki lain, tentu sahaja akan berasa segan untuk
menyoal seperti itu tetapi tidak bagi Wadi Ridhuan. Boleh juga
dia di kategorikan sebagai lelaki bermuka tembok.
“Encik Wadi nak saya berterus-terang?” Farha menyoal
seperti mahu menduga. Kepalanya diangkat sedikit lalu menoleh
sebentar ke arah lelaki itu. Lelaki yang kelihatannya tidak sabarsabar
lagi mahu menantikan jawapan daripada mulutnya.
“Kalau itu yang boleh membuatkan Farha senang
hati, berterus-terang sajalah,” gesa Wadi Ridhuan dengan
perasaannya yang tidak sabar. Manalah tahu kalau-kalau Farha
terus bersetuju mahu menerima lamarannya tempohari.
“Sejak kali pertama saya jejakkan kaki ke sini, saya
memang tak suka dengan sikap Encik Wadi. Tiap-tiap malam
minggu Encik Wadi pasti pulang dalam keadaan mabuk. Setahu
saya orang yang suka minum minuman keras ni selalunya ada
masalah tapi saya nampak Encik Wadi macam tak ada masalah
apa-apa. Mungkin itu salah satu cara hidup anak-anak orang
kaya agaknya walaupun Encik Wadi sedar, haram bagi orang
Islam macam kita ni minum arak,” dia menarik nafas seketika
selepas meluahkan apa yang dia perhatikan kepada tindaktanduk
Wadi Ridhuan selama ini.
“Panjang betul Farha bercakap. Ada lagi? Kalau ada,
abang nak dengar,” giatnya sambil berjalan beberapa langkah
untuk menghampiri Farha.
“Saya harap Encik Wadi tak marah saya cakap macam
tu,” dia mendongak. Wajah Wadi Ridhuan dicarinya. Ternyata,
ketinggian yang dimiliki lelaki itu sedikit menyukarkan dia
untuk melihat.
“Tak marah pun. Suka lagi ada. Err.. ada apa-apa lagi
yang awak nak tambah? Abang rasa cerita tadi tu tergantung.”
Dia tergelak kecil. Tercuit sedikit hati lelakinya saat itu apabila
mengetahui yang selama ini Farha memerhatikan setiap gerakgerinya.
“Ada. Encik Wadi nak dengar lagi?”
“Mestilah,” jawabnya ringkas sambil tangan kanannya
pantas mencuit hidung kecil sedikit mancung kepunyaan Farha.
Apabila diperlakukan begitu, Farha segera menjarakkan
diri. Berasa tidak selesa apabila Wadi Ridhuan menyentuhnya
dengan secara spontan. Kemudian, Wadi Ridhuan meminta
maaf kepadanya sebaik sahaja lelaki itu menyedari yang dia
tidak suka.
“Selama dua tahun saya kerja di sini, selama dua
tahun itulah saya perhatikan Encik Wadi balik ke rumah dalam
keadaan mabuk tiap-tiap malam minggu. Bayangkanlah Encik
Wadi, selama dua tahun. Bukannya dua minggu atau dua bulan.
Jadi, saya putuskan bahawa Encik Wadi ni memang takkan
berubah sampai bila-bila berdasarkan apa yang saya nampak
depan mata,” Farha tunduk. Air wajahnya kembali serius dan
tidak menampakkan kemanisan seperti tadi.
“Tapi satu peristiwa yang berlaku sudah mengubah
segala-galanya, kan? Abang tak mahu sebut peristiwa yang
memalukan itu depan Farha sebab abang tahu Farha boleh
faham. Sekali lagi abang minta maaf.”
“Bukankah hari tu saya dah maafkan. Encik Wadi
janganlah sebut-sebut lagi,” Farha ketap bibir. Sedikit geram
apabila Wadi Ridhuan cuba membangkitkan soal malam
kejadian dia diperkosa lelaki itu secara tidak sengaja.
“Okey, baiklah. Abang takkan sebut tentang perkara
tu lagi. Apa yang ada dalam kepala abang sekarang cuma
satu. Abang nak kahwin dengan Farha. Abang nak tamatkan
hubungan kita dengan satu ikatan yang suci. Yang halal di sisi
agama.”
“Tapi kita tak pernah ada apa-apa hubungan selain
daripada hubungan di antara orang gaji dengan tuannya saja,”
sanggah Farha perlahan.
“Itu dulu. Tapi sekarang semuanya dah berubah. Apa,
Farha nak ke abang sebut lagi pasal kejadian pada malam tu?”
Intonasi suaranya sedikit keras.
Farha diam.
“Abang dah memiliki Farha dengan cara yang tak
sepatutnya. Berilah abang peluang untuk menebusnya
kembali. Apa, tidak ada ruang ke untuk orang macam abang
ni melakukan perubahan dalam hidup? Tak ada sikit ruang ke
dalam hati Farha tu untuk terima abang?”
“Encik Wadi...”
“Jangan panggil saya Encik Wadi lagi!” Tiba-tiba sahaja
dia meninggikan suara. Rasa sebal dengan penerimaan gadis
itu sedikit sebanyak mengundang bara kemarahan dalam diri.
Farha terkulat-kulat memandang ke arah Wadi Ridhuan yang
tiba-tiba sahaja naik angin tidak tentu pasal.
“Jadilah isteri abang...” dia menghampiri Farha. Lantas,
kedua-dua bahu gadis itu dipegangnya lembut. Kemudian,
dilepaskannya kembali apabila kedua-dua tangannya ditepis
perlahan.
“Saya faham niat baik Encik Wadi tu tapi Dato’ dan
Datin tentu tak setuju. Saya ni hanya orang gaji. Tak setaraf
dengan keluarga Encik Wadi yang ada pertalian dengan
keturunan raja.”
“Abang tak pernah anggap keturunan abang jadi
penghalang kepada penentu masa depan abang. Selama ni pun,
mana pernah abang ambil peduli tentang hal-hal macam tu?
Farha pun tahu, kan?” Tekan Wadi Ridhuan dengan bersungguhsungguh.
“Wadi!” Datin Wasilah muncul dan menyeru nama
anak lelakinya yang kelihatan sedang rancak berbual dengan
Farha. Orang gaji yang menjadi kebencian buatnya sejak
kebelakangan ini.
“Ibu?” Seraya Wadi Ridhuan menoleh. Sedikit terkejut
dengan kehadiran ibunya di situ.
“Wadi tak kerja hari ni?” Soal ibunya dengan wajah
berkerut.
“Tak. Hari ni saya nak berehat.”
“Baguslah macam tu. Lagipun tengahari nanti Datin
Kesuma dan Bella nak makan di sini. Lebih bagus kalau Wadi
ada sama,” Datin Wasilah berwajah manis kemudiannya apabila
menyebut nama Datin Kesuma dan Bella.
Lebih untung lagi kalau Wadi Ridhuan ada di rumah.
Bolehlah dia membuat cadangan supaya anak lelakinya itu
disatukan dengan Bella di hadapan Datin Kesuma nanti. Tentu
sahaja Wadi Ridhuan tidak akan menolak.
Farha yang sedang mendengar hanya mampu menelan
liur. Dia tahu keinginan Datin Wasilah dan Dato’ Wan Chik
yang mahu menyatukan Wadi Ridhuan dan Bella. Dia sudah
lama tahu mengenai rancangan itu kerana seringkali terdengar
perbualan di antara kedua-duanya apabila Wadi Ridhuan tiada
di rumah.
“Kenapa pula mereka berdua tu nak makan di sini?
Di rumah Datin Kesuma tu tak ada makanan ke?” Soal Wadi
Ridhuan sinis tetapi kedengaran sedikit lucu pada Farha yang
masih berdiri di belakang.
Farha tersengih seraya menutup mulut supaya tidak
disedari oleh Datin Wasilah yang kini sedang mencerlung tajam
ke arahnya.
“Wadi! Kenapa cakap macam tu?”
“Saya bergurau ajelah. Err... tengahari nanti saya nak
keluarlah. Ayah suruh saya tinjau operasi kilang baru kita tu.”
“Eh? Tadi kata nak berehat? Tiba-tiba pulak tengahari
nanti nak keluar. Tak boleh ke Wadi tinggalkan sekejap soal
kilang tu?”
“Tak bolehlah, ibu. Ibu pun tahu kan kalau ayah
dah keluarkan arahan, dengan anak sendiri pun dia tak ada
kompromi.”
“Tak boleh. Ibu tak benarkan. Wadi tak boleh keluar.
Biar ibu yang bincang dengan ayah nanti.”
“Tapi ibu...”
“Jangan nak membantah. Jom masuk. Buat apa lamalama
di luar ni? Nanti banyak gangguan. Jom!”
Wadi Ridhuan mengeluh panjang. Tangannya diheret
perlahan oleh ibunya yang sudah pun melangkah beberapa
tapak ke hadapan. Dengan hati yang berat, dia terpaksa
mengikuti langkah si ibu. Wajahnya yang kelihatan separuh
rela itu dilemparkan kepada Farha. Gadis itu mengerti lalu
tersenyum sedikit ke arahnya.
Farha hanya memerhati langkah Wadi Ridhuan dan
Datin Wasilah dengan perasaan berjauh hati. Dia tahu Datin
Wasilah sengaja berkata begitu di hadapannya dan melemparkan
maksud ‘banyak gangguan’ itu kepadanya.
BELLA memaut lengan Wadi Ridhuan sambil melentokkan
kepalanya di bahu lelaki itu ketika Datin Wasilah membuat
cadangan untuk menyatukan mereka berdua dengan ikatan
perkahwinan.
“Nanti bila Bella kahwin dengan Wadi, Bella cadang
nak ajak Wadi tinggal di luar negara. Boleh kan auntie?” Soalnya
dengan reaksi manja.
Wadi Ridhuan hanya berdiam diri. Bersetuju tidak
membantah pun tidak. Kalau di hadapan ibunya sahaja, tentu
dia akan membantah keras. Tetapi kalau di hadapan Datin
Kesuma, dia tidak boleh berbuat apa-apa. Tetamu mesti
dihormati. Mustahil pula dia mahu menunjukkan sikap yang
tidak sewajarnya.
“Apa pula tak boleh? Bila Bella dah jadi isteri Wadi
nanti, mana-mana tempat pun Bella boleh pergi tau,”
jawabnya dengan rasa hati yang teruja. Manakan tidak, hendak
bermenantukan seorang gadis yang berketurunan baik-baik
seperti Bella bukannya mudah. Di tambah lagi dengan latar
belakang ibu bapa Bella yang terkenal sama seperti latar
belakang keluarganya.
Rancak benar mereka bertiga berbincang kecuali Wadi
Ridhuan yang hanya sekali-sekala mengangguk dan menjawab
sepatah dua untuk menjaga hati tetamu. Senyuman nipis yang
sedikit terukir itu tidak menggambarkan perasaan sebenar yang
dirasainya sekarang ini.
Sedang mereka rancak berbual dan berbincang, ketika
itulah Farha muncul dengan membawa dulang besar di tangan.
Telinganya sempat menangkap apa yang dibualkan. Sedikit
sebanyak perasaannya terusik apabila terdengar perbincangan
itu. Wadi Ridhuan akan disatukan dengan Bella? Dia mula
menyoal sendiri.
“Apa yang awak buat di sini? Bukan ke saya dah larang
awak masuk ke dapur?” Soal Datin Wasilah dengan lagak
sinisnya apabila memandang ke arah Farha yang sedang lincah
meletakkan satu persatu mangkuk dan pinggan berisi lauk pauk
di atas meja.
“Makcik Hendon tak dapat nak hidangkan lauk. Dia
sakit perut. Jadi dia minta tolong saya yang hidangkan,” dia
memberikan jawapan sambil bermanis muka walau dalam
hatinya sedikit membengkak dengan aksi manja Bella apabila
duduk di sebelah Wadi Ridhuan.
Entah kenapa, tiba-tiba sahaja perasaannya digamit
dengan rasa cemburu. Sudah hadirkah rasa cinta untuk lelaki
itu? Farha mula ragu-ragu dengan perasaannya sendiri.
“Isy, macam-macam hal pulak!” bentak Datin Wasilah
sambil berpeluk tubuh.
“Kenapa auntie marah-marah ni?” Bella pula menyoal
sekadar mahu mengambil hati.
“A’ah la Datin. Kenapa nampak marah saja tu? Apa
yang tak kena?" Soal Datin Kesuma pula.
“Tak ada apa-apa,” jawab Datin Wasilah ringkas.
“Betul ke ni tak ada apa-apa? Kalau tak, takkanlah
auntie cakap macam tu tadi?” Giat pula Bella menyoal seperti
bersungguh-sungguh benar ingin tahu. Dia juga menyedari
akan sesuatu. Pandangan mata Datin Wasilah seolah-olah
terpamer kebencian pula tatkala melihat kepada wajah orang
gaji muda itu.
“Auntie cakap apa?” Datin Wasilah berpura-pura
menyoal kembali.
“Auntie cakap auntie dah larang orang gaji ni masuk ke
dapur. Kenapa auntie cakap macam tu?” Bella menjeling Farha
dengan ekor mata. Solekan tebal pada matanya menambahkan
lagi rasa tidak senang apabila melihat seorang gadis muda yang
berwajah comel itu.
“Tak ada apa-apa. Auntie cuma mahu mengambil sikap
berhati-hati saja,” jawab Datin Wasilah dengan reaksinya yang
bersahaja. Namun, sepasang matanya tidak lepas daripada
memandang ke arah Farha.
“Bagus tu auntie. Lagipun, orang gaji sekarang
bukannya kita boleh percaya sangat,” balas Bella untuk
merancakkan lagi keadaan panas di hati Datin Wasilah. Dia
sudah boleh menduga bahawa Datin Wasilah tidak menyukai
orang gaji muda itu.
Di hatinya juga terdetik satu persoalan. Kalaulah orang
gaji secantik itu bekerja di sini, mana mungkin Wadi Ridhuan
tidak terpikat? Lagipun sejak dari tadi, dia menyedari akan satu
perkara. Wadi Ridhuan yang sedang duduk di sebelahnya itu
terlalu asyik memandang ke arah Farha sebaik sahaja gadis itu
muncul.
“Betul tu Datin. Lebih-lebih lagi yang muda-muda
macam ni. Cantik pulak tu. Macam-macam hal boleh berlaku,”
tambah Datin Kesuma pula sambil mencebik ke arah Farha.
Dipandangnya gadis itu dari atas sampai ke bawah. Ternyata,
orang gaji yang berkhidmat untuk Datin Wasilah dan Dato’ Wan
Chik ini lebih cantik daripada anaknya, Bella.
“Memang dah berlaku pun,” balas Datin Wasilah acuh
tidak acuh.
“Hah? Apa dia auntie?” Bella membulatkan mata.
Rangkulan tangannya yang dari tadi kemas memaut lengan
Wadi Ridhuan dilepaskannya sepantas kilat.
“Err, tak ada apa-apa. Eh, jemputlah makan,” Datin
Wasilah membetulkan kedudukan. Kalau boleh, pertanyaan
daripada Bella itu tidak mahu dijawab. Dia risau kalau Datin
Kesuma dan Bella mengesyaki sesuatu.
Kalaulah mereka berdua itu tahu mengenai isi hati
Wadi Ridhuan yang mahu memperisteri Farha, punahlah
rancangannya nanti yang hendak bermenantukan Bella.
Manalah tahu kalau Bella pula yang merajuk.
“Wadi, you nak lauk apa?” Soal Bella mesra. Tangannya
bermain-main pada sudu yang sudah tersedia ada di dalam
mangkuk yang berisi lauk daging masak lada hitam. Bersedia
untuk lauk itu diletakkan ke dalam pinggan Wadi Ridhuan.
“Apa-apa saja,” jawab Wadi Ridhuan dengan lagaknya
yang malas mahu melayan pertanyaan daripada Bella.
Bella tersenyum tawar. Entah kenapa dia dapat
merasakan bahawa lelaki itu sedang bersikap dingin apabila
menyambut kedatangannya ke situ sedangkan tiga hari
sebelum ini, hampir satu malam Wadi Ridhuan gembira apabila
menghabiskan masa bersamanya di kelab malam.
Tanpa mahu berfikir perkara yang bukan-bukan.
Bella mengambil keputusan untuk tidak bertanya apa-apa
kepada lelaki itu. Mungkin Wadi Ridhuan tidak sihat agaknya.
Lagipun lelaki itu ada di rumah pada hari ini dan tidak pergi ke
pejabat. Sudah tentulah dia tidak berapa sihat. Begitulah pada
pengamatan Bella.
“Wadi, you tak sihat ke?” Soalnya lagi sekadar mahu
menampakkan yang dia sedang mengambil berat di hadapan
Datin Wasilah.
“Penat sikit,” ringkas Wadi Ridhuan menjawab. Dia
sudah tidak betah lagi mahu berlama-lama berada di meja
makan itu. Perutnya juga tidak terasa lapar. Kalau dia lapar
sekalipun, sudah tentulah Mak Hendon yang akan dicarinya
terlebih dahulu untuk makan bersama ibu tua itu setiap kali
tiba waktu makan tengahari.
“Kalau macam tu, biar I yang suapkan you. Nak tak?”
“Eh, tak apalah. I boleh makan sendiri.”
“Alaaa, janganlah macam ni. Biarlah I yang suapkan
you. Macam tak biasa pulak,” tanpa berlengah, Bella terus
menyuakan sudu yang penuh dengan nasi dan daging masak
lada hitam ke mulut Wadi Ridhuan.
Pada awalnya Wadi Ridhuan menolak tetapi selepas
dipaksa, barulah dia membuka mulut. Farha yang masih berada
di situ, mula menjeling dengan ekor mata apabila melihat
layanan istimewa yang diterima Wadi Ridhuan daripada Bella.
Entah kenapa, tangkai hatinya dijentik dengan rasa iri hati.
Memang benarlah dia cemburu dan perasaan itu tidak boleh
disangkal lagi. Dia sudah jatuh hati kepada lelaki itu.
Semakin galak Bella menyuapkan nasi ke mulut Wadi
Ridhuan, semakin Farha berasa tidak selesa. Perasaannya
membuak-buak dihambat dengan rasa cemburu yang kian
menebal. Anak matanya juga sering dialihkan ke arah lain dan
akhirnya dia membuang pandang ke bawah.

No comments:

Post a Comment