Wednesday, 29 June 2016

Bahagia Dalam Rahsia - Bab 8

FARHA melangkah lesu. Kepiluan yang
ditanggungnya saat ini sangat terbeban. Berkali-kali air
matanya merembes keluar. Berkali-kali juga dia menyekanya
dengan hujung jari. Namun, air mata yang menitis itu tidak
henti-henti pula bercucuran.
Ujian demi ujian melanda dalam hidupnya. Sudahlah
diperkosa, kini dia sedang hamil pula! Keputusan pemeriksaan
kesihatannya tadi, amat mengejutkan sekaligus membuatkan
hatinya hancur berderai. Dia mengandung tanpa suami!
Ya Allah... kalaulah nenek tahu, pasti dia kecewa.
Luahnya sendirian seraya ingatannya terus beralih pada sang
nenek yang berada di kampung. Wajah tua itu tiba-tiba datang
menerpa.
Memek wajah kecewa si nenek terbayang di ruangan
mata. Namun, bayangan yang menjelma itu tidak kekal lama.
Langkah kakinya yang lesu itu terhenti serta-merta apabila
kelibat Wadi Ridhuan sudah tercegat di hadapan.
“Encik Wadi buat apa di luar ni? Tak pergi kerja?”
Soalnya sambil menyembunyikan wajah. Air mata yang
merembes keluar daripada tadi lekas-lekas disekanya lagi
supaya Wadi Ridhuan tidak nampak.
“Tolong jangan tanya abang apa-apa. Sepatutnya abang
yang kena tanya Farha,” balas Wadi Ridhuan sedikit tegas. Pada
pengamatannya, Farha seolah-olah mahu melarikan diri supaya
tidak bertembung dengannya.
Wajahnya masih lagi disembunyikan seraya menyoal
Wadi Ridhuan kembali. “Apa maksud Encik Wadi ni?”
”Maksudnya, Farha kena jawab apa yang abang nak
tanya sekarang ni,” balas Wadi Ridhuan, kedengarannya lebih
tegas daripada tadi.
“Nak tanya apa?” Soal Farha lagi sambil melangkah
untuk segera beredar namun laluannya lekas-lekas disekat.
Tangannya disambar secara tiba-tiba tetapi cepat-cepat pula dia
menariknya kembali.
Wadi Ridhuan hanya membiarkan.
“Farha pergi ke mana tadi?” Sengaja soalan itu diajukan
sedangkan dia sudah tahu akan jawapannya.
“Saya pergi klinik. Saya minta maaf sebab tak beritahu
pada Encik Wadi, Dato’ dan Datin. Saya nak cepat sebab nak
sambung kerja di rumah,” jawab Farha teragak-agak.
Wadi Ridhuan masih tidak berpuas hati lagaknya.
Dia terus memegang dagu Farha lalu mengangkatkan wajah
Farha supaya bertentang mata dengannya. Ketika itu jugalah
pandangan matanya menangkap pada sepasang bebola mata
Farha yang kelihatan merah.
“Kenapa dengan mata Farha ni?” Soalnya sambil
mengerutkan dahi.
“Mata saya masuk habuk,” Farha menipu.
Apabila mendengarkan jawapan itu, Wadi Ridhuan
tersenyum sinis. “Itu jawapan yang dah biasa sangat abang
dengar dalam drama-drama melayu. Farha menangis, kan?”
“Eh, taklah,” Farha berbohong lagi seraya melarikan
wajahnya daripada terus dipegang dan ditatap begitu. Dia benarbenar
tidak selesa. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu Wadi
Ridhuan tahu mengenai keadaannya sekarang ini.
Kalau lelaki itu tahu dia sedang hamil, apakah dia ada
harapan untuk menebus kembali apa yang sudah Wadi Ridhuan
janjikan untuk bernikah dengannya?
“Farha boleh tipu semua orang dalam rumah tu tapi
Farha tak boleh nak tipu abang,” Wadi Ridhuan mengendurkan
sedikit nada suaranya. Dia tahu Farha sedang bersedih dan baki
air mata yang berada di tubir mata gadis itu tadi menceritakan
segala-galanya. Dia tidaklah bodoh untuk tidak memahami
keadaan itu.
“Encik Wadi, saya masuk dulu. Nanti kalau Datin
nampak kita berbual, tentu saya akan dipecat,” Farha mengatur
langkah tetapi dengan tidak semena-mena pula Wadi Ridhuan
menyambar tangannya.
“Jom ikut abang,” Wadi Ridhuan memimpin tangan
Farha supaya gadis itu mengikuti langkah yang sudah diaturnya
dengan begitu laju.
“Encik Wadi, janganlah heret tangan saya macam
ni???” Farha meronta sedikit. Tangannya yang kejap dipegang
Wadi Ridhuan, cuba dilepaskannya kembali tetapi tidak berjaya.
Ternyata kudratnya tidak berupaya untuk melawan.
Apabila menyedari Farha tidak mahu mengikutinya,
Wadi Ridhuan segera berhenti melangkah. Kemudian, dia
menoleh, “Farha takut kena pecat kalau ibu nampak abang
berbual dengan Farha, kan?”
Farha mengangguk laju. Wajahnya cemberut. Tindakan
Wadi Ridhuan itu benar-benar membuatkan dia berasa marah.
“Kalau macam tu, ikut saja. Abang nak bawa Farha jauh
dari sini. Biar kita bebas berbual. Biar jauh daripada mereka
yang ada dalam rumah tu,” tegas Wadi Ridhuan.
“Janganlah Encik Wadi. Saya masih ada banyak kerja
lagi yang mesti saya buat. Bunga-bunga orkid kepunyaan Datin
saya belum siram lagi. Lepaskanlah tangan saya ni,” rayu Farha
tetapi ternyata rayuannya itu tidak dipedulikan.
“Encik Wadi!” Farha meninggikan suara supaya Wadi
Ridhuan segera melepaskan tangannya. Di samping itu juga, dia
masih berusaha merentap tangannya kembali tetapi ternyata
usahanya hanya sia-sia. Sepasang kakinya terpaksa dihayun laju
kerana mengikuti hayunan kaki Wadi Ridhuan yang lebih jauh
ke depan.
“Kalau Farha menjerit lagi macam ni, tentu semua
orang di dalam rumah tu akan memandang keluar. Kalau ibu
abang nampak, tentu Farha kena pecat hari ni jugak. Farha nak
kena pecat sekarang ke?” Ugut Wadi Ridhuan tanpa menoleh.
Sengaja dia bermain dengan soalan yang paling lemah untuk
dijawab oleh Farha.
Farha menggeleng. Dia terdiam. Pandai Wadi Ridhuan
mengugut. Terus mati kutu gadis itu dibuatnya.
WADI RIDHUAN membuang pandang jauh ke pusat lautan.
Farha yang sedang berdiri di sebelahnya hanya mampu
tertunduk. Pemandangan cantik yang berada di hadapan mata
langsung tidak menarik perhatian.
Tumpuannya kini lebih kepada masalah besar yang
sedang ditanggung. Tidak terkecuali juga rasa teragak-agak
untuk memberikan jawapan kepada setiap soalan yang akan
dikemukakan Wadi Ridhuan kepadanya nanti.
“Okey, sekarang kita boleh berbual dengan aman tanpa
ada gangguan daripada sesiapa,” Wadi Ridhuan bersuara tibatiba
selepas hampir beberapa minit dia dan Farha hanya diam
membisu.
“Apa yang Encik Wadi nak tahu?” Soal Farha. Dia masih
tunduk. Resah lagaknya ketika itu sambil meramas perlahan
kedua-dua tangannya.
“Doktor cakap apa?” Wadi Ridhuan menyoal serius.
Kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam poket seluar sementara
pandangannya masih tidak lepas merenung ke laut.
“Tak ada apa-apa,” jawab Farha perlahan. Masih mahu
menyorokkan kebenaran yang dia sedang mengandungkan
anak Wadi Ridhuan. Bukannya dia tidak mahu berterus-terang
tetapi apabila mengingatkan perkelahian yang berlaku di antara
Wadi Ridhuan dan kedua-dua ibu bapa lelaki itu, niatnya untuk
menyatakan perkara yang benar sedikit sebanyak terhalang.
Apabila mendengarkan jawapan itu, Wadi Ridhuan
segera menoleh ke arah Farha yang dilihatnya sedang berada
dalam keadaan gelisah.
“Farha jangan nak tipu abanglah. Cakap, doktor kata
apa?” Desaknya.
“Saya...” Farha mulai sebak. Tiba-tiba sahaja dia
menangis. Menangis pula bukanlah sedikit. Terhenjut-henjut
badannya apabila mengeluarkan air mata itu.
Sekarang ini, sudah tidak ada rasa segannya lagi pada
Wadi Ridhuan. Biarlah lelaki itu melihatnya dalam keadaan
begini. Tiada tempat lain lagi dia mahu meluahkan semuanya.
Sungguh, Dia benar-benar rasa keseorangan!
Apabila melihatkan keadaan Farha yang sedang
menangis begitu, Wadi Ridhuan sudah boleh menduga akan
sesuatu. Syak wasangkanya mengenai Farha yang sedang
mengandung, menguatkan lagi rasa hatinya.
“Bertenang. Cakap perlahan-lahan. Abang dah sedia,”
pujuknya sambil memegang kedua-dua bahu Farha untuk
menenangkan gadis itu.
“Saya...” Farha tidak sanggup meneruskan penjelasan.
Sekali lagi tangisannya pecah kedengaran.
“Farha hamil, kan?”
Farha terpempan. Lekas-lekas dia mengangkat muka.
Soalan daripada Wadi Ridhuan benar-benar memeranjatkannya.
Entah dari mana pula Wadi Ridhuan mendapat tahu? Adakah
dia hanya syak semata-mata? Farha mula bermain dengan
persoalan demi persoalan dan akhirnya… dia mengangguk
perlahan.
“Anak abang, ye?”
“Erm,” Farha lekas-lekas mengiakan dan kembali
menunduk seperti tadi. Sudah tidak sanggup dia menyimpan
rahsia itu seorang diri. Biarlah, Wadi Ridhuan perlu tahu!
“Kita balik sekarang. Bila sampai di rumah nanti,
kemaskan semua pakaian Farha.”
“Kemaskan pakaian? Tapi kenapa? Encik Wadi nak halau
saya dari rumah tu ke? Encik Wadi tak mahu bertanggugjawab?
Encik Wadi nak buang saya macam tu aje?” Farha tiba-tiba
cemas. Bermacam-macam soalan yang termuntah keluar
daripada mulutnya secara spontan!
“Apa yang Farha merepek ni, hah? Abang belum habis
cakap lagi Farha dah buat andaian yang bukan-bukan.”
“Habis tu, kenapa Encik Wadi suruh saya kemaskan
pakaian?”
“Abang nak bawa Farha balik kampung. Abang nak
berterus-terang dengan nenek Farha tu. Abang nak minta izin
daripada dia untuk kahwin dengan Farha. Abang takkan biarkan
bayi dalam kandungan Farha tu lahir ke dunia ni tak berayah.
Lagipun, itu anak abang, kan Farha?”
“Erm, tak payahlah tanya banyak kali. Encik Wadi
sendiri pun dah maklum,” Farha lekas-lekas memotong
pertanyaan itu.
“Okey. Kita balik sekarang,” Wadi Ridhuan sudah
melangkah setapak.
“Tapi...”
Kaki Wadi Ridhuan terhenti melangkah seraya
menoleh ke arah Farha yang masih lagi tidak berganjak. “Tapi
apa lagi?”
“Tapi kalau Datin tanya kenapa saya kemaskan pakaian,
saya nak jawab apa? Nak bagi alasan apa?” Soal Farha kelihatan
agak naif pada pandangan mata Wadi Ridhuan.
“Farha ni memang tak pandai menipu, kan?” Wadi
Ridhuan tersenyum nipis. Tercuit sedikit hatinya apabila
melihat si gadis yang sedang berdiri di belakang. Ternyata sifat
lurus yang dimiliki Farha, begitu senang di matanya.
“Tak. Menipu tu kan berdosa,” jawab Farha dengan
memberikan jawapan yang lurus juga.
“Tapi untuk kali ni, tolonglah belajar menipu. Untuk
kali ni saja. Nanti beritahu pada ibu, cakap nenek Farha sakit.
Boleh?” Wadi Ridhuan memberi cadangan.
“Tak ada alasan lain lagi ke? Kenapa nak libatkan nenek
saya pulak? Nenek tu sihat walafiat di kampung, Tiba-tiba pulak
Encik Wadi suruh saya bagi alasan macam tu pada Datin.”
“Alasan apa lagi yang Farha boleh fikir dalam masa
terdekat ni? Jangan nak banyak songehlah. Ikut saja alasan
yang abang dah cadangkan tu. Faham?” Wadi Ridhuan
membuntangkan sedikit matanya yang polos. Ternyata, sikap
lurus Farha itu sedikit sebanyak mencabar kesabarannya.
Baginya, masa sudah terlalu suntuk!
“Encik Wadi ikhlas ke nak kahwin dengan saya ni?
Atau rasa terpaksa?” soal Farha masih lagi ragu-ragu dengan
keikhlasan yang ditunjukkan Wadi Ridhuan.
Keluhan panjang mula dilepaskan apabila Farha
menyoalnya begitu. Entah apa lagi yang perlu dia buktikan
kepada Farha untuk memberikan keyakinan kepada gadis itu
supaya mempercayainya.
“Farha dengar sini baik-baik. Abang dah berubah
untuk diri abang sendiri seperti apa yang pernah Farha minta
dulu. Dalam waktu yang sama, abang dah mula sukakan Farha.
Abang cintakan Farha. Abang sungguh-sungguh sayangkan
Farha dan betul-betul ikhlas nak kahwin dengan Farha,” Wadi
Ridhuan menarik nafas seketika.
“Dalam keadaan Farha yang macam ni, Farha dah tak
ada alasan lagi nak tolak cadangan abang untuk kita berkahwin.
Abang tahu Farha takut sangat kalau Farha dipecat, sebab
Farha risau kalau tak dapat nak tanggung adik Farha belajar
dan juga nak tanggung nenek Farha yang ada di kampung tu,”
sambungnya lagi.
“Tapi lepas ni Farha dah tak perlu risau apa-apa lagi.
Abang ada. Abang boleh ambil alih semua tanggungjawab itu,”
Wadi Ridhuan memberikan keyakinan kepada Farha supaya
gadis itu tidak lagi ragu-ragu dengan keikhlasannya.
“Satu perkara lagi, tolonglah jangan pentingkan
diri sendiri. Bayi yang Farha kandungkan tu ada hak untuk
dapat seorang ayah. Dan abang, adalah orangnya. Bila dia dah
lahir nanti, abang akan pastikan dia mendapat didikan yang
sempurna. Abang tak mahu dia jadi macam abang,” ulas Wadi
Ridhuan panjang lebar.
Farha terdiam terus. Kata-kata Wadi Ridhuan yang
menjengah gegendang telinga membuatkan hatinya meruntun
sayu. Dia terharu dengan penjelasan demi penjelasan itu.
“Tapi Encik Wadi nak kahwin dengan saya secara
senyap-senyap, kan?”
“Abang tak ada pilihan lain. Abang bukannya takut nak
ceritakan perkara sebenar pada ibu dan ayah. Tapi dalam masa
yang sama, abang kena jaga hati mereka. Lebih-lebih lagi hati
ayah. Farha pun tahu kan ayah abang tu ada penyakit jantung.
Abang risau kalau jadi apa-apa pada dia kalau dia tahu tentang
perkara ni,” jelas Wadi Ridhuan panjang lebar.
“Ya. Saya tahu dan saya faham,” Farha mengangguk
perlahan.
“Farha...”
“Ya...”
“Berjanjilah yang Farha takkan dedahkan perkara ni
pada ibu dan ayah. Perkahwinan kita nanti perlu dirahsiakan,”
sepasang mata Wadi Ridhuan bersinar seolah-olah
mengharapkan persetujuan daripada Farha.
“Tapi sampai bila? Saya tak sanggup nak menipu,”
Farha mendongak. Wajah lelaki yang merupakan bapa kepada
janin yang dikandungnya, ditenung seketika.
“Farha jangan risau. Akan sampai juga masanya nanti
abang akan berterus-terang dengan ibu dan ayah,” balas Wadi
Ridhuan dengan memberikan jaminan.
“Nanti Encik Wadi nak bagi alasan apa pada Dato’ dan
Datin? Takkan Encik Wadi nak bagi alasan, nak tolong hantar
saya balik kampung pulak? Tentu mereka tak izinkan,” Farha
menyoal lagi.
“Abang punya alasan yang lebih bagus!” Sepasang mata
Wadi Ridhuan terbuntas luas. Senyumannya dilebarkan.
“Apa?”
“Abang nak pergi bercuti ke luar negara,” jawabnya
sambil tersengih panjang apabila sedang memikirkan penipuan
itu. Farha mencebik sedikit. Kesedihan yang dirasainya sejak
daripada tadi hilang serta-merta.
“Elok sangatlah kalau Encik Wadi buat alasan macam
tu. Nanti Datin beritahu pada Cik Bella pulak. Tak pasal-pasal
Cik Bella nak ikut.”
“Alah. Kalau dia nak ikut sekalipun bukannya sempat.
Saya nak pergi hari ni juga, kan? Sempat ke dia nak bersiap?
Nak kemaskan pakaian? Maklumlah, nak pergi bercuti,” Wadi
Ridhuan tersengih lagi apabila memberikan jawapan itu.
Tiada apa lagi yang boleh Farha katakan. Segala
rancangan yang diatur kemas oleh Wadi Rihuan terpaksa dia
setujukan sahaja. Kemudian, dia dan Wadi Ridhuan melangkah
seiringan menuju ke kereta yang diparkir di bawah pokok
kelapa.
Perbincangan demi perbincangan di antara dia dan
juga Wadi Ridhuan di Pantai Cahaya Bulan itu mendapat
persetujuan sesama mereka. Lafaz janji yang pernah dibuat
Wadi Ridhuan sebelum ini, bakal dikotakan lelaki itu. Dalam
hati, Farha memanjatkan kesyukuran. Pada zaman serba moden
ini, masih ada lagi lelaki yang sebaik Wadi Ridhuan.
SELEPAS meminta keizinan daripada Datin Wasilah untuk
pulang ke kampung dengan alasan neneknya sakit, Farha
cepat-cepat melangkah keluar. Awal-awal lagi Wadi Ridhuan
menyuruhnya supaya menunggu di bawah lereng bukit selepas
selekoh jalan supaya tidak dilihat oleh sesiapa. Dia akur dengan
arahan itu.
Wadi Ridhuan masih berada di bilik. Tangannya lincah
memasukkan beberapa helai pakaian ke dalam sebuah bagasi
kecil. Tadi dia sudah menghubungi sepupunya Wan Aiden
yang menetap di Thailand untuk meminta bantuan supaya
menguruskan pernikahannya di sana.
Pada awalnya, sepupunya itu sangat terkejut dengan
permintaan Wadi Ridhuan tetapi selepas diceritakan satu
persatu, barulah sepupunya itu ikhlas mahu membantu.
“Eh, ibu ingatkan Wadi dah lama pergi kerja,” suara
ibunya tiba-tiba menjengah telinga. Air liur diteguk laju.
Perasaan terkejutnya cuba ditenangkan supaya ibunya tidak
mengesyaki apa-apa.
“Ibu...” dia menoleh sambil tersenyum.
Datin Wasilah memandang anaknya dengan satu
pandangan pelik. Bagasi kecil yang berada di atas katil menarik
perhatian, “Wadi nak ke mana ni?” Soalnya.
“Saya nak pergi bercuti. Lagipun, dah lama saya tak
habiskan masa dengan berehat. Asyik kerja aje, penat jugak,”
Wadi Ridhuan memberikan jawapan.
“Pergi bercuti? Eh, kenapa tiba-tiba aje? Bukan ke
pagi tadi Wadi dah bersiap-siap nak pergi kerja?” Datin Wasilah
menyatakan keraguan.
“Itu tadi. Sekarang dah lain. Saya rasa malas pulak,”
jawabnya lagi sambil membuat wajah kasihan.
“Isy, macam-macam. Haaa... nak pergi bercuti ke
mana kali ni?”
“Entahlah saya tak tahu lagi. Mungkin bila masuk
dalam kereta, bila dah drive, masa itulah idea datang...” Wadi
Ridhuan berseloroh semata-mata mahu menyembunyikan rasa
hatinya yang tidak tenteram dengan kemunculan si ibu secara
tiba-tiba. Risau pula kalau rancangannya terbongkar nanti.
Andai kata rancangannya dapat dihidu oleh si ibu, kasihan pula
pada Farha yang sudah menunggu di tepi jalan.
“Berapa lama Wadi nak pergi kali ni?”
“Er... seminggu dua macam itulah,” jawabnya pantas.
Kalau boleh, dia ingin segera keluar dari bilik itu dan tidak
mahu lagi berlama-lama menantikan bermacam soalan lagi
yang bakal menerpa gegendang telinga.
“Okey. Selamat bercuti. Jangan lupa buah tangan
untuk ibu...” Datin Wasilah menghadiahkan senyum lalu
menghampiri Wadi Ridhuan untuk memberikan pelukan
selamat jalan.
Sebaik sahaja dia berjaya keluar dari villa dengan
memecut laju keretanya, barulah dia mampu menarik nafas
lega. Fokus utamanya sekarang adalah mahu memikirkan
bagaimana caranya untuk berterus-terang dengan nenek Farha.
Mampukah nenek tua itu menerima kenyataan?
Apakah pula penerimaan nenek Farha itu nanti? Adakah
hajat hatinya yang mahu menikahi Farha di negara jiran itu
akan mendapat restu? Pelbagai soalan datang menerjah dalam
mindanya. Keluhan berat mula terlepas keluar.
Kaki kanan menekan brek. Keretanya diberhentikan
betul-betul berdekatan Farha yang sedang tercegat
menunggunya di selekoh jalan itu. Sejurus sahaja pintu kereta
dibukakannya dari sebelah dalam, gadis itu segera memboloskan
diri ke dalam kereta.
Jarak di antara rumahnya dan perkampungan Farha,
tidaklah berapa jauh. Mengambil masa hanya satu jam sahaja.
“Betul ke keputusan yang Encik Wadi buat ni?”
Soal Farha kedengarannya masih lagi sangsi. Wadi Ridhuan
tersenyum sambil menggeleng. Nampaknya, Farha masih
berprasangka terhadapnya.
“Sayang, mulai sekarang belajarlah panggil ‘abang’,
ye?” Bibir makin melebar dengan senyuman.
Kalau diikutkan rasa hati, mahu sahaja dia
menggenggam tangan Farha untuk memberikan gadis itu lebih
keyakinan tetapi tiba-tiba sahaja niatnya mati. Dia sudah sedia
maklum yang Farha tidak suka. Kepala ditoleh, memandang
tepat pada seraut wajah Farha yang sedang duduk di sebelah.
Farha membalas pandangan itu.
“Saya akan cuba biasakan diri dengan panggilan
macam tu sebaik saja kita sah menjadi suami isteri. Encik Wadi
pun sama, tak perlulah nak ‘bersayang-sayang’ dengan saya buat
masa sekarang,” balas Farha sambil menunduk. Nada suaranya
tegas kedengaran. Renungan sepasang mata polos milik Wadi
Ridhuan tidak mampu dipandangnya lama-lama. Dia sentiasa
kalah dengan renungan itu. Wadi Ridhuan berdehem kecil.
Terasa malu sendiri apabila Farha membalas dengan cara begitu.
“Sampai di kampung Farha nanti, abang akan cuba
berterus-terang dengan nenek Farha tu.”
“Saya tak tahu macam mana reaksi nenek nanti. Tentu
dia terkejut besar. Yang paling saya risau kalau nenek marahkan
Encik Wadi,” kedua-dua tangan diramas perlahan.
“Garang sangat ke dia?” Soalnya sambil kepala ditoleh
seketika ke arah Farha.
“Ya. Nenek saya tu memang garang sikit. Tapi tentang
perkara tu saya tak kisah sangat. Apa yang saya bimbang
sekarang ni, kalau tiba-tiba saja dia halau Encik Wadi bila Encik
Wadi cakap nak kahwin dengan saya di sempadan tu. Tentu
nenek mengamuk besar.”
“Dah tentulah abang akan cerita perkara yang sebenar
pada dia. Abang takkan berbohong yang abang dah buat perkara
tak baik pada cucu dia dan abang akan bertanggungjawab
sepenuhnya. Abang mahu dia nampak abang sebagai seorang
lelaki yang jujur dan berani berterus-terang. Haaa...” puji Wadi
Ridhuan pada diri sendiri.
Farha mencemik. Dengan neneknya berani pula Wadi
Ridhuan mahu berterus-terang tetapi kalau dengan Dato’
dan Datin, dia tidak berani pula. Apa nak buat, terima sajalah
keadaan yang semakin mendesak ini. Pujuk Farha sendiri.

No comments:

Post a Comment