Sunday, 26 June 2016
Hanya Milikmu - Bab 1
SEBUAH Porsche kelihatan meluncur laju
memasuki pekarangan banglo besar tiga tingkat milik
Tengku Ismail. Seorang lelaki muda kelihatan turun dari
kereta mewah tersebut sambil menolak naik kaca mata hitam
yang dipakainya. Segak, kacak dan bergaya lagaknya, itulah
Tengku Harith. Anak lelaki tunggal Tengku Ismail dan juga
Tengku Salmah.
Tengku Harith berjalan memasuki rumahnya.
Cuaca tengah hari itu agak panas, membuatkan langkahnya
semakin laju. Tidak sabar untuk memasuki rumahnya yang
mempunyai pendingin hawa.
Sebaik sahaja tiba di dalam rumah, kelihatan
Tengku Ismail sudah tercegat berdiri di tepi tangga dengan
wajah merah menyala. Dia tahu, anak lelakinya tentu akan
melalui tangga tersebut untuk naik ke bilik dan dia memang
sengaja menunggu Tengku Harith di situ. Tengku Harith
nampak papanya itu sedang melirik tajam ke arahnya.
“Kamu ke mana?! Semalam tak balik, tengah hari
baru tahu balik ke rumah? Kamu ingat rumah ni hotel ke
apa?” Tengku Ismail melepaskan rasa amarahnya.
Memang dia marah. Anak lelakinya itu sudah tidak
terkawal. Selalu buat hal. Paling memanaskan halwa
telinganya, dia terdengar khabar-khabar angin bahawa
anaknya bercampur dengan kawan-kawan yang tidak
senonoh. Selalu pergi ke kelab malam dan bertukar
perempuan malah, dia sendiri pernah terbau alkohol pada
pakaian anak lelakinya itu sebelum ini. Itu yang menguatkan
lagi kepercayaannya bahawa segala khabar angin tentang
anaknya itu adalah benar.
“Ala, Rith pergi rumah kawanlah, papa... Takkanlah
tu pun Rith nak kena cerita? Rith dah besarlah, papa... Rith
tahulah jaga diri...” balas Tengku Harith dengan kerutan di
dahi. Dia tidak berani memandang muka bengis papanya
ketika itu.
“Rumah kawan yang mana?! Apa-apa pun kamu nak
buat, kamu pergi mana atau dengan siapa kamu berkawan,
mesti kena bagi tau papa! Kamu ni dah melampau, tahu?!”
tengking Tengku Ismail, amarahnya sudah meledak.
“Rith! Kamu ke mana semalam?! Kenapa sekarang
baru balik? Buat mama dan papa risau aje...” Tengku Salmah
kelihatan menuruni anak tangga menuju ke bawah. Sebentar
tadi, dia terdengar tengkingan suaminya. Tahulah dia bahawa
anak lelakinya sudah balik, sebab itulah dia turun ke bawah.
“Ala, mama pun sama macam papa! Tau nak
mengongkong aje! Rith dah besar, dah dewasa. Kenapa Rith
nak kena dikongkong macam ni lagi?” bidas Tengku Harith
dengan suara yang agak meninggi.
“Mah tengok tu! Anak kita dah pandai melawan
cakap! Nak jadi apa? Anak derhaka? Macam tu?!” tengking
Tengku Ismail lagi, sambil memegang dadanya yang terasa
sedikit perit. Dia hampir longlai namun sempat dipaut oleh
isterinya.
Jantungnya bermasalah sejak kebelakangan ini,
ditambah lagi dengan perangai anak lelaki tunggalnya itu
membuatkan dia selalu terasa perit di dalam dadanya. Sakit
jantungnya seringkali menyerang ketika ini, kerana terlalu
risaukan Tengku Harith.
“Abang! Abang okey, ke? Harith! Kamu ni memang
dah melampau! Baik kamu pergi masuk ke dalam bilik
kamu... sekarang! Jangan keluar selagi mama dan papa tak
benarkan...” marah Tengku Salmah sambil mengusap-usap
dada suaminya. Dia memimpin suaminya ke arah ruang tamu
lalu mendudukkan suaminya di situ.
“Mama ni... ingat Rith ni budak-budak lagi ke?
Maaflah, tapi malam ni Rith dah janji dengan kawan-kawan
nak keluar minum! Mama jangan bising boleh tak? Rith
tahulah balik rumah lepas dah minum dengan kawan-kawan
nanti!” rungut Tengku Harith tanpa menghiraukan papanya
yang tengah menahan kesakitan.
“Mama cakap, pergi masuk ke dalam bilik kamu!
Jangan sampai mama naik marah, mama ambil kunci kereta
dan sekat duit poket kamu!” jerkah Tengku Salmah dengan
wajah menyinga. Harith menarik muka masam sambil
merenung tajam muka mamanya.
“Apa yang kamu pandang? Mama tak sangka anak
yang mama tatang macam minyak yang penuh boleh
berkelakuan macam ni dengan mama dan papa. Mungkin
salah mama sebab terlalu manjakan kamu sebelum ni. Atau
mungkin salah kami berdua hantar kamu belajar ke luar
negara. Kalau mama tahulah kamu balik dari luar negara nak
jadi macam ni, mama takkan hantar kamu pergi belajar kat
sana dulu!”
“Memang salah mama dan papa! Dari dulu terlalu
mengongkong hidup Rith! Okeylah, malas Rith nak dengar
mama membebel lagi. Rith keluar dulu!” ujar Tengku Harith
sambil meluru keluar dari rumah, tidak langsung mendengar
kata mamanya yang menyuruhnya naik ke bilik.
“Rith! Kamu jangan membantah! Atau mama sekat
duit poket kamu!” jerit Tengku Salmah. Langkah Tengku
Harith terhenti di hadapan pintu rumah. Dia menoleh.
“Rith tak kisah pun. Mama nak sekat? Sekatlah!
Macamlah Rith tak ada duit simpanan sendiri yang mama
pernah bagi kat Rith dulu. Rith lagi bijak, Rith dah transfer
duit-duit tu dalam akaun lain. Rith tahu, benda macam ni
mesti akan jadi punyalah..!” balas Tengku Harith dengan
wajah tidak berperasaan.
“Harith! Kenapa kamu jadi sampai macam ni
sekali? Kenapa nak seksa mama dan papa macam ni? Apa
silap kami besarkan kamu selama ni?” Tengku Salmah mula
terasa sayu. Air matanya mulai bergenang lalu mengalir
deras ke pipinya.
Tengku Harith mendiamkan diri. Dia tidak mahu
menghiraukan kata-kata mamanya. Hatinya sudah nekad.
Kini, ibu bapanya takkan boleh kawal hidup dia lagi! Dia
ingin melangkah, namun dia terdengar suara papanya
berkata sesuatu.
“Kalau kamu berani melangkah pergi walau
selangkah lagi, papa takkan wasiatkan harta papa ke atas
nama kamu walau satu sen pun. Hiduplah kamu dengan
wang simpanan kamu dan pandai-pandailah kamu nak hidup
kalau duit tu dah habis... Papa akan wasiatkan harta-harta
papa ke pusat pemulihan akhlak atau rumah anak-anak
yatim. Beri kepada mereka yang lebih memerlukan...” ucap
Tengku Ismail dengan suara yang lemah. Tengku Salmah
memandang wajah suaminya dengan wajah tidak percaya.
Begitu sekali suaminya marahkan Tengku Harith. Air
matanya yang mengalir sesekali diseka dengan jemari.
Tengku Harith terkesima setelah mendengar katakata
papanya. Takkanlah papanya bencikan dia sampai
macam tu sekali? Sampaikan harta-hartanya tidak
diwasiatkan ke atas nama anak sendiri? Sedangkan aku ni
adalah anak tunggal dia! Kenapa? Tengku Harith tidak
terkata apa-apa lagi. Lidahnya terkelu lalu langkahnya laju
berpatah balik naik ke bilik. Hatinya sakit! Jiwanya
memberontak kini.
“Balqis! Hoi, kau buat apa tercegat lagi kat situ? Aku
panggil kau dari tadi lagi! Ambilkan aku rokok kat atas almari
tu!” jerkah Pak Samad dengan wajah bengisnya.
Balqis berlari-lari anak dengan wajah tenang
mendapatkan rokok yang terletak di atas almari
berdekatannya lalu memberikan kepada bapa tirinya itu. Dia
sudah terbiasa dengan jerit pekik orang tua itu sejak
beberapa tahun yang lepas. Bapa kandungnya sudah lama
meninggal dunia, sejak dia masih berada di dalam perut
ibunya lagi. Sejak kecil dia tidak pernah merasai kasih sayang
seorang bapa. Sebab itulah dia selalu mendambakannya
daripada Pak Samad. Ibunya berkahwin dengan Pak Samad
kerana terhutang budi kepada lelaki itu.
Namun selepas berkahwin, lelaki itu menjadikan
mereka anak-beranak bagaikan hamba abdi kerana terlalu
taasub dengan judi. Dan Pak Samad tidak pernah
menyayanginya sebagai anak sendiri walau sekalipun. Balqis
terpaksa bekerja keras sebagai pembantu rumah demi
menampung kehidupan ibunya dan juga keperluan kewangan
Pak Samad. Selama ini, dia hanya bersabar dengan kerenah
Pak Samad. Tidak pernah walau sekalipun dia merungut atau
menyimpan dendam kepada orang tua itu.
“Kau tercegat apa lagi? Kau nak kena pelempang
aku lagi ke? Pergi main jauh-jauhlah. Aku nak tumpukan
perhatian ni!” tengking Pak Samad sambil memegang sebuah
kad yang mengandungi nombor ramalan. Di sebelah lagi
tangannya, dia memegang telefon bimbit yang ‘peti masuk’
nya penuh terisi dengan nombor ramalan daripada rakanrakan
yang turut berjudi dengannya.
“Pak cik nak makan apa malam ni? Balqis nak
masakkan ni...” getus Balqis lembut. Dia tersenyum kepada
Pak Samad. Orang tua itu buat tidak endah.
“Pak cik?” panggil Balqis lagi, membuatkan Pak
Samad menoleh dengan wajah penuh amarah.
“Kau ni tak faham bahasa Melayu ke? Kau ni
bodoh? Umur dah 20 tahun pun masih nak kena ajar? Aku
nak tumpukan perhatian ni! Kau masaklah apa-apa pun... ada
aku peduli ke selama ni?” marah Pak Samad sambil bangun
kemudian menghampiri Balqis. Pipi gadis itu ditampar
dengan kuat. Hampir jatuh terduduk Balqis akibat daripada
penangan tamparan Pak Samad itu.
Balqis menarik nafas dalam-dalam, cuba menahan
rasa hati yang sedikit terguris dan juga kesakitan yang
menyengat-nyengat di pipinya. Astaghfirullahal’azim... Balqis
beristighfar banyak-banyak dalam hatinya. Hanya itulah yang
selalu dilakukan oleh Balqis setiap kali dia berasa sedih atau
terguris hati. Balqis percaya, jika seseorang hamba Allah
SWT itu sentiasa bersabar, Allah SWT tentu akan
memberikan kebahagiaan kepadanya suatu hari nanti. Kalau
tidak di dunia, di akhirat pasti terdapat kebahagiaan yang
dijanjikan oleh Allah SWT itu.
Balqis berlalu dari situ. Dia ingin ke dapur tetapi
tiba-tiba langkahnya terhenti apabila terasa bahunya seperti
disentuh lembut oleh seseorang. Dia menoleh ke sebelah
kirinya. Ibunya, Kalsom kelihatan merenung wajahnya
dengan penuh rasa simpati dan rasa bersalah.
“Maafkan mak, nak... Sebab tak dapat buat apa-apa
untuk lindungi kau. Kalau mak tak sakit macam ni, tentu
mak boleh lindungi kau. Maafkan mak... Sebab selalu
menyusahkan kau dan tak dapat nak bantu kau... Maafkan
mak, ya Balqis? Sabarkanlah hati kau... Mak tahu, suatu hari
nanti pasti kebahagiaan akan jadi milik kau juga, nak...”
Kalsom menangis teresak-esak setelah selesai berkata-kata.
Hatinya pedih melihat keadaan satu-satunya anak
perempuan yang dia ada itu. Hari-hari ditengking, disepak
dan diterajang oleh suami dayusnya itu. Dia tidak dapat
berbuat apa-apa dalam keadaan dirinya yang sebegitu. Dah
masuk dua bulan sejak dia disahkan menghidap barah paruparu
tahap yang sangat kritikal, menyebabkan keadaannya
sentiasa lemah. Inipun, dia mencuba sedaya-upaya untuk
bangun menenangkan Balqis setelah mendengar pekikan
suaminya tadi. Dia tahu, Balqis tentu diseksa oleh suaminya
lagi. Namun dia kesal kerana hanya dapat menyaksikan
seksaan demi seksaan ke atas anaknya tanpa berdaya
membuat apa-apa.
“Mak... kenapa mak bangun ni? Pergilah rehat, ya?
Balqis okeylah. Jangan risau, ya?” Balqis mulai risau apabila
ternampak ibunya tercegat di hadapan pintu bilik. Orang tua
itu masih mengalirkan air mata. Balqis menyeka air mata
ibunya dengan sebuah senyuman manis.
“Maafkan mak, Balqis...”
“Tak apa, mak. Balqis dah biasa, dah kebal dengan
kerenah pak cik tu. Jadi mak jangan risau tau? Balqis boleh
jaga diri Balqis... Mak pergilah rehat, ya? Nanti Balqis
bawakan makanan mak... Mak ada nak minum apa-apa tak
ni? Balqis buatkan...” Balqis cuba tersenyum lagi buat
ibunya. Ibu yang kerap kali membelanya ketika dia diseksa
dahulu. Namun kini ibunya itu sudah tidak berdaya lagi sejak
menghidap penyakit kronik. Dan dia tidak mahu
membebankan ibunya untuk memaksa diri bangun begini
semata-mata kerana ingin menyedapkan hatinya.
“Mak tak mahu kau bersedih. Sabar, ya nak? Mak
risaukan kau... Kalaulah mak dah tak ada nanti, apalah yang
akan jadi kepada kau? Mak tak sanggup bila setiap kali
memikirkannya...” getus Kalsom dengan linangan air mata
yang mengalir kembali. Sungguh, dia risaukan Balqis jika dia
sudah mati nanti.
“Mak... janganlah cakap macam tu. Syhhh...
Jangan... Nanti Balqis sedih. Mak nak tengok Balqis tambah
sedih ke? Mak tahu kan Balqis sayangkan mak sangat?” Balqis
memeluk ibunya seraya selesai berkata-kata.
Dia sebak. Memang benar, ibunya itu sudah tidak
mempunyai banyak waktu lagi memandangkan penyakitnya
itu yang sudah melarat. Dan pada saat-saat seperti inilah dia
ingin berbakti dan memberikan kasih sayang sepenuh jiwa
raganya kepada ibu kesayangannya itu.
“Maafkan mak... Mak tak dapat nak lindungi Balqis
walaupun semasa waktu-waktu terakhir hayat mak... Kalau
mak dah mati nanti, macam manalah kau... Mak risau
sangat!” tangis Kalsom lagi dengan esakan menjadi-jadi.
Balqis tidak dapat menahan perasaannya lagi lalu air matanya
mengalir juga.
“Mak... tolong jangan cakap perkara yang belum
berlaku. Masa inilah Balqis hargai sebaik-baiknya. Jangan
buatkan Balqis sedih. Balqis sayangkan mak. Balqis tengah
cari kekuatan untuk lepaskan mak pergi daripada hidup
Balqis. Mak, Balqis sayangkan mak sangat. Balqis nak jaga
mak dengan sebaik-baiknya sekarang ni... Balqis berdoa
setiap malam, supaya Allah kuatkan hati Balqis ketika sampai
masanya Dia mengambil mak daripada Balqis.. Balqis terlalu
sayangkan mak. Dan Balqis reda sekiranya itulah yang telah
Allah takdirkan...” Kini Balqis menangis teresak-esak di
dalam pelukan ibunya. Dia tidak dapat membayangkan
hidupnya tanpa ibu tersayang.
“Maafkan mak, nak... Mak takkan cakap pasal
perkara ini lagi...” ujar Kalsom sambil melonggarkan pelukan
lalu menyeka air mata Balqis. Dia mengucup dahi dan keduadua
belah pipi Balqis pula selepas itu. Sayang benar dia
kepada satu-satunya anak perempuannya itu. Dia selalu
berdoa kepada Allah SWT supaya melindungi anaknya itu
apabila dia sudah tiada nanti.
No comments:
Post a Comment