Sunday, 26 June 2016

Hanya Milikmu - Bab 7

“MAAFKAN Qis, Abang Mirul... Qis tak
dapat menolak bila mak cakap yang mak dah pun berjanji
kepada keluarga mereka...” ucap Balqis lagi dengan wajah
bersalah. Ustaz Amirul di sebelahnya hanya mampu terdiam
tanpa sebarang kata. Ternyata lelaki itu kesedihan dan juga
kecewa.
“Tak apalah, Qis. Mungkin dah jodoh Qis dengan
dia... bukan dengan abang...” balas Ustaz Amirul akhirnya.
Dia cuba mengukir senyum, namun kelat. Wajah
bujur sirih gadis idamannya itu dipandang sayang. Bertuah
sungguh lelaki yang memiliki gadis ini kelak. Balqis ialah
seorang gadis yang baik dan cukup dengan semua sifat
wanita terpuji. Gadis ini bakal menjadi seorang isteri solehah
yang taat dan patuh kepada suami. Bertuahlah sesiapa jua
yang memiliki gadis ini. Dan Ustaz Amirul kecewa kerana dia
bukanlah lelaki bertuah tersebut.
“Maafkan Qis, Abang Mirul. Qis...”
“Tak apa, Qis. Dah memang tersurat yang kita ni
sampai bila-bila pun menjadi sepupu. Dan abang tak kisah
pun, janji dapat tengok Qis bahagia dari jauh. Abang akan
selalu doakan yang terbaik buat Qis...” Senyum Ustaz Amirul
lagi sambil melepaskan keluhan kecil. Beban hatinya ketika
ini, hanya Allah yang mengetahuinya. Betapa dia susah ingin
menerima kenyataan takdir ini, namun dia terpaksa juga
terimanya.
“Tapi, kalau Qis rasa tak bahagia… Qis beritahu
kepada abang. Nanti abang pelangkung kepala mamat tu!”
ujar Ustaz Amirul tiba-tiba dengan nada bergurau. Balqis
yang tadinya muram, terus tertawa kecil. Lucu juga dengan
mimik muka Ustaz Amirul ketika itu.
“Terima kasih, Abang Mirul. Qis pun dah tak tahu
nak cakap apa lagi dah... Abang Mirul memang baik sangat
dengan Qis. Qis banyak terhutang budi dengan Abang
Mirul...” balas Balqis dengan senyum kecil. Ustaz Amirul
turut tersenyum. Air sungai yang mengalir di hadapannya
kini direnung kosong. Pemandangan desa ini sememangnya
sungguh menenangkan jiwa Ustaz Amirul.
“Tak apa, lagipun abang ikhlas dengan Qis selama
ni! Hmm... bila agaknya Qis kahwin nanti?” tanya Ustaz
Amirul. Dia menguatkan hatinya bertanya soalan maut
baginya itu.
“Mungkin dalam sebulan lagi. Tak tahu juga...
Nanti rombongan meminang datang, barulah tarikh sebenar
akan ditetapkan...” balas Balqis jujur. Ustaz Amirul
mengangguk-angguk sambil terus menghalakan pandangan
ke arah sungai di hadapannya itu. Hatinya berasa tidak
keruan. Tidak lama lagi, gadis itu bakal dimiliki orang...
Pedihnya hati Ustaz Amirul memikirkan Balqis yang bakal
bergelar isteri orang lain.
“Baguslah tu, Qis. Lagi cepat, lagi bagus... Lagipun
perkahwinan ni perkara yang baik, mulia dalam Islam.
Baguslah Qis sudah boleh mendirikan rumah tangga... Abang
turut gembira dengan khabar berita ni...” Senyuman Ustaz
Amirul pahit. Dia kini memandang kakinya pula, tidak berani
menatap raut wajah ayu di sebelahnya. Dia bimbang dia akan
menjadi lemah.
“Abang, dalam masa dua hari lagi, Pak Cik Ismail
akan datang bawakan rombongan meminang. Kalau abang
tak ada buat apa-apa masa tu, abang datanglah ya?” pelawa
Balqis ikhlas. Ustaz Amirul hanya mengangguk tanpa kata.
“Habis tu, Pak Cik Samad setuju ke Qis nak kahwin
ni?” soal Ustaz Amirul. Dia tiba-tiba terfikirkan Pak Samad.
Balqis melepaskan keluhan kecil.
“Qis belum bagi tau lagi. Qis tak tahu nak bagi tau
macam mana... Bimbang juga dengan penerimaan Pak Cik
Samad nanti...”
“Tak apalah Qis... jangan risau... abang kan ada.
Nanti bila Qis nak beritahu Pak Cik Samad, Qis ajak abang
sekali ya? Mesti dia tak berani nak pukul-pukul Qis kalau
abang ada sekali...” kata Ustaz Amirul lembut.
Memang selama ini Pak Samad tidak berani
memukul Balqis jika dia ada bersama-sama Balqis. Sekali
orang tua itu pernah termakan bukakan silat Ustaz Amirul,
dia sudah tidak berani untuk memukul Balqis di depan Ustaz
Amirul. Tetapi di belakang Ustaz Amirul, dia berani pula
memukul gadis itu. Kalau tak kerana Balqis asyik
mempertahankan Pak Samad, dah tentu Pak Samad itu
terpaksa makan lagi pelempang dia.
“Terima kasih sekali lagi, Abang Mirul... Budi baik
Abang Mirul ni hanya Allah yang dapat membalasnya... Qis...”
ujar Balqis lemah, tanpa dapat menghabiskan kata-katanya.
Air mata bergenang di pelupuk matanya tika itu. Terharu
dengan sikap pelindung sepupunya itu.
“Syhhh... Qis kan sepupu abang? Dah, jangan
nangis ya?” pujuk Ustaz Amirul sambil mengukir senyum
manis. Wajah ayu Balqis dipandangnya kini. Sungguh cantik!
Puji Ustaz Amirul dalam hati.
“MANA lagi kau nak cari kerja?! Takkan selamanya kau nak
duduk rumah tercangak macam ni? Aku perlukan duitlah!
Bodoh ke apa kau ni? Diam macam ni kau ingat kau tu bagus
sangat? Nak tunjuk lagak?” bentak Pak Samad dengan wajah
merah padam. Marah benar dia ketika itu! Balqis terduduk di
atas lantai lantas terdiam. Kecut perutnya apabila Pak Samad
menjerkahnya begitu.
“Balqis! Aku tanya kau ni! Kau pekak? Tuli?? Kau
ingat kau boleh duduk free kat rumah pusaka arwah mak aku
ni? Kalau kau tak nak kerja, kau berambus keluar dari rumah
ni. Bawa mak kau tu sekali! Menyusahkan aje! Kecik-kecik
tak nak mampus, bila dah besar-besar ni tak habis nak
menyusahkan orang!!” tempelak Pak Samad lagi.
Dia sengaja ugut Balqis begitu untuk buatkan anak
tirinya itu takut lalu keluar mencari kerja baru. Sudah
beberapa minggu Balqis tidak bekerja selepas dipecat tempoh
hari. Bila Balqis tak bekerja, bermakna tiadalah duit untuk
dia berjudi. Jadinya, dia mesti memaksa juga Balqis bekerja.
Walau apapun yang terjadi, Balqis kena bekerja juga dan beri
duit kepadanya.
Aku ni, nak keluar bekerja? Hah, malaslah! Apa
gunanya ada anak tiri yang masih cukup sifat dan sihat tu,
kalau tak suruh dia aje pergi bekerja? Lagipun aku dah
besarkan dia, takkanlah dia tak mahu fikirkan kesusahan aku
nak besarkan anak yang bukan anak kandung aku sendiri?
Balqis kena sedar tentang hal itu! Bersyukurlah aku tak
buang aje dia kat tepi jalan masa dia kecik-kecik dulu! Fikir
Pak Samad sendirian dalam hatinya yang sakit.
“Kau patut bersyukur aku tak buang kau kat tepi
jalan atau jual kau masa kau kecik-kecik dulu! Macam ni
caranya kau balas budi aku yang besarkan kau selama ini?!
Haa?! Kau cari kerja baru kalau kau nak terus menumpang
kat rumah ni. Faham?!” jerkah Pak Samad lagi apabila Balqis
masih tidak bersuara walau sepatah pun. Gadis itu hanya
mampu menundukkan wajah, memandang lantai.
“Abang! Janganlah layan Balqis macam tu... Kesian
dia, bang...” Kalsom cuba berjalan walaupun payah. Balqis
yang mendengar suara ibunya terus berlari lalu memimpin
tangan wanita tua itu.
“Mak, kenapa mak keluar dari bilik ni? Mak
rehatlah kat dalam tu...” ujar Balqis prihatin. Dia memapah
ibunya berjalan ke ruang tamu apabila orang tua itu berkeras
ingin ke situ. Pak Samad memandang dengan wajah berang.
“Kau ni pun satu. Dah nak mampus pun tak lama
lagi! Nasib aku ni kesian lagi kat kau, tak ceraikan kau... kau
jangan masuk campur percakapan aku dengan Balqis!”
tempelak Pak Samad.
Sengaja dia berkata begitu padahal dia sudah lama
ingin menceraikan Kalsom setelah isterinya itu jatuh sakit
tetapi apabila memikirkan yang Balqis mungkin akan
membawa isterinya itu pergi jauh, hidup di tempat lain,
membuatkan Pak Samad membatalkan niatnya itu. Dia tidak
mahu bekerja menyara diri sendiri jika Balqis tiada
bersamanya di situ. Biar Balqis sahaja yang menyaranya,
tidak perlu untuk dia bersusah payah bekerja.
“Pak cik, pak cik boleh marah saya. Tapi tolonglah
jangan cakap kepada mak saya macam tu, pak cik... Dia kan
isteri pak cik?” Balqis kini mengalirkan air mata.
Sampai hati Pak Samad cakap begitu kepada
ibunya. Memanglah sudah tidak lama lagi untuk ibunya itu
hidup di dunia ni, tapi tidak patut betul Pak Samad
menghamburkan kata-kata begitu terhadap ibunya.
Bukankah nyawa seorang manusia itu bernilai? Pak Samad
bercakap seolah-olah nyawa ibunya itu langsung tidak
bernilai. Bukankah ibunya itu isteri Pak Samad yang sah?
“Ahh! Apa aku peduli? Aku tak kira, kalau kau tak
cuba dapatkan kerja dalam masa terdekat ni… kau siaplah!
Aku kerjakan kau cukup-cukup! Aku humban kau orang
berdua keluar dari rumah aku ni…” ugut Pak Samad tanpa
belas kasihan.
“Abang, janganlah macam ni. Kasihanilah kami
anak-beranak. Mana lagi kami nak pergi kalau tak berada di
sisi abang?” getus Kalsom lemah. Pak Samad terus-terusan
merengus kasar.
“Dapatkan kerja dalam minggu ni juga, aku tak
kira!”
“Pak cik, saya janji saya akan cari kerja secepat
mungkin sebelum saya... kah...” Kata-kata Balqis tidak
sempat dihabiskan apabila terasa lengannya disiku oleh
ibunya. Balqis membuang pandang ke wajah tua itu, Kalsom
kelihatan menggeleng-geleng kecil. Fahamlah Balqis, ibunya
tidak mahu bapa tirinya tahu mengenai hal perkahwinannya.
“Jangan beritahu dia, nak. Nanti dia takkan
benarkan kau keluar dari neraka ni... Selamanya kau takkan
dapat larikan diri dari sini, nak...” bisik Kalsom dengan suara
serendah mungkin. Bimbang percakapannya didengari
suaminya yang masih berang.
“Tapi, mak... pak cik kan perlu juga tahu tentang
ni?” bisik Balqis kembali.
Pak Samad menoleh apabila tersedar tiada reaksi
daripada Balqis mahupun Kalsom. Habis terpinga-pinga
Kalsom dan Balqis ketika pandangan tajam Pak Samad
menyapa mereka. Air liur ditelan laju oleh kedua-dua
mereka.
“Apa yang kau orang tengok-tengok?! Ahh! Aku
keluar kejap! Duduk rumah ni buat sakit hati aje tengok
muka dungu kau orang berdua ni!” pekik Pak Samad sambil
mencapai beg rokoknya. Dia berjalan keluar dari rumah itu
meninggalkan Balqis dan Kalsom dalam perasaan penuh
kelegaan. Nasib baiklah mereka tidak tertangkap ketika
sedang berbisik-bisik tadi.

No comments:

Post a Comment