Monday, 27 June 2016
Ivy Raihana - Bab 1
ORANG cakap kalau masuk pertandingan
nyanyian tu, nanti aku boleh jadi popular. Tak kisahlah
menang ke tak, yang penting orang kenal. Haa, nanti
popularlah. Tapi memang la... memang tak boleh percaya
langsung. Aku balik rumah tak ada apa pun yang berubah.
Jiran-jiran kadang tegur, kadang tak macam tu juga.
Tiap-tiap minggu pun kena teman nenek pergi pasar juga.
Sampai masa kena bawa kereta pergi servis juga. Tiap-tiap
bulan kena pergi ambil ubat nenek dekat farmasi juga. Bila
keluar tak ada pun yang datang tegur, ‘eh awak yang masuk
pertandingan nyanyian hari tu, kan?’ Tak ada! Tak ada apa-apa
yang berubah. Langsung! Huh! Ivy Raihana mengeluh lemah.
“Yang kau percaya apa yang diorang cakap tu
kenapa?” soal Aieen. Tak sangka pula yang sepupu dia ni
boleh terpengaruh dengan cakap-cakap orang. Nak kata tak
cerdik, belajar sampai ke luar negara sana. Attention seeker
ke apa Si Ivy ni?
“Sebab aku seorang yang naif la...” Ivy menjeling
Aieen di sebelah. Nak mengutuk dialah tu.
“Habis tu sekarang siapa yang rugi? Tak pasal tak
dapat kerja dekat company Abang Bad.”
Kerja dengan Abang Bad?! Memang taklah aku nak
kerja dekat situ. Jadi PA dia pula tu. Huish tak sanggup aku,
weh. Bisik Ivy geram. Siapa yang tak kenal dengan Abang Bad
tu. Gatal merenyam. “Bukan rezeki akulah tu Aieen oiii...”
Jawab Ivy. Malas nak cakap banyak, bukan Aieen tak kenal
pun dengan perangai Abang Bad tu.
“Eh Vy, suara kau bukan tak sedap pun, kan? Tapi
kenapa kau tak menang, ye?” soal Aieen. Yelah, suara sepupu
dia ni boleh tahan juga la. Bukan stok menyanyi dalam bilik
air pun. Entah apa lagi yang tak cukup agaknya, ye?
Ivy menjeling Aieen di sebelah. Haila budak ni,
aku campak juga dalam laut sana tu. Kalau cakap tak cerdik
karang, marah. Tapi kalau cerdik, tak adanya dia tanya soalan
macam gitu. “Bukan rezeki akulah tu Aieen oiii...”
“Kau ni, asyik bukan rezeki kau saja. Tak ada benda
lain ke kau nak cakap?”
“Habis tu kau nak aku cakap apa? Eh dahlah, aku nak
pergi farmasi ni nak ambil ubat nenek. Kau nak ikut tak?” Ivy
bangun dan menepuk-nepuk punggungnya. Kut la ada lekat
kotoran. Padahal tangga ni tiga kali sehari nenek dia sapu.
“Nak! Bosan juga duduk dekat rumah je.” Aieen turut
bangun dan melakukan perkara yang sama dengan Ivy. Sekali
pandang macam kembar pula. Aieen memang rapat dengan
Ivy, sejak kecil lagi. Umur pun beza setahun saja. Kiranya
Aieen ni partner in crime Ivy la.
“Habis tu kenapa tak kau saja yang kerja dengan
Abang Bad tu?”
“Eee tak naklah aku. Abang Bad tu gatal...” Aieen
menggeleng laju.
“Haa tahu pun. Tadi sedap aje cakap dekat aku kan
rugi tak dapat kerja dekat company Abang Bad tu.” Cakap kat
orang pandai, bila kena batang hidung sendiri tak nak pula.
Aieen sengih. “Kalau Abang Bad nak menggatal
dengan kau, aku kisah apa? Sebab itulah aku cakap macam
tu.”
Ivy menolak bahu Aieen. “Pandai kau, kan? Kalau
aku semua asal boleh. Kalau kau pandai pula nak memilih.
Sengal!” Sekali lagi Ivy menolak bahu Aieen sambil ketawa.
“Aku cakap je, Vy. Dah Abang Bad tu pun asyik
nampak kau je, asyik offer kau je kerja dengan dia. Aku ni
mana dia nak nampak.” Aieen tarik muncung.
“Okey kalau macam tu biar aku cakap dekat Abang
Bad yang kau nak kerja dengan dia.” Kata Ivy lalu melangkah
masuk ke dalam rumah.
“Weh Vy, jangan! Aku tak naklah kerja dengan
Abang Bad gatal tu.” Pantas Aieen mengejar langkah Ivy.
Kedengaran Ivy ketawa bagai nak pecah anak tekak. Ces!
Kena main dengan Ivy rupanya dia.
IVY MENEKAN-NEKAN telefonnya, membalas semua mesej
WhatsApp dari kawan-kawan. Siap balas yang itu, yang ini
pula bunyi. Siap balas yang ini, yang satu lagi pula bunyi.
Sampai bila-bila pun memang tak akan habis membalas
semua mesej kawan-kawan dia tu.
“Vy, kau tak nak kerja dengan Pak Long ke?” soal
Aieen yang kebosanan. Soalan random betul. Bosan punya
pasal.
Pak Long yang Aieen sebutkan tadi adalah ayah
kepada Ivy. Seorang ahli perniagaan yang mempunyai bisnes
sendiri di Kuala Lumpur. Dalam ramai-ramai adik-beradik
Ivy, hanya abangnya yang sulung sahaja yang bekerja dengan
ayahnya. Abang-abangnya yang lain memilih untuk bekerja
di dalam bidang yang berbeza. Manakala Ivy pula, memilih
untuk tinggal bersama neneknya di kampung.
“Tak nak, aku kan nak duduk sini dengan nenek.”
Jawab Ivy yang masih gigih membalas mesej kawan-kawanya.
Bukan mesej apa pun, mesej tentang reunion sekolahnya
nanti. Ivy masih belum buat keputusan sama ada mahu pergi
atau tidak reunion itu nanti.
“Tapi kau duduk sini pun bukan buat apa. Bukan
ada kerja pun. Menghabiskan beras nenek saja.” Selamba saja
Aieen mengutuk sepupunya itu.
“Alah, sama sajalah dengan kau tu.”
“Tak sama, weh. Aku bukan duduk sini pun. Sebulan
sekali dua saja aku datang sini. Tak sempat nak habis pun
beras nenek yang dekat dapur tu.”
“Tapi kau tak kerja macam aku juga, kan? Pemalas
macam aku juga, kan?” Ivy menjeling Aieen sekilas. Aieen
samalah macam dia, penganggur terhormat. Bila mamanya
suruh kerja, dia tak nak. Masih dalam mood graduation
katanya. Padahal dah sebulan lebih dia graduate daripada
universiti.
Aieen ketawa tertahan-tahan. “Yang malas tu
janganlah sebut kuat sangat. Kat sini ada ramai pak cik dan
mak cik tau. Mana tahu ada yang berkenan nak buat aku
menantu terus tak jadi bila dengar kau cakap macam tu.”
Aieen senyum kepada mak cik di sebelah Ivy bila menyedari
yang mak cik itu sedang memandang ke arah mereka. Mak
cik ni dengar ke apa yang Ivy cakapkan tadi?
“Eee... perasan betul minah ni. Tak adanya...” Belum
sempat Ivy menghabiskan kata-kata, lengan kanannya dicuit
seseorang. Ivy memandang ke sisi. Mak cik tadi memandang
tanpa riak. “Ada apa, mak cik?” soal Ivy sopan. Aieen di sebelah
kiri Ivy turut memandang mak cik itu tadi.
“Dua kosong lima kosong nombor giliran adik, kan?”
soal mak cik di sebelah.
Ivy belek kertas nombor giliran di tangannya
kemudian memandang ke arah mak cik itu semula. “Ye saya
mak cik. Kenapa, ye?”
“Dari tadi encik tu panggil nombor adik.” Mak cik
di sebelahnya menunjukkan ke arah kaunter di hadapan
mereka.
Ivy yang turut memandang ke arah kaunter merasa
berdebar tiba-tiba. Homai... Merah betul muka encik tu.
Senyuman tak payah cakaplah, langsung tak ada. Marah ke?
Cepat-cepat dia bangun dan bergerak ke arah kaunter untuk
mengambil ubat. Telefon ditinggalkan di atas riba Aieen
begitu saja.
Ivy cuba untuk senyum tapi rasa kekok benar. “Hai
encik. Maaf tak perasan encik panggil nombor saya tadi.”
Kata Ivy, cuba untuk menghilangkan rasa gemuruh bila
memandang wajah masam encik kaunter.
“Lain kali kalau nak berbual ke nak main telefon ke
tak payah datang sini. Pergi duduk dekat luar sana. Lepas
tu berbuallah sampai subuh esok. Tekanlah telefon awak
tu puas-puas. Tak payah nak menyusahkan orang panggil
nombor awak tu banyak kali. Tak nampak ke orang tengah
ramai sekarang. Kesian dekat mak cik dengan pak cik tu
semua terpaksa tunggu lama sebab awak. Entah-entah
mereka terpaksa menahan sakit ke penat ke, mana kita nak
tahu. Lepas tu kena tunggu lama pula...” Encik tersebut terus
membebel tanpa henti.
Muka Ivy terus berubah riak. Sentap! “Encik
membebel macam ni pun boleh menyebabkan pak cik mak
cik tu semua terpaksa tunggu lama tau. Tak kesian ke dekat
mereka yang terpaksa menahan sakit dan penat sebab encik
duk membebel tak berhenti macam ni. Encik dapat apa
dengan membebel macam ni dekat saya? Kan saya dah minta
maaf dengan encik tadi. Apa lagi yang encik tak puas hati
dengan saya? Nak saya melutut pula ke?”
Balas Ivy dengan nada yang tertahan dan hidung
yang kembang kempis menahan marah. Nak membebel tak
kena tempat betul. Bukan dia tak minta maaf pun tadi. Tak
pasal kena smash balik dengan dia. Staf baru ke apa. Tak
pernah nampak pun sebelum ni.
Encik itu tadi cepat-cepat menyerahkan semua
ubat kepada Ivy tanpa memberikan penerangan. Matanya
tajam merenung ke arah Ivy yang juga turut memandangnya
dengan rasa tidak puas hati. Bengang agaknya bila kena tegur
balik dengan Ivy. Siap kena sindir pula tu. Full package!
Selesai mengambil ubat, Ivy terus menarik tangan
Aieen untuk keluar. Duduk lama-lama dekat situ boleh
menyebabkan hypertension pula nanti. Dia langsung tak
cakap terima kasih. Macam tak perlu saja nak berterima kasih
dengan orang macam tu.
“Kau kenapa, Vy? Main tarik aku macam ni.” soal
Aieen bila mereka berada di dalam kereta. Aieen memandang
muka Ivy yang masam mencuka. Pelik betul, tiba-tiba saja
tarik dia keluar macam ni. Nasib baik tak tersungkur dekat
longkang depan farmasi tu tadi.
“Aku bengang la, Aieen...” Jawab Ivy sambil
menghidupkan enjin kereta. Rasa marah dengan encik dekat
kaunter itu tadi masih berbuku di dada.
“Bengang kenapa?” soal Aieen lagi.
“Aku bengang dengan encik dekat kaunter tu tadi.”
“Encik yang kacak tadi tu ke? Dah kenapa pula kau
bengang dengan dia?”
Ivy menoleh ke arah Aieen dengan mata yang
membulat. “Kacak kau cakap? Muka macam asam keping
macam tu kau cakap kacak. Kau dah buta ke apa Aieen?” soal
Ivy dengan nada terkejut.
“Eh, aku pula yang kena. Dahlah, kau bengang
dengan dia kenapa?” Aieen kembali kepada topik asal. Malas
dah cakap pasal kacak. Tak pasal dia pula kena marah. Tapi
encik tadi memang kacak pun. Aieen ketawa dalam hati.
“Kau tahu tak yang dia membebel dekat aku tadi
sebab aku lambat pergi ambil ubat. Aku dah minta maaf kut,
itu pun nak marah lagi ke. Aku bukan sengaja.”
Aieen angguk faham. Kena marah rupanya, patutlah
sepupu dia ni bengang. Mak cik ni kan memang sejak dulu tak
boleh kalau kena marah. Manja terlebih. Kena marah dengan
ayah dan mama dia tak apa pula. “Dia cakap apa dekat kau?”
Ivy mendengus geram. “Dia cakap kalau nak berborak
ke main telefon ke, pergi dekat luar sana. Nak berborak
sampai subuh esok pun tak apa. Haa, ni semua kaulah punya
pasal.” Ivy menoleh ke arah Aieen dengan mata yang tajam.
“Kenapa aku pula?”
“Kau yang ajak aku berborak tadi, kan? Haa, sebab
kau la...”
“Hoi! Kau yang tak dengar dia panggil nombor kau,
nak salah kan aku pula.” Marah Aieen. Ingat dia je yang tahu
marah.
Ivy mengeluh lagi. Tak pasal dia dengan Aieen pula
yang gaduh. “Dahlah, jom pergi makan. Aku lapar.” Kata Ivy
sambil mengundurkan keretanya.
“Itu la, marah aku lagi. Kan dah lapar.” Aieen
menarik tali pinggang keledar.
“Sorry, Aieen.”
“Sebab kau dah marah aku, kau kena belanja aku
makan.” Kata Aieen sambil menyilangkan tangan ke dada.
Ivy angguk setuju. Tahu dia yang salah jadi, dia harus
menebus balik kesalahannya itu. “Okey, kau nak makan apa?”
“Aku nak makan steak.” Jawab Aieen pantas dengan
riak muka mengada.
“Demand betul kau, kan...” Kata Ivy dengan
senyuman. Matanya masih fokus ke depan, memberi tumpuan
kepada pemanduan. Rasa marah kepada encik kaunter tadi
dibuang jauh-jauh.
“Demand dengan kau je...” Aieen tayang sengih.
Apa-apalah Aieen oiii...
No comments:
Post a Comment