Monday, 27 June 2016

Ivy Raihana - Bab 3

TIGA puluh minit. Dia dah lewat tiga puluh minit!
Alahai, teruklah nanti kena bebel. Ivy sudah menggelabah.
Enjin kereta dihidupkan dan tidak lama kemudian kereta
terus menderu meninggalkan halaman rumah Nek Munah.
Hari ini neneknya ke rumah kawannya di kampung sebelah
kerana ada kenduri kesyukuran. Ivy yang tidak berminat
dengan semua jenis kenduri minta untuk pulang terlebih
dahulu dan akan datang semula kemudian. Tapi sekarang
dia sudah terlewat dari masa yang telah dijanjikan dengan
neneknya.
Tiba separuh perjalanan tiba-tiba telefonnya
berbunyi. Panggilan daripada Puan Intan iaitu mamanya.
Lupa nak pakai handsfree, signal ke kiri diberikan dan Ivy
berhenti di bahu jalan untuk menjawab panggilan telefon
mamanya itu.
“Heya, ma!” Jawab Ivy dengan ceria. Alahai rindunya
dekat mama...
“Astaghfirullahalazim... Salam mana, Ivy?” soal
Puan Intan garang.
“Lupa ma, sorry!” Jawab Ivy dalam gelak ketawa.
“Assalamualaikum, Puan Intan. Puan Intan sihat ke? Ivy
Raihana rindu sangat dekat Puan Intan ni...” Usik Ivy. Suka
betul mengusik mama dia tu.
“Waalaikumussalam. Main je keje, tak pernah nak
serius. Dah tahu rindu baliklah sini.” Bebel Puan Intan.
Konon marah tapi dia dah senyum-senyum dah dekat sebelah
sana. Dia pun dah rindu sangat dekat anak dia yang seorang
ni.
“Kesian nenek tinggal dekat sini sorang-sorang, ma.”
Nada suara dibuat sedih. Pandai berlakon betul budak Ivy ni.
Patutnya hari tu tak payah masuk pertandingan nyanyian,
pergi audition untuk lakonan aje. Confirm dapat.
“Apa susah, bawalah nenek balik sama. Cakap saja
bila nanti mama suruh ayah book tiket.”
“Urm...” Ivy diam seketika. “Nantilah Ivy cakap
dengan nenek dulu. Nenek tu bukan senang nak bawa dia
keluar dari kampung lama-lama. Ada saja yang dia sayang nak
tinggalkan dekat rumah tu. Itik, ayam, kucing bagai.”
“Ha yelah. Kamu buat apa ni? Nenek sihat tak?”
“Nenek sihat. Ivy nak pergi am... Eh, Ya Allah ma!”
“Kenapa Vy?” soal Puan Intan risau.
“Ivy dah lewat ni, nak pergi ambil nenek. Alaaa mesti
teruk kena bebel dengan nenek nanti.” Gear kereta bertukar,
signal ke kanan diberikan.
“Macam-macamlah kamu ni, mama ingatkan apalah
tadi. Haa, tu jangan nak pecut sangat, ye? Bawa kereta biar
berhemah sikit Ivy.” Sempat Puan Intan berpesan.
“Yes ma, got to go. Talk to you later, okay... Bye ma,
muahhh...” Telefon terus dicampak ke kerusi sebelah tanpa
sempat mendengar balasan Puan Intan dan kereta kembali
menderu laju.
“EH ACIK MUN, tak balik lagi?” tegur Puan Fadhilah. Kenduri
kesyukuran di rumahnya hari ini adalah bersempena dengan
kepulangan anak lelaki tunggalnya dari luar negara. Sudah
lama dia berhajat nak buat kenduri kesyukuran, tetapi hari
ini baru berkesempatan.
“Belum, Fad. Acik tunggu cucu acik ni...” Jawab Nek
Munah dengan senyuman.
“Laa kenapa tunggu dekat sini, tunggu dekat dalam
sajalah acik. Kesian acik berdiri lama macam ni.” Puan
Fadhilah memegang lengan Nek Munah, mengajaknya masuk
ke dalam semula.
“Eh tak apa, Fad. Takut nanti cucu acik tak tahu
pula nak cari acik dekat mana.” Nek Munah menolak dengan
sopan. Kalau dia tunggu dekat dalam, sahih cucunya tak
jumpa nak cari. Ivy tu bukan jenis suka mencari pun. Itu yang
dia janji nak tunggu dekat depan pintu pagar ni saja tadi. Nak
suruh Ivy telefon, dia tak ada telefon. Cucunya nak belikan,
dia tak nak pula.
“Tak apalah, acik...” Sekali lagi Puan Fadhilah cuba
menarik tangan Nek Munah untuk ke dalam semula.
“Umi! Ada orang nak jumpa...” Fayed tiba-tiba
mencelah.
“Siapa, Yed?”
“Tak tahu. Ada dekat sana...” Fayed menunjukkan
ke arah sekumpulan kawan uminya yang sedang berdiri
berhampiran dengan kerusi batu milik mereka.
“Okey Yed temankan Nek Mun sekejap. Ajak Nek
Mun masuk dalam, tunggu dekat dalam lebih selesa.” Usai
berkata Puan Fadhilah terus berlalu ke arah kawannya yang
diberitahu oleh Fayed tadi.
“Nek tunggu siapa?” soal Fayed pula.
“Tunggu cucu nenek.” Nek Munah memandang ke
arah Fayed atas bawah. Segak juga anak Fadh ni. Dahlah
tinggi, putih pula tu. Kelulusan luar negara lagi. Untung
betul siapa yang dapat jadi isteri Fayed ni nanti.
“Dari tadi saya nampak nenek tercegat dekat sini.
Jadi nenek tunggu cucu neneklah ni, ye?” soal Fayed dengan
sopan.
Nek Munah angguk dan senyum. “Eh, dah lama
jugalah nenek berdiri dekat sini. Jomlah tunggu dekat dalam
saja. Nanti Fayed tolong tengokkan kalau cucu nenek dah
sampai.”
“Tak apalah Fayed, sekejap lagi sampailah cucu
nenek tu.” Sekali lagi Nek Munah menolak. Fayed cuba untuk
memujuk Nek Munah masuk ke dalam, namun belum sempat
dia bersuara, ada kereta yang tiba-tiba berhenti di hadapan
mereka.
“Nenek!” Ivy meluru ke arah neneknya. “Ampun nek,
Ivy tertidur tadi, lupa nak set alarm.” Kata Ivy terburu-buru
tanpa menghiraukan orang di sekeliling.
Mata Fayed membulat. Heh, minah sewel ni lagi.
Memang bermasalah betullah minah ni. Belum sempat
Nek Munah menjawab, ada yang lain yang terlebih dahulu
bersuara... “Buruk perangai betul, petang-petang macam ni
boleh pula dia membuta sampai terlupa nak ambil nenek
sendiri. Selfish!”
Erk! Ivy terkaku. Macam pernah dengar je suara
sumbang ni, tapi di mana, ya? Asam keping?! “Weh, asam
keping, buat apa dekat sini? Mengintip saya ye?” soal Ivy
garang dengan tangan naik mencekak pinggang.
Sekali lagi mata Fayed membulat. Asam keping
lagi? Minah ni memang nak kena. “Otak tu tak payah nak
biul sangat. Ingat saya hadap sangat ke nak mengintip awak?
Dahlah sewel, biul pula tu. Tambah satu lagi, selfish!” Balas
Fayed bersahaja.
Dia cakap aku biul? Marah Ivy semakin memuncak.
“Kurang ajar punya asam keping. Sedap mulut je mengata
orang, eh. Ingat awak tu hebat sangat ke cakap orang macam
tu? Dasar asam keping bodoh sombong! Dahlah bodoh,
sombong pula tu.” Balas Ivy tanpa teragak-agak. Muka Fayed
sudah merah menahan marah.
“Tambah satu lagi, busybody mengalahkan Mak
Jemah. Tambah satu lagi, mulut longkang. Tambah satu lagi,
psiko! Tambah satu lagi...”
“Asyik tambah satu lagi je... habis tu bila nak
baliknya?” celah Nek Munah bosan. Apa masalah entah budak
berdua ni. Baru jumpa terus gaduh. Ke dah pernah jumpa
sebelum ni?
Ivy terus terdiam. Fayed memandang ke arah Ivy
dengan pandangan yang membunuh. “Lain kali kalau nak
buat apa-apa pun cuba fikirkan tentang orang lain juga.
Nenek awak ni dah tunggu dekat sini hampir satu jam. Tak
kesian ke? Kalau nak membuta sangat pun, tunggulah lepas
ambil nenek awak dulu. Lepas tu membutalah sampai ke
maghrib esok pun, dah tak ada nak menyusahkan sesiapa lagi
dah. Hidup ni jangan nak pentingkan diri sangat, fikirkan
tentang orang lain juga. Fayed masuk dalam dulu Nek Mun,
senang-senang datanglah lagi. Lain kali biar Fayed saja yang
hantar nenek balik. Selamat jalan nek...” Usai berkata Fayed
terus masuk ke dalam rumahnya.
Ivy hanya memandang susuk tubuh Fayed yang
sudah menonong masuk ke dalam rumah. Rumah dia ke ni?
Nenek datang kenduri rumah asam keping ke? Alahai nenek...
“Tercegat lagi dekat situ kenapa? Tak nak balik ke?”
soal Nek Munah yang sudah bersedia untuk masuk ke dalam
kereta.
Ivy terus melangkah ke arah keretanya dengan wajah
yang cemberut. Kereta dipecut laju meninggalkan kawasan
rumah Fayed. Nek Munah hanya diam sambil memandang ke
arah luar tingkap.
“Nenek tak nak marah Ivy ke sebab lambat datang
ambil nenek?” soal Ivy dengan wajah yang muram.
Nek Munah memandang wajah Ivy yang sedang
memandu dengan senyuman. “Tak payahlah kut. Fayed dah
tolong nenek marahkan kamu, cukuplah.” Jawab Nek Munah
selamba.
“Nenek! Tak membantu langsung. Bukan nak backup
cucu pun.” Nek Munah tergelak melihat mulut Ivy yang
memuncung. “Nanti Ivy nak belikan nenek telefon. Senang
kalau Ivy lupa nak ambil nenek macam tadi nenek boleh call
Ivy terus. Nanti tak payahlah Ivy nak tebalkan telinga dengar
mamat asam keping tu mengutuk membebel dekat Ivy
macam-macam.” Tapi akan berjumpa lagi ke dengan mamat
asam keping tu nanti. Ouh harap-harap tidaklah...
“Suka hati kamulah Vy...” Balas Nek Munah malas.
“Tapi kan, nek...”
“Tapi apa?”
“Kenapa dia panggil nenek, Nek Mun?”
“Kenapa tak boleh pula?”
“Macam...”
“Macam apa?”
“Macam nak muntah saja...”
PAP! Nek Munah memukul bahu Ivy.
“Adoiyaiii.... sakitlah, nek.” Wajah Ivy kembali
cemberut. Nek Munah sudah ketawa sakan. Itulah padahnya
kalau tak reti nak berhenti bercakap. Padan muka...
“NEK MUNAH dah balik Yed?” tegur Puan Fadhilah yang
kebetulan lalu di hadapan Fayed yang sedang duduk di tengah
ruang tamu.
Fayed yang sedang bermain dengan Aina, anak Farah
menoleh ke arah Puan Fadhilah. “Dah umi, baru sekejap tadi.”
“Okeylah, umi nak ke atas sekejap.” Puan Fadhilah
terus berlalu ke tingkat atas. Fayed pula kembali memberi
tumpuan kepada kedua anak buahnya itu. Farah iaitu kakak
Fayed mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan dengan
suaminya Amran. Yang sulung, Aiman, berumur tujuh tahun
manakala yang nombor dua, Aina, berumur lima tahun.
“You bossy sebab you cakap ha.. ha.. dah kena
marah...” Aina menggoyangkan jari telunjuk di hadapan
Aiman.
“Eh, youlah bossy sebab you takut ulat.” Balas Aiman
pula.
“No! You bossy sebab you cakap macam tu.”
“I tak bossy la...” Bangkang Aiman lagi.
“NO!” Aina sudah mula merengek. “Yelah, you yang
bossy.” Kata Aiman lagi tanpa menghiraukan rengekan
adiknya. Aiman terus menyusun Lego yang bertaburan
membentuk kapal. Belum sempat Aiman meletakkan susunan
Lego yang terakhir, Aina menolak Lego tersebut dengan kuat.
Habis bertaburan Lego yang disusun Aiman.
“Aina!” Jerit Aiman dan tangisan Aina mula
kedengaran.
“Hey, hey... kenapa ni?” soal Fayed. Dari tadi dia
perasan yang anak saudara dia asyik bergaduh saja. Entah apa
yang tidak kena.
“Aiman marah Aina.” Kata Aina dalam tangisan yang
makin kuat. Suasana mula bingit dengan tangisan Aini.
“You yang mula dulu. You yang tolak mainan I.”
Marah Aiman sambil mengutip semula lego yang bertaburan.
“You cakap I bossy.” Kata Aina dengan tangisan yang
masih membingit.
Fayed menggaru kepala yang tidak gatal. Tak
tahu nak buat apa dengan anak saudaranya itu. “Dah, dah,
meh sini.” Fayed menarik Aina ke dalam pelukan dan cuba
memujuk Aina supaya berhenti menangis.
“Kenapa tu, Ayed?” soal Fatin yang baru muncul dari
dapur.
“Entahlah Tin, gaduh-gaduh lepas tu nangis.” Jawab
Fayed sambil memujuk Aina yang masih menangis. Aiman
pula buat tidak tahu saja seperti tiada apa yang berlaku.
“Manja betul anak buah mak su ni la.” Kata
Fatin sebelum berlalu keluar. Malas nak ambil tahu dan
membiarkan Fayed yang menguruskan semuanya.
“Kenapa, Yed?” Soal Farah pula. Dia baru saja selesai
mencuci pinggan mangkuk dengan Fatin di dapur. Memang
dari tadi lagi dia sudah dengar suara anak-anaknya bergaduh,
sengaja dia buat tidak tahu. Kalau tidak, memang tak siaplah
kerja dia dekat dapur tu.
Fayed mendongak ke arah Farah yang sedang
berjalan ke arah dia. “Gaduh ni, kakak.” Jawab Fayed.
“Pasal apa?”
“Entah. Yed dengar yang bossy, bossy je.” Nak
tergelak juga dia dengar budak berdua ni bergaduh. Siap
cakap I you lagi. Mana belajar entah.
“Tak habis lagi gaduh pasal semalam abang?” soal
Farah dengan wajah yang marah. Tangan diletakkan di
pinggang.
Aiman mendongak memandang ke arah ibunya.
“Aina yang mula dulu ibu, bukan abang.” Jawab Aiman
dengan wajah yang muram. Takut sebab kena marah dengan
ibu dia.
“Dah tu tak boleh nak beralah dengan adik?” soal
Farah lagi. Fayed hanya melihat saja kakaknya yang sedang
memarahi anak buah dia.
Aiman bangun. “Selalu abang yang kena marah,
padahal adik dulu yang mula.” Aiman menghentakkan kaki
sebelum berlalu. Seketika kemudian kedengaran suara Aiman
menangis memanggil ayahnya. Farah hanya menggeleng
melihat gelagat anak sulung dia. Tak padan dengan lelaki,
manja.
Fayed ketawa. “Entah apa-apalah anak kakak ni.
Beria bergaduh, siap dengan I you bagai. End up dua-dua
menangis. Yang sorang ni entah bila nak senyap.” Fayed
menjeling ke arah Aina yang memeluk lehernya erat dan
melentokkan kepala di atas bahu dia. Masih lagi menangis
seperti tadi.
Farah duduk di sebelah Fayed. “Ini baru sehari Yed
duduk dengan diorang. Kalau tiap-tiap hari, boleh bertukar
jadi harimau macam kakak tau.” Kata Farah sebelum menarik
Aina ke atas riba dia. Muka anak yang sememeh dikesat
dengan tangan. Bila berada di atas riba Farah, automatik
tangisan Aina berhenti.
Sekali lagi pecah ketawa Fayed. “I you tu mana dapat
kakak?” soal Fyed setelah ketawanya reda.
“Mana lagi kalau bukan Disney Channel.”
“Laaa... Aiman layan Disney Channel juga ke?”
“Dah si adik nak tengok, abang layankan jelah.”
Farah dan Fayed ketawa. Seketika kemudian muncul Amran
sambil mendukung Aiman. Dah masuk darjah satu tapi masih
nak dukung. Nasiblah si ayah suka melayan. Kalau ibu dia,
memang taklah nak dukung bagai.
“Farah, naik atas kejap.” Kata Amran sebelum
menoleh ke arah Fayed. “Maaf Yed, abang pinjam kakak
sekejap ye.”
“It’s okay abang, she’s yours.” Jawab Fayed dengan
senyuman.
Amran tersenyum sebelum berlalu ke tingkat atas
bersama Farah dan anak-anaknya. Fayed hanya memandang
ke arah keluarga kakaknya itu. Keluarga kecil yang bahagia.
Dia juga hampir mengecapi kebahagiaan yang sama tetapi
apa kan daya. Fayed mengeluh perlahan sebelum bangun dan
berlalu keluar mencari adiknya, Fatin.

No comments:

Post a Comment