Tuesday, 28 June 2016

Kapcai Girl Vs Encik Superbike - Bab 11

SYED Wafi meletakkan lengan di atas dahinya.
Entah kenapa malam ini dia tidak dapat melelapkan matanya.
Bukan kerana malam masih awal tetapi kerana kata-kata
Tiara sering bermain-main dalam fikirannya.
“Kenapa ni, Wafi?” Lily melingkarkan lengannya di
atas perut Syed Wafi.
“Nothing,” jawab Syed Wafi pendek. Dia memandang
wajah Lily yang masih lemah dan masih mengantuk.
Lingkaran tangan Lily di pinggangnya ditarik ke tepi.
Perlahan-lahan Syed Wafi bangun dan menuju ke bilik air
membersihkan diri. Air panas yang mencurah-curah jatuh di
atas kepalanya dibiarkan lama.
Setiap kali dia memejamkan matanya terpampang
wajah Tiara. Ah! Syed Wafi rindu sangat mahu jumpa Tiara.
Sejak dari tadi, sejak bertemu Lily lagi. Bila nampak sahaja
muka Lily, dia rasa tidak suka dan mahu pulang. Tetapi Lily
terus mengheret dia masuk ke dalam rumah. Lagipun dia
sudah berjanji dengan Lily.
Apabila berdua-duaan bersama Lily, rasa rindu dan
teringin hendak bertemu Tiara itu datang lagi. Layanan Syed
Wafi kepada Lily kali ini tidak seperti selalunya. Dia sambil
lewa sahaja hingga ada masa Lily merungut dan bertanya
kenapa. Tapi Syed Wafi jawab tidak larat dan letih, seperti
biasa.
Lily yang sudah siap berpakaian duduk berjuntai di
atas katil sambil menunggu Syed Wafi.
“You nak pergi mana ni? Takkan dah nak balik kut?
I tak puas lagilah,” rengek Lily dengan suara manja yang
dibuat-buat.
“I nak baliklah Lily, I rasa tak sedap badan,” hanya
alasan itu yang mampu difikirkan Syed Wafi waktu ini. Dia
ingin pergi ke suatu tempat sebenarnya. Selagi wajah itu
tidak ditatapnya, selagi itulah dia tidak mampu melelapkan
matanya. Di luar dia rasa marah kepada Tiara namun entah
kenapa dalam hati, dalam ruang fikirannya wajah gadis itu
yang sering bermain-main.
“Hurm… macam mana you boleh tak sihat pulak
ni?” Lily bangun sambil menghampiri Syed Wafi yang sedang
menyarung baju-T. Dia cuba meletakkan belakang tapak
tangannya ke atas dahi Syed Wafi.
Namun cepat-cepat Syed Wafi menepis kasar.
“What is wrong with you, Wafi?” Lily betul-betul
tidak menyangka Syed Wafi akan menepis tangannya begitu.
Sejam yang lalu mereka berdua berkongsi bantal yang sama.
Tetapi selepas Syed Wafi mendapatkan apa yang diinginkan,
begini pula layanannya.
Syed Wafi juga tergamam. Dia sendiri tidak sedar
akan tindakannya itu tadi. Namun dia tetap berdiam diri.
Tak ada gunanya dia bertengkar dengan Lily. Dia tidak
mahu buang masa dengan perkara remeh-temeh. Tanpa
mempedulikan Lily yang sedang menjegil memandangnya,
Syed Wafi terus melangkah kaki beredar dari pangsapuri
mewah Lily.
Lily terlopong luas. Tak pernah Syed Wafi pergi
tanpa mengucup pipinya terlebih dahulu.
“Berani kau tinggal aku macam tu aje Wafi? Lepas
kau dah dapat apa kau nak, kau buat aku ni macam hampas!”
Lily meraba perutnya yang sudah berisi. Tadi dia sudah
berkira-kira mahu memberitahu tentang kandungannya
kepada Syed Wafi, namun terbatal terus hasratnya kerana
tindakan Syed Wafi.
SYED WAFI memecut motosikalnya laju. Dia harus segera
sampai ke tempat itu. Jam di pergelangan tangan sudah pun
menunjukkan tepat jam 12 tengah malam.
‘Huh? Tak sempatlah macam ni! Macam mana
ni? Aku nak pergi jugak ke?’ Syed Wafi memperlahankan
motosikalnya apabila memasuki kawasan rehat sebelah tol.
Meliar bola matanya memerhati sekeliling. Tak ada seorang
pun pekerja tol ketika dia sampai di situ. Sama ada Tiara
sudah pulang atau masih bekerja, dia harus pastikan sesuatu
terlebih dahulu.
“Hurm… kapcai dia ada lagi. Maksudnya dia tak
balik lagilah,” Syed Wafi menghembus nafas lega setelah
memeriksa deretan motosikal yang terparkir di tempat
letak kenderaan untuk pekerja. Bukan main laju lagi dia
menunggang motosikalnya tadi. Semuanya semata-mata
mahu bertemu Tiara. Mujurlah dia tidak terbabas.
Syed Wafi duduk semula di atas motosikalnya dan
menunggu untuk seketika.
“Kau terlanggar paku kut tadi Tiara?”
Syed Wafi menoleh ke arah suara lelaki yang sedang
bercakap. Tergamam dia apabila terpandang Tiara dengan
lelaki itu berjalan seiringan. Rupa-rupanya lelaki yang dilihat
menumpangkan Tiara dulu adalah rakan sekerja Tiara.
‘Hesy! Kurang asam betullah!’ Tiba-tiba api cemburu
terpercik dalam hati Syed Wafi.
“Erm… encik, boleh tolong bagi jalan tak? Kawan
saya ni nak ambil motosikal dia,” Hisham tersenyum-senyum
dan cuba bercakap dengan lemah lembut.
Tiara pula sudah tidak tahu hendak cakap apa. Kalau
dia marah Syed Wafi dengan tiba-tiba, apa pula kata Hisham.
Pasti Hisham pula yang rasa tidak selesa. Ah! Kalaulah tayar
motosikalnya tidak pancit tadi, sudah lama dia tinggalkan
kawasan itu. Terperanjat betul dia apabila terpandangkan
Syed Wafi.
Syed Wafi tersenyum sinis lalu bergerak ke tepi
memberi laluan kepada lelaki yang bercakap dengan nada baik
kepadanya tadi. Matanya pula tidak henti-henti mengerling
Tiara yang diam dan berdiri sedikit ke belakang. Huh!
Hisham sedar ada sesuatu yang tidak kena antara
Tiara dan lelaki berjaket hitam itu, namun dia tetap
berpura-pura tidak faham. Dia perasan Tiara hanya diam.
Tanpa membuang masa, dia terus menarik motosikal Tiara
keluar dari petak parkir. Motosikal itu diletakkan di bawah
lampu di tempat lapang.
“Terima kasih Hisham. Menyusahkan kau aje,” ucap
Tiara.
“Sama-sama. Kau tunggu sekejap tau, Tiara. Biar
aku tukar tayar motosikal kau ni. Nasib baik spare tayar aku
ada dekat sini. Kalau tak, jenuhlah kau.”
Tiara tersenyum hambar mendengar kata-kata
Hisham. Langsung dia tidak sedar Syed Wafi sedang
menghampirinya. Dia tidak faham kenapa Syed Wafi masih
tidak berhenti mengganggunya. Tak cukup lagikah di tempat
kerja siang tadi Syed Wafi menuduh dia gatal? Perkataan
gatal itu memang sakit hati dia dengar.
Sudahlah emak sejak dari dulu lagi suka guna
perkataan itu. Kini, Syed Wafi juga sibuk mahu guna juga.
Siapa Syed Wafi hendak guna pakai ayat gatal itu? Bukan dia
yang gatal sebenarnya, tapi si Khalid tu. Di hadapannya Syed
Wafi tuduh dia gatal, tetapi ketika makan tengah hari, Syed
Wafi berpeluk bahu pula dengan Khalid.
‘Grrr… geramnya aku dengan dia ni! Nasib baiklah
kau ni bos aku. Kalau tak, aku cili mulut kau Wafi,’ gumam
Tiara geram.
“Kapcai kau tu patut masuk lombong aje. Kenapa
kau nak menyusahkan orang lain baikinya pulak? Bukan ke
gaji kau cukup nak beli yang baru? Besi buruk kau tu campak
ajelah ke dalam Tasik Biru, buat sarang udang galah!” bisik
Syed Wafi keras.
“Kenapa kau menyibuk hal aku? Kan aku dah
beritahu kau yang aku getik nak pandang muka orang lelaki
dari Ibnu Holdings tu!” balas Tiara dengan suara perlahan.
Syed Wafi terbungkam mendengar kata-kata Tiara.
Betulkah gadis itu getik hendak memandang wajahnya?
Kalau Tiara tidak sudi nak pandang mukanya, kenapa dia pula
yang tergila-gila sangat hendak pandang wajah Tiara? Kenapa
dia yang teringat-ingat suara gadis itu? Hah... dah parah ni!
“Aku benci kau, Tiara!”
Tiara menjeling Syed Wafi tajam. Dah kenapa dengan
dia ni? ‘Kalau kau dah benci aku sudahlah. Aku pun benci kau
jugak!’
“Kalau dah benci tu buat apa datang sini?” balas
Tiara.
Syed Wafi tergamam. ‘Ya tak ya jugak! Kalau aku
benci dia, kenapa aku datang sini? Tapi aku benci dia bukan
sebab aku tak nak tengok muka dia. Aku benci dia sebab dia
yang buat hati aku ni rindu dia selalu!’ Syed Wafi merenung
Tiara yang asyik memandang Hisham. Hesy!
“Aku benci kau dengan kapcai kau tu. Mata aku sakit
tengok benda buruk macam tu. Sampah macam tu sepatutnya
ditanam sajalah!” Menggeletar jari-jemari Syed Wafi ketika
meluahkan ayat itu. Nafasnya turun naik. Sumpah! Dia
tidak tega hendak mengeluarkan ayat hina begitu. Namun
mengenangkan betapa sakit hatinya terhadap layanan Tiara,
dia luahkan jua.
Air mata Tiara yang tiba-tiba bertakung itu cuba
ditahan. Kata-kata Syed Wafi itu satu penghinaan besar
baginya. ‘Aku tak akan pernah pandang muka kau lagi, Wafi!’
Tiara menyapu air matanya dan berlalu menghampiri Hisham
yang sibuk menukar tayar.
“Sikit aje lagi Tiara.”
“Hisham, aku tumpang motor kau ajelah. Dah lewat
ni. Motosikal aku ni, biarlah. Esok kita buat lagi,” luah Tiara
lemah.
“Tiara? Betul ke kau nak naik motor dengan aku ni?”
“Hurmm… jomlah Hisham. Jangan buang masa
lagi, aku dah lemas berdiri dekat sini lama-lama.” Tiara terus
menyarung topi keledarnya di kepala.
Hisham pula cepat-cepat mengemas dan terus
meluru ke arah motosikalnya. Dia menyorong motosikal
Yamaha LC berwarna hitam dan berhenti di hadapan Tiara
yang sedang bermuram. ‘Kenapa dengan kau ni Tiara?’ Mahu
sahaja dia meluahkan soalan itu. Tetapi waktu ini bukanlah
masa yang sesuai.
Syed Wafi yang sudah bersiap sedia meninggalkan
kawasan itu terkejut melihat Tiara tiba-tiba membonceng
di belakang lelaki tadi. ‘Tiara? Kau, kau memang jahat! Kau
memang gadis kejam!!! Hesy!’ Syed Wafi yang berang terus
memecut superbikenya laju memintas motosikal Hisham.
Sakit hatinya apabila melihat Tiara memegang pinggang
Hisham.
“Hesy! Kurang ajar punya perempuan!!!” jerit Syed
Wafi sekuat hatinya.
Tiara yang membonceng di belakang Hisham
menyapu air matanya yang mengalir. Terbayang-bayang di
matanya arwah Chi Cha yang seronok apabila melihat dia
membawa pulang motosikal itu dulu. Tetapi hari ini Syed
Wafi menghina motosikal itu sesuka hati. Apa yang Syed Wafi
tahu tentang motosikal itu? Biarlah motosikal itu sudah boleh
disamakan dengan besi buruk sekalipun, tetapi kenangannya
dengan motosikal itu tak mampu ditukar ganti.
‘Dulu kau rosakkan mainan tu, hari ni kau kutuk
pulak motosikal aku. Kaulah lelaki paling durjana yang
pernah aku kenal. Aku benci kau Wafi! Aku benci kau!!!’

No comments:

Post a Comment