Tuesday, 28 June 2016

Kapcai Girl Vs Encik Superbike - Bab 8

TIARA meramas-ramas tapak tangannya berulang
kali. Tapak tangan yang biasanya kering itu kini basah dan
melekit kerana peluh. Memang begitu keadaan dia jika dalam
keadaan gemuruh. Bukan hati sahaja yang berdebar-debar
tapi peluh tak habis-habis merembes. Mana tidaknya, sampai
ke saat ini pun dia masih tidak percaya bahawa resumenya
sudah diterima. Sudah banyak kali Tiara cuba mendapatkan
pekerjaan itu dan akhirnya murah juga rezekinya setelah
hampir setahun cuba mengisi borang permohonan dan
berulang alik untuk temu duga.
Tiga hari lalu, Tiara mendapat sepucuk surat dari
sebuah syarikat besar mengatakan temu duganya telah
berjaya. Bagaikan mahu melompat-lompat tatkala dia
membaca berita gembira itu, namun melihat wajah emak
yang masam mencuka terus termati kehendaknya itu. Dia
gembira mahu bercerita tentang hal itu kepada emak, namun
emak tiba-tiba menuduh dia pandai sorok-sorok main surat
dengan jantan. Tiara merenung lantai berkilat di hadapan
matanya. Terasa membahang wajahnya mengenang kata-kata
emak itu.
“Mak memang takkan maafkan aku sampai mati ke?”
bisik Tiara perlahan.
“Tiara, awak kena sediakan susu panas. Bos awak tu
suka minum susu waktu pagi macam ni.”
“Huh? Oh, okey kak. Erm… dekat mana pantry room
kak?” soal Tiara kelam-kabut. Dia bangun dan membetulkan
bajunya. Tidak sedar pula bahawa itulah tugasnya sebagai
setiausaha. Selepas mengemas pejabat ketua pengarah baru
itu, Tiara fikir semuanya sudah selesai. Sedangkan tugas
seorang setiausaha meliputi segalanya. Umpama penolong
peribadi.
Tiara bergegas ke pantry room lalu membancuh
susu panas dengan tunjuk ajar daripada bekas setiausaha
ketua pengarah itu dulu. Dalam hati, Tiara tertanya-tanya
siapakah Syed Wafi yang baru naik pangkat itu. Kata Kak
Habsah yang kini menjadi setiausaha Encik Syed Waris dari
Jabatan Sumber Manusia, Syed Wafi itu muda lagi orangnya.
Cepat naik pangkat walaupun masih baru bekerja.
‘Mesti orangnya hebat dan bagus dalam kerja. Kalau
tidak, takkan boleh naik pangkat cepat macam itu. Sudahlah
muda lagi. Atau dia ni ‘main aircond’ kut? Hesy! Tak baik aku
tuduh dia macam tu. Dahlah dia tu bos aku.’ Tiara tersenyum.
Belum pun sampai satu hari dia bekerja, sudah ada sifat syak
yang masuk mencucuk hati.
“Astaghfirullah…”
“Huh? Kenapa Tiara?”
“Eh, tak ada apa-apalah kak.” Tiara senyum kelat. Bila
pulalah bisikan hatinya boleh didengari? Usai membancuh
susu pekat berkrim itu, Tiara terus meluru ke pejabat Syed
Wafi. Namun dalam perjalanan ke pejabat bosnya, muncul
seorang lelaki dengan tiba-tiba. Lalu….
“Argh!!!”
Prang!!!
“Argh! Argh!” Syed Wafi berlari laju sambil
menjerit-jerit menuju ke tandas lelaki. Setibanya di dalam
tandas, terus baju yang terkena susu panas itu terlucut
dari tubuhnya. Air paip yang sejuk ditadah lalu disimbah ke
dada yang bidang. Syed Wafi mengerang kesakitan sambil
memejamkan matanya. Sungguh dia tidak sanggup mahu
melihat dadanya yang bidang bertukar warna merah menyala.
“Kurang ajar!!!” hambur Syed Wafi kuat. Dia tidak
tahu siapakah gerangan orangnya yang telah menyebabkan
tubuh kesayangannya itu tercedera begitu. Kalau tidak
mengenangkan tubuhnya sudah tidak berbaju, mahu rasanya
dia keluar dan mendapatkan orang yang sudah membuat
‘jenayah’ itu.
Di luar, Tiara bertungkus-lumus mengutip piring
dan gelas yang berkecai di atas lantai. Mujurlah ada juga
staf yang mahu membantu. Namun dalam hati, Tiara malu
yang teramat sangat. Ketakutan yang merebak ke setiap urat
sarafnya itu sudah tidak dapat dikawal lagi. Terketar-ketar
jari-jemarinya ketika mengangkat piring dan gelas yang
pecah itu.
“Apa punya malanglah nasib aku ni! Baru mula
kerja dah buat hal macam ni. Tak pasal-pasal aku tumpahkan
air dekat baju orang. Hai… awal-awal dah buat musuh
kau ni Tiara!” bebel Tiara sambil mengesat air bersih pada
baju kerjanya yang terkena sedikit percikan air susu. Usai
membersihkan bajunya, Tiara keluar dari tandas dan
merenung pintu tandas lelaki yang bertutup rapat. Entah
bagaimanalah keadaan lelaki yang terkena air itu agaknya.
Cederakah? Tiara terkulat-kulat seorang diri.
“Tiara, nah ambil baju ni,” hulur Kak Habsah.
Dia yang sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai
setiausaha Syed Wafi, tahu bahawa Syed Wafi memang
sentiasa menyimpan baju lebih di dalam pejabatnya. Memang
ada sebuah almari baju di dalam pejabat besar itu untuk
menyimpan baju Syed Wafi.
Dahulu ketika dia bertanya kenapa Syed Wafi berbuat
demikian, Syed Wafi hanya senyum tidak menjawab. Tetapi
dia sedar, baju-baju itu memang Syed Wafi sediakan untuk
waktu kecemasannya. Selain untuk dipakai untuk menghadiri
jamuan makan dengan rakan niaga dan aktiviti ‘liar’nya,
mungkin kes pagi ini pun menjadi salah satu sebab utama
perlunya pemuda itu menyediakan baju lebih di pejabat.
Tiara menyambut baju kemeja siap berseterika
dengan wajah takut-takut. Masakan dia harus masuk ke
dalam tandas lelaki pula? Tapi dia bukan nak buat apa-apa
pun. Dia cuma nak bagi baju aje.
Tiara cuba memberanikan diri menghampiri pintu
tandas. Kak Habsah sudah pun meninggalkannya. Menyesal
pula dia kerana tidak sempat bertanya siapakah nama lelaki di
dalam tandas itu. Kalau dia tahu siapa namanya, mudah juga
dia hendak meminta maaf.
“KURANG AJAR betullah! Hesy! Kenapalah jam ni pun
tiba-tiba aje nak jadi cepat pulak?” Sungguh Syed Wafi
berharap waktu akan terhenti buat seketika sementara
menanti baju baru yang akan tiba sekejap sahaja lagi. Nasib
baiklah Khalid ada, boleh menolongnya mengambil baju dari
almari di pejabatnya.
Tok! Tok! Tok!
“Siapa tu? Kau ke tu Khalid?”
“Saya ni. Yang tumpahkan air susu pada baju encik
tadi. Saya datang ni….”
Dengan perasaan marah dan berang, Syed Wafi terus
meluru ke arah pintu utama tandas. Tombol pintu dipulas
kasar dan dia membuka pintu seluas-luasnya. Ingin sekali dia
melihat wajah insan yang sudah membuat onar di pagi hari
itu. Namun kala terpandang wajah wanita yang baru sahaja
membuat pengakuan itu, mata Syed Wafi terbeliak besar.
Tiara juga terkejut memandang lelaki tidak
berbaju di hadapannya itu. Berkerut-kerut dahinya. Namun
cepat-cepat Tiara tertunduk.
“Argh!!!” Tiba-tiba Tiara ditarik masuk ke dalam
tandas oleh lelaki yang sering dilihat memakai jaket hitam
dan berkaca mata hitam itu.
“Kau? Rupanya kau yang tumpahkan air dekat baju
aku ya?” Syed Wafi terus mengunci pintu tandas sambil
merenung gadis tol yang sedang berdiri tertunduk di
hadapannya. Sungguh dia tidak sangka akan bertemu dengan
gadis tol itu lagi. Tetapi kenapa pula dia ada dekat sini?
Persoalan itu terus muncul dalam fikiran Syed Wafi.
Tiara mengacip giginya geram.
‘Grrr… suka hati dia aje nak kurung aku dalam
tandas ni. Dia fikir dia tu siapa? Dahlah tak pakai baju!
Kurang ajar betul mamat ni!’ Mata Tiara tetap memandang
lantai berjubin mahal di bawah tapak kakinya.
“Kau tahu tak, baju yang kau kotorkan tu berapa
harganya? Kau rasa kau boleh ganti balik ke?”
“Maaf,” jawab Tiara dalam geramnya.
Syed Wafi tersenyum sinis.
“Maaf sebab tumpahkan air dekat baju aku atau maaf
sebab kau tumbuk dan lempang muka aku ni?”
Tiara pantas merenung tajam ke arah Syed Wafi
yang berlagak megah.
‘Huh! Aku peduli apa maaf yang mana satu pun! Dah
aku minta maaf tu tak cukup lagi ke? Nak kena tumbuk lagi?’
Biarpun rasa hendak menjawab namun Tiara diamkan diri.
“Bak sini baju encik tu, saya cucikan.”
“Wah! Wah! Wah! Kau ni dah kenapa? Aku tanya kau
tadi tu, kau faham bahasa Melayu ke tak? Ke nak aku cakap
bahasa….”
“Maaf sebab tumpahkan air susu tu atas baju encik.
Erm… kalau encik tak kisah, bagilah baju tu saya cucikan. Ini
baju baru Kak Habsah suruh saya bagi pada encik.”
“Kau ni!”
“Ah?” Tiara tergamam apabila sehelai baju tersidai di
badannya. Darahnya menyirap naik ke muka. ‘Kurang ajarrrr!
Kau baling baju busuk kau ni dekat aku? Kau ingat kau tu
siapa? Shahid Kapoor?’ Tiara menjeling Syed Wafi tajam.
“Kenapa? Tak puas hati?” Syed Wafi tersenyum puas.
Padan muka!
“Perangai kau ni memang macam budak-budak,
kan?”
Syed Wafi terlopong. Sampai hati gadis itu mengata
dia berperangai seperti budak-budak? Syed Wafi melangkah
merapati Tiara yang masih membatu diri di tengah-tengah
ruang tandas.
‘Er… er… mamat ni, nak kena terajang aku ke?’
Tiara bergerak sedikit ke belakang.
‘Huh! Ingat aku nak buat apa-apa ke? Perasan!’
cemuh Syed Wafi.
“Baju aku tu dah tercemar! Kau ingat aku sudi lagi
ke nak pakai? Oh, tapi kalau kau nak cuci jugak dan guna
buat kain buruk dekat rumah kau, dipersilakanlah.”
“Dasar orang kurang ajar!” luah Tiara tanpa berfikir
panjang.
“Kau tu lagi kurang ajarlah! Kau tumbuk muka aku,
lepas tu kau tampar aku pulak. Tapi kau tak pernah pun nak
minta maaf! Tak ke tu lagi kurang ajar namanya. Kenapa?
Kau tak puas hati aku layan kau macam ni? Kau harap aku
nak layan kau macam mana, hah! Aku tak akan lupa macam
tu ajelah! Dah kira baik aku tak ambil tindakan apa-apa pada
kau selama ni.”
“Kenapa? Kau nak saman aku? Nak lapor pada polis?
Eh! Orang macam kau ni langsung tak layak nak dengar
permintaan maaf orang lainlah! Nah! Ambil balik baju kau
yang macam kain buruk ni!” Tiara terus mencampak baju
yang diambilnya dari lantai ke muka Syed Wafi. Dia berdengus
kasar sebelum mengangkat kaki keluar dari tandas itu. Baju
yang sepatutnya diserahkan kepada Syed Wafi juga dibawa
keluar bersama. Biar lelaki itu tidak berbaju sampai ke sudah!
Syed Wafi menarik perlahan-lahan baju yang masih
melekat di wajahnya. Dadanya turun naik.
“Kurang ajaaaaar!!!” laungnya sekuat hati. Pertama
kali dalam sejarah hidupnya dilayan buruk oleh seorang gadis.
‘Kau jagalah Tiara, aku akan balas balik apa yang
kau dah buat ni!’ Syed Wafi mengetap gigi gerahamnya kuat.
Semasa dia sibuk bertengkar dengan gadis itu tadi, sempat
juga dia mengerling pada dada gadis itu.
“Rupanya huruf ‘T’ tu maknanya Tiara. Nama kau
tu aje yang indah dan cantik. Tapi kau? Huh!” Syed Wafi
mencampak baju lengan panjangnya ke atas singki. Lama
dia merenung wajahnya di dalam cermin selebar satu meter
itu. Kata-kata Tiara tadi begitu meninggalkan kesan dalam
hatinya.

No comments:

Post a Comment