Tuesday, 28 June 2016
Kapcai Girl Vs Encik Superbike - Prolog
TIARA terkedu. Air liur yang mendadak melimpahi
seluruh ruang di dalam mulut ditelan tersekat-sekat hingga
naik pedih anak tekak. Tidak berkelip mata Tiara memandang
dua garis halus di atas sebatang alat penguji yang dibelinya
baru lima belas minit yang lalu dari farmasi. Rona merah
pada wajahnya kian pekat, sepekat darah. Dan panas di muka
meruap-ruap seperti jalan dipanah terik mentari. Meruap dan
bahang.
‘Apa dah jadi ni?’ bisik Tiara dalam hati. Air mata tak
mampu ditahan lagi. Mengalirnya tanpa diminta. Kekesalan
yang muncul tiba-tiba itu tak mampu memadamkan dua
garis yang sering dinanti oleh setiap pasangan yang sudah
berkahwin. Namun Tiara bukan gadis yang baru berkahwin.
Tiara masih muda remaja. Masih anak dara. Ah! Patutkah
status itu diguna pakai lagi jika dia sudah tak ada daranya?
“Tiara, kau dah buat silap besar!” Tiara menggenggam
alat penguji kehamilan lalu terjelepok jatuh ke atas lantai di
dalam tandas di sebuah pusat membeli-belah.
Sebulan yang lalu Tiara tak sedar langsung
tindakannya itu akan menjerat dirinya. Pujukan dan kata-kata
manis seorang lelaki yang berstatus teman lelaki dituruti
kerana kasih dan sayang yang bertunaskan nafsu iblis. Cinta
yang disemai rupanya racun yang sudah membinasakan.
“Mak... maafkan Tiara mak,” rintih Tiara dalam esak
tangis yang sayu. Sudah hampir sejam Tiara berkurung di
dalam tandas itu. Biarpun pintu tandas diketuk berkali-kali
oleh orang yang mahu menggunakan tandas itu, Tiara
langsung tak bisa bangkit untuk membuka. Fikiran Tiara
mulai kosong dan melayang jauh. Wajah emak yang sudah
melimpahkan segala kasih sayang dan wang kepadanya
bermain-main di depan mata. Bagaimana Tiara hendak
hadapi emak yang seorang itu. Pasti luluh hati orang tua itu
jika mendapat tahu anak tunggalnya ini sudah ‘menconteng
arang’ ke muka.
Tiara bangun perlahan. Alat penguji dicampak
ke dalam tong sampah kecil yang ada di dalam tandas itu.
Dinding yang sempit disambar buat menopang tubuh yang
kian longlai. Tak terdaya lagi Tiara hendak berpijak di bumi.
Langkah kaki kian terketar-ketar. Bagaimana dia hendak
selesaikan semua musibah yang sedang dihadapi itu? Sejam
Tiara berada di dalam tandas itu pelbagai perkara yang
difikirkan. Namun perkara yang sedang kuat menghimpit
akal yang lemah itu cumalah satu sahaja. Manakah tempat
yang bisa dia tuju untuk membuang segumpal darah itu?
“Sayang, kenapa lama sangat duduk dalam tandas
tu? Sakit perut ke? Saya dah lapar sangat ni. Dah nak habis
popcorn ni saya makan.”
Tiara mengangkat wajah merenung Khalid. Lelaki
inilah ayah kepada anak yang sedang dikandungnya itu. Tiara
yakin sejuta peratus! Tak ada orang lain lagi dah. Hanya lelaki
ini sajalah yang telah mengheretnya ke ‘lembah hitam’ itu.
Tetapi lelaki ini tidak ada apa yang perlu digusarkan. Tak pula
perutnya diisi Tuhan dengan sesuatu sepertinya. Perut lelaki
ini takkan memboyot biar berapa kali pun dia bersama wanita.
Namun hanya sekali sahaja silapnya, terus ‘dianugerahkan’
janin haram ini.
Khalid memandang Tiara dengan wajah pelik. Apa
yang tidak kena dengan kekasihnya itu? Siang tadi bukan
main gembira lagi hendak keluar menonton wayang bersama.
Namun setelah keluar dari tandas, lain pula wajahnya.
“Kenapa ni?”
Tiara tidak menjawab pertanyaan Khalid yang
nampak gusar. Tiara tak ada hati hendak bercakap lagi
dengan lelaki itu. Rasa marah dan benci entah bagaimana
boleh muncul serentak. Tiara kalihkan pandangan ke arah
eskalator.
“Saya nak balik!” ujar Tiara sedikit keras.
“Kenapa ni?” Khalid tidak puas hati. Bukan main
lama dia menunggu, akhirnya Tiara buat keputusan begitu
pula. Lengan Tiara dicapai namun tak sempat dia berkata
apa-apa, Tiara terlebih dahulu merentap kasar.
“Kita putus!”
“What?”
“Saya nak balik. Lepas ni kita jangan jumpa lagi!”
Tiara berjalan laju menuju ke arah eskalator dan terus
mencelah di tengah orang ramai yang sedang berdiri terpacak
di atas tangga bergerak itu.
Khalid yang pelik terus mengejar Tiara. Dia memang
tidak tahu kenapa Tiara yang periang dan manja itu tiba-tiba
berubah perangai dan mahu memutuskan hubungan mereka
yang baru mencecah enam bulan.
“Sayang! Tunggulah!” laung Khalid.
Tiara berhenti melangkah kerana jalannya sudah
dipintas Khalid yang siap mendepa kedua belah tangan.
“Saya dah cakap yang saya nak putus!”
“Tapi kenapa? Awak marahkan saya ke? Saya ada
buat silap ke?”
“Tak! Cuma saya nak putus. Itu saja…”
“Hei!” Khalid naik angin tiba-tiba. Tiara sudah pun
laju melangkah meninggalkannya di belakang.
Tiara tidak menoleh. Suara Khalid yang masih
terpekik terlolong memanggil namanya langsung tidak
diendahkan. Apakah lelaki itu akan mengejarnya jika tahu
saat ini dia sedang mengandungkan anak mereka? Apakah
lelaki itu akan tersenyum gembira kerana dalam masa
sembilan bulan dari sekarang mereka akan menimang cahaya
mata? Apakah lelaki seperti Khalid mahu bertanggungjawab
terhadap kandungannya itu? Jawapannya tidak sama sekali!
Khalid tak mungkin akan bertepuk tangan, bersorak
keriangan kerana kafarah itu. Khalid pasti akan tergaru-garu
hingga terkoyak kulit kepalanya kerana takut dan runsing.
Mungkin juga Khalid akan mengheret Tiara ke sebuah rumah
mak bidan lalu memaksa Tiara menggugurkan kandungan
itu dengan kejam sekali. Atau mungkin lelaki itu akan cakap
dia bukan ayah kepada kandungan itu.
Tiara pasti, itulah yang akan terjadi. Dalam kekalutan
itu tiba-tiba muncul sebuah teksi. Teksi yang kosong tanpa
penumpang itu berhenti betul-betul di hadapan Tiara.
“Tiara? Nak pergi mana ni?”
“Pak cik?” Tiara terus meloloskan dirinya ke dalam
teksi Pak Cik Salleh lalu meninggalkan Khalid yang jauh
tertinggal. Hari inilah hari di mana Tiara bertemu Khalid
buat terakhir kalinya. Dan hari itulah bermulanya langkah
kaki Tiara ke dunia yang baru. Nama Khalid tidak disebut lagi
setelah itu.
Segala macam bahana dan musibah yang menimpa
dihadapi seorang diri. Kata-kata cemuhan dan hinaan ditelan
tanpa sebarang balas. Tiara pasrah dan reda. Jika sudah begitu
balasan dan hukuman yang harus dia tempuh demi mendapat
keampunan daripada Yang Maha Esa, Tiara terima hingga ke
akhir hayatnya.
Namun Tiara terkilan dengan satu perkara. Emaknya
yang disayangi itu kini tak sudi lagi memandangnya. Tak
mahu lagi bertegur sapa dengannya. Hukuman yang emak
berikan begitu menyeksa zahir batin Tiara. Apatah lagi sejak
anak yang dikandung Tiara lahir ke dunia.
No comments:
Post a Comment