Sunday, 26 June 2016

Lafaz Cinta Di Jari Manis - Bab 13

“PEREMPUAN ni bila sudah kecewa bukan
mudah untuk dia pulih, Khal. Walau punzahirnya kita nampak
dia tenang dan boleh tersenyum tapi hakikatnya dalam hati dia
masih lagi terluka dan bersedih. Mama pun perempuan.
Mama tahu apa yang Annur rasakan. Bukan senang-senang nak
melupakan apa yang sudah berlaku. Lebih-lebih lagi bila
perkara itu melibatkan maruah diri. Maruah diri seorang
gadis. Terutamanya pada hari paling bersejarah dalam
hidupnya. Maruah diri takkan boleh ditukar ganti walau pun
dengan segunung emas ataupun jiwa.” Hajah Mazni
melabuhkan duduk di sebelah anak bongsunya. Muk coklat
panas yang baru diambil dari dapur tadi dihulurkan kepada
Khalish yang duduk bersandar di sofa.
Khalish telan air liur dalam diam. Terpukul
dengan kata-kata mamanya. Kesilapan paling besar dalam
hidupnya takkan mampu terpadam dari ingatan setiap tetamu
yang hadir pada malam itu. Mama terutamanya yang cukup
terkilan.
Mama yang paling terpukul dan mama juga paling
terpempan dengan tindakan kebudak-budakannya. Tindakan
yang paling memalukan dirinya sendiri. Keegoan yang turut
memalit malu yang bukan kepalang kepada
seluruh keluarga. Dan hingga saat ini rasa malu itu takkan
mampu dihakis dari catatan hidupnya. Dan pertemuannya
bersama Qistina semalam sudah diberitahu kepada mama
tadi.
Gembira yang tidak mampu disembunyikan kala
memaklumkan kepada mama kelmarin waktu Qistina
bersetuju untuk makan malam bersama. Makan malam
pertama sejak mereka berpisah. Khalish tahu mama sedih
mendengar ceritanya tadi. Cerita tentang permintaan
Qistina. Hasrat mama yang menggunung mahukan mereka
kembali bersatu akan tetap dilaksanakan biar apa pun
cabaran yang bakal dihadapinya.
“Khal tahu Khal yang bersalah, ma. Khal
berdosa sangat kepada Qis.” Muk coklat panas yang
dihulurkan mama disambut perlahan. Ucapan terima kasih
diucapkan. Dipegang seketika. Fikiran jauh melayang.
Peristiwa pertemuan dengan Qistina kelmarin kembali
menerjah. Permintaaan Qistina tidak akan ditunaikan.
Tidak mampu dilakukan.
Tidak sanggup dilepaskan Qistina. Dia tahu jauh di
sudut hati Qistina kasih antara mereka masih utuh. Dan
kerana keyakinan itu Khalish akan berusaha sedaya habis
untuk menawan kembali hati seorang Annur Qistina.
Cintanya kepada Qistina tidak pernah sedikitpun berkurangan
malah makin utuh di jiwa. Sesungguhnya perasaan kepada
Qistina terlalu indah dan tak mungkin boleh dihapuskan
begitu sahaja. Khalish tahu jauh di sudut hati Qistina, cinta
mereka tidak pernah hilang. Masih mekar. Masih segar.
Masih merah menyala sama seperti dahulu.
“Khal akan lakukan apa sahaja untuk raih kembali
kasih dan cinta kami, ma. Khal tahu Qis pun punya rasa
dan rentak hati yang sama dengan Khal. Qis masih cintakan
Khal, ma. Apa yang Qis katakan semalam cuma nak elakkan
diri daripada Khal sahaja. Semua tu cuma cara dia untuk
mengelakkan diri aje.” Qis, tolonglah beri peluang kedua buat
Khal.
Hajah Mazni jeda sesaat. Cuba dikutip kenangan
dahulu. Waktu manisnya hubungan antara Khalish dan
Annur Qistina. Gadis manis lemah lembut itu sedari pertama
kali dipertemukan sudah membuatkan hati tuanya terpaut.
Bak kata Khalish, siapalah yang tidak tertawan dengan anak
patung hidup yang menawan dan secomel Qistina. Ya,
memang diakui Hajah Mazni sesiapa pun pasti tertawan
dengan Annur Qistina.
“Annur tu budak lembut. Budak baik. Mama sayang
sangat, dia. Mama terkilan sangat. Mama…” Dihempas nafas.
Ada rasa pilu yang tersangkut di jiwa tuanya saat nama itu
meniti di bibir. “Tapi nak buat macam manakan tak sampai
hajat mama lagi. Mama ni berharap sangat dia yang jadi
menantu mama. Berharap sangat dia jadi isteri Khal. Mama
tak tahulah kalau mama ni boleh nak terima orang lain jadi
menantu mama nanti. Annur tu macam dah sebati dengan
jiwa mama. Nama Annur dalam hati mama ni sampai
bila-bila takkan lupus.”
“Ma... Khal minta maaf.” Muk dibawa dekat ke sisi.
Lafaz bismillah teralun damai. Bibir didekatkan ke mulut
muk. Dicicip perlahan-lahan. Diletakkan muk ke meja
sisi di sebelah. Wajah dipaling memandang ke hadapan.
Hanyut seketika dengan segala kenangan lalu. Langkah
yang penuh dosa tidak mungkin mampu dan boleh
diundur kembali. Tidak terhitung dosanya kepada Qistina.
Biarpun bibir mungil itu sudah memaafkannya tapi jauh di
sudut hati gadis pujaannya itu Khalish tahu segala yang terjadi
antara mereka dahulu tidak akan terpadam. Sampai bila-bila!
Dihembus nafas perlahan. Ada rasa yang
menghimpit. Menekan rakus. Silap salahnya dahulu
menghambat jiwa sehingga kini.
“Khal tahu semua ni salah Khal, ma.”
“Jadi sekarang nak buat macam mana? Mama dan
abah dah jumpa dan cakap dengan Uncle Aziz. Mama jumpa
uncle semata-mata untuk Khal. Mama tak mahu hilang
Annur lagi. Mama tahu Khal pun tak sanggup nak
hilang Annur lagi, kan?” Khal kemam bibir. Kepala diangguk
perlahan.
“Tapi kali ni, uncle tak mahu bagi keputusan macam
dulu. Kata uncle dia terlalu rasa bersalah kepada Annur
dahulu. Uncle tak sanggup nak lihat Annur menderita lagi.
Sekarang ni dia serahkan kepada Annur. Dia akan terima
sahaja sesiapa pun pilihan Annur nanti.” Kepala Khalish
laju berputar lalu jatuh ke raut wajah mama yang redup di
sebelah. Ada rasa gusar dan bimbang yang bertamu saat
mendengar perkhabaran yang mama bawa dari rumah
Uncle Aziz.
Sejak perkara itu dijelaskan oleh Kamal dan Johan
dengan secara terperinci kepada ayah Qistina dan juga
dirinya mengenai peristiwa yang sebenarnya berlaku pada
malam tersebut. Sungguh dia terasa tamparan dengan
tindakan bodohnya itu. Sungguh ternyata terbukti yang
Qistina langsung tidak bersalah. Kata-kata yang diterkeluar
daripada mulut Johan sungguh penuh dengan sinis yang
membuatkan dirinya terpempan dan tertampar.
Malu yang bukan kepalang dengan kerakusan egois
diri sendiri yang akhirnya memakan diri sendiri. Masih Khalish
ingat mereka berdua bertumbuk sakan malam itu.
Semuanya kerana Qistina. Kata-kata Johan terhadap
kebodohannya makin menghiris jantung. Jika dia mahu
dia boleh sahaja memerangkap Qistina malam itu. Pasti
Qistina akan jadi miliknya abadi. Qistina yang terlalu
polos jiwanya. Tapi rasa kagum Johan terhadap keluhuran
semangat diri Qistina yang sanggup menggadai nyawa
demi menyelamatkan Johan dan rakan-rakan di atas kapal
membuatkan dia tidak tega melakukan perkara yang
mungkin memusnahkan persahabatan mereka. Kata Johan
di depan ayah Qistina, jika dirinya yang menjadi punca
kemelut ini semua, dia sedia bertanggungjawab terhadap
Qistina. Pantas sahaja ditingkah Khalish. Mana mungkin!
Mana mungkin dibenarkan hasrat Johan.
Cinta dan kasihnya buat Annur Qistina tidak
pernah pudar. Terlalu jitu untuk dimusnahkan oleh
sesiapa pun. Tidak akan dibenarkan sesiapa untuk mengambil
alih hatinya dari jiwa Qistina. Di depan semua yang menjadi
saksi dipohonkan keampunan daripada ayah Qistina atas
kebodohan dan keterlanjuran kata-katanya terhadap Qistina.
Akan dijejaki Annur Qistina sampai berjumpa.
Namun hasrat tinggal hasrat. Kata-kata ayah Qistina yang
turut kecewa dengan keterlanjuran tindakannya menghalau
Qistina bagaikan penamat. Biarlah Qistina tenang dahulu.
Biarlah Qistina merawat jiwanya yang rawan tanpa
gangguan mereka berdua dalam perkara ini. Mereka adalah
punca dalam perkara ini. Mereka yang buta. Mereka yang
bodoh. Dalam penuh keterpaksaan Khalish akur. Ya, dia
memang buta. Dia memang bodoh. Qis… ampunkan Khal.
Khal terlalu berdosa kepada Qis. Terlalu. Mata dikerdip laju.
Ada rasa hangat yang hadir dipelupuk.
Tangan mama dicapai.
“Mama...”
“Hmm...”
“Uncle… uncle masih marahkan Khal lagi ke,
ma?” Terdengar keluhan kecil dari mulut mama. Bibir
rona merah lembut mama sudah Qistina belikan.
“Uncle tu sama macam Khal. Rasa bersalah dan
berdosa sangat kepada Annur. Tu sebab dia tak mau lagi buat
keputusan untuk Annur. Dia dah serik. Dia rasa sangat sedih
atas tindakannnya yang terburu-buru dahulu. Sekarang ni
terpulang cara apa yang Khal nak buat untuk raih semula hati
dan cinta Qistina. Khal jangan hampakan Qistina lagi. Jangan
hampakan mama dan abah.”
Khalish telan air liur. Bagai mengerti apa yang
dirasai oleh ayah Qistina. Jika dia ditempat ayah Qistina,
dia juga pasti tak mampu nak maafkan dirinya sendiri.
“Mama..”
“Hmm...”
“Uncle… uncle dah tahu Qis dah balik ke, ma?”
Senyum. Kepala Khalish diusap perlahan. “Mestilah
tau. Segala yang jadi kat Qis selama lima tahun kat sana pun
semua dia tau.”
Kening Khalish berkerut. Terkejut. “Maksud mama?”
“Rumah yang Qis duduk kat sana tu. Tuan rumah tu,
budak Layla… dia itukan anak angkat uncle. Mama dan abah
pun baru tahu. Jumpa uncle kamu tu baru terbuka semua cerita.
Patutlah uncle kamu tenang aje selama Qis tak ada kat sini.”
“Jadi?”
“Jadi segala apa yang berlaku kat sana uncle
tahulah. Segala tentang diri Qis kat sana semuanya uncle
tahu.”
“Jadi, dia kawan Qis. Layla tu jadi informer unclelah.”
Angguk.
“Qis tahu?”
Geleng. “Is just between both of them. Qis tak tahu
kata uncle. Layla tu pun sebab kesian kat uncle yang merayu kat
dia.”
“Dan sekarang ni uncle tahu ker Qis tinggal
dengan siapa, ma?” Sejak Qistina balik cuba dijejak tempat
tinggal gadis itu tapi seakan-akan menemui jalan buntu.
Cuba diekori tapi ternyata Qistina sangat bijak mencium
langkahnya. Selalunya sahaja rancangannya gagal. Cuba
diminta daripada adik ipar Ray untuk merisik khabar. Juga
gagal.
“Kata uncle apa yang dia dapat tahu daripada
Layla. Annur tinggal dengan kawan baik dari sekolah lagi,
Zita. Uncle tak mahu kacau Annur dahulu. Uncle mahu beri
ruang buat Annur untuk buat keputusan untuk tinggal di
sana atau kembali tinggal semula dengan uncle. Tapi mama
tau uncle berharap sangat Annur balik semula tinggal
dengan dia.”
“Zita?...Zita Asyikin. “
“Ha’ah. Zita Asyikin. Khal kenal kan dia.”
Senyum kecil terpamer. Apa pula tak kenal, ma.
Musuh ketat tuh!
ZITA senyum. Yes! Padan muka kau, Khal..
“Jadi muka dia mesti terkejut habis, kan. Aku boleh
bayangkan mengelabahnya dia bila kau cakap korang dah
putus. Dah habis.”
Qistina senyum. Beg Coach di bahu diletakkan
ke meja hiasan. Dilabuhkan duduk sebelah Zita. Dipaut
bahu Zita. Erat. Seketika. Dilepaskan nafas. Pertemuan
dengan Khalish masa basah diingatan. Ternyata telahan
hati kecilnya benar. Khalish takkan mahu akur dengan
permintaannya sedangkan Qistina mahu diberikan ruang
buatnya untuk kembali mengatur langkah sendiri. Tautan
hati dan jiwa antara mereka biarlah Dia di atas sana yang
menentukan. Qistina akan akur dengan ketentuan
daripada-Nya nanti.
“Kau patut balas balik apa yang dia dah buat kat kau
tu, Qis.”
Qistina menggeleng. Kalau dia muntahkan segala
yang terjadi dahulu pun segalanya tidak akan kembali seperti
sedia ada. Yang berlalu tidak mungkin mampu diundur
kembali. Jika dihitung pasti nanti akan ada hati yang terluka.
Dan dia sendiri sudah lelah dengan airmata. Impian indah
yang hancur dan dihancurkan dahulu takkan mampu
dicantum kembali.
“Yang dah lepas takkan boleh diulang semula. Yang
dah terjadi takkan mampu ditarik balik, Zie.”
“Betul tapi adakalanya pengajaran tu baik untuk
orang ego dan bodoh macam si Khal tu.”
“Aku dah maafkan segalanya, Zie. Cukup-cukuplah
semuanya. Buat aku buat Khal biar kami pilih
haluan hidup sendiri. Urusan jodoh aku serahkan pada
yang Khaliq. Sungguh Aku yakin Allah sudah menetapkan
siapa yang terbaik buat aku nanti. Aku yakin, Zie.”
“Qis..” Qistina toleh memandang ke wajah Zita.
Dielus perlahan tangan teman baiknya ini.
“Aku ada idea untuk ajar Khal ni, Qis.”
Qistina terus menggeleng. “Tak mahulah aku, Zie.
Please. Sudah-sudahlah. Aku tahu kau tak suka dia dari
dahulu. Aku fahamkan sangat hati kau. Biarkan dia. Nanti jadi
lain pula aku juga yang pening. Khal tu kau bukan tak kenal,
kan?”
Zita tersenyum. “Pasal aku kenal sangat mangkuk
tulah aku nak tolong kau, Qis. Kita tengok nanti macam mana
dia.”
Qistina senyum. Mangkuk. Zie… Zie.
“Ni akan jadi sweet revenge. Paling sweet tau.
We’ll see how good is our Mr Khalish Ariq. Kalau dia
lulus, alhamdulillah. Dia memang untuk kau. But if he fail..
bye-bye then. You go girl. Find another gentleman who
love you more then Mr. Khalish Ariq.” Qistina menggeleng
lagi. “Hmm… janganlah, Zie. Tak baiklah buat orang…”
“Qis, aku tahu...”
Mata kedua-duanya bertembung lagi.
Zita senyum segaris. “Kau masih sayangkan dia.
Dan kau tak boleh lupakan dia sampai sekarang. Walau pun
kau cuba, hakikatnya kau tak mampu. Right, Qis.”
Qistina hembus nafas. Sukar ditepis kata-kata
Zita sebentar tadi. Hati dan jiwanya terlalu sukar
membuang nama itu. Nama yang kukuh terpahat di dalam
setiap urat nadinya. Di setiap detik jantungnya. Nama yang
terlalu memberi makna di dalam hidup Annur Qistina.
“Kita tengok nanti sejauh mana sayangnya dia
pada kau. Sedalam mana cinta dia pada kau yang dia ulangulang
lafazkan .Aku nak tengok dia buktikan kata-kata dia tu.”
“Zie...” Qistina geleng lagi untuk ke sekian kalinya.
Zita genggam erat tangan Qistina. Faham apa yang
tertulis di hati teman baiknya ini. Qistina yang
polos. Qistina yang terlalu menjaga hati setiap insan di
sekelilingnya. ”Kau mesti nak tahu juga, kan. Ini masanya,
Qis. Kita tengok sama ada dia Khal yang masih ego
seperti dulu atau dia dah berubah. Kalau dia betul-betul
sayang dan cintakan kau sepenuh jiwa dia, dia kena
buktikan.”
Qistina rasa tidak sedap hati. Tidak mahu akan
tercipta nanti perkara yang bukan-bukan yang nantinya
akan menjejaskan hubungan Zita dan Azhar. “Kau nak
buat apa, Zie. Kau nak buat apa kepada Khal? Kau jangan
Zie, nanti Azhar cakap apa pula. Janganlah, Zie. Aku okey
kau jangan bimbang. Aku tahu jaga diri. Lagipun Khal
takkan lakukan apa-apa kepada aku. Percayalah.
Aku kenal Khal. Aku tahu hati dia.”
Senyum. Genggaman tangan Qistina dieratkan.
Kenyitan mata dihadiahkan pada seraut wajah comel
keanak-anakan yang amat disayanginya. Segalanya sudah
dibincangkan bersama Azhar. Hanya ni yang mampu
dilakukan untuk memastikan Qistina kembali menggapai
bahagia yang terlerai dahulu.
“Just wait ya, my sweet Barbie Doll.”
Qistina lepas nafas. Dalam dalam. Seraut wajah
tampan Khalish terlayar di mata. Dipejamkan mata. Ada
desir suara berbisik di telinga. Nama itu terucap di bibir
tanpa sedar. Zita di sebelah memandang tunak. Takzim
melihat. Bibir mengukir senyum. Seraut wajah Khalish
terpampang di ruang fikiran. Kau kena menang dalam ujian ini
Khal kalau kau betul-betul sayang dia. Kau kena menang, Khal.

No comments:

Post a Comment