Friday, 24 June 2016

Perangkap Dua Hati - Bab 9

SREEEETTTT!
Qisya Zulaikha terkejut yang amat sangat apabila
tiba-tiba saja kereta BMW 3 Series menghalang keretanya.
Terpaksa Qisya Zulaikha memberhentikan kereta secara
mengejut di tepi jalan itu. Hatinya berdegup kencang, takut
sesuatu yang akan terjadi padanya pagi ini. Cepat saja tangan
Qisya Zulaikha menekan lock pintu kereta. Dia melihat
sekeliling, hanya beberapa kilometer saja lagi, dia akan
sampai ke bangunan syarikatnya.
Qisya Zulaikha mengecilkan matanya bila pemandu
kereta BMW itu keluar dari kereta. Melopong Qisya Zulaikha
apabila melihat Qairina mengorak langkah ke keretanya.
“Keluar kau sekarang, betina!” jerit Qairina seraya
mengetuk kuat cermin kereta Qisya Zulaikha.
“Kalau kau tak bersalah, kau tak akan takut macam
ni. Keluar sekarang!” jerit Qairina lagi. Tidak dipedulikan
kereta yang lalu lintas pada ketika itu. Pada waktu ini, belum
ramai orang yang melalui jalan itu. Jadi dia tidak kisah
sangat. Apa yang pasti, dia mahu berjumpa dengan Qisya
Zulaikha.
Qisya Zulaikha mengeluh keras. Akhirnya, Qairina
muncul. Macam mana wanita itu tahu di mana dia berada
sekarang? Dia menggenggam erat tangannya bagi meredakan
perasaan takut. Sampai bila dia harus takut pada wanita itu?
Sedangkan dia tidak bersalah langsung dalam hal ini. Dengan
perlahan dia membuka pintu keretanya. Baru saja dia
membuka pintu, Qairina menariknya keluar dengan kasar
sekali.
“Kau menggatal dengan Diyad lagi kan? Aku
ingatkan kau dah lama mampus betina!” Qairina menolak
badan Qisya Zulaikha, sehingga badannya tersandar di pintu
kereta Qisya Zulaikha. Qisya Zulaikha mengaduh sakit.
“Kak Rina, saya berani bersumpah, saya tak kacau
Abang Diyad pun. Dari dulu sampai sekarang, memang saya
tak pernah dekati dia.”
“Kalau orang lain, kau boleh tipu tapi bukan aku!
Kau ingat, aku tak tahu yang Diyad pernah jumpa kau? Hei,
perempuan... Kau dengar sini eh.. Semua yang berkaitan
dengan Diyad, aku pasti akan tahu. Kau ni memang dasar
perempuan hati busuk! Sampai bila kau nak kacau dia?”
Qairina bercekak pinggang. Nafas turun naik dengan deras
sekali. Kalau tidak mengenangkan tempat ini adalah tempat
awam, sudah lama Qisya Zulaikha merasa penamparnya
sekali lagi.
“Saya tegaskan di sini, saya tak pernah dekati Abang
Diyad. Saya hormati dia kerana dulu dia merupakan senior
saya tapi sekarang, saya tak ada kaitan pun dengan dia. Saya
harap Kak Rina jangan tuduh saya yang bukan-bukan.”
“Kau!” Jari telunjuk Qairina naik tepat ke wajah
Qisya Zulaikha. Sebelum sempat dia menghamburkan katakata,
bunyi hon kereta kedengaran dan menghentikan
niatnya itu.
Serentak kedua-dua mereka menoleh pada kereta
yang baru saja munculdan berhenti di hadapan kereta
Qairina. Qairina mendengus kasar, dia kenal dengan kereta
itu.
Qisya Zulaikha mengerut dahi. Siapa pula yang
muncul ni? Kereta Audi A4 biru yang seakan-akan
dikenalinya tapi tidak pasti ia milik siapa. Qisya Zulaikha
mula tidak sedap hati apabila Nuh Qays pula muncul. Dia
memejamkan mata seketika. Terasa kejadian dulu berulang
kembali.
“What are you doing here, Kaka?” Dengan nada
yang tegas Nuh Qays mengutarakan soalan itu pada Qairina.
“It’s none of your business, abang! Aku ada hal
dengan betina gatal ni.” Kini Qairina menghadap Nuh Qays.
Matanya mencerlung geram dengan kemunculan Nuh Qays
di situ.
“Apa lagi ni? Tak malu ke buat macam ni? Kita dah
dewasa Kaka, please act like an adult.”
“Kau diam! Aku tak perlukan sesiapa untuk ajar
aku. Buat apa kau nak bela perempuan ni sedangkan dia
memang menggatal dengan Diyad.” Nuh Qays menoleh ke
arah Qisya Zulaikha, wanita itu hanya diam dan tunduk saja.
“Qisya Zulaikha, you can go now.” Qisya Zulaikha
mengangkat wajahnya bila Nuh Qays mengarahkan dia untuk
pergi.
“What?! No! Kau yang harus pergi abang. Pergi!”
jerit Qairina seraya menolak kuat badan kembarnya itu.
“I said now Zulaikha!” arah Nuh Qays lagi, tidak
dipedulikan perbuatan Qairina itu. Dia memegang
pergelangan Qairina agar kembarnya itu tidak cuba
menghalang Qisya Zulaikha pergi dari situ.
Dengan pantas Qisya Zulaikha masuk ke dalam
keretanya. Gerun juga dia bila pertama kali mendengar suara
Nuh Qays yang agak tinggi itu. Dia meninggalkan tempat itu
dengan secepatnya. Dia tidak mahu ambil peduli jika dua
beradik itu hendak bergaduh ke apa, yang penting dia lepas
daripada situasi itu.
“Lepas abang! Biar aku siat-siat muka betina gatal
tu!” Qairina meronta-ronta minta untuk dilepaskan
walaupun dia tahu, tenaganya tidaklah sekuat mana jika
dibandingkan dengan Nuh Qays. Bila tidak ada tanda Nuh
Qays melepaskan tangannya, dengan perasaan marah,
Qairina menggigit tangan Nuh Qays. Akhirnya lepas juga
pegangan itu.
“What the!” tempik Nuh Qays. Tangannya merah
akibat kesan gigitan Qairina itu.
“Lain kali jangan cuba nak masuk campur dalam
urusan aku! Kau faham tak abang?”
“Stop being likes a child Kaka! Kau kena siasat
dulu betul ke Zulaikha yang salah atau Diyad sendiri yang
sebenarnya gatal. Kau pun tahu perangai Diyad macam mana
kan? Lain kali, guna akal sebelum bertindak, jangan ikut kata
hati saja.” Nuh Qays ingin mengorak langkah untuk
meninggalkan Qairina tapi dengan pantas Qairina
menyambar tangannya.
“Kenapa kau nak bela perempuan tu hah? Dan
kenapa selama ni kau tak bagitahu aku yang kau kerja satu
syarikat dengan dia?”
“Ini bukan tentang bela ke apa. Bagi aku perkara ini
memalukan. Selama aku bekerja di sini, aku tak pernah
nampak dia menggatal dengan mana-mana lelaki, apatah lagi
Diyad. Kau kena fikir tu. Tak ada gunanya belajar tinggi kalau
otak simpan dekat hujung kaki. Kau faham maksud aku? And
one more thing, perlu ke aku nak inform kau kalau dia kerja
satu syarikat dengan aku? Bagi aku, itu bukan satu kemestian
Kaka. Kalau kau rasa Diyad cuba nak cari perempuan lain, itu
bermakna kau belum sempurna di matanya.”
Tanpa menghiraukan jeritan Qairina, Nuh Qays
meninggalkan tempat itu. Dia malu dengan tindakan Qairina.
Jika benar Qisya Zulaikha mempunyai hubungan dengan
Izdiyad, bukan begini caranya. Baginya semua ini seperti
keanak-anakan menyelesaikan masalah seperti itu. Tidak
salah kalau Qairina duduk berbincang dengan Qisya Zulaikha
secara baik dan bertanyakan tentang perkara yang sebenar.
Ini tidak, main terjah saja tanpa menghiraukan baik dan
buruk sesuatu perkara.
Qairina menggenggam kuat stereng keretanya. Dia
menjerit dengan sekuat hati. Geram dengan Nuh Qays dan
Qisya Zulaikha.
“Kau ingat, kau akan lepas Ikha? No! Selagi aku tak
yakin yang kau tak akan ganggu Diyad, selagi tu jugak aku
akan musnahkan hidup kau. Kau tengoklah nanti,” ujar
Qairina. Ibarat satu ugutan buat Qisya Zulaikha tapi dia akan
pastikan perancangannya akan teratur dengan baik sekali.
Dia meninggalkan tempat itu dengan senyuman yang penuh
makna.
DALAM Nuh Qays leka membuat kerja, iPhonenya berbunyi.
Dia melihat skrin kecil yang tertera nama ‘Kaka’ itu.
Dibiarkan saja telefon itu berdering dan berhenti sendiri.
Dalam beberapa minit kemudian, iPhonenya berdering lagi
dengan nada yang berbeza pula bagi menandakan ada pesanan
ringkas masuk. Dengan perasaan yang malas, dia membaca
pesanan ringkas itu.
Lebih baik kau angkat call aku ni sebelum
aku naik gila datang ke ofis kau. Aku akan
malukan betina jahat tu.
“Tak habis-habis!” Dengus Nuh Qays. Hampir
setengah hari dia tidak nampak kelibat Qisya Zulaikha
semenjak kejadian pagi itu. Dia juga tidak sempat memohon
maaf bagi pihak Qairina kerana ada urusan penting yang
harus dilaksanakan.
Untuk sekian kalinya, iPhonenya berdering lagi.
Apalah nasib dapat kembar seperti Qairina ini, keluh hatinya.
“Yes, Kaka? Kau ni memang jenis yang tak serikserik
ke hah?”
“Ohh.. Bila aku kata nak malukan betina gatal tu,
baru kau nak jawab call aku. Dah ada hati dan perasaan ke
kau sekarang, abang? Dah tergoda dengan pujuk rayu betina
tu?” sindir Qairina. Hatinya semakin panas bila Nuh Qays
mengangkat panggilannya hanya disebabkan dia mengugut
tentang Qisya Zulaikha.
“Kau call aku hanya nak cakap benda ni saja ke?
Tolong jangan buang masa aku, Kaka. Fed up sangatlah
dengan perangai kau yang tak pernah nak matang ni. Macam
budak-budak!”
“Hey! Watch your mouth abang! So means
sekarang, betina tu dah ada back uplah? Kau tak akan dapat
halang aku, abang. Aku akan buat dia lari jauh dari kita
semua.” Tegak kedudukan Nuh Qays bila Qairina
mengugutnya sebegitu.
“Itu juga bukan urusan kau, Kaka. Aku nak jadi
back up dia ke, nak jadi boy-friend dia sekalipun, kau tak
berhak tahu semua tu. Kalau kau rasa, kau berani, have a try.
Aku nak tengok sejauh mana keberanian kau tu.”
“Kau cuba nak cabar aku? Bodohlah jika seseorang
tu cuba nak back up dia ataupun suka dengan betina tu. And
yes, you’re one of them.”
“Jadi Diyad juga tergolong dalam orang yang
bodoh, macam tu? Aku rasa, dalam hal ini bukan Qisya
Zulaikha yang dipersoalkan tapi kau! Kau tak layak dengan
mana-mana orang pun sebab kaulah perempuan yang paling
tak tahu nak jaga maruah diri. Cuba memperbodohkan diri
sendiri di khalayak ramai hanya kerana perkara yang tidak
sahih. Bila fikir balik, aku macam tak percaya, betul ke ibu
yang melahirkan kau sebab perangai kau ni memang tak
sama langsung dengan perangai ibu dan ayah.”
“Kurang ajar kau, abang!” jerit Qairina.
“Kau kena sedar, Kaka... Sampai sekarang kau
belum kahwin dengan Diyad tu, sebab apa? Mungkin salah
satunya adalah disebabkan perangai kau macam orang
histeria ni.” Walaupun nada Nuh Qays hanya tenang namun
boleh membuatkan Qairina semakin tidak dapat
membendung perasaan marah lantas telefon bimbitnya itu
dihempaskan ke dinding. Puas hatinya melihat telefon bimbit
yang berkecai itu. Dia sedar akan sesuatu, Nuh Qays tidak
perlu memekik sepertinya tapi dengan nada tenang itu saja
boleh membuatkan Qairina selalu kalah dalam pertengkaran
mulut di antara mereka.
Sinis senyuman Nuh Qays, dia terdengar bunyi
benda terhempas sebelum taliannya terputus. Sudah masak
dengan perangai Qairina yang panas baran itu. Pasti telefon
bimbit kembarnya itu dihempaskan. Tidak terkesan di
hatinya dengan perbuatan Qairina itu, baginya Qairina perlu
disedarkan berkali-kali agar kembarnya itu berubah sikap ke
arah yang lebih baik lagi.
“KAU ni kenapa Ikha? Dari pagi tadi lagi aku tengok kau
monyok aje? Gaduh dengan minah mereng tu ke?” tanya Ifa.
Dia rasa tidak sedap hati melihat Qisya Zulaikha yang banyak
diam dari tadi. Sehingga ke tengah hari ini, Qisya Zulaikha
tidak banyak bercakap dengannya.
“Itu macam biasalah Ifa. Tak ada topik lain lagi
yang dia nak ungkit. Semua nak salahkan aku dan parents
aku. Dia macam tak sedar, hidup kita berlandaskan takdir
daripada Allah.” Tentang kemunculan Qairina itu tidak
diberitahu pada Ifa. Dia tidak mahu membebankan Ifa
dengan semua masalah yang melanda pada dirinya. Biarlah ia
tersimpan dulu di dalam hati.
“Aku memang tak tahu nak kata apa lagi Ikha.
Sebab kaulah satu-satunya perempuan yang tahan sangat
dengan perangai mereng Peah tu. Kalau aku jadi kau, dah
lama sangat Si Peah tu hilang rambut. Kau nak tahu apa
sebabnya? Sebab aku akan tarik rambut dia setiap kali dia
cari pasal dengan aku.” Tergelak Qisya Zulaikha bila melihat
wajah Ifa yang penuh dengan emosi itu.
“Itulah kau, bila aku cakap saja... Mesti kau nak
gelak.”
“Dah kau buat lawak, mana tak gelak aku
dibuatnya.” Rasa terhibur Qisya Zulaikha dengan adanya Ifa.
Kalaulah Ifa yang menjadi sepupunya, pasti hidup mereka
akan harmoni walaupun tiada ibu bapa di sisi.
“That’s good! Kau dah senyum. Baru sedap hati aku
ni tengok. Anything Ikha, kau bagitahu aku saja. Mungkin
aku tak dapat nak tolong selesaikan masalah kau tapi aku
boleh tolong kurangkan beban kau Ikha, tak pun jadi back up
kau untuk lawan Si Peah tu. Kalau aku tak terlawan, aku
suruh Si Irfan, bodyguard aku kerjakan dia.”
“Jahat betullah kau ni Ifa, Irfan tu kau kata
bodyguard? Kesian dia, dah terang-terang dia suka kau, tapi
kau buat derk saja. Pasal masalah aku, nantilah aku adu
dekat kau lagi kalau ada yang cuba nak ancam aku.”
Sebenarnya Qisya Zulaikha tidak mengenali Irfan,
cuma dia tahu tentang kewujudan lelaki itu disebabkan
cerita-cerita Ifa. Irfan merupakan kawan lama Ifa dan lelaki
itu sudah mengatakan bahawa dia menyukai Ifa cuma Ifa saja
yang tidak ambil kisah.
“Hek’eleh, dia pun sama juga. Dalam bangunan ni,
ada seorang dua yang nak cuba tackle kau, tapi kau tak layan
juga. Entah, siapalah yang kau tunggu selama ni ya.”
“Tak tunggu siapa-siapa pun. Kalau ada jodoh,
adalah tu.” Ifa mencebik, itulah ayat yang selalu Qisya
Zulaikha gunakan setiap kali bercakap tentang seseorang
yang istimewa di hati Qisya Zulaikha.
Qisya Zulaikha berfikir sejenak, adakah benar dia
sedang menunggu seseorang? Jika benar dia mengharapkan
seseorang itu, layakkah untuk dirinya? Sedangkan lelaki itu
tidak ada tanda-tanda pun ada hati dengannya. Apa yang dia
nampak cuma ketegasan yang terpancar di wajah lelaki itu.

No comments:

Post a Comment