Sunday 26 June 2016

Puzzle Cinta Aisara - Bab 1

“Aku menjadi diri sendiri. Tak peduli apa kata dunia.
Ku nanti hari ketika cinta datang, cinta menang...”
(Dosakah Aku – Nidji)

MUKA Aisara kelihatan tegang. Bukan sebab
baru lepas buat rawatan muka, tetapi sebab perasaan
menyampahnya tengah meluap-luap. Kenapalah dia boleh
relakan diri ke situ? Hilang akal ke apa? Dia merengus
sendiri. Eiii... bencinya! Langkah kaki dilajukan. Alangalang
sudah sampai, mustahil untuk berpatah balik.
‘Hurmm... Kalau bukan sebab terpaksa, jangan mimpilah
aku nak ke sini.’ Dia sempat menjeling suasana sekeliling.
‘Dia orang ni pandang-pandang aku kenapa?’ Aisara rasa
rimas apabila matanya bertikam dengan pandangan orang
lain. Orang senyum, dia tarik muka. Saja mahu seluruh
alam yang tidak berdosa tahu rasa yang terbuku dalam
hatinya.
Sampai depan pintu bilik pesakit yang mahu dilawat
dia berhenti sesaat. Mukanya yang ketat dari tadi cuba
diredakan sedikit. Hendak reda banyak tidak boleh, sebab
dia memang alergik dengan pesakit itu. Kalau boleh
dia mahu tunjuk muka tidak berperasaan macam biasa.
Maklumlah memang itupun imej dirinya di mata semua orang.
Dia bukan kisah pun kalau gelaran buat dirinya si hati kering.
Dia ada sebab untuk berperangai macam tu.
Daun pintu ditolak. Aisara melangkah masuk.
Matanya terarah ke katil. Kosong? Aik, ke mana lesapnya
pesakit bilik tu? Mindanya mencari jawapan. Bubur yang
dibeli tadi diletak atas meja berhadapan katil. Jam tangan
sempat dikerling sekilas. Hampir pukul 10.00 pagi.
“Mana pulak dia ni pergi?” Laju saja bilik air
khas dalam bilik bertaraf VIP itu diperiksa. Manalah tahu
kut-kut orang yang dicari sudah jatuh pengsan di situ, ada yang
aniaya. Keluhan dilepaskan. Tidak ada siapa pun di situ. Dia
buat muka kelat semula.
“Sakit. Tapi boleh merayap!” Aisara mendapatkan
pintu keluar. Baru saja tombol pintu hendak dicapai...
BUKKK!!!
Sepantas itu juga Aisara terdorong ke belakang.
Aduh, sakitnya... jerit suara hatinya. Biol seketika
fikirannya. Siapa yang menempah maut ni? Terbakar betul
hatinya.
RY yang baru melalui pintu itu terkejut memandang
Aisara menekup dahi dengan sebelah tangan. Mata Aisara
mengecil menahan rasa pijar dan sakit. Sebelah lagi
tangannya masih setia membimbit briefcase.
Alamak! Dia gigit ibu jari. Aisara dihampiri.
Baru saja dahi perempuan tu mahu disentuh, Aisara
mengelak dan terus duduk di tepi katil. Menahan rasa sakit
yang terus berdenyut. Dengan muka bersalah dia mengambil
tempat di sebelah Aisara. Senyuman memohon kemaafan
dilemparkan. Wajah yang merah padam tengah menahan
sakit itu dipandang. Dia garu dahi. Apalah yang Aisara
buat di situ awal pagi macam tu? Hendak melawat pun
datanglah sebelah tengah hari atau petang nanti. Kan
percuma saja jadi mangsa daun pintu.
Aisara rasa dahinya semakin berdenyut. Rasa hendak
menangis pun ada. Tetapi dia pilih hendak ‘makan’ orang
daripada menangis. RY direnung tajam. Hish! Memang
terbakar darah dengan makhluk ni.
“Kau ni bodoh ke buta!” Itu dia. Berjaya alihkan rasa
sakit kat dahinya ke dalam hati RY. Puas rasanya.
“Aik, saya pulak yang salah?” protes RY. Salah dia ke?
Aisara yang datang salah masa. Dia tak salah.
“Awak tu yang datang sini tiba-tiba, kenapa?
Lagipun itu bukannya pintu ofis yang saya nak kena ketuk
dulu sebelum masuk. Bilik ni bilik saya. Masa keluar tadi
tak ada orang yang saya tinggalkan dalam ni. Jadi bila nak
masuk, saya masuk ajelah,” bidas RY membela diri.
Aisara menjeling geram. Dia tahulah itu bukan
pintu pejabat. Bodoh sangatkah dia sampai RY mahu ajar
dia macam tu?
“Aku nak hantar bubur tu. Tapi inilah yang selalu
aku dapat bila cuba nak buat baik dengan orang. Bala!”
jerkahnya. Mahu buat baik sesekali pun tidak boleh!
RY buat muka tidak berperasaan. Aisara ini
lawa, tinggi lampai, kulit putih berseri. Tetapi sayang...
kalau bercakap insurans pun tidak sanggup untuk beri
pelindungan.
“Awakkan tak suka saya... menyampah bekerja
dengan saya. Buat apa susah-susah nak hantar bubur? Awak
ni peliklah. Kat sini semua lengkap tersedia, tak payah
nak susah-susah.” Dia rasa semacam pula dengan
kebaikan Aisara pada hari itu. Jangan-jangan Aisara ada
agenda mahu menjampinya tak? Maklumlah Aisarakan
memang tak suka ‘gila’ dengan dirinya. Hati RY sedikit
curiga. Fuh, jangan main-main dengan perempuan ni.
Silap hari bulan ada yang dia jadi patung cendana.
Aisara menjungkit bibir. Betul ke dia yang buatbuat
baik tetapi tidak ikhlas atau memang hatinya selalu
berubah-ubah sekejap baik, sekejap tidak? Eleh, RY saja
hendak cari salah dialah tu. Merekakan memang tidak
pernah sebulu setiap kali berjumpa, langsung tidak
ada tanda-tanda hendak berdamai. Maknanya memang
wajarlah dia layan RY begitu sebab mereka musuh!
RY mengalih pandangan ke lantai. Gerun juga mahu
menatap muka Aisara lama-lama.
“Awak ni dah mula tersuka saya ke? Awak nak
pikat saya dengan bubur tu?” soal RY selamba. Oleh kerana
bosan dua hari duduk dalam bilik tu, dia mahu berhibur sikit
dengan menyakat perempuan sihir sebelahnya ini. Nasiblah,
kan? Siapa suruh Aisara ke situ?
Aisara mengecilkan mata. Gila apa dia hendak
sukakan RY? Maaf! Lelaki versi itu langsung tidak berjaya
mencuri ruang dalam hatinya.
“Jangan nak mengarutlah. Aku datang sebab urusan
kerja,” sangkalnya dengan muka menyampah.
RY tersenyum mengejek dan menggeleng kecil.
Agaknya cara bagaimanalah perempuan yang bernama
Aisara ini bergembira dalam hidup? Hari-hari moodnya
tegang tiap masa. Mahu tengok senyuman di bibirnya
pun payah. Kalau tidak sebab produk kecantikan yang
dipakai setiap hari, pasti wajah cantik tu sudah lama berkedut
sejuta.
“Kerja apa?” RY pura-pura marah. “Sayakan tengah
cuti sakit,” sambungnya perlahan.
Aisara herotkan bibir. Dia memang bencilah
berhadapan dengan lelaki ni.
“Tapi janganlah berharap sangat. Saya tak nak
pendek umur kalau beristerikan perempuan macam awak
ni. Garang nak mampus!” perlekeh RY. Sebenarnya dia
rindu hendak dengar Aisara marah-marah. Mungkin sebab
sudah terbiasa begitu di pejabat.
Hish, lelaki sebelahnya ini karang mati juga dicekik
Aisara. Sudah mati tidak perlu datang kerja lagi. Mereka
pun tidaklah berjumpa dan bergaduh hari-hari. Aisara
menarik nafas, mencari kesabaran yang masih bersisa.
Sesaat kemudian dia kembali berwajah selamba. Ingat dia
bodoh ke sampai tidak boleh baca apa yang tersembunyi
dalam fikiran RY. Malaslah hendak melayan lelaki itu
berdrama. Karang kalau anginnya betul-betul naik, lagi lama
RY tersadai di hospital. Sebuah dokumen dari dalam briefcase
yang dibimbit dari tadi dikeluarkan.
“Kau sain kat sini. Lepas tu aku nak berambus!” arah
Aisara kasar.
RY menyelak dokumen yang sudah mendarat
atas ribanya itu. Memang penting dan tidak boleh dielak.
Pen yang dihulurkan diambil. Tandatangan diturunkan
sebelum dokumen itu diserahkan semula.
Tanpa lengah Aisara menyimpan kembali dokumen
tersebut ke dalam briefcase. Buat apa tunggu lagi, tugasnya
sudah selesai. Itu saja yang dia mahu daripada RY, tidak
lebih. Dia mula bangun dari katil. Tetapi tangan RY pantas
menahan bahunya.
“Apa ni?” Aisara menepis kasar. RY hendak cakap
apa, cakaplah. Dia boleh pekakkan telinga. Tetapi kalau
sampai tangan lelaki itu mendarat ke atas tubuhnya sesuka hati,
apa kes? RY ini macam mintak tumit kasut tingginya
mendarat ke dahi saja. Baru betul, sama-sama benjol di situ.
“Cuba sopan sikit. Duduk diam-diam sekejap.
Saya nak tengok dahi awak tu.” Selamba aje RY bagi arahan.
Tangannya menyelak rambut yang menutupi dahi
Aisara. Waaa... Dah ada ‘telur ayam’ sebiji. Warna merah
kebiruan lagi. Pasti sakit dan berdenyut-denyut. RY
mengecilkan mata seakan boleh merasakan kesakitan itu.
Semakin tajam renungan mata Aisara. ‘Lelaki ni
tak faham ke kami bukan muhrim dan dia tak boleh sentuh
aku sesuka hati!’ Dia rasa seperti mahu makan kari kepala
orang pula.
RY buat tidak nampak. Biarlah kalau mata Aisara
hendak terkeluar dan jatuh bergolek ke bawah katil pun. Dia
masih terasa sedikit bersalah dengan insiden sebentar tadi.
“Kecederaan awak ni serius. Jom pergi jumpa
doktor,” ucap RY lantas tanpa segan tangan Aisara
dipimpin. RY memang melampau!
“Tak payahlah... aku boleh urus sendiri!” bentak
Aisara. Tangannya ditarik kasar sebelum terus bangun dari
katil. Tak sabar dia nak dapatkan pintu keluar.
RY mengeluh. “Tak fahamlah saya. Kenapa awak
ni emo memanjang. Agaknya perempuan kalau dah nak tua
memang macam ni kut. Diserang angin menopaus.”
Aisara berpaling kebelakang semula. Berdesing
gegendang telinganya. Sesedap penambah perisa cap
Tumix saja RY melontarkan kata-kata. Siapa yang sudah
semakin tua? Dia atau RY? Dasar lelaki tak sedar diri!
“Sorry, aku belum tua lagi, okey!” jawabnya tak mahu
kalah.
“Tak tua apa? Dah 30 tahun pun,” sindir RY.
Aisara naik sebelah kening. Hei... memang dia
mahu makan kari kepala oranglah ini. Panas saja dia dengar
RY terus mengomel.
“Dah nak liat. Daripada pilih yang dah nak liat
macam awak, elok pilih yang bergetah kat luar sana tu.” RY
menjeling ke atas sebaik melihat Aisara menghampirinya
semula.
“Hei, kau ni apa hal?” Tidak semena-mena briefcase
di tangan Aisara singgah ke tubuh. ‘Kan dah cakap aku nak
makan kari kepala orang.’ Aisara terus memukul semahu hati.
RY yang menjangkakan semua itu sempat mencapai
bantal sebagai perisai. Dia mengelak dan tergelak melihat
Aisara berusaha mencari tubuhnya sebagai sasaran.
Sebaik pukulan Aisara tersasar, cepat-cepat dia
menangkap kedua-dua tangan Aisara. Yes! Dapat. Dia gelak lagi
sambil menarik Aisara lebih rapat.
“Ushh... ganasnya,” usiknya. Sempat pula mata
Aisara yang jernih itu ditatap sedalamnya. Tetapi kenapa
anak mata tu nampak kelam dan aneh? Penuh rahsia.
Tidak menonjolkan sinar bahagia. Apa sebenarnya yang
tersembunyi? Hatinya sedikit cuak. Aisara ini betul-betul
perempuan sihir ke?
“Lepaslah!” getus Aisara. Tangan RY yang menyentuh
kulitnya terasa macam duri saja. Eiii... geram!
RY tersentak. Sempat pula dia berkhayal dan cuba
meneroka jiwa Aisara. Ish... Tangan Aisara dilepaskan.
“Awak ni cantik. Mempesona. Tapi kenapalah garang
sangat? Agaknya kekasih awak dulu tinggalkan awak sebab
perangai ‘singa lapar’ ni kut? Suka menerkam tak tentu fasal,”
ujar RY. Dalam memuji sempat dia mengata lagi.
“Bukan hak kau nak persoalkan semua tulah!” bentak
Aisara kasar lantas briefcase dari atas katil diambil.
“Kenapa ni, encik?” Seorang jururawat yang
terdengar pertengkaran mereka muncul di sebalik daun pintu.
“Dia ni elok suruh doktor suntik dengan salah
ubat aje. Biar senyap!” jawab Aisara. Dengan wajah merah
mencuka dia mencelah di tepi jururawat itu dan berlalu pergi.
RY tersenyum kepada jururawat itu.
“Biasalah, girlfriend saya tu period,” ucap RY selamba.
Jururawat itu menggeleng sebelum berundur,
menutup pintu dan pergi.
RY terkekeh sendiri sambil baring atas katil. Lucu
mengenangkan Aisara yang sudah berlalu pergi.
“Perempuan tu mesti pernah kecewa. Itu fasal anti
lelaki. Tak pernah nak baik dengan mana-mana lelaki pun. Tak
pun tersalah makan pil kesihatan, sampaikan hormon dia jadi
tak normal,” omelnya.
Aisara melangkah laju menuju ke kereta. Briefcase
di tangan dicampakkan ke tempat duduk sebelah. Dia
masuk dalam kereta dan duduk bersandar. Menarik nafas
sambil menahan perasaan yang mendongkol. Sempat
matanya menjeling ke arah bangunan yang menempatkan
bilik RY tadi.
Bodoh! Tak guna! Pandai-pandai aje buat andaian
aku ditinggalkan kekasih. Mana ada! desis suara hatinya
membela diri. Geram yang terbuku di hati dilepaskan
kepada kunci kereta di tangan. Kunci itu dipulas Aisara
semahunya. Sebaik enjin hidup, pedal minyak ditekan. Dia
memandu pergi.

No comments:

Post a Comment