Sunday 26 June 2016

Puzzle Cinta Aisara - Bab 10

“Di mana saja kau beradaku kan tetap
bersamamu. Walaupun jasadku jauh namun
hatiku tetap padamu...”
(Dua Insan – Eva & Ezad)

“ABANG, nak pergi mana pagi-pagi ni?” tanya
Rosmaria sebaik terpandang Fazli di halaman rumah.
Penyapu di tangannya disandarkan ke dinding, selipar
disarung dan terus dia mendapatkan Fazli.
Fazli yang baru selesai memasukkan beg berisi
komputer riba ke tempat duduk belakang keretanya
memandang wajah mesra Rosmaria.
“Nak pergi ambil gambar, nak cari pemandangan
yang menarik,” beritahunya sambil mencapai kamera yang tadi
diletakan atas bumbung kereta.
Rosmaria memerhati.
“Nak ikut boleh? Boleh Ros jadi model abang,”
pintanya menawarkan diri.
Fazli berfikir seketika.
“Ros, tak payah tolong emak masak ke?” Bukan
dia menolak tetapi rasa janggal pula kalau berdua-duaan
dengan Rosmaria yang mesra dan banyak bercakap tu.
Beberapa jam bertemu penat dia melayan pelbagai soalan
mengenai dirinya yang dicungkil. Lebih-lebih lagi hal
kehidupannya di luar negara yang membuatkan Rosmaria adikberadik
teruja ingin tahu.
“Bang! Abang ni orang bercakap dia khayal pulak.”
Rosmaria sudah melambai-lambai tangan di hadapan muka
Fazli. Berbuih-buih dia bercakap Fazli termenung pula.
Fazli tersengih.
“Apa dia?” tanyanya perlahan.
“Orang cakap, mak boleh masak sendiri. Ros dah
tolong jemur baju dan sapu lantai. Mak tak kisah kalau Ros
ikut abang,” jelas Rosmaria dengan nada gembira. Berharap
dapat turut serta. Dia bukan selalu balik kampung pun, inilah
peluangnya mahu merayau-rayau.
“Oh, kalau macam tu. Jomlah,” ajak Fazli tidak
ada alasan untuk menolak. Elok juga Rosmaria ikut sama.
Bolehlah sepupunya itu bertindak sebagai GPS. Dia pun
bukan pandai sangat selok-belok bandar Johor Bahru itu.
Rosmaria terlompat riang sambil bertepuk tangan
sebelum tersipu malu dipandang Fazli.
“Kejap, nak tukar seluar.” Dia berpusing ke belakang
dan cepat-cepat masuk ke rumah. Hatinya tergelak dengan
kelakuan tidak semenggahnya sebentar tadi.
Memerhati perilaku Rosmaria yang selalu riang,
Fazli teringat adik perempuannya yang sudah lama tidak
ditemui. Rindu. Baru saja ingatan Fazli mahu bercambah
mengenangkan adiknya yang berada di Mesir itu,
Rosmaria sudah terpacak di hadapannya. Tanpa banyak
cakap dia mempelawa Rosmaria masuk ke dalam kereta dan
perjalanan mereka bermula.
“Kita nak pergi mana?”
Fazli masih terfikir-fikir hala tujunya.
“Abang nak cari apa?” tanya Rosmaria lagi.
“Tak tahu nak pergi mana, bila jumpa tempat menarik
nanti kita berhentilah.”
Rosmaria mengangguk. Matanya meliar pula. Melihat
suasana selesa dalam kereta Fazli. Tiba-tiba dirasa
keselesaan itu tidak lengkap. Fazli ditoleh.
“Bang, orang naik kereta jenazah pun ada dengar
bacaan Yasin.”
“Hah?” Fazli kerut dahi tidak mengerti.
“Radio kereta abang ni... rosak ke? Bosan aje senyap
dan sunyi macam dalan tanah.”
Fazli menggeleng. Ada saja akal sepupunya itu.
“Pasanglah CD yang ni, lagu dalam ni semua best.
Abang yang pilih,” sekeping cakera padat dihulurkan.
Pantas saja Rosmaria memasukkan CD itu ke alat
pemain. Dia membetulkan sandar sambil menunggu lagu
pertama berkumandang.
Melihat Rosmaria diam, Fazli rasa dia boleh memandu
dengan tenang sambil memerhati tempat-tempat menarik.
Selepas empat buah lagu didengar, Rosmaria
kerutkan muka. Lagu kelima ini buat dia pelik. Apasal
susunan lagu itu macam pernah didengar? Fazli dipandang
dengan muka hairan.
“Kenapa?” tanya Fazli sedar Rosmaria memandangnya.
“Pelik!” jawab Rosmaria.
“Pelik kenapa pulak?”
“Lagu-lagu dalam CD abang ni ingatkan Ros kat
seorang akaklah. Rasa macam Ros tengah naik kereta dengan
dia pulak.” Muka Aisara menerpa ingatan Rosmaria. Malam
sewaktu Aisara menghantarnya pulang ke rumah sewa hari
tu, lagu-lagu itu juga yang didengar. Dia tidak kisah kalau
lagu itu sama. Tetapi hairan susun atur lagu yang dipilih
Fazli dan Aisara boleh sama.
“Mungkin dia pun minat lagu-lagu macam ni,”
ujar Fazli malas hendak fikirkan hal seperti itu. Lagipun
lagu itu bukan lagu rekaannya sendiri tetapi lagu-lagu yang
dinyanyikan oleh artis-artis, lagu popular. Mestilah ramai yang
bertindak sepertinya. Memilih dan menyalin semula ke dalam
CD atau thumbdrive.
“Mungkinlah tu. Tapi akak tu lawa dan pelik,”
beritahu Rosmaria mahu berkongsi cerita.
“Apa yang pelik?” tanya Fazli ingin tahu. Cerita
Rosmaria menarik minatnya.
“Peliklah. Masa makan malam dengan keluarga
dia. Dia diam aje. Tiba-tiba dia ketawa dan tepuk tangan.
Terkejut Ros. Ingatkan dia gila... tapi tak.” Rosmaria
terbayang aksi Aisara malam itu. Tidak pula diceritakan
kenapa Aisara bersikap demikian. Risau kalau Fazli tahu
peristiwa makan malamnya bersama keluarga Amirul
tempoh hari, cerita itu akan sampai ke pengetahuan ibunya
pula.
“Sebab benda yang dia makan tu rasa semacam
agaknya,” teka Fazli.
Rosmaria tersenyum. Yalah tu
“Tapi akak tu masih belum berpunya, abang nak
berkenalan tak?” Rosmaria cuba memancing keinginan
Fazli. Jika abang sepupunya itu belum ada yang istimewa,
apa salah diperkenalkan kepada Aisara. Kalau dapat menantu
yang bekerja di oversea pasti Puan Sri Marina tidak
mencerca lagi. Sakit pula hatinya mengingati perempuan kaya
yang sombong itu. Benci!
“Ish, tak naklah,” tolak Fazli. Ada-ada saja idea nakal
Rosmaria. Hendak jadi ejen mencari jodoh pulakah?
“Alah, abang bukan ada siapa yang punya pun.
Apa salahnya kalau berkenalan dengan akak tu. Mana tahu
ada jodoh, boleh kahwin,” usik Rosmaria. Kening kirinya
diangkat beberapa kali.
Fazli tersengih. Macam mak nenek budak ni, aku
sekeh karang baru tahu.
“Mana Ros tahu abang tak ada yang punya?”
“Sebab kami tak terima pun lagi kad jemputan kahwin
abang.”
“Mmm... tak terima kad, bukan bermaksud abang tak
ada yang punya,” dalih Fazli.
“Maksudnya abang dah ada yang istimewalah ni,” duga
Rosmaria.
Fazli diam. Pandai sungguh Rosmaria hendak
mengenakan dirinya.
“Tapi kalau nak tambah kenalan apa salahnya, kan?”
cadang Rosamaria masih tidak berputus asa.
“Betul juga tu. Apa nama akak tu? Ada nombor
telefon dia?” Termakan juga Fazli dengan kata-kata
sepupunya itu.
“Nama akak tu, Ai. Nombor telefon tak ada,” beritahu
Rosmaria selamba.
“Pendek tu aje nama dia?” Fazli mengkerutkan
dahinya. Rosmaria menjawab hanya dengan memek muka.
“Kalau tak ada nombor, macam mana abang nak
berkenalan?” keluh Fazli pura-pura hampa. Begitu beriaia
Rosmaria mahu dia berkenalan tetapi tidak ada nombor
telefon. Elok juga begitu tidak perlulah hal ini dipanjangpanjangkan
Rosmaria. Tetapi kalau dia tidak silap, Ai tu kakak
Amirul.
“Tapi dia ada facebook.” Rosmaria tersenyum riang
memberi sinar harapan. Jangan risau, masih ada talian hayat
lagi yang boleh membantu.
“Facebook? Emm... facebook tu untuk kawan-kawan
yang kenal aje. Kawan tak kenal abang tak pernah terima.”
Malas betul Fazli mahu melayan laman sosial itu. Rasanya
seminggu dia hanya sempat menjengah akaun muka
bukunya sekali saja. Membaca kemas kini terbaru rakanrakan
dan beberapa maklumat terkini mengenai fotografi.
Bersembang-sembang di ruangan itu pula sudah lama
ditinggalkan. Jika ada apa-apa yang ingin ditanyakan oleh
kenalannya hanya peti pesanan memainkan peranan.
“Abang ni kolotlah. Boleh aje kalau nak cari
kawan baru dengan facebook tu. Mula-mula buat
permintaan rakan dulu, lepas tu bila dah diterima barulah
berkenalan, lepas tu kalau rasa sesuai baru keluar date, lepas
tu kalau lagi suka jadilah cinta muka buku,” ujar
Rosmaria mengajar.
Fazli diam, malas mahu berhujah. Sakit kepala betul
memikirkan adik sepupunya yang suka ambil mudah semua
hal. Dia fikir boleh keluar suka-suka berjumpa dengan
rakan facebook yang baru dikenali? Silap-silap kena culik atau
perkara bukan-bukan terjadi. Minta dijauhkanlah.
“Nak tak berkenalan dengan dia?” desak Rosmaria.
“Nak ke dia terima abang jadi kawan dia nanti?”
Teragak-agak Fazli mahu menerima. Yang mahu
ditambah sebagai rakan itu perempuan. Aduhai... dia mana
biasa menyapa perempuan yang tidak dikenali. Beria-ia
sangat adik sepupunya itu hendak kenalkannya dengan
gadis itu. Apalah istimewanya gadis itu selain daripada cantik?

No comments:

Post a Comment