Monday, 27 June 2016

Semusim Kasih - Bab 2

TIADA liputan besar-besaran seperti rancangan
realiti TV yang lain apabila Olynn diterima sebagai salah
seorang daripada dua puluh calon untuk saringan sebelum
dua belas orang finalis yang bakal menyertai rancangan realiti
TV Pilihan Hati dipilih. Hanya surat berdaftar dihantar ke
rumah sewa Nadia, meminta Olynn melaporkan diri ke stesen
Nusa TV pada minggu hadapan. Yang lebih teruja tentulah
Nadia, kawan baiknya itu daripada dia sendiri.
“Wah... tahniah, tahniah! Aku suka sangat, kau
memang layak. Esok, kita kena pergi shopping. Cari baju
baru, kasut baru.” Nadia mula merencana aktiviti untuk hari
esok.
“Takkanlah pasal rancangan ni, aku kena cari baju
baru? Kau bukan tak tahu, aku bukannya banyak duit,”
protesnya. Olynn rasa tidak senang dengan usul Nadia.
“Alah... kau tak payah risau, aku belanja kau. Aku
happy sangat kau terpilih.”
Olynn mengeluh dengan perangai Nadia. Dari dulu
memang Nadia tak pernah kedekut dengannya. Sebagai anak
orang berada, duit tidak menjadi soal. Tapi di pihak Olynn,
sudah terlalu banyak dia terhutang budi dan wang ringgit
dengan Nadia. Kedua-dua orang tua Nadia juga amat baik
terhadapnya.
OLYNN KELETIHAN setelah Nadia mengheretnya ke pusat
membeli-belah. Entah berapa banyak wang yang dihabiskan
untuk Olynn. Senang-senang saja kad kredit Nadia bertukar
tangan setiap kali dia membeli itu dan ini. Daripada pakaian,
kasut, beg dan juga aksesori rambut, semuanya Nadia yang
bayarkan. Banyak kali Olynn menegah, tapi Nadia yang lebih
beria-ia memilih untuknya.
Puas membeli-belah, Nadia memandu ke rumah
keluarganya di Bukit Damansara. Sudah agak lama juga
Olynn tidak ke sana. Sesampainya dia di rumah itu seperti
selalunya, Puan Nora Aisyah yang penyayang memeluk Olynn
dengan erat dan mencium pipinya.
“Lama dah Olynn tak datang sini. Makin cantik
mummy tengok.”
Olynn tersenyum malu.
“Bukan lama mana pun mummy, baru sebulan lebih
aje. Mummy sihat?”
“Alhamdulillah… mummy sihat.” Puan Nora Aisyah
gembira dengan kedatangan anak-anak daranya itu.
“Tanya mummy aje, along tak nak tanya ke?”
Olynn menoleh ke tangga. Abang sulung Nadia
sedang menuruni anak tangga. Senyuman lebar dihadiahkan
kepada Olynn. Puan Nora Aisyah ketawa.
“Anak bujang mummy pun rindu kat Olynn jugak
ke?”
“Mestilah Fidz rindu, mummy. Siapalah yang tak
rindu dengan muka comel Olynn ni. Rasa nak cium-cium
aje pipi gebu dia. Nasib baik anak dara orang.” Along Fidz
mengusik adik angkatnya itu. Suka dia melihat muka merah
Olynn kalau malu. Bertambah comel.
“Fidz!” Puan Nora Aisyah mencerlung matanya
besar-besar kepada anak sulungnya.
“Along ni, tak baik tau. Tengok... Olynn dah merah
muka tu.” Nadia cubit lengan Alongnya dengan geram.
Along Fidz ketawa sambil mengelak-elak apabila
Nadia mahu mencubitnya lagi.
“Dah... dah... jom kita makan. Mummy ada masak
spesial hari ni.” Gurau senda anak-anaknya dihentikan segera.
Kalau dibiarkan boleh melarat hingga satu rumah boleh main
kejar-kejar mengalahkan budak tadika.
“Gulai lemak cili api ketam ada tak, mummy?”
“Mestilah ada. Nad kan anak kesayangan mummy.”
Nadia melonjak kegembiraan. Along Fidz juihkan
bibirnya.
Olynn ketawa perlahan. Seronok dengan keluarga
bahagia ni.
“Eh! Lupa pulak, daddy mana?” Nadia baru
teringatkan daddynya, Encik Khairuddin.
“Hah! Dari tadi sampai, baru sekarang nak tanya
pasal daddy? Daddy Nad tu ke mana lagi kalau hujung
minggu macam ni... ke padang golf la.”
“Sekejap mummy. Nad ngan Olynn belum solat
lagi.”
“Okey... pergilah naik dulu.”
Olynn dan Nadia tergesa-gesa naik ke aras atas mahu
menunaikan solat. Perut sudah pedih kelaparan tapi tuntutan
agama harus lebih diutamakan.
Turun dari tingkat atas, Olynn terus ke dapur.
Pembantu rumah yang mereka panggil Chik Non sedang
menyenduk lauk ke dalam mangkuk.
“Mari Olynn tolong Chik Non.” Laju saja Olynn
hulurkan bantuan.
“Tak apalah Olynn, Chik Non boleh buat sendiri.
Pergilah ke depan.”
Olynn ambil juga mangkuk dari tangan Chik Non.
“Tak payah laranglah si Olynn tu, Non. Macam mana
kita marah pun, dia tetap nak buat jugak. Bukan kita tak
tahu perangai dia tu.” Puan Nora Aisyah menyampuk dari
belakang mereka.
Olynn tayang sengih, diangkat mangkuk gulai ketam
ke ruang makan. Along Fidz duduk menghadap pinggan yang
masih kosong. Lauk-pauk yang lain sudah pun terhidang di
atas meja. Mangkuk besar, Olynn letakkan di tengah-tengah.
Semerbak bau harum gulai ketam memenuhi ruang. Kecur
air liur Olynn memandangkan perutnya juga sudah berbunyi
minta diisi.
“Olynn nak ke mana lagi tu?” tegur Along Fidz
apabila nampak Olynn berpaling mahu ke dapur semula.
“Er... dapur. Nak ambil jag air.”
“Tolong sendukkan along nasi.” Along Fidz angkat
pinggannya sedikit.
Olynn akur dengan permintaan Along Fidz dan
sendukkan nasi ke pinggannya. Nadia yang baru muncul di
meja makan membeliakkan matanya kepada mereka berdua.
“Eeiii... mengada-ada along ni! Selalunya boleh aje
senduk sendiri.” Celepek! Bahu Along Fidz ditampar adiknya.
“Apa salahnya. Anak dara mesti kena rajin. Tengok
Olynn ni, boleh dah berlatih untuk jadi isteri yang solehah.
Senanglah along nanti.”
“Uhuk! Uhuk!” Serta-merta Nadia terbatuk.
‘Apa kena abangku nan seorang ni? Lain macam aje
ayatnya...’ Nadia berteka-teka sendiri. ‘Jangan-jangan...’
“Apa along cakap?” tinggi suara Nadia.
“Tak ada apa-apalah!” Segera Along Fidz memintas
cakap adik manjanya apabila mendapati Puan Nora Aisyah
merapati meja makan.
Wajah Olynn sudah membahang. Dia letakkan
pinggan nasi di depan Along Fidz dan terus saja melangkah
ke dapur. Malu bukan kepalang dengan usikan Along Fidz
sebentar tadi.
“Kenapa dengan Olynn tu?”
“Along ni mummy...” Sempat telinga Olynn
menangkap suara Nadia yang mahu mengadu kepada Puan
Nora Aisyah.
“Syhhh... diamlah! Olynn mana? Along dah nak baca
doa ni.”
“Olynn... cepatlah, ada orang dah lapar!” jerit Nadia
kuat. Serentak dia mengekek ketawa.
Olynn keluar semula dari dapur menatang dulang
dan juga jag air. Dia duduk di sebelah Nadia dan berhadapan
pula dengan Along Fidz. Mata mereka bertentangan dan
Along Fiz tersenyum penuh makna. Rasa tak keruan dia
dengan pandangan mata lelaki itu yang galak seperti ingin
menyampaikan sesuatu.
Oh!!! Kenapa hatinya tiba-tiba berdebar kencang?
KENYANG PERUT dengan pelbagai lauk-pauk masakan Chik
Non yang sedap-sedap belaka, Olynn dan Nadia berehat di
patio yang menghadap kolam renang. Majalah Jelita yang
Olynn ambil di ruang tamu diselak satu per satu.
“Yang kau main-main mata dengan along aku tadi,
kenapa?” Nadia bertanya separuh berbisik.
“Mana ada? Pandai-pandai ajelah kau ni.” Olynn
menjawab sambil berbisik juga. Bimbang kalau-kalau Along
Fidz atau Puan Nora Aisyah muncul tiba-tiba.
“Eleh... macamlah aku tak perasan. Aku rasa, along
aku tu ada hati kat kau.”
“Isy... mengarut sangatlah kau ni. Along kau, macam
along aku jugak.”
“Kalau betul pun, apa salahnya. Aku suka kau jadi
kakak ipar aku. Dan lagilah, selama-lamanya aku akan rasa
lagi muda daripada kau. Sebab... aku kena panggil kau kak
long! Haha haha!” Nadia ketawa galak.
Olynn kutis lengan Nadia. Geram.
“Apa yang kelakar?” Along Fidz datang dengan jus
oren di tangan. Dia duduk di kerusi taman bertentangan
dengan Olynn.
“Rahsia!” Nadia tersengih.
“Dengan along pun nak berahsia?”
Olynn mengerling kepada Nadia yang mengulum
senyum.
“Along dengar Olynn dapat masuk rancangan realiti
kat TV.”
Olynn terkesima.
‘Haaa... Ini mesti kerja si Nadia ni!’
“Mana Along Fidz tahu? Mummy yang cakap ke?”
“Haah... kalau Olynn dah terkenal, jangan pulak lupa
pada kami kat sini.”
“Tak adalah sampai macam tu. Takkanlah Olynn nak
lupakan korang semua.”
“Dah kenal Tengku Budriz, Olynn tak pandang
lagilah kat along.”
Dahi Olynn berkerut. Pelik bunyinya.
“Peliklah Nad tengok along hari ni. Along suka kat
Olynn ke?”
Olynn tak keruan. Ya Allah! Selamba sahaja Nadia
bertanyakan kepada alongnya. Mana dia nak sorok muka?
“Nad, kau ni!” Olynn pukul lengan Nadia perlahan
tetapi Nadia hanya tergelak-gelak. Olynn gelisah apabila dia
merasakan Along Fidz merenungnya dengan tajam. Hanya
sekilas dia menentang mata Along Fidz tapi cepat-cepat dia
alihkan anak mata pada kolam renang di hadapannya.
“Eh... kejap! Aku nak naik bilik ambil barang. Kau
borak dulu dengan alonglah ya. Kejap lagi kita balik.”
Olynn menggelabah. Kenapa saat ini juga Nadia
dengan sengaja mahu tinggalkan dia berdua-duaan dengan
Along Fidz?
“Kenapa Olynn resah aje? Orang nak masuk TV, dah
tak suka berbual dengan along ke?”
“Bu... bukan macam tu...” La... yang dia
tergagap-gagap ni, kenapa? Bukannya mereka tak pernah
berbual berdua-duaan sebelum ini. Tapi sejak di meja makan
tadi, Olynn rasa lain benar. Renungan mata Along Fidz
menikam jauh ke lubuk hatinya. Getarannya masih terasa
hingga ke saat ini.
‘Wahai hati... tenanglah… tenang!’
Olynn beranikan diri menentang mata Along Fidz.
Segarit senyuman Along Fidz hadiahkan. Baru hari ini Olynn
akui, betapa tampannya abang sulung teman baiknya itu.
Matanya yang redup, hidung mancung dengan kumis tipis.
Bibirnya yang berwarna asli tanda-tanda tidak merokok. Ya,
sesuai benar dijadikan calon kekasih. Jadi calon suami terus
pun boleh!
“Olynn rasa tak selesa ke berdua-duaan dengan
along sekarang?”
“Tak… er… Olynn biasa-biasa aje.” Ya Tuhan...
kenapa dadanya dilanda debar yang teramat sangat? Apa kena
dengan hatinya hari ini?
“Along harap, Tengku Budriz tak pilih Olynn untuk
jadikan pasangannya.”
Hah! Olynn semakin keliru.
“Apa maksud along? Along tak nak tengok Olynn jadi
juara?”
“Kalau Olynn menang, maknanya along tak ada
harapan lagi. Frust la along.”
“Ehem!” Nadia ambil tempat duduk di sebelah Olynn.
“Borak pasal apa?”
“Sibuk ajelah dia ni.” Along Fidz ketuk kepala
adiknya perlahan. Cepat-cepat Nadia menepis.
“Nad... kalau along kata, along cintakan Olynn, Nad
okey ke?”
Hah! Lagi sekali Olynn terkejut. Bagaikan mahu
luruh jantungnya saat ini.
“Ha... kan? Nad dah agak dah! Mesti ada sesuatu
antara korang berdua ni. Masa makan tadi, siap main-main
mata. Sejak bila pulak ni, along?”
Ya Allah! Olynn tak tahu di mana mahu sembunyikan
wajahnya yang sudah membahang. Dua orang adik-beradik ni
sengaja nak kenakan dia ke, apa?
“Along jangan nak berguraulah!” Olynn bangun tapi
lengannya segera dipaut.
“Duduk dulu Olynn.”
Lambat-lambat Olynn duduk semula. Dalam hati
timbul pelbagai rasa. Olynn tidak pernah alami situasi seperti
ini. Bukan tak pernah ada lelaki yang cuba memikatnya, tapi
Olynn rasa bukan masanya lagi dia harus memikirkan soal
hidup berteman.
“Ailyn Batrisya, sudi jadi kekasih along?”
“Olynn... er... er...”
“Yeayyy... cayalah along! Tak pernah tengok along
macam ni.” Tak semena-mena Nadia menjerit. Terkejut
Olynn.
Along Fidz menjeling adik manjanya. Nadia
tersengih suka, tapi Olynn pula yang rasa terkujat di situ.
Kerongkongnya rasa tersekat. Berkali-kali dia menelan liur.
Pahit!
Kalau tidak kerana kukuhnya kerusi besi yang dia
duduki, Olynn rasa dia boleh jatuh tergolek ke lantai. Matanya
berkaca. Lidahnya terasa kebas, tak dapat menuturkan
apa-apa.
Tangan Olynn di atas meja Along Fidz genggam
lembut, cuba menenangkan Olynn. Tidak sedar bila masanya
Nadia hilang dari tempat duduknya. Alih-alih saja Nadia
datang semula bersama Puan Nora Aisyah.
“Fidz... kamu ni, tak sabar sungguh! Tengok Olynn
tu dah pucat lesi. Cubalah tanya dulu, dia sukakan kamu ke
atau tak?”
Along Fidz tergelak.
“Along tahu... Olynn pun dapat rasa apa yang along
rasa. Tengoklah ni. Along pegang tangan, dia diam aje. Kalau
tak suka, dah lama Olynn tarik tangan dia.”
Olynn terpanar. Ya Allah! Tangannya masih dalam
genggaman Along Fidz. Sekali lagi wajahnya membahang dan
sekali gus dia cuba tarik tangannya, tapi Along Fidz masih
enggan lepaskan.
“Tak payah tarik-tarik Olynn. Along tak akan lepas
dah tu.” Nadia ketawa.
“Kan aku dah cakap, selamanya aku akan tetap muda
daripada kau. Sebab, lepas ni aku kena panggil kau, kak long.”
Puan Nora Aisyah hanya gelengkan kepala melihat
kenakalan anak bongsunya itu.
HANDPHONE BERGETAR sewaktu Olynn sudah menarik
selimut untuk tidur. Panggilan daripada Along Fidz rupanya.
“Assalamualaikum.” Dengan penuh debar, Olynn
menyambut panggilan Along Fidz.
“Waalaikumussalam. Olynn dah nak tidur ke?”
Nafas, Olynn hembus perlahan.
“Be... belum lagi. Olynn tengah baca buku. Ada apa
along telefon ni? Siang tadi kan kita baru jumpa.” Olynn cuba
lindungi rasa getar dalam hati mendengar suara garau Along
Fidz.
“Entahlah Olynn, tiba-tiba aje along rasa rindu pada
Olynn.”
Olynn pejamkan mata serapat-rapatnya. Rindu?
Syahdu dirasakan. Hilang jiwanya sebentar.
“Along, Olynn tak faham. Olynn rasa macam Olynn
tengah bermimpi.”
“Apa yang Olynn tak faham?”
“Tentang segalanya. Tentang perasaan along pada
Olynn. Kenapa tiba-tiba? Olynn tak… er.. tak pernah terfikir
yang along cintakan Olynn.”
Lama Along Fidz mendiamkan diri di talian sana
buat Olynn tertunggu-tunggu jawapannya.
“Along...”
“Ermm... Olynn macam mana? Boleh along tahu
perasaan Olynn pada along?”
“Olynn sayangkan along sama macam Olynn
sayangkan Nad. Olynn sebatang kara dan Olynn rasa bertuah
punya abang walaupun along bukan abang kandung Olynn.”
Olynn terdengar Along Fidz mengeluh.
“Along tahu, along tak sepatutnya curahkan perasaan
along tergesa-gesa siang tadi. Along sebenarnya bimbang...”
“Along bimbangkan apa? Olynn bukannya nak pergi
jauh.” Olynn resah. Janganlah Along Fidz melarang dia
menyertai Pilihan Hati sedangkan dia sudah menghubungi
pihak Nusa TV dan memberi kata putus menerima tawaran
untuk menjadi salah seorang daripada calon finalis.
“Ya, Olynn tak akan pergi jauh. Yang along
bimbangkan, bila Olynn dah terkenal nanti. Along tak ada
peluang lagi nak luahkan isi hati along pada Olynn.”
“Olynn belum tentu terkenal. Olynn baru saja masuk
peringkat saringan. Belum terpilih lagi.”
“Siapa tahu tuah Olynn ada?”
“Atau... along nak Olynn tarik diri?”
“Tak perlulah sampai nak tarik diri. Along doakan
yang terbaik untuk Olynn. Kalau Olynn tak berjaya pun,
along tetap tunggu Olynn.”
“Olynn nak ucap terima kasih sebab along berani
berterus terang pada Olynn. Bukannya Olynn menolak, tapi...
Olynn perlukan masa. Insya-Allah, kalau ada jodoh tak ke
mana, kan?’
“Ya… kalau ada jodoh kita. Alhamdulillah. Olynn
beri along sedikit harapan.”
Olynn hela nafas perlahan. Siang tadi, dia mula
terasa getarannya. Mula menangkap sesuatu dari renungan
mata Along Fidz. Malangnya, dia takut untuk membina
harapan. Dia sedar siapa dirinya.
“Olynn anak yatim, serba kekurangan. Olynn tak
layak nak bergandingan dengan along. Olynn rasa...”
“Itu semua tak penting. Bagi along, Olynn punya
ciri-ciri wanita idaman along. Along sebenarnya dah lama
fikirkan nak minta mummy dengan daddy pinang Olynn
untuk along. Along tengah cari masa yang sesuai. Tapi… bila
Olynn nak masuk rancangan realiti TV ni, along mula rasa
goyah.”
Olynn ketawa perlahan. Lembut sahaja.
“Kalau ditakdirkan alonglah jodoh Olynn,
Insya-Allah... Olynn akan terima dengan senang hati. Olynn
dah lama kenal along, Olynn cukup berterima kasih atas
layanan dan budi baik along sekeluarga. Olynn cukup rasa
bertuah kalau along pilih Olynn jadi pasangan hidup Olynn.
Cuma... macam yang Olynn cakap tadi, Olynn perlukan sikit
masa untuk ubah perasaan Olynn dan tukar status along
daripada abang kepada seseorang yang teristimewa dalam
hidup Olynn.”
“Along faham. Alhamdulillah... senang hati along
mendengarnya. Kalau ada jodoh tak ke mana, kan?’
“Along...”
“Ya sayang...”
Berderau darah Olynn tiba-tiba. Selalunya Along
Fidz memanggil dia ‘sayang’ ketika bergurau atau mahu
mengusiknya saja. Tapi malam ini, panggilan itu menghantar
seribu rasa ke hatinya.
“Er… er... Olynn dah mengantuk.” Soalan yang
Olynn mahu tanyakan tadi, entah ke mana menghilang. Lain
pula yang dia ucapkan.
“Okeylah, along minta maaf sebab kacau waktu tidur
Olynn. Good night and sweet dreams budak kecik!”
Olynn tergelak. Semenjak di bangku sekolah
menengah lagi, Along Fidz suka mengusiknya dengan nama
‘budak kecik’.
“Olynn bukan budak-budak lagi. Olynn dah dewasa
tau, along.” Olynn buat-buat marah tapi bibirnya tetap
mengukirkan senyuman.
“Ooooo dah dewasa ya? Kalau Olynn rasa cukup
dewasa, jom kita nikah esok?”
“Along!” Olynn terjerit halus dan tawa Along Fidz
bergema.
Olynn ketap bibir menahan geram. Ucapan salam
Along Fidz, Olynn balas dan cepat-cepat dia mematikan
talian. Diteliti jam di skrin telefon. Terkejut Olynn. Sudah
melebihi tengah malam rupa-rupanya. Lamanya dia berbual
dengan Along Fidz, sampai dua jam lebih? Biar betul?

No comments:

Post a Comment