Monday, 27 June 2016

Semusim Kasih - Bab 5

PERMULAAN baru dan hari yang baru dalam
hidup Olynn. Jumaat petang, kesemua dua belas orang finalis
berkumpul di lobi Nusa TV. Sebuah bas persiaran mewah
sudah sedia menanti untuk membawa mereka ke Awana
Genting. Suasana hingar-bingar. Ada yang datang bersama
keluarga dan ada juga yang hanya bersendirian. Seperti
biasa, Olynn hanya ditemani Nadia. Itu pun, Nadia ambil cuti
setengah hari untuk menghantarnya.
“Kau jaga diri elok-elok. Tentu kau sunyi aku tak
ada, kan. Farah dengan Dayana boleh temankan kau. Mereka
sekarang dah nak exam, kan?”
“Tak apa. Kalau aku sunyi, aku boleh balik rumah
mummy.”
“Selamat tinggal. Aku sayang kau, Nad.”
“Aku sayang kau jugak. Jaga diri kat tempat orang.
Sebelum tidur, pasang alarm. Tak ada siapa lagi nak kejut
kau. Kau tu dahlah liat nak bangun pagi.”
Pesanan Nadia menggelikan hati Olynn.
“Aku tahulah.” Olynn ketawa kecil sambil mengesat
air mata.
Mereka berpelukan untuk kali terakhir. Bukannya
lama benar Olynn mahu pergi. Hanya sebulan dia akan berada
jauh daripada Nadia. Yang pasti, Olynn akan rindukan Nadia
yang berperangai gila-gila dan lincah itu.
Naik ke bas persiaran mewah, Olynn nampak Marsha
melambaikan tangan. Lantas, Olynn duduk di sebelahnya.
Tak lama menunggu, bas mula bergerak. Penyelia khas
bagi rancangan realiti Pilihan Hati, Encik Anwar sekali lagi
memberi taklimat tentang penginapan dan juga tentang
barang-barang berharga yang para finalis bawa bersama.
Walaupun tiada sekatan untuk menghubungi keluarga pada
waktu lapang, tapi mereka tidak dibenarkan sama sekali
bercerita tentang apa yang berlaku sepanjang rakaman
rancangan Pilihan Hati dijalankan.
Episod demi episod akan ditayangkan di kaca TV
pada setiap malam minggu. Hanya episod terakhir Grand
Finale nanti barulah akan disiarkan secara langsung.
Lewat petang, mereka sampai di Awana Hotel &
Resort, Genting Highlands. Angin dingin mula menyapu
wajah Olynn. Mujurlah awal-awal lagi dia bawa sweater tebal.
Mereka diberikan bilik club suite dan Olynn berkongsi bilik
dengan Marsha.
Sepuluh orang finalis lagi, Olynn masih gagal
mengingati nama mereka. Yang dapat dia ingat cuma
sebahagian sahaja nama daripada mereka iaitu Mila, Zalifah,
Athirah, Rose Maria, Ariana, Hanis, Yasmin dan Juwita.
RAKAMAN BERMULA sebaik sahaja mereka makan malam di
Rajawali Coffee House. Sudah tentu gelagat dua belas finalis
menjadi tumpuan pengunjung resort yang sedang menikmati
juadah bufet di situ.
Olynn, Marsha, Anne dan Lyana duduk semeja.
Seronok dapat berkenalan dengan kawan baru. Macam-macam
cerita yang keluar. Langsung tidak hiraukan banyak mata
yang melirik ke arah mereka. Mereka harus belajar dan
bersedia untuk menjadi tumpuan orang ramai.
Selesai makan malam, para finalis dibawa ke function
room. Di situ, mereka dihidangkan dengan slide show
mengenai rancangan realiti Pilihan Hati ini. Dari penerbit,
pengarah, dan segala krew yang terlibat, terpampang
gambar-gambar mereka di skrin putih. Terukir senyuman di
bibir Olynn apabila ternampak kelibat Budin dengan cap di
kepala di antara celahan krew-krew yang ramai itu.
Kini hati Olynn mula goyah. Dia sertai rancangan
Pilihan Hati untuk memikat Yang Mulia Tengku Budriz
ataupun untuk memikat Budin?
HARUS OLYNN tidur nyenyak dalam kedinginan tanah
tinggi. Dengan deringan alarm handphone, jam 6.30 pagi
Olynn bergerak ke bilik air dan seterusnya menunaikan solat
subuh. Marsha masih lagi berselimut hingga ke kepala. Sejuk
agaknya. Program mereka bakal bermula seawal 7.30 pagi.
Pukul 7.00 pagi Olynn kejutkan Marsha, terpisat-pisat dia
bangun.
Di bawah teres, senaman ringan dikendalikan
oleh coach Razali, petugas Awana Resort. Di kiri dan
kanan kumpulan mereka, para krew penggambaran sibuk
menjalankan tugas. Para finalis dengan bersungguh-sungguh
mengikuti gerakan yang dimulakan oleh coach Razali
sambil control ayu. Boleh ke control ayu sambil bersenam?
Hehehehe...
Duduk semeja bersama geng malam tadi juga,
mereka bersarapan di Rajawali Coffee House selepas selesai
bersenam. Perut sudah lapar, dan kalori sudah banyak
terbuang semasa bersenam tadi. Apatah lagi, pelbagai menu
sarapan begitu menyelerakan anak tekak. Suasana hingar
semula. Haaaaa, bukan mudah mahu mendisiplinkan mulut
mereka kalau berada dalam satu kumpulan seramai ini.
“Ailyn… you ni, comel la. Muka macam anak patung.
I rasa you akan jadi peserta favourite.”
Olynn tersenyum malu apabila Lyana memuji.
“Apa pulak macam tu? Semua dua belas orang finalis
kan cantik-cantik?” Marsha membantah.
“Erm... betul tu, semua pun cantik-cantik.
Berkarisma, sesuai dijadikan pasangan Yang Mulia Tengku
Budriz. Eh, malam ni dia datang kan?” Anne menyampuk.
“Haah la. Tak sabar rasanya nak tengok dia. I dengar
dia hot sangat! The most eligible bachelor! Dia baru balik
dari overseas, sebab tu kita jarang nampak gambar dia kat
mana-mana.” Ujar Lyana dengan gaya gediknya.
Olynn tertawa perlahan.
“How old is he?” Marsha bertanya tidak sabar.
“Twenty-nine, I guess so.” Anne mengira jari
tangannya.
Hari ini merupakan acara bebas kerana malam
nanti akan bermula episod pengenalan. Oleh itu mereka
berjalan-jalan di sekitar resort selepas menikmati sarapan
pagi. Kolam renang yang cantik membuatkan Olynn teruja
tetapi hendak berenang, Olynn tidak berani. Bimbang dia
bakal keletihan malam nanti.
Pada sebelah petangnya Olynn dan Marsha
berehat-rehat di bilik sambil menonton TV. Tiba-tiba
kedengaran loceng di pintu. Marsha segera bangun dari
tempat duduknya dan menyelak daun pintu. Olynn hanya
memerhatikan seorang pekerja resort menyerahkan sesuatu
kepada Marsha.
“Ailyn... ni ada orang hantar barang untuk you.”
“Hah, untuk I? Barang apa?”
“Hadiah.”
Hadiah? Bingkas Olynn menuruni katil dan
menyambut kotak besar bereben biru lembut di tangan
Marsha. Dia kehairanan. Siapalah yang baik hati mahu
memberinya hadiah?
Pantas Olynn bawanya ke katil. Kotak dibuka. Dia
terpegun. Di dalamnya, sehelai dress kembang berwarna biru
turquoise, dilapisi kain chiffon di luar dan beralaskan satin
putih di dalamnya. Pada bahagian dada pula dilapisi lace
gabungan warna biru dan merah jambu. Lengannya juga
labuh hingga ke siku dihiasi manik-manik bertaburan.
“Wah... cantiknya!” Marsha menegur.
Olynn buka kad kecil di atas kotak.
Terukir senyuman di bibir Olynn. Lelaki bernama
Budin ini penuh dengan kejutan. Dia pasti, malam ini Budin
mesti datang untuk melihat dia memakai dress cantik itu.
“I rasa, I nak pakai baju ni malam nanti.”
“Wah… bestnya! I pakai baju sendiri aje. Untung la
you, ada yang sponsored!”
Olynn senyum kecil, tidak membalas kata-kata
Marsha. Biarlah Marsha bertanya sendiri siapakah yang telah
hadiahkan baju itu kepadanya.
MALAM MENJELMA. Usai menunaikan fardu maghrib dan
sudah siap mengenakan dress pemberian Budin petang
tadi, Olynn dan Marsha cepat-cepat meninggalkan bilik.
Bersebelahan dengan Grand Ballroom, sebuah bilik kecil
dijadikan bilik dandanan dan para finalis bersedia menadah
muka untuk disolekkan. Ramai yang memuji baju Olynn
cantik, tak kurang juga ada yang menjeling cemburu.
“Cantik baju Cik Ailyn, tempah kat mana?”
Olynn terdiam dengan soalan jurusolek.
“Er… kawan saya yang hadiahkan.”
“Owhh... baju mahal macam ni, tentu daripada
someone special.” Jurusolek yang sedang melorek pensel ke
kening Olynn membuat andaian.
“Eh, bukan ke syarat dalam kontrak kita, kita tak
boleh terikat dengan siapa-siapa. Tak ada special boyfriend,
tak ada tunang.” Si Athirah menyelar Olynn.
“Dia kawan ajelah!” tingkah Olynn dengan pantas
bagi menutup mulut Athirah.
Rambut panjang Olynn, selepas digulung kasar,
dilepaskan begitu saja. Sebelah kanan disebakkan ke belakang
telinga dan diselitkan dengan pin rambut berukir rama-rama.
‘Butterfly!’ Terus sahaja tersungging senyuman
dari bibir Olynn. Kenangan lagu Butterfly bersama Budin
menerjah. Kenapa dia saja yang Olynn fikirkan saat ini,
bukannya Along Fidz?
Detik penuh debar...
PANCARAN LAMPU mula menyuluh seluruh ruang pentas.
Para finalis di belakang pentas, menunggu dalam gemuruh.
Kedengaran suara pengacara Wan Saleha dan juga Nizar
Nasrin mula memberi kata-kata aluan kepada tetamu yang
hadir. Yang paling mengujakan, keluarga Yang Mulia Tengku
Budriz Aizuddin merupakan tetamu VVIP untuk malam ini.
Owhh… rupanya mereka juga berminat untuk mengetahui
siapa pilihan hati anakanda mereka.
“Hadirin sekalian. Dengan ini tibalah masanya
kami bawa masuk, dua belas finalis untuk rancangan realiti
pertama Nusa TV iaitu Pilihan Hati!” Gemuruh seluruh
dewan besar itu dengan tepukan.
Muzik bergema, seorang demi seorang keluar ke
pentas. Enam di sebelah kanan, dan enam orang lagi di
sebelah kiri seperti yang diarahkan oleh petugas sebelum
mereka keluar tadi. Simbahan cahaya lampu difokuskan ke
arah finalis dan semakin kuat tepukan kedengaran, diiringi
siulan panjang.
“Seperti yang dijanjikan. Buat pertama kalinya, kami
tampilkan hero rancangan Pilihan Hati. Dipersilakan, Yang
Mulia Tengku Budriz Aizuddin Tengku Mahmood!”
Sekali lagi, muzik rancak dimainkan.
Gementar dan gemuruhnya hati Olynn sukar untuk
digambarkan. Bagaimanalah agaknya wajah Yang Mulia
Tengku Budriz yang Marsha labelkan sebagai hot itu?
Seorang pemuda lengkap dengan tuksedo hitam
dan juga tali leher warna biru gelap, keluar dari tepi pentas.
Limpahan cahaya menyorot ke arahnya. Tepukan gemuruh
dan hiruk-pikuk siulan kedengaran di dalam Grand Ballroom
itu.
Olynn dan Marsha yang berada di sebelahnya saling
berpandangan seketika. Mereka alihkan pandangan kepada
lelaki tinggi dan segak tadi. Yang Mulia Tengku Budriz
Aizuddin berdiri di hadapan gadis pertama di hujung sebelah
kiri sekali. Olynn masih tidak ingat nama gadis itu.
Gadis manis itu tunduk hormat dan menyambut
tangan Yang Mulia Tengku Budriz sambil memperkenalkan
namanya. Tengku Budriz membalas sesuatu sambil
tersenyum.
Olynn yang berdiri paling hujung dalam barisan
enam finalis itu cuba hilangkan rasa debar di dada. Dup! dup!
dup! Tangannya mula terasa sejuk semacam.
Gadis yang kedua selesai memperkenalkan diri.
Seterusnya seorang demi seorang, hingga tiba giliran Marsha.
Olynn diamkan diri, tak sanggup menoleh ke sebelah.
Menggigil tangannya. Selepas ini, Yang Mulia Tengku Budriz
akan berhadapan dengannya pula.
‘Tarik nafas perlahan-lahan Olynn. Relaks… relaks...’
“Hai...” suara garau menyapa.
Olynn tersentak. Tidak sedar bila Tengku Budriz
sudah berdiri di depannya. Olynn angkat muka.
“Hai… saya Ailyn Batrisya.” Olynn sambut tangan
yang dihulurkan.
“Saya tahu. Nice to meet you, Olynn.” Tengku Budriz
tersenyum dan kenyitkan matanya.
Olynn terpanar. Separuh mulutnya terbuka.
Tercengang-cengang Olynn seketika. Macam mana Tengku
Budriz tahu nama manja dia?
Tengku Budriz yang tinggi menunduk dan rapatkan
bibirnya ke telinga Olynn. Dia membisikkan sesuatu.
“Tutup mulut awak. Control gelabah.”
Olynn telan liur. Suara garau itu... suara yang Olynn
kenal sangat. Selepas Tengku Budriz menegakkan kembali
kepalanya, Olynn renung mata Tengku Budriz. Kemudian,
jatuh ke hidung dan juga bibirnya. Budin!!! Nama itu bergema
di kepala Olynn. Serasanya dia mahu pitam di situ juga.
“Dah habis tilik saya?” Tengku Budriz tanya soalan
yang sama seperti waktu Olynn dengan Budin makan sate
tempoh hari. Ah… sah, Memang dia!
‘Nadia, aku nak balik!!!’
Olynn angguk perlahan. Kelu!
“Jumpa lagi, Olynn.” Tengku Budriz aturkan langkah
ke sebelah kanan pentas untuk bersama dengan enam finalis
lagi.
Olynn masih lagi terkedu. Masih lagi tidak percaya,
pemuda yang dia kenal sejak awal uji bakat, yang hantar dia
balik selepas rakaman pertama, dan yang bawa dia makan
sate di Kajang, rupanya Tengku Budriz? Kenapa dia harus
menipu?
GILIRAN PENGACARA Wan Saleha meminta para finalis
duduk di kerusi yang dikhaskan. Juga enam di kiri, dan
enam di kanan. Sang putera raja, Yang Mulia Tengku Budriz
Aizuddin pula bertakhta di tengah-tengah pentas.
“Selesai sudah sesi berkenalan dengan Yang Mulia
Tengku Budriz Aizuddin. Dan sekarang, tiba masanya untuk
Yang Mulia Tengku bertanyakan soalan kepada finalis yang
bersama kami malam ini. Saya serahkan kepada Yang Mulia
Tengku untuk memilih dua orang gadis untuk diajukan
soalan.”
Salah seorang krew menyerahkan mikrofon kepada
Tengku Budriz.
“Ehem… yang pertama saya pilih Rose Maria.”
Tepukan gemuruh diberikan. Rose Maria tersenyum
kegirangan apabila namanya disebut Yang Mulia Tengku
Budriz.
“Soalan pertama saya. Selain daripada cantik, apa
lagi speciality yang awak ada untuk jadi teman hidup saya?”
“Ermmm...” Rose Maria berfikir sejenak. “Saya
seorang yang low profile. Suka bergaul dengan semua
orang… err... maksud saya easy going. Saya sukakan cabaran
dan saya berfikiran terbuka.”
“Okey... saya terima. Bagaimana pula dengan hobi?”
“Shopping of course!” Rose Maria berlawak. Satu
dewan riuh dengan jenakanya.
“Selain itu, saya suka menunggang kuda pada setiap
hujung minggu.”
Tengku Budriz mengangguk.
Pengacara Nizar Nasrin menyampuk. “Cik Rose
Maria, ada apa-apa soalan yang Cik Rose Maria mahu tanyakan
kepada Yang Mulia Tengku Budriz? Saya beri peluang satu
soalan saja.”
“Yes… ada. Cukup ke, dalam masa sebulan untuk
Yang Mulia Tengku jatuh cinta?”
Tepukan gemuruh diberikan untuk soalan yang
diajukan oleh Rose Maria. Tengku Budriz masih tenang di
tempat duduknya.
“Bagi saya... berapa lama tu, tak penting. Kalau kita
mahu jatuh cinta, kalau kita dah jumpa seseorang itu, sedetik
saja cinta akan terus berputik. Awak tentu percaya pada
ungkapan love at the first sight, kan?”
“Ya... saya percaya.” Ujar Rose Maria
“Terima kasih, Rose Maria. Sekarang, saya minta
Yang Mulia Tengku Budriz memilih seorang lagi finalis,”
Wan Saleha menamatkan sesi soal jawab Tengku Budriz
dengan Rose Maria.
“Okey, kali ni saya pilih Ailyn Batrisya.”
Segera mikrofon bertukar tangan kepada Olynn.
Olynn menanti dalam debar. Dia mengiring memandang
Tengku Budriz yang duduk di sofa empuk di tengah-tengah
pentas.
“Cik Ailyn, awak pernah jatuh cinta?”
‘Hah! Aduh… soalan cepumas betul!!!’
“Tidak, saya tak pernah jatuh cinta.”
Tetamu di bawah pentas sudah bersorak dengan
kenyataan Olynn.
“Awak dah bersedia nak jatuh cinta dengan saya?”
Walah... Ini betul-betul soalan hendak menyerangnya.
Olynn sudah tidak keruan. Perlukah dia jawab atau tidak?
“Hmm… bukankah tujuan utama finalis di sini
untuk meraih cinta Yang Mulia Tengku?”
Wohohoho... sekali lagi dewan gamat. Tengku Budriz
a.k.a Budin mengulum senyum.
“Soalan seterusnya... makanan kegemaran awak, Cik
Ailyn?”
‘Aik, Makanan pulak? Ada kaitan ke dengan soal
cinta?’
“Apa yang saya makan, rezeki daripada Allah. Saya
jenis yang tak memilih. Apa saja saya makan.” Jawapan
selamat kerana Olynn tidak pasti sebenarnya, apakah
makanan kegemarannya. Semuanya dia belasah saja selagi
boleh masuk ke tekak.
“Bagaimana dengan sate?”
‘Apa? Sate?’ Olynn renung bibir Tengku Budriz yang
sedang tersenyum lebar. ‘Memang sengaja dia ni!’
“Kalau sate, ikut keadaan. Kalau sedang lapar,
berpuluh-puluh cucuk saya boleh makan. Tapi kalau saya
dah kenyang, satu cucuk pun saya susah nak telan walaupun
dengan paksaan.” Hah... hambik kau!!! Olynn tahu Tengku
Budriz faham apa yang Olynn cuba sampaikan. Mujurlah
Nizar Nasrin menghentikan debat mereka. Debat ke tu? Yalah
agaknya.
Olynn kerling Tengku Budriz dan kelihatan lelaki itu
sedang mentertawakannya. Geramnya hati!
Seterusnya makan malam bersama keluarga finalis.
Oh! Rupanya ada satu kejutan lagi. Setiap meja di bahagian
depan, rupanya terdiri daripada keluarga finalis. Olynn turun
dari pentas mencari meja yang tertera namanya. Girang
hatinya apabila ternampak Puan Nora Aisyah, Nadia dan
juga... Along Fidz.
“Assalamualaikum.” Olynn segera peluk Puan Nora
Aisyah dan cium pipinya.
“Cantik anak mummy.”
Olynn tersengih dan peluk Nadia juga.
“Weh, baju baru! Bila kau beli?”
“Sponsored. Cantik, kan?”
“Haah. Warna turquoise… kena betul dengan kulit
kau.”
“Baju cantik, orang yang pakainya pun cantik.”
Along Fidz turut menambah.
Wajah Olynn membahang dipuji.
Penutup set ala carte dibuka, dan segera mereka
menjamu selera. Olynn dengan girang berbual dengan
keluarga angkatnya.
Sebentar kemudian diumumkan lagi, Yang Mulia
Tengku Budriz akan melawat setiap meja untuk berkenalan
dengan keluarga para finalis. Di atas pentas pula, dua orang
penyanyi yang dijemput khas menghiburkan tetamu dengan
lagu-lagu terkini. Dan salah satu lagu yang mereka berduet
ialah lagu Butterfly. Tentu kerja si Budin tu!
Sampai saja di meja Olynn, Tengku Budriz
diperkenalkan kepada mummy Nadia.
“Mak angkat saya, Puan Nora Aisyah.”
“Ini Nadia, housemate saya dan ini... Fidzrul, abang
Nadia.” Dengan Along Fidz juga, Olynn tidak kenalkan
siapa Tengku Budriz sebenarnya. Mujurlah Along Fidz tidak
perasan yang Budin dan Tengku Budriz itu orang yang sama.
Tengku Budriz tarik kerusi dan duduk di sebelah
Olynn. Olynn renung Tengku Budriz dengan hairan.
“Apa Tengku buat ni?”
“Saya nak makan dengan keluarga awak, tak boleh
ke?”
Datang waiter membawa hidangan ala carte yang
baru untuk Tengku Budriz. Yang di atas meja tadi sudah
dibawa pergi.
“Tapi... finalis yang lain?”
“Saya dah habis round. Sengaja saya pilih meja awak
yang paling akhir.”
“Your parents?” Olynn bertanya lagi dengan hairan.
“Mereka dah balik.”
Olynn kehilangan kata-kata. Nadia tak habis-habis
tersenyum sambil melirik ke arah Tengku Budriz. Lengan
Olynn disikunya.
“I think he likes you!” Nadia berbisik di telinga
Olynn.

No comments:

Post a Comment