KELUAR dari Snow House, mereka minum
petang di Burger King. Olynn segera minta diri ke surau
sebaik sahaja menghabiskan burgernya. Selepas ini mereka
akan ke pusat boling di tingkat 2. Oh, nasib baik! Senanglah
Olynn terus ke sana selepas solat nanti.
Olynn sertai finalis yang lain di pusat boling sesudah
solat. Masing-masing sudah bersedia untuk melontar. Encik
Anwar arahkan Olynn ke kaunter untuk mengambil kasut.
“Ailyn, semua finalis dah berpasangan dengan
roommate masing-masing. Tapi, disebabkan awak tak ada
roommate, jadi saya pasangkan awak dengan... Tengku
Budriz.”
Hah? Dia lagi? Ni yang boring ni! Lepas ini dia bakal
dijadikan bahan umpatan lagi. Lambat-lambat Olynn ke lane
tengah di mana Tengku Budriz sudah pun menunggu.
“Pernah main boling?” Tengku Budriz menegur
sebaik saja Olynn letakkan kasut ke lantai.
“Owh... my favourite.”
Tengku Budriz angkat kening dengan jawapan Olynn
yang bersahaja campur bongkak.
“Okey... kita bet.”
“Eh! Apa pulak main bet-bet ni?”
“Kalau awak kalah mata dengan saya, awak kena
keluar dinner dengan saya, malam esok.” Dia berbisik
perlahan.
“No problem.” Olynn masih lagi tunjuk riak berlagak.
“Sombong!” Tengku Budriz mengejek.
Olynn jegilkan mata. Eh, dia ni?
Permainan dimulakan. Juwita yang dulu melontar
bola.
“Yesss!!!” Dia menjerit. Strike yang pertama. Semua
finalis bersorak. Boleh tahan juga awek lawa ni.
Yang lain menyusul. Ada yang okey dan ada yang
asyik tersasar ke longkang.
“Ladies first.” Tengku Budriz mempersilakan Olynn
terlebih dahulu.
Olynn menceber. Memang nama Olynn sekarang
berkelip di skrin yang berada di atas sana. Pastinyalah dia
yang harus melontar bola dulu.
“Boleh ke tu?” Tengku Budriz menyakat.
“See the leg la.”
Eksennya dia!
“Yeszaaa... strike!” Olynn sengih sambil angkat dua
jari tunjuk peace.
Tergelak Tengku Budriz dengan aksi spontan Olynn
yang selamba. Giliran Tengku Budriz melontar.
‘Alamak, strike jugak? Erkk!!!’
Maka bisinglah ruang pusat boling dengan gelagat
mereka. Berdentam-dentum bunyi bola terkena pin-pin
di hujung lane. Jurugambar masih tetap dengan kerjanya
mengambil gambar dalam pelbagai aksi. Finalis-finalis sudah
tidak peduli mahu kontrol ayu atau apa saja. Keseronokan
yang lebih diutamakan.
Para finalis keluar dari pusat boling dengan hati
yang puas. Tentulah team Olynn dengan Tengku Budriz yang
kumpulkan mata paling banyak. Yang jadi masalahnya, Olynn
kalah hanya tiga mata daripada Tengku Budriz.
Hukhukhuk! Macam mana dengan betting tadi?
Dinner dengan Tengku Budriz malam esok? Serius ke?
Itulah... tadi bukan main riak kononnya dia boleh kalahkan
Tengku Budriz. Padan muka kau, Olynn! Dengan siapa dia
nak minta tolong ni?
‘Mummy... tolong!!!’
KEMBALI KE Awana selepas makan malam ala bufet di
Restoran Kampung, Resort Hotel. Sampai saja di lobi, Encik
Anwar minta semua finalis berkumpul sebelum naik ke
bilik. Mungkin taklimat untuk acara esok hari. Tapi, kenapa
krew-krew, cameraman dan pengarah sudah sedia menanti di
situ? Pengacara Nizar Nasrin pun ada?
“Saya tahu anda semua sudah keletihan. Maaf ambil
masa anda sebentar. Ini ada satu lagi kejutan. Saya akan
umumkan seorang finalis yang akan tersingkir malam ini.”
“Hah???” Serentak, kesemua finalis menjerit halus.
Memang tergamam habis. Lyana segera genggam tangan
Olynn.
“I dengar dorang dok mengumpat you akan tersingkir
next,” Lyana berbisik perlahan di tepi telinga Olynn.
“Ya ke? Ermm tak apalah kalau bukan rezeki I. I tak
letak harapan yang tinggi pun.”
Tengku Budriz tampil dengan sejambak mawar
merah di tangannya.
“Sebelum itu, saya mahu umumkan pemenang
untuk acara boling. Markah paling tinggi jatuh kepada... Cik
Ailyn!” Nizar Nasrin terlebih dulu mara di hadapan Olynn
dengan sebuah kotak sederhana besar berikat reben biru dan
dihulurkan kepadanya. Yang lain bertepuk tangan.
Tak sangka pula Olynn boleh dapat hadiah untuk
kemenangan tadi. Tidak sia-sia dia bersungguh-sungguh
mahu kalahkan Tengku Budriz. Lebar senyuman Olynn saat
menerima kotak besar dari tangan Nizar Nasrin.
“Masa yang ditunggu-tunggu. Dengan ini, saya
umumkan peserta yang tersingkir. Cik Hanis, maaf! Anda
terpaksa berhenti di sini.”
“It’s not fair!” Terkeluar cemuhan Marsha di
belakang Olynn. Walaupun perlahan saja, tapi cukup untuk
Olynn dan Lyana mendengarnya. Lyana eratkan genggaman
tangan, minta Olynn bersabar.
Air mata Hanis berlinangan di pipi. Perlahan-lahan
dia menapak di depan Tengku Budriz. Jambangan mawar
merah dihulurkan. Sepertimana Rose Maria, Tengku Budriz
mengucup tangan Hanis lembut dan berkata sesuatu.
Olynn juga menahan tangis. Seorang lagi daripada
mereka akan tinggalkan rancangan Pilihan Hati. Sepi
menguasai apabila kumpulan mereka masuk ke lif untuk naik
ke bilik, masih lagi tidak percaya dengan penyingkiran malam
ini yang secara tiba-tiba. Padahal sepanjang hari ini, mereka
bergelak tawa di taman tema beramai-ramai sampai tak ingat
dunia, tapi inilah rancangan realiti TV yang sememangnya
penuh dengan kejutan.
Kotak hadiah bereben biru Olynn letakkan ke atas
meja dan masuk ke bilik air untuk mandi dan solat isyak
dahulu. Teringat kepada Nadia, cepat-cepat Olynn cari
handphone usai solat.
“Helo…”
“Helo Nad, assalamualaikum.”
“Olynn! Weh... kau ni, dah seminggu baru nak call
aku? Apa punya kawanlah kau ni!”
“Sorry... sibuk sangat. Macam-macam aktiviti.
Bila malam, balik bilik terus pengsan. Ni pun dah tak larat
rasanya.”
“Erm... Tengku Budriz kau apa khabar?”
“Tengku Budriz aku?”
Nadia tergelak sakan.
“Maksud aku, hero pujaan kaulah.”
“Aku ni, kau tak nak tanya sihat ke tak, Tengku
Budriz pulak yang kau sibukkan. Teruk betul!”
Semakin kuat Nadia mengekek.
“Aku dapat rasa, Tengku Budriz suka kat kau.”
“Isy, kau tak nampak ke finalis yang lain? Fuhh!
Solid molid, vouge lagi. Curlassss kau!”
“Tapi aku rasa Tengku Budriz nak cari yang
sederhana, macam kau.”
Olynn ketawa perlahan. Pandailah Nadia membuat
telahan.
“Eh! Kau nak tahu... episod satu dah keluar tau.
Aku, mummy dan along masuk TV. Satu ofis heboh. Dan kau,
nampak cantik sangat dengan dress tu.”
“Mekasih la kawan. Aku tak tahu pun sebab baju tu
aje yang buat aku cantik. Selama ni, aku tak cantik ke?”
Sekali lagi Nadia ketawa besar.
“Lembaplah kau ni, atau kau sengaja tak nak puji
diri sendiri? Handsome betul Tengku Budriz tu, kan? Tegap,
macho, berkarisma tinggi... walah... Kalau aku jadi kau,
memang aku tackle dia habis-habisan.”
“Amboi! Kalau macam tu, kau ajelah ganti tempat
aku. Aku nak balik.”
“Aku? Ermmm... sebelah mata pun Tengku Budriz
tak pandang kat aku yang rentung ni.”
“Kau gelap, tapi... manis. Dah jangan nak melalut
lagi. Mummy apa khabar? Along Fidz?”
“Semua sihat. Along pun sihat jugak. Err... hari tu
kau jumpa along kat Sate Kajang dengan Dr. Hawa, eh?”
“Haah... along ada cerita ke?” Olynn berdebar-debar.
Agaknya apalah cerita along kepada mummy dan Nadia
tentang Budin?
“Kau nak tahu tak, along dah bawak Dr. Hawa datang
rumah mummy. Aku tengok dia okey aje. Sesuailah kalau nak
dijadikan kakak ipar.”
“Ya ke?” Kecewa juga Olynn mendengarnya.
Entah-entah apa yang Along Fidz luahkan malam itu hanya
untuk menduga hatinya sedangkan Along Fidz sudah punya
pilihan.
“Yalah! Eh, eh, sorry... aku tak berniat nak...” Nadia
tersedar suara Olynn dah lain macam.
“Tak apa... Along Fidz berhak pilih siapa yang dia
suka.”
“Olynn, kau suka kat along aku ke?”
“Tak adalah. Selama ni, aku anggap along macam
abang kandung aku aje. Cuma, bila tiba-tiba along luahkan
perasaan cinta, aku serba salah nak terima atau tak. Aku…
er... aku minta tempoh.”
“Along buat macam tu? Habis tu, kenapa dia
kenalkan Dr. Hawa pada mummy? Hairannya?”
“Kau jangan risaulah. Aku tak fikir along serius
dengan aku. Okeylah, kirim salam kat semua. Aku dah letih
sangat ni, nak tidur. Assalamualaikum.” Olynn putuskan
talian dan termenung seketika. Along Fidz dengan Dr. Hawa?
Tiba-tiba Olynn teringat pada kotak hadiah yang
dia menangi tadi. Tanpa berlengah, diambilnya dan dibawa
ke katil. Dia membuka penutup yang berikat reben biru.
Matanya terpaku melihat beg galas yang dia belek di butik
Converse tadi.
Satu kertas di atas beg tertulis sesuatu.
Reben biru. Sama dengan warna reben di kotak dress
yang Olynn terima daripada Budin sebelum ini. Dan... beg
silang Converse? Eh! Dia ada ke tadi masa Olynn belek-belek
beg tu? Arghh! Lelaki itu sangat licik.
SIANG HARI berikutnya, mereka diberi rehat selepas seharian
di taman tema. Fuh, lega sungguh! Selepas makan tengah
hari, Olynn, Lyana dan Mila berjalan-jalan di sekitar Awana
Resort. Hari ini mereka bebas daripada jurugambar dan juga
krew-krew Pilihan Hati. Apa lagi, bolehlah mereka bergelak
ketawa dan bercanda ria tanpa batasan.
“Eh Ailyn, hadiah apa yang you dapat malam tadi?”
“Beg.”
“Beg? Itu aje?”
“Ya, beg dan dinner malam nanti dengan Tengku
Budriz.”
“What? Bertuahnya you. So now is your turn keluar
berdua-duaan dengan dia la.”
Olynn membalas dengan anggukan.
“Ermmm... bilalah turn I nak sampai.” Lyana
mengeluh begitu hampa apabila namanya tidak juga
naik-naik.
“Adalah nanti tu, kan Mila?” Olynn siku lengan Mila.
Mila sedang merenung padang golf yang luas terbentang di
depan mata.
“You tengok apa?”
“I nampak Tengku Budriz, baru habis main golf.
Handsomenya...”
“Memanglah dia handsome, sebab tu kita semua
beria-ria nak pikat dia.” Olynn mencantas.
“Ailyn, apa plan you malam nanti dengan Tengku
Budriz? You nak kiss dia juga ke macam Athirah buat?”
Olynn ketawa kecil.
“Hah, you gila? I tak seberani tu!”
Mila sambut ketawa Olynn seraya membuka mulut
mahu bertanya lagi.
“Betul ke you tak pernah bercinta?”
“Ya, betul. Kenapa? You berdua dah pernah bercinta
ke?”
Serentak mereka berdua mengangguk.
“Ohh...” Bibir Olynn serta-merta membentuk huruf
‘O’.
“Tapi I dapat pakwe tak boleh pakai. Ada ke dia suruh
I buktikan cinta I pada dia dengan seks? Gila, kan? Terus aje
break up, tak kuasa nak layan.” Lyana bercerita.
Lagi sekali Olynn ternganga. Ngeri dia dengar.
“My story not bad jugak. Bercinta dua tahun
bagai nak rak. At the end, dia kena paksa kahwin dengan
perempuan pilihan orang tua dia. Macam hampeh jadi pak
turut. Langsung tak cuba pertahankan cinta kami.” Mila pula
menceritakan pengalaman cintanya.
“Tulah... orang kata, jangan bercinta lama-lama.
Banyak dugaan.” Lyana menambah.
Olynn angguk. Setuju dengannya 100 peratus.
“Eh! Kita kat golf terracelah. Dahaga pulak. Jom,
order minum?” Mila memberi cadangan.
Olynn dan Lyana hanya mengikut langkah Mila yang
tidak sabar-sabar. Tiba-tiba Lyana berhenti.
“Ailyn!” Terkejut Olynn dengan jeritan Lyana seperti
nampak hantu.
“Ada apa?”
“Tu... piano la.” Mata Olynn terarah pada sebuah
piano console di sudut teres.
“Yalah, piano. Tapi... kenapa?”
“You kan boleh main piano. Jomlah.”
“Isy, tak naklah. Tempat terbuka ni. I seganlah.”
“Bukannya ramai orang pun.” Lyana tarik tangan
Olynn. Hendak tak hendak, terpaksa juga Olynn mengikut.
Dia duduk di kerusi kayu panjang dan cuba menekan beberapa
mata piano. Okeylah... boleh tahan juga.
“Mainlah satu lagu.” Lyana tersengih-sengih.
“You nak lagu apa?”
“Apa-apalah... er... lagu yang you nyanyi hari tu, apa
tajuknya?”
“Butterfly.”
“Yes! That song!”
Olynn mulakan intro. Lyana dan Mila duduk di
sebelahnya diam-diam kiri dan kanan, menghimpitnya di
stool panjang.
Jari-jemari Olynn lincah memetik piano tapi jiwanya
hanyut terkenang saat-saat dia menari dengan Tengku
Budriz di taman mini malam itu. Lagu itulah juga yang
Tengku Budriz nyanyikan mengiringi gerak langkah tarian
mereka. Masih terasa hembusan nafas lelaki itu di telinganya.
Bagaimana Olynn berlari tinggalkan Tengku Budriz dan
menangis sekuat hatinya kerana alpa dengan keasyikan,
masih terimbau-imbau dalam benak Olynn.
Jemarinya terhenti sebaik saja habis mengalunkan
not-not terakhir lagu itu. Pergi sudah lamunannya mengenai
Tengku Budriz.
“Yeayyyyyy!” Mila dan Lyana bersorak. Juga tepukan
daripada dua tiga orang lelaki yang sedang minum petang di
golf terrece itu.
“One more, miss.” Salah seorang daripada mereka
memekik.
Olynn pandang Lyana.
“Tu... ada permintaan tu. Mainlah lagi, or you can
sing along. I nak order minum. You nak minum apa?”
“Ice lemon tea.”
“Okay... will do.”
Olynn berkira-kira lagu apa yang mahu dimainkan
lagi. Belasah ajelah lagu yang sudah dia hafal. Sebuah lagu
dendangan Mariah Carey, My All jadi santapan jari-jemarinya
kali ini. Mulutnya ringan saja mahu menyanyi mengiringi
alunan irama yang dimainkan.
I am thinking of you
In my sleepless solitude tonight
If it’s wrong to love you
Then my heart just won’t let me be right
Cause I’ve drowned in you
And I won’t pull through
Without you by my side
Lincah jari-jemarinya mengikuti bait-bait lagu yang
didendangkan. Terpejam-pejam matanya.
I’d give my all to have
Just one more night with you
I’d risk my life to feel
Your body next to mine
Cause I can’t go on
Living in the memory of our song
I’d give my all for your love tonight...
Olynn tenggelam dalam alunan muzik dan lirik lagu
yang syahdu itu sehinggalah bunyi tepukan kedengaran.
Dia tersenyum puas, masih terbuai dengan lirik lagu
kegemarannya sejak dulu lagi.
“Nice song. Is that dedicated to me?”
Hah! Suara Tengku Budriz? Olynn toleh ke sisi.
Hanya beberapa inci jarak wajahnya dengan Tengku Budriz.
Dan dia... bagaikan digam. Kaku! Lama mereka bertentangan
mata dan Tengku Budriz hanya tersenyum manis.
“Tengku... er... sejak bila Tengku ada kat sini?”
Hilang terkejutnya, barulah Olynn mampu bersuara.
“Dari tadi lagi. Awak aje yang tak sedar.”
Olynn bingkas berdiri. Matanya mencari Mila dan
Lyana tapi bayang mereka pun tak nampak.
“Awak cari Lyana dengan Mila ke? Saya arahkan
mereka pergi sebab saya nak berdua-duaan dengan awak.”
“Tengku tak patut. Kan, kita ada dinner malam
nanti?”
“Dinner lain, tapi saya nak minum petang dengan
awak sekarang. Jom! Ice lemon tea awak dah menunggu.”
Dalam keterpaksaan, Olynn turuti langkah Tengku
Budriz. Sepotong roti bakar bersama butter juga dihidangkan
di depannya. Eh, eh... bila pulak dia order roti bakar?
“Awak main piano dengan bagus. Awak masuk kelas
piano?”
Olynn angguk.
“Gred?”
“Enam. Saya masih kena banyak belajar.”
“Sudah cukup bagus untuk saya.”
“Terima kasih.”
“Olynn, saya rindukan awak yang dulu. Waktu awak
dengan Budin.”
Olynn terkesima, anak mata Tengku Budriz tunak
menyapu wajahnya.
“Maaf... saya tak boleh, Tengku. Bagi saya, Budin dah
tak ada. Yang ada depan saya ni, Yang Mulia Tengku Budriz
Aizuddin.”
Tengku Budriz mengeluh.
“Dan saya lagi sukakan Budin walaupun dia...
selekeh.” Olynn ketawa perlahan. Cuba meredakan gementar
dadanya yang masih lagi bersisa.
“Hah? Awak kata saya selekeh?”
“Marsha yang cakap macam tu. Lelaki berjambang
dan selekeh macam Budin pun, saya nak layan.”
Tengku Budriz senyum, tidak nampak tanda-tanda
marah. Lega hati Olynn.
“Makanlah, roti awak dah mula sejuk.”
“Tapi Tengku, saya tak order ni.”
“Just eat. Jangan cakap banyak.” Aduh! Dia mengarah
lagi. Tak habis-habis dengan sikap bossynya.
“Tengku… er... boleh saya tanya satu soalan?”
“Apa dia?”
“Kalau kat pejabat, Tengku memang macam ni ke?
Bossy... suka mengarah?”
Tengku Budriz renung Olynn dengan tajam.
Alamak!!! Olynn salah soalan lagi ke? Habislah...
No comments:
Post a Comment