Monday, 27 June 2016
Semusim Kasih - Prolog
RIUH-RENDAH rumah opah. Suasana malam
hari raya tahun ini sungguh di luar jangkaan meriahnya.
Seluruh anak, cucu dan cicit opah berkumpul di rumahnya
sejak petang semalam. Lebih 50 batang lemang siap dibakar
menjelang maghrib tadi. Jadi, waktu berbuka puasa untuk
hari terakhir Ramadan, semua tidak sabar-sabar merasa
lemang panas yang baru dibawa naik dari tempat pembakaran.
Enak tak terkata.
Malangnya... Olynn yang baru habis berpantang 100
hari anak ketiganya tidak dibenarkan makan banyak-banyak.
Hanya dua potong lemang sahaja yang boleh dijamahnya. Itu
pun atas dasar kasihan opah supaya dia tidak kempunan. Jika
diikutkan suaminya, dilarang sama sekali. Takut badan Olynn
masuk angin, tambahan pula Tengku Bakri Azim menyusu
badan. Panjang leterannya, bimbang kalau-kalau Azim
kembung perut.
Terkulat-kulatlah Olynn melihat yang lain-lainnya
berebut-rebut mencecah lemang yang lemak-lemak masin
bersama rendang tok resipi turun-temurun keluarga opah.
Mujurlah rendang ayam kampung itu, Olynn boleh makan
sepuas hatinya.
“Tengok apa tu?” Tangan yang tiba-tiba melingkar di
pinggangnya dari belakang dibiarkan sahaja.
“Seronok tengok anak-anak.” Sang suami labuhkan
dagu di atas kepala Olynn dan sama-sama memandang ke
halaman di mana anak-anak dan sepupu-sepupu mereka
sedang kegirangan bermain bunga api. Apatah lagi, Busu
Reza, Engku Farid dan juga Along Fidz turut melayan,
mengalahkan kanak-kanak riang.
“Abang... petang esok, temankan Olynn ke Pantai
Merdeka, boleh?”
“Hah? Hari Raya pun nak mandi laut?”
Olynn ketawa.
“Bukanlah! Saja, nak tengok laut. Lama sungguh
kita tak balik sini, kan?”
“Nak tengok laut aje ke? Lagi, nak buat apa?”
Olynn senyum.
“Mengimbau kenangan lama.” Bibir mengulum
senyum. Dia tahu suaminya mengerti akan kata-katanya itu.
“I see... itulah... dulu abang fikir, jauh sangatlah
awek tu nak lari daripada Budin.”
Olynn tergelak.
“Olynn lari... sebab... Budin tu kejam sangat!”
“Olynn lagi kejam. Nilai Tengku Budriz 150 ringgit
aje.”
“Abang ingat lagi?” Tak putus-putus Olynn ketawa.
Kalau tidak kerana 150 ringgit yang Nadia taruhkan untuk dia
menyertai rancangan realiti TV Pilihan Hati, tidak mungkin
dia sebahagia ini.
Budin... dan Budriz... dua nama yang memberi
impak besar dalam diari hidupnya.
Dan... kenangan lalu menjelma kembali...
No comments:
Post a Comment