Wednesday, 13 July 2016
Jodoh Sebelah Pintu - Bab 1
“AKU dengar ada dua orang lelaki muda nak
pindah kat rumah sebelah. Urm... Harap-haraplah handsome.
Boleh buat stok cuci mata yang dah lama berhabuk ni.”
Julia membawa berita yang menyendatkan nafas aku pada
tengah hari itu dengan gayanya yang gedik sekali. Tangan
dikibas-kibas ke muka. Mukanya pula bukan main miang
lagi. Novel ditangan, aku tanda dengan ibu jari tangan kanan.
Jiran baru?
Hairan, sudah lama rumah sebelah ini dibiarkan
kosong. Kenapa baru sekarang ada orang yang nak masuk ya?
Hari tu jiran di rumah belah kanan masuk. Ini, jiran di
sebelah kiri pula.
Tapi dengar-dengarnya, mak cik di rumah sebelah
kanan ni nak berpindah pula. Tak serasi duduk kat kawasan
perumahan di sini. Di tepi jalan raya yang agak sibuk. Bimbang
anak yang masih kecil bebas ke tengah jalan. Aduhai...
yang menjadi masalah sekarang ni adalah bila jiran aku itu
merupakan orang lelaki. Diulangi dengan caps lock, LELAKI!
Tak boleh nak buat gila dah nanti.
Macam mana aku nak memekak dan menyanyi lagu
Bruno dari Marikh nanti? Aku suka menyanyi-nyanyi. Itu
memang minat aku. Tapi nanti... Tak bolehlah aku buat
perangai gila-gila aku lagi. Kasihannya aku. Mesti kena jaga
tingkah laku selepas ini.
Julia ni pulak, memang pesen gatal sikit! Suka test
market. Pantang ada lelaki kacak, tentu dia cuba main mata.
Entah kenapa dia suka sangat pada lelaki kacak, aku pun
tak tahu? Aku, sebaliknya! Lagi handsome seseorang lelaki tu,
lagi aku menyorok masuk dalam cengkerang.
Lelaki zaman sekarang ni, mana boleh percaya dah!
Sedangkan perempuan pun dah tak boleh percaya, inikan
pula kaum lelaki?! Huh! Nak-nak lelaki yang kacak rupawan
dan berbadan ketak-ketak! Senang nak mainkan perempuan
dengan menggunakan pakej yang mereka ada tu. Harap
jiran aku tak handsome! Puhh! Puhh!!
Aku sebenarnya tak suka hidup berjiran. Bukannya
apa, aku ni bukannya suka berbual-bual macam orang lain
selalu buat. Pot pet pot pet. Macam dah tak ada kerja lain
dah selain daripada bergosip. Lebih baik aku duduk terperap
dalam bilik dan sudahkan novel-novel aku yang tergendala
tu. Banyak pulak lagi! Ah! Sejujurnya, aku memang tidak
pandai nak bergaul dengan orang. Kalau suruh gaul nasi,
aku pandailah!
Julialah satu-satunya sahabat yang aku ada sejak
dulu sehinggalah sekarang bila aku bertugas menjadi cikgu
kat Sekolah Kebangsaan Intan Baiduri itu. Nak-nak pula,
dia tinggal satu rumah dengan aku. Julia juga merupakan
seorang guru. Tetapi dia mengajar dekat sekolah menengah,
dekat sikit dengan rumah kami ni. Gaji dia, up sikit
daripada gaji aku. Tapi, pendapatan aku lagi banyak daripada
dia. Macam mana tu?
Aku ni, ada kerja sampingan. Income aku masuk
melalui Nuffnang dalam blogger dan juga... Aku sebenarnya
novelis. Pssttt! Baru terbit dua buah buku. Sebuah novel aku
tu, dah masuk dalam carta laris. Alhamdulillah. Sebuah lagi...
Macam... Aduhai! Menyedihkan sungguh sambutannya.
Apa yang dapat aku rumuskan, JANGAN BUAT
NOVEL FANTASI sebab novel tu... Golongan kanak-kanak
sahaja yang suka! Kononnya aku berangan nak setanding
dengan novel Harry Potter. Tak pun, Twilight pun jadi. Lastlast?
Starlight kat dahi sendiri!
Humph! Berbalik semula pada topik asal, BERJIRAN!
Kalau ada jiran nanti, aku juga yang merana. Tentu ramai
kata yang aku ni orang yang sombong sedangkan aku
memang tidak pandai bergaul. Tambah-tambah dengan jiran
lelaki pula. Aduh... Lelaki... Eeeii! Menakutkan. Ada sebab
aku fobia dengan jiran lelaki sebenarnya.
Bercinta dengan jiran? Ya! Aku pernah terkena.
Dengan jiranlah orangnya! Aku dah serik wooo... Hei,
ingat penulis novel tak kecundang ke dalam bercinta? Itu
memang menipu namanya! Tapi, aku kecundang sebab... Ajal.
Jadi, aku tak boleh salahkan arwah kekasih aku tu. Wargghh!
Setiap kali teringat padanya, tentu sekali hatiku rasa sebak
berganda-ganda.
“Kau ni, setiap kali dengar berita ada jiran baru
ke, ada yang nak kenal, gerenti kau buat muka lempeng
macam ni kan?” Soal Julia bengang.
Aku tersentak. Mujur juga dia tegur aku, kalau
tak, tentu dah meleleh air mata ni tadi. Bekas tunangku,
merupakan jiran sebelah rumah ibu bapaku di Damansara.
Kacak sungguh wajahnya. Biasalah, dah kacak, baik pula
hatinya. Tuhan pun sayang...
Pada mata Julia, aku, Mona Airawani yang cantik
rupawan ni terlalu menjaga diri. Menjaga pergaulanku. Dia
selalu cakap kat aku,
“Apa salahnya jika hidup berjiran? Tak mati
pun! Kau ni dah alergi dengan lelaki. Nak
kata dikecewakan, tidaklah! Tetapi... Hmm...
Kenapalah tak buka hati tu untuk berkenalan
dengan lelaki? Sayang betul. Muka tu dah
cantik, kerjaya pun kira adalah juga. Apa yang
dia tunggu lagi?’”
Macam itulah ayatnya. Berkajang-kajang bebelannya
pada aku. Suka aku ulang rakaman tang dia puji aku cantik
tu. Hatiku kembang setaman.
Aku mengeluh. Julia tentu tak faham sebab dia tak
pernah rasa keperitan aku... Aku pernah bertunang. Lagi
sehari nak kahwin... Tiba-tiba malapetaka itu menimpa si
Fareez. Nak salahkan takdir, siapalah aku ni? Aku hanyalah
hamba-Nya yang sedang diuji. Jodoh dan ajal... Siapa yang
tahu? Bukan kita yang menentukannya. Aku pengsan sebaik
sahaja mendengar berita kematian tunangku dulu. Sampai
sekarang pun aku rasa tak kuat bila fikir semula.
“Mona!” Julia menyentakkan aku lagi dengan suara
nyaring setinggi suara Jaclyn Victornya itu. Hesy! Aku nak
berangan sikit pun tak boleh.
“Aku tak suka. Jiran lelaki pulak tu. Kalau jiran
perempuan, memang aku sambut dengan bahagianya. Tapi
ni lelaki, Jue...” Kata aku mendengus sedikit.
“Hmmm. Tak faham betul aku kenapalah kau ni
fobia sangat dengan lelaki. Memang kau tak nak dekat
dengan lelaki ke? Hidup berjiran aje kut? Bukannya suruh
kau pergi menggedik dengan lelaki tu. Kalau boleh, bertegur
sapalah sikit nanti. Tak adalah orang nak cakap yang kau
tu sombong ya ampun.” Tegur si Julia lagi.
Dia tidak berkenan dengan sikap aku yang satu
ini. Pemalu amat! Bukan pemalu sebenarnya. Aku cuma
tidak mahu berbaik dengan orang. Bila dah berbaik, adalah
perangai gila yang aku buat. Aku ni, sebenarnya sangat suka
berkaraoke. Hihihi. Depan orang kenalah tunjuk kesopanan
sikit.
“Tengoklah nanti macam mana. Kalau baik jiran
kita, maka baiklah layanan aku. Kalau perangai macam tahi
beruang, maka, beruanglah aku!” Aku berkata malas lantas
menutup novel yang kubaca tadi. Kaki aku heretkan ke dalam
bilik. Malas nak layan Julia lagi. Aku dapat dengar dengan
jelas yang Julia sedang mendengus.
“Sikit-sikit nak emo. Suruh bergaul elok dengan
jiran pun sibuk nak emo!” Bebel Julia geram.
Aku buat tak endah aje. Lantak kaulah Julia! Aku
tak suka isu lelaki dibangkitkan. Mungkin salah aku sebab
tak pernah cuba hendak memberitahu dia. Soal jodoh, aku
dah serahkan sepenuhnya pada mak bapak aku... Aku malas
nak ambil tahu lagi. Dan, soal jiran kacak atau tidak, ikut
suka hati akulah sama ada aku nak menegur atau tidak!
It is all up to me.
PING!! PING!! PING!!!
“Bisingggg!!!” Aku mendengus kasar.
Siapalah yang mengacau aku tidur pagi-pagi buta
begini? Geram betul! Bunyi hon lori yang pastinya... Aku
tekup telinga aku dengan bantal. Usahkan nak senyap,
berganda-ganda pula bunyi bisingnya menerjah telinga
comel aku ni. Hei hati! Dah tak tertahan nak menghamun
orang ni... Hari ni hari Sabtu. Siapa berani buat dajal
kat aku ni, oiii? Cadar tilam bercorak bunga ros putih
aku cekup dengan geram. Automatik, aku bangun daripada
pembaringan bila bunyi hon lori seyyyytonnn tu berbunyi
dengan megahnya.
Pagi-pagi macam ni, lori apa yang datang menyibuk
kat kawasan perumahan ni? Err. Memang selalu ada. Tapi...
Takdelah bising sampai tahap aku nak menghamun orang
macam sekarang ni. Eiii. Panas... Panas! Aku baru tidur pukul
enam setengah pagi tadi sebab sibuk menanda buku budak
juga menaip manuskrip dan sekarang, belum pun lagi pukul
lapan, dah ada yang pfefggeytge! Menseyyyyytonnnn!
Aku bangun dari katil dengan geram. Rambut
kusut masai aku masaikan lagi dengan menggaru-garu tak
tentu hala. Serabut!!! Bunyi itu ada lagi malah semakin kuat
pula. Aku berjalan menghala ke almari. Tudung segera aku
sarungkan dengan malas. Muka kujengul ke pintu rumah.
Lantaklah muka aku tak berbasuh atau apa, janji amarah
aku berbaloi kali ni. Lagi berbaloi kalau si pelaku misteri
ini terhidu bau mulutku sekarang. Baru dia tahu yang dia
sedang mengganggu aku tidur!
“Hai!” Tegur suara garau.
Seksinya suara dia. Terpukau sekejap aku mendengar
suaranya. Seorang lelaki menghampiri aku. Kami hanya
dipisahkan oleh pagar rumah saja. Amboi manisnya muka...
Segar kejap mata aku. Ehem! Ingat motif kau keluar bilik
ni, Mona! Aku ingatkan diri aku. Hush!
“Apa hai-hai?! Itu lori awakkan, yang memekak
mengganggu ketenteraman awam??!” Haaa. Kan dah kena
sebutir peluru.
Aku bercekak pinggang dengan tangan kanan
dan tangan kiriku menunjuk-nunjuk ke arah lori yang
membingit itu. Kelat muka kacaknya. Alololo. Kalaulah dia
tak buat bising ni tadi, mahu juga aku pandang seminit
dua muka kacaknya. Sungguh!
“Sorrylah. Kawan saya tu memang suka menyakitkan
kepala otak orang.” ujar lelaki itu lantas bibirnya
dimuncungkan ke arah pemandu lori.
Seorang lelaki... Err... Menyanyi dengan girang dan
sumbang macam tak ada masalah sama ada nak terus hidup
ataupun nak mati ke... Seronok betul! Sambil tangannya, PING!
PING! Eeei. Ada chance jugak aku kerat tangan mamat ni.
“Hei! Memekak aje! Diamlah!” jerkahku geram.
Dia hanya tersenyum manis. Ingat laku ke senyuman
manis dia tu? Eh? Aku ada cakap manis?! Padam balik
perkataan manis tu, please? Dia keluar dari lori macam nak
pergi dekat aku. Huh. Aman dunia sekejap... PING!! Sempat
lagi tangannya mencepuk hon lori. Eii! Sabar.. Sabar.. Ini
spesies lelaki kuat menyakat ni. Kejam pun ya juga.
“Kenapa kak?” Kak?! Dia panggil aku KAK?!! Helo! Aku
muda lagi kay?! Dua puluh tujuh! Mudalah tu! Perwatakan
aku sekarang ni nampak tua sangat ke?
“Senyaplah! Orang nak tidur, dia mengganggu. Tak
malu ke mengganggu ketenteraman awam?” Soal aku dengan
garang. Aku mula bercekak pinggang dan merenungnya macam
nak makan. Jangan jadi sarapan Mona Airawani sudah! Aku
tak sarapan lagi ni.
“Akak tu yang patut rasa malu. Dah pukul berapa
ni?? Cuba tengok jam. Apa ni, anak dara bangun lewat?
Reject buat bini.” Berbisa! Pedih telinga aku. Siap dikibaskibas
lagi tangannya tanda dia sedang ‘mereject’ aku.
Eii. Ada juga kepala yang tergolek ke tanah ni nanti.
Jangan main dengan Mona Airawani! Sekali aku karate
kang. Sabar... Sabar... Aku cuba tenangkan diri meskipun
dada dah turun naik menahan amarah. Si rakannya yang
budiman sudah menyiku-nyiku dia.
“Sibuklah! Tak payah buat bising lagi! Orang
tak cukup tidur tanda kertas budak, dia sibuk nak aku
tandakan dahi tu. Apa punya orang macam ni? Aku sumpah
jadi mengkarung nanti, mulalah malu nak hidup!” Bebelku
lantas masuk ke rumah. Malas nak menghadap beruang
beruang gila ni.
“Akak...” Panggilnya dengan suara mendatar.
Oh! Aku lebih rela dengar suara katak! Dah dia
panggil dengan lembut, nak tak nak, aku pusing semula.
Ada benda yang aku nak amuk ni. Panggilan dia pada aku...
Sangatlah menghina! Aku muda lagi! Tak kahwin pun lagi,
okey?!
“Apa akak-akak?!” Soalku hampir nak mengamuk.
“Apa yang akak pakai ni, kak? Sedang belajar berfesyen
ke apa? Tudung terbalik, pakai baju tidur nampak betis!
Selipar sebelah lain.” Komennya selamba sambil matanya
melirik ke kaki aku. Dia memeluk tubuh dan menjulingkan
mata ke atas. Ewah, dia...
Yang si lelaki budiman di sebelahnya sudah menahan
senyum dan memandang ke arah lain. Terhinggut-hinggut
bahunya menahan tawa. Darah aku rasa tersejat. Betul ke
apa yang dia cakap tu? Aku pandang ke bawah perlahanlahan
dengan debaran menggila bagaikan ada Ju-on kat
kaki.
Alamak! Macam mana aku boleh lupa tentang baju
tidur aku ni? Selipar jepun ni pulak..? Ahh! Malu! Malu!
Malu!! Menciput aku berlari ke dalam rumah. Kedengaran
dua ekor badut itu ketawa macam nak gila. Berdekahdekah.
Mak! Aira nak pindah dari sini! Aira malu!!
SUMPAH AKU tak nak keluar rumah hari ni! Sumpah aku
malu! Bengongnya kau, Mona! Itulah, kalau tak baik niat tu,
gerenti dapat balasan. Allah bayar cash. Niat nak memaki
orang akhirnya membuatkan aku sendiri yang mendapat
malu. Malu besar! Oh no! Mana Doraemon? Doraemon,
tolonglah saya!!! Pinjamkan saya poket awak! Kat rumah
sebelah ada Giant dan Suneo mengganggu.
Aku terjun tiruk ke atas katil. Nak buang malu aku
dekat bantal. Malang lagi menimpa aku bila, GEDEGANG!
Aku tersalah landing! I can see the stars. Malangnya nasib
aku pagi ni!! Mak! Kepala Aira sakit!! Mesti benjol ni nanti.
Apalah sangat benjol ni kalau nak dibandingkan dengan
malu yang aku dapat tadi?
Dekahan orang di luar masih lagi aku dapat dengar.
Suka sangat dapat tengok fesyen mantap aku agaknya. At
least, aku tunjukkan apa yang lain daripada lain, ya tak?
Dua tiga minit, akhirnya senyap. Tiada lagi gelak ketawa
dua toyol tu. Mujur dah tak ada gangguan.
Baru lagi nak melelapkan mata, PING!! PING!!
Alahai mamat tu punya kerjalah ni! Nak memaki? Eii! Aku
tak nak dah... Serik!! Malu betul aku dengan dua ekor
beruang tu. Tambah-tambah dengan seekor beruang gila tu.
Sebab tak berbudi bahasalah aku dapat balasan cash ni tadi.
PING! PING!!! PING!! Isy! Aku tahu niat lelaki
tak waras tu. Dia sengaja nak memanaskan hati aku.
Kalau aku keluar ni nanti, mesti diaorang gelak bagai nak
mati. Gerenti punya! Macam aku tak tahu perangai orang
gila macam ni. Baik kau bersabar, Mona. Sabar... Sabar...
dada aku urut perlahan berkali-kali. Astaghfirullahal’azim.
Astaghfirullahal’azim. Lebih baik aku beristighfar dari mulut
memaki perkataan yang tak sepatutnya.
Tudung di kepala yang merimaskan, aku tanggal
dan campak ke sebelah dengan penuh dendam kesumat.
Geram. Aku ditertawakan dua ekor beruang tu disebabkan
‘FESYEN’ terkini aku inilah. Boleh aku tak perasan pada
tudung aku yang terbalik ni? Memang... Urrfff!
No comments:
Post a Comment