Thursday, 11 August 2016

Indahnya Cinta - Bab 4

SUDAH sebulan berlalu sejak peristiwa Haiqal
meluahkan perasaan dia terhadapku. Dia pun tidak lagi
mengganggu aku di pejabat seperti selalu. Dulu aku memang
rasa rimas dengan dia tapi sekarang ni hati aku rasa kosong.
Rasa sunyi pula apabila dia tak ada.
Hari-hari aku menunggu panggilan dan kedatangan
dia. Nak call sendiri atau tanya pada abang, rasa berat pula.
Kan sebelum ni aku tak pernah menghiraukan dia. Fikiran
aku mula terganggu sejak akhir-akhir ni. Wah! memang
hebat penangan Muhammad Haiqal ni dalam hidup aku.
“Kenapa ni dik? Abang tengok semenjak dua menjak
ni adik banyak tak fokus dalam kerja. Jangan macam ni, nanti
kalau abah tahu, masak adik dibuatnya. Jangan tak tahu
perangai abah macam mana. Urusan kerja jangan dicampur
dengan urusan peribadi. Business tetap business.” Panjang
lebar abang bercakap.
Aku duduk sambil menekur dahi di meja dalam bilik
abang.
“Tahu... tapi adik tak ada mood nak kerja.” Mendatar
suara aku. Kepala masih lagi tidak aku angkat.
“Kenapa tak ada mood? Sebab Haiqal tak ada?”
serkap abang tiba-tiba.
Aku pantas mengangkat wajah dan memandang
abang. Dia tersenyum. Umpan dah mengena.
“Kan...,” giat abang lagi.
Aku dah gabra. Tak tahu nak angguk atau geleng
kepala. Akhirnya aku hanya diam membisu.
“Dah, jangan nak buat blur macam tu. Abang dah
tahu semuanya. Abang dengan Haiqal dah kawan lama.
Masing-masing dah tak ada rahsia lagi. Pasal dia sukakan adik
tu, dia dah suarakan pada abang dulu. Macam minta izinlah.”
Abang sudah membuka rahsia. Tapi aku dah tak terkejut
sebab memang itu yang Haiqal cakap dengan aku.
“Tapi kenapa mesti dengan adik? Selama ni kami
ni bukannya pernah ngam. Kalau berjumpa tu... kalau tak
bercekau, tak sah.” Aku mengeluh berat. Sebenarnya lebih
kepada meluahkan rasa sebal dengan hubungan kami sebelum
ini. Rasa kekok pula dari bergaduh kepada nak bercinta.
“Itu abang tak boleh nak komen. Tapi abang tengok
dia layan adik baik aje. Lainlah kalau adik tu. Kalau Haiqal
ada, muka tu macam asam kecut.” Usik abang sambil tertawa.
“Depan orang aje dia tunjuk baik, kalau dengan
adik... jangan haraplah.”
“Kut itu memang cara dia nak luahkan perasaan dia
dekat adik. Orang kalau dah jatuh cinta ni... lain orang lain
caranya.”
“Yalah tu.” Aku mencebik malas.
“Oh ya... Haiqal ada kirimkan hadiah untuk adik. Dia
tak sempat nak bagi hari tu.” Abang bangun dan menarik satu
bungkusan di bawah mejanya.
Tergamam aku sebentar. Teddy bear!!!
“Abang, teddy bear tu?” Aku menunjuk ke arah
plastik lut sinar yang membaluti teddy bear yang dihias
dengan reben besar di atasnya.
“Ya... memanglah teddy bear, takkan penguin pula.
Dah, ambil ni.” Tangan abang yang menghulur tidak aku
sambut. Aku dah buat muka semacam.
“Abang... teddy bear warna pink!!! Euuwwww....”
Aku dah nak termuntah. Aku memang tak suka dengan teddy
bear, lebih-lebih lagi warna pink. Pantang bagi aku dengan
dua perkara tu. Nampak girlish semacam.
“Ya abang tahu. Tapi hadiah ni Haiqal yang bagi. Tak
baik tolak hadiah orang. Ambil ajelah. Lagipun dia mana tahu
yang adik tak suka pink. Kalau tak nak, pulang semula kat
dia sendiri. Abang tak nak campur tangan lagi. Pening jadi
telangkai kamu berdua ni.” Abang meletakkan teddy bear di
depanku. Aku hanya memandang tanpa menyentuh.
“Nak pulangkan macam mana? Dia mana pernah
datang kat sini lagi.”
“Oh, lupa nak cakap yang dia dah terbang ke
Indonesia. Lusa baru dia balik.”
“Indonesia? Patutlah dah tak nampak batang
hidung.”
“Aikk... nampak macam orang kena tinggal dengan
kekasih aje ni. Sabar, nanti dia baliklah.” Abang memujuk.
Akhirnya aku sudah mendapat satu kepastian. Aku memang
merindui Haiqal. Rindu sangat-sangat. Awak... cepatlah balik,
kita dah rindu gila dekat awak ni.
AKU TAK senang duduk. Dari tadi lagi mata aku melilau ke
depan sambil menunggu kelibat seseorang di celah-celah
kelibat beribu-ribu orang di KLIA. Aku menunggu dalam
debar. Entah apalah reaksi Haiqal nanti apabila tahu aku
yang datang. Tadi beria-ia sekali abang menyuruh aku
menggantikan dia mengambil Haiqal di airport.
Kelibat beberapa orang pramugari dan pramugara
sudah melintas di depan aku tetapi kelibat Haiqal masih
belum ada. Sesekali aku terpaksa bersesak-sesak dengan
orang ramai yang turut sama sibuk menunggu di pintu
keluar KLIA.
Itu dia wajah yang kurindui. Dari jauh Haiqal
berjalan dengan tenang bersama beberapa orang yang juga
berpakaian seragam pilot MAS. Terpegun aku melihatnya.
Haiqal memang nampak segak habis walau apa pun yang
tersarung di badannya. Dia terus berjalan dan melepasi
aku. Mungkin dia tak perasan aku. Aku berjalan laju cuba
menyaingi langkahnya yang besar.
“Haiqal!” Aku menjerit sedikit kuat kerana keadaan
begitu sesak dan bising. Haiqal berhenti dan berpaling.
Ternyata dia seperti terkejut dengan kehadiran aku di situ.
Namun tidak lama apabila satu senyuman sudah tersungging
di bibirnya. Dia bercakap sesuatu dengan rakannya sebelum
mereka bergerak pergi.
Haiqal berjalan sambil mengepit topi di celah
ketiaknya dan menjinjit sebuah beg di tangan kanannya.
Aku cuba mengawal perasaan. Jantungku turut berdetak
seiringan dengan bunyi tapak kasutnya yang sedang berjalan
menghampiri aku.
Dia berhenti di depanku. Aku tahu yang dia sedang
merenung aku. Aku mengumpul semangat dan perlahan-lahan
wajah aku angkat. Mata kami saling bertatapan dalam diam.
Suasana tiba-tiba terasa hening. Kawasan airport yang bising
tadi terus senyap dan diganti dengan satu melodi yang cukup
romantik.
Saat mata kami saling berpandangan, aku rasakan
lantai tempat kami berpijak tiba-tiba berputar perlahan. Aku
sudah lemas dalam renungan Haiqal yang cukup redup dan
menenangkan jiwa. Aku tak tahu berapa lama lagi kami akan
berkeadaan begitu. Apa yang pasti, aku turut senang dengan
momen yang indah itu.
Tapi aku tiba-tiba tersedar di mana kami berada
sekarang. Pantas aku melarikan wajah. Merah padam muka
aku. Aku memandang sekeliling. Haiqal tersenyum sambil
meraup perlahan rambutnya.
“Farah buat apa kat sini?” tanya Haiqal. Matanya
masih lagi merenung aku.
“Saya datang sebab nak jemput awak la.” Jawabku
perlahan.
“Jemput saya? Tapi kenapa? Macam mana awak tahu
saya balik hari ni?” tanyanya lagi.
“Abang yang suruh jemput awak.”
“Freddy suruh awak jemput saya kat sini?” tanyanya
lagi. Reaksinya nampak macam orang yang terkejut aje.
Aku hanya mengangguk dengan terpinga-pinga.
“Kenapa?” Aku bertanya, pelik dengan reaksinya tadi.
Haiqal tersenyum meleret sambil menggelengkan
kepala.
“Tak ada apa-apa. Jom.” Haiqal menarik tangan aku
dan kami berjalan beriringan ke tempat parkir kereta. Aku
perasan yang Haiqal asyik tersenyum sejak dari tadi.
Aku menghantar Haiqal ke kondo dia selepas
dia belanja aku makan. Lama juga kami berbual, tapi
masing-masing masih lagi tidak mengungkit hal tempoh hari.
Biarlah dulu, yang penting sekarang ni kami sudah berbaik
dan cuba saling kenal-mengenali. Sekurang-kurangnya rindu
aku dah terubat hari ini. Yipppiii!!!
BARU SAHAJA nak melabuhkan punggung di atas kerusi,
aku baru perasan ada sekuntum bunga ros warna merah di
atas meja. Aku mengambil dengan penuh tanda tanya. Siapa
punya ni? Satu kad kecil yang diletakkan di atas meja aku
ambil.
Siapa pula yang letak ni? Interkom aku tekan.
“Sherry, siapa yang letak red rose kat bilik saya ni?”
“Saya, Cik Farah.”
“Awak? Siapa bagi?” Aku tahu pasti ada seseorang
yang menyuruh dia meletakkannya di atas mejaku.
“Tak tahu, sebab budak bunga kat kedai depan yang
hantar.”
“Hmmm... tak apalah, thanks.” Ucapku. Kepala
tak tahu nak teka siapa walaupun hati menyatakan nama
seseorang.
Dokumen-dokumen yang bertaburan di atas
meja aku ambil dan aku baca dengan penuh teliti sebelum
menurunkan tandatangan. Aku berhenti seketika. Mata
dah naik juling, dari tadi lagi sibuk buat kerja. Kerusi aku
pusingkan ke belakang dan menatap panorama Kuala
Lumpur dari tingkat 15 dari bilik aku. Tak berapa cantik pun
pemandangan di luar sana. Asyik-asyik bentuk bangunan juga
yang menyapa mata aku selain daripada burung atau kapal
terbang yang sesekali melintas di depan mata.
Tengok kapal terbang, teringat pula dekat Haiqal.
Dia memang mampu buat jantung aku tak keruan dengan
pakaian seragam dia tu. Memang macho dan handsome
habis. Aku tersenyum gedik.
Bunyi ketukan pintu mengalihkan pandangan aku.
Aku kembali mengalihkan kedudukan sebelum memberi
kebenaran masuk.
“Cik Farah, Encik Haiqal nak jumpa.” Ujar Sherry
yang masih berdiri di depan pintu.
Tiba-tiba aku tak senang duduk apabila nama Haiqal
disebut.
“Errr... dia ada kat sini ke Sherry?” Aku dah
tergagap-gagap. Tadi baru teringat pasal dia, sekarang dah
terpacak kat sini. Macam tahu-tahu aje orang duk teringatkan
dia.
“Encik Haiqal ada kat luar. Nak panggil dia masuk
sekarang ke?” tanya Sherry semula.
Aku mengangguk.
“Yes please... dan tolong buatkan kopi sekali,”
pintaku sebelum dia keluar.
Sherry tersenyum sebelum mengangguk.
Aku melihat sekilas penampilan diri hari ni sebelum
menanti dalam debar. Beberapa ketika pintu diketuk perlahan
dan Haiqal muncul. Dia tersenyum manis dengan t-shirt
berjenama polo berwarna biru gelap dan jean dari warna yang
sama terlekap di tubuh sasanya. Terpegun aku dengan gaya
santainya. Amboi... jaga mata tu Farah! Akal aku menegah.
“Dah puas tilik saya. Kalau belum, boleh sambung
lagi.” Ujar Haiqal sambil tersenyum manis.
Termalu aku ditegur begitu. Aku cuma tergelak
kecil.
“Sorry... terpegun sekejap.” Aku menjawab selamba.
Haiqal ketawa apabila mendengar ayat selamba aku.
“Have a seat.”
Haiqal menarik kerusi di hadapan aku, kemudian
duduk dengan selesa. Ruang pejabat aku dipandang dengan
penuh minat. Aku turut berminat melihat dia yang masih
leka menjelajah sejenak bilikku.
“Nice.” Pujinya.
“Thank you.” Aku tersenyum.
Ketukan di muka pintu menghentikan bicara kami.
Sherry masuk dengan menatang dua cawan kopi dan sepiring
mufin.
“Jemput minum.” Pelawaku kepada Haiqal.
Haiqal mengangguk sebelum meneguk perlahan.
“Saya mengganggu ke?” tanyanya selepas meletakkan
cawan di atas piring semula.
“Tak adalah. Saya tak sibuk sangat hari ni. Ada apa
awak datang sini?”
“Tak ada apa. Saja nak melawat buah hati saya.
Rindu.” Ucap Haiqal dengan satu pandangan yang cukup
menggoda bagiku.
Ah... sudah... aku dah nak menggelabah ni. Tak
teragak-agak Haiqal ni nak menyakat aku pun.
“Ya ke? Dah ada buah hati rupanya. Siapalah yang
bertuah sangat tu. Ingat baru aje nak usyar line, tapi dah
berpunya rupanya.” Usikan Haiqal aku balas balik. Aku
buat-buat tergelak.
Haiqal tersenyum sambil mengangguk.
“Tak payah nak usyar, sebab hati Muhammad Haiqal
bin Syukri hanya hak eksklusif dan milik persendirian Farah
Zulaikha binti Amiruddin seorang saja.”
Aku nak pengsan dengar ayat Haiqal. Memang berani
betul dia meluahkan rasa hati dia kepada aku. Aku tersenyum
malu dengan muka yang sudah bertukar pink. Dia memang
pandai buat hati aku tak keruan.
“Amboi... manisnya ayat awak.” Aku menjeling
manja. Memang panasaran aku dibuatnya.
“Sayang, jom kita lunch sama-sama nanti. Nak tak?”
ajak Haiqal.
Macam nak terlompat keluar jantung aku apabila
Haiqal memanggil aku sayang. Aku melihat jam sebelum
mencongak jadual aku hari ini.
“Okey.” Cepat saja aku bersetuju.
“Okey... set! Nanti saya call awak.”
Haiqal menghirup kopi di dalam cawannya sebelum
dia bangun. Aku turut bangun dan membuntuti langkahnya
ke muka pintu. Tombol pintu dibuka sebelum Haiqal berhenti
dan berpaling semula kepadaku.
“Sayang cantik sangat hari ni. Wangi dan sweet
sangat. See you.” Ujarnya sambil mengenyit mata sebelum
dia meninggalkan aku yang sudah terkaku di depan pintu.
Adoi! Haiqal memang pandai bermain kata. Memang
jauh berbeza dengan diri dia yang sebelum ini. Dia memang
sweet talker! Isy... lupa pula nak tanya pasal bunga tu. Tak
apalah, lepas ni ada peluang lagi nak tanya dia. Hai, lambat
pula masa berjalan hari ni. Tak sabar nak menatap wajah si
jejaka yang berjaya menambat hati Farah Zulaikha ni.

No comments:

Post a Comment