Tuesday, 9 August 2016

Kau Yang Kunanti - Bab 5

HAKIM nyata terkejut dengan kata-kata biadab
Sofiana sebentar tadi.
“Apa yang Sofi cakapkan ni?” marah Hakim. Wajah
isterinya itu dipandang dengan riak marah dan geram yang
begitu membukit. Sempat juga dia menangkap perubahan
riak di wajah Amirah. Mungkin tidak menyangka yang Sofiana
akan mengherdiknya sebegitu sekali.
Isteri keduanya itu ternyata tidak berubah. Sifat
dengkinya terhadap Amirah tidak pernah hilang. Dan Hakim
yakin sifat dengkinya itu akan lebih bermaharajalela apabila
melihat perubahan Amirah itu. Bagaimana cara hendak
menangani sifat buruk Sofiana ini? Ah, dia pun sudah malas
hendak memikirkannya! Dia sudah bosan! Yang penting
baginya adalah mendapatkan Amirah semula. Itu misinya
sekarang.
“Betullah apa yang Sofi cakap. Perempuan ni
sebenarnya nak merampas abang daripada Sofi. Sebab tu dia
datang balik. Buat-buat tak kenal konon. Padahal nak tarik
perhatian abang. Kau ingat aku tak tahu taktik kotor kau tu?
Jangan haraplah perempuan! Aku takkan benarkan!!!” herdik
Sofiana lagi.
Hakim mula berasa serba salah. Terasa mahu sahaja
melayangkan tangannya ke pipi isterinya itu. Bicaranya
semakin kurang ajar sekarang. Tetapi disabarkan saja hatinya.
Bimbang lain pula yang akan terjadi nanti. Lagipun Sofiana
sedang sarat mengandung.
“Hei, perempuan! Siapa yang merampas siapa
sebenarnya ni? Aku ke kau? Cuba kau fikir balik? Aku rasa
kau yang merampas suami aku,” bidas Amirah dengan nada
lembut tetapi sinis. “Perempuan tak tahu malu. Perampas
suami orang!” Kasar pula intonasinya kali ini. Amirah seakan
melepaskan geramnya.
Reaksi Amirah itu mengejutkan Hakim dan Sofiana.
Mereka seakan tidak percaya mendengarnya. Manakala
Marissa pula hanya tersenyum bangga di dalam kereta.
Selama ini Amirah tidak begini. Dia wanita yang lemah
lembut dan kurang berbalas kata. Kalau dia terluka pun dia
hanya akan menangis. Tapi nampaknya kali ini Hakim dan
Sofiana terpaksalah bersedia untuk berdepan dengan Amirah
yang baru. Berkat ajarannya selama ini. Bangga juga menjadi
guru tidak bertauliah temannya itu.
“Hei, kau tu yang perampas sebenarnya! Kau
rampas kekasih aku!” Sofiana semakin menggila. Panas
hatinya mendengar kata-kata Amirah yang dianggap lancang
sebentar tadi. Bagaimanakah Amirah boleh berubah seberani
itu? Sedangkan sewaktu di kampus dahulu wanita itu paling
tidak berani membantah kata-katanya.
Memang mereka teman rapat. Tetapi dia berteman
dengan gadis itu kerana dia fikir dia boleh menggunakan
Amirah. Apa yang disuruh pasti akan dituruti. Hasilnya dia
boleh tenang berpacaran walaupun tugasan yang diberikan
pensyarah berlambak. Semuanya diserahkan kepada gadis itu.
“Sofi... sudahlah tu, tak elok bertengkar dekat sini.
Malu kalau orang tengok. Lagipun Sofi tengah mengandung.
Apa kata kalau Sofi pergi tunggu dalam kereta. Kejap lagi
abang datang,” pujuk Hakim. Tetapi nampaknya pujukannya
itu tidak berjaya mengeluarkan kedua wanita yang sedang
merenung sesama sendiri itu. Pujukannya bagaikan dibawa
angin lalu. Hakim semakin khuatir. Bimbang sekiranya
pergaduhan antara isteri-isterinya ini akan menutup
peluangnya memujuk Amirah kembali ke sisi. Hati yang
terluka seperti Amirah perlu diubati dengan berhati-hati.
“Habis, salah aku ke bila suami kau kejar aku macam
ni? Bukan aku yang cari dia, tahu? Dia yang datang cari aku.
Sebab apa? Sebab dia dah tak nakkan kau lagi! Kau tu yang
terhegeh-hegeh nakkan dia!”
“Kurang ajar punya perempuan!!!” Sofiana sudah
mengangkat tangan ingin menampar pipi gebu Amirah.
Tetapi pantas dihalang Hakim. Tubuh Sofiana diperangkap
kemas ke dalam pelukannya. Tidak akan dibenarkan tangan
itu mencecah seinci pun tubuh isteri pertamanya itu.
Sofiana meronta-ronta ingin dilepaskan. Rontaannya
begitu menggila. Dia seakan tidak sedar yang dirinya sedang
sarat mengandung. Apa yang ada dalam fikirannya adalah
ingin mengerjakan wanita yang sedang berdiri angkuh di
hadapannya sambil berpeluk tubuh.
Senyuman kebanggaan Amirah hadiahkan buat
Sofiana tanda kemenangan kerana Hakim sedang berusaha
untuk melindunginya. Makin menambahkan sakit hati
Sofiana.
“Abang kata sudah Sofi!!!” tengking Hakim kuat,
membuatkan semua yang ada di situ berserta dua orang
wanita yang baru memasuki kawasan letak kereta itu terkejut.
Suara tangisan Nasuha yang berada di dalam kereta juga
jelas kedengaran. Mungkin merasakan dirinya yang sedang
dimarahi.
Amirah pantas mendapatkan anaknya. Nasuha
dipeluk erat. Belakang anak kecil itu digosok agar dapat
mengurangkan rasa terkejutnya. Tidak berapa lama
kemudian, tangisan itu semakin mereda.
“Sofi pergi tunggu dalam kereta!” Menyedari akan hal
itu, Hakim merendahkan suaranya. Tetapi masih kedengaran
tegas ditambah pula dengan wajah yang begitu bengis.
Sofiana bengang kerana dimarahi begitu di hadapan
Amirah. Terasa tebal kulit wajahnya saat ini. Inilah kali
pertama Hakim meninggikan suara kepadanya. Di hadapan
Amirah pulak tu. Makin memuncak rasa sakit hatinya buat
Amirah saat ini.
“Pergi!” Arah Hakim sekali lagi. Tanpa menunggu
lama, Sofiana mencapai kunci kereta yang dihulurkan dan
berlalu dari situ dengan jelingan yang begitu tajam buat
Amirah.
Hakim menarik nafas lega. Dialihkan pandangan
kepada Amirah yang sedang memujuk anak mereka.
pandangannya tumpah ke situ. Sudah lama dia tidak menatap
wajah anaknya, Nasuha. Terasa rindu begitu mencengkam
dada saat ini. Hati yang panas sebentar tadi serta-merta sejuk
begitu sahaja. Terus langkahnya diatur menghampiri mereka
berdua.
“Hi, my little princess! Ingat abah lagi tak sayang?”
Hakim menegur anaknya.
Nasuha yang sudah berhenti menangis memalingkan
wajah dan merenung lelaki di hadapannya. Lama wajah itu
diamati sebelum segaris senyuman riang terukir di bibir
comelnya.
“Abah...” panggilnya dengan nada pelat sambil
menghulurkan tangan minta didukung.
Amirah dan Hakim berpandangan sesama sendiri.
Tidak menyangka tempoh beberapa bulan masih tidak
menghilangkan memori anak kecil itu terhadap abah yang
begitu rapat dengannya suatu ketika dahulu.
Hakim pantas mengambil Nasuha dari dukungan
Amirah. Wajah comel itu dikucup bertalu-talu. Tubuh itu
juga dipeluk erat bagi melepaskan rindu. Nasuha ketawa
riang apabila digauli begitu oleh abahnya. Amirah dan
Marissa yang menjadi pemerhati drama sebabak itu hampir
menitiskan air mata. Menyaksikan betapa dalam rindu anak
sekecil Nasuha buat abahnya. Tiba-tiba rasa bersalah hadir
dalam hati Amirah kerana telah memisahkan mereka berdua.
“Anak abah sihat?” Hakim bertanya kepada Nasuha
dengan wajah yang ceria. Berasa begitu bertuah mempunyai
anak secomel dan sepintar Nasuha. Walaupun terpisah
selama beberapa bulan, anak itu tidak pernah melupakannya.
Tengoklah sekarang. Tangan kecil itu sedang memeluk
lehernya erat. Tanda dia juga merindui abahnya.
Nasuha hanya tertawa riang sebagai jawapan kepada
persoalan abahnya itu. Dia memang masih tidak boleh
bertutur tetapi bicara orang dewasa mungkin boleh difahami.
Dan dia akan bertindak balas dengan caranya sendiri.
“Abah rindu anak abah.” Sekali lagi sebuah ciuman
hinggap di pipi tembam anaknya itu. Geram benar dia
melihat pipi Nasuha. Semakin berisi. Membuatkan dia tidak
berhenti-henti hendak menciumnya. “Suha baik tak dengan
ibu selama abah tak ada? Mestilah kan? Anak abah kan bijak.
Sayang dia....”
Hakim terus berkomunikasi dengan anaknya tanpa
mengira pandangan Amirah dan Marissa yang tunak ke
arahnya. Dia begitu rindukan anaknya. Sudah tidak peduli
akan pandangan tidak selesa Amirah buatnya. Mungkin
isterinya itu tidak senang melihat kemesraan dia dan anak
mereka. Dalam hati dia sudah tersenyum senang. Mungkin
inilah cara terbaik untuk membawa isteri dan anaknya itu
pulang ke rumah. Melalui anaknya.
‘Terima kasih sayang abah. Suha dah buka jalan
untuk abah. Tolong abah pujuk ibu ya, sayang?’ bicara Hakim
dalam hati. Berharap isyarat matanya dapat difahami oleh
hati si anak.
“Suha, mari dekat ibu, sayang. Kita dah nak balik.”
Amirah cuba mengambil Nasuha daripada Hakim. Masa yang
diberikan buat Hakim untuk melepaskan rindu buat Nasuha
sudah memadai, fikirnya. Namun Amirah sedikit tersentak
apabila anaknya itu menggeleng tidak mahu. Semakin kejap
pelukan tangan kecil itu di leher Hakim.
“Sayang, jangan macam tu. Jom kita balik.
Suha budak baik, kan? Nanti ibu bagi susu.” Sekali lagi
Amirah mencuba. Susu terpaksa dijadikan umpan untuk
merenggangkan pelukan erat itu. Lagipun sudah hampir
dua jam anak itu tidak diberikan susu. Tentu dia sudah lapar
benar.
Telahan Amirah benar. Mudah sahaja tubuh kecil itu
beralih ke dalam dukungannya pula. Wajah Hakim ternyata
kecewa. Berat benar rasa hatinya hendak melepaskan Nasuha.
Tapi dia terpaksa.
“Abang minta maaf bagi pihak Sofiana tadi,” ujar
Hakim dengan nada penuh rasa bersalah.
“Tak apa,” balas Amirah pendek. Malas dia hendak
memanjangkan semua itu. Akhirnya dia jua yang sakit hati.
“Mira maafkan abang, ya? Ikut abang balik rumah
kita. Bina semula rumah tangga kita.”
Amirah menggelengkan kepala. “Sudahlah bang.
Kisah kita sudah tamat!”
“Siapa kata? Mira masih isteri abang yang sah. Suha
tu anak kita.” Hakim kembali bernada tegas tetapi masih
kedengaran perlahan. Terpaksa menjaga perlakuannya
kerana sedar mereka berdua sedang diperhatikan oleh teman
Amirah dan anak mereka.
“Ooo... kalau itu yang mengikat kita sekarang,
senang saja. Abang ceraikan Mira!” Kata Amirah tanpa berfikir
panjang. Kala itu tentu sahaja bergegar tiang Arasy kerana
seorang isteri sedang menuntut cerai daripada suaminya.
“Astaghfirullaha'zim... Mira! Mira sedar tak apa yang
Mira cakap ni?” Terkejut Hakim dengan permintaan Amirah
yang tidak disangka-sangka. Marissa yang masih berada
di dalam kereta juga nyata terkejut. Begitu mudah Amirah
meminta perpisahan.
“Mira sedar bang. Mira masih waras. Mungkin itu yang
lebih baik untuk kita.” Ujar Amirah selamba. Tiada langsung
riak bersalah di wajahnya. Itulah yang mengecewakan Hakim.
“Baik? Baik macam mana Mira? Dengan memutuskan
hubungan yang halal ni? Dengan memisahkan kasih sayang
ayah dan anaknya? Itu yang Mira kata baik?”
“Ya! Memang itu yang terbaik. Mira sedar Mira
orang ketiga dalam hubungan abang dan Sofiana. Jadi bila
kita bercerai, abang boleh teruskan hidup abang dengan dia
tanpa gangguan. Dan Mira pun boleh teruskan hidup dengan
orang lain.”
Hakim memandang wajah Amirah dengan renungan
yang tajam dan sarat dengan persoalan. Kata-kata akhir
Amirah sebentar tadi menambahkan rawannya.
“Dengan orang lain? Dengan siapa? Mira dah ada
pengganti abang?”
“Ada pengganti atau tidak, itu semua tak penting.”
“Penting bagi abang Mira. Mira kena ingat, Mira tu
masih isteri abang. Jangan cuba-cuba nak main kayu tiga
belakang abang.” Hakim memberikan amaran tegas. Terasa
cemburu naik ke kepala. Dalam tempoh beberapa bulan
terpisah, pelbagai perkara boleh berlaku. Adakah isterinya itu
sudah mempunyai teman baru? Kalau tidak, masakan Amirah
boleh berubah sebegini.
“Jangan cuba-cuba nak main kayu tiga konon. Habis
abang dengan Sofiana tu macam mana pula, hah? Abang lagi
teruk. Abang main kayu tiga belakang Mira. Alih-alih Mira
dapat berita yang abang dah kahwin. Macam mana perasaan
Mira waktu tu, boleh abang bayangkan tak?”
Terdiam Hakim ditempelak isterinya. Dalam hati
mengakui kesilapan diri. Jika dibandingkan dengan apa yang
dia telah dilakukan dahulu, memang melampau. Mabuk cinta
terhadap Sofiana sehingga lupa anak dan isteri. Dan sekarang
dia sedang menanggung akibatnya.
“Abang minta maaf Mira. Abang sedar abang silap.”
Nada suara Hakim berubah lembut. Dalam keadaan begini,
kenapa dia masih mahu menyakiti hati isterinya? Sepatutnya
Amirah perlu dipujuk dengan lemah lembut. Tapi lain pula
yang terjadi. “Sebab tu abang nak bawa Mira balik ke rumah
kita. Abang nak tebus semua kesilapan abang. Kita balik ya,
sayang?”
Amirah menggelengkan kepala.
“Semua tu tak mudah bang. Bagaimana dengan
Sofiana? Abang fikir dia mahu berkongsi abang dengan Mira?
Dia tak akan pernah mahu, abang. Abang dah dengar sendiri
kan tadi?”
“Soal Sofi, Mira jangan risau. Tahulah abang nak
memujuknya nanti. Yang penting sekarang, Mira ikut abang
balik.” Pujuk Hakim bersungguh-sungguh. Butir bicara
Amirah sebentar tadi seakan memberikan sinar baru buat
dirinya. Apa yang dilakukannya sekarang adalah untuk terus
memujuk Amirah supaya percaya dengan dirinya.
“Tak mudah bang. Orang macam Sofiana tu sanggup
lakukan apa sahaja untuk memisahkan kita berdua. Dan Mira
nak abang tahu, Mira pun tak mahu dimadukan. Biarlah
orang nak kata Mira pentingkan diri atau apa saja, Mira tak
peduli. Kalau Mira tak dapat, lebih baik kita berpisah.”
Hakim memandang Amirah dengan riak tidak
percaya. Terasa kusut fikirannya saat ini. Amirah sedang
memberikan kata dua. Sama ada mahu meninggalkan Sofiana
atau dia sahaja yang akan pergi. Dan dia yakin kata-kata
Amirah itu ada benarnya juga.
Sofiana tidak akan bersetuju dengan hubungan
mereka. Kadang-kadang dia berasa hairan dengan
sikap Sofiana. Sebelum kahwin dahulu dia begitu
bersungguh-sungguh menyatakan kesanggupan untuk hidup
bermadu. Juga begitu bersungguh-sungguh memberikan
persetujuan supaya Hakim dapat melebihkan Amirah di
peringkat awal perkahwinan mereka. Itu semua dilakukan
untuk mengambil hati isteri pertamanya itu.
Selepas kepercayaan daripada Amirah diperolehi,
dia akan bertindak adil terhadap kedua isterinya itu. Tetapi
lain pula yang terjadi. Sofiana sering menjadikan alahan di
peringkat awal mengandung sebagai alasan untuk memanggil
Hakim pulang ke rumah. Dan Hakim tiada pilihan melainkan
menuruti. Tetapi apabila sampai ke rumah, dilihatnya isteri
keduanya itu sihat-sihat sahaja.
“Kenapa? Susah nak buat keputusan, kan? Mira
yakin abang juga tak nak tinggalkan isteri abang tu, kan?
Maklumlah, cinta pertama! Susah nak dilupakan. Sebab
tu Mira tak nak abang buat keputusan. Biar Mira saja yang
berundur.”
“Tak, jangan buat keputusan terburu-buru Mira.
Banyak cara lain lagi kita boleh lakukan untuk selesaikan
masalah kita ni. Asalkan Mira mengikhlaskan hati, kita akan
dapat bahagia bertiga.”
Kata-kata Hakim membuatkan hati Amirah tiba-tiba
panas.
“Mira yang patut mengikhlaskan hati? Kenapa
Mira? Kenapa bukan Sofiana atau abang sendiri? Selama ni
ada Mira bersuara tak puas hati bila abang kahwin lagi? Ada
Mira pergi serang Sofiana? Tak ada bang. Malah, Mira yang
mengikhlaskan hati menerima kecurangan abang pada Mira.
Mira reda. Tapi nampaknya keredaan Mira tu masih tak cukup
untuk abang, kan? Abang nak suruh Mira reda macam mana
lagi? Reda abang abaikan Mira? Reda biarkan abang bermalam
setiap hari di rumah isteri kedua abang? Macam tu ke baru
dikira mengikhlaskan hati? Hah???”
Hakim terdiam diherdik begitu. Mujurlah Nasuha
sudah diambil teman Amirah sebentar tadi. Kalau tidak, tentu
anaknya itu akan menangis mendengarkan suara ibunya yang
meninggi. Nampaknya dia tersilap kata. Kata-kata berupa
pujukan sebentar tadi telah menaikkan suhu kemarahan
Amirah kepadanya. Dia tidak bermaksud begitu. Dia punya
maksud lain di sebalik kata-katanya sebentar tadi. Tapi
bagaimana harus diterangkan kepada isterinya itu? Dia
sendiri tidak tahu bagaimana hendak menyusun kata-kata.
“Dahlah bang, Mira nak balik.” Kata Amirah,
lalu melangkah untuk ke tempat duduk pemandu. Sudah
lama rasanya dia di situ. Sekarang dia perlu pulang untuk
meredakan kemarahannya itu.
“Nanti dulu Mira, kita belum habis berbincang,”
tahan Hakim. Dia tidak mahu isterinya itu pergi dengan
membawa rasa sakit hati. Mereka perlu mencapai kata sepakat.
Kalau Amirah pergi begitu sahaja, bagaimana dengan rumah
tangga mereka? Takkan hendak dibiarkan sepi begitu sahaja?
“Nak bincang apa lagi abang? Semuanya dah
selesai. Itu sahaja jalannya. Kita bercerai. Mira tak mahu
menyusahkan sesiapa lagi.”
“Tak, abang tak akan ceraikan Mira!!!”
“Terpulanglah abang. Abang buatlah keputusan
abang sendiri. Semuanya terletak pada tangan abang
sekarang. Mira pergi dulu.”
Hakim bertambah kalut. Kali ini dia memang sedang
melihat Amirah sedang menghampiri keretanya. Wanita itu
benar-benar ingin meninggalkannya lagi.
“Mira, nanti dulu. Boleh tak Mira bagi alamat dan
phone number Mira?” pinta Hakim. Ya, memang itu perkara
yang sepatutnya Hakim minta dari tadi. Tanpa semua itu,
peluangnya untuk bertemu dengan isterinya tidak akan
pernah ada lagi.
Amirah memandang suaminya sekilas sebelum
berlalu meninggalkan suaminya di situ. Permintaan Hakim
hanya dibiarkan sepi. Sekali lagi Hakim kehampaan. Hendak
mengejar, dia tidak berdaya. Hendak memaksa pula, tidak
sanggup. Bimbang hati isterinya akan lebih terluka. Oleh itu,
perkara yang boleh dilakukannya hanyalah melihat isterinya
mengeluarkan kereta dari tempat parkir.
‘Selepas ini bagaimana hendak abang hubungimu,
sayang? Kenapa Mira nak tinggalkan abang lagi?’ rintihnya
dalam hati. Hakim seakan berputus asa. Namun ada sesuatu
yang pelik sedang berlaku. Matanya terpaku kepada rakan
Amirah yang duduk di sebelah tempat pemandu. Wanita itu
sedang mengenyitkan mata kepadanya sambil menunjukkan
isyarat pada kad yang sedang dipegangnya.
Hakim tidak memahami. Perilaku gadis itu
seakan-akan sedang mengelak daripada pengetahuan
Amirah yang sedang sibuk mengundurkan kereta. Kad
tersebut tiba-tiba sahaja dilontarkan keluar daripada kereta.
Dengan pantas, Hakim mendapatkan kad itu lalu memeriksa
kandungannya. Marissa Bt Sharkawi!
Saat itu hatinya berbunga riang. Kad itu mungkin
merupakan kad perniagaan teman Amirah tadi. Dalam hati
dia amat berterima kasih kepada rakan Amirah itu. Mungkin
teman Amirah ini dapat membantu dirinya. Senyuman tidak
lepas dari bibirnya apabila mengenangkan hubungannya
dengan Amirah yang layu suatu ketika dahulu akan kembali
mekar.
Hakim pantas memasukkan kad itu ke dalam kocek
seluar untuk mengelakkan daripada diketahui Sofiana.
Bimbang sekiranya isteri keduanya itu bertindak merosakkan
kad itu. Dia juga yang akan putih mata. Tanpa dia sedar,
perlakuannya sudah lama diperhatikan oleh Sofiana.
“Jangan ingat aku akan biarkan kau berdua bersama
semula. Sampai ke mati aku takkan biarkan. Hakim milik aku
seorang!!! Aku akan musnahkan satu-satunya jalan untuk
Hakim kembali kepada Amirah! Kau memang silap Amirah
kerana cari pasal dengan aku!!!”

No comments:

Post a Comment