Tuesday, 9 August 2016

Kau Yang Kunanti - Bab 8

AMIRAH ingin berlalu ke dapur sebaik sahaja
menyerahkan Nasuha kepada Hakim. Suaminya itu
kelihatan tidak sabar benar hendak mengambil Nasuha dari
dukungannya. Belum pun punggung mencecah sofa, tangan
dihulurkan kepada Nasuha. Sudah tentu anak yang kelihatan
girang dengan kehadiran abahnya itu terus menyuakan
tangan minta didukung.
Entah mengapa, melihatkan perilaku Hakim kepada
anak mereka membuatkan jiwanya resah. Prasangka-prasangka
tidak elok mula menerjah minda. Bagaimana jika apa yang
difikirkannya sebelum ini benar? Oh Tuhan, janganlah itu
terjadi. Tidak sanggup dia berjauhan dengan satu-satunya
puteri kesayangannya itu. Dalam hati, dia berdoa semoga apa
yang difikirkan tidak terjadi dan kedatangan Hakim bukan
untuk merampas Nasuha daripadanya.
“Tak nak salam abang ke? Selalunya Mira tak pernah
lupa nak salam abang.” Teguran Hakim menghentikan langkah
kaki Amirah yang baru setapak dua maju meninggalkan ruang
tamu. Perlahan-lahan dia berpaling memandang Hakim yang
sedang tersenyum manis.
Untuk sesaat dua, Amirah hanya terpaku di tempat
dia berdiri. Hanya mampu untuk terus memandang ke arah
wajah yang sudah hampir dua minggu tidak ditatapi. Sudah
lama benar dia tidak melihat senyuman itu. Terlalu lama.
Semenjak suaminya itu berkahwin lagi, dia sudah tidak
mampu untuk terus menatapi wajah itu. Hatinya terluka!
Di depan Hakim dia berpura-pura ceria, sedangkan
hatinya menangis. Namun, saat Hakim menghulurkan
tangan, dia terpaksa menyambut jua. Jemari kasar suaminya
itu dikucup lembut. Memang itu yang sepatutnya dilakukan
oleh seorang isteri. Sepanjang mereka menjadi suami isteri,
dia tidak pernah lupa untuk menyalami suaminya setiap kali
bertemu dan berpisah.
Amirah berkira-kira ingin cepat berlalu selepas
menyalami suaminya itu. Tetapi sebaik sahaja mengangkat
kepala, dia sedikit tergamam apabila Hakim memegang
belakang kepalanya lalu di tarik rapat ke bibir. Dahi Amirah
dicium mesra.
“Emm... wanginya isteri abang. Sayang masih pakai
perfume yang abang hadiahkan tu?”
Amirah yang masih kaget pantas menggelengkan
kepala. Tanda menafikan telahan suaminya itu.
“Tapi baunya sama. Abang masih ingat lagi
harumannya,” ujar Hakim. Sesungguhnya dia yakin
haruman yang melekat di tubuh Amirah itu haruman yang
dia hadiahkan pada hari ulang tahun kelahiran isterinya itu.
“Memang haruman yang sama. Tapi yang abang
hadiahkan dah habis. Mira beli yang baru,” jelas Amirah.
Sengaja tidak mahu Hakim berfikir yang dia masih
menyayangi pemberian suaminya itu.
Hakim tersenyum mendengarnya. Terlupa sudah,
hampir empat tahun usia perkahwinan mereka. Tentulah
sudah habis.
“Tapi tetap haruman yang sama, kan? Tu tandanya
Mira masih menghargai pemberian abang.”
Isterinya itu hanya mendiamkan diri. Tidak mahu
mengulas apa-apa. Malah tiada reaksi yang dapat dibaca
di wajah itu. Dia sedar Amirah masih marahkan dirinya
kerana memaksanya sebentar tadi. Tapi itu semua tidak
melemahkannya untuk terus memujuk isterinya itu.
“Abang duduklah dulu. Mira nak buat air.”
Pelawaan Amirah disambut Hakim dengan
senyuman. Dia hanya memerhati langkah isterinya ke dapur.
Hatinya sedikit terusik dengan pakaian yang melekat di tubuh
isterinya itu. Amirah hanya mengenakan gaun malam paras
tumit yang dia kira agak nipis dan seksi. Cuma bahagian
atas telah ditutupi oleh kardigan berwarna putih. Mungkin
dikenakan sebelum keluar untuk membukakan pintu tadi.
Amirah ternyata telah melakukan perubahan yang
dia kira agak drastik. Sepanjang dua tahun berkahwin, belum
pernah dia melihat isterinya itu mengenakan gaun malam
sebegitu. Isterinya itu lebih gemar mengenakan pijama apabila
malam menjelma. Pernah dia berniat mahu membelikan
gaun malam untuk Amirah, tapi ditolak mentah-mentah oleh
isterinya itu. Alasan yang diberikan, segan.
Hakim menarik nafas dalam. Rasa yang sebentar
tadi menyelubungi hati cuba diusir jauh-jauh. Tujuan utama
dia ke sini adalah untuk memujuk isterinya itu pulang ke
rumah. Bukan memikirkan perkara-perkara lain yang boleh
merosakkan rancangannya itu.
“Hai, anak abah. Sayang sihat? Kenapa tak tidur lagi
ni? Tengok, dah pukul berapa tu?” Hakim mula berbicara
dengan Nasuha. Perhatiannya perlu dialihkan. Anaknya itu
kelihatan riang benar ditegur begitu. Segala mainannya
diberikan kepada Hakim satu per satu. Tanda mahu mengajak
abahnya itu bermain bersama.
Hakim yang ternyata memahami kehendak anaknya
itu segera mengangkat Nasuha dan diletakkan di ribaannya.
Pipi anak kecil itu dikucup bertalu-talu sebelum menemani
Nasuha bermain. Suaranya dan suara Nasuha berselang-seli
meriuhkan ruang tamu itu. Nasuha ternyata gembira dengan
kehadiran Hakim. Dia kelihatan ceria benar. Semua itu
mengingatkan Hakim pada keadaan Amirah dan Nasuha
ketika bersendirian tanpanya di sisi. Bagaimana agaknya
isterinya menguruskan Nasuha seorang diri?
Tiba-tiba Hakim terasa sayu. Semua ini salahnya.
Kalaulah dia tidak berbuat onar, tentu Nasuha tidak akan
kehilangan kasih sayang seorang ayah berbulan-bulan
lamanya. Namun melihatkan kehidupan yang dijalani Amirah
dan Nasuha sekarang, dia yakin isterinya itu telah melakukan
pengorbanan yang besar untuk menyara kehidupan mereka
berdua.
Amirah telah bekerja. Sesuatu yang telah lama
dia tinggalkan semenjak bergelar isteri. Bukan dia tidak
membenarkan, tetapi Amirah yang merelakan diri untuk
menjadi suri rumah demi menguruskan rumah tangga
mereka dulu. Dia juga berharap wang yang didepositkan
setiap bulan ke akaun Amirah mencukupi untuk perbelanjaan
mereka berdua. Amirah sudah menjauh dari sisinya. Itulah
saja yang mampu dia lakukan untuk terus melunaskan
tanggungjawabnya sebagai suami.
Sementara itu di dapur, Amirah memasang telinga
sambil duduk menunggu air mendidih. Bergenang air
matanya saat mendengar keriuhan suara Hakim dan Nasuha
bermain bersama. Hakim masih sama perwatakannya.
Seorang ayah yang sangat penyayang. Perhatian buat anak
mereka tidak pernah kurang. Walaupun penat bekerja, dia
tidak akan lupa untuk melayan anaknya itu bermain. Selepas
berkahwin dengan Sofiana, dia tetap akan pulang ke rumah
barang seketika untuk menjenguk mereka sebelum kembali
ke rumah Sofiana.
Bagi pihak anak sekecil itu, perhatian yang
ditunjukkan oleh abahnya sudah cukup. Kanak-kanak tidak
banyak pintanya. Tapi bagi dirinya? Seorang isteri sepertinya?
Apakah itu memadai? Tentu sahaja tidak. Hakim tidak adil
berbahagi kasih dan perhatian buat dirinya. Dan semua itu
tidak mungkin diterima oleh mana-mana isteri pun. Dia
yakin itu.
Amirah pantas bangun menyediakan minuman
sebaik sahaja air mendidih. Kalau diikutkan hatinya, malas
benar dia hendak bermurah hati begini. Tapi dia lagi malas
hendak menatap wajah Hakim pada saat hati yang panas
begini. Jadi ini mungkin saja caranya untuk dia melarikan
diri sementara menenangkan hatinya yang sedang marah.
Minuman yang telah siap dibawa ke depan lalu
diletakkan di atas meja kopi. Agak canggung langkah yang
diatur apabila mata Hakim tidak lepas daripada memandang
wajahnya.
“Jemput minum, bang,” pelawa Amirah. Cawan
berisi minuman ditolak menghampiri Hakim.
Hakim tersenyum menyambut huluran isterinya
itu. Dalam hati berlagu riang. Walaupun Amirah marahkan
dirinya, tetapi wanita itu masih mahu menyediakan minuman
untuknya. Dalam degil terserlah kelembutan isterinya itu.
“Thanks, sayang.”
Tiada balasan dari bibir Amirah. Telinganya seakan
mual dengan panggilan ‘sayang’ itu. Kalau dahulu dia cukup
gemar dipanggil begitu, tapi tidak kini.
Amirah hanya memerhati Hakim menghabiskan
minuman yang dihidangkan. Mungkin suaminya itu haus
benar. Sekali teguk sahaja, habis secawan teh dikerjakan.
“Teh yang sayang buat ni masih sedap macam dulu.
Dah lama abang tak rasa,” puji Hakim.
Namun pujian itu hanya mengundang cebikan kecil
di bibir Amirah. Ternyata dia tidak senang dengan pujian
itu. Baginya pujian itu hanya datang daripada lelaki yang
bermulut manis.
“Suha, mari dekat ibu sayang. Dah pukul berapa ni.
Suha kena tidur.” Amirah memanggil anaknya yang masih
dalam ribaan abahnya. Anak itu sudah kelihatan mengantuk
benar. Matanya sudah memerah. Namun mungkin dek kerana
rindukan Hakim, rasa mengantuk itu dilawan.
“Sayang, abang baru saja datang. Rindu dengan
Suha pun tak habis lagi ni. Berilah peluang abang nak main
dengan dia sekejap. Kejap lagi abang tidurkan Suha, ya?”
pinta Hakim. Baru setengah jam dia bersama dengan anaknya
itu. Dia belum puas bermain dengan Nasuha. Kerinduan yang
ditahan begitu lama tidak akan mampu terbalas hanya dalam
masa tiga puluh minit.
“Dah lewat. Suha perlu tidur,” balas Amirah.
“Abang tahu. Tapi tak apalah kalau malam ni dia
tidur lewat sikit. Abang tengok Suha pun macam nak main
lagi. Kesian dia,” ujar Hakim pula.
“Suha tak boleh tidur lambat. Kalau lambat sangat,
takut dia tak boleh tidur pulak. Dia memang selalu macam
tu.”
“Ya sayang, abang tahu. Abang kan abahnya. Mestilah
abang dah masak benar dengan perangai anak kita sorang ni.
Tak apa... kalau dia tak boleh tidur malam, biar abang sajalah
yang dodoikan dia sampai dia tidur. Mira tidurlah dulu.
Tinggalkan Suha dengan abang, ya?”
Amirah mengerutkan dahi. Kata-kata Hakim jika
diteliti seakan punya maksud tersirat.
“Kenapa pula abang nak tolong tidurkan Suha? Are
you planning to spend the night here?”
Hakim tersenyum mendengar pertanyaan Amirah.
Baguslah kalau isterinya faham maksud kedatangannya itu.
“Tak salah kalau abang bermalam dekat sini, kan?”
“Salah!” Kata-kata tegas Amirah membuatkan
Hakim terkejut. Isterinya itu kelihatan marah. Sedangkan
tadi Amirah kelihatan sudah boleh berbicara dengannya
dengan nada lembut. Apabila soal bermalam disebut, terus
isterinya itu berubah rentak. Dia fikir, tidak salah kalau dia
bermalam di situ. Mereka masih suami isteri. Agama pun
tidak melarang.
“Kenapa salah pula? Abang masih suami Mira. Tak
salah, kan?”
“Pada Mira salah!” Kata Amirah tanpa memandang
wajah suaminya.
“Tapi kenapa? Dah lama kita tak bermalam bersama,
kan?”
Kali ini Amirah membuang pandang ke wajah Hakim
dengan pandangan penuh kebencian.
“Salah siapa tu?”
“Mira... jangan macam ni sayang. Okey, abang
mengaku memang abang salah. Tapi sayang boleh bagi
peluang dekat abang sekali lagi, kan?”
“Peluang untuk apa? Peluang untuk abang sakitkan
hati Mira lagi? Dahlah bang, Mira bukan bodoh. Kalau dulu
bolehlah.”
Hakim melepaskan keluhan kecewa.
“Kenapa Mira berubah sampai macam ni sekali?
Mira tak pernah macam ni dulu. Mira yang ada depan abang
sekarang ni dah jauh sangat berubah. Kadang-kadang abang
rasa Mira bukan isteri abang.”
Amirah tersenyum cuma.
“Baguslah kalau macam tu. Baguslah kalau abang
rasa Mira ni bukan isteri abang yang dulu. So, lepas ni tak
payahlah abang susah-susah nak datang sini melawat Mira.
Mira baik-baik saja kat sini.”
Amirah bangun lalu mengambil Nasuha di dalam
dakapan Hakim. Anak itu kelihatan seperti tidak mahu
melepaskan pelukan abahnya. Tetapi Nasuha tidak membuat
kerenah. Anaknya itu ternyata anak yang baik. Tidak pernah
menyusahkan dirinya.
“Mira betul-betul dah berubah.” Kata Hakim lagi.
Sengaja memancing perhatian Amirah yang sedang berjalan
menghampiri tangga. Seperti yang diinginkan, kata-katanya
berjaya menghentikan langkah isterinya itu. Amirah
berpaling menghadapi Hakim.
“Ya, memang Mira dah berubah! Amirah yang
ada depan mata abang sekarang ni bukan Amirah yang
dulu. Yang boleh abang belakangkan, yang boleh abang
perkotak-katikkan, yang boleh abang perbodohkan, yang
boleh abang ambil kesempatan! Itu bukan diri Mira lagi.
Amirah yang ini adalah Amirah yang sudah tinggalkan
sifat-sifat bodoh tu! So, kalau abang ingat abang boleh
pergunakan Mira lagi, abang silap! I’m not that stupid!” ujar
Amirah dengan nada marah yang ditahan-tahan. Bimbang
sekiranya anaknya menangis pula jika dia meninggikan suara.
Lagipun adalah tidak wajar anak sekecil itu telah dihidangkan
dengan pertengkaran mereka berdua.
Hakim mengeluh lagi. Ya, memang benar seperti
yang dikatakan Amirah. Wanita yang berada di hadapannya
ini memang sudah berubah. Amirah sudah pandai berbalas
kata dengannya. Juga sudah pandai meninggikan suara
apabila bercakap dengannya. Malah seulas bibir yang cantik
itu sudah malas mengukirkan senyuman buat dirinya. Semua
itu berpunca daripada kesilapan yang telah dia lakukan.
Perlahan-lahan dia bangun menghampiri Amirah. Wajah
isteri yang dicintainya itu direnung lembut.
“Sayang, abang menyesal. Disebabkan abang, Mira
berubah sampai macam ni sekali. Abang tahu, sukar untuk
Mira lupakan semua tu. Apatah lagi memaafkan abang.”
Hakim berjeda seketika. “Abang tak akan memaksa Mira lagi
untuk pulang ke rumah. Ambillah seberapa banyak masa
yang Mira nak. Abang sanggup tunggu. Tapi... cuma satu
yang abang minta, tolonglah jangan halang abang untuk
terus menjalankan tanggungjawab abang sebagai seorang
suami dan ayah.”
Amirah membalas pandangan mengharap Hakim.
“Apa maksud abang?”
“Mira dan Suha masih di bawah tanggungjawab
abang. Sudah berbulan-bulan lamanya abang tak berpeluang
nak menjalankan tanggungjawab abang pada Mira dan Suha.
Cuma wang saja yang mampu abang kirimkan setiap bulan.
Tapi abang tahu, semua tu tak cukup tanpa kasih sayang.
Abang faham kalau Mira tak boleh terima abang lagi. Cuma
tolonglah... jangan pisahkan abang dengan Nasuha. Dia anak
abang jugak. Dia perlukan perhatian abahnya.”
“Jadi, apa yang abang nak?”
“Izinkan abang melawat Suha di sini setiap hujung
minggu? Abang sayangkan dia. Abang tak nak dia lupakan
abahnya gara-gara masalah kita ni. Walau apa pun yang
terjadi, pertalian antara abang dan Suha takkan terputus,”
ujar Hakim sambil memandang Nasuha yang berada di dalam
dukungan Amirah. Anaknya itu kelihatan sudah terlentok
di bahu ibunya. Cuma matanya saja masih belum pejam.
Mungkin sekejap lagi dia akan terlena.
Untuk beberapa ketika, Amirah hanya mendiamkan
diri. Cuba memikirkan rasionalnya dia menyetujui
permintaan Hakim itu. Kalau diikutkan, dia memang tidak
punya hak untuk menghalang. Hakim berhak. Cuma hatinya
saja yang enggan. Dia tidak mahu anaknya itu rapat dengan
Hakim. Dia bimbang jika Hakim berjaya memujuk Nasuha
untuk tinggal dengannya, bagaimana dengan dirinya nanti?
‘Ah, Mira! Kau terlalu berprasangka. Kau ibunya.
Sudah tentu kasih seorang ibu tidak akan mampu terbalas
dengan kasih seorang ayah. Nasuha tidak mungkin akan pilih
dia. Tidak ada sebab untuk dia pilih abahnya.’
“Sayang... boleh, kan?”
Hakim sudah tidak sabar menunggu. Dia berharap
benar Amirah dapat bertolak ansur dalam hal ini.
“Nantilah, Mira fikirkan dulu.”
PEN DI tangan dipusing-pusingkan sesuka hati. Tubuhnya
pula enak disandarkan ke kerusi. Sudah hampir 2 jam waktu
bekerja bermula. Tapi satu kerja pun tidak mampu dia
lakukan. Sedari semalam dia memikirkan permintaan Hakim
itu. Wajarkah dia memberikan kebenaran?
Kata-kata Hakim ada benarnya juga. Anak itu
memerlukan kasih sayang daripada ibu dan abahnya. Jika
terbayangkan wajah riang Nasuha ditemani Hakim semalam,
dia tidak sampai hati. Tapi jika dia membenarkan, bimbang
pula sekiranya itu semua akan memberikan peluang untuk
Hakim terus memujuknya pulang. Biar pun semalam
suaminya itu mengatakan dia tidak akan memaksa, tapi
Amirah yakin Hakim tidak akan mempersiakan peluang yang
ada.
Ah, lagi difikir lagi kusut fikirannya! Kerjanya
juga tidak selesai. Kalaulah Encik Faris tahu, mahunya dia
dibahasakan lelaki itu. Bukan dia tidak tahu, bosnya itu
begitu pantang melihat pekerja yang curi tulang sepertinya.
Tapi untuk memulakan tugas, dia perlukan sesuatu untuk
menyegarkan fikiran. Lalu, mug yang sengaja diletakkan di
almari belakang mejanya dicapai. Pantri destinasinya saat
ini. Dia mahu menyediakan minuman. Sedari pagi belum ada
satu makanan dan seteguk minuman yang masuk ke dalam
perutnya. Masalah yang melanda membuatkan dia kenyang
dengan serta-merta.
Sebaik sahaja memasuki pantri, Amirah agak pelik
kerana bosnya berada di situ. Sedang menikmati minuman
sambil membaca surat khabar. Selalunya setiausaha Faris
yang akan menyediakan minuman. Tapi kenapa Faris
menyediakannya sendiri hari ini? Nampaknya bosnya juga
sedang curi tulang.
“Hai Amirah, nak buat minuman ke?” tegur Faris
kepada pekerjanya.
Amirah tersenyum sambil menganggukkan kepala.
“Ya, bos. Tiba-tiba dahaga pula. Bos kenapa buat
minuman sendiri hari ni? Anita mana?” ujar Amirah sekadar
berbasa-basi. Dia tidak bimbang untuk berbual dengan
bosnya itu. Faris seorang bos yang peramah dengan semua
pekerja bawahannya.
“Dia ada. Terasa nak sediakan sendiri pula hari ni.
Tak salah, kan?”
“Saya tak cakap salah pun. Just asking,” balas Amirah
sambil menyediakan minuman kegemarannya. Nescafe susu.
“Emm... sedapnya bau,” kata Faris tiba-tiba. Aroma
Nescafe susu yang menusuk ke hidung membuatkan
seleranya pada minuman itu tiba-tiba terbuka.
“Nescafe bos, memang semerbak baunya.”
“Mungkin juga. Tapi if you don’t mind....” Faris
menyuakan mugnya yang sudah kosong kepada Amirah.
Amirah pelik dengan perbuatan Faris itu. Namun
saat matanya merenung ke wajah Faris yang seperti meminta
sesuatu, dia sudah bisa menangkap maksudnya. Dengan
senyuman juga, Amirah mengambil mug di tangan Faris lalu
mula menyediakan Nescafe susu untuk bosnya itu.
“Kan bos dah minum tadi.”
“Salah youlah... sengaja nak menggoda I dengan
minuman tu. Lagipun sesekali nak rasa minuman yang you
buat, apa salahnya, kan?”
Tersenyum Amirah menyambut gurauan Faris.
“Nah, bos.” Amirah meletakkan mug kepunyaan
Faris ke atas meja. Kemudian, dia berlalu untuk kembali ke
bilik pejabatnya.
“You nak ke mana tu?”
Amirah berpaling. “Balik ke bilik saya la bos.”
“Alah, duduklah sini dulu temankan I.”
Pelik Amirah dengan permintaan Faris itu. “Nanti
bos kata saya curi tulang pula.”
“Bukan you dah memang curi tulang ke tadi?”
Terangkat kening Amirah. Alamak, nampaknya
Faris sudah nampak apa yang dilakukannya sebentar tadi.
Bilik bercermin begitu, apalah sangat dapat disembunyikan.
Akhirnya Amirah hanya tersengih malu.
“Come, have a seat. Sesekali minum berteman, apa
salahnya, kan? Boleh jugak kita borak-borak.”
Amirah menurut. Kerusi di hadapan Faris ditariknya.
Kemudian dia duduk sambil memandang wajah bosnya itu.
Menanti bicara Faris.
“So, apa khabar Nasuha?”
“Dia baik, alhamdulillah,” jawab Amirah. Sudah
kerap benar Faris bertanya tentang Nasuha.
Faris telah diperkenalkan kepada anaknya sewaktu
mereka terserempak di Taman Tasik Titiwangsa. Ketika itu
dia dan Marissa sedang membawa Nasuha bersira-siar. Lelaki
itu berseorangan dan akhirnya Faris menyertai mereka.
Sepanjang berada di sana, lelaki itulah yang melayani kerenah
Nasuha. Bosnya itu kelihatan seperti sukakan kanak-kanak.
Itulah kali pertama Faris melihat Nasuha. Tidak ada lagi
pertemuan selepas itu.
“Comel betul anak you tu. Rindu pulak I dengan dia.
I hope I can see her again.”
“Yeah, sure. Tapi kesian pulak dekat bos kena layan
dia. Suha tu lasak sikit. Tapi dia tak banyak kerenah.”
“I know. Hari tu pun dia baik sangat dengan I. That’s
why I like her. Tak macam budak-budak lain. Belum I dekat,
dah lari.”
Tergelak Amirah dengan cerita Faris itu.
“Agaknya diaorang tengok muka bos tu menakutkan
kut. Muka tak pandai layan budak-budak,” seloroh Amirah.
“Emm... I guess so. You tahulah I ni, ada dua beradik
saja. Ada kakak yang dah kahwin pun menetap di London
sana. Manalah I biasa dengan budak-budak ni. But that day, I
managed to be a father, right?”
A father? Wow! Jauh betul angan-angan Faris.
Mungkinkah naluri lelaki itu sudah terpanggil untuk
mempunyai anak sendiri?
“Kalau macam tu, bos kena kahwin cepat-cepatlah.
Nampaknya bos macam dah ready nak jadi ayah.”
“Nak kahwin macam mana Mira, calon pun tak ada.”
“Hai, orang macam bos ni takkan tak ada steady
girlfriend? Saya tak percayalah.”
“Kenapa, you ingat orang macam I ni girlfriend
keliling pinggang ke? I tahulah I ni tall and handsome. Tapi
tak bermakna semua perempuan I rembat. I ada taste tau.
Selagi tak memenuhi syarat I, bermakna orang tu takkan
berjaya ketuk pintu hati I.” Bicara Faris mengundang cebikan
di bibir Amirah. Perasanlah pula bos dia ni.
“Susahlah bos kalau macam tu. Kalau tak jumpa,
alamatnya bos tak kahwin sampai ke tualah.”
“I dah jumpa dah.”
“Really?” teruja Amirah tiba-tiba. Nampaknya tak
lama lagi merasalah dia makan nasi minyak bosnya itu.
Faris mengangguk sambil tersenyum manis.
Terserlah ketampanan lelaki itu.
“So, who is she? Saya kenal ke?”
Sekali lagi Faris menganggukkan kepala.
“You kenal dia.”
Amirah dilanda tanda tanya. Dia mengenali
perempuan yang berjaya mengetuk pintu hati bosnya itu?
Bermakna perempuan bertuah itu berada di pejabat ini? Tapi
siapa? Takkan Marissa kut? Isy, mengarutlah! Temannya itu
sudah bertunang. Faris pun tahu tentang itu.
“Siapa bos?”
“Adalah... nanti you akan tahu jugak,” jawab Faris
sambil tersenyum penuh makna.
Amirah hanya terdiam. Tidak mahu terus menyoal.
Bimbang dikatakan busybody pula. Apatah lagi renungan
mata Faris yang agak tajam kepadanya seakan-akan terus
mengunci bibirnya saat itu

No comments:

Post a Comment