Monday, 26 September 2016

Cinta Yang Tertunda - Bab 11

Terasa nikmatnya air teh o panas kurang
manis menuruni rengkungnya. Peluh kecil yang terbit di dahi
diseka dengan belakang tangan. Dia duduk melepaskan lelah
di kaki tangga kayu itu. Sebaik sahaja tiba tadi, dia merancang
mahu mengambil surat kemudian kembali ke Kuala Lumpur
secepat mungkin. Namun hasratnya mati apabila melihat
rumah yang sudah beberapa bulan ditinggalkan seperti
tongkang pecah. Laju saja tangannya mencapai penyapu yang
tersandar di dinding.
Jam Olympus hadiah pemberian Tengku Afnan yang
tersarung di pergelangan tangan dipandang sekilas. Sekarang
menghampiri 8 malam. Sempat lagi kut kalau dia nak kejar
bas terakhir ke Kuala Lumpur. Kemudian dia bingkas bangun.
“Hah, kau nak ke mana pula tu? Kelam-kabut
semacam saja?” tegur satu suara garau disusuli batuk kecil.
“Saya nak balik KL.” Ringkas. Sependek mungkin
dia menjawab. Entah kenapa dengan lelaki itu dia tak betah
berlama mahupun berbual mesra.
“Wah, berlagak kau sekarang ya sejak jadi orang
bandar ni.”
“Berlagak? Apa maksud pak cik ni?” soal Nasuha.
Marah dan benci kepada Pak Mail masih bersisa apabila
mengenangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan dan
kedukaan yang lelaki itu beri kepada arwah emaknya dahulu.
“Kau baru berapa jam dekat sini tapi dah nak balik
sana. Apa kau lupa ni rumah kau juga?”
“Pak cik…”
“Sudahlah Suha! Kau memang dah berlagak
sekarang ni. Maklumlah dapat suami orang kaya.”
“Kenapa cakap macam tu, pak cik?” Berdesing
telinganya apabila dituduh begitu.
“Kenapa? Salah ke apa yang aku cakap tu, Suha?”
“Memang salah. Semuanya salah. Suha tak pernah
rasa nak berlagak atau meninggi diri pun. Kaya dan berharta
tu suami saya. Milik dia bukan milik saya pun. Jadi untuk apa
saya perlu berubah?” Keras sedikit nada suara Nasuha.
“Pandailah kau cakap.”
“Terpulanglah pak cik nak kata apa.” Nasuha malas
hendak berbalah.
“Aku tak habis lagi ni. Kau nak ke mana pula tu?”
“Kemas barang-barang saya.”
“Esok siang sajalah balik. Kau tak kesiankan aku ni
ke Suha?” Nada keras bertukar lirih tiba-tiba.
Nasuha kerut dahi. Dah kenapa dengan lelaki itu?
Emosi berubah tiba-tiba.
“Tak boleh. Saya nak balik malam ni juga.” Nasuha
tetap berkeras.
“Malam dah ni. Bahaya tau kalau balik sorang-sorang.”
Nasuha berhenti melangkah. Di memandang wajah
tua lelaki itu untuk mencari keikhlasan.
“Aku tahu aku banyak buat silap sebelum ni.
Lukakan hati kau, lukakan hati mak kau. Tapi bagilah aku
peluang. Aku tak ada siapa-siapa lagi selain kau. Walaupun
kau bukan darah daging aku, tapi aku anggap kau macam
anak aku sendiri. Uhuk! Uhuk!” bicara lelaki itu terhenti
untuk melepaskan batuk.
‘Dah kenapa ni? Buang tabiat ke apa?’ Nasuha gosok
telinga. Macam tak percaya pula dengan apa yang baru
meluncur keluar dari mulut bapa tirinya itu.
“Aku bukan apa, Suha... dah lama tak jumpa kau.
Teringin nak berbual panjang dengan kau. Sejak mak kau
pergi, aku keseorangan dekat rumah ni. Sunyi sangat rasanya.
Sesekali bila kau balik rasa hilang sunyi aku ni ha. Dapat
juga ubat rindu aku ni pada mak kau bila tengok muka kau
tu, Suha,” sambung lelaki itu lagi dalam batuk yang masih
bersisa.
Nasuha serba salah. Batuk lelaki itu semakin
berpanjangan malah semakin kuat. Dari tegap berdiri kini
sudah tertunduk-tunduk menekan perut. Lelaki itu bersandar
namun cuma seketika sebelum tubuhnya terjelepok di atas
lantai.
Nasuha bulatkan mata. Dia tidak tahu sama ada
ingin membantu lelaki itu atau tidak. Namun akhirnya dia
mendekati lelaki itu.
“Ambilkan aku minyak angin tu,” arah Pak Mail
sebaik saja Nasuha menyentuh belakang badannya.
Minyak angin segera dicapai lalu dihulurkan kepada
Pak Mail.
“Sejak mak kau tak ada, macam inilah aku. Sendiri
dan tak terurus,” luah Pak Mail perlahan.
Nasuha hanya diam seribu bahasa. Tangannya pula
lincah menggosok belakang Pak Mail. Tiba-tiba dia jatuh
simpati kepada Pak Mail.
Tengku Afnan merebahkan badan di atas katil bersaiz
king itu. Rasa letih tubuhnya. Mata menatap siling manakala
tangan tak lepas memeluk baju tidur yang sering dipakai oleh
isterinya itu. Dia ketawa kecil tiba-tiba. Tak sangka dia akan
jadi seangau ini. Hebat betul penangan cinta Suha.
Telefon bimbit di atas meja kecil di tepi katil dicapai.
Nombor telefon isterinya didail. Lama menanti tapi panggilan
tak bersambung. Berkerut dahinya.
‘Isy, dia ni... handphone habis bateri ke apa? Kenapa
tak cas? Suka betul buat aku risau,’ bebel Tengku Afnan
dalam hati.
Jam di pergelangan tangan dipandang sekilas. Baru
pukul 11 malam. Takkan dah tidur? Awal betul. Dia masih
belum mandi dan masih dalam pakaian kerja. Mana taknya,
sebaik sahaja sampai di rumah, dia terus meluru masuk
ke dalam. Kononnya nak luah rindu dendam yang sarat
membuak dalam dada. Lupa yang Nasuha tiada.
Mata dipejamkan. Serta-merta dia terbayang
senyuman Nasuha yang manis. Tanpa sedar dia turut
tersenyum.
Tok! Tok!
Bunyi ketukan pintu membuatkan Tengku Afnan
kembali membuka mata.
“Ya?” soalnya. ‘Siapa pula tu? Ganggu sajalah. Baru
nak berangankan Suha.’ Hati membebel sedikit tak puas hati.
“Bonda ni.” Kedengaran suara Syarifah Azulia di
sebalik pintu.
“Ada apa bonda?” soalnya malas.
“Kamu okey ke Nan? Balik-balik saja terus berkurung.
Risau bonda.” Terjengul wajah wanita itu di muka pintu.
“Okey, bonda. Cuma Nan letih sikit. Nak rehat.”
Cepat-cepat baju Nasuha yang dipeluknya tadi disembunyikan.
Syarifah Azulia tersenyum. Macamlah dia tak
nampak apa yang cuba disembunyikan oleh Tengku Afnan
itu.
“Okey. Kalau macam tu kata kamu, bonda tak mahu
ganggu. Berehatlah. Kamu nak makan tak? Kalau nak, bonda
panaskan lauk-lauk yang ada tu.”
“Tak perlulah bonda. Nan kenyang lagi,” balas
tengku Afnan. Hakikatnya dia tiada selera. Mana mungkin dia
ada selera apabila ratu hatinya yang sangat dirindu tiada di
sisi.

No comments:

Post a Comment