Monday, 26 September 2016

Cinta Yang Tertunda - Bab 9

Terasa ingin saja dia memeluk tubuh yang
sedari tadi diam sambil memandang jauh. Dia sedar yang
masih ada batas yang menghalang pergaulan antara mereka.
“Terima kasih.” Dua patah perkataan itu tiba-tiba
meluncur keluar dari celah bibir Nasuha.
“Terima kasih untuk apa?” soal Tengku Afnan.
“Hadir pada saat sukar saya. Saya dah tak ada sesiapa
kat dunia ni.”
“Janganlah cakap macam tu, Suha. Awak masih ada
saya ni,” pujuk Tengku Afnan. Memang tepat andaiannya.
Sampai saja di kampung, dia terus menuju ke rumah gadis
itu. Dia terkejut apabila melihat rumah Nasuha dipenuhi
ramai orang. Bertambah terkejut apabila mendapat tahu Mak
Salwa baru saja pergi menyahut panggilan Ilahi.
Wajah gadis itu dicuri pandang dengan ekor mata.
Kehilangan orang tersayang memang memeritkan apatah
lagi orang yang pergi itu satu-satunya dahan yang menjadi
tempat bergantung dan berteduh selama ini. Kalau tak kuat
iman memang boleh sasau jadinya. Dia pasti memang tiada
kata-kata yang mampu meredakan keperitan itu melainkan
berlapang dada dan reda. Dia sendiri pernah rasa kehilangan
ketika arwah emaknya meninggal. Bezanya ketika itu dia
masih terlalu mentah untuk mengetahui makna sebuah
kehilangan.
‘Berat sungguh dugaan yang hadir pada dirimu kali
ini, Suha.’
“Saya tak tahu macam mana nak teruskan hidup
selepas ni. Emak segala-galanya buat saya. Bila emak dah
tak ada… saya tak tahu… saya betul-betul tak tahu…” ucap
Nasuha. Dia betul-betul tidak mampu untuk berfikir apa yang
akan dilakukan selepas ini. Dia langsung tak bersedia malah
tak pernah terfikir akan melalui hari ini. Terasa dunianya
kosong. Pandangan matanya gelap-gelita seolah-olah masa
depannya cuma ada lorong gelap.
“Suha, walau apa pun yang terjadi lepas ni, awak
mesti teruskan hidup. Saya percaya awak kuat. Mungkin
sekarang awak masih lagi dalam keadaan terkejut. Saya yakin
lepas beberapa hari, awak pasti akan dapat berfikir ke mana
hala tuju hidup awak selepas ni,” ucap Tengku Afnan.
“Semua impian saya musnah bila emak dah pergi.
Rasa seperti tak ada gunanya teruskan hidup ni.”
“Syhhh... Jangan cakap macam tu,” tegur Tengku
Afnan. Dia kurang senang mendengar kata-kata Nasuha itu.
“Kenapalah saya yang diuji?” soal Nasuha.
“Allah sayangkan Suha. Sebab tu Dia uji awak.”
“Kenapa tak ambil saya sekali? Biar saya dapat
bersama emak dan ayah. Kan lebih bagus begitu?”
“Suha… kadang-kadang apa yang kita nampak buruk
sebenarnya memberi hikmah pada kemudian hari. Suha tak
boleh persoalkan takdir Allah,” nasihat Tengku Afnan lagi.
“Saya dah tak larat. Kenapa mesti saya? Kenapa
bukan orang lain? Apa salah saya? Saya penat dah. Jujur
sangat penat,” luah Nasuha.
“Suha kena ingat, Allah uji kita bersesuaian dengan
kesanggupan kita. Jangan persoalkan kenapa ujian itu hadir
seolah-olah kita tak reda dengan ujian Allah.” Lembut bicara
Tengku Afnan.
“Mak orang baik, tapi hidup mak tak bernasib baik
seperti orang lain. Kesian mak sebab saya tak sempat nak
bahagiakan mak.”
“Sebab mak orang baiklah Allah pilih dia, Suha.
Ambil dia awal daripada kita.”
Sedih hati Tengku Afnan apabila melihat gadis yang
mula menghuni dalam hatinya jadi tidak tentu arah sebegini.
Ah, kalaulah dia mampu menenangkan gadis itu, alangkah
bagusnya. Tapi bagaimana? Mereka bukan ada apa-apa ikatan
pun.
Sayu hatinya apabila melihat air mata Nasuha yang
tidak henti-henti mengalir. Gadis itu betul-betul hilang
semangat. Saat semua orang sudah beransur pulang, gadis
itu masih lagi tidak mahu berganjak walaupun sudah dipujuk.
Sudahnya Nasuha terpaksa dipapah meninggalkan kawasan
perkuburan itu.
Tengku Afnan tidak tahu apa yang bermain dalam
hati Pak Mail. Saat orang lain asyik membaca talkin, lelaki itu
selamba saja menyedut rokok daunnya seolah-olah pemergian
Mak Salwa tidak memberikan kesan.
“Kalau betul mak nak pergi, sekurang-kurangnya
ucaplah selamat tinggal pada saya ni. Tidaklah saya
terpinga-pinga begini.”
“Suha, ajal maut di tangan Tuhan. Saya percaya
mak sendiri pun tak jangka dia akan pergi secepat ini. Suha
sayangkan mak?” soal Tengku Afnan.
Gadis itu hanya mengangguk.
“Kalau Suha sayangkan mak, Suha reda, ya? Biar
mak tenang di alam sana.”
“Terima kasih, Afnan.” Sekali lagi ucapan itu
meluncur keluar dari mulut Nasuha.
“Untuk apa pula ucapan kali ini?”
“Terima kasih sebab sudi memberikan kata-kata
semangat kepada saya,” ucap Nasuha lagi. Kalau dahulu
kehadiran lelaki itu amat merimaskan tapi tidak untuk hari
ini. Dia betul-betul memerlukan seseorang.
“Suha… kalau boleh saya nak masuk dalam hati
awak. Saya nak menyelami apa yang bermain dalam hati
awak sekarang ni. Mudah untuk kita berkongsi rasa.” Sebuah
senyuman lebar dihadiahkan kepada gadis itu.
“Kenapa kata macam tu?”
“Tinggal terus dalam hati awak pun saya sanggup.”
“Sudahlah… jangan mengarut,” ucap Nasuha. Dia
sudahlah tengah sedih, Tengku Afnan boleh pula cakap yang
bukan-bukan.
“Suha… kalau boleh saya nak terus bersama awak
mengharungi saat sukar awak. Tapi saya kena balik. Esok
saya ada mesyuarat penting di pejabat.” Sungguh berat
hatinya untuk meninggalkan gadis itu. Tapi mengenangkan
tanggungjawabnya sebagai seorang pekerja, dia terpaksa
pulang ke KL.
Jam di pergelangan tangan diperhatikan. Sekarang
sudah menghampiri pukul 11 malam. Cadangnya tadi dia
ingin terus pulang apabila majlis tahlil selesai. Tetapi apabila
melihat wajah sayu Nasuha yang sedang termenung jauh, dia
terpanggil untuk merapati gadis itu. Tak sangka masa begitu
pantas berlalu.
“Tak apalah, Afnan. Awak baliklah. Saya dah okey.”
“Aik, awak macam halau saya aje.”
“Mana ada. Tak ada niat pun nak menghalau,” ucap
Nasuha. Sebenarnya dia agak risau untuk membenarkan
lelaki itu pulang pada waktu yang sudah lewat sebegini.
“Ah, sebelum tu...” Tangan Tengku Afnan menyeluk
saku seluar. Dia mengeluarkan telefon bimbit lalu dihulurkan
kepada Nasuha.
“Untuk apa ni?” Gadis itu memandang pemberian
Tengku Afnan. Dia langsung tidak menyambut pemberian
lelaki itu.
“Ambillah. Mudah untuk saya hubungi awak kalau
ada apa-apa atau...”
“Atau apa?”
“Atau... tiba-tiba hati saya merindu awak.” Mata
dikenyitkan. Tengku Afnan ketawa besar apabila melihat
wajah Nasuha yang sememangnya sedia merah akibat terlalu
banyak menangis.
“Awak ni main-mainlah.” Berdebar-debar pula hati
Nasuha apabila mendengar bicara Tengku Afnan.
“La... saya serius ni. Ambillah. Kenapa pandang saja
telefon ni?”
“Errr… saya mana tahu guna benda alah ni,” ucap
Nasuha terus terang.
“Alah, apa susahnya Suha... bila saya call, awak
tekan saja butang warna hijau ni untuk jawab call saya,” jelas
Tengku Afnan.
“O o… tapi…”
“Tak ada tapinya. Saya dah setkan nombor dan nama
saya. Jawab call saya saja tau. Kalau ada nombor lain call,
awak tak payah jawab.”
“Ooo... baik.” Akhirnya Nasuha terpaksa juga
mengambil pemberian lelaki itu apabila melihat raut beria-ia
Tengku Afnan.
“Hah, lagi satu. Bila awak nak tamatkan panggilan,
awak tekan butang yang warna merah ni tau.”
“Ya, baik.”
“Hah, lagi satu lagi…”
“Eh, berapa banyak lagi satu awak ni?”
“Jangan nak call pakwe lain selain daripada saya tau.
Kalau awak buat macam tu, siaplah awak. Saya ketuk jari
awak tu.”
“Tak betul!” Nasuha jegilkan mata. Macamlah dia
tahu guna benda alah tu sampai nak call orang. Siapa pakwe
yang dia ada selain daripada si Afnan ni? Pakwe? Eh, lelaki itu
ke? Ops!
“Saya tak betul pun sebab awak puncanya, Suha.”
Tengku Afnan tersengih. Sedikit lapang hatinya apabila
melihat gadis itu sudah kembali tenang dan boleh bergurau.
“Dah, pergilah balik cepat. Nanti lambat sampai
rumah awak.”
“Nak baliklah ni, tapi nak pandang lama sikit wajah
awak tu. Nak isi penuh dalam minda sebagai bekal agar
terubat rindu dalam hati saya sepanjang perjalanan nanti.”
“Afnan!”
“Hehehe... yalah, yalah... saya baliklah ni.”
“Elok-elok memandu tu.”
“Baik, sayang. Saya akan memandu dengan cermat
sebab saya tak nak sayang saya ni risau.”
“Hesy, dia nilah!”
“Suha... kalau rindu, jangan lupa sedekahkan
Al-Fatihah pada mak. Biar mak gembira di sana,” pesan
Tengku Afnan.
Nasuha mengangguk apabila mendengar pesan
Tengku Afnan.
“Aku nak kau kahwin!”
Nasuha yang sedang melipat baju terhenti. Wajah
Pak Mail yang muncul di muka pintu itu dipandang. Dia ada
salah dengar ke?
“Oiii... kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” sergah
Pak Mail apabila melihat Nasuha hanya membisu.
Kahwin? Dengan siapa? Dia bukannya ada
teman lelaki mahupun calon. Kemudian Nasuha kembali
menyambung kerja yang tergendala.
“Hei! Cuba bila aku tengah cakap ni kau pandang
aku. Jangan nak tunjuk perangai kurang ajar kau tu!” Pak
Mail tiba-tiba mendapatkannya. Kain yang sudah dilipat
dan disusun kemas disepak. Habis bersepah. Jari-jemari
kasar lelaki itu mendarat di dagu Nasuha. Memaksa Nasuha
mengangkat wajah.
“Aduh! Sakitlah, pak cik.”
“Rasakan! Kau yang cari nahas. Lain kali bila aku
cakap tu pandang aku. Jawab bila aku tanya. Jangan nak acuh
tak acuh tunjuk perangai kurang ajar kau tu. Kau ingat sikit
diri kau tu siapa. Kau tu budak hingusan lagi. Jangan nak
tunjuk besar kepala!” Panjang lebar lelaki itu membebel.
Kalau tadi dia mencekak dagu Nasuha, kini dia menunjal dahi
Nasuha pula.
“Saya manalah ada calon kalau pak cik nak suruh
saya kahwin.” Terketar-ketar Nasuha menjawab. Dia terasa
mahu menangis.
“Soal calon kau jangan bimbang. Aku ada calon sesuai
untuk kau dan kau mesti suka punya.” Pak Mail tersenyum.
Tiba-tiba dia teringat perbualan dia dengan Tengku Syukri
pagi tadi.
“Anak tiri kau macam mana?”
“Hai, tiba-tiba tanya pasal budak tu kenapa?” soal
Pak Mail.
“Eh, tak boleh ke aku tanya pasal budak tu?”
“Bukan tak boleh… cuma macam lain macam aje.”
“Aku berkenan dengan budak tu.” Akhirnya Tengku
Syukri berterus terang tentang tujuan sebenarnya.
“Wah... boleh tahan kau ni ya, Syukri. Aku ingatkan
kau ni jenis lelaki yang setia dan tak pandai pandang
perempuan lain. Rupa-rupanya kaki perempuan juga. Tak
sangka betul,” sindir Pak Mail.
“Hoi... kau jangan salah faham, Mail. Maksud aku,
berkenan untuk dibuat menantu untuk anak tunggal aku tu.
Bukan untuk aku,” jelas Tengku Syukri.
“Ooo... berapa kau sanggup bayar untuk budak tu?”
“Bunyi macam kau jual barang pulak,” ucap Tengku
Syukri. Kurang senang dengan ayat Pak Mail itu.
“Maksud aku hantaranlah. Berapa yang kau boleh
bagi untuk budak Suha tu? Kalau kena harga, aku bila-bila
saja boleh bagi budak tu pada kau. Tak ingin aku simpan
lama-lama. Buat habis beras aje,” ucap Pak Mail. Baginya
Nasuha membebankan. Dah alang-alang ada yang tanya dan
yang tanya tu pula bukan calang-calang orang, tak salah
rasanya dia minta lebih.
“Amboi kau Mail… kalau bab duit memang kepala
kau terus geliga, ya?”
“Mahu taknya Syukri, aku dah banyak melabur
untuk budak tu tau.”
“Apa yang kau laburkan?”
“Aku kahwin dengan mak dia, jaga mak dia dan dia
sekali. Kiranya aku ni lelaki yang bertanggungjawab tau.”
Tengku Syukri juih bibir. Rasa geli hati mendengar
perkataan tanggungjawab yang keluar dari mulut Pak Mail
itu.
“Dua puluh ribu, cukup?”
“Itu saja ke yang kau mampu bagi Syukri?”
“Kau ingat budak tu barang ke apa?” Tengku Syukri
jegilkan mata. Sakit pula hati dengan kerenah tamak Pak Mail
itu.
“Yalah... dua puluh ribu pun dua puluh ribulah…
Kalau tak cukup aku minta lagi.” Mata sudah terbayang
duit yang bakal diterima. Otak sudah mula merencana yang
macam-macam. Pastinya untuk keseronokan diri.
“Siapa calon pak cik tu?” soal Nasuha membuatkan
lamunan Pak Mail terhenti.
“Anak si Syukri itulah. Kau kenal kan budak tu?”
soal Pak Mail setelah terdiam agak lama.
“Anak Syukri? Takkanlah…”
“Yalah, budak itulah. Siapa lagi? Jangan cakap kau
tak nak. Aku nampak kau selalu terhegeh-hegeh dengan
budak tu. Lagipun si Syukri tu kenalan lama aku. Dia kata dia
berkenan dengan kau.”
Kenalan lama? Kenapa dia tak pernah tahu pun
Tengku Syukri mengenali bapa tirinya?
“Oh…” ucap Nasuha. Dia tak tahu nak kata apa.
“Jadi kau setuju sajalah dengan lamaran kawan aku
tu, ya...” ucap Pak Mail. Dia memang berharap Nasuha terima
lamaran daripada Tengku Syukri itu.

No comments:

Post a Comment