Tuesday, 18 October 2016
Demi Rindumu - Prolog
SETIAP heretan langkah kakinya terasa begitu
berat. Bagai ada beban yang membelenggu kedua-dua belah
kaki. Lelahnya tidak terkata. Titisan jernih yang mengalir laju
pantas diseka dengan belakang tangan. Namun sia-sia sahaja.
Air matanya mengalir semakin laju, tidak mahu berhenti.
Beberapa pasang mata tertoleh ke arahnya.
Pasti mereka tertanya-tanya mengapa dia menangis di
tengah-tengah kesibukan kota.
“Apa pandang-pandang? Tak pernah tengok orang
menangis?” Hamburnya, berang. Sibuk nak tahu hal orang!
Terus dia tidak lagi menjadi perhatian.
Dia lajukan langkah ke arah kereta Honda Jazz merah
miliknya. Sebaik masuk, pintu terus ditutup. Berdentum kuat
bunyinya. Tangannya menggenggam stereng dengan kuat.
Kukunya hampir menembusi kulit yang membalut stereng
itu.
“Kurang ajar! Kurang ajar! Jantan tak guna!!!”
Jeritannya memenuhi ruang kecil dalam kereta. Dihentak
stereng dengan telapak tangan sekuat hati. Berkali-kali dia
hentak sebelum berhenti sendiri kerana sakit. Dia tunduk,
merenung tangannya yang memerah dan membengkak. Sakit
di tangannya tidak mampu menandingi sakit dalam hatinya.
Dia betul-betul kecewa.
Kelakar dengan apa yang terjadi. Dia tidak tahu
sama ada hendak ketawa atau menangis. Sedikit pun tidak
menduga semua ini akan menimpa diri. Tergamak tunangnya
mengkhianati cinta yang telah disemai sejak beberapa tahun
lalu. Apa silapnya? Tidak cukup lagikah segala kasih sayang
dan perhatian yang dia berikan selama ini?
Telefon bimbitnya tiba-tiba berdering.
Dia seakan-akan dapat meneka siapa yang sedang
menghubunginya. Dengan rakus dia seluk keluar telefon dari
dalam tas tangan. Telahannya benar saat melihat nama Izlan
tertera di skrin. Ikutkan hati hendak saja dia lempar telefon
itu ke luar. Biar berkecai sepertimana hatinya saat ini.
Panggilan itu dibiarkan sepi tanpa berjawab. Dia
tidak ingin mendengar suara Izlan. Tidak lama selepas
panggilan itu berhenti, satu pesanan WhatsApp masuk ke
dalam telefon.
Awak kat mana, Hana? Kita perlu
jumpa.
Hendak meletus tawa Nurhana apabila membaca
pesanan itu. Permintaan Izlan langsung tidak masuk akal.
Untuk apa mereka berjumpa? Hendak tengok dia naik hantu?
Hana, tolonglah jawab panggilan
saya. Saya boleh jelaskan semuanya.
Saya tak salah!
Bertalu-talu mesej masuk ke dalam telefon. Namun
darah Nurhana jadi panas apabila membaca pesanan terakhir
yang dihantar oleh Izlan.
Jangan buat keputusan melulu,
Hana.
Jangan buat keputusan melulu??? Kemarahannya
terus mencapai tahap maksima. Gagal membendung amarah,
Nurhana lantas mendail nombor telefon Izlan. Hanya sekali
dering, panggilannya sudah bersambut.
“Hana, saya tahu awak mesti akan telefon saya. Biar
saya jelaskan semuanya pada awak dulu. Kami berdua...”
“Wah, sejak bila pula ada ‘kami’ antara awak dengan
perempuan tu?” tingkah Nurhana.
Izlan tarik nafas di hujung talian.
“Hana, saya dan dia memang takde sebarang
hubungan. Awak janganlah salah faham.”
“Jangan salah faham awak kata? Memang dah terang
lagi bersuluh yang awak tidur dengan perempuan tu! Saya
nampak dengan mata kepala saya sendiri tau! Bukannya saya
dengar cerita dari mulut orang lain.”
“Tapi saya tak salah, Hana. Saya... saya kena
perangkap. Rania yang perangkap saya sebab dia nak kita
berpisah.”
“Awak reka cerita apa ni? Dia bubuh ubat tidur dalam
minuman awak ke? Sampai awak langsung tak ingat dan tak
sedar apa-apa?” Melengking-lengking suara Nurhana. Kalau
lelaki itu ada di depan mata, mungkin tangannya melayang
ke muka Izlan.
Kedengaran Izlan mengeluh panjang di hujung
talian.
“Hana, boleh tak awak bawa bertenang? Tak perlulah
sampai tinggikan suara dengan saya. Ya, saya mengaku dan
saya sedar saya dah buat kesilapan yang besar. Saya minta
maaf. Tapi tolonglah percaya. Semua tu tak bawa apa-apa
makna. Saya sedikit pun takde sebarang perasaan pada Rania.
Apa yang paling penting, saya sayangkan awak dan saya tahu
awak pun sayangkan saya. Lagipun, bukankah kita akan
berkahwin tak lama lagi? Awak maafkan saya, ya?”
Mudah sungguh lelaki itu meminta agar dirinya
dimaafkan. Jika kesalahan itu kecil, mungkin Nurhana boleh
pejam mata. Tetapi Izlan telah berlaku curang! Kesalahan
yang sampai bila-bila pun takkan dapat dia maafkan.
“Kalau saya buat perkara yang sama, awak akan
maafkan saya ke? Awak tetap nak kahwin dengan saya? Awak
nak perempuan yang dah disentuh orang lain jadi isteri
awak?” Nurhana sengaja menyoal. Dia mahu dengar apa
jawapan Izlan.
“Jangan cakap yang bukan-bukan, Hana. Saya tak
suka awak cakap macam ni.” Suara Izlan pula meninggi.
“Tahu pulak awak rasa marah. Habis, awak ingat saya
takde hati, takde perasaan? Boleh senang-senang maafkan
awak, lepas awak buat perkara yang terkutuk tu?”
“Hana, dengar dulu apa yang saya nak cakap.”
“Tak! Awak yang kena dengar apa yang saya nak kata!
Lepas ni jangan telefon saya, jangan hantar pesanan pada saya,
dan jangan cari saya lagi. Saya tak nak ada apa-apa hubungan
dengan awak. Saya akan beritahu mama dan papa saya perkara
yang sebenar. Perkahwinan kita takkan berlangsung minggu
depan atau bila-bila pun. Pandai-pandailah awak beritahu
semua ni pada keluarga awak!” Habis berkata-kata, Nurhana
terus tamatkan panggilan.
Lelaki tak guna! Ada hati hendak kahwin dengan dia
selepas melakukan kesalahan sebesar Gunung Everest itu.
Jika Izlan boleh curang sekarang, tidak mustahil lelaki itu
akan berlaku curang sekali lagi. Dia tidak mahu makan hati
berulam jantung di kemudian hari.
Nurhana menghempaskan tubuhnya, bersandar
pada tempat duduk. Matanya mendarat pada gambar yang
terletak di dashboard kereta. Gambar Izlan yang tersenyum
di sampingnya membuatkan kemarahannya padam.
Apabila mengenangkan hubungan yang terjalin
sejak lima tahun lalu, hatinya jadi sayu. Nurhana benar-benar
sayangkan Izlan. Sungguh!
‘Sampai hati awak Izlan...’ Air matanya mengalir
laju.
No comments:
Post a Comment