Wednesday, 30 November 2016

Gila! Aku Suka Dia? - Bab 5

“YEAY! Selamat hari raya atuk, nenek! Selamat
hari raya!”
Terkejut dengar suara anak buah aku yang baru
sampai, aku senyum. Pagi raya gitulah, adik-adik aku suka
sangat balik waktu pagi raya. Aku pandang ke luar tingkap
tengok anak-anak buah aku. Sudah besar mereka. Kemudian
aku pandang cermin, betulkan baju Melayu aku, alih-alih
tetap juga warna merah pilihan aku. Sekali dengan ni, masuk
10 tahun berturut-turut warna ni juga. Bukanlah aku tak
berusaha cari warna lain, tapi dah ditakdirkan kut yang aku
dan warna merah ni serasi. Tak merah terang, merah gelap,
tak pun maroon, asalkan merah.
Sedap mata memandanglah gitu. Harap-harap si dia
yang ditakdirkan untuk aku suka warna merah juga. Teringat
pula dengan Bob dan Joe. Sejak Bob dan aku gaduh mulut
hari tu, aku dah malas nak ambil tahu soal Bob. Dia pun tak
datang ke rumah. Lantak dialah, kecualilah dia ikhlas nak
minta maaf dan benarkan aku seligi dia sekali dua, barulah
aku maafkan. Sebenarnya aku ni bukanlah jahat sangat pun,
aku ni sebenarnya baik hati (puji diri sendiri) dan tak kurang
handsome juga (yang ni natural, okey!).
Hesy!
Kalau bab memuji diri sendiri semua manusia dalam
dunia ni memang suka puji diri sendiri kan? Kan? Err...
Dahlah, gara-gara si Bob tu, aku kena buat dosa free pula
mengata orang lain dalam hati. Orang lain dapat pahala free,
aku pun dapat free. Free apa? Free dosalah, apalagi. Daripada
aku buang masa, baik aku pergi masjid, karang terlepas pula
khutbah raya. Bukan senang nak dengar khutbah raya ni, dah
3 kali rasanya aku ter ‘miss’ dalam erti kata lain, aku terlajak
tidur...
Manalah tahu kan ada si Najwa ke dekat situ.
Gulp! Dah macam tujuan ni, tujuan tak baik...
Selepas 15 minit berjalan kaki pada pagi indah ini, aku
sampai ke surau kampung. Fuh! Ramai gila orang pagi-pagi
raya ni. Macam-macam warna baju ada, macam-macam
manusia juga ada. Ada yang aku kenal, ada yang tak. Dari jauh
aku nampak Joe dan Bob. Joe pakai baju warna ungu, warna
kegemaran dia manakala Bob pakai baju warna hijau emerald
kesukaan dia. Bila tengok Bob macam ala-ala senyum kat
aku, saja aku buat jual mahal. Ego lelaki katanya. Aku tengok
Joe menghala ke arah aku disertai Bob.
“Hai Lan, Selamat hari raya, maaf zahir dan batin...”
Joe menyapa, kami bersalam dan berpelukan ala-ala tak
pernah jumpa bertahun-tahun.
“Selamat hari raya juga. Harap-harap tahun depan
kau dah beraya berdua ya.”
Aku saja cakap macam tu dekat Joe. Yalah... kan kata
orang, kata-kata tu doa. Aku cakap yang baik-baik jelah kan.
Motivasi tu.
Aku pandang Bob, saja dia tengok tempat lain. Tapi
bila aku pandang dia sekali lagi, aku rasa tak baik kalau tak
bermaafan pada pagi raya. Nanti hati tak tenang, diri sendiri
juga susah. Tapi kalau diingatkan apa yang Bob cakap hari
tu, dikatanya aku lelaki bujang terdesak, mahu saja aku
makankan dia selipar Adidas yang aku tengah pakai sekarang
ni. Baru puas hati aku ni!
“Jom, nanti kena solat dekat luar. Ramai orang ni.”
Joe segera menarik aku, Bob tertinggal di belakang.
Tetiba Bob pegang tangan aku. Hesy! Dia ni apa hal
pula pegang-pegang tangan aku ni? Pagi raya ni ramai orang,
nanti salah pula pemahaman orang sekeliling. Dahlah bujang
trang-trang-tang... karang kena syak lain pula. Aku pandang
Joe yang terhenti.
“Joe, kau cop tempat untuk kami dua.” Aku saja cakap
dua sebab kejap lagi aku tahu, aku dan Bob memang duduk
berdua. Eh! Bertiga dengan Joe. Threesome gitu. Korang
jangan kuning pulak, threesome yang aku maksudkan tu
adalah kami bertiga duduk dalam saf yang sama okey. Bob
pula bagi isyarat supaya ikut dia ke belakang, tempat yang
tak ada orang. Tapi ada budak-budak kecik yang tengah main
bunga api pula.
“Ha, apa hal kau tarik tangan aku tadi?” tanyaku
ala-ala gengster, saja buat tak kenal Bob. Biar dia rasa bersalah
sangat-sangat. Biar dia mati kutu!
“Err... Aku nak minta maaflah Lalan pagi raya ni. Aku
tak sengaja tercakap malam tu. Aku harap kita berdamailah
ya? Lagipun, hari ni hari raya kan? Takkan kau nak marah
aku lagi... Kita kawan, kan? Kan?” Bob pandang aku dengan
muka kesian dia.
Aku geleng kepala, pandang dia sambil herot-herot
mulut. “Aku ni nampak jahat sangat ke? Dah, aku nak seligi
kau dua tiga kali dulu, baru aku maafkan kau. Kalau kau
cakap lagi sekali macam kau cakap malam tu, persahabatan
kita akan putus selama-lamanya.” Tegas aku cakap.
“Tak baik memutuskan silaturahim...” Bob bercakap
ala-ala kesian. Erm!
“Ha, tahu pun. Yang kau cakap bukan-bukan tu apa
hal? Aku saja tanya kau dengan Amani, yang kau kata aku
lelaki bujang terdesak bagai tu apa hal?” Aku pula macam tak
nak kalah.
“Dahlah Lalan, kosong-kosong aje. Aku teremo sikit
malam tu. Mulut ni lepas cakap. Aku minta maaf dari hujung
rambut sampai hujung kaki. Kalau kau nak seligi aku empat
lima kali pun aku reda. Maafkan aku ya?”
Tetiba aku terfikir sesuatu.
“Boleh, aku boleh maafkan tapi dengan satu syarat.”
Aku sudah terfikir satu plan baik punya dalam minda aku.
“Apa syaratnya?” tanya Bob. Berkerut dahinya
pandang aku.
“Adalah. Dah, jom, kesian Joe dekat dalam tu cop
tempat untuk kita.”
Aku dan Bob masuk ke dalam. Aku tengok Joe
sedang tersengguk-sengguk mengantuk. Ceh! Orang suruh
cop tempat, dia pula buat tahi mata. Joe, Joe... aku dah agak
yang kau ni tak boleh diharap satu sen pun. Nasib baiklah
ada tempat kosong belakang Joe. Aku dan Bob berjalan
merendah-rendah dan penuh beradab masuk ke saf ala-ala
lelaki Melayu terakhir lalu di depan mak pak mentua. Aku
dan Bob duduk bersebelahan. Siaplah kau, Joe!
“Joe!” Aku hempuk bahu dia.
“Oh mak kau!” Joe terkejut, dia jeling tajam kat aku
dan Bob yang ketawa sakan.
“Yang kau tidur apa pasal? Kau buat apa malam tadi?
Orang tengah bertakbir raya kau melanguk pula, kalau ada
pak mentua depan kau, kau ni bukan menantu pilihan tau.”
Saja aku menekan perkataan pak mentua, biar Joe rasa sikit.
“Aku tolong bakar lemang malam tadi... tu yang
mengantuk tu. Lepas tu kacau dodol lagi satu kawah. Ha, Bob
la ni, aku call tak angkat, tak nak tolong akulah tu.”
“Kau ni, dari kecik lagi tak ubah-ubah. Bila bakar
lemang je, pagi raya nak mengantuk bagai dalam masjid,
nanti masa beraya kemain kau...” Aku menyindir.
“Yalah, yalah...” Joe malas dengar aku bersyarah.
Lagipun dia tu peguam, jadi syarah-syarah aku ni dia dah
kebal.
Dipendekkan cerita, selesai juga solat raya dan
khutbah raya pagi itu. Aku apalagi, terus balik ke rumah.
Yalah, nak salam tangan mak dan abah aku. Minta ampun
gitu.
“Along minta maaf kalau ada salah dan silap along ya
mak, abah...” Aku meminta maaf sambil menyalami tangan
mereka.
Sambil-sambil tu sempat aku jeling poket abah. Fuh!
Ada sampul duit raya. Adakah aku bakal mendapatnya lagi?
Helo? Aku masih bujang tau. Kalau ikut tradisi, orang bujang
still boleh dapat duit raya. Tak gitu?
“Yang along macam ada buat salah ni pasal apa? Dah,
Mira dan Azhar cucu abah nak salam tu...” tegur abah aku.
Baru aku perasan, anak-anak buah aku merangkap
anak-anak adik aku dah balik pagi tadi. Aku segera ke tepi.
Sampul duit raya tak bergerak. Tak apalah, bukan rezeki,
aku reda. Isy-isy, kalau ikutkan memang aku muka tak malu.
Patutnya aku sedar diri, kan aku dah kerja, ada duit sendiri.
Tapi lain tau rasanya dapat duit raya daripada mak abah ni.
Ala, macam korang tak biasa kan? Jangan tak mengakulah.
“Ha, ini untuk Mira dan Azhar.” Abah aku
memberikan sampul duit raya kepada mereka.
“Abang dah simpankan untuk anak-anak Azie?”
tanya mak aku.
“Haruslah sudah. Dah, Mira, Azhar, pergi salam
uncle long kamu tu, minta duit raya lebih sikit. Bonus dia
banyak tu, bankrapkan uncle long tu pun tak apa.” Abah aku
bercakap sambil memandang aku.
Amboi abah, macam tahu-tahu pula. Apalagi, segera
Mira dan Azhar menyalami tangan aku. Nasib baiklah aku
memang dah sedia.
“Selamat hari raya, uncle long...” Mereka berkata
serentak.
“Belajar elok-elok. Nah, simpan duit raya ni, jangan
beli mercun...” Sempat aku berpesan sebaik saja memberikan
duit raya kepada mereka.
“Terima kasih, uncle long...”
“Sama-sama.” Aku pandang mereka yang semakin
membesar. Satu-satu aku peluk dan cium dahi. Comelnya...
Kalaulah aku ada anak sendiri, mesti comel macam
diaorang. Eh! Berangan tiba-tiba. Kahwin pun tak lagi, ha!
Calon pun kabur-kabur juga. Mak pun diam je macam reda
aku membujang. Erm! R.E.D.A sajalah. Hai... jodoh-jodoh...
lambatnya kau nak sampai. Tersekat kat mana-mana ke tu,
kalau tersekat boleh WhatsApp minta tolong.
Aku macam dengar bunyi motor, kemudian
diparkirkan di depan rumah. Orang berayalah tu.
“Assalamualaikum...” Kedengaran satu suara yang
aku memang sangat kenal. Rasa teruja tiba-tiba. Ha, tu jodoh
dah datang tu, tak tersekat tu...
“Waalaikumussalam...” Segera aku ke tingkap
melihat gerangan yang datang.
Teruja betul aku.
“Na... Naj... Najwa... naiklah...” Aku terketar-ketar
pula sebut nama dia.
Eh! Aku perasan baju kurung Najwa yang warna
merah tu sebijik macam baju aku. Fuh! Sedondon gitu. Dah
kombang lubang hidung aku pagi-pagi raya ni.
“Naiklah Najwa. Mana ayah dengan mak Najwa?”
tanya mak aku di muka pintu.
“Mak ayah pergi kubur kejap. Ni Najwa singgah
kejap ni nak bagi rendang ni kat cikgu. Abang Lan kan suka
rendang ayam ni...”
Fuh! Tu dia... sempat sebut nama aku. Ada apa-apa
ke? Mak aku senyum-senyum pandang aku. Haih mak, mak
aku ni masih belum bagi jawapan pasal yang aku tanya hari tu.
Ini ke jawapannya? Kalau ya, memang aku melonjak-lonjak
tak ingat dunia ni.
“Najwa duduklah dulu, makan kuih-kuih yang ada
tu. Cikgu masuk dalam sat nak letak rendang kamu ni dalam
pinggan.”
Abah aku pandang aku, aku pula duduk berdepan
dengan Najwa sambil tertunduk-tunduk. Najwa pula sibuk
menuang air sendiri.
“Along... kenapa biarkan Najwa tuang air tu? Eh
budak bertuah ni, tetamu datang, dia pula duk relaks je.”
Abah ni potong betullah. Aku baru nak berlakon
ala-ala lelaki pilihan di depan Najwa. Jatuh kekacakan aku
pagi-pagi raya ni.
“Najwa makanlah kuih-kuih yang ada tu. Nah, ini
mak dengan abang yang buat. Ha, yang ni pun, ha, yang ni
mak beli dengan Mak Cik Senah tu... Ha, yang ni malam
tadi baru mak siap buat, yang ni pun... makanlah. Semua
sedap-sedap ni...”
Fuh! Senafas je aku cakap semua tu, ala-ala lari 100m
gitu. Ringkasnya aku sebenarnya gabra tahap 200 peratus!
“Terima kasih, bang. Abang Joe dengan Abang Bob
mana?” tanya Najwa.
“Adalah tu melaun dua ekor tu kejap lagi. Don’t
worrylah.”
“Along, abah nak bawa Mira dan Azhar beraya kejap.
Kesian diaorang tak beraya lagi.”
“Okey, abah.”
Kini, aku dengan Najwa je yang tinggal kat ruang
tamu. Lagilah keadaan tu macam terhenti. Manalah mak ni,
apalah yang dia buat kat dapur tu. Nervous ni, nervous.
“Abang bila balik KL?” tanya Najwa.
“Insya-Allah dalam minggu depan. Najwa?” tanyaku
balik.
“Najwa kena balik petang ni, tu yang beraya
cepat-cepat je ni.”
“Ha, awalnya balik! Tak boleh tangguh ke?” Aku
macam tak nak bagi dia balik pula.
Macam baru pula aku nak mesra-mesra dalam erti
kata lain boleh bercakap dengan Najwa sejak sekian lama.
“Najwa dah lama balik kampung, kebetulan hari ni
memang kena balik sana. Alhamdulillah, sempat puasa dan
solat raya dekat sini pun dah rasa gembira sangat. Dapat pula
jumpa abang...”
Najwa pandang aku, Hesy! Kalau perempuan
pandang, ni yang aku tak tahan ni.
“Ha along, ambil ni. Najwa, jemputlah makan.
Cikgu sempat buat rendang daging je semalam, nasib baik
ada rendang ayam kamu, kalau tak... mengamuk anak cikgu
seorang ni...”
Hesy mak ni, sengaja cakap macam tu. Malulah
depan Najwa a.k.a bakal... bakal... err... malulah nak sebut.
“Assalamualaikum...” Tiba-tiba terdengar suara
orang bagi salam.
“Waalaikumussalam...” sahut mak aku dan segera
menjenguk ke jendela.
“Panjang umur. Bob dan Joe dah datang tu.”
Hesy Bob dan Joe ni, wrong timing betul. Najwa
dahlah nak balik hari ni, tak sempat lagi aku cakap apa-apa
dengan dia.
“Najwa pun ada sekali. Selamat hari raya, Najwa...”
Joe menegur sebaik saja masuk ke dalam rumah aku, siap
melemparkan senyuman manis dia lagi. Cis!
Joe ni, Najwa tu aku punya tau! Nak kena seligi juga
si Joe ni. Bagi warning siap-siap. Jangan coba-coba mahu
masuk line!
“Selamat hari raya juga Abang Joe, Abang Bob...”
Najwa menyapa mereka.
Kami berborak sesama kami pagi raya tu,
sambil-sambil tu aku jeling Najwa. Bila dia cakap dia nak
balik Australia petang nanti, rasa pelik pula perasaan hati ni.
Rasa sayu je.
“Kau suka dekat dia kan?” bisik Bob kepada aku masa
kami syok makan rendang ayam yang Najwa masak.
“Memanglah...” Perlahan aku jawab soalan Bob.
“Kau nak si Joe tu kebas ke? Aku tengok bukan main
dia tengok Najwa tu...” bisik Bob pelan-pelan, padahal aku
dah berapi-api ni bak Ultraman Taro nak fire si Joe.
“Jangan haraplah... kejap lagi aku seligilah dia tu.
Kalau boleh, aku tembak dia dengan senapang bapak aku
kejap lagi.” Aku cakap dengan Bob dalam nada perlahan.
“Kau gila nak bunuh orang... ha, kau ada cakap
syarat tadi dekat surau. Apa syaratnya, aku nak tahu juga,”
tanya Bob.
“Syaratnya kau kena jumpa Amani dan cakap kau
suka dia... boleh?” kata aku sinis.
“Banyak cantik syarat kau. Kalau kau cakap kau suka
dekat Najwa, baru aku cakap macam tu dekat Amani... deal?”
“Isy kau ni, pandai je serkap jarang.”
“Helo, kenalah adil, mana boleh aku kena, kau tak
kena.”
“Yalah, yalah...” Aku setuju terpaksa. Geramnya aku
dengan Bob, aku pulak yang kena. Masalahnya bila aku nak
cakap benda tu dekat Najwa, dahlah dia nak kena balik petang
nanti.
“Joe, kejap.” Aku panggil Joe.
Joe pandang aku, kemudian aku tunjuk isyarat
keluar. Kami sama-sama keluar.
“Kenapa ni, Lalan? Ada apa? Nak beraya, kejap
lagilah... aku tak habis lagi dengar cerita Najwa tu ha...”
Amboi Joe! Sempat kau sebut nama bakal awek aku
ya. Memang nak kena seligi betul budak ni.
“Kau jangan rapat sangat dengan dia boleh tak?”
marah aku.
“Aku saja layan dia sebagai kawan la. Aku tahu kau
suka dekat dia kan? Aku sedang kenen-kenen kau dengan
dialah tadi.”
“Apa?! Kau gila ke Joe!” tanya aku marah lalu aku
hempuk bahu dia sekali lagi.
“Jadi, kau ingat aku usyar dia ke? Apalah kau ni...
aku sikit punya handsome macam ni kau tak percaya.” Joe
puji diri dia.
“Handsome pun tapi bujang terlajak juga...”
“Ha... nasib baik kau tak cakap bujang terdesak,
kalau tak, aku pula yang merajuk dengan kau.”
“Macam-macamlah kau. Dahlah, jom naik.”
Baru aku dan Joe duduk, Najwa pula mahu beredar.
“Cikgu, Najwa nak balik dulu. Selamat hari raya
cikgu, maaf zahir dan batin...” Kami lihat Najwa peluk ibu
aku erat. Amboi... macam mak dengan anak je lagaknya.
Kemudiannya pelukan itu dilepaskan. Ada setitis air
mata di situ. Mak aku ni memang jenis cikgu yang penyayang,
tu yang ramai suka mak aku dekat sekolah.
“Abang Lan, Abang Bob, Abang Joe, Najwa balik
dululah ya. Selamat hari raya... insya-Allah kalau panjang
umur kita jumpa lagi...”
“Selamat hari raya, Najwa...” Serentak kami
menjawab.
“Kau cakaplah dengan dia cepat. Dia dah nak pergi
tu...” Bob paksa aku, tolak-tolak pula tu. Amboi Bob, sengaja
cabar akulah tu.
“Lan, kau nak biarkan peluang terakhir kau ni
terlepas ke? Baik kau cakap.” Joe pula siku aku. Ades!
Ha, bila dua-dua kawan aku ni paksa aku macam
tu, memang aku lemas, rimas dan rasa sebagainya tu. Aku ni
malas orang paksa-paksa ni.
“Broommm...” Kami dengar motor Najwa bunyi dan
dia dah pergi.
“Hmm...” Bob mengeluh. Masing-masing ambil
tempat duduk di tangga.
“Melepasss...” Joe pandang aku.
“Apa yang melepasnya ni?” tanya mak aku tiba-tiba.
“Tak ada mak, tak ada... jap lagi kami nak beraya,
takut terlepas...” jawab aku cover line.
“Anak bertuah ni... Dah, mak masuk dulu.”
Aku, Bob dan Joe duduk kat tangga masa tu dengan
kuciwa yang bukan kepalang. Joe dan Bob tenung-tenung
aku macamlah aku ada hutang dengan diaorang, lepas tu
dengan muka monyok diaorang lagi. Apalah, pagi-pagi raya
pula muka macam tu, patut hari raya ni kena gembiralah.
Tak faham aku kawan aku dua ekor ni. Aku yang melepas,
diaorang pula yang sedih. Aku tengah waswas ni. Diaorang ni
adik-beradik kembar aku ke, lepas lahir kena bagi orang lain
untuk dijaga. Tapi, kalau tengok muka masing-masing versi
lain, tekaan aku meleset.
“Dahlah, jom raya ke rumah Amani.” Aku saja buat
keadaan nak happy-happy balik.
“Rumah Amani ya... jom!” Joe senyum sumbing dan
pandang aku.
Bob pula macam biasa, tak ada respons. Dia ni ada
perasaan ke tak ni. Aku sikit punya hairan dengan dia ni...
Kata suka tu, kata ajelah, nak kena seligi betul...
Hesy! Aku ni, kata orang, tapi aku sendiri... Hai
Najwa... tunggu tahun depan ajelah jawabnya...
Kami bertiga naik kereta Joe. Pasrah sungguh
rasanya melihat Najwa pergi tadi.
Tak apalah kut. Kalau dia bukan jodoh aku, aku
reda jelah... manalah tahu Tuhan tu nak bagi yang lebih baik
untuk aku kan?
Erm... erm... erm...
Sedih!

No comments:

Post a Comment