Wednesday, 30 November 2016

Gila! Aku Suka Dia? - Bab 7

SAMPAI saja di rumah, aku rasa lega sangat.
Lenguh-lenguh jugalah memandu dari kampung aku tu.
Entah bila lagilah nak balik Johor, singgah Legoland pun tak
sempat. Padahal hari tu janji dengan anak-anak buah aku
nak bawa diaorang. Tak apalah, cuti banyak lagi. Ni banyak
hal punya pasallah, termasuk memikat Najwa yang gagal tu.
Bye-bye Kampung Desa Temu Jodoh! I love you. Moga-moga
aku dapatlah jodohnya. Sob, sob. Kena kerja balik.
Buka aje pintu rumah, aku dah lega amat. Nampak
ada surat dilekat dekat peti ais. Pesanan dua penyewa lain
yang dah keluar dari rumah tu. Aku pandang sekeliling, nasib
baiklah semuanya kemas. Lagi pula budak-budak kolej tu
jenis pembersih dan memang jenis rajin mengemas semua
ni. Dan sekarang, show time!
Aku terus berlari lepas tu buka pintu bilik, dan terus
terjun katil.
“Ohsem!”
Aku sempat teriak sambil tutup mata 60 saat. Nasib
baiklah masa terjun katil tak roboh, kalau tak, memang pakai
tilam ajelah tidur malam ni. Tadi gerak balik dari kampung
sekali dengan Bob dan Joe. Kalaulah tahu tahun ni semua
balik kampung, guna satu kereta aje. Tapi tu la, kalau tinggal
kereta kat bandar macam tak syok pula. Rasa rindu-rinduan
nanti. Lagi satu, sekarang ni ramai sangat yang suka songlap
kereta orang. Jadi, lebih baik bawa kereta balik ke kampung.
Pasal cadangan Bob nak serumah tu, aku rasa aku
okey je. Lagi menyenangkan aku. Jangan Bob buat pasal
sudahlah. Tapi aku caya si Bob tu okey je. Dia satu kepala
dengan aku, boleh bertolak ansur. Luar dalam dia, aku tahu...
termasuklah apa jenis underwear yang dia pakai. Ops! Bukan
apa, hari tu sempat duk temankan dia beli. Dia tanya saiz
berapa yang sesuai untuk dia. Buat malu aje, dahlah ada orang
sebelah-menyebelah, entah apa fikiran diaorang... Dua lelaki
kacak duk pilih-pilih benda alah sambil sembang-sembang
pasal saiz dan jenama padahal beli kat TESCO.
Hesy! Boleh masuk surat khabar tu. Aku pun beli
benda alah tu beli main taram je. Yang membezakan tu jika
bila berat badan bertambah. Tapi biasanya lelaki cuma akan
beli seluar kecik tu dua kali setahun. Beli dalam dua kotak.
Guna sampai berlubang ke atau sampai seru rasa nak angin
perubahan, baru beli baru. Tapi tengok-tengok, industri
tu berkembang je kan. Okey, lain lelaki, lain jenis. Tiada
sebarang kajian spesifik. Aku tahu pun sebab baca Majalah
Maskulin. Walaupun Abam Harith Iskandar kata, majalah tu
banyak tunjuk jerung daripada info. Gulp!
Kring! Kring!
“Siapalah yang call ni? Takkan mak pula.” Aku sendiri
mengomel dan segera berlari keluar dari bilik. Memang aku
pasang line telefon dekat rumah sebab bagi aku benda tu
sangat penting, lagi pula sekali sambung Internet, okeylah tu.
“Helo?”
“Helo Lalan, aku ni Bob. Rumah aku tak ada airlah,
aku tumpang rumah kau boleh?” tanya Bob.
“Itu pun nak tanya ke. Kau kat mana ni?” tanyaku.
“Kat depan pintu rumah kau ni ha.”
“Ada jugak aku sekeh kepala kau. Tekan ajelah loceng
tu. Aku taulah loceng aku tu murah. Jap aku bukak pintu.”
Aku letakkan gagang telefon dan terus buka pintu.
Nampaklah Bob dengan muka konon berlagak suci dan skema
tu senyum-senyum pandang aku. Hesy budak ni! Adakah
patut senyum macam tu kat aku, dah naik seram bulu roma
aku ni ha.
“Masuklah wahai, Encik Bob...” Aku bukakan pagar.
“Terima kasih tuan tanah yang handsome dan baik
hati serta segala-gala yang baik lagi...” puji Bob, ayatnya tak
menahan... Perggh!! Ni mesti ada benda ni... ni mesti ada ni...
“Wah, cantik sofa kau. Baru beli ke? Seingat aku,
hari tu tak ada sofa pun.” Bob duduk-duduk di sofa aku dan
pandang kiri kanan.
“Ala, aku beli masa sale hari tu. Daripada duduk
lantai bolehlah ni...” jawabku.
Bob terus landing di atas sofa tu. “Boleh tahanlah ni.
Aku tinggal sini ajelah.” Bob nampak selesa.
“Hmm... macamlah aku baru kenal kau sebulan dua,
Bob. Dasar kedekut...” sindir aku.
“Save bajet kahwin weh,” jawab Bob macam sengaja
je nak menjentik lubuk hati yang paling terdalam ni.
“Ni, bila kau nak pindah masuk sini ni?” tanyaku
terus terang.
“Anytime, barang aku bukan banyak pun. Lagipun,
dah tak selesalah tinggal dengan diaorang tu. Jawatan dah
lain-lain, jadi better aku move out la.”
“Jadi, confirm kau nak pindah sini? Tak menyesal
ni?” tanyaku buat kali terakhir.
Aku ni paling pantang sebenarnya nak cakap
ulang-ulang ni. Sekali cukup dan faham. Kalau yang tak
faham-faham tu, lantaklah.
“Jadi. Aku nanti duduk bilik mana?” tanya Bob dan
berdiri melihat bilik. Segera dia menuju ke bilik aku dan tak
semena-mena boleh pula dia duk melompat kat katil aku.
“Yeeehaa! Selesanya!” teriak Bob sambil
guling-guling di atas katil aku dua tiga kali.
“Weh! Runtuh karang, awas kau Bob! Ada jugak nak
kena seligi budak ni.”
“Ala... kita tidur satu katil ajelah. Kat kampung kita
selalu tidur sama kan?”
“Nak kena seligi atau nak kena tukul besi? Kat
kampung tu ada Joe bertiga, kalau aku tidur berdua dengan
kau... tak ke pelik tu... Sorrylah. Dah, bangkit, bangkit, bilik
kau kat sebelah tu. Jangan nak memandai-mandai. Kau tu
bukan budak kecik lagi... dah berbulu pun...”
Kan... aku dah kata... kalau aku ni membebel, semua
perkataan yang pelik-pelik akan keluar.
“Yalah, yalah...” Bob pasrah dan bangun, kemudian
ke bilik sebelah.
“Besar kan?” tanyaku.
“Bolehlah. Nanti aku bawa katil aku, bagi cantik
sikit...” jawab Bob.
“Okey, settle.”
Kemudian kami ke ruang tamu dan duduk kat sofa.
Aku sempat bagi air soda dengan hidang kuih raya sikit, itu
pun yang Bob pernah baham kat rumah aku kat kampung.
Nak juga aku kena buat stok sikit. Si Bob ni kalau makan tak
hingat dunia. Kuih kacang bersalut tepung aku dia makan.
Sambil-sambil makan, kami melanguk tengok siaran selepas
hari raya... alih-alih tengok Naruto kartun kegemaran kami
berdua...
ESOKNYA AWAL Joe sampai ke pejabatnya. Bukan apa, cuti
raya yang diambilnya agak lama tahun ini. Lama bercuti
bererti akan ada banyak kes yang bertangguh dan perlu
diselesaikan sesegera mungkin supaya jadual yang disusun
tidak terganggu.
“Selamat pagi, Encik Johari.” Fatin menyapa Joe
pagi itu sebaik saja Joe membuka pintu.
“Selamat pagi Fatin. Selamat hari raya, maaf zahir
batin ya,” balas Joe.
“Selamat hari raya juga,” balas Fatin dengan
senyuman.
“Anything?” tanya Joe lagi.
“Oh ya. Pelajar praktikal yang nak datang praktikal tu
dah ada kat luar. Boleh saya panggil dia masuk?” tanya Fatin,
salah seorang peguam di firma guaman itu. Free hair tapi
diikat pony tail ke belakang, ada sikit iras-iras Nabila Huda.
“Okey.”
Fatin melangkah keluar sementara Joe sibuk
memeriksa e-mel di komputer ribanya. Seminggu cuti sudah
cukup membuatkan kerjanya melambak-lambak.
“Selamat pagi encik,” sapa seseorang.
“Selamat pagi, duduk dulu,” balas Joe yang belum
memandang pelajar praktikal tersebut.
2 minit kemudian...
“Okey, maaf, saya tengah semak e-mel.” Joe bercakap
sambil pandang seorang wanita di depannya.
Tiba-tiba Joe tercengang kejap.
“Hai Abang Joe...” sapa wanita itu.
“Awak Liza kan? Pelajar junior saya kat universiti
dulu. Saya tahun akhir, awak baru masuk semester satu,”
tanya Joe ingat-ingat lupa.
“Nasib baik Abang Joe ingat. Abang apa khabar? Dah
kahwin? Dah ada berapa orang anak?” tanya Liza bertalu-talu...
Joe diam kejap.
“Maaf, single lagi...”
“Opps... sorry bang, err... Encik Johari.” Liza
tersasul-sasul.
“Tak apa, saya faham. Saya dah biasa dengan
pertanyaan tu. Okey, pasal praktikal awak tu, saya akan letak
awak satu department dengan Fatin. Nanti apa-apa hal awak
boleh tanya dia. Make yourself comfortable and welcome to
Johari & Co.”
“Okey Encik Johari, saya keluar dulu ya. Nice to
meet you.”
“Sama-sama. Have a nice day,” balas Joe.
Liza keluar dari ruangan pejabat Joe. Joe teringat
zaman universitinya. Yalah, dia paling ingat si Liza ni, sebab
Liza pernah minta tandatangan dia untuk penuhkan buku
ketika orientasi.
Mak aii... bila Joe teringat, agak kejam jugak dia.
Adakah patut dia bagi syarat belanja dia kat kafeteria 3 hari
barulah dia bagi sain. Ada juga rasa menyesal. Yalah... dia
tak fikir pun masa tu si Liza tengah susah ke, ada masalah
kewangan ke. Tapi, sekali tu ajelah dia jumpa si Liza sebab
lepas tu Joe sibuk dengan tugas-tugas semester akhir.
“Encik Johari, Encik Johari... Encik Johari!”
“Ya, ya saya. Ya... Fatin, ada apa ya?” Joe terkejut
melihat Fatin di depannya.
“Encik Johari. Ini fail kes terbaru yang kita kena
handle. Amboi... termenungkan budak baru masuk praktikal
tu ke?” sindir Fatin.
“Erm... tak adalah,” bidas Joe.
“Encik Johari, kita ni peguam, cepat peka dengan
perubahan sekeliling...”
Amboi Fatin, pandai pula, telah Joe dalam hati.
“Tak adalah. Saya kenal budak tu, junior kat
universiti kita dulu.” Joe memberitahu.
“Saya tak kenal sangat. Yalah, dulu tak duduk hostel
macam korang.”
“Yalah, kau tu anak orang berada, bolehlah duduk
luar.”
“Tak adalah, aku memang malas nak duduk dalam
tu, bikin stres aku je. Okeylah, ni fail kes, cek dulu tau...”
Bila Joe dan Fatin berbicara sesama mereka, maka
bahasa formal jadi aku kau sahaja. Yalah, diaorang dulu satu
kelas. Kebetulan bila Joe buka firma guaman, Fatin nak join
sekali kerja dan kini firma itu semakin dikenali. Ada juga
Joe suruh Fatin buka firma sendiri, tapi Fatin lebih suka
bekerja dulu. Ikutkan dulu, Joe nak sangat kalau Fatin ni
jadi partner dia, tapi Fatin cakap dia tak yakin. Akhirnya Joe
yang buka firma sendiri, tapi Fatin banyak bantu dia. Dan,
Joe lebih suka dipanggil nama berbanding perkataan ‘bos’,
sebab ni firma guaman. Semua memberi perkhidmatan dan
mesti membiasakan diri dengan memanggil nama seseorang.
Dia pun sama macam Joe, masih bujang trang tang lagi.
Mungkin tugas mereka ni yang buat orang tak berani dekat,
tapi sejujurnya, mereka ini baik-baik saja.
Kring! Kring!
“Helo.”
“Helo Lan, ada apa call ni?” tanya Joe.
“Tak ada apa-apa, saja nak inform kau. Bob dah
pindah masuk rumah aku. Malam nanti jomlah lepak rumah
aku. Ada bola malam ni, meriah sikit ada kau.”
“Okey. Aku mesti ada punya.”
“Okey, babai, assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam...”
Joe letakkan gagang telefon dengan senyuman.
Tengok jam awal lagi, Joe menarik nafas. Yalah, kerja kena
selesai satu per satu. Ada pula kes baru masuk. Kalaulah
semua orang di dunia ni baik-baik, kan senang kerja Joe.
Ni, kes bapa saman anak, anak saman mak pun ada. Alahai...
akhir zaman betul. Kes boleh selesai di luar mahkamah pun
mahu juga naik court.
Sejam kemudian...
Tok! Tok!
“Masuk,” arah Joe.
Joe pandang siapa yang bakal masuk.
Liza!
Berserta gelas minuman pula tu. Macam tahu-tahu
saja tekak haus.
“Maaf Encik Johari, ini air Nescafe. Kebetulan tadi
saya ke pantri, Cik Fatin suruh hantar.”
“Okey, thanks ya. Tapi lain kali jangan buat kerja
bancuh air semua ni, bukan ni yang diajar dekat universiti
kan?”
“Faham Encik Johari, saya minta maaf. Saya keluar
sambung buat kerja dulu.”
“Okey.” Joe jawab dan angguk.
Joe ambil gelas minuman yang Liza letak di
depannya. Joe ambil pelan-pelan. Baunya cukup menarik
hati, terus aje Joe minum seteguk.
“Sedap juga,” katanya sambil pandang-pandang ke
arah pintu, padahal Joe sememangnya tahu Nescafe tu dari
pek 3 in 1 yang biasa dia buat juga.
PETANG ITU tepat jam 6, Joe keluar dari pejabatnya.
Gara-gara lambat dapatkan parkir, dia parkir keretanya di
seberang jalan. Segera Joe berjalan menuju ke keretanya.
Liza pandang Joe yang berjalan di depannya sambil dia pula
mahu bergerak menuju ke perhentian bas.
Tiba-tiba sebuah kereta bergerak laju menuju ke
arah Joe yang leka menaip sesuatu di telefon bimbitnya.
Segera Liza berlari pantas!
“Encik Johari!”
Mereka berdua terjatuh ke bahu jalan.
“Liza, Liza... awak tak apa-apa? Bahaya tau tak!”
marah Joe pula.
“Tak... saya okey je... Tadi kereta tu laju, saya takut
dia langgar Encik Johari.” Liza menjawab sambil menahan
sakit. Dia rasa kaki kirinya seakan-akan berdenyut tapi masih
dapat digerakkan.
Joe berdiri. Ramai orang memerhatikan mereka. Joe
menarik tangan Liza. Mulanya Liza enggan tapi oleh sebab
beberapa kali Liza jatuh, dia terpaksa juga.
“Awak sure tak apa-apa?” tanya Joe.
“Tak, saya okey.” Liza lepaskan tangan Joe
cepat-cepat.
“Maaf. Saya cuma berniat nak bantu.”
“Saya faham. Saya ke perhentian bas dulu, jap
lagi bas lalu tertinggal pula saya.” Liza kemudian berjalan
terhincut-hincut.
Joe yang memerhatikan Liza, rasa kasihan pula.
Sudahlah dia membantu, tercedera lagi. Itu samalah seperti
tak mengenang budi.
“Liza, saya tumpangkan awak.” Joe bersuara.
“Tak apalah Encik Johari, saya ke perhentian bas. Bas
dah nak sampai tu. Jumpa esok ya,” jawab Liza seakan-akan
tegas.
Joe berjalan ke keretanya lepas tu masuk ke dalam
kereta. Dia lihat Liza masih lagi duduk di perhentian bas.
Hatinya tak tenang. Dia agak mesti kaki Liza tu luka ke,
terkehel ke apa. Bimbang sangat.
“Ah! Aku dah terhutang budi dengan dia. Aku mesti
tolong dia.”
Joe menghidupkan keretanya dan keluar dari
kawasan parkir dan menuju ke perhentian bas. Nasibnya
kurang baik, Liza sudah naik bas yang baru sampai.
“Esok ajelah aku jumpa dia. Kalau kecederaan dia
serius, masa tu juga aku bawa dia pergi klinik,” tekad Joe.
Sambil-sambil itu Joe terfikir-fikir, malunya dia
sebagai lelaki kerana diselamatkan oleh seorang wanita. Lain
benar pula rasanya, selalu lelaki yang selamatkan wanita.
Satu lagi kenapa Liza nekad nak selamatkan dia?
Kalau difikir-fikir, kebaikan apa yang dia pernah buat pada
Liza. 5 tahun lalu teruk dia suruh Liza belanja dia makan itu
ini untuk dapat tandatangan dia. Lepas 5 tahun, Liza juga
yang kena bersusah payah selamatkan dia. Sejak jumpa Liza
dekat ofis pagi tadi, dia tak henti-henti mengingat masa lalu.
Hati Joe seolah-olah berbisik-bisik sesuatu.
“Apa pula aku fikir ni? Takkanlah...” Joe cakap sendiri
sambil memandu.
Joe cuba buang perasaan itu jauh-jauh.
Kemudian Joe teruskan pemanduan namun masih
dilanda kegalauan takut Liza ada cedera di mana-mana...

No comments:

Post a Comment